RSS
Facebook
Twitter

12/03/2009

Muqaddimah Secebis Hidayah


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Ya Allah dengan namamu kumulakan penulisan ini. Aku memohon kepada-Mu wahai tuhan Yang Satu, jauhkan diriku, pembacaanku dan penulisanku serta kehidupanku ini dari rasa menginginkan nama, harta, perhatian dan segala nikmat di dunia. Jadikanlah pembacaanku, penulisanku serta kehidupan seharianku adalah untuk mencapai redha dari-Mu.

Alhamdulillah, setelah sekian lama menulis, akhirnya aku mampu melahirkan beberapa buah cerita pendek atau ringkasnya cerpen. Aku masih dalam pembelajaran untuk menulis. Masih banyak perkara yang kurang dan perlukan teguran. Namun, ketika selesai aku menyiapkan cerpenku ‘Secebis Hidayah siri 2’, aku merehatkan diriku untuk membaca sebuah buku tulisan Muhammad Ali Qutb yanb bertajuk “Khamsun Nasihah min Rasul Li Tiflul muslim”, maaf andai baris bacaannya salah. Maksud tajuknya adalah “50 nasihat Rasulullah s.a.w. untuk kanak-kanak Islam.” Buku ini dalam bentuk terjemahan terbitan al-Shafa.

Tak terlahir dari bibirku sebarang kata, bagaikan terhenti seketika jantungku apabila terbaca satu hadis yang terselit dalam buku ini.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sesiapa yang mempelajari suatu ilmu yang seharusnya dilakukan kerana Allah s.w.t., tetapi dia mempelajarinya hanya untuk memperolehi harta benda dunia, maka tidak akan mendapatkan bau harum syurga pada hari kiamat.
(hadis riwayat Abu Daud)

Maha Suci Allah, terhenti diriku membaca, terkaku tanganku untuk meneruskan penulisanku, Ya Allah aku memohon perlindungan dari azab seksa-Mu di akhirat kelak.

Sahabat sekalian, ayuh kita muhasabah diri, apakah diri kita ini terlibat dengan keadaan yang disebut oleh baginda Rasul itu? Aku tak tahu bagaimana nak menceritakannya, tetapi kalian renungkanlah, tepuk dada kalian, tanyalah iman.

Mahu sahaja aku berhentikan segala apa yang telah aku lakukan. Sungguh aku sedar, betapa sukarnya untuk mengawal diri dan nafsu. Berapa kali sebelum ini terlintas difikiranku mengenai balasan dunia yang akan ku perolehi dalam dunia ilmu. Ya Allah, benarkan lah aku mencium bau syurga-Mu sekaligus mendiaminya dengan kasih sayang-Mu.

Kerana amanah ini dari Rasul tercinta, aku tetap mencuba untuk teruskan membaca, menulis dan berkongsi dengan sesiapa sahaja yang bersedia untuk berkongsi.

Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.......
(hadis riwayat Bukhari)

Sahabat-sahabat sekalian, doakanlah untuk diriku dan dirimu, agar kita bersama-sama sentiasa istiqamah mencari redha Allah dalam dunia ilmu dan dalam penyampaian dan perkongsian kita bersama mad’u kita di luar sana. Berdoalah...

Ya Allah, saksikanlah dan makbulkanlah doa kami. Dekatkan kami dengan nikmat syurga-Mu, dan masukkanlah kami ke dalam syurga-Mu dengan rahmat dan kasih sayang-Mu yang tiada batasannya itu....


Kenapa Secebis Hidayah?

Mengenai cerpen tulisanku itu, kenapa aku memilih Secebis Hidayah sebagai tajuknya?

Kerana pendapatku, hidayah itu lahir dari pelbagai bentuk, walaupun hanya sebaris ayat mahupun sepatah kata, Allah Maha Pemurah dan Maha Pengasih tetap akan memberikan hidayah kepada sesiapa yang ikhlas dalam berusaha dan sesiapa yang Dia mahu berikan.

Sepertimana yang kalian lihat dalam cerpen tersebut. Konsep jalan ceritanya lebih kurang sama, hanya pengolahan dari sudut penceritaan sahaja yang berbeza. Hanya dengan pertemuan singkat, watak-watak seperti Amelia Farhana dan Umar al-Farouk berubah detik hatinya untuk kembali ke jalan fitrah.

Hidayah itu tidak wujud hanya dalam hujah yang panjang, ceramah yang berjam-jam. Bukan kuantiti yang menjadi persoalan. Tetapi kualiti. Lihat betapa singkatnya masa Rasulullah s.a.w. bersama dengan generasi para sahabat, betapa sekejapnya zaman kegemilangan Khulafa’ ar-Rasyidin, tetapi biarpun dari sudut kuantiti masanya sedikit, tetapi kualiti zamannya terkesan hingga kini.

Abu Hurairah r.a. salah seorang sahabat yang banyak meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w., dia menduduki tangga pertama paling banyak meriwayatkan hadis iaitu sebanyak
5354 hadis. 354 hadis dari beliau diriwayatkan secara sepakat oleh Bukhari & Muslim, 93 hadis diriwayatkan oleh Bukhari sahaja manakala 189 hadis diriwayatkan oleh Muslim sahaja.

Riwayat hidup Abdul Rahman bin Sakhar ad-Dausi atau kunniahnya Abu Hurairah ini bermula keislamannya pada tahun ke 7 hijrah. Manakala baginda Rasulullah s.a.w. wafat ketika 11 Hijrah, bermakna hanya 4 tahun sahaja Abu Hurairah dapat bersama dengan nabi tercinta.

Sahabat sekalian, lihatlah, betapa kualitinya 4 tahun itu akhirnya menjadikan Abu Hurairah sebagai Muhaddis terulung yang meriwayatkan hadis di kalangan para sahabat. Beliau dapat hidup selama 46 tahun selepas kewafatan nabi, dan hadis-hadisnya telah di mushafkan oleh anak muridnya iaitu Hammam bin Munabbih dalam mushaf yang diberi nama Mushaf Hammam bin Munabbih.

Inilah dia generasi Salafus Saleh, generasi yang menjadi idaman setiap insan yang mengenali iman dan Islam. Berkualiti walau kurang pada kuantiti. Generasi Salafus Saleh adalah generasi 300 tahun selepas zaman nabi s.a.w.

Oleh kerana itu, aku memilih cerpen dan jalan cerita seperti itu sekadar untuk berkongsi pendapatku ini. Biarpun hanya ucapan salam atau senyuman manis, ia tetap mampu menggetarkan hati seorang manusia untuk kembali kepada fitrah Islami dengan izin Allah.

Diriwayatkan oleh Abu Zar al-Ghifari, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Jangan sesekali kamu merendah-rendahkan perkara yang disukai Allah bagi melakukannya. Walaupun perkara itu hanyalah memaniskan wajah ketika bertemu dengan saudaramu.
(hadis riwayat Muslim)

Siapa Muhammad Aidil Syafiq bin Zakaria?

Watak ini muncul ketika aku selesai menulis Secebis Hidayah siri 1 episod 1.

Pada awalnya tak terlintas pun difikiranku untuk mewujudkan watak ini. Aku hanya mahu biarkan watak lelaki gila itu berterusan hingga habis siri. Namun disaat akhir, nama Aidil Syafiq ini terlintas difikiranku. Watak ini penuh misteri. Idea tentang dirinya sentiasa berlegar di fikiranku, namun tidak terluah lagi setakat ini dalam penulisanku. Nantilah, aku akan usahakan juga. Doakanlah untuk ku...

Untuk sahabat-sahabat yang sentiasa memberi sokongan dan tetap membaca di blogku yang banyak lagi kekurangan ini, aku ucapankan Jazakallahu khairan kathira... semoga Allah meredhai kalian semua.

Aku harap kalian dapat menegur andai terdapat kesilapan dan kekurangan. Setakat ini, dalam setiap penulisanku, entah kenapa, aku dambakan kritikan tajam dan komen-komen yang halus lagi membina, entah kenapa aku rasa seperti itu aku tak tahu.

Anyway, cukuplah aku rasa sampai sini. Lagipun mataku dah mula meminta untuk direhatkan. Jam sekarang pukul 3 pagi, hari Selasa, 1 Disember 2009.

Sekadar berkongsi....

Selamat malam.....err, mungkin kene tukar kot. Selamat pagi. Sweet dream semua....

Salam ‘alaikum....

Secebis Hidayah 02 part 2


“Tuan-tuan, di dalam al-Quran Allah s.w.t. telah berfirman: ‘Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapa.’[1] Telitikanlah pada ayat ini. Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk beribadah kepada-Nya dan jangan sekali kita menyembah selain daripada tuhan Yang Maha Esa ini.”

Selepas selesai solat subuh, masjid al-Qayyum dipenuhi oleh para jemaah yang mahu mendengar kuliah subuh.

“Kemudian, Allah telah memerintahkan kita untuk berbuat baik kepada kedua ibubapa kita tuan-tuan. Ini menunjukkan, betapa pentingnya berbuat baik kepada ibubapa ini kerana arahan ini diletakkan selepas arahan untuk mentauhidkan Allah s.w.t.”

Luqman juga pernah menasihatkan anak-anaknya, ‘Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.[2]

“Baginda nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda: ‘Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa, manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa’[3], di dalam hadis ini menunjukkan hubungan seorang anak dengan ibubapanya memiliki kaitan dengan hubungannya dengan Allah s.w.t. Jika seorang anak berbuat baik kepada ibubapanya sehingga keduanya redha kepadanya, maka Allah akan meredhai anak itu. Akan tetapi jika seorang anak tidak berbuat baik kepada ibubapanya sehingga menimbulkan kemarahan keduanya, maka Allah juga akan murka kepadanya, Na’uzubillahi min zalik.[4]

Begitulah yang dikatakan oleh penceramah kuliah subuh itu. Jauh di hadapan, seorang pemuda khusyuk mendengar dan mencatit isi-isi penting dari kuliah tersebut. Kuliah itu berlangsung dalam 30 minit. Cukup ringkas, namun padat dengan pengajaran.

Pemuda itu lantas bangun dan terus menuju ke rak al-Quran untuk meneruskan kelazimannya selepas subuh. Para jemaah kebanyakkannya menuju ke ruang menjamu selera untuk menikmati sarapan pagi yang dihidangkan, segelintirnya ada yang terus pulang dan ada juga yang membaca al-Quran sepertinya.

Langit pagi semakin cerah, burung berkicau mencari rezeki di luar. Namun masjid Al-Qayyum masih lagi cerah.

“Assalamu’alaikum...”

Pemuda tersebut menyapa. Seusai mebaca al-Quran, dia melihat sekujur tubuh duduk berteleku dipenjuru masjid bersendirian. Bila diteliti baru dia sedar, itulah pemuda yang baik hati membenarkan dia duduk semeja bersama. Segera dia mendekati sahabat yang tidak dikenali namanya itu.

“Assalamu’alaikum. Awak ingat lagi? Semalam awak benarkan saya duduk semeja dengan awak.”

Diperhatikan wajahnya pemuda yang menghulurkan salam itu. Diamati dengan dalam. Masih seperti semalam. Tenang dan sentiasa tersenyum.

“Wa’alaikumsalam.” Dia menyambut huluran salam sambil mengangguk.

Kedua-dua pemuda itu duduk tidak berbicara sambil mengadap antara satu sama lain. Suasana masjid semakin sunyi, para jemaah sudah lama pulang.

Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah dan tabahkanlah dirimu dan berjaga-jagalah dan bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu mendapat kemenangan.

“Ana akhukum Muhammad Aidil Syafiq bin Zakaria.” Pemuda itu memulakan ikatan persahabatan sambil menepuk-nepuk bahu Umar dan tersenyum.

“Hayatilah wahai sahabatku, Allah sentiasa di sisi mereka yang mengharap redha Allah dalam hidupnya.”

Air mata Umar kembali bertakung.

“Wahai sahabat, ulangkanlah kembali maksud ayat yang kau bacakan tadi. Jelaskanlah padaku.”

Aidil Syafiq tersenyum.

Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah dan tabahkanlah dirimu dan berjaga-jagalah dan bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu mendapat kemenangan.

“Surah Ali Imran ayat 200. Itulah kata-kata Allah kepada orang mukmin yang sedang diuji imannya. Sahabat, dalam hidup ini bukan semua yang terjadi menyenangkan kita. Kadangkala, Allah hadirkan ribut untuk menguji kita, tatkala itu baru kita sedar apakah hidup kita sememangnya untuk Yang Maha Kuasa atau tidak.”

“Tetapi sahabat, biarpun ribut itu kencang, ramai manusia yang tumbang, jatuh terduduk, bahkan ada yang tidak sanggup untuk bangun lagi, tuhan Maha Pengasih memujuk hambanya untuk kembali, dia berkata,

‘Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri dengan perbuatan-perbuatan maksiat, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’[5]

“Lihat wahai sahabat, betapa indah dan agungnya cinta Allah kepada kita hambanya. Di dalam sebuah hadis Qudsi tuhan Maha Penyayang telah berfirman, ‘andai hamba-Ku ini datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari.’ Dalam hadis lain, Dia telah berfirman, ‘perumpaan kegembiraan-Ku menerima hamba-Ku adalah seperti seorang musafir yang kehilangan untanya di tengah padang pasir. Di saat dia berputus harapan ketika itu muncul untanya kembali. Lalu dia berteriak kerana terlalu gembira, “ Ya Allah, ana rabbuka wa anta abdi” Ya Allah, aku tuhan-Mu dan Kau hambaku.’ Kerana terlampau gembira, musafir tersebut tersilap menuturkan kata. Bahkan gembiranya tuhan Maha Pemurah dengan cinta kepada hamba-Nya lebih daripada keadaan musafir tersebut.”

Umar tergelak kecil mendengar kisah tersebut. Hatinya sedikit terhibur dengan kehadiran sahabat barunya itu.

“Umar al-Farouk bin Abdullah.”

Umar mempekenalkan dirinya.

“Subhanallah, indahnya nama kamu wahai sahabat.”

Mereka berpelukan erat. Simbolik terjalinnya ikatan persaudaraan yang erat. Umpama Ansar yang menyambut Muhajirin dengan penuh kecintaan.

“Tahukah kau wahai sahabatku?”

Dua mata itu bertentangan.

“Sesungguhnya aku amat menyayangi dirimu. Umar al-Farouk bin Abdullah, sesungguhnya aku amat mencintai dirimu kerana Allah.”

Luluh hati Umar mendengarnya. Entah mengapa, air matanya kembali deras mengalir di pipi. Tidak pernah dia merasai keadaan seperti itu sebelum ini. Terasa kenikmatan dalam bersahabat. Terasa damai di dalam hati. Tidak terlafaz sebarang kata dan bicara. Lantas Umar memeluk sahabat barunya itu sekali lagi. Teresak-esak dia menangis. Pagi yang damai itu menjadi saksi kepada peristiwa yang penuh makna ini. Seperti damainya pagi saat Rasulullah s.a.w. mempersaudarakan ansar dan muhajirin. Tuhan, saksikanlah....

“Ayuh kita makan dahulu. Dengan perut yang kosong mana mungkin kita dapat berhadapan dengan ujian dalam kehidupan.”

Seusai menjamah sarapan pagi, dua sahabat itu beredar keluar dari masjid. Di luar masjid, dua sahabat itu telah bersiap untuk menuju ke destinasi masing-masing. Cerah pagi dan siulan riang beburung yang terbang seakan mengiringi dua sahabat tersebut.

“Ke mana tujuanmu selepas ini wahai sahabatku Umar?”

“Aku akan kembali kepada keluargaku dan meminta maaf kepada papa dan mamaku. Aku akan berusaha untuk berubah dan mencontohi kehidupan khalifah Umar al-Farouk. Aku mahu meletakkan redha Allah sebagai kekuatan dalam hidupku.”

Aidil Syafiq tersenyum.

“Semoga kau berjaya wahai sahabat. Doaku sentiasa mengiringi dirimu, Insya Allah.”

“Sahabatku Aidil Syafiq, terima kasih atas segala-galanya.”

Aidil mengangguk, “Sahabatku, hayatilah firman Allah ini,

‘Tidak ada kesusahan atau bala bencana yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar, dan ingatlah, Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.’[6]

Mereka berpelukan sekali lagi. Mereka bertemu kerana Allah, dan kini berpisah kerana Allah. Semoga redha Allah sentiasa bersama dalam persahabatan mereka. Ya Allah, saksikanlah....









1- Surah an-Nisa’ ayat 36
2- Surah Luqman ayat 13 – 14.
3- Diriwayatkan oleh Abu ‘Isa bin Saurah at-Tirmidzi dalam sunannya.
4- Hafiz Firdaus Abdullah, Wahai Ibu! Wahai Ayah!, Jahabersa.
5- Surah az-Zumar ayat 53.
6- Surah at-Taghabun ayat 11.

Secebis Hidayah 02 part 1


“Urgh...”

Panahan mentari pagi menyilaukan matanya. Dia lalu bangun, menggeliat menghilangkan rasa ngantuk yang masih bersarang dalam diri. Dia melihat ke arah jam di dinding.

“Hmm...baru pukul 10 pagi, awal aku bangun hari ni.”

Seperti semalam, menjadi rutin dirinya untuk bangun seawal jam 10 pagi. Duduk di rumah sewa sememangnya menyeronokkan dirinya. Tiada leteran dari mamanya. Tiada jerit pekik kemarahan papanya. Di sini, dialah raja. Balik lewat malam, bangun tidur bila-bila sahaja yang dia mahu.

Tiba-tiba handphone kepunyaannya berdering.

“Hello bro, malam tadi apa cerita. Oh... kau dapat minah tu bukan nak kongsi dengan member ek, selfish la kau ni Mar.”

Dia tersengih, teringat malam tadi ketika pulang dari pub, rakan-rakannya kenduri besar melayan seorang gadis murahan hasil kemenangannya dalam perlumbaan. Dia hanya melihat di tepi sahaja. Dia tidak pernah tergerak hati untuk mencuba perlakuan haram tersebut, di pub pun di hanya minum air bergas sahaja, arak tidak sama sekali.

“Ha,ha,ha... tu la kau tak nak follow kitorang malam tadi. Enjoy beb. Wei Zack, kau telefon aku ni apa hal?”

“Ni, tadi Sham cakap kat aku malam ni ada orang ajak race kat tempat biasa. Kau free tak malam ni?”

“Ok, aku free je. Bagi tahu pada Sham, malam ni kita party ok. Ajak awek-awek hari tu turun.”

“Ok bro, aku chow dulu. Jumpa kau malam ni Mar.”

Telefon diletakkan. Tubuhnya masih terasa lemah dan mengantuk lagi. Kalau bukan kerana perutnya yang menyanyi minta diisi, dia takkan bangun. Mahu sahaja diteruskan tidurnya tadi.

Dia terus menyarungkan t-shirt hitam yang agak ketat dan seluar jeans yang tersidai ditingkap kemudian terus memecut keluar dengan motosikalnya ke pekan. Sudah hampir 3 bulan Umar keluar dari rumahnya dan tinggal di rumah sewanya sendirian. Hidupnya penuh dengan keseronokkan. Dia bebas bersosial dengan kawan-kawannya. Biarpun begitu, dia tidak pernah memutuskan hubungan dengan papa dan mamanya. Anak tunggal keluarga Encik Abdullah itu sentiasa menghubungi mamanya. Tetapi tidak papanya, dia tidak mahu mendengar ceramah agama yang panjang lebar dari papanya.

“Assalamu’alaikum....”

Dia mendongak ke arah lelaki yang memberi salam itu. Dia baru sahaja menghabiskan kepingan roti canai yang kedua. Seleranya terganggu apabila melihat seorang pemuda dengan baju kemeja berwarna biru cair dan berkopiah berdiri di hadapannya.

“Ha, kau ni apa hal? Nak minta sedekah ke?”

Lelaki tersebut tersenyum.

“Maafkan saya, boleh saya duduk di sini sahabat?”

Matanya meliar keseluruh sudut kedai makan tersebut. Orang ramai memenuhi setiap meja di situ. Kebetulan, dia seorang sahaja yang duduk di meja tersebut.

“Hmm... duduk la. Buat macam rumah sendiri.”

Kehadiran pemuda tersebut serba sedikit menganggu dirinya yang ketika itu sedang berkhayal membayangkan hadiah mewah yang akan diterimanya malam nanti. Sekurang-kurangnya poketnya tetap berisi. Umar sememangnya terkenal dengan kehandalannya dalam berlumba di kalangan kaki rempit kawasan tersebut. Mereka menggelar dirinya ‘True Warrior’ kerana apabila dia merempit, hanya maut sahaja yang mampu menghalang.

“Sesungguhnya telah menang orang yang membersihkan jiwanya, dan telah rugi dan kecewa bagi orang yang mengotorinya.”

“Ha?” spontan di memandang wajah pemuda tersebut. Pemuda tersebut tersenyum.

“Kau cakap apa tadi?”

“Sesungguhnya telah menang orang yang membersihkan jiwanya, dan telah rugi dan kecewa bagi orang yang mengotorinya.”

“Apa tu?”

“Ini maksud ayat al-Quran sahabatku. Dari surah as-Syams ayat 9 dan 10.”

“Owh...” dia kembali menikmati sarapan pagi yang terganggu seketika tadi. Entah apa yang lelaki itu kata. Biarlah.

“Maafkan saya sahabat, saya beransur dulu. Terima kasih sebab bagi saya duduk di sini.” Pemuda tersebut menghulurkan salam.

“Eh, kau tak makan ke? Takkan duduk saja?”

“Saya berpuasa hari ni. Hari ini kan hari Khamis. Duduk sekejap lepaskan lelah. Saya pergi dulu ye.”

Matanya menyoroti bayangan pemuda tersebut yang semakin menjauh. Dia pelik melihat pemuda tersebut yang kelihatan tenang dan selalu tersenyum.

“Tak betul agaknya dia ni.”

**********************************************************************************

“Hello bro, kau kat mana ni? Race dah nak start dah.”

“Err... Zack, aku tak sedap hati la malam ni. Entah kenapa, aku macam malas je nak join korang semua malam ni.”

“Wei Umar, kau tak sehat ke? Tak apa lah. Aku tak kisah. Kitorang habiskan je hadiah malam ni. Ha,ha,ha..”

Telefon dimatikan. Entah mengapa malam itu dadanya berdebar-debar. Seperti akan ada sesuatu yang berlaku. Baring tak kena, duduk tak kena, berdiri, penat pula.

“Sesungguhnya telah menang orang yang membersihkan jiwanya, dan telah rugi dan kecewa bagi orang yang mengotorinya.”

Terngiang-ngiang kata-kata pemuda yang duduk di mejanya pagi tadi.

“Apa maksudnya? Kenapa hati aku asyik tertanya-tanya?”

Dia meraup muka dengan tangannya. Seketika dia terhenti. Dia melihat kedua telapak tangannya. Direnung dalam-dalam. Dua tapak tangan yang semakin gelap, tenggelam dalam kegelapan kehidupannya.

“Umar, tahu tak, nama Umar ni adalah nama seorang juara. Seorang raja yang amat hebat dan tegas dalam sejarah umat Islam.”

“Seorang raja? Siapa tu papa? Cerita lah pada Umar.”

Memorinya mengimbas kembali saat ketika dia kecil. Papanya pernah bercerita satu kisah yang amat diingatinya sehingga kini.

“Umar al-Farouk, nama sebenarnya adalah Umar al-Khattab. Dia merupakan sahabat dan juga ayah mentua kepada baginda Rasulullah s.a.w. Dia seorang yang amat tegas dan hebat dalam berprinsip.”

Papanya tersenyum melihat anaknya yang berumur 8 tahun itu duduk memasang telinga dengan bersungguh-sungguh.

“Ketika hijrah berlaku, Umar adalah orang pertama yang mengisytiharkan penghijrahannya ke Madinah secara terang-terangan. Sahabat yang lain tak berani tau. Sebab orang kafir Quraisy akan menyeksa semua orang Islam ketika itu.

“Berani betul dia kan pa. Dia tak takut kena seksa ke?”

“Tidak anakku. Tahu tak, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda tentang keberanian Umar ni. ‘...Wahai Ibn al-Khattab! Demi DIA yang nyawaku terletak di tangan-Nya! Belum pernah syaitan mendapati kamu menggunakan satu laluan kecuali dia akan mengambil laluan yang lain.’[1]

“Lihat anakku, betapa hebatnya Umar hinggakan syaitan pun takut untuk bertemu dengannya.”

Terlongo dia mendengarnya. Hebat sungguh Umar. Sedangkan dia nak pergi ke tandas malam-malam pun minta mamanya temankan. Kadang-kadang terbayang wajah hantu-hantu yang ditontonnya dalam filem.

“Umar anakku, sahabat nabi ini amat tegas dalam berprinsip. Dia amat garang, dan bengis dalam berprinsip. Dia tidak sama sekali memberi belas kepada sesiapa sahaja yang cuba mencabar prinsipnya.”

“Papa, apa prinsip Umar al-Khattab tu pa?”

Encik Abdullah tersenyum sekali lagi. Lalu membelai kepala anaknya yang cukup bijak dan banyak kerenah itu. Manja tapi cukup cerdas.

“Al-Quran dan as-Sunnah, itulah prinsip Umar al-Khattab. Jika ada yang cuba melanggarnya, dia tidak akan teragak-agak untuk melawan.”

“Tetapi anakku, ketika dia menjadi khalifah, dialah khalifah yang amat disayangi oleh rakyatnya. Umar tahu kenapa begitu?”

Anaknya menggelengkan kepala.

“Begitulah orang yang meletakkan redha Allah paling utama dalam hidupnya. Berprinsip kerana Allah. Biarpun terkenal dengan garang dan bengisnya al-Farouk ini, apabila tiba tentang amanah kepada rakyat, dia yang paling lembut hatinya. Pernah dia memikul seguni gandum untuk sebuah keluarga yang sedang kebuluran di hujung kota. Dia memasak gandum tersebut dan dihidangkan kepada keluarga tersebut sehingga mereka kekenyangan.”

“Lihat anakku, kelak bila anak papa ni dah dewasa, contohilah sahabat nabi ini. Jadikan redha Allah sebagai tunjang utama. Biarpun nanti papa dan mama tiada lagi, Umar tidak akan keseorangan. Kerana Allah sentiasa bersama orang yang hidupnya untuk Allah.”

Dikucupnya dahi anaknya yang baru hendak belajar erti kehidupan. Dia sentiasa berdoa agar kelak, pabila dewasa nanti, anaknya itu akan sentiasa tetap di dalam redha Allah.

Tersedu-sedu dia mengimbas kenangan yang paling manis dalam hidupnya itu. Air matanya mengalir laju di pipi. Dia menutup wajah dengan kedua tangannya.

“Papa, Umar janji, nanti bila Umar dah besar, bila papa dan mama pergi jauh dari Umar, Umar akan sentiasa ingat Allah, nanti Allah boleh selalu teman Umar kan papa?”

Lafaz janji seorang anak kecil kepada papanya. Papanya terus memeluk anaknya itu. Dari jauh mama melihat adegan dua beranak itu. Bertakung air matanya.

“Semoga kau sentiasa berada dalam hidayah Allah anakku.” Doa mama dalam hati.

Esak tangisnya semakin kuat. Mendayu-dayu. Hening malam itu, disaksikan alam yang sunyi, bersaksikan tuhan Yang Menguasai Hari Pembalasan, tangisan seorang hamba yang menyesal mengenang dosanya. Malam itu, dia melaluinya dengan tangisan dan penyesalan. Gambar papa dan mamanya sentiasa terlekap di dada. Umpama anak kecil, dia menyebut nama kedua papa dan mamanya. Tuhan, saksikanlah....


1 – Diriwayatkan oleh Muhammad bin Ismail al-Bukhari dalam sahihnya.

Secebis Hidayah 01 part 2


“Awak...”

Lelaki itu tersenyum.

“Muhammad Aidil Syafiq bin Zakaria. Selamat berkenalan."

Dia tidak mampu untuk berkata. Lidahnya kelu. Terperanjat dengan penampilan lelaki tersebut yang telah berubah. Namun satu perkara yang tidak berubah iaitu ketenangan dan senyuman yang sentiasa terpahat di wajahnya.

“Awak buat apa di sini?”

Dia memulakan bicara. Aidil mengajaknya berjalan-jalan sambil mengambil angin di taman permainan berdekatan. Kebetulan waktu kerjanya sememangnya sudah tamat. Riuh rendah suara anak-anak bermain sesama mereka. Angin petang itu bertiup nyaman merai kepulangan beburung ke sarang masing-masing. Sesekali tudungnya terbuai-buai ditiup angin lembut itu.

Lelaki itu tetap tenang menikmati keindahan suasana yang damai itu. Dia melihat wajah lelaki tersebut dari sisi, ternyata wajah itu menggamit perasaannya. Lantas teringat kata-kata lelaki tersebut yang kukuh terpahat di memorinya.

“Merekalah wanita solehah cik Farhana. Merekalah wanita yang akan sentiasa bergembira dan berhias diri hanya untuk Yang Maha Esa. Cik Farhana, jadilah seperti mereka. Saya janji, tiada lagi mata nafsu yang memandang, tetapi mata kasih sayang yang akan datang.”

“Cik Farhana, saya katakan ini kerana saya sayangkan cik Farhana. Fikirkanlah cik Farhana. Untuk diri awak sendiri, bukan untuk saya.”

Dia menundukkan wajahnya. Serta merta dadanya berdebar.

“Lihatlah.”

Dia mengangkah wajahnya apabila mendengar lelaki tersebut mula berbicara.

“Lihat anak-anak itu, riang gembira bermain bersama-sama. Mereka tidak pernah bimbang dengan masalah yang melanda di sekitar mereka. Seronok melihat mereka tertawa dan tersenyum. Kan Cik Farhana?”

Aidil Syafiq spontan mengalihkan pandangannya ke arah Farhana. Farhana tersentak. Malu kerana Aidil perasan yang dia sedang merenung wajahnya. Aidil tersenyum.

Tiba-tiba seorang kanak-kanak dalam lingkungan 4 tahun berlari-lari menuju ke arah mereka tetapi jatuh tertiarap tidak jauh daripada mereka. Aidil segera mendapatkan kanak-kanak tersebut dan membelai-belai dan mencium kepala kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak itu terkebil-kebil apabila diperlakukan begitu. Aidil tersenyum.

Farhana hanya memerhatikan sahaja perbuatan lelaki tersebut. Lelaki yang tidak pernah lekang dengan senyuman itu nampak lembut dan penyayang. Kanak-kanak tersebut mengesat matanya yang sedang menakung air mata dan kemudian kembali menyertai rakan-rakannya yang sedang bermain.

“Cik Farhana tahu tak?”

Dia hanya berdiam diri tidak bersuara.

“Satu ketika, baginda nabi s.a.w. mencium cucundanya Hasan bin Ali dan ketika itu seorang sahabat baginda bernama al-Aqra’ bin Habis al-Tamimi sedang duduk bersama baginda. Lalu Aqra’ berkata: Aku mempunyai sepuluh orang anak, tiada seorang pun daripada mereka yang aku cium.

Aidil berhenti menghirup nafas seketika.

“Tahu tak cik Farhana? Baginda nabi s.a.w. memandang ke arah Aqra’ sambil bersabda: ‘Sesiapa yang tidak mengasihi maka ia tidak akan dikasihi.[1]"

Mata mereka bertentangan seketika sebelum Aidil mengalihkan pandangannya dengan segera.

Dia mahu mengelak dari bertentangan mata dengan wanita tersebut. Aidil meneliti penampilan wanita bertudung labuh di hadapannya itu. Penampilannya amat berbeza sekali ketika kali terakhir mereka bertemu sehari sebelum dia mendaftar keluar.

“Siapa awak sebenarnya?”

“Saya Muhammad Aidil Syafiq bin Zakaria. Selamat berkenalan.

Aidil menghadiahkan sekuntum senyuman. Farhana tergelak kecil mendengar jawapan tersebut.

“No, i mean, emm.... siapa sebenarnya awak ni Encik Aidil Syafiq bin Zakaria?”

Sengaja dia menyebut nama lelaki itu dengan lengkap.

“Ha,ha,ha... seriously you want to know who am i?”

Farhana mengangguk.

“Well, my name is Muhammad Aidil Syafiq bin Zakaria. A human being, and someone who really love to share something what he have with others.”

Farhana mengangkat keningnya. Terperanjat dengan kefasihan lelaki tersebut bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Err...”

Aidil tersenyum.

“3 bulan lalu, ketika saya tiba di sini, saya disambut oleh Doktor Fuad. Atas jasa baiknya, saya ditempatkan di bilik khas itu bersendirian. Sepanjang saya berada di sini, banyak cerita-cerita yang menarik yang saya dengar mengenai diri saya. Jadi tak hairanlah ketika Cik Farhana terserempak dengan saya beberapa kali, riak wajah Cik Farhana berubah seolah-olah Cik Farhana melihat seorang penjenayah.”

Farhana tersenyum sendiri bila mengingati peristiwa tersebut.

“Yelah, siapa yang tak takut bila dirinya dipandang tajam begitu. Tapi... khabar angin nampak macam betul. Lagi-lagi bila saya dapat tahu hanya jururawat lelaki sahaja yang dibenarkan untuk melayan awak.”

Aidil memandang langit yang semakin menguning. Dia melihat jam di tangannya. Masih ada lagi 30 minit untuk bertemu senja.

Tidak harus bagi seorang lelaki bersendiri dengan seorang wanita melainkan ia bersama dengan mahramnya.[2] Inilah kata nabi s.a.w.”

“Cik Farhana, adalah dilarang andai saya dan seorang wanita bersendirian. Bukankah saya duduk berseorangan dalam bilik tersebut. Andai seorang jururawat wanita datang untuk membantu saya, bukankah ketika itu kami sedang berdua?”

Farhana terdiam mendengar kata-kata lelaki yang baru dikenali itu. Dia seperti tidak percaya, seorang lelaki yang baru sahaja sembuh daripada penyakit mental boleh bercakap seperti seorang ustaz.

“Cik Farhana, ketika nabi s.a.w. semakin runsing melihat masyarakat sekitar baginda hidup dalam keadaan jahiliah. Baginda mengambil keputusan untuk ber’uzlah di gua Hira’. Baginda s.a.w. memerlukan masa untuk mencari ketenangan yang jauh dari kepincangan sosial dan peradaban yang berlaku ketika itu.”

Aidil menghembuskan nafasnya perlahan.

“Dan saya mengambil keputusan untuk berada di sini bukan kerana saya mengalami tekanan mental cik Farhana. Tetapi saya memerlukan ketenangan, banyak peristiwa yang telah berlaku kepada saya. Saya perlukan satu tempat untuk mencari ketenangan. Untuk mendapatkan kembali rasional yang hampir tipis dalam diri saya. Akhirnya, Allah Maha Bijak dalam merancang, dia temukan saya dengan Dr. Fuad yang membenarkan saya untuk berada di sini untuk beberapa minggu. Dengan kata lain, saya tidak seperti penghuni lain di wad tersebut. Saya normal. Sebab itu saya mahu hanya jururawat lelaki sahaja membantu saya.”

Farhana terkesima. Dia tidak menyangka wujud manusia yang mempunyai idea gila seperti itu. Mencari ketenangan di tengah-tengah manusia gila? Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Hish, saya tak faham apa yang awak fikirkan sebenarnya Syafiq. Tapi... awak dah jumpa dengan ketenangan yang awak cari tu?”

Aidil tersenyum. Jarang orang memanggilnya dengan nama kedua itu. Hanya keluarganya sahaja yang memanggil begitu.

“Saya masih mencari cik Farhana. Saya masih mencari.”

Dia merenung langit senja yang sedang megah menelan mentari. Kanak-kanak mula beransur pulang. Hanya tinggal beberapa orang sahaja yang sedang menanti ibubapa mereka mengambil mereka pulang.

“Hmm.... nampaknya maghrib akan menyusul. Saya rasa dah sepatutnya kita berpisah.”

“Ke mana awak nak pergi?” gugup Farhana menyusun bicara.

“Mencari dan berkongsi. Saya mahu bertemu dengan saudara-saudara yang saya sayangi di luar sana. Banyak lagi perkara yang saya perlu lakukan untuk mereka. Sekurang-kurangnya, apabila bertemu dengan awak di sini 3 bulan lalu, bercakap dengan awak memberi kekuatan kepada saya untuk bertemu dengan mereka.”

Farhana terdiam.

“Cik Amelia Farhana, awak kelihatan anggun seperti ini. Saya bangga dengan awak kerana berani melakukan perubahan yang mulia ini.”

Farhana tersipu.

“Jadilah wanita solehah Cik Farhana. Wanita yang meletakkan redha Allah sebagai tunjang dalam kehidupannya. Yakinlah, ketika awak berasa keseorangan di dunia, Allah sentiasa bersama mereka yang meletakkan redha Allah tertinggi dalam hidupnya.”

Aidil Syafiq memandang wajah tersebut sambil tersenyum. Farhana membisu. Fikirannya buntu untuk melafazkan sebarang kata. Hanya dia rasa, air matanya mula bertakung kerana dia dapat rasakan perpisahan yang akan berlaku nanti.

“Amelia Farhana binti Abdur Rahman. Ana akhukum Fillah. Aku menyayangi dirimu kerana Allah. Semoga redha Allah sentiasa bersama dalam persahabatan kita.”

Dia hanya mampu memandang dari jauh sahaja kelibat lelaki itu. Sedikit demi sedikit kelibat lelaki itu menghilang. Biarpun mereka berpisah, namun hatinya terasa damai. Tidak terasa sedikit pun kekecewaan.

“Ya, semoga Allah temukan kita dengan redha-Nya. Muhammad Aidil Syafiq bin Zakaria. Dirimu takkan ku lupa...”


1- Diriwayatkan oleh Muhammad bin Ismail al-Bukhari dan Muslim bin Hujaj an-Naisaburi dalam sahih keduanya.
2- Diriwayatkan oleh Muslim bin Hujaj an-Naisaburi dalam sahihnya.

11/28/2009

Secebis Hidayah 01 part 1


“Rambut awak cantik.”

Spontan tubuhnya menoleh ke arah empunya suara. Matanya tidak berkelip memandang lelaki tersebut. Dadanya berdegup kencang. Jarak antara dia dan lelaki itu hanyalah beberapa inci sahaja.

Lelaki itu tenang memandangnya, “Khusyuk awak buat kerja tu, maaf kerana buat awak terkejut.”

Dia terkedu. Kerana leka mengemas katil-katil yang terdapat di bilik A146, bilik khas untuk pesakit psikiatri di situ, dia tidak perasan akan kehadiran pesakit tersebut. Menjadi kebiasaannya yang sudah hampir sebulan dia melakukan praktikal di wad psikiatri atau umum mengenali wad itu sebagai wad sakit jiwa. Farhana merupakan seorang pelajar kejururawatan di arah untuk membuat praktikalnya di unit terebut. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum dia bergelar graduan. Sebelum itu, dia perlukan selesaikan pratikal terakhirnya ini.

Pada awalnya dia berasa bimbang kerana banyak cerita-cerita yang tidak enak didengarinya. Apatah lagi, ketika minggu pertama dia berada di situ, dia mendengar khabar angin mengatakan terdapat seorang pesakit yang baru sebulan di tempatkan di wad tersebut amat menggerunkan jururawat-jururawat wanita di situ. Dikatakan hanya jururawat lelaki sahaja dibenarkan untuk mendekati dan menguruskan pesakit tersebut.

Cerita tersebut menambahkan kegerunan dalam dirinya lagi, apatah lagi apabila beberapa kali terserempak dengan pesakit tersebut, dia direnung tajam. “Handsome, tapi gila,” bisik hatinya setelah beberapa kali terserempak dengan pesakti tersebut.

“Terima kasih.”

“Eh?” spontan bibirnya melafazkan kalimah ringkas itu.

“Katil tu katil saya. Terima kasih kerana kemaskan katil saya.”

“Oh...” Farhana berusaha menelan air liur yang tersangkut di kerongkongnya. Debar di dadanya semakin laju. Kalau diikutkan rasa, mahu sahaja dia berlari keluar dari situ. Tetapi kakinya seakan-akan terpaku di lantai. Sesekali dia menjeling ke arah pintu masuk bilik tersebut, berharap agar ada sesiapa yang masuk, tetapi hampa.

“Cik Farhana, rambut awak cantik.” Lelaki itu tersenyum. Perasaan takut dan bimbang mula menghantui dirinya.

“Cik Farhana tahu tak? Setiap sudut yang ada pada diri seorang wanita ini adalah perhiasan yang indah dan menjadi tarikan utama yang menjadi kegilaan ramai lelaki.”

Lelaki itu tersenyum melihat Farhana yang berdiri kaku di hadapannya itu.

“Cik Farhana, bertenanglah. Saya bukannya makan orang pun.”

Farhana tersenyum di dalam hati pabila mendengar kata-kata lelaki tersebut. Biarpun dirinya ketakutan, namun kelembutan tutur kata lelaki tersebut sekurang-kurangnya meredakan kegundahannya.

“Err...maafkan saya.” Akhirnya dia berjaya meluah kata-kata.

“Tak mengapa, saya faham.”

“aaa... kalau macam tu saya keluar dulu ya. Ada kerja lain lagi ni.” Dia mahu keluar dari situ secepat mungkin. Bimbang kalau apa-apa terjadi. Yalah, inikan bilik pesakit psikiatri. BILIK ORANG GILA. Bahaya. Segera dia mengatur langkah kakinya.

“Cik Farhana!”

Kakinya kembali terpaku. Dia tidak sanggup untuk menoleh kembali ke arah lelaki tersebut.

“Cik Farhana tahu tak, cik Farhana sebenarnya dalam bahaya.”

Dia dapat merasakan yang lelaki tersebut sedang menghampirinya. Mendengar kata-kata tersebut membuatkan hati kecut, menggigil ketakutan. Dia memejamkan matanya.

“Awak sebenarnya dalam bahaya cik Farhana.”

Dia terperanjat, lelaki tersebut betul-betul berada dihadapannya. Dia dapat mendengar jelas deruan pernafasan lelaki itu. Dia tidak pasti sama ada lelaki tersebut dapat mendengar atau tidak degupan jantungnya ketika itu. Dia kini tidak dapat melarikan diri, untuk menuju ke satu-satunya pintu masuk dan keluar bilik itu, dia perlu melalui lelaki tersebut.

“Kenapa awak cakap macam tu?” Dia memberanikan dirinya untuk bersuara.

“Kerana awak dalam perhatian.”

Dia mengerutkan dahinya.

“Ramai yang berminat untuk memiliki perhiasan yang ada pada awak. Mereka mahukannya. Orang di luar sana mahukannya.”

“Maafkan saya. Untuk pengetahuan awak, saya tak pakai pun barang kemas. Dan kalau saya pakai pun, saya tak pernah tunjuk pun depan orang ramai.”

Lelaki tersebut tersengih.

“Cik Farhana, kenapa awak tak tunjuk pada mereka barang kemas awak?”

“Awak gila ke? Nanti tak pasal-pasal saya kena ragut, kena rompak. Itu tempah bencana namanya.”

“Cik Farhana, cik Farhana. Kan saya tinggal di bilik ni. Ini bilik pesakit psikiatri. Bilik orang gila."

“Ha,ha,ha. Cik Farhana, tahu tak awak, sebenarnya awak sedang membahayakan diri awak sendiri.”

“Apa yang awak cakapkan ni?”

“Perhiasan yang ada pada diri seorang wanita bukanlah terletak pada aksesori dirinya, cik Farhana. Tetapi ia terletak dalam dirinya, tersurat dan tersirat. Pernahkah awak dengar, wanita adalah perhiasan dunia, dan mahkota kecantikkannya terletak pada rambut dan dirinya sendiri. Itulah yang saya dengar.”

“Malang sekali cik Farhana, awak sedang menarik perhatian penjenayah-penjenayah di luar sana untuk memiliki mahkota tersebut. Dengan kata lain awak sedang membahayakan diri awak sendiri. Awak mengundang bencana!”

“Awak pamerkannya, berbangga dengan pandangan mata yang beribu itu, walhal awak tak tahu, dikalangan mata yang beribu itu terdapat mata yang memandang dengan penuh nafsu. Nah, awak tak perasan ke?”

Dia tidak mampu bersuara. Kelantangan lelaki itu bersuara membuatkan amarahnya terjaga. Dia memandang wajah lelaki itu dengan penuh benci. Benci pada setiap tutur kata yang lelaki itu. Benci pada ceramah entah apa-apa dari seorang lelaki gila!

“Cik Farhana, saya tak kisah kalau awak membenci saya. Dari pandangan awak itu saya tahu. Tetapi ketahuilah cik Farhana, sesungguhnya saya menyayangi awak. Saya tak mahu awak terus berada di dalam bahaya.”

Lembut lelaki itu menuturkan kata. Rasa amarahnya menurun. Dia kembali rasional. Mata mereka bertentangan buat seketika. Namun lelaki itu pantas berkalih ke arah lain, membuang pandangnya ke luar jendela.

“Cik Farhana, wanita itu adalah perhiasan, dan seindah hiasan adalah wanita yang menjaga diri dan maruahnya. Dia takut pada tuhan, lalu sentiasa menjaga dirinya untuk tuhan.”

“Tidak salah untuk berhias cik Farhana. Tetapi berhiaslah dengan cara wanita syurga. Wanita yang menjadi idola di dunia, wanita yang menjadi perhiasan terindah di dunia.”

“Tahukah cik Farhana siapakah mereka?”

Dia diam membisu. Memandang wajah tenang lelaki dihadapannya itu.

“Merekalah wanita solehah cik Farhana. Merekalah wanita yang akan sentiasa bergembira dan berhias diri hanya untuk Yang Maha Esa. Cik Farhana, jadilah seperti mereka. Saya janji, tiada lagi mata nafsu yang memandang, tetapi mata kasih sayang yang akan datang.”

“Cik Farhana, saya katakan ini kerana saya sayangkan cik Farhana. Fikirkanlah cik Farhana. Untuk diri awak sendiri, bukan untuk saya.”

"Cik Amelia Farhana, jadilah wanita solehah yang sentiasa hidup dalam redha Allah..."

Dia menundukkan pandangan matanya. Kelopak matanya mula menakungkan air. Wajahnya terasa panas. Kala ini egonya hancur menjadi debu. Kata-kata dari seorang lelaki gila, membuatkan cahaya imannya yang malap kembali bersinar.



2 bulan kemudian....

“Err... Farhana, tolong susunkan fail-fail ini ke raknya.” Seorang doktor muda beruniform putih bersih menyerahkan satu longgokan fail di kaunter.

“Baik doktor.”

Dia segera mengambil fail-fail tersebut dan menyusunnya. Secara tidak sengaja satu fail terjatuh dan terbuka di kakinya. Mempamerkan gambar salah seorang pesakit yang pernah menjalani rawatan di sini.

“Eh, ini fail lelaki tu,” bisiknya di dalam hati.

Baru dia teringat, selepas peristiwa hari itu, dia telah mengambil cuti untuk tiga hari kerana demam dan tekanan perasan. Dalam tempoh tersebut dia kembali muhasabah dirinya. Namun begitu, apabila dia kembali dari cuti, pesakit tersebut telah mendaftar keluar. Tidak sempat untuk melihat penampilan baru dirinya itu. Namun dia tidak kisah, kerana dia sudah tekad, dia kini berhias bukan untuk sesiapa pun, tetapi untuk tuhan yang memberi hidayah kepadanya.

“Eh, aku tak sepatutnya baca rekod ni. Astaghfirullah...” bisik hatinya. Dia membetulkan kembali tudungnya yang senget sedikit. Dia semakin selesa dengan penampilan barunya itu. Berbanding sebelum ini, tudung bukanlah satu pakaian utama dalam dirinya. Tetapi, kini tudung labuh dan sesuai dengan kerjayanya menjadi pilihan utama.

Dia kembali menyusun fail-fail tersebut. Rak tersebut berada dibelakang kaunter sahaja. Waktu kerjanya hampir tamat. Sebentar lagi rakannya akan menggantikan tempatnya.

“Assalamu’alaikum, cik Amelia Farhana?”

“Wa’alaikumsalam, ye saya. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” jawabnya sambil memusingkan tubuhnya mengadap ke empunya suara di kaunter. Dia terkedu.

Itulah wajah lelaki yang tidak dapat dilupakan selama ini. Lelaki yang menegur dirinya dua bulan lalu. Lelaki gila yang awalnya amat dibenci namun akhirnya amat berjasa dalam perubahan dirinya itu.

“Awak...”

Lelaki itu tersenyum.

“Muhammad Aidil Syafiq bin Zakaria. Selamat berkenalan.”