RSS
Facebook
Twitter

Showing posts with label Kongsi Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Kongsi Ilmu. Show all posts

8/06/2012

Iftirasy & Tawarruk


“Seorang imam, berbadan besar sedang memimpin jemaah solatnya dalam rakaat terakhir. Dan ketika Tahiyyat Akhir, dilihat imam tersebut melaksanakan duduk Tahiyyat Akhirnya dengan meletakkan punggungnya di atas kaki kiri tidak seperti orang lain yang meletakkan punggung di atas tanah. Lalu dilemparkan pertanyaan kepada imam tersebut. Namun begitu, jawapan imam tersebut tidak memuaskan hatinya.”

Seseorang telah bertanya kepada D.K. dengan memberikan situasi seperti yang disebutkan tadi. Ya, sebagai seorang yang juga berbadan besar dan sihat, kami mengalami kesukaran untuk menyempurnakan duduk ketika Tahiyyat Akhir dengan meletakkan punggung di atas tanah.

Pertama, apabila kami melakukan seperti itu, kami akan cepat mengah, tambahan pula untuk menampung berat badan (kerana badan akan senget ke kiri dan jika tidak tahan akan merebah), ada sesetengah makmum badan besar yang D.K. perhatikan sehingga menggigil menahannya.


Duduk Iftirasy ( إفتراش ) & duduk Tawarruk ( تورك )

Terdapat dua jenis duduk yang menjadi rukun di dalam solat. Yang pertama duduk antara dua sujud dan yang kedua duduk akhir (Tahiyyat Akhir).

Duduk Tahiyyat Awal tidak termasuk dalam rukun solat, namun begitu jika meninggalkannya, perlu dilakukan sujud sahwi ( سجود سحو ) [1].

Sheikh Nasiruddin al-Albani menyebut di dalam bukunya “ Sifat Shalat al-Nabi” pada bab “Tasyahhud Awal”:

“Kemudian nabi SAW duduk Iftirasy sepertimana yang dilakukan ketika duduk di antara dua sujud, pada rakaat kedua seperti solat subuh dan begitu juga duduk pada Tahiyyat Awal bagi solat 3 rakaat solat maghrib atau 4 rakaat seperti solat zohor.”[2]

Berdasarkan kata-kata sheikh, menunjukkan baginda Rasulullah SAW melakukan duduk Iftirasy pada rakaat terakhir bagi solat 2 rakaat, dan ketika Tahiyyat Awal bagi solat 3 dan 4 rakaat serta duduk antara dua sujud.

Persoalannya, bagaimana dengan Tahiyyat Akhir bagi solat 3 dan 4 rakaat? Apa yang dimaksudkan dengan duduk Iftirasy?


Apa dia duduk Iftirasy?

عن عائشة قالت: (( وكان يفرش رجله اليسرى و ينصب رجله اليمنى))

Maksudnya:  Aisyah RA telah berkata: “ Beralaskan kaki kiri dan menegakkan kaki kanan”. [3]

Duduk Iftirasy; duduk atas kaki sebelah kiri (gambar hiasan)

Imam al-Syirbini berkata:  “Disunatkan pada duduk Tahiyyat Awal dengan duduk Iftirasy, duduk di atas buku lali kirinya dan menegakkan kaki kanannya dengan meletakkan pada hujung jari kakinya.” [4]

Sama seperti yang disebutkan oleh pengarang kitab Al-Fiqh al-Manhaji [5].

Namun begitu di dalam hadis Abu Humayd al-Saa’adi RA:

أنا كنت أحفظكم لصلاة رسول الله ... وفيه: فإذا جلس في الركعتين جلس على رجله يسرى، ونصب اليمنى، وإذا جلس في الركعة الاخرة قدم رجله اليسرى، ونصب اليمنى، وقعد على مقعدته. [6].ـ

Maksudnya: Aku merupakan orang yang paling memerhati solat Rasulullah SAW... Dalam hadis tersebut beliau menceritakan: Apabila Rasulullah SAW duduk pada dua rakaat pertama, baginda SAW duduk di atas kaki kirinya dan mendirikan kaki kanan. Apabila baginda SAW duduk pada rakaat akhir, baginda SAW menghulurkan kaki kirinya dan mendirikan kaki kanan sambil duduk di atas papan punggungnya [7].

Berdasarkan hadis Abu Humayd, baginda Rasulullah SAW duduk Iftirasy pada dua rakaat pertama namun tidak pada tahiyyat akhir. Kerana pada tahiyyat akhir, baginda SAW telah duduk di atas punggungnya bukan di atas buku lali kirinya.

Kaedah kedua yang baginda SAW lakukan itu (duduk di atas punggung) adalah duduk Tawarruk.

Tawarruk adalah sama seperti Iftirasy, akan tetapi dikeluarkan kaki kirinya ke sebelah kaki kanannya dan mencantumkan punggungnya ke bumi [8].

Duduk Tawarruk; punggung cecah ke lantai (gambar hiasan)
Kedua-duanya adalah sunat

Terdapat banyak lagi hadis-hadis baginda Rasulullah SAW yang menyebut mengenai kaedah duduk dalam solat. Namun begitu setelah D.K. teliti, D.K. dapati perbahasan mengenai tajuk ini terletak di bawah bab “Perkara sunat dalam solat”.

Bahkan pengarang Al-Mughni al-Muhtaj, pengarang Shahih Fiqh al-Sunnah dan pengarang Al-Fiqh al-Manhaji, kesemuanya meletakkan perbincangan mengenai duduk Iftirasy dan duduk Tawarruk ini di dalam bab sunat dalam solat.

Merujuk kepada situasi yang dilontarkan kepada D.K. awal tadi, D.K. berpendapat, tiada masalah jika imam tersebut memilih untuk duduk Iftirasy, namun begitu dia perlu mempunyai usaha untuk duduk Tawarruk dengan sebaik mungkin. Berdasarkan kenyataan sheikh al-Albani yang menyatakan baginda Rasulullah SAW hanya melakukan Iftirasy pada duduk rakaat akhir dalam solat 2 rakaat sahaja, tidak pada solat 3 dan 4 rakaat.

Sheikh Masyhur berkata: “Tiada masalah sama ada mahu melakukannya atau meninggalkannya, akan tetapi beramal dengan sunnah itu lebih baik” [9].

Boleh jadikan perkara ini sebagai satu motivasi untuk menjadi lebih sihat dan mendapat tubuh yang cergas. Namun begitu perlu diingat, terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan berkaitan dengan duduk Tawarruk.

Sheikh Masyhur menambah, “dibolehkan untuk duduk Tawarruk pada Tahiyyat Akhir bagi solat 3 dan 4 rakaat sekiranya perbuatan tersebut tidak menyempitkan orang yang sedang bersolat di sebelah[10].

Ketika melakukan penelitian ini, D.K. hanya menggunakan beberapa buah kitab sahaja sebagai rujukan. Antaranya:

1. Al-Mughni al-Muhtaj karangan Imam Syamsuddin al-Syirbini.
2. Al-Fiqh al-Manhaji karangan bersama Dr. Mustafa Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji.
3. Sifat Shalat al-Nabi karangan Sheikh Nasiruddin al-Albani.
4. Shahih Fiqh al-Sunnah karangan Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim.
5. Al-Qaul al-Mubin fi al-Akhta’ al-Musollin karangan Masyhur Hassan Salman
6. Kitab Fikah Mazhab Syafie diterjemah oleh asatizah di Malaysia (rujukan untuk terjemahan).

Dengan kata lain, jika sahabat-sahabat yang membaca mempunyai fakta yang lebih jelas sama ada berbentuk sokongan mahupun teguran dari sumber-sumber yang lain, kongsikan bersama dengan D.K. untuk manfaat bersama.

Makmum yang bertanya tadi tidak berpuas hati apabila imam itu memberi alasan, jika dia duduk Tawarruk, maka tubuh akan beralih ke kiri dan dia tidak dapat pahala sunat mengadap kiblat.

Jangan salah faham, mengadap kiblat bukanlah perkara yang sunat dalam solat, akan tetapi ia merupakan salah satu syarat sah dalam solat. Maknanya jika kita tidak mengadap kiblat, maka tidak sah hukumnya solat tersebut!

Wallahu’alam...


Rujukan:

[1] Al-Mughni al-Muhtaj, Imam Syamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Juz 1, Dar al-Fayha’, halaman 570.

[2] Sifat Shalat al-Nabi, Muhammad Nasiruddin al-Albani, Maktabah al-Ma’arif Li al-Nasyr Wa Tauzi’, halaman 136.

[3] Hadis riwayat Muslim (498) dan Abu Daud (768). Rujuk Shahih Fiqh al-Sunnah, Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim, Maktabah Tawfiqiyyah, Juz 1, halaman 346.

[4] Al-Mughni al-Muhtaj, Op. Cit., halaman 471 & 472.

[5] Al-Fiqh al-Manhaji, Dr. Mustafa Khin; Dr. Mustafa al-Bugha; ‘Ali al-Syarbaji, Dar al-Qalam, Juz 1, halaman 155.

[6] Hadis riwayat Bukhari (794). Rujuk Ibid., halaman 155.

[7] Kita Fikah Mazhab Syafie, Pustaka Salam, Juz 1, halaman 187.

[8] Al-Mughni al-Muhtaj, Op. Cit., halaman 472.

[9] Al-Qaul al-Mubin fi al-Akhta’ al-Musollin, Masyhur Hassan Salman, Dar Ibnu Qayyim, halaman 160.

[10] Ibid., halaman 160.

1/12/2011

Solat Mengawal Emosi



Mu'tah, Jordan.
Pagi, 0938
12/1/2011

adik Nurul Dahyatul Fazlinda

Hatiku sayu, seiring dengan gembira dan kagum apabila melihat ketabahan adik Nurul Dahyatul Fazlinda, mangsa daripada keterlanjuran perbuatan ayahnya yang menyimbah asid ke mukanya sehingga mengakibatkan kecacatan kekal pada wajahnya.

Allahhuakbar....

Melihat senyumnya, bagiku adalah tanda dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan dunia nyata. Ya Allah, berikan ketabahan kepada adik ini..... Amin.

Lebih mengharukan, dia dengan mudah memaafkan ayahnya. Beliau yang sememangnya rapat dengan ayahnya itu, apabila ditanya mengenai peristiwa itu berkata:

“Ayah tak sengaja buat (mencurah asid), cuma Lin yang tak bernasib baik sebab Lin ada masa ayah bergaduh dengan ibu."

Allahhuakbar.... Sahabat sekalian, doakan agar Allah kurniakan ketabahan dan kesabaran kepada adik ini dalam menempuh realiti kehidupan nanti....


Keluarga & Tanggungjawab

Apabila emosi menguasai diri, akal manusia itu akan mati, hingga dia sedar diri, ketika itu penyesalan tidak berguna lagi.

Di dalam hadis yang kedua dari kitab Matan Arba'ien karangan Imam Nawawi menceritakan mengenai pertemuan dan sesi soal jawab antara baginda Rasulullah s.a.w. dengan malaikat Jibril yang datang dalam bentuk seorang lelaki.

Ada beberapa perkara yang ditanya oleh malaikat Jibril, diantaranya mengenai Iman, Islam, Ihsan dan tanda-tanda hari Kiamat.

Yang aku mahu sentuh di sini adalah mengenai Ihsan. Apa dia ihsan?

Ihsan adalah apabila kamu beribadat, seolah-olah kamu melihat Allah, dan andai kamu tidak dapat melihat-Nya, sesungguhnya Allah melihat kamu. Ihsan juga dikaitkan dengan sifat kasih dan sayang.

Sahabat sekalian, aku suka untuk berkongsi dengan kalian, satu kenyataan untuk sama-sama kita fikirkan. Ia terhasil selepas aku melihat, betapa banyak kes-kes yang terpapar di akhbar-akhbar yang berkaitan dengan cinta dan rumah tangga serta pengabaian tanggungjawab.

"Jangan dilihat alam rumah tangga itu, sekadar pada sudut kebahagiaan. Tetapi renungilah juga ia dari sudut cabaran, dugaan dan kecelakaan yang bakal hadir..."

Apakah masih wujud lafaz cinta dan sayang, apabila Allah menguji kita dengan tanggungjawab dalam rumah tangga?

Lihat sahaja kes-kes yang berkaitan dengan rumah tangga. Gaduh antara suami isteri, sehingga melibatkan anak-anak, dan kadangkala sehingga menyebabkan kecederaan dan kemalangan jiwa. Semua gara-gara apa?

"Apabila emosi menguasai diri, akal manusia itu akan mati, hingga dia sedar diri, ketika itu penyesalan tidak berguna lagi."

Mari kita sama-sama hayati definisi Ihsan itu dengan sedalamnya. Sekalipun dalam tanggungjawab kita itu telah hilang rasa belas kasih dan sayang, maka ingatlah definisi major Ihsan, iaitu Allah melihat kita, walaupun kita tidak dapat merasai yang kita melihat DIA.

Menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga mereka (ahli keluarga, rakan-rakan dan lain-lain) daripada Munkar, dan berusaha mendekatkan mereka dengan Ma'ruf (kebaikan). Kerana Yang Maha Melihat tidak pernah alpa memerhatikan hamba-hamba-Nya.


Antara Solat & Talaq

Di dalam al-Quran, Allah ada berfirman mengenai masalah emosional dalam rumah tangga dan penyelesaiannya.

Teringat penjelasan Dr Jamal Abu Rumman, pensyarah di Jami'ah Mu'tah. Dia mengajar aku dalam subjek Ulum al-Quran. Ketika dalam bab 'Ayat Munasabah', kami diberikan contoh 2 ayat yang dipetik dari surah al-Baqarah.

Firman Allah s.w.t. :

[klik pada gambar untuk lebih jelas]

surah al-Baqarah, ayat 238

Ayat 237 surah al-Baqarah ini menceritakan perihal Talaq. Manakala ayat 238 pula menceritakan mengenai pelihara solat. Persoalannya, apa kaitan antara keduanya itu?

Dr Jamal tersenyum apabila melihat kami terpinga-pinga mencari jawapan. Dia menceritakan kepada kami, bahawa Talaq itu dapat dihindar dengan solat....

Aku suka untuk mengaitkan perihal talaq tu dengan pergaduhan atau masalah-masalah di dalam rumah tangga. Cuba sahabat semua bayangkan, sepasang suami isteri sedang bergaduh sakan. Pergaduhan itu berlangsung dari pagi hingga ke petang. Berlanjutan mengatasi 2 waktu solat Zohor & Asar. Akhirnya, kesimpulan cerita, Isteri di talaq bukan setakat satu, tetapi tiga. Na'uzubillahhi min zalik.....

Andai kata, sedang suami isteri ini bergaduh, tiba-tiba waktu Zohor masuk, dan kemudian si suami pun kata, "Kejap, kita sambung gaduh lepas solat. Jom solat dulu." Apa yang kalian rasa akan terjadi selepas itu?

Adakah mereka akan sambung bergaduh? Lagi-lagi kalau solat itu dilaksanakan berjemaah pula antara mereka. Suami menjadi imam, dan isteri menjadi makmum...


Solat Untuk Meraih Tenang

Di dalam sebuah hadis riwayat daripada Abu Daud, ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. berpesan, seandainya kita marah, maka berwuduklah. Membaca ta'awuz (A'uzubillahhi mina syaitonnirrajim), dan mengubah posisi tubuh kita.

Solat merangkumi segalanya yang diperlukan untuk meredakan marah. Kita perlu mengambil wuduk, dan membaca Ta'awuz sebelum mengambil wuduk, dan apabila hendak mengambil wuduk, kita perlu bangun dan bergerak menuju ke tempat wuduk (mengubah kedudukan posisi kita). Subhanallah... Maha Suci Allah. Itulah kehebatan mukjizat syariat solat yang dikurniakan kepada kita.

Allah s.w.t. telah berfirman di dalam al-Quran:



[klik pada gambar untuk lebih jelas]


Pada pemerhatian saya, mereka yang terjebak dalam kancah yang munkar, adalah mereka yang telah kalah dengan nafsu. Dan nafsu telah mengawal emosi mereka, sehingga mereka melupakan akal mereka (yang mana akal membawa kepada iman).

Terlampau marah sehingga mencedera dan membunuh manusia. Terlampau cinta hingga menggadai maruah. Terlampau gembira sehingga menyebabkan kecederaan (seronok ketika driving, leka sampai kemalangan). Dan sebagainya....

Kesimpulannya, solat adalah asas dalam proses untuk kita mengawal daripada isu-isu seperti yang berlaku ke atas adik Nurul Dahyatul Fazlinda berulang kembali.

Mulakan dengan pentarbiyahan dalam diri kita. Kemudian dikongsi dengan ahli keluarga, sanak saudara dan seterusnya... Mudah-mudahan, dengan istiqamahnya kita dan mereka, dapat menghasilkan suasana masyarakat yang tenang dan senang untuk generasi akan datang....





1/01/2011

Tsamud, Si Pengukir Gunung



Monumen sejarah berbentuk tugu di Petra....



Qasasul Quran ( قصص القران ) yang bermaksud kisah-kisah dalam al-Quran merupakan salah satu mukjizat yang terdapat di dalam al-Quran. Ia telah merekod pelbagai kisah yang menakjubkan sehingga telah membuka mata hati ramai manusia yang mengkajinya.

Tidak terlafaz walaupun sepatah dari mulut musuh Allah yang mengkaji al-Quran untuk mengatakan bahawa al-Quran merupakan ciptaan idea dari manusia, bukan dari langit (iaitu Tuhan).

Seperti mana yang terjadi ke atas diri seorang pakar bedah dan autopsi di Perancis,
Prof. Dr. Maurice Bucaille. Boleh rujuk [ di sini ].

Dan di sini, DK nak kongsi pengalam DK berada di bumi Jordan yang penuh dengan kesan sejarah. Walaupun DK kata tak nak update dalam minggu exam nih, tetapi, kemahuan dalam diri yang mengganas telah meruntuhkan benteng ego DK dari mengupdate blog ni. Hahaha...


Nabi Saleh a.s. & Kaum Tsamud...

Walau apapun, sebelum DK kongsi pengalaman DK, DK nak cerita sikit tentang kisah Nabi Saleh a.s. dan kaumnya, kaum Tsamud. Kalian pernah dengar tentang kisah seorang nabi yang diberikan mukjizat berupa seekor unta betina yang besar yang muncul di antara dua bukit? Itulah kisah Nabi Saleh a.s.

Baginda merupakan seorang nabi yang hidup di dalam sebuah tamadun manusia yang amat hebat. Tamadun kaum Tsamud ini merupakan warisan daripada kaum 'Ad (kaum Nabi Hud) yang mana telah dihancurkan oleh Allah s.w.t. sebelum itu oleh sebab kekufuran mereka.

Nak cerita betapa hebatnya tamadun Kaum Tsamud ni, al-Quran telah merakamkan bahawa mereka merupakan sebuah kaum yang mempunyai kemahiran memahat gunung-ganang untuk dijadikan kediaman mereka. Menakjubkan bukan? Bayangkan zaman sekarang ni, walaupun kita mempunyai teknologi yang hebat, tetapi kita hanya mampu tebuk gunung-ganang untuk buat highway atau terowong laluan kereta api sahaja. Atau ada juga orang yang tebuk gunung buat rumah? (kalau ada bagitau DK ye..)

Tetapi, malang sekali, kaum Tsamud yang fully adalah orang Yahudi ini (kebanyakkan para Rasul diutuskan kepada Bani Israel aka Yahudi) tidak mengambil iktibar atas apa yang berlaku pada kaum 'Ad yang dihancurkan Allah dengan tiupan angin ribut. Mereka kufur kepada Allah dan menjadikan patung-patung ciptaan mereka sebagai tuhan.

Dipendekkan cerita, Allah utuskan Nabi Saleh a.s. untuk menyeru mereka kembali kepada fitrah bertuhan, iaitu kepada Allah azzawajal. Namun mereka enggan, bahkan mahu membunuh baginda. Sehingga Allah keluarkan seekor Unta betina yang muncul dari celah batu yang besar sebagai tanda kebenaran (mukjizat) risalah yang dibawa oleh baginda, Nabi Saleh a.s.


Kenapa unta besar?

Yang menjadi persoalan, kenapa Allah muncul unta yang besar? Well, DK sebenarnya masih tak jumpa dalam pembacaan DK, barangkali ada pembaca yang jumpa jawapan dia, sila bagitau pada DK. Kita kongsi sama-sama.

Tetapi, hipotesis awal DK, secara logiknya, Unta merupakan binatang ternakan yang paling mahal dikalangan binatang yang boleh dijadikan korban. Sebagai contoh, bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. memberi 20 ekor unta muda kepada Ummul Mukminin, Khadijah binti Khuwailid sebagai mahar perkahwinan mereka.

Untuk makluman sahabat sekalian, harga seekor unta muda amat tinggi. Boleh semak kat [ sini ] untuk tahu perihal unta (bahtera padang pasir). Harganya adalah sekitar RM 7000. Maknanya, 20 ekor x RM 7000 = Rm 140,000!!!! Subhanallah, Rasulullah s.a.w. merupakan seorang usahawan dan jutawan muda yang hebat walaupun umurnya baru sahaja 25 tahun. Satu motivasi untuk kita.

Ini menunjukkan, unta merupakan satu simbol kekayaan. Sehinggakan timbul kata-kata yang menyebut, unta adalah emas yang hidup!

Allah Maha Bijaksana...
Masih tidak menjawab persoalan di atas sebenarnya. Huhuhu...

Sebelum DK bagi jawapan (hipotesis DK), biar kalian tahu dulu, apa dia mukjizat dan konsep mukjizat diturunkan kepada para Rasulullah s.a.w.

Mukjizat adalah perkara yang luar biasa yang dikurniakan kepada para Rasul sebagai bukti kebenaran risalah yang dibawa oleh mereka. Disamping untuk melemahkan musuh-musuh mereka. Kerana kalimah mukjizat ( معججزة ) berasal daripada perkatan 'ajaza ( عجز ) yang bermaksud lemah. Jadi, mukjizat adalah sesuatu yang melemahkan manusia (mereka yang menolak kebenaran risalah Rasulullah s.a.w.).

Dan konsep mukjizat yang diturunkan adalah berkait rapat dengan corak pemikiran musuh-musuh para Rasul.

Sebagai contoh, baginda Nabi Musa a.s. dikurniakan mukjizat berupa Ular gergasi yang muncul selepas tongkat baginda dilontar, kerana di zaman baginda famous dengan sihir-sihir dari ahli sihir Fir'aun yang memunculkan ular-ular untuk membunuh Nabi Musa a.s.

Nabi Isa a.s. yang diberikan mukjizat boleh menyembuhkan penyakit dan menghidupkan orang mati. Ini kerana zaman baginda terkenal dengan ilmu perubatan. Dan seterusnya, mukjizat baginda Nabi Muhammad s.a.w. iaitu kitab agung, al-Quran. Diturunkan dengan susunan bahasa yang amat indah dan teragung.

Kerana, baginda Rasulullah s.a.w. diturunkan ditengah-tengah masyarakat arab jahiliah yang terkenal dengan kehebatan ilmu literature (bahasa arab) dan syair-syair mereka yang indah.

Nampak tak perkaitan mukjizat-mukjizat yang diturunkan tu?

Jadi, mengapa Allah berikan mukjizat kepada Nabi Saleh a.s. berupa seekor unta betina yang sehat dari celahan batu-bata yang besar?

Ini hipotesis saya:

Ini kerana, kaum Tsamud amat bangga dengan kekayaan tamadun mereka dan kemahiran mereka mengukir gunung-ganang yang pastinya berupa batu-bata yang keras. Lalu Allah keluarkan seekor unta betina yang sehat, yang mana kita dah bincang tadi (unta simbol kekayaan), menunjukkan kekayaan Allah Yang Maha Kaya, dan Allah keluarkan pula unta tersebut dari celahan batu-bata, sebagai satu cabaran kepada kemahiran mereka yang mampu mengukir dan memahat. Dengan kata lain, Allah mahu tunjukkan pada mereka bahawa DIA Maha Mampu membuat apa sahaja yang DIA mahu.

Dan akhirnya, kerana mereka (kaum Tsamud) tidak mampu berbuat apa, maka mereka telah membunuh unta betina tersebut, dan mempersendakan Nabi Saleh yang telah memberi peringatan kepada mereka tentang azab Allah azzawajalla... Maka, Allah turunkan kepada mereka azab berupa satu pekikan yang kuat sehingga menghancurkan semua harta dan hasil tangan mereka, bahkan telah mencabut nyawa mereka. Berakhirlah satu tamadun dunia yang hebat satu ketika dulu, kerana kekufuran mereka kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Kisah mereka ini telah dirakam dalam firman Allah s.w.t. seperti berikut:


klik pada gambar untuk lebih besar....

klik pada gambar untuk lebih besar....

Kesan Sejarah Tamadun Pemahat Gunung.....

Di sini, DK nak lampirkan gambar-gambar yang sempat DK rakamkan ketika lawatan DK ke Petra (dalam 4 jam perjalanan dari Mu'tah).

Di Petra kami terpegun melihat ukiran-ukiran yang ada, sehingga kami bertemu dengan Mahligai yang dikatakan istana. Subhanallah... menakjubkan.

Jadi, selamat menikmati gambar-gambar kehebatan tamadun tersebut yang menyerupai tamadun Kaum Tsamud. Ingat, yang MENYERUPAI tamadun kaum Tsamud.

Gambar diambil dengan kamera dari handphone jenama Nokia yang murah kepunyaan DK.


menuju ke Petra...


tiket masuk Petra, harga pelajar JD 1, harga pelawat biase JD 30

awal perjalan menuju ke kota Tamadun

awal-awal dah dihidangkan dengan ukiran bangunan yang menarik

bukti sistem perparitan telah wujud di zaman yang lampau...


ukiran tangga batu

ukiran tingkap di dinding batu

orang atau patung???

lantai bercorak kesan sejarah tamadun dulu

mahligai istana ukiran sejarah... menakjubkan kan

pandangan dari sisi...

ukiran bangunan lain, tanda kekayaan dan kehebatan tamadun ini

satu lagi bangunan yang mengkagumkan

Colosseum (diukir dari gunung)

Sebenarnya ada banyak lagi yang DK nak kongsikan... tapi, untuk setakat ini, cukuplah beberapa gambar yang DK kongsikan dengan sahabat semua.

Pesanan DK, kita boleh kagum dengan kesan sejarah, tapi jangan sampai kita lupa untuk membentuk kesan sejarah.

Sejarah sebagai ikhtibar, dan kisah kaum Tsamud, pengukir gunung yang hebat merupakan satu kisah kaum yang kaya raya, tetapi kufur dan akhirnya di azab Allah. Semoga kita tidak mencontohi mereka.

Ya Allah, jauhkan kami dari azab seksa-Mu, Ya Allah, Kau Yang Maha Kuasa......


10/23/2010

Kisah Zina Ibn Umar???



Entah kenapa malam ini saya tidak dapat melelapkan mata. Sudah berapa kali posisi tubuh disesuaikan mengikut rasa, tapi tetap tidak dapat membuat keputusan untuk mendapatkan posisi terbaik. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk mengembara di alam maya.

Facebook menjadi pilihan destinasi pengembaraan saya. Satu persatu facebook sahabat, saya belek. Ada yang meletakkan gambar kenangan kami di bumi Mu'tah ini sambil menge'tag' sahabat lain. saya tersenyum sendiri melihat gambar-gambar tersebut. Semoga Allah mengeratkan ukhwah antara kami.

Akhirnya jari saya memilih untuk melihat facebook milik Majlis Perwakilan Nuqaba (MPN) yang menjadi medan saya menimba pengalaman di KUIS dahulu. Seronok membaca komen-komen yang terdapat di wall mereka.

Sehingga ke satu komen, hati saya menjadi tak tentu arah. Segera saya klik pada komen tersebut. Tajuknya membuatkan saya tidak sabar untuk membacanya.

KISAH ZINA ANAK SAIDINA UMAR IBNU KHATTAB

Innalillahi wa inna ilaihi raji'un.....

Secara ringkasnya, kisah ini menunjukkan betapa tegasnya amirul mukminin, Umar al-Khattab r.a. dalam melaksanakan hukum hudud ke atas anaknya, Abu Syahmah kerana meminum arak dan melakukan zina. Na'uzubillahi min zalik....


Barangkali cerita ini masyhur, tapi di sini saya ingin meletakkan beberapa persoalan yang sepatutnya kita sedar ia adalah fakta yang tidak relevan dalam cerita tersebut. Persoalan-persoalan ini saya quote dari darulkautsar.net

Persoalan yang menjadi tanda tanya dalam cerita ini:

(1) Abu Syahmah itu adalah kuniah (nama samaran), bukannya nama sebenar. Riwayat cerita tersebut tidak menjelaskan apakah nama orang yang dikuniahkan dengan Abu Syahmah itu.

(2)
Sesiapa yang membaca kisah ini akan terasa kepadanya bahawa di zaman pemerintahan Sayyidina Umar, Madinah Rasulullah (s.a.w) adalah sebuah bandar yang tidak asing daripada arak. Kedai-kedai arak ada di mana-mana sahaja. Anak-anak sahabat-sahabat agung Rasulullah sendiri pun tidak terpelihara daripada arak yang merupakan punca kepada segala kekejian. Sesungguhnya ini adalah satu gambaran Khalifah Sayyidina Umar yang sungguh mengecewakan. Tidakkah saksi-saksi sejarah telah mengakui bahawa Khalifah Umar r.a. telah menghalau keluar orang-orang Yahudi daripada Tanah Arab di zaman pemerintahnya? Atau cerita ini juga merupakan salah satu mata rantai usaha-usaha orang-orang Yahudi yang bermaksud menonjol-nonjolkan kekurangan atau keburukan Khalifah Umar yang diadaka-adakan mereka sendiri?

(3)
Perbuatan keji yang dikatakan telah dilakukan oleh Abu Syahmah itu berlaku di dalam sebuah kebun Banu an-Najjar. Besar sekali kemungkinan bahawa arak itu diminumnya di kawasan yang berhampiran dengannya. Tetapi tahukah anda di mana terletaknya kawasan Banu an-Najjar itu? Sesungguhnya kawasan itu adalah kawasan Masjid Nabi (s.a.w) di mana ia merupakan tempat kediaman Banu an-Najjar sebelum mereka menganut Islam. Kediaman Abu Ayyub al-Ansari juga terletak di kawasan ini. Di kawasan itu dibangunkan Masjid Nabi bilamana baginda datang ke Madinah. Kisah ini semacam mahu membuktikan bahawa perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh Abu Syahmah di kawasan yang berhampiran dengan Masjid Nabi. Perkara seumpama ini hanya boleh dikatakan oleh musuh-musuh ketat Islam dan hanya boleh diterima oleh orang-orang Islam yang buta sejarah atau telah kebas akalnya kerana telah begitu banyak menerima suntikan-suntikan narkotik daripada musuh-musuh Islam.

Dan terdapat beberapa beberapa lagi persoalan yang perlu kita fikirkan dalam usaha untuk memastikan apakah cerita ini benar atau sebaliknya. kalian boleh rujuk di
Motif Tabarra Disebalik Hukuman Hudud Ke Atas Anak Khalifah Umar r.a.

Cerita ini telah diriwayatkan melalui beberapa cabang jalan periwayatan yang berbeza. dan ini juga perlu kita semak dengan hati-hati, apakah riwayatnya sahih atau tidak.

Mudah-mudahan dengan usaha yang kecil dapat menjelas kepada kita, sekaligus mengelakkan kita daripada tertipu dengan usaha-usaha musuh Islam yang cuba mencemarkan dan merosakkan sejarah kehebatan para sahabat Rasulullah s.a.w.

“Apabila ada orang fasik membawa berita kepadamu, maka telitilah perkataanya”
surah al-Hujurat: 6

wallahu'alam........

edisi lengkap cerita ini boleh di dapati dalam link yang sama
Motif Tabarra Disebalik Hukuman Hudud Ke Atas Anak Khalifah Umar r.a.

ps: saya dapati cerita ini di tag secara berleluasa di facebook. jadi saya minta agar kita sentiasa berwaspada. Ya Allah bantulah kami......

3/03/2010

Subhanallah!


Subhanallah, Maha Suci Allah, mengutuskan Muhammad bin Abdullah, Rasulullah sebagai contoh tauladan Ummah. Dialah pengajar, dialah pendidik. Mengajar kita tentang Islam. Mendidik kita menjadi muslim.

Seindah firman Yang Maha Kuasa:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (surah al-Anbiya’ : 70)

Baginda s.a.w. adalah rahmat bagi seluruh makhluk di alam ciptaan Yang Maha Esa. Peribadi baginda, keterampilan baginda, risalah yang dibawanya, semuanya menjadi mereka yang melihat, mendengar bahkan menghayati pastikan terpegun dan jatuh cinta.

Lihat bagaimana generasi para sahabat hasil didikan baginda s.a.w., mereka sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan Islam tercinta.

Keluar Yasir yang kisahnya dinyanyikan oleh kumpulan Hijjaz, dibunuh semua ahli keluarganya kecuali ‘Ammar yang ditemui dalam keadaan separa sedar kerana diseksa. Pengorbanan yang tiada tara ini adalah bukti didikan nabi s.a.w. sehingga mereka dengan sukarela memperjuangkan aqidah Islamiyyah yang terpatri di dalam hati mereka.

Mungkin ada di kalangan mereka yang memusuhi Islam akan menuduh bahawa Nabi s.a.w. menggunakan para sahabat sebagai benteng untuk menyelamatkan nyawanya. Kata mudahnya seperti baginda mementingkan diri sendiri. Na’uzubillah!

Sejarah membuktikan, bahawa para sahabat ini dengan sukarela membenarkan nyawa mereka menjadi galang ganti kepada nyawa baginda s.a.w.

Di dalam peperangan Uhud, ketika tentera Islam mendapat khabar bahawa baginda s.a.w. telah syahid, maka berlakulah dialog antara para sahabat.

Anas bin Nazhar telah berkata kepada para sahabat yang telah kelihatan tidak bermaya apabila mendengar berita tersebut, “Apa yang kalian tunggu?”

Mereka menjawab, “Rasulullah s.a.w. telah terbunuh,”

Anas menjawab, “Untuk apa lagi kalian hidup setelah baginda gugur? Mari kita menyusul baginda s.a.w.!”

Kemudian dia terus maju bertempur dan bertemu dengan Sa’ad bin Mu’adz, lalu beliau ditanya, “Wahai Abu Amir, mahu ke mana?”

Anas menjawab, “Wahai Sa’ad aku mencium wangian syurga dekat Uhud.” Kemudian dia pergi dan gugur sebagai syuhada.

Dan di dalam kisah yang lain, seorang sahabat yang sedang menunggu untuk dibunuh oleh kafir Quraisy, apabila ditanya apakah beliau sanggup mengganti Muhammad di tempat beliau? Apa jawabnya?

“Biarpun Muhammad ditusuk halus duri sekalipun tidak akan aku biarkan.”

Subhanallah!

Peristiwa-peristiwa ini hanyalah secebis di antara berpuluh-puluh bahkan lebih kisah perngorbanan dan kecintaan para sahabat untuk baginda Rasulullah s.a.w.

Dan ini juga menjadi bukti bahawa mereka melakukannya secara sukarela bukan dipaksa. Sukarela kerana cinta. Ibarat sepasang kekasih, yang sentiasa mahu hidup dan mati mereka bersama.

Inilah hasil pengajaran dan pendidikan madrasah Rasulullah s.a.w.

Bagaimana pula kita?

Kita telah tahu cara untuk mencintai baginda. Jadi mengapa masih meninggalkan amalan-amalan sunnah yang sahih terus daripada baginda? Mengapa masih kekalkan adat kebiasaan nenek moyang kita? Hanya atas alasan untuk menunjukkan kecintaan kita kepada baginda, kita berbuat sesuka hati kita.

JANGAN TERPEDAYA!

Ingat, kaum jahiliyyah dan kaum-kaum yang mengingkari risalah Allah dahulu adalah mereka yang tetap berkeras dengan hujah, “INILAH YANG TELAH KAMI LAKUKAN SEJAK DARIPADA NENEK MOYANG KAMI DAHULU!”

Ayuh kita lakukan perubahan. Kita sudah tahu, dan kita kini mahu. Jadi mengapa tidak kita pilih amalan yang sahih yang juga adalah sunnah sebagai jalan memenuhi kemahuan dan kecintaan kita kepada baginda? Fikir-fikirkanlah....


“Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek Kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?"
(surah al-A’araf: 28)

8/28/2009

Orang Muda & Luahannya...



“Daripada Ibnu Umar r.a., Nabi s.a.w. telah bersabda: “Kamu semua adalah pemimpin, dan kamu semua bertanggungjawab ke atas pimpinanmu.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Ternyata menjadi satu igauan ngeri kepada pemuda-pemuda kita apabila melahirkan keinginan untuk bernikah kepada ibubapa mereka. Umpamanya seperti kerisauan seekor anak singa yang nak makan pucuk ubi, takut mak dia marah sebab tak logik. Singa makan daging, bukan makan sayur, tak karnivor la...

Begitulah agaknya perumpaannya (bleh terima kot?), takut orang muda la ni bila kabo kat mak bapak die yang dia nak menikah... yela, dia kan muda lagi, so tak logik ah nak nikah.

“Hai, dah beso sangat ke diri tu? A,B,C pun tak khatam lagi,” kata mak Sham dengan sinisnya. Pening pale Sham, “Apa lak kene mengene Sham nak nikah ngan hapal A,B,C, ni mak? tok kadi tanye ke?”

“Ai, duit pun mintak daddy lagi dah ade hati nak nikah,” berdesing telinga Mamat bile sister die kata macam tu. Terasa macam dirinya dikunyah lumat bayangan sinis kakaknya.

“Ko bior betul Mal, ko nak bagi anak bini ko makan pe? Makan pasir?” ujar Sepul dengan selambernye sambil terkekek-kekek gelak ala spongebob (saje je pilih span kuning nie). Malik dengan muke yang tengah tahan marah pun blah sambil merungut dalam hati, “Kalau pasir tu boleh dimakan, apa salahnya....”

Inilah contoh-contoh kata-kata nasihat yang menghancurkan harapan hasil daripada pemerhatian (observation) aku terhadap masyarakat sekitar. Ade ke patut, tatkala pemuda-pemuda kita meluahkan rasa untuk bertanggungjawab, kite dengan mudahnya memandang hina mereka ni sekaligus mengebom hancur luapan harapan mereka tu.

Tensionnye nak kawin.....

Bukan mudah nak mencari mereka yang telah bersedia untuk bertanggungjawab masa ni, Tengok je kat luar tu (maksud aku masyarakat kita daa... bukan luar tingkap korang tu), macam-macam kes pasal mereka yang tidak bertanggungjawab menular. Dah macam kanser usus tahap kritikal dah... teruk merebak. Malas aku nak bagi example sebab terlampau banyak.

Jadi, bila ade orang muda, tak kira lah kawan kita ke, sepupu kita ke, atau anak sedare sepupu belah mak kita punya jiran nak nikah, kita kenalah support. Bagi sokongan moral sikit. Kalau tengok die tu cam tak berape nak confident, kita bagi ah motivasi. Cakaplah cam gini ke:

“Mal, aku sokong ko nikah. Pe kate sebelum ko nikah tu, kite buat bisnes kecik-kecik. At least ade lah gak tempat ko nak carik modal kahwin nanti. Ne tau kan, nanti aku pun bleh follow..” kata Sepul sambil tersengih cam kerang busuk.

“Mat, akak tak kesah kalau kau nak nikah. Tapi akak rasakan elok kau habiskan dulu study tu, nanti dah habis belajar, ko nak cari kerja pun senang,” kata-kata lembut dari kakaknya menyapa halus umpama embun dingin di hati Mamat.

“Ya Allah, dah beso ghupenye anak mak ni. Sham, mak bangga dengan Sham. Nikah la Sham, lagipun memang nabi s.a.w. suruh orang muda ni nikah cepat. Dapat mendidik diri untuk menjadi individu yang bertanggungjawab sekaligus boleh menjauhkan diri daripada zina,” sokong mak Sham sambil membentang hujahnya. Sham terkedu dan membisu.

Kalaulah aku ni Sham....(heiz...aku ni sedang bermimpi di siang hari).

Anyway, korang pernah tengok tak adik korang yang kecik tu? Kalau takde adik, korang tengok je adik sesape pun.

Bile dia nak sesuatu then tak dapat, contohnya die mintak kat korang aiskrim koneto yang berharga RM2.50 (demand adik korang nie), tapi korang yang hanya ada dua puluh sen je dalam tangan kata tak boleh. NOPE! Atau kata macam ni, “Tak boleh, Budak kecik tak boleh makan aiskrim!”

Mesti ngamuk punye la budak tu. Jap gi ade je bende yang die nak buat untuk meluahkan ketidakpuasan hatinya.

Macam tu juga orang muda yang terkenal dengan istilah ‘darah panas’. So bile nak couple cara halal tak di bagi, jadi diorang wat cara haram. Mulalah macam-macam kes kita dengar. Jadi, berhati-hatilah...

Aku tulis ni sebab ada junior aku ngadu kat aku. Tapi dalam kes dia, dia nak offer diri dia untuk jadi pemimpin. So, saje je la aku kaitkan dengan bab nikah ni.

Ni pendapat aku lah kan, bila ada orang datang jumpe kita kata die nak jadik pemimpin (atau nak nikah), so aku yakin yang dia dah bersedia untuk berhadapan dengan risiko-risiko yang mendatang. Jadi kita kene bagi semangat pada dia. Tapi andai kita lihat dia macam tak bersedia lagi, jangan hancurkan harapan dia, tapi bagi motivasi untuk dia mempersiapkan diri.

“Hai para pemuda, barangsiapa di antara kalian yang mampu bernikah, maka hendaklah bernikah, kerana pernikahan itu lebih mampu untuk menahan pandangan mata dan menjaga kemaluan. Dan siapa yang belum berkemampuan, wajib baginya berpuasa, kerana puasa itu sesungguhnya merupakan perisai baginya.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Bila hati ini rindu menikah..... (jangan salah sangke k, ni tajuk buku tulisan Mas Udik Abdullah, terbitan Pro-U Media, saje promote.)




P.D.C.: Tergerak di hati ini untuk mencuba cara penulisan yang berbeza. Minta maaf pada semua sahabat yang masih setia menjenguk blog aku ni walaupun dah lama tak ‘update’. Aku tengah belajar cara nak menulis dan cara untuk meng‘improve’kannya. Tu yang lama tak tulis entry baru. So, doakan kejayaan aku....