RSS
Facebook
Twitter

7/30/2009

Renungkanlah IV


“Wahai anak-anak Adam! jika datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu Yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat (perintah) Ku, maka sesiapa Yang bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
surah al-‘Araaf : 35

Wahai mereka yang sedang di bius virus khayalan cinta! Andai telah datang sahabat-sahabatmu kepadamu dan kemudian menasihati dirimu agar kamu sedar, maka bertaqwalah kepada Allah, dan bertaubatlah! Ketahuilah, itulah yang lebih baik untuk diri kamu agar kamu tidak bimbang dan gelisah hidup di dunia dalam ketakutan....

“Ahh! Suka hati akulah nak buat apa pun. Bukan kacau korang pun” ujar lelaki ‘A’ bila ditegur perbuatannya yang selalu bergayut lewat malam.

“Alah kau ni, aku duduk study group dengan dia lah! Bukan buat apa-apa pun. Blah la!” lelaki ‘B’ memarahi rakannya.

“Kami keluar jalan-jalan je kak... tau la saya jaga diri.” jawab perempuan ‘C’.

Kepada sahabat yang dijerat panahan cinta, Sesungguhnya kami amat menyayangi kamu semua, beribu alasan dan sanggahan boleh kamu berikan kepada kami, tetapi, tidakkah kamu sedar, segala nasihat adalah untuk kebaikan kamu juga? Kerana kasih kami menegur, kerana sayang kamu ditegur.

Aduhai remaja kini, membiar emosi membatasi akal menguasai diri. Lihat sahaja di dada-dada akhbar, terjun sana, terjun sini. Apa nak jadi? Hanya kerana dikecewakan oleh perasan, mereka menggadai nyawa. Alangkah murahnya jiwa yang dikaburi cinta dunia...

“...maka sesiapa Yang bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita, jadi mengapa kita tidak mengendahkan amarannya? Andai ‘mangsa-mangsa’ jerat cinta ini sedar bahawa masih ada Allah untuk mendengar keluhan mereka, pasti mereka tidak cetek akal untuk terjun dari bangunan tinggi dan membunuh diri.

Nah, kami menasihati kerana kami tak mahu sebarang kejadian yang buruk terjadi atas diri kamu. Lihat sahaja ramai yang kecewa, merintih terseksa, tergadai maruah dan dipandang hina kerana melupakan amaran Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.


Untukmu adik-adikku,
Putera puteri siswa dan siswi
Aku berwasiat untukmu
Jagalah maruah dan harga dirimu
Jangan sekali memandang rendah
Pada godaan dan keseronokan dunia
Carilah ilmu dan hayatilah
Terbitkanlah ia dalam kehidupanmu
Agar ia menjadi benteng
Mencegah murka dari Yang Maha Esa.

Indahnya kemewahan dunia
Indah lagi jika disertai redha Maha Kuasa
Kerana dunia itu sementara
Dan Akhirat itu kekal jua.

Iman dan Ilmu
Formula agung mencegah kemungkaran
Solat jangan ditinggal apalagi dilengahkan
Ilmu jangan dibiarkan berhabuk tanpa diamalkan

Percayalah wahai adik-adikku,
Allah menyayangi kita
Setiap perkataan dalam kitabnya
Adalah kebaikan untuk kita semua.

Wasiatku untuk semua,
Pilihan ditangan kita,
Berdoalah
Agar diberikan kekuatan iman dan hidayah
Kepada kita dan adik remaja diluar sana
Berhadapan dengan cabaran dunia yang menggila...

Ya Allah selamatkanlah kami semua....



P.D.C. : Sepatutnya ada sambungan lagi hingga ke ayat yang 37, namun begitu aku rasa cukup disini sahaja, kerana ayat seterusnya adalah ayat celaan kepada mereka yang tidak mengambil berat pada amaran tuhan, terasa amat berat untukku huraikan. Ya Allah, kupohon semoga hasil tulisanku ini memberi kesedaran, dalam diriku dan diri mereka yang menghayatinya. Berilah kami hidayah Ya Rahman, Ya Rahim....

7/15/2009

Apabila destinasi itu kabur...


“Err...maafkan saya tuan, kita sebenarnya ni nak ke mana?” tanya si driver kepada tuannya setelah hampir dua jam berpusing-pusing di sekitar bandar Klang.

“Entahlah, kamu pandu sahajalah, nanti bila rasa perlu berhenti saya akan beritahu kamu,” ujar tuannya.

Aduh, peningnya menjadi pemandu tanpa kita tahu arah tuju pemanduan kita itu. Terus memandu biarpun dalam hati masih tertanya-tanya, “mana nak pergi ni?” Akhirnya, minyak habis, masa terbuang, rugi begitu sahaja....

Kadang-kadang ada masanya, bila ditanya hendak ke mana, jawapan yang diberikan tidak jelas, maka peninglah si driver mencari penjelasan sendiri, akhirnya terbabas jua di tepi jalan. Minyak terbuang, masa tersia tanpa sisa dan diri merana terseksa.... hahaha.

“Kenapa usrah kita lesu?” satu persoalan bermain di mindaku.

Dua pertemuan yang lalu, sungguh aku tak puas hati pada agenda usrah yang baru sahaja bermula itu. Aku sebagai naqib bercakap di hadapan terasa malu, melihat mereka berdiam diri, macam aku ni syok sendiri. Aduh....

Namun, pertemuan dengan seorang tokoh akademik sebuah universiti baru-baru ini membuka mindaku untuk muhasabah mencari jawapan. Kenapa aku buat usrah? Atas alasan apa aku memanggil sahabat-sahabatku ini untuk berusrah? Apakah sekadar untuk berukhwah? Atau untuk mengisi masa lapang daripada terbuang? Atau mungkin kerana....entah, saja suka-suka...?

Mungkin kerana kurang jelas pada matlamat inilah yang membuatkan aku tidak mampu men‘ceria’kan majlis usrahku. Kelihatan seperti tiada kesan, walhal matlamat aku berusrah itu adalah untuk bersama membuka minda.


Ah, mungkinkah kerana mereka tidak tahu apa yang aku mahukan?

Maksudku, mungkin kerana mereka tidak jelas kenapa aku buat usrah ini, membuatkan mereka kelihatan lesu. Ya, perumpamaan seperti ‘driver’ tadi tu, tak tentu arah memandu dek kerana arah destinasi tidak diberitahu.

“Driver, saya mahu ke Kuala Lumpur sekarang. Kalau boleh kita kena tiba sebelum pukul 6 petang. Faham?” arah tuan ‘driver’ itu.

“Faham tuan!” ujar ‘driver’nya dengan bersemangat. Di dalam mindanya sudah terbayang jalan mana yang perlu diambil untuk mengelakkan kesesakan. kalau lalu sini, tolnya mahal, kalau lalu sini, kereta banyak.

Ya, bila sahaja si ‘driver’ tadi menerima maklumat yang jelas, arah destinasi yang tepat, mindanya ligat merancang strategi sesuai untuk mencapai matlamat yang ditetapkan, “Tiba di Kuala Lumpur sebelum pukul 6!”

Kekaburan dalam bermatlamat kadangkala memusnahkan semangat untuk mencapai matlamat. Lihat sahaja berapa ramai dari kalangan kita mahasiswa, tersasar dalam perjalanan kerana hanya dibekalkan semangat tanpa matlamat, atau kekaburan dalam bermatlamat.

Sesetengah organisasi yang baru bercambah, bersemangat untuk melancarkan program-program yang bermanfaat untuk masyarakat, sehingga terlupa perkara asas, iaitu menetapkan matlamat dalam pergerakan. Akhirnya, bila program tamat, organisasi pun semakin lesu dan terus pudar bersama lunturnya semangat.

Realiti masyarakat kita, hanya berapi ketika mula, namun akhirnya sejuk dimamah masa... kerana semangat itu tidak disulam dengan matlamat yang jelas, membuatkan ia tidak mampu untuk membakar jendela kelesuan dalam minda manusia.

Terbuai dalam muhasabah, aku akhirnya tersedar, aku perlu berkongsi dengan mereka tujuan aku memulakan usrah ini, kerana usrah bukan pencapaian peribadi, tapi ia adalah pencapaian kami bersama... bersama berukhwah, bersama berusrah, bersama bermujahadah, bersama mencapai redha dari Allah.

Aku perlu lebih berusaha, kerana aku menjadi naqib bukan untuk diriku, tetapi untuk mereka... Ya Allah berikan aku kekuatan.....




P.D.C. : Sering kali aku mengingatkan rakan-rakanku yang menjawat jawatan tertinggi dalam mana-mana persatuan atau organisasi, jangan utamakan perhiasan, tapi asas persatuan perlu didahulukan. Tetapkan dasar dan matlamat, baru tumpukan perhiasan berupakan program bermanfaat....wallahualam.

7/13/2009

Nasihat Seorang Tua



Gundah pada perasaan, resah pada jiwa. Kekadang rasa kesunyian, walaupun ada rakan dan teman, kekadang rasa bosan, biarpun dikelilingi dengan kegembiraan...

Kosong... Umpama sebuah tin kosong, berbunyi bingit namun tiada erti, bahkan minta diisi... begitu agaknya diri ini, banyak berkata memberi nasihat, namun diri terasa kelat, dek kerana "aku adalah sebuah tin kosong." Maka aku hanya mampu duduk dipinggir jalan, memerhati manusia yang berkeliaran dengan kepelbagaian ragam mereka menghayati kehidupan...


Ada pepatah mengatakan, "Ikutlah resminya padi, semakin berisi tunduk ke bumi..." Malang sekali, diri umpama lalang, tidak berisi namun terus meninggi...


Ilmu? Aku seorang mahasiswa. Ada diploma, punya ijazah, hingga ada yang kagum lalu menggelarkan aku ‘ustaz’. Jadi, aku ini berisi. Maksudku, aku punya ilmu. Aku bukan tin kosong seperti yang diumpamakan.. Bukan!


"Ehem! Wahai orang muda, izinkan aku bertanya, apakah cukup hanya dengan punya sijil-sijil keilmuan seperti yang kau khabarkan?"


Eh, siapa orang tua ini, tiba-tiba sahaja muncul entah dari mana.


"Orang tua, sudah cukup dengan sijil-sijil ini menunjukkan aku bukan seperti tin kosong itu. Aku berilmu dan layak untuk menasihati...."


"...dan dinasihati." Orang tua tersenyum. "Apakah cukup sekadar berilmu wahai orang muda?"


"Apa lagi yang kau mahukan wahai orang tua? Ilmu adalah segalanya. Andai kita mahu dunia, kita perlu ilmu, andai mahu akhirat juga dengan ilmu, andai mahu keduanya, juga dengan ilmu. Apakah kau tidak tahu wahai orang tua? Ini hadis!" kata orang muda dengan sinis.


"Benar kata-katamu itu wahai orang muda. Tapi, apakah cukup dengan berilmu wahai orang muda?"


Ahh! Lagi mahu tanya. Orang tua ini pasti sudah nyanyuk, bukankah telah kuberikan jawapannya sebentar tadi?


"Wahai orang muda, pernahkah kau dengar, pepatah ada berkata, "Ilmu tanpa amal, ibarat pohon tidak berbuah." Apakah yang kau fahami padanya wahai orang muda?"



Aduh, pepatah lagi. Mengapa hari ini semua orang ingin bermain dengan pepatah?

"Pastinya aku pernah dengar. Itu pepatah arab. Telah aku hafal pepatah itu, bahkan banyak lagi pepatah lain yang aku pernah dengar wahai orang tua. Mengapa?"

"Apakah cukup dengan berilmu wahai orang muda?"

Lagi-lagi soalan ini yang ditanyakan. Orang tua ni memang sengaja nak buat aku marah.

"Pernahkah kau melihat awan gelap wahai orang muda?"

"Gelap tidak semestinya petaka, kekadang gelapnya awan di dalamnya ada gembira."

Apa kena mengena antara awan gelap dengan diriku? Ahh! Orang tua ini sudah merepek entah apa.

"Tak ramai yang menyedarinya wahai orang muda. Hatta pada sehelai daun hijau, punya ilmu yang mendalam untuk kita. Apakah kau sedar wahai orang muda?"

Diam.... tiada kata.
"Apa maksudmu wahai orang tua? Mana mungkin pada sehelai daun hijau itu ada ilmu? Bagaimana mungkin ia mampu berkata mengajarku ilmu yang aku pelajari di universiti-universiti? Mana mungkin dari daun nipis itu, mampu memberiku diploma dan ijazah."
Orang tua itu hanya tersenyum. Hahaha, pastinya dia sedar bahawa kata-katanya itu tidak ‘relevan’. Mana mungkin....

"Wahai orang muda, apakah cukup sekadar berilmu? Tanpa engkau menghayati ilmu itu, dan kau amalkan dalam kehidupan mu?"

Sesungguhnya hidupmu kesunyian dan membosankan bila ilmu kau jauhkan dari dirimu. Ilmu ada di mana-mana. Di rumahmu, di tempat belajarmu, di tempat tidurmu, bahkan pada setiap sudut seluruh alam ciptaan Tuhan ini tidak lepas darinya ilmu untuk kita pelajari.

Kerana Apabila seorang penuntut ilmu itu bersedia untuk menimba ilmu, disekelilingnya akan menjadi guru baginya.

"Apakah kau telah bersedia untuk menimba ilmu wahai orang muda?"

"Untuk pengetahuan kau wahai orang tua, aku kini sedang dalam usaha untuk menyiapkan master ku. Aku sedang dalam proses menyelesaikan kajian-kajian ilmuku. Jadi, pastinya aku telah bersedia. Tanya sahaja padaku, akanku jawab dengan ilmuku."

Angkuh, tapi inilah kenyataan. Bukan mahu riak, Cuma mahu sedarkan orang tua itu tentang keadaan diriku. Hahaha....

"Apa yang kau lihat pada diriku yang tua ini wahai orang muda?"

Huh, bila dijawab nanti, terasa hati pula.

"Emm...tiada apa yang aku dapat lihat pada dirimu wahai orang tua. Hanya seorang tua yang lemah, banyak bertanya dan buat aku marah sahaja."

"Hahaha... itu maknanya kau tidak bersedia lagi wahai orang muda... dirimu belum bersedia untuk menimba ilmu."

Luqman al-Hakim pernah berkata, "Aku belajar hikmah daripada orang yang dungu. Jika dia melakukan sesuatu aku takkan melakukannya."

Orang tua itu tersenyum, "Tahukah kamu apa yang aku lihat pada dirimu wahai orang muda?"

Aku melihat kamu seperti pohonan buluh muda yang meninggi menggapai angkasa. Tanpa sedar, dalam usahanya itu, dia terlupa untuk membantu pohon buluh yang sudah tua dan pucuk yang muda. Tidak sedar diri dan terus meninggi. Akhirnya bila masa tua tiba, gilirannya pula ditundukkan oleh generasi baru dari pucuk muda yang tidak dibantu. Masa itulah baru nak tunduk menginsafi diri...

"Sudah orang tua...aku tak faham apa yang kau katakan. Aku ada kerja lagi ni, jangan kau ganggu.. pergi kau dari sini!"

"Baiklah wahai orang muda, maafkan aku kerana menggangu waktumu. Cuma pesanku pada dirimu, lihatlah sekitarmu kemudian lihatlah ia dalam dirimu... pelajarilah ia dan hayatilah.. kerana setiap ciptaan Yang Maha Esa adalah ilmu bagi mereka yang mahu berfikir...."


P.D.C. : Cerita ini hanyalah sebuah cerita. Tidak berkaitan dengan yang telah mati, tapi diminta untuk dihayati kepada yang masih hidup. Yang paling penting ‘aku’ dalam entry tu bukan ‘aku’ yang menulis entry ni...

6/22/2009

Renungkanlah III


Tiap-tiap Yang bernyawa pasti akan merasai mati,
dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu...
(Surah Ali ‘Imran : 185)

Mati, adalah satu janji dari Yang Maha Adil kepada manusia. Aku tidak mengetahui bila aku akan mati. Mungkin esok, malam nanti, sejam lagi, mungkin seminit dua, atau mungkin ketika aku sedang menaip entri ini? Aku tidak tahu, yang aku tahu mati itu pasti...

“Mati adalah pasti, hidup insya Allah...” teringat aku serikata nasyid ini.

Ya kita tidak pasti mati itu bila, jadi mengapa kita masih teruskan hidup di dalam khayalan dunia yang bernama cinta? Terus bermain dengan sesuatu yang fana, tanpa mahu memijak realiti kerna realiti itu tidaklah seindah yang kita mahu...

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan), maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”
(surah al-‘Araaf : 34)

Apakah kita tidak terfikir, di saat kita sedang bermadu asmara dengan ‘dia’, berjalan-jalan sambil berpimpin tangan, ketika itu juga nyawa kita ditarik, lalu terjelepok kita di pangkuan ‘dia’.

Bayangkan, di saat kita sedang berbual lama suatu malam, bertanya dan bercanda di telefon, tiba-tiba tiada jawapan dari si ‘dia’, rupa-rupanya si ‘dia’ telah meninggalkan kita tanpa sempat menunaikan janjinya yang diukir kepada kita. Untuk hidup bahagia dunia akhirat....

Apakah kau mampu, di saat nyawamu hendak ditarik oleh Izrail, kau menjerit,

“Sebentar wahai malaikat, aku mahu bertaubat atas khayalan cinta ini. Kerana cinta, aku tinggalkan Yang Maha Esa, aku menipu diri kononnya cinta ini terjalin atas nama Yang Maha Kuasa... Aku mahu bertaubat!!!!”

APAKAH KAU MAMPU?
APAKAH KAU MAMPU??
APAKAH KAU MAMPU???

Sebelum nyawa ditarik, masih ada peluang untuk kita bertaubat, berhentilah dari berkhayal dan di bius cinta, berpijaklah di bumi nyata... Cinta bukan segalanya...

Tetapi Pencipta Cinta adalah segalanya.... Cintailah Yang Maha Pencinta.....

Renungkanlah II



Definisi cinta masa kini cukup luas. Entah mengapa, dari mana mulanya, aku tak tahu. Ada Cinta Enta Enti dan ada juga Cinta Saya Awak. Bezanya?

Cinta Enta Enti dihiasi dengan tazkirah dan peringatan untuk menjaga diri dan iman. Handphone penuh dengan mesej tazkirah dari si dia, dan kadang-kadang perbualan dalam masa dua jam berkisar tentang tazkiatun nafs sambil diselitkan pertanyaan peribadi dengan sifat yang ‘caring’. Tidak keluar dating, bila bertemu jarak dijaga, mata dipelihara...

Cinta Saya Awak... macam yang selalu kita tengok dalam tv, keluar dating sana-sini, bergayut tak ingat diri, cakap yang bukan-bukan dan macam-macam lagi. Bahagia keluar bersama, berpegangan tangan, terlupa yang dia tu bukan sesiapa pada kita.

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan Yang keji, sama ada Yang nyata atau Yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh Dengan tidak ada alasan Yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu Dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang Bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu Yang kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-A’raaf : 33)

Ingatlah wahai enta dan enti, biarpun metode yang antum gunakan kelihatan soleh dan solehah, tetapi syara’ telah menetapkan, ia adalah haram. Bukankah Allah telah berfirman, “Janganlah kamu dekati zina!” Nah, Yang Maha Kuasa mengulangi ayatnya, agar kau sedar wahai enta, enti.

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan Yang keji, sama ada Yang nyata atau Yang tersembunyi.”

Apakah kau ingat kau dapat menipu DIA? Bersembunyi dibalik tabir alasan dengan jalan dakwah atau saling memberi peringatan sesama saudara? Malang sekali saudaramu hanya perempuan atau lelaki itu sahaja... mengapa kau abaikan saudara dikeliling mu? Yang aku yakin mereka lebih memerlukan dirimu itu.

“...dan perbuatan dosa, dan perbuatan menceroboh Dengan tidak ada alasan Yang benar.”

Perbuatan kamu itu berdosa... namun konon-konon kau katakan tidak, atas alasan kau telah memilih dia kerana Allah. Tapi, wahai enta, enti, andai dia kau pilih kerana Allah, mengapa kamu menghayati cinta itu tidak dijalan yang Allah benarkan?

“...dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu Dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang Bukti (yang membenarkannya),...”

Keasyikkan cinta menyebabkan kau dibius olehnya. Segalanya indah, sehinggakan kau rasa gelisah pabila sehari tidak bertemu atau berbual dengan si ‘dia’. Malammu dulu dihiasi tahajud, kini tahajud berganti dengan bergayut.

Solat fardu 5 waktu dulu di awal waktu, kini kau tunaikan disaat waktu hampir berlalu... Indahnya cinta, sehingga kau lupa kepada Yang Maha Melihat dan Yang Maha Mendengar.

Apakah kau ingin menggantikan tempat Yang Maha Kuasa itu dengan manusia kerdil yang kau cinta itu di dalam hatimu? Na’uzubillah.... sedarlah wahai enti, enta...

“...dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu Yang kamu tidak mengetahuinya.”

Bangun wahai pemuda pemudi Islam, sedarlah. Aku menasihati diriku dan juga diri kamu, jangan hanya kerana diri dibuai cinta, agama dan prinsipmu tergadai. Kau berikan alasan dan hujah untuk membela perbuatanmu yang salah, padahal kau tidak sedar, kau sedang mempergunakan agama ke jalan yang kau suka, bukan jalan yang Allah redha...

“Apakah kau tidak tahu yang DIA Maha Tahu?”