RSS
Facebook
Twitter

Showing posts with label Cerpen BSP. Show all posts
Showing posts with label Cerpen BSP. Show all posts

12/28/2010

Bicara Seorang Pemuda

Siri 3.....
“Ulama-ulama terdahulu telah mengabdikan diri mereka dengan ilmu. Mereka tidak pernah bersungut sekalipun berhadapan dengan cabaran dan ancaman. Imam Ahmad bin Hanbal, pengasas mazhab Hanbali dan juga merupakan seorang muhaddis yang terkenal dengan kitab hadisnya iaitu Musnad Imam Ahmad telah dipenjara dan diseksa selama 17 tahun kerana mempertahankan kebenaran. Cuba antum bayangkan, sanggupkah antum semua menghadapi semua ini hanya untuk mempertahan kebenaran dan ilmu?”
Imam Ahmad bin Hanbal telah dipenjara selama 17 tahun di bawah tiga pemerintahan khalifah yang berbeza dari kerajaan Abbasiyyah. Imam Ahmad telah dipenjara bermula dari zaman pemerintahan khalifah Ma’mun pada 3 tahun terakhir pemerintahannya. Kemudian penyeksaan itu disambung pula oleh adiknya khalifah al-Mu’tassim selama 9 tahun dan selepas dia mangkat, anaknya Khalifah Harun al-Wathiq, menyeksa Imam Ahmad selama 5 tahun.
Penyeksaan ini dilakukan bukan sahaja kepada Imam Ahmad sahaja, bahkan kepada semua para ulama dari golongan ahli Sunnah wal Jamaah yang mempertahankan pendapat bahawa al-Quran itu kalamullah, bukan makhluk. Berbeza dengan fahaman yang dipegang oleh khalifah ketika itu, iaitu al-Quran adalah makhluk. Ketiga-tiga khalifah ketika itu memegang fahaman Mu’tazilah. Mereka dihasut oleh ulama-ulama dari puak Mu’tazilah yang amat membenci golongan ahli Sunnah wal Jama’ah.
Hinggalah zaman pemerintahan Khalifah Ja’afar al-Mutawakkil yang menggantikan Khalifah al-Wathiq. Khalifah al-Mutawakkil adalah seorang yang amat membenci fahaman Mu’tazilah ini, apabila dia dinaikkan takhta, dia terus membebaskan Imam Ahmad dari penjara. Dan selepas itu nama Imam Ahmad kembali menyinar lebih dari sebelumnya.
Kelas diploma al-QudS semester 5 pagi itu senyap. Mereka terdiam tanpa suara, umpama ditusuk pedang yang tajam, kata-kata Ustazah Ruqaiyah itu memberkas ke dalam hati mereka. Beberapa orang dari mereka menundukkan kepala, mungkin sedang memikirkan kata-kata tersebut.
Begitulah acap kali yang berlaku dalam kelas Ustazah Ruqaiyah yang terkenal dengan sindiran tajam dan kata-kata sinis yang amat sukar ditelan. Namun setiap perkataan yang dilafazkan amat memberi kesan kepada pelajar-pelajarnya. Dia mahu semua pelajarnya sentiasa terbuka minda dan hati mereka untuk merenung perjuangan para tokoh ilmuwan dahulu dalam mencari ilmu.
Bukan seperti masa kini, institusi ilmu telah terbalik. Kalau dulu, para pelajar perlu berusaha mencari guru yang terbaik untuk mendapatkan ilmu. Namun kini, guru yang terpaksa mencari murid untuk mencari duit. Tiada lagi rasa hormat kepada guru, tiada lagi penghayatan kepada ilmu menjadi jawapan mengapa lahirnya ramai tokoh bijaksana tanpa akhlak yang mulia.
Seperti mana kata Dr Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya ‘Di Mana Punca Kelemahan Umat Islam Kini’, Pada masa kini, kurikulum kita hanya mampu melahirkan para pegawai, bukan para intelektual.” Maka berlakulah pelbagai kepincangan kerana mereka tertipu dengan keindahan duit dan harta. Rasuah, penindasan, kezaliman dan ketidakadilan semakin berleluasa, apatah lagi jika yang melakukannya adalah orang yang berkuasa dan yang mempunyai lulusan sarjana. Kata Dr Yusuf al-Qardhawi lagi, “Kurikulum pelajaran kita tidak mampu menterjemahkan erti dan sifat ‘Rabbaniah’ ke dalam jiwa masyarakat kita.”
Seandainya erti dan sifat ‘Rabbaniah’ itu mampu diterjemahkan dalam jiwa, pasti kita sedar bahawa setiap pergerakan dan perbuatan dalam kehidupan kita adalah kerana Allah. Hasilnya, setiap seluruh hidup kita akan terpandu dan pastinya akan melahirkan generasi intelektual dan modal insan kelas pertama yang bertaqwa kepada Allah.
“Baiklah cukup setakat ini. Ustazah harap antum semua sedar yang antum semua memikul amanah yang amat besar sebagai individu yang menuntut ilmu yang berkaitan al-Quran & as-Sunnah. Jangan sesekali mengambil mudah pada bidang yang antum ceburi.”
“Ana nak mengingatkan antum, bahawa kita semua akan dipersoalkan kelak andai kita tidak menyampaikan amanah yang kita terima ini. Kitalah generasi pewaris yang akan menyambung perjuangan tokoh-tokoh ilmuwan Islam terdahulu. Peganglah pada firman Allah ini."




Matanya memerhatikan satu persatu wajah anak didik yang ada di hadapannya. Dia mahu mereka jelas, bahawa ilmu al-Quran dan al-Hadis ini bukanlah sesuatu yang boleh dipelajari sambil lewa. Mereka perlu bersungguh dalam memahami dan mengamalkannya.
“Baiklah, sampai di sini sahaja kelas kita. Sebelum ana keluar, ana nak ingatkan, assignment antum hantar sebelum hari Jumaat depan. Minggu terakhir sebelum final nanti, antum bentangkan tajuk antum di dalam kelas. Faham?” Dia tersenyum dan terus melangkah keluar selepas memberi salam.
“Aduh...bisanya. ustazah Ruqaiyah tu kalau cakap, mahu hangus telinga aku dengar. Fiq, kau tak terasa ke?” tanya Rafiq.
Rafiq, rakan sekelas Afiq yang lain daripada yang lain. Dia berasal dari Johor, berambut pendek dan berbadan kurus. Jiwanya agak ‘funky’ sedikit. Ada yang menggelarkan Rafiq sebagai ustaz rempit kerana sememangnya Rafiq jika memandu motosikal RXZ nya itu, boleh kalah Valentino Rossi.
Afiq hanya tersengih, biarpun berbisa namun sebagai seorang yang berpegang pada prinsip bersifat terbuka dan optimis selalu, dia menganggap itu sebagai satu cabaran. Terasa dirinya terbakar. “Aku akan buktikan pada ustazah,” bisik hatinya.
“Rafiq, Wasim, jom temankan ana makan. Perut ana dah berbunyi ni,” Hakim mengusap-usap perutnya yang kurus itu.
“Ai, kau jangan main-main Kim. Kami memang menanti akh Hakim Tamimi kita ini belanja, kan Wasim?” Rafiq mengusik. Hakim hanya tersengih sahaja. Dia memang maklum dengan perangai Rafiq yang suka mengusik.
“Emm... antum tak nak ikut sekali?” Wasim mengalih pandangannya kepada Afiq dan Furqan.
“Ana nak jumpa dengan Ustaz Farouk kejap. Ada perkara yang ana nak bincangkan. Jadi ana tak dapat ikut. Enta macam mana Afiq?” jelas Furqan.
Kelas seterusnya jam 2 petang nanti. Kelas Dr. Fahim amat digemari oleh mereka. Kelas Dr. Fahim sentiasa ceria dengan jenaka-jenaka yang dilakukan oleh Dr. Fahim sendiri, menjadikan mereka tidak mengantuk bila mendengar penerangan Dr Fahim, pensyarah yang berkelulusan dari Madinah tersebut.
“Baru pukul 11.30 pagi. Lama lagi ni,” bisik hatinya. Afiq memandang wajah sahabat-sahabat yang sedang menantikan jawapan darinya.
“Emm... takpalah. Ana tak lapar lagi. Antum pergilah dulu ya. Lagipun ana nak ke maktabah, nak cari bahan tambahan untuk assighment ana. Maaf ya. Jumpa dalam kelas Dr Fahim nanti,” jelas Afiq. Mereka berjabat tangan. Afiq terus melangkah menuju ke perpustakaan seorang diri.


******************************************************



bersambung....


klik siri [1] & [2]



11/01/2010

Bicara Seorang Pemuda


Siri 2.....

Selepas solat Isyak, Afiq duduk termenung. Diamatinya suasana masjid yang tenang itu. Masjid al-Azhar, dirasmikan pada tahun 2001 oleh Duli Yang Amat Mulia Sultan Selangor ketika itu, Sultan Idris Shah. Ketika itu KUIS baru sahaja dinaik tarafkan daripada kolej swasta kepada kolej universiti. Sebelum ini KUIS atau lebih dikenali sebagai Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR) beroperasi di Seksyen 11, Shah Alam.

Masjid al-Azhar juga merupakan nadi bagi setiap program keagamaan bagi warga KUIS. Banyak program-program berbentuk ilmiah dianjurkan oleh pihak masjid di bawah pentadbiran masjid yang diketuai oleh nazirnya, Ustaz Farid Ravi Abdullah.

Di hujung kanan masjid berdekatan dengan tempat penyidai kain pelikat, beberapa orang pelajar duduk membentuk kumpulan. Mungkin mereka sedang berbincang ataupun sekadar berbual. Afiq menyandarkan dirinya kedinding sambil menutup matanya, mengambil peluang untuk berehat seketika sebelum pulang ke asrama.

“Assalamu’alaikum abang Afiq,” tegur satu suara yang amat dikenalinya.

Afiq membuka mata dan memandang ke arah empunya suara. Dia tersenyum.

“Hmm...ada apa ni Syuk? Ana tengok antum semua ni berkerut je dahi tu.”

Syukri anak kelahiran Melaka yang berwajah gelap, dengan ketinggian yang sederhana tersengih memandang wajah senior mereka itu. Di sebelahnya, Farid dan Zaid ikut tersengih mendengar kata-kata senior mereka itu.

“Ai, takkan antum nak diri je depan ana ni. Duduklah Syuk. Ajak Farid dan Zaid sekali. Jangan malu-malu, buatlah macam rumah sendiri. Hehehe...”

“Takda apapun abang Afiq. Saje nak tegur abang Afiq. Entah kenapa, hari ini kami rasa rindu pula kat abang senior kami ni,” Farid membalas gurauan Afiq.

Syukri, Farid dan Zaid, merupakan diantara pelajar semester 2 al-QudS yang rapat dengar Afiq. Bagi mereka walaupun Afiq merupakan senior mereka namun Afiq tidak pernah memilih rakan dalam bergaul. Afiq bergaul dengan semua pelajar tak kira dari semester berapa sekalipun. Berbeza dengan sesetengah senior lain dalam al-QudS. Mereka amat mengagungkan perbezaan antara senior dan junior. Bagi mereka, junior kena dengar kata-kata senior.

Berbeza dengan senior mereka yang bernama Afiq Hamzi ini. Afiq sentiasa mengingatkan mereka bahawa antara senior dan junior tiada tembok pemisah melainkan ketaqwaan. Dan ketaqwaan hanya dapat dicapai dengan ikatan ukhwah yang satu. “Bukankah orang yang beriman itu bersaudara?” Afiq sentiasa mengakhiri perbualan mereka dengan soalan ini setiap kali mereka berbincang mengenai isu senior junior ini.

“Abang Afiq sibuk tak malam ni? Kami ada sesuatu nak bincang dengan abang kalau abang ‘free’,” Syukri memandang.

Afiq terdiam seketika. Akal ligat mengingatkan jadual aktivitinya malam ini. Hatinya berasa seperti ada yang tidak kena. Ada sesuatu yang dia terlupa. Tapi... apakah benda itu?

“Ya Allah!” Afiq menjerit kecil. Masjid al-Azhar bergema dengan suaranya.

“Kenapa bang? Abang Afiq ada program ke malam ni?”

“Ana minta maaflah Syuk, Farid, Zaid. Ana ada usrah malam ni. Ana dah terlewat ni, sepatutnya jam 9 tadi mula. Maafkan ana ye. Boleh kita tangguhkan perbincangan kita ni?”

“Oh, beres je bang. Nanti saya mesej abang ea. Kita tetapkan bila kita boleh berjumpa semula,” Syuk menunjukkan telefon Nokia 3310 nya itu. Simbolik yang dia pasti akan mesej.

“Ok, syukran semua. Ana beransur dulu ye. Syukran kerana bertolak ansur dengan ana. Terima kasih dan ana minta maaf sesangat ye,” Afiq menghadiahkan senyuman kepada mereka. Mereka saling bersalaman. Afiq bergegas mencari selipar yang diletakkan dihadapan tempat masuk masjid.

Seperti minggu-minggu sebelumnya, setiap hari Rabu minggu ke 2 dan ke 4, Afiq akan mengadakan usrah bersama sahabat-sahabat yang mengambil diploma al-QudS semester 5. Singkatan al-QudS digunakan sebagai singkatan bagi Persatuan Mahasiswa al-Quran & as-Sunnah. Usrah tersebut akan bermula pada jam 9 malam.

Usrah tersebut adalah salah satu inisiatif yang dicadangkan oleh Hakim untuk mengeratkan lagi ukhwah pelajar-pelajar dalam kelas mereka. Selain daripada salah satu medan untuk mereka bertukar pendapat, berkongsi masalah atau berbincang mengenai apa sahaja perkara yang berkaitan dengan subjek-subjek yang tidak dapat mereka fahami di dalam kelas. Melihat kepada keberkesanan aktiviti tersebut, Afiq mencadangkan agar mereka membuka juga penglibatan kepada pelajar-pelajar al-QudS daripada semester lain yang berminat. Setakat ini hanya seorang pelajar sahaja dari semester 3 yang turut serta.

Alamak, dah pukul 9.10 minit. Kena cepat ni, mana boleh naqib sendiri yang datang lambat. Afiq mempercepatkan langkahnya menuju ke bilik tutorial 2113, berdekatan dengan Taman Islami. Taman Islami terletak di tengah-tengah bangunan lama yang disebut sebagai blok akademik. Bangunan tersebut terletak di sebelah kiri masjid al-Azhar. Pintu utama bangunan tersebut bersetentang dengan pintu masuk masjid untuk wanita.

Afiq mengambil seliparnya dan membawa ke pintu tersebut. “Short cut,” bisik hatinya. Kebetulan ketika itu, pintu tersebut kosong tiada orang yang menanti. Dari situ dia hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk ke sana.

Aduh.... harap-harap mereka dapat memaafkan aku nanti. Ya Allah....

Dari pintu utama dia mengambil lorong di sebelah kanan, Afiq melalui kawasan bilik para pensyarah dari fakulti bahasa. Dari lorong itu dia dapat melihat bilik tutorial 2113 cerah, bunyi bising dari mesin penghawa dingin juga kedengaran. Afiq mempercepatkan langkahnya menuju ke pintu dan terus memutar tombol pintu.

“Assalamu’alaikum semua...” Afiq memberi salam sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik tutorial tersebut. Serta merta terasa hembusan dari penghawa dingin menyejukkan tubuhnya yang sedang dibasahi peluh. Afiq segera mengambil tempat duduknya yang telah tersedia dihadapan. Matanya berkeliaran memandang semua ahli yang ada dihadapannya. Semua mata memandang pemimpin al-QudS tersebut.

“Semua ahli usrah telah tiba,” bisik Afiq di dalam hati.

“Wan Muhaimin, Furqan, Wasim, Raudhah, Hanani, Aiman Mardhiah Farhanah dan... eh, ada pertambahan?” Afiq sekadar bersuara di dalam hati. Dia terlewat 10 minit daripada waktu yang dijanjikan.

“Emm... baiklah kita mulakan majlis kita dengan bacaan Ummul Kitab al-Fatihah,” Afiq memulakan bicara. Semua diam membaca dan menghayati setiap baris ayat suci itu. Al-fatihah yang juga dikenali sebagai Ummul Kitab menjadi amalan mereka setiap kali bermulanya usrah.

“Baik sebelum kita pergi lebih jauh dalam perbincangan kita malam ini, ana ingin meminta maaf kepada sahabat-sahabat semua atas keterlewatan ana,” satu persatu wajah sahabatnya dipandang. Dia menarik nafas panjang menanti respon daripada sahabat-sahabatnya.

“Minta maaf mencelah. Izinkan ana bersuara sebentar.” Wan Muhaimin bangun mencelah. Afiq mengangguk. Afiq sudah menduga yang pemuda dari ibu kota negeri ‘Serambi Mekah’ ini akan bersuara.

“Sebelum itu ana mewakili semua ahli usrah dan secara peribadinya memaafkan kesilapan enta. Namun begitu, ana selaku ketua unit hisbah dan disiplin al-QudS juga ingin mengingatkan kepada semua ahli usrah al-QudS agar sentiasa berdisiplin. Patuhilah masa,” Wan Muhaimin memulakan bicaranya.

“Sebagai seorang mukmin, kita perlu ingat bahawa menepati masa itu amat penting. Allah s.w.t. telah bersumpah dalam surah al-‘Asr ayat pertama yang bermaksud “Demi Masa!” Menunjukkan betapa pentingnya masa itu kepada kita. Jadi, ana nak menegur kepada saudara pemimpin kita, akh Afiq Hamzi atas kecuaian dirinya dalam menepati masa. Ana harap perkara ini tidak berulang lagi. Dan majlis hisbah dan disiplin al-QudS meminta agar enta bertanggungjawab terhadap kesalahan enta ini dan enta diminta untuk membuat artikel dan tazkirah mengenai kepentingan amanah dan menepati masa dan bentangkannya dalam usrah yang akan datang.”

Afiq mendiamkan dirinya. Itulah hukuman yang pernah mereka bincangkan bersama ketika di awal penubuhan usrah mereka dahulu. Di dalam hatinya dia amat menyesal atas kecuaiannya itu. Dia beristighfar berulang kali memohon keampunan atas kesalahannya itu.

“Benar kata enta itu akh Muhaimin. Maha Suci Allah, bersyukur ana menerima sahabat seperti antum semua. Ana menerima dengan hati yang terbuka akan hukuman yang diberikan. Insya Allah, ana berjanji tidak akan mengulangi lagi kesalahan seperti ini,” Afiq tersenyum puas. Dia amat berbangga dengan sahabatnya itu. Tidak salah keputusannya melantik Wan Muhaimin sebagai ketua unit Hisbah & disiplin usrah. Afiq sengaja membina sebuah organisasi dalam usrah tersebut untuk melatih ahli usrahnya untuk lebih bertanggungjawab. Terdapat 3 unit yang di letakkan dalam organisasi usrah tersebut, iaitu unit Dakwah & Kebajikan, unit Akademik dan unit Hisbah & Disiplin. Afiq memilih Wan Muhaimin Biarpun baru semester 3 dalam al-QudS, tetapi dia tetap tegas dalam bertugas.

Afiq yakin, seorang pemimpin yang ditegur kesilapannya menunjukkan dia disayangi oleh kepimpinannya, namun seorang pemimpin yang tidak ditegur kesilapannya, bermakna kepimpinannya tidak menyayangi dirinya. Dan Afiq Hamzi tidak mahu menjadi pemimpin seperti itu!

***************************************************************

“Abang Afiq, ana minta maaf mengenai hal tadi andai enta terasa hati dengan kata-kata ana,” tegur Wan Muhaimin ketika bersalaman dan berpelukan dengan Afiq seusai majlis usrah.

“Tak mengapa, ana faham. Ana yang sepatutnya berterima kasih pada enta kerana menyedarkan ana daripada kesilapan ana tadi. Syukran ya akhi.” Afiq tersenyum. Sekali lagi mereka berdua berpelukan, menandakan betapa eratnya ukhwah yang mereka bina. Langsung tiada sifat dengki dan dendam diantara mereka.

Setiap individu adalah pemimpin, sama ada pemimpin kepada dirinya, mahupun pemimpin kepada sesebuah negara. Dan setiap dari mereka ini akan disoal akan tanggungjawab mereka. Cabaran bagi setiap pemimpin ialah bagaimanakah cara bagi dirinya sebagai seorang ketua untuk berhadapan dengan rakyatnya yang berbagai ragam dan kefahaman.

Oleh itu, setiap pemimpin perlu mencontohi personaliti diri tokoh-tokoh pemimpin Islam yang agung seperti Rasulullah s.a.w. dan khulafa’ ar-Rasyidin dalam kepimpinan mereka yang adil dan berdisplin agar dapat memotivasikan diri untuk menjadi pemimpin terbaik bagi rakyatnya.

Di zaman khalifah Ali bin Abi Talib, pada suatu hari, beliau sedang berjalan-jalan di pasar, tatkala itu beliau telah melihat seorang lelaki Yahudi sedang memakai baju besi miliknya. Lalu beliau menuntut baju besi tersebut, namun begitu lelaki Yahudi tersebut menafikan kenyataan khalifah dan mengaku bahawa baju tersebut adalah miliknya. Saidina Ali membawa kes tersebut ke mahkamah dan meminta agar hakim yang juga sahabatnya Syuraih menghakimi mereka. Namun apabila beliau diminta untuk membawa dua orang saksi, kesaksian Qanbar, pembantunya diterima namun kesaksian Hasan ditolak atas alasan kekeluargaan. Oleh itu, kes tersebut telah dimenangi oleh Yahudi tersebut. Namun begitu atas dasar ketaqwaan, beliau menerima keputusan tersebut dengan hati yang puas.

Beliau langsung tidak menggunakan kekuasaannya, sedangkan beliau adalah Khalifah agung yang dihormati ketika itu. Melihat keadaan tersebut, lelaki Yahudi tersebut membuat pengakuan bahawa sebenarnya baju tersebut adalah milik Saidina Ali. Kemudian dia memulangkan semula baju besi tersebut dan mengucap kalimah syahadah. Subhanallah, apabila mendengar sahaja perkara tersebut lantas sepupu Nabi tersebut menghadiahkan baju besinya bersama 900 dirham sebagai hadiah atas keislaman lelaki Yahudi tersebut. Inilah ciri agung seorang pemimpin yang perlu kita contohi. Sentiasa bertaqwa dan reda dalam kepimpinan.

“Subhanallah... perlakuan antum berdua ni mengingatkan ana pada satu hadis Rasulullah s.a.w.,” Wasim yang sejak dari tadi berdiam diri melihat telatah mereka mencelah.

“Apa hadisnya Wasim? Cuba enta berkongsi dengan kami,” Furqan menyampuk. Dia baru sahaja selesai mengemaskan buku-buku yang dipinjamnya daripada perpustakaan selepas solat Maghrib tadi.

“Emm... daripada Nu’man bin Basyir r.a., Nabi s.a.w. bersabda: ‘Kemesraan, kasih sayang dan saling berbelas kasihan antara orang Mukmin diibaratkan seperti satu jasad, apabila satu anggota mengadu kesakitan, seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar.’[2] lancar Wasim membacakan hadis tersebut. Dia yang juga merupakan antara pelajar yang cemerlang dalam kelas al-QudS semester 5 sememangnya diketahui akan kegemarannya menghafal hadis-hadis nabi s.a.w.

“Subhanallah, ana doakan agar ukhwah antara kita bertepatan seperti mana sabda nabi yang enta baca tadi Wasim,” kata Afiq.

“Insya Allah....” Wasim tersenyum membalas.

Kedinginan malam itu dirasai oleh mereka semua. Mereka seiring berjalan kaki pulang ke asrama. Laluan yang disediakan merentangi padang bola dan berdekatan dengan masjid itu merupakan laluan biasa bagi siswa-siswa yang hendak pulang ke asrama masing-masing.

Masjid al-Azhar masih lagi terang benderang disinari cahaya. Kedengaran suara seperti dengungan kawanan lebah dari dalamnya. Menjadi kebiasaan bagi para pelajar di sini terutamanya pelajar dari Jabatan Tahfiz dan Qiraat duduk beriktikaf di masjid hingga tengah malam. Mereka perlu mengulang hafazan mereka kerana jadual tasmi’ mereka akan bermula pada jam 8 pagi setiap hari.

“Hmm... Talhah mesti tengah menghafaz masa ni,” Afiq berkata di dalam hati sambil matanya merenung dua orang pelajar yang sedang membaca al-Quran di dalam masjid. Talhah, mahasiswa bidang Tahfiz dan Qiraat, belajar dalam semester yang sama dengannya. Selepas solat Isyak tadi dia sempat menegur sahabatnya itu yang tergesa-gesa keluar dari masjid. Katanya dia telah berjanji dengan rakan sekelasnya untuk mengulang bersama. Esok mereka ada ujian mengejut. Afiq tersenyum sendiri.

Di tengah jalan mereka bertembung dengan dua pelajar yang datang dari arah asrama. Afiq memberi salam kepada pelajar yang memakai t-shirt berwarna hitam dan berkaca mata namun tidak diendahkan. Dia perasan yang keduanya memakai earphone di telinga masing-masing. Kedua-duanya berpura-pura tak perasan kehadiran mereka yang ramai di situ.

“Khusyuk sungguh mereka mendengar lagu, mungkin sebab itulah mereka tak dengar,” Afiq memujuk hatinya. Sudah kerap kali dia bertembung dengan pelajar seperti itu. Apabila diberi salam mereka berpura-pura tidak dengar atau sibuk bersembang dengan rakan sebelah. Kerap juga Afiq mendengar sungutan dari rakan-rakannya mengenai perkara tersebut, namun dia hanya mendiamkan diri sambil meminta agar sahabat-sahabatnya memaafkan sahaja mereka.

“Emm... tunggu kejap. Ana nak tanya sikit. Tadi antum semua perasaan tak ada pertambahan di kalangan akhawat?” pertanyaan Furqan menghentikan langkah mereka semua.

Wasim dan Wan Muhaimin saling berpandangan. Memang benar, bilangan akhawat tadi bertambah seorang. Mereka tak pernah pun nampak kelibat siswi tersebut dalam jabatan al-QudS. Entah dari kos apa dan semester berapa mereka tidak tahu. Biarpun ahli usrah mereka itu kebanyakkannya dari bidang yang sama, diploma al-QudS, namun penglibatan siswa atau siswi dari bidang lain amat dialu-alukan.

“Masakan kami tak perasan Furqan, akhawat tu seorang sahaja yang memakai purdah. Afiq, enta tahu siapa dia?” Wasim menoleh kepada Afiq.

“Maaflah, ana tak tahu la Wasim. Pihak muslimah tak maklumkan pun pada ana. Mungkin mereka terlupa kot. Takpalah, ana akan tanya pada Hanani nanti.”

Serentak mereka semua menganggukkan kepala. Seperti telah dirancang perbuatan mereka itu. Afiq tersenyum melihat mereka. Entah apa yang bermain di fikiran mereka ketika itu. Mereka kembali menyambung langkah yang terhenti tadi.

“Satu lagi, Afiq, enta tahu ke mana Hakim? Kenapa dia tak hadir usrah malam ini ya? Dia tak sihat ke?” tanya Wan Muhaimin.

“Astaghfirullahal’azim...ana terlupa nak maklumkan tadi. Dr. Fahim pelawa Hakim untuk temankan dia berceramah di Masjid Nilai. Dia minta maaf kerana tak dapat hadir usrah dan dia sampaikan salam pada antum semua, dengan lafaz ‘Assalamu’alaikum’.”

“Wa’alaikumsalam.... “ jawab mereka semua serentak.

***************************************************************

Kipas siling ligat berpusing menyejukkan ahli bilik yang sedang termenung di meja belajar. Bilik tersebut hanya memuatkan dua orang pelajar sahaja. Berbeza dengan bilik sebelah yang memuatkan 4 orang ahli bilik.

Ketika pendaftaran asrama baru di awal semester, Hakim mengajaknya untuk duduk sebilik bersama. Mereka memilih bilik jenis C kerana lebih privasi. Pihak asrama menyediakan empat jenis bilik di bangunan asrama yang baru sahaja siap ini. Bilik jenis A dan B adalah bilik yang bercirikan ala apartment, manakala bilik jenis C dan D bercirikan seperti asrama. Yang membezakan antara A, B, C dan D ini adalah bilangan ahli bilik dan kemudahan di dalamnya.

Afiq membelek-belek buku teks Manahij al-Muhaddisin. Malam itu moodnya entah pergi ke mana. Tidak seperti kebiasaan, dia akan cuba untuk memahami tajuk yang akan dipelajarinya dalam kelas esok terlebih dahulu.

‘Beep.............’ bunyi mesej daripada telefon bimbit menyedarkan dirinya dari lamunan. “Mesej dari Hakim...” hatinya berbisik.

‘Salam ‘alaik Afiq, ana tak balik malam ni tau. Dr. Fahim jemput tidur rumah dia. Esok jumpa enta dalam kelas Ustazah Ruqaiyah ok. Tolong bawakkan buku ana sekali esok. TQ’.


“Insya Allah...” ujar Afiq di dalam hati.

Astaghfirullahal’azim...Ya Allah berikan aku kekuatan untuk berhadapan dengan cabaran dan ujian perasaan dari diri-Mu ini... Afiq kembali menatap buku teks dihadapannya. Dia tidak boleh membiarkan perasaan malas menguasai dirinya.

“Hei Afiq Hamzi, jangan termenung lagi. Kata nak sambung belajar di Madinah nanti. Belajarlah!” Afiq memarahi dirinya sendiri. Begitulah tabiatnya setiap kali dirinya terlalai atau terleka.

***************************************************************

[2] Riwayat Bukhari dan Muslim.


bersambung....
klik siri 1

9/28/2010

Bicara Seorang Pemuda


Siri 1.....

“Enta ada masalah ke Fiq? Termenung je ana tengok dari tadi.” tegur Hakim, teman sebilik Afiq.

Hakim cukup masak dengan perangai sahabatnya yang seorang ini. Afiq adalah seorang sahabat yang ceria dan amat mudah untuk berkawan dengannya. Hampir 5 semester mereka menjadi teman sebilik, menjadikan hubungan mereka amat akrab.

Namun kebelakangan ini kelakuan Afiq amat berbeza, daripada seorang yang ceria bertukar menjadi pendiam dan sering berseorangan. Ia berbeza daripada biasa. Perubahan ini amat membimbangkan Hakim.

“Muhammad Afiq Hamzi! Enta dengar tak apa yang ana cakapkan ni?” jerkah Hakim bila melihat Afiq dari tadi membisu.

“Ya ana dengar... enta ni bisinglah Kim. Tak boleh tengok orang senang langsung,” Afiq menjawab dengan nada bersahaja.

Hakim tersenyum melihat sahabatnya.

“Kim, cuba enta tengok kat luar ni. Cantik tak?” Afiq berbicara tanpa menoleh kepada sahabatnya.

Hakim memandang ke luar, terpana melihat keindahan masjid al-Azhar yang berlatar belakangkan cahaya senja mentari yang sedang berundur diri. Sang lelayang terbang ke sana sini mencari sarang mereka di pohon-pohon rimbun yang berbaris di sepanjang jalan menghiasi kawasan asrama blok Abu Bakar as-Siddiq. Kelihatan beberapa orang siswa berpusu-pusu pulang asrama. Mungkin baru selesai kelas.

Sememangnya daripada tingkap bilik mereka itu, mereka boleh melihat pemandangan masjid dengan jelas. Antara kawasan asrama mereka dengan masjid hanya dipisahkan oleh sebuah padang bola yang luas dan dipotong kemas rerumputnya. Dan satu kelebihan juga bagi mereka kerana laungan azan juga jelas dapat didengari dari bilik.

“Hmm...cantik. Kenapa?” mata Hakim tidak berkelip melihat senja yang indah itu.

“Saja tanya. Sesekali nak juga menikmati panorama indah ni dengan kawan baik ana ni,” Afiq tersengih. Hakim menggelengkan kepalanya. Ada-ada sahaja dia ni.

“Dahla tu Fiq, dah maghrib ni. Enta nak jema’ah kat masjid ke atau kat bilik?” Afiq masih lagi memandang ke luar. Dibiarkan Hakim berdiri menanti jawapan darinya.

Hakim tersenyum memandang sahabatnya itu, “Ana pergi mandi dulu la Fiq, jangan lama sangat termenung tu, ana nak jemaah kat masjid tau. Ana tahu 7.10 kita gerak.”


***************************************************************

Peristiwa yang terjadi beberapa hari yang lalu tidak dapat dilupakan oleh Afiq. Selepas kelas ‘Ulum Hadis, dia bergegas mengejar Ustaz Farouk yang terus berjalan laju keluar dari kelas menuju ke biliknya. Blok Akademi Islam kelihatan sibuk dengan para pelajar yang ke sana sini mencari kelas masing-masing. Namun suasana tersebut tidak langsung mengganggu ketenangan pagi itu.

Ustaz Farouk telah pun membelok ke arah laluan bilik pensyarah. Afiq kagum dengan kepantasan Ustaz Farouk berjalan. Langkah pensyarahnya yang pantas tersebut mengingatkan Afiq pada satu hadis yang baru dibacanya dalam terjemahan kitab Syamail Muhammad yang asalnya ditulis oleh Imam at-Tirmidzi, “Abu Hurairah r.a. meriwayatkan: “...Saya tidak pernah melihat seseorang yang berjalan lebih cepat daripada Rasulullah s.a.w., seolah-olah bumi dilipat untuk beliau. Sungguh, kami harus memaksa diri (untuk berjalan seperti itu) dan beliau tidak pernah peduli (terhadap kami).” [1]

Afiq segera melajukan langkahnya tanpa mempedulikan orang disekitarnya. Ada beberapa perkara yang dia kurang faham mengenai subjek ‘Ulum Hadis tersebut, lebih-lebih lagi mengenai hukum penggunaan hadis dhaif dan maudu’ (palsu) .

“Aku mesti cepat. Takut Ustaz ada kelas lagi selepas ini,” bisik hatinya.

Malang tidak berbau, kerana terlampau gopoh, Afiq terlanggar dengan seorang siswi yang tiba-tiba muncul dari selekoh menuju ke bilik pensyarah. Siswi tersebut terjelepok jatuh ke lantai. Afiq terduduk dan terpinga seketika, terperanjat dengan insiden tersebut.

Bagaikan waktu terhenti seketika. Masing-masing terkedu tidak berbicara. Terasa bagaikan pagi itu sunyi seketika, gugup dengan kejadian yang baru berlaku.

“Astaghfirullahal’azim... maafkan ana. Enti tak apa-apa?” Afiq yang seakan baru tersedar dari lena bertanya sambil membantu siswi tersebut mengutip buku dan kertas-kertasnya yang berterbangan.

“Ini buku dan kertas enti. Maafkan ana,” Afiq menghulurkan kepada siswi tersebut. Afiq memaniskan wajahnya senyuman. Dia berharap agar kesalahannya itu dapat dimaafkan. Dia terpempam seketika apabila terpandang wajah siswi tersebut.

“Subhanallah... cantiknya,” bisik hatinya.

Perasan yang Afiq sedang merenung wajahnya, siswi tersebut segera memakai kembali purdahnya yang terbuka. Tanpa berkata apa-apa, dia terus pergi meninggalkan Afiq yang masih lagi tercegat berdiri. Afiq hanya memandang siswi tersebut sehingga hilang bayangnya.

“Lailahaillallah..... Afiq! Kenapa tak siap lagi ni? Dah azan dah tu, pergi siap cepat.” Sergahan Hakim memecah khayalannya. Hakim mengeleng kepala melihat telatah sahabatnya itu.

Astaghfirullahal’azim.... aku berkhayal lagi. Hish, tak boleh jadi ni. Segera Afiq bangun menyiapkan diri untuk ke masjid.

“Tak payah mandilah, bukan ke manapun tadi” bisik hatinya sambil menyarung jubah putih yang siap tergantung di almarinya.


***************************************************************
bersambung....

[1] Riwayat Tirmidzi, Ahmad, Abu Syaikh dan Ibnu Sa’ad.