RSS
Facebook
Twitter

Showing posts with label Siri Renungan. Show all posts
Showing posts with label Siri Renungan. Show all posts

7/30/2009

Renungkanlah IV


“Wahai anak-anak Adam! jika datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu Yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat (perintah) Ku, maka sesiapa Yang bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
surah al-‘Araaf : 35

Wahai mereka yang sedang di bius virus khayalan cinta! Andai telah datang sahabat-sahabatmu kepadamu dan kemudian menasihati dirimu agar kamu sedar, maka bertaqwalah kepada Allah, dan bertaubatlah! Ketahuilah, itulah yang lebih baik untuk diri kamu agar kamu tidak bimbang dan gelisah hidup di dunia dalam ketakutan....

“Ahh! Suka hati akulah nak buat apa pun. Bukan kacau korang pun” ujar lelaki ‘A’ bila ditegur perbuatannya yang selalu bergayut lewat malam.

“Alah kau ni, aku duduk study group dengan dia lah! Bukan buat apa-apa pun. Blah la!” lelaki ‘B’ memarahi rakannya.

“Kami keluar jalan-jalan je kak... tau la saya jaga diri.” jawab perempuan ‘C’.

Kepada sahabat yang dijerat panahan cinta, Sesungguhnya kami amat menyayangi kamu semua, beribu alasan dan sanggahan boleh kamu berikan kepada kami, tetapi, tidakkah kamu sedar, segala nasihat adalah untuk kebaikan kamu juga? Kerana kasih kami menegur, kerana sayang kamu ditegur.

Aduhai remaja kini, membiar emosi membatasi akal menguasai diri. Lihat sahaja di dada-dada akhbar, terjun sana, terjun sini. Apa nak jadi? Hanya kerana dikecewakan oleh perasan, mereka menggadai nyawa. Alangkah murahnya jiwa yang dikaburi cinta dunia...

“...maka sesiapa Yang bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita, jadi mengapa kita tidak mengendahkan amarannya? Andai ‘mangsa-mangsa’ jerat cinta ini sedar bahawa masih ada Allah untuk mendengar keluhan mereka, pasti mereka tidak cetek akal untuk terjun dari bangunan tinggi dan membunuh diri.

Nah, kami menasihati kerana kami tak mahu sebarang kejadian yang buruk terjadi atas diri kamu. Lihat sahaja ramai yang kecewa, merintih terseksa, tergadai maruah dan dipandang hina kerana melupakan amaran Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.


Untukmu adik-adikku,
Putera puteri siswa dan siswi
Aku berwasiat untukmu
Jagalah maruah dan harga dirimu
Jangan sekali memandang rendah
Pada godaan dan keseronokan dunia
Carilah ilmu dan hayatilah
Terbitkanlah ia dalam kehidupanmu
Agar ia menjadi benteng
Mencegah murka dari Yang Maha Esa.

Indahnya kemewahan dunia
Indah lagi jika disertai redha Maha Kuasa
Kerana dunia itu sementara
Dan Akhirat itu kekal jua.

Iman dan Ilmu
Formula agung mencegah kemungkaran
Solat jangan ditinggal apalagi dilengahkan
Ilmu jangan dibiarkan berhabuk tanpa diamalkan

Percayalah wahai adik-adikku,
Allah menyayangi kita
Setiap perkataan dalam kitabnya
Adalah kebaikan untuk kita semua.

Wasiatku untuk semua,
Pilihan ditangan kita,
Berdoalah
Agar diberikan kekuatan iman dan hidayah
Kepada kita dan adik remaja diluar sana
Berhadapan dengan cabaran dunia yang menggila...

Ya Allah selamatkanlah kami semua....



P.D.C. : Sepatutnya ada sambungan lagi hingga ke ayat yang 37, namun begitu aku rasa cukup disini sahaja, kerana ayat seterusnya adalah ayat celaan kepada mereka yang tidak mengambil berat pada amaran tuhan, terasa amat berat untukku huraikan. Ya Allah, kupohon semoga hasil tulisanku ini memberi kesedaran, dalam diriku dan diri mereka yang menghayatinya. Berilah kami hidayah Ya Rahman, Ya Rahim....

6/22/2009

Renungkanlah III


Tiap-tiap Yang bernyawa pasti akan merasai mati,
dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu...
(Surah Ali ‘Imran : 185)

Mati, adalah satu janji dari Yang Maha Adil kepada manusia. Aku tidak mengetahui bila aku akan mati. Mungkin esok, malam nanti, sejam lagi, mungkin seminit dua, atau mungkin ketika aku sedang menaip entri ini? Aku tidak tahu, yang aku tahu mati itu pasti...

“Mati adalah pasti, hidup insya Allah...” teringat aku serikata nasyid ini.

Ya kita tidak pasti mati itu bila, jadi mengapa kita masih teruskan hidup di dalam khayalan dunia yang bernama cinta? Terus bermain dengan sesuatu yang fana, tanpa mahu memijak realiti kerna realiti itu tidaklah seindah yang kita mahu...

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan), maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”
(surah al-‘Araaf : 34)

Apakah kita tidak terfikir, di saat kita sedang bermadu asmara dengan ‘dia’, berjalan-jalan sambil berpimpin tangan, ketika itu juga nyawa kita ditarik, lalu terjelepok kita di pangkuan ‘dia’.

Bayangkan, di saat kita sedang berbual lama suatu malam, bertanya dan bercanda di telefon, tiba-tiba tiada jawapan dari si ‘dia’, rupa-rupanya si ‘dia’ telah meninggalkan kita tanpa sempat menunaikan janjinya yang diukir kepada kita. Untuk hidup bahagia dunia akhirat....

Apakah kau mampu, di saat nyawamu hendak ditarik oleh Izrail, kau menjerit,

“Sebentar wahai malaikat, aku mahu bertaubat atas khayalan cinta ini. Kerana cinta, aku tinggalkan Yang Maha Esa, aku menipu diri kononnya cinta ini terjalin atas nama Yang Maha Kuasa... Aku mahu bertaubat!!!!”

APAKAH KAU MAMPU?
APAKAH KAU MAMPU??
APAKAH KAU MAMPU???

Sebelum nyawa ditarik, masih ada peluang untuk kita bertaubat, berhentilah dari berkhayal dan di bius cinta, berpijaklah di bumi nyata... Cinta bukan segalanya...

Tetapi Pencipta Cinta adalah segalanya.... Cintailah Yang Maha Pencinta.....

Renungkanlah II



Definisi cinta masa kini cukup luas. Entah mengapa, dari mana mulanya, aku tak tahu. Ada Cinta Enta Enti dan ada juga Cinta Saya Awak. Bezanya?

Cinta Enta Enti dihiasi dengan tazkirah dan peringatan untuk menjaga diri dan iman. Handphone penuh dengan mesej tazkirah dari si dia, dan kadang-kadang perbualan dalam masa dua jam berkisar tentang tazkiatun nafs sambil diselitkan pertanyaan peribadi dengan sifat yang ‘caring’. Tidak keluar dating, bila bertemu jarak dijaga, mata dipelihara...

Cinta Saya Awak... macam yang selalu kita tengok dalam tv, keluar dating sana-sini, bergayut tak ingat diri, cakap yang bukan-bukan dan macam-macam lagi. Bahagia keluar bersama, berpegangan tangan, terlupa yang dia tu bukan sesiapa pada kita.

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan Yang keji, sama ada Yang nyata atau Yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh Dengan tidak ada alasan Yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu Dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang Bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu Yang kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-A’raaf : 33)

Ingatlah wahai enta dan enti, biarpun metode yang antum gunakan kelihatan soleh dan solehah, tetapi syara’ telah menetapkan, ia adalah haram. Bukankah Allah telah berfirman, “Janganlah kamu dekati zina!” Nah, Yang Maha Kuasa mengulangi ayatnya, agar kau sedar wahai enta, enti.

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan Yang keji, sama ada Yang nyata atau Yang tersembunyi.”

Apakah kau ingat kau dapat menipu DIA? Bersembunyi dibalik tabir alasan dengan jalan dakwah atau saling memberi peringatan sesama saudara? Malang sekali saudaramu hanya perempuan atau lelaki itu sahaja... mengapa kau abaikan saudara dikeliling mu? Yang aku yakin mereka lebih memerlukan dirimu itu.

“...dan perbuatan dosa, dan perbuatan menceroboh Dengan tidak ada alasan Yang benar.”

Perbuatan kamu itu berdosa... namun konon-konon kau katakan tidak, atas alasan kau telah memilih dia kerana Allah. Tapi, wahai enta, enti, andai dia kau pilih kerana Allah, mengapa kamu menghayati cinta itu tidak dijalan yang Allah benarkan?

“...dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu Dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang Bukti (yang membenarkannya),...”

Keasyikkan cinta menyebabkan kau dibius olehnya. Segalanya indah, sehinggakan kau rasa gelisah pabila sehari tidak bertemu atau berbual dengan si ‘dia’. Malammu dulu dihiasi tahajud, kini tahajud berganti dengan bergayut.

Solat fardu 5 waktu dulu di awal waktu, kini kau tunaikan disaat waktu hampir berlalu... Indahnya cinta, sehingga kau lupa kepada Yang Maha Melihat dan Yang Maha Mendengar.

Apakah kau ingin menggantikan tempat Yang Maha Kuasa itu dengan manusia kerdil yang kau cinta itu di dalam hatimu? Na’uzubillah.... sedarlah wahai enti, enta...

“...dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu Yang kamu tidak mengetahuinya.”

Bangun wahai pemuda pemudi Islam, sedarlah. Aku menasihati diriku dan juga diri kamu, jangan hanya kerana diri dibuai cinta, agama dan prinsipmu tergadai. Kau berikan alasan dan hujah untuk membela perbuatanmu yang salah, padahal kau tidak sedar, kau sedang mempergunakan agama ke jalan yang kau suka, bukan jalan yang Allah redha...

“Apakah kau tidak tahu yang DIA Maha Tahu?”

Renungkanlah I


Ketika aku sedang meneliti tafsiran al-Quran pagi tadi, mataku tertangkap pada ayat ini. Entah mengapa, tiba-tiba hatiku terasa bagai ditusuk duri berdosa. Minda kuterus menafsir ayat ini sesuai dengan situasi yang sedang aku hadapi ketika ini...

Aku ingin berkongsi... ianya hanyalah sekadar sebuah perhitungan dan pentafsiran hati dalam sesi muhasabah diri, tapi aku mahu ia dikongsi, agar semua mendapat manfaat dan mungkin dapat menasihati diriku nanti...


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah Yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda Yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang Yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia, (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui.
(Surah al-A’raaf : 32)

Sejenak aku meneliti dan mentafsir, kalimah perhiasan kubayangkan pada nikmat perasaan yang Allah anugerahkan kepada kita. Perasaan itu adalah satu perhiasan yang amat mengasyikkan.

Marah, sedih, kecewa dan kasih. Pada semua itu ada satu kepuasan andai kita dapat luahkan. Kasih? Ya, aku ingin menumpukan pada perhiasan emosi yang ini. Kasih ataupun kalimah ‘famous’ ketika ini adalah CINTA!

Allah berfirman : Katakanlah (Wahai Muhammad): “Siapakah Yang (berani) mengharamkan ‘perhiasan’ Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya?”

Ya, siapa yang berani menafikan perasaan cinta yang lahir secara fitrah dalam diri kita? Ianya hadir tanpa kita sedari. Tiba-tiba hati terdetik, maka kita pun menafsirkan yang kita telah kasih/cinta pada individu yang membuatkan hati ini berdetik. Adalah mustahil untuk kita menepis perasaan itu. Menafikannya bermakna kita sedang menafikan fitrah yang Allah anugerahkan, kufur nikmat namanya.

Haram bercinta bukan pada nilai emosinya, tapi pada kaedah atau metode perlaksanaan dan penghayatannya.

“...Dan demikian juga benda-benda Yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya...?”

Yupz! Cinta dan kasih adalah sesuatu yang hebat. Bahkan ia satu tuntutan, kerana tanpa cinta, hancurlah insan kerana permusuhan. Pepatah ada mengatakan, “Melalui cinta kita akan mengenali Yang Maha Pencipta Cinta.”

Cinta yang baik dan halal adalah rezeki yang Allah kurniakan kepada kita. Kalimah rezeki menunjukkan pada kita, cinta yang disalur pada jalan yang halal, disitu wujud kebahagiaan dan kenikmatan dalam bercinta. Dan saluran cinta sesama insan hanyalah melalui cinta kepada Allah.

Melalui cinta Allah, di situ terdapat ikatan pernikahan, ikatan persaudaraan, ikatan persahabatan dan pelbagai lagi. Dan jalinan inilah yang Allah rahmati.

...Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang Yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia.”...

Cinta satu nikmat..satu keasyikkan bagi sesiapa sahaja yang menghayatinya. Tak kira yang beriman atau tidak beriman mereka pasti dapat merasainya.

Tapi AWAS!!

“...Nikmat-nikmat itu pula hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat...”

Allah telah mengingatkan kita bahawa nikmat bercinta itu hanya kekal bagi mereka yang mentaati suruhan dan larangan Allah. Kekal hingga ke akhirat. Dan mereka yang telah menyalahgunakan nikmat itu? Sengsara dia di negara abadi nanti...

“...Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui.”

Allah telah memberi tahu kepada kita akan anugerah yang hebat ini, terpulang kepada kita untuk berusaha mengekalkan anugerah tersebut hingga ke syurga... setiap keterangan dalam al-Quran adalah jelas bagi mereka yang mahu mencari dan menelitinya...


5/10/2009

Ku Insafi Diri Ini III



“Wahai manusia, carilah hatimu pada tiga tempat. Ketika kau sedang membaca al-Quran, mengerjakan solat dan ketika kau bertafakur mengingati kematian..”

“Wahai manusia, carilah hatimu pada tiga tempat. Ketika kau sedang membaca al-Quran, mengerjakan solat dan ketika kau bertafakur mengingati kematian..”

Diri terasa lemah dan lesu, namun tetap kugagahkan diri ini, berdiri mencari rahmat Illahi, terpancar sedikit sinar harapan, untuk diri ini kembali, kembali ke jalan yang lurus, jalan yang telah ditentukan Illahi.

Dan di sepi malam yang sunyi itu, buat pertama kali, tatkala insan lain sedang seronok menikmati keindahan mimpi, diri ini bangun membasuh diri, membentang sejadah usang, untuk mengabdikan diri kepada Illahi, ku pasrah, ku serahkan diri ini, ku serah segenap jiwa dan hati, demi mendambakan hidayah dari Illahi...

Esakan kecil dan air mataku mengalir, pabila kitab suci itu kutatapi, Ku mulakan dengan nama tuhan Yang Maha Esa, agar dengan membaca kitab suci ini, diberikan kekuatan dalam diriku, untuk memulakan kehidupan yang baru...

“Diturunkan kepadamu al-Quran sebagai petunjuk dan rahmat serta penawar....”
Surah al-Isra’ : 82

Kemudian ku bangun, berdiri mengadap Illahi, menyerah segenap jiawa dan rohani, menunaikan solat yang menjadi benteng bagi diri... Ku yakin, kerna ini janji-Nya...

Bacalah serta Ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa Yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan Yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan.”
Surah al-Ankabut : 45

Ku berazam pada diri, mulai pada saat ini, aku bukan diri yang dahulu, mengejar isi duniawi selalu, kerna hidup di dunia, ibarat memburu sebuah khayalan yang tidak pernah sudah...

“Tiadalah kehidupan dunia melainkan mata benda yang menipu...”
Surah Ali Imran : 185

Tapi kini, ku ubah matlamatku, untuk berkerja sebagai bekalan persediaan ke negeri akhirat.. Biarlah rakan-rakanku nak kata apa-apa, aku kolot? Sempit pemikiran? Tidak ‘open minded’? Biarkan.... kerna ku tahu, pengorbanan ku ini bukannya sia-sia,

“Maka bergembiralah dengan jual beli (pengorbanan) yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.”
Surah at-Taubah : 111

Dan ku tahu, andai aku terluka dengan kata-kata mereka, aku ada ubatnya, dan Dia akan mendengar segala aduan dan keluh kesah yang aku luahkan pada-Nya.


Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) Dengan bersabar dan Dengan (mengerjakan) solat; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar.”
Surah al-Baqarah : 153

Solat dan sabar.... Diakan pasti bersama-sama denganku....

Aku kan terus mara,
Dengan satu azam yang baru, kekuatan yang baru,
Ku mulakan langkah kakiku dengan penuh harapan dan keyakinan,
Membina kehidupan yang baru
Yang penuh dengan keimanan, dan ketaqwaan...
Kerna ku yakin,
Allah kan bersama dengan orang yang beriman....

Al-Hakim pernah berkata :
“Jika kamu ingin Allah ‘bercakap’ dengan kamu, bacalah al-Quran, kerana al-Quran adalah ayat-ayat Allah yang ditujukan kepada kamu. Dan jika kamu ingin ‘bercakap’ dengan Allah, maka dirikanlah solat, kerana hakikatnya solat adalah doa, pengaduan, pujian dan rintihan seorang hamba kepada Allah.”

Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan pengaduan hamba-Nya

“...Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.”
Surah al-Baqarah : 186

“Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam Dalam keadaan hina.”
Surah al-Mukmin : 60


Ku Insafi Diri Ini II


Di saat aku sedang bersedia hendak menuju ke lembah hina,
Di hujung kota itu, ku temui sehelai warkah berwarna putih,
Tercatat segalanya yang membuat diri terasa hina....
Tulisan tangan dari seorang wanita, Meruntun jiwaku....

Hinggalah ke ayat penentu, Membuat jiwaku haru,
Yang dulu keras membatu, Seakan mencair, mengalir bersama deras air mataku....

“...dan perempuan-perempuan Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik untuk perempuan-perempuan Yang baik...”
Surah an-Nur : 26


Aduhai diri... Kupejamkan mataku, Tidak tertahan pabila melihat diri ini yang telah sekian lama ternoda. Ku melangkah kakiku ke sini dan ke sana, tiada halu tuju,
Kerna aku... aku amat terasa, terasa asing di atas muka bumi ciptaannya...

Langkah kakiku terhenti, Dihadapan ku kini, adalah sebuah perhentian,
Sebuah perhentian bagi semua insan, Sebelum menjelang hari pembalasan...

Menggeletar diri ini,
Bukan kerana takut pada entiti,
Tapi kerna terasa diri ini,
Belum cukup bersedia untuk semua itu...

Palitan dosa membuat aku menangisi diri ini,
Benar kata baginda nabi, “Mengingati mati adalah ubat mujarab bagi hati.”
Aku terduduk berteleku dalam sendu, melihat nisan putih yang beribu,
Senduku semakin laju, pabila teringat, azab seksa kubur yang bakal tersedia untuk ku.

Aduhai Illahi, aku sudah tidak larat di uji,
Bantulah aku!!! Bantulah aku!!!

Sabda baginda Nabi s.a.w. : “Barangsiapa yang merasa senang oleh amal kebajikannya, dan merasa sedih atau menyesal atas perbuatan dosanya, maka dia seorang Mukmin (beriman).”
(riwayat Tabrani)

“Nabi Ibrahim berkata: ‘Dan tiadalah sesiapa Yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang Yang sesat’.”
Surah al-Hijr : 56

Tidak! Tidak! Aku tidak sesat! Aku bukan mereka yang sesat...
Tuhan, jangan golongkan aku dari kalangan mereka yang sesat..
Aku sedar Ya Allah, ku dambakan pertolongan dari Mu,
kerna hanya Kau lah tempat untuk ku mengadu,
Tunjukkan aku jalan yang benar.....

“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan. Tunjukkanlah Kami jalan Yang lurus. Iaitu jalan orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang sesat.”
Surah al-Fatihah : 5-7




Ku Insafi Diri Ini I



Kakiku melangkah lemah, membawa diriku ini yang kian goyah, terumbang-ambing di tiup arus modenisasi dunia yang serba canggih mengikut masa. Entah ke mana hendak dibawanya kaki ini.... ke sana tidak kena, ke sini tidak pasti, fikiranku kaku, serba tidak tahu....

Sunyi kota di malam hari ku tatap dengan mata yang jemu... entah kenapa, malam ini tidak seperti malam yang selalu, yang ku lalui dengan gembira dan berseronok dengan apa yang aku ada, bersama-sama rakan-rakan yang otaknya ‘gila’ seperti aku.

Ajakan kawan-kawan ku tolak dengan pandangan yang bosan. Seolah-olah aku sudah tidak berminat lagi dengan kegiatan yang rendah moralnya itu. Padahal selalunya akulah nombor satu. Entah kenapa, seperti yang ku katakan tadi.... segalanya ku pandang jemu.

Arrgggh! Apa ni? Apa maksud perasaan ku ini??

Ku pandang langit, mencari rembulan, mungkin ia dapat memberi jawapan.... sepi...
Ku pandang bebintang terang, mungkin di situ jawapan kan datang.... sunyi...

Tiada siapa yang dapat memberikan jawapan kepada ku, Perasaan ku gundah dan resah,
Mendesah mencari ketenangan yang tak pernah kunjung tiba.

Ku merenung jauh menembusi kegelapan malam...
kala itu datang kembali kata-kata yang menghenyak hati ini, di atas sehelai warkah putih,
Aku menyerah diri, kepada bait indah yang menjunam keras hati ini...



Ku tulis warkah ini hanyak untukmu, Insan yang bakal bergelar suami...

“Wahai lelaki, kaulah bakal pemimpin kami, kau lah yang akan membentuk diri kami, menjadi seketul permata putih, atau seketul batu keras, yang kan membakar dirimu kembali....”

“Ketahuilah wahai lelaki, Nabi telah bersabda kepada kita ummatnya, mencari pasangan hidup berdasarkan 4 perkara..... Kecantikkan wajahnya, Harta yang ada padanya, Nasab keturunannya... tetapi carilah yang ada kefahaman agama padanya, kerna ia kan menjamin bahagia....”

“Wahai lelaki, kau Insan yang kan bergelar suami”

“Andai kau melihat pada kecantikkan yang ada pada diri ini, ketahuilah, ia takkan kekal selamanya, kerna wajah indah ini kan tua, saat itu wajah indah diganti dengan wajah tua yang berkedut, apakah ketika itu kau akan melihat lagi pada diriku?”

“Andai kau melihat pada harta yang ada, ketahuilah, ia tidakkan kekal juga, berkurangan selepas kau guna, dan apabila harta itu habis di mamah masa, apakah kau akan melihat pada diriku lagi?”

“dan... Andai kau melihat pada nasab keturunanku, ketahuilah... iman tidak mungkin diwarisi... kerna iman perlu kita cari... kita kaji dan di didik dalam diri... ada yang nasabnya tidak seindah yang disangka, tetapi dirinya, Subhanallah... menjadi contoh tauladan pada semua. Andai diriku tidak seindah seperti nasab ku yang indah pada matamu, apakah kau akan melihat pada diriku lagi?”

“Akhirnya agamalah pilihan utama... kerna aku mungkin tidak berwajah Cik Dunia (Miss World), dan aku bukanlah seorang hartawan dengan harta yang berjuta, aku juga bukanlah anak atau cucunda seorang raja yang hebat keturunannya... tapi sekurang-sekurangnya aku yakin, andai kau melihat pada agama yang ada padaku, kan ku serahkan segala yang ada padaku, untuk kau gunakan dalam perjuanganmu, kerna aku yakin, kau takkan mensia-siakan pengorbananku wahai bakal suamiku....”

“Tetapi.... apakah dirimu begitu? Sudah sempurnakah agamamu untuk membimbingku? Sudah kukuhkah pendirianmu untuk berpegang kepada syariat Allah dan ajaran Sunnah? Apakah kau yakin kau kan dapat membina sebuah keluarga yang bahagia bukan sahaja di dunia, bahkan kekal hingga ke syurga???”

“Kerna bukannya kecantikkan, harta dan keturunan yang aku lihat padamu... Mahupun kesempurnaan ilmu agama yang kukuh, cukup bagiku kau berusaha untuk mendalaminya, membuatkan diri ini terasa sudah bersedia... Bersedia untuk dibimbing oleh dirimu... sebagai Isteri kepada dirimu, lelaki yang bergelar suami...”

...dan perempuan-perempuan Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik untuk perempuan-perempuan Yang baik...”
Surah an-Nur : 26

Kata-kata ini...
Di dalam warkah ini...
Aduh!!!
Kini diriku rasa umpama ditikam sebilah pedang panjang,
Yang merobek-robek hatiku, yang gelap diselaputi hawa nafsu....