RSS
Facebook
Twitter

11/01/2010

Bicara Seorang Pemuda


Siri 2.....

Selepas solat Isyak, Afiq duduk termenung. Diamatinya suasana masjid yang tenang itu. Masjid al-Azhar, dirasmikan pada tahun 2001 oleh Duli Yang Amat Mulia Sultan Selangor ketika itu, Sultan Idris Shah. Ketika itu KUIS baru sahaja dinaik tarafkan daripada kolej swasta kepada kolej universiti. Sebelum ini KUIS atau lebih dikenali sebagai Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR) beroperasi di Seksyen 11, Shah Alam.

Masjid al-Azhar juga merupakan nadi bagi setiap program keagamaan bagi warga KUIS. Banyak program-program berbentuk ilmiah dianjurkan oleh pihak masjid di bawah pentadbiran masjid yang diketuai oleh nazirnya, Ustaz Farid Ravi Abdullah.

Di hujung kanan masjid berdekatan dengan tempat penyidai kain pelikat, beberapa orang pelajar duduk membentuk kumpulan. Mungkin mereka sedang berbincang ataupun sekadar berbual. Afiq menyandarkan dirinya kedinding sambil menutup matanya, mengambil peluang untuk berehat seketika sebelum pulang ke asrama.

“Assalamu’alaikum abang Afiq,” tegur satu suara yang amat dikenalinya.

Afiq membuka mata dan memandang ke arah empunya suara. Dia tersenyum.

“Hmm...ada apa ni Syuk? Ana tengok antum semua ni berkerut je dahi tu.”

Syukri anak kelahiran Melaka yang berwajah gelap, dengan ketinggian yang sederhana tersengih memandang wajah senior mereka itu. Di sebelahnya, Farid dan Zaid ikut tersengih mendengar kata-kata senior mereka itu.

“Ai, takkan antum nak diri je depan ana ni. Duduklah Syuk. Ajak Farid dan Zaid sekali. Jangan malu-malu, buatlah macam rumah sendiri. Hehehe...”

“Takda apapun abang Afiq. Saje nak tegur abang Afiq. Entah kenapa, hari ini kami rasa rindu pula kat abang senior kami ni,” Farid membalas gurauan Afiq.

Syukri, Farid dan Zaid, merupakan diantara pelajar semester 2 al-QudS yang rapat dengar Afiq. Bagi mereka walaupun Afiq merupakan senior mereka namun Afiq tidak pernah memilih rakan dalam bergaul. Afiq bergaul dengan semua pelajar tak kira dari semester berapa sekalipun. Berbeza dengan sesetengah senior lain dalam al-QudS. Mereka amat mengagungkan perbezaan antara senior dan junior. Bagi mereka, junior kena dengar kata-kata senior.

Berbeza dengan senior mereka yang bernama Afiq Hamzi ini. Afiq sentiasa mengingatkan mereka bahawa antara senior dan junior tiada tembok pemisah melainkan ketaqwaan. Dan ketaqwaan hanya dapat dicapai dengan ikatan ukhwah yang satu. “Bukankah orang yang beriman itu bersaudara?” Afiq sentiasa mengakhiri perbualan mereka dengan soalan ini setiap kali mereka berbincang mengenai isu senior junior ini.

“Abang Afiq sibuk tak malam ni? Kami ada sesuatu nak bincang dengan abang kalau abang ‘free’,” Syukri memandang.

Afiq terdiam seketika. Akal ligat mengingatkan jadual aktivitinya malam ini. Hatinya berasa seperti ada yang tidak kena. Ada sesuatu yang dia terlupa. Tapi... apakah benda itu?

“Ya Allah!” Afiq menjerit kecil. Masjid al-Azhar bergema dengan suaranya.

“Kenapa bang? Abang Afiq ada program ke malam ni?”

“Ana minta maaflah Syuk, Farid, Zaid. Ana ada usrah malam ni. Ana dah terlewat ni, sepatutnya jam 9 tadi mula. Maafkan ana ye. Boleh kita tangguhkan perbincangan kita ni?”

“Oh, beres je bang. Nanti saya mesej abang ea. Kita tetapkan bila kita boleh berjumpa semula,” Syuk menunjukkan telefon Nokia 3310 nya itu. Simbolik yang dia pasti akan mesej.

“Ok, syukran semua. Ana beransur dulu ye. Syukran kerana bertolak ansur dengan ana. Terima kasih dan ana minta maaf sesangat ye,” Afiq menghadiahkan senyuman kepada mereka. Mereka saling bersalaman. Afiq bergegas mencari selipar yang diletakkan dihadapan tempat masuk masjid.

Seperti minggu-minggu sebelumnya, setiap hari Rabu minggu ke 2 dan ke 4, Afiq akan mengadakan usrah bersama sahabat-sahabat yang mengambil diploma al-QudS semester 5. Singkatan al-QudS digunakan sebagai singkatan bagi Persatuan Mahasiswa al-Quran & as-Sunnah. Usrah tersebut akan bermula pada jam 9 malam.

Usrah tersebut adalah salah satu inisiatif yang dicadangkan oleh Hakim untuk mengeratkan lagi ukhwah pelajar-pelajar dalam kelas mereka. Selain daripada salah satu medan untuk mereka bertukar pendapat, berkongsi masalah atau berbincang mengenai apa sahaja perkara yang berkaitan dengan subjek-subjek yang tidak dapat mereka fahami di dalam kelas. Melihat kepada keberkesanan aktiviti tersebut, Afiq mencadangkan agar mereka membuka juga penglibatan kepada pelajar-pelajar al-QudS daripada semester lain yang berminat. Setakat ini hanya seorang pelajar sahaja dari semester 3 yang turut serta.

Alamak, dah pukul 9.10 minit. Kena cepat ni, mana boleh naqib sendiri yang datang lambat. Afiq mempercepatkan langkahnya menuju ke bilik tutorial 2113, berdekatan dengan Taman Islami. Taman Islami terletak di tengah-tengah bangunan lama yang disebut sebagai blok akademik. Bangunan tersebut terletak di sebelah kiri masjid al-Azhar. Pintu utama bangunan tersebut bersetentang dengan pintu masuk masjid untuk wanita.

Afiq mengambil seliparnya dan membawa ke pintu tersebut. “Short cut,” bisik hatinya. Kebetulan ketika itu, pintu tersebut kosong tiada orang yang menanti. Dari situ dia hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk ke sana.

Aduh.... harap-harap mereka dapat memaafkan aku nanti. Ya Allah....

Dari pintu utama dia mengambil lorong di sebelah kanan, Afiq melalui kawasan bilik para pensyarah dari fakulti bahasa. Dari lorong itu dia dapat melihat bilik tutorial 2113 cerah, bunyi bising dari mesin penghawa dingin juga kedengaran. Afiq mempercepatkan langkahnya menuju ke pintu dan terus memutar tombol pintu.

“Assalamu’alaikum semua...” Afiq memberi salam sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik tutorial tersebut. Serta merta terasa hembusan dari penghawa dingin menyejukkan tubuhnya yang sedang dibasahi peluh. Afiq segera mengambil tempat duduknya yang telah tersedia dihadapan. Matanya berkeliaran memandang semua ahli yang ada dihadapannya. Semua mata memandang pemimpin al-QudS tersebut.

“Semua ahli usrah telah tiba,” bisik Afiq di dalam hati.

“Wan Muhaimin, Furqan, Wasim, Raudhah, Hanani, Aiman Mardhiah Farhanah dan... eh, ada pertambahan?” Afiq sekadar bersuara di dalam hati. Dia terlewat 10 minit daripada waktu yang dijanjikan.

“Emm... baiklah kita mulakan majlis kita dengan bacaan Ummul Kitab al-Fatihah,” Afiq memulakan bicara. Semua diam membaca dan menghayati setiap baris ayat suci itu. Al-fatihah yang juga dikenali sebagai Ummul Kitab menjadi amalan mereka setiap kali bermulanya usrah.

“Baik sebelum kita pergi lebih jauh dalam perbincangan kita malam ini, ana ingin meminta maaf kepada sahabat-sahabat semua atas keterlewatan ana,” satu persatu wajah sahabatnya dipandang. Dia menarik nafas panjang menanti respon daripada sahabat-sahabatnya.

“Minta maaf mencelah. Izinkan ana bersuara sebentar.” Wan Muhaimin bangun mencelah. Afiq mengangguk. Afiq sudah menduga yang pemuda dari ibu kota negeri ‘Serambi Mekah’ ini akan bersuara.

“Sebelum itu ana mewakili semua ahli usrah dan secara peribadinya memaafkan kesilapan enta. Namun begitu, ana selaku ketua unit hisbah dan disiplin al-QudS juga ingin mengingatkan kepada semua ahli usrah al-QudS agar sentiasa berdisiplin. Patuhilah masa,” Wan Muhaimin memulakan bicaranya.

“Sebagai seorang mukmin, kita perlu ingat bahawa menepati masa itu amat penting. Allah s.w.t. telah bersumpah dalam surah al-‘Asr ayat pertama yang bermaksud “Demi Masa!” Menunjukkan betapa pentingnya masa itu kepada kita. Jadi, ana nak menegur kepada saudara pemimpin kita, akh Afiq Hamzi atas kecuaian dirinya dalam menepati masa. Ana harap perkara ini tidak berulang lagi. Dan majlis hisbah dan disiplin al-QudS meminta agar enta bertanggungjawab terhadap kesalahan enta ini dan enta diminta untuk membuat artikel dan tazkirah mengenai kepentingan amanah dan menepati masa dan bentangkannya dalam usrah yang akan datang.”

Afiq mendiamkan dirinya. Itulah hukuman yang pernah mereka bincangkan bersama ketika di awal penubuhan usrah mereka dahulu. Di dalam hatinya dia amat menyesal atas kecuaiannya itu. Dia beristighfar berulang kali memohon keampunan atas kesalahannya itu.

“Benar kata enta itu akh Muhaimin. Maha Suci Allah, bersyukur ana menerima sahabat seperti antum semua. Ana menerima dengan hati yang terbuka akan hukuman yang diberikan. Insya Allah, ana berjanji tidak akan mengulangi lagi kesalahan seperti ini,” Afiq tersenyum puas. Dia amat berbangga dengan sahabatnya itu. Tidak salah keputusannya melantik Wan Muhaimin sebagai ketua unit Hisbah & disiplin usrah. Afiq sengaja membina sebuah organisasi dalam usrah tersebut untuk melatih ahli usrahnya untuk lebih bertanggungjawab. Terdapat 3 unit yang di letakkan dalam organisasi usrah tersebut, iaitu unit Dakwah & Kebajikan, unit Akademik dan unit Hisbah & Disiplin. Afiq memilih Wan Muhaimin Biarpun baru semester 3 dalam al-QudS, tetapi dia tetap tegas dalam bertugas.

Afiq yakin, seorang pemimpin yang ditegur kesilapannya menunjukkan dia disayangi oleh kepimpinannya, namun seorang pemimpin yang tidak ditegur kesilapannya, bermakna kepimpinannya tidak menyayangi dirinya. Dan Afiq Hamzi tidak mahu menjadi pemimpin seperti itu!

***************************************************************

“Abang Afiq, ana minta maaf mengenai hal tadi andai enta terasa hati dengan kata-kata ana,” tegur Wan Muhaimin ketika bersalaman dan berpelukan dengan Afiq seusai majlis usrah.

“Tak mengapa, ana faham. Ana yang sepatutnya berterima kasih pada enta kerana menyedarkan ana daripada kesilapan ana tadi. Syukran ya akhi.” Afiq tersenyum. Sekali lagi mereka berdua berpelukan, menandakan betapa eratnya ukhwah yang mereka bina. Langsung tiada sifat dengki dan dendam diantara mereka.

Setiap individu adalah pemimpin, sama ada pemimpin kepada dirinya, mahupun pemimpin kepada sesebuah negara. Dan setiap dari mereka ini akan disoal akan tanggungjawab mereka. Cabaran bagi setiap pemimpin ialah bagaimanakah cara bagi dirinya sebagai seorang ketua untuk berhadapan dengan rakyatnya yang berbagai ragam dan kefahaman.

Oleh itu, setiap pemimpin perlu mencontohi personaliti diri tokoh-tokoh pemimpin Islam yang agung seperti Rasulullah s.a.w. dan khulafa’ ar-Rasyidin dalam kepimpinan mereka yang adil dan berdisplin agar dapat memotivasikan diri untuk menjadi pemimpin terbaik bagi rakyatnya.

Di zaman khalifah Ali bin Abi Talib, pada suatu hari, beliau sedang berjalan-jalan di pasar, tatkala itu beliau telah melihat seorang lelaki Yahudi sedang memakai baju besi miliknya. Lalu beliau menuntut baju besi tersebut, namun begitu lelaki Yahudi tersebut menafikan kenyataan khalifah dan mengaku bahawa baju tersebut adalah miliknya. Saidina Ali membawa kes tersebut ke mahkamah dan meminta agar hakim yang juga sahabatnya Syuraih menghakimi mereka. Namun apabila beliau diminta untuk membawa dua orang saksi, kesaksian Qanbar, pembantunya diterima namun kesaksian Hasan ditolak atas alasan kekeluargaan. Oleh itu, kes tersebut telah dimenangi oleh Yahudi tersebut. Namun begitu atas dasar ketaqwaan, beliau menerima keputusan tersebut dengan hati yang puas.

Beliau langsung tidak menggunakan kekuasaannya, sedangkan beliau adalah Khalifah agung yang dihormati ketika itu. Melihat keadaan tersebut, lelaki Yahudi tersebut membuat pengakuan bahawa sebenarnya baju tersebut adalah milik Saidina Ali. Kemudian dia memulangkan semula baju besi tersebut dan mengucap kalimah syahadah. Subhanallah, apabila mendengar sahaja perkara tersebut lantas sepupu Nabi tersebut menghadiahkan baju besinya bersama 900 dirham sebagai hadiah atas keislaman lelaki Yahudi tersebut. Inilah ciri agung seorang pemimpin yang perlu kita contohi. Sentiasa bertaqwa dan reda dalam kepimpinan.

“Subhanallah... perlakuan antum berdua ni mengingatkan ana pada satu hadis Rasulullah s.a.w.,” Wasim yang sejak dari tadi berdiam diri melihat telatah mereka mencelah.

“Apa hadisnya Wasim? Cuba enta berkongsi dengan kami,” Furqan menyampuk. Dia baru sahaja selesai mengemaskan buku-buku yang dipinjamnya daripada perpustakaan selepas solat Maghrib tadi.

“Emm... daripada Nu’man bin Basyir r.a., Nabi s.a.w. bersabda: ‘Kemesraan, kasih sayang dan saling berbelas kasihan antara orang Mukmin diibaratkan seperti satu jasad, apabila satu anggota mengadu kesakitan, seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar.’[2] lancar Wasim membacakan hadis tersebut. Dia yang juga merupakan antara pelajar yang cemerlang dalam kelas al-QudS semester 5 sememangnya diketahui akan kegemarannya menghafal hadis-hadis nabi s.a.w.

“Subhanallah, ana doakan agar ukhwah antara kita bertepatan seperti mana sabda nabi yang enta baca tadi Wasim,” kata Afiq.

“Insya Allah....” Wasim tersenyum membalas.

Kedinginan malam itu dirasai oleh mereka semua. Mereka seiring berjalan kaki pulang ke asrama. Laluan yang disediakan merentangi padang bola dan berdekatan dengan masjid itu merupakan laluan biasa bagi siswa-siswa yang hendak pulang ke asrama masing-masing.

Masjid al-Azhar masih lagi terang benderang disinari cahaya. Kedengaran suara seperti dengungan kawanan lebah dari dalamnya. Menjadi kebiasaan bagi para pelajar di sini terutamanya pelajar dari Jabatan Tahfiz dan Qiraat duduk beriktikaf di masjid hingga tengah malam. Mereka perlu mengulang hafazan mereka kerana jadual tasmi’ mereka akan bermula pada jam 8 pagi setiap hari.

“Hmm... Talhah mesti tengah menghafaz masa ni,” Afiq berkata di dalam hati sambil matanya merenung dua orang pelajar yang sedang membaca al-Quran di dalam masjid. Talhah, mahasiswa bidang Tahfiz dan Qiraat, belajar dalam semester yang sama dengannya. Selepas solat Isyak tadi dia sempat menegur sahabatnya itu yang tergesa-gesa keluar dari masjid. Katanya dia telah berjanji dengan rakan sekelasnya untuk mengulang bersama. Esok mereka ada ujian mengejut. Afiq tersenyum sendiri.

Di tengah jalan mereka bertembung dengan dua pelajar yang datang dari arah asrama. Afiq memberi salam kepada pelajar yang memakai t-shirt berwarna hitam dan berkaca mata namun tidak diendahkan. Dia perasan yang keduanya memakai earphone di telinga masing-masing. Kedua-duanya berpura-pura tak perasan kehadiran mereka yang ramai di situ.

“Khusyuk sungguh mereka mendengar lagu, mungkin sebab itulah mereka tak dengar,” Afiq memujuk hatinya. Sudah kerap kali dia bertembung dengan pelajar seperti itu. Apabila diberi salam mereka berpura-pura tidak dengar atau sibuk bersembang dengan rakan sebelah. Kerap juga Afiq mendengar sungutan dari rakan-rakannya mengenai perkara tersebut, namun dia hanya mendiamkan diri sambil meminta agar sahabat-sahabatnya memaafkan sahaja mereka.

“Emm... tunggu kejap. Ana nak tanya sikit. Tadi antum semua perasaan tak ada pertambahan di kalangan akhawat?” pertanyaan Furqan menghentikan langkah mereka semua.

Wasim dan Wan Muhaimin saling berpandangan. Memang benar, bilangan akhawat tadi bertambah seorang. Mereka tak pernah pun nampak kelibat siswi tersebut dalam jabatan al-QudS. Entah dari kos apa dan semester berapa mereka tidak tahu. Biarpun ahli usrah mereka itu kebanyakkannya dari bidang yang sama, diploma al-QudS, namun penglibatan siswa atau siswi dari bidang lain amat dialu-alukan.

“Masakan kami tak perasan Furqan, akhawat tu seorang sahaja yang memakai purdah. Afiq, enta tahu siapa dia?” Wasim menoleh kepada Afiq.

“Maaflah, ana tak tahu la Wasim. Pihak muslimah tak maklumkan pun pada ana. Mungkin mereka terlupa kot. Takpalah, ana akan tanya pada Hanani nanti.”

Serentak mereka semua menganggukkan kepala. Seperti telah dirancang perbuatan mereka itu. Afiq tersenyum melihat mereka. Entah apa yang bermain di fikiran mereka ketika itu. Mereka kembali menyambung langkah yang terhenti tadi.

“Satu lagi, Afiq, enta tahu ke mana Hakim? Kenapa dia tak hadir usrah malam ini ya? Dia tak sihat ke?” tanya Wan Muhaimin.

“Astaghfirullahal’azim...ana terlupa nak maklumkan tadi. Dr. Fahim pelawa Hakim untuk temankan dia berceramah di Masjid Nilai. Dia minta maaf kerana tak dapat hadir usrah dan dia sampaikan salam pada antum semua, dengan lafaz ‘Assalamu’alaikum’.”

“Wa’alaikumsalam.... “ jawab mereka semua serentak.

***************************************************************

Kipas siling ligat berpusing menyejukkan ahli bilik yang sedang termenung di meja belajar. Bilik tersebut hanya memuatkan dua orang pelajar sahaja. Berbeza dengan bilik sebelah yang memuatkan 4 orang ahli bilik.

Ketika pendaftaran asrama baru di awal semester, Hakim mengajaknya untuk duduk sebilik bersama. Mereka memilih bilik jenis C kerana lebih privasi. Pihak asrama menyediakan empat jenis bilik di bangunan asrama yang baru sahaja siap ini. Bilik jenis A dan B adalah bilik yang bercirikan ala apartment, manakala bilik jenis C dan D bercirikan seperti asrama. Yang membezakan antara A, B, C dan D ini adalah bilangan ahli bilik dan kemudahan di dalamnya.

Afiq membelek-belek buku teks Manahij al-Muhaddisin. Malam itu moodnya entah pergi ke mana. Tidak seperti kebiasaan, dia akan cuba untuk memahami tajuk yang akan dipelajarinya dalam kelas esok terlebih dahulu.

‘Beep.............’ bunyi mesej daripada telefon bimbit menyedarkan dirinya dari lamunan. “Mesej dari Hakim...” hatinya berbisik.

‘Salam ‘alaik Afiq, ana tak balik malam ni tau. Dr. Fahim jemput tidur rumah dia. Esok jumpa enta dalam kelas Ustazah Ruqaiyah ok. Tolong bawakkan buku ana sekali esok. TQ’.


“Insya Allah...” ujar Afiq di dalam hati.

Astaghfirullahal’azim...Ya Allah berikan aku kekuatan untuk berhadapan dengan cabaran dan ujian perasaan dari diri-Mu ini... Afiq kembali menatap buku teks dihadapannya. Dia tidak boleh membiarkan perasaan malas menguasai dirinya.

“Hei Afiq Hamzi, jangan termenung lagi. Kata nak sambung belajar di Madinah nanti. Belajarlah!” Afiq memarahi dirinya sendiri. Begitulah tabiatnya setiap kali dirinya terlalai atau terleka.

***************************************************************

[2] Riwayat Bukhari dan Muslim.


bersambung....
klik siri 1

10/28/2010

Forum Wacana Siswa

FORUM WACANA SISWA
ISU SEMASA: PRIHATINKAH KITA?

Apakah mahasiswa tidak peduli akan isu semasa yang melanda di tanah air kita? Sejauh mana keprihatinan kita sebagai mahasiswa terhadap masalah-masalah tersebut?

Moh kite ramai-ramai meriahkan Forum Wacana Siswa,

Tempat: PUSKMA
Masa: 1945 malam

Ahli Panel:

Ustaz Wan Mohd Awis Qarny (ahli majlis tertinggi PERMATA)
Ustaz Rasyidi Bin Ali (ahli lembaga tadbir PERMATA)

Ustaz Mohd Iqbal bin Nawawi (ahli majlis tertinggi MPKJ)



masuk adalah percuma, minuman ringan disediakan,
wahai warga Mu'tah, jom pakat ramai-ramai datang.....

Iklan Forum Wacana Siswa




Tetamu di dataran Syam...





Tetamu di dataran Syam ini
Harus gagah seperti Abu Ubaidah
Tanah yang gersang di suburkan dengan
Darah jihad dan jiwa pahlawan

Di celah pohon Zaitun yang rendang
Bersemadi syuhada pahlawan Islam
Menanti dan terus menanti hadirnya
Barisan waris perjuangan

Medan ini medan yang susah dan payah
Sesusah medan Mu'tah di puncak sana
Dan penghuninya juga harus gagah
Segagah kota Karak perakam sejarah
Di sinilah kau akan membina jiwamu
Jiwa pembela maruah agama
Berbekalkan ilmu, berpandukan iman
Islam pasti akan kau merdekakan

Ketibaanmu adik-adikku
Ku sambut dengan seribu pengharapan
Agar kau menjadi insan berilmu
Dan pembela nasib agamamu

Hatimu perlu cekal dan tabah
Sesabar tiga sahabat Rasulullah
Jiwamu perlu subur dengan iman
Sesubur dataran Syam bertuah

Kita diajar cintakan kematian
Bagai musuh kita cinta kehidupan
Maka dibumi Israk ini tempatnya
Kau mengenang jihad dan perjuangan
Tetamu dataran Syam engkaulah harapan
Untuk ummat melihat masa depan
Sebagai ulama, sebagai pejuang
Islam pasti akan kau merdekakan
Selamat datang tetamu dataran Syam...


Tetamu dataran Syam dari KUIS

10/23/2010

Kisah Zina Ibn Umar???



Entah kenapa malam ini saya tidak dapat melelapkan mata. Sudah berapa kali posisi tubuh disesuaikan mengikut rasa, tapi tetap tidak dapat membuat keputusan untuk mendapatkan posisi terbaik. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk mengembara di alam maya.

Facebook menjadi pilihan destinasi pengembaraan saya. Satu persatu facebook sahabat, saya belek. Ada yang meletakkan gambar kenangan kami di bumi Mu'tah ini sambil menge'tag' sahabat lain. saya tersenyum sendiri melihat gambar-gambar tersebut. Semoga Allah mengeratkan ukhwah antara kami.

Akhirnya jari saya memilih untuk melihat facebook milik Majlis Perwakilan Nuqaba (MPN) yang menjadi medan saya menimba pengalaman di KUIS dahulu. Seronok membaca komen-komen yang terdapat di wall mereka.

Sehingga ke satu komen, hati saya menjadi tak tentu arah. Segera saya klik pada komen tersebut. Tajuknya membuatkan saya tidak sabar untuk membacanya.

KISAH ZINA ANAK SAIDINA UMAR IBNU KHATTAB

Innalillahi wa inna ilaihi raji'un.....

Secara ringkasnya, kisah ini menunjukkan betapa tegasnya amirul mukminin, Umar al-Khattab r.a. dalam melaksanakan hukum hudud ke atas anaknya, Abu Syahmah kerana meminum arak dan melakukan zina. Na'uzubillahi min zalik....


Barangkali cerita ini masyhur, tapi di sini saya ingin meletakkan beberapa persoalan yang sepatutnya kita sedar ia adalah fakta yang tidak relevan dalam cerita tersebut. Persoalan-persoalan ini saya quote dari darulkautsar.net

Persoalan yang menjadi tanda tanya dalam cerita ini:

(1) Abu Syahmah itu adalah kuniah (nama samaran), bukannya nama sebenar. Riwayat cerita tersebut tidak menjelaskan apakah nama orang yang dikuniahkan dengan Abu Syahmah itu.

(2)
Sesiapa yang membaca kisah ini akan terasa kepadanya bahawa di zaman pemerintahan Sayyidina Umar, Madinah Rasulullah (s.a.w) adalah sebuah bandar yang tidak asing daripada arak. Kedai-kedai arak ada di mana-mana sahaja. Anak-anak sahabat-sahabat agung Rasulullah sendiri pun tidak terpelihara daripada arak yang merupakan punca kepada segala kekejian. Sesungguhnya ini adalah satu gambaran Khalifah Sayyidina Umar yang sungguh mengecewakan. Tidakkah saksi-saksi sejarah telah mengakui bahawa Khalifah Umar r.a. telah menghalau keluar orang-orang Yahudi daripada Tanah Arab di zaman pemerintahnya? Atau cerita ini juga merupakan salah satu mata rantai usaha-usaha orang-orang Yahudi yang bermaksud menonjol-nonjolkan kekurangan atau keburukan Khalifah Umar yang diadaka-adakan mereka sendiri?

(3)
Perbuatan keji yang dikatakan telah dilakukan oleh Abu Syahmah itu berlaku di dalam sebuah kebun Banu an-Najjar. Besar sekali kemungkinan bahawa arak itu diminumnya di kawasan yang berhampiran dengannya. Tetapi tahukah anda di mana terletaknya kawasan Banu an-Najjar itu? Sesungguhnya kawasan itu adalah kawasan Masjid Nabi (s.a.w) di mana ia merupakan tempat kediaman Banu an-Najjar sebelum mereka menganut Islam. Kediaman Abu Ayyub al-Ansari juga terletak di kawasan ini. Di kawasan itu dibangunkan Masjid Nabi bilamana baginda datang ke Madinah. Kisah ini semacam mahu membuktikan bahawa perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh Abu Syahmah di kawasan yang berhampiran dengan Masjid Nabi. Perkara seumpama ini hanya boleh dikatakan oleh musuh-musuh ketat Islam dan hanya boleh diterima oleh orang-orang Islam yang buta sejarah atau telah kebas akalnya kerana telah begitu banyak menerima suntikan-suntikan narkotik daripada musuh-musuh Islam.

Dan terdapat beberapa beberapa lagi persoalan yang perlu kita fikirkan dalam usaha untuk memastikan apakah cerita ini benar atau sebaliknya. kalian boleh rujuk di
Motif Tabarra Disebalik Hukuman Hudud Ke Atas Anak Khalifah Umar r.a.

Cerita ini telah diriwayatkan melalui beberapa cabang jalan periwayatan yang berbeza. dan ini juga perlu kita semak dengan hati-hati, apakah riwayatnya sahih atau tidak.

Mudah-mudahan dengan usaha yang kecil dapat menjelas kepada kita, sekaligus mengelakkan kita daripada tertipu dengan usaha-usaha musuh Islam yang cuba mencemarkan dan merosakkan sejarah kehebatan para sahabat Rasulullah s.a.w.

“Apabila ada orang fasik membawa berita kepadamu, maka telitilah perkataanya”
surah al-Hujurat: 6

wallahu'alam........

edisi lengkap cerita ini boleh di dapati dalam link yang sama
Motif Tabarra Disebalik Hukuman Hudud Ke Atas Anak Khalifah Umar r.a.

ps: saya dapati cerita ini di tag secara berleluasa di facebook. jadi saya minta agar kita sentiasa berwaspada. Ya Allah bantulah kami......

10/07/2010

Aku dan Urdun

Siri 1.....
Pekan Mu'tah ketika hampir maghrib (gambar di ambil dari ladang gandum yg kering)


“Ya mu’allim, istanna syuwaiya?”


Pemandu coaster tersebut mengangguk. Aku kembali memerhati ke arah masjid Syuhada’, tiada tanda sahabatku itu akan muncul. Beberapa kali telefon bimbitnya ku dail, tapi tidak berjawab.


“Allahuakbar, mana pulak dia ni?” rungut hatiku. Kesejukkan bumi Mu’tah seakan tidak dirasai kerana panas amarah menanti sahabatku itu. Ustaz Kamil yang sudah beberapa kali melemparkan pertanyaan bagaikan menabur minyak di atas bara.


“Ustaz, macam mana ni? Arab ni tak boleh nak tunggu dah ni,” Ustaz Kamil bertanya lagi.


Untuk sekian kalinya, aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Ya Allah, berikanlah aku kesabaran untuk menahan amarahku ini. “Emm... ustaz pergi dululah. Lagipun kita nak pergi mustami’ je. Ana nak pergi cari dia dulu, ok?”


“Aiwah, kami pergi dululah kalau macam tu. Nanti kalau ada apa-apa ustaz mesej ana ye.”


Aku menjawab dengan anggukan sahaja. Mataku melirik ke arah coaster yang semakin menjauh menuju ke jami’ah. Hiruk pikuk pekan Mu’tah serta kesibukan penghuninya, menceriakan suasana bumi Syam yang sejuk ini. Baru seminggu kakiku menjejak di sini. Alhamdulillah, aku bersyukur kepada Rabbul Jalil kerana dapat menyesuaikan diri dengan suasana di sini.


Keletihan dek kerana perjalanan dari Malaysia ke Jordan yang mengambil masa hampir 8 jam lebih, hilang bersama hembusan angin sejuk bandar Amman ketika aku melangkah keluar dari lapangan terbang Quenn Alia. Segala urusan pembelajaran di sini, selesai atas bantuan ahli keluarga PERMATA atau nama penuh mereka Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah. Alhamdulillah.


Tetapi.....


“Untuk makluman antum semua, mahasiswa Malaysia di Mu’tah ini terkenal dengan kekuatan ukhwah kita,” Ustaz Uwais al-Qarni memberi peringatan kepada kami mahasiswa-mahasiswi yang baru tiba di bumi Syam ini.


Ukhwah? Bagaimana harus kufahami erti ukhwah yang kuat? Kalau orang yang mahu disahabatkan ini, bertemu sahaja amat menyakitkan hati.


suasana lengang selepas subuh (di ambil dari pintu masjid Syuhada')


Dahiku berkerut berkedut memikirkan tentang itu. Kakiku mengorak langkah menuju ke Bayt Mu’tah, rumah transit kami pelajar baru. Bau daging ayam bakar dari Mat’am disebelah kananku mengamit rasa laparku.


“Allahuakbar! Rasa macam nak isi perut dulu je,” hatiku membebel sendiri. Tetapi ia tidak menghentikan kakiku. Pagi ini sepatutnya aku dapat mengikuti satu kelas mustami’ di jami’ah. Memandangkan kami pelajar baru masih dalam minggu pendaftaran, jadi kehadiran kami ke kelas katanya belum diwajibkan. Wallahu’alam sejauh mana kesahihannya, ini kata senior-senior yang telah lama berada di sini.


Beep.... handphone ku berbunyi. Satu pesanan ringkas tertera di skrin.


Salam alaik, ustz, mcm mane? Da jumpe die?


Spontan aku menggeleng. Belum terbit lagi apa-apa klu untuk mencari dia. Mesej tersebut ku biarkan tidak berbalas. Fikiranku lebih terarah kepada klu-klu untuk mencari ‘sahabat’ku ini.


Imbas kembali......


“Assalamu’alaikum....”


Serta merta riak wajah ceriaku berubah. Terperanjat apabila melihat wajah yang menyapa. Satu wajah yang ku sangka tidak akan bersua lagi.


“Wah, tak sangka kita bertemu lagi,” tangannya dihulurkan kepadaku. Aku yang masih tergamam hanya menyambut huluran tersebut dengan lirikan mataku. Dia tersenyum memandangku. Ditarik kembali tangannya ke sisi.


Bagaimana dia berada di sini? Mengapa dia ada sekali di bumi Syam yang diberkati ini?


Seakan dia dapat membaca fikiranku, dia menuturkan kata, “Ana sampai lebih awal lagi dari ustaz. Sebelum raya ana dah mai sini dah.”


Lidah ku kelu untuk berbicara. Sepanjang perjalanan menuju ke Mu’tah, aku hanya berdiam diri. Selama dua jam itu juga, amarah dan api benci ku membara melihat kemesraannya menyapa pelajar baru yang lain.


“Hipokrit!” Hatiku menjerit. Segala peristiwa antara aku dan dia bermain-main di fikiranku. Apatah lagi peristiwa itu! Peristiwa yang mustahil untuk aku lupakan. Dan sekarang, dia buat hal pula. Entah hilang ke mana. Aku juga yang menjadi mangsa.


Apabila difikirkan perkara tersebut, mahu sahaja aku tinggalkan dia. Tak mahu rasanya untuk mengambil peduli ke mana dia pergi. Buat apa nak di ajak manusia seperti dia? Huh!


Sedar tidak sedar, rupanya aku sudah berada jauh dari rumah Bayt Mu’tah. Leka dengan amarahku. “Allah, macam mana boleh tak sedar?” gumamku di hati. Aku kembali mengatur langkah. Boleh tahan lama aku berkhayal.


Pintu masuk Bayt Mu'tah


“Assalamu’alaikum.”


Aku terperanjat. Segera menoleh ke arah empunya suara dari arah kananku.


Tidak perasan rupanya Ustaz Firdaus, yang juga senior aku di sini berada di belakangku.


“Ai, laju benor ustaz jalan? Sampai tak dengar ana bagi salam tadi ye,” dia tersenyum. Kami berpelukan dan bersalaman.


“Maaf ustaz, ana betul tak perasan tadi,” jawabku. “Segak ustaz hari ni. Nak ke mana ni ustaz?”


“Ana nak ke jami’ah. Ingat nak jumpa doktor kejap, nak bertanya sikit. Enta, cepat-cepat ni nak ke mana?”


“Takdelah ustaz, ana sedang mencari seseorang,” balasku. Melihat wajah Ustaz Firdaus, mahasiswa takhassus Fiqh dan Usul tahun terakhir ini, meredakan kemarahanku sedikit. Aku mengenalinya ketika urusan Iqamah (visa) di Syurtoh (Balai polis). Kumpulan kami terserempak dengannya di sana. Keramahannya membuat kami, pelajar baru tidak terasa di‘junior senior’kan.


“Enta cari Zack ke?”


Keningku terangkat sebaik mendengar nama tersebut muncul di bibir Ustaz Firdaus.


“Aiwah,” aku mengangguk perlahan. Ustaz Firdaus juga ku lihat mengangguk kecil. Kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu.


bersambung.......


***************************************