Aidil Syafiq menyarungkan selipar ke kaki. Bersiap
untuk pulang ke rumah sahabatnya. Sesekali dia membetulkan kain sarungnya yang
terbuai-buai ditiup angin malam. Bimbang jika auratnya tersingkap dilihat orang.
Biarpun ketika itu hanya dua, tiga orang jemaah sahaja yang tinggal.
Wak Arip, siak tua masjid Raudhah kelihatan sedang
memeriksa tempat solat, bimbang-bimbang jika ada kipas angin atau lampu yang
tidak tertutup suisnya. Pintu-pintu dan tetingkap masjid dikunci rapat. Untuk
mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
Beberapa hari yang lepas, surau Taman Perdana yang
terletak lebih kurang 3 kilometer dari masjid Raudhah dimasuki pencuri. Habis
tabung-tabung derma masjid dipecahnya. Aidil memerhati tubuh tua itu bergerak
menuju ke pintu utama masjid yang terakhir.
Seorang lelaki berbaju melayu berwarna ungu turut
berjalan disamping Wak Arip. Selepas bersalam dengan siak tersebut, lelaki itu
berjalan menuju ke Aidil.