RSS
Facebook
Twitter

12/08/2018

Suku sahaja

"Kau kenapa?"
Sepi. Tiada jawapan.
"Kau kenapa?" dilontar soalan yang sama. Tetapi kali ini dengan nada yang sedikit tinggi.
Masih sepi membisu. Kali ini suara itu tidak bertanya lagi. Buat seketika ruangan tidur itu sunyi sepi. Hanya sekali sekala bunyi kipas angin menerjah cuping telinga.
"Aku sakit," barulah kedengaran suaranya. "Tapi tak tahu dekat mana."
"Kau sakit? Sakit apa?"
"Aku tak tahu," dia menjawab.
"Pelik," suara itu menyambung.
"Aku pernah rasa benda yang sama dulu."
"Kau pernah?" tanya suara itu.
"Ya, suatu ketika dulu."
"Apa yang berlaku?" suara garau terus menyiasat.
"Benda yang sama. Dan terus aku terbayang mereka bahagia."
"Oh..." pendek suara itu menyambut. "Kau cemburu?"
Sepi. 1 saat. 2 saat. 3 saat.
"Mungkin?"
"Kau tanya aku?"
Dia menggeleng. "Aku jawab soalanmu. Tapi dengan pertanyaan."
"Macam mana tu?"
Dia menggeleng lagi. "Mungkin sebab aku tak tahu."
Suara itu tidak menjawab. Sengaja diberi peluang mungkin ada tambahan cerita dari Dia.
"Mungkin juga aku tahu. Tapi aku tak mampu... ini adalah takdir!"
"Takdir?"
Dia tunduk. "Memang takdir. Tapi salah aku."
"Kau kenapa?"
"Aku suku putus asa."
"Hah!?" suara iu terkejut. Pelik."Suku putus asa? Kau cakap apa?"
"Ya, suku putus asa. Kalau dulu aku tiga per empat putus asa. Kira kali ini aku lebih bersedia...."
"Aku tak faham."
Dia tersengih lucu. 'Ya, biarlah aku sahaja yang faham."
"Kau masih memilih untuk memendam?"
Sepi. Kenyataan suara menjentik hati Dia. Jauh di sudut hati, dia mengakui kebenaran kenyataan itu.
"Kau pilih untuk diam? Sedangkan kau tahu apa yang berlaku pada kau dahulu?"
"Ya, kerana aku lemah."
"Kau salah!" suara itu menafikan.

Dialog terhenti. 5 minit... bukan, 10 minit lamanya mereka mendiam diri.

"Kau tahu?" suaranya memecah sepi. "Aku kini takut untuk memulakannya."
"Kau takut apa? Takut kecewa?"
"Tidak," Dia menggeleng. "Aku takut mereka kecewa."
"Seperti kau dan Dya?"
Dia mengangguk. "Kerana aku, Dya sengsara. Jadi aku takut untuk mula semula. Sebab itu...."

2 minit. Sepi.

"Kau tahu?" kali ini suara itu pula yang bertanya. "Kau sedang menyeksa dirimu sendiri.
"Ya, aku tahu! Tapi aku bukan seorang yang gagah seperti dahulu. Aku...aku...aku yang gagah dulu banyak menyakiti Dya. Jadi aku tak mahu. Biarlah aku lemah. Biarlah...."
"Huh, kau cakap apa? Jadi kau pilih untuk berputus asa?"
"Suku sahaja...." Dia menyambut. "Hanya suku sahaja!" Kali ini nada suaranya agak tegas dan tinggi.

"Aku tak mahu beri harapan lagi. Cukup dulu jadi pengajaran. Aku yakin mereka bahagia dengan jodoh mereka. Dan aku, usaha ku hanya menanti jodoh tiba. Aku takkan mencari lagi! Aku takut ada yang akan kecewa kerana aku lagi..."

"Hahahahaha!" terbahak-bahak suara itu tertawa. "Kau ingat ini kisah fiksyen yang kau reka?"

"Ya, ini adalah kisah yang aku sendiri pilih corak jalan ceritanya."
"Oh, kau bermadah?" sinis suara itu menyambut.
"Bukan bermadah. Tapi berfalsafah!" tegas Dia membalas.
"Jadi kau sepatutnya tahu yang penamatnya juga adalah pilihanmu!"

Dia terkedu.

6/28/2018

Aku Keliru




Hampir 4 tahun kutahan hasrat.
Bayangan silih berganti,
detik masa berlalu hadir sahaja bayangan yang mengetuk hati,
ku biar mereka berlalu pergi
Hingga kali ini..

Aku berfikir sampai bila mahu terbelengu dengan kenangan lalu?
dirantai memori hati yang berkecai, sampai bila?
Lakaran baru satu keperluan,
Agar aku bisa menilai jalan baru dalam sebuah kehidupan
Ini yang berlegar di fikiran

Lalu aku membuat keputusan,
Setelah sana sini berkejaran mengutip pandangan insan,
Bukan kerana aku bergantungan pada tatapan mereka
Tetapi aku ingin meraih tenaga, kudrat untuk melonggar belengu kenangan
Trauma masih ada, dalam tak sedar aku sebenarnya terpenjara

Pada bonda acap kali kutagih sokongan,
Kerana antara aku dan bonda tiada rahsia,
Semenjak kali pertama itu, terpisah kemudian bertemu
rupanya pertemuan tika itu mengundang kecewa
Juga menjadi titik mula
antara aku dan bonda tiada rahsia

Ku satukan perasaan,
kuatkan tujuan,
biarlah, andai dibiarkan persoalan ini terus berlegar di fikiran
Aku tidak akan tenang!

Dan dikala matahari hampir segalah di kepala
Suratan takdir menetapkan segalanya
Alhamdulillah, aku bisa menerimanya dengan tenang
Ini satu perkara yang luar biasa!

Kata orang, disangka panas hingga ke petang
rupanya hujan ditengahari
Aku menerima berita  yang membuatkan aku keliru
Apakah? Mengapakah? Kenapakah?

Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati kami
tetapkan hati kami hanya untuk mu
Kau yang mengusai hati dan perasaan hamba-hamba-Mu
Jangan dibiarkan ia mengusai diri kami yang lemah ini.

Semua telah kurasai
Melalui orang tua, dikatakan terlampau mendahului ke depan
Melalui perantaraan, dikatakan tidak berani, tak 'gentleman'
Terus ke empunya diri, aku dikatakan tak sopan, kita ada adat dan budaya
"Saya masih ada orang tua" kata dia

Aku seorang yang keliru
Mudah-mudahan, tempoh 30 tahun pengajian dalam alam kehidupan
Bisa menjernihkan mataku, melapangkan dadaku
untuk membuat penilaian dengan akal dan fikiran
dan pastinya dengan IMAN...