8/28/2009
Orang Muda & Luahannya...
8/25/2009
Diriku & Ilmu
"DIRI ANDA TIDAK SELARI DENGAN ILMU ANDA!!!"
Bagaikan petir yang memanah, kata-kata ini memakukan diriku. Terasa bagaikan hati ini ditusuk bilah pedang yang tajam. Bisanya terasa seperti hendak megalirkan air mata.
Inilah REALITI!
Biarpun kata-kata itu diungkap dengan bersahaja oleh ayahku, dan sekadar peringatan untuk diriku, namun kata-kata keramat ini menyentap seisi urat saraf di kepala. Mencerna setiap sudut kata-kata itu, akalku memproses laju isi tersirat kata-kata itu lalu dihantar ke hati untuk menyedarkan diriku yang semakin lena diulit keindahan dan keseronokan.
“Segalanya hanyalah pada kata-kata, hakikatnya manusia melakukan apa yang dilihatnya...”
Kadang-kadang kita hebat dalam bertazkirah dan bertazkiah, berceramah ke sana sini, berhujah hebat sekali, tetapi, perbuatan kita menjadi aspek penilaian manusia kepada semua da’ie termasuk diri ini.
Memang benar, hakikat manusia tidak lepas daripada melakukan kesilapan, tapi ia bukan satu alasan untuk aku terus menjadi fitnah kepada agama!
Mereka melihat aku sebagai individu yang berilmu, mereka melihat aku sebagai ikon pelajar agama, mereka melihat aku sebagai generasi muda pewaris imam dan penceramah yang semakin berusia.
Zalimnya aku, kerna aku lah bara licik yang menghanguskan harapan mereka. Tiada api yang menyala pada bara, tapi pabila angin tiba, kala itu ia mengeluarkan api membakar hangus gunungan harapan dan cita-cita.
Ada ketika aku tersedar, lalu aku berdoa agar diberikan kekuatan untuk berhadapan dengan dugaan gelora nafsu, namun beberapa saat selepas ku aminkan doa itu, aku rosakkannya dengan nilai-nilai yang aku sendiri tahu merupakan asbab menghancurkan kekuatan yang aku inginkan itu.
Umpama seorang tukang kayu, yang meletakkan hasil tukangannya dekat dengan unggun api, akibat keterlekaannya, hasil tukangan yang diharapkan mendatangkan keuntungan hangus di sambar api yang membakar.
Tiada guna lagi tangisan dan sesalan, sejauh manapun cuba ku lari, sekuat manapun cuba ku jerit meluahkan rasa ‘tension’ di hati, TIADA GUNANYA!
“Key is in your hand, al-miftah ‘ala yadaika, kunci ada pada tangan kamu”
Terpulang, sama ada aku memilih pintu syurga ataupun pintu neraka. 
“Bahan api untuk kekuatan telah ada, kini tiba masanya untuk ku nyalakannya dengan percikan api keberanian, agar hangat kekuatan itu dapat kurasakan dan menjadi bekalan untuk berhadapan dengan kedinginan dunia penuh cabaran.”
P.D.C. : Terselit dalam diriku ketakutan, malu untuk berhadapan dengan mad’u, kerna merasa diri ini bukan tauladan, dek kerana perbuatanku langsung tidak bertetapan dengan apa yang aku katakan.
“DIRIKU TIDAK SELARI DENGAN ILMU YANG ADA DALAM DADAKU!!!”
7/30/2009
Renungkanlah IV

Wahai mereka yang sedang di bius virus khayalan cinta! Andai telah datang sahabat-sahabatmu kepadamu dan kemudian menasihati dirimu agar kamu sedar, maka bertaqwalah kepada Allah, dan bertaubatlah! Ketahuilah, itulah yang lebih baik untuk diri kamu agar kamu tidak bimbang dan gelisah hidup di dunia dalam ketakutan....
“Ahh! Suka hati akulah nak buat apa pun. Bukan kacau korang pun” ujar lelaki ‘A’ bila ditegur perbuatannya yang selalu bergayut lewat malam.
“Alah kau ni, aku duduk study group dengan dia lah! Bukan buat apa-apa pun. Blah la!” lelaki ‘B’ memarahi rakannya.
“Kami keluar jalan-jalan je kak... tau la saya jaga diri.” jawab perempuan ‘C’.
Kepada sahabat yang dijerat panahan cinta, Sesungguhnya kami amat menyayangi kamu semua, beribu alasan dan sanggahan boleh kamu berikan kepada kami, tetapi, tidakkah kamu sedar, segala nasihat adalah untuk kebaikan kamu juga? Kerana kasih kami menegur, kerana sayang kamu ditegur.
Aduhai remaja kini, membiar emosi membatasi akal menguasai diri. Lihat sahaja di dada-dada akhbar, terjun sana, terjun sini. Apa nak jadi? Hanya kerana dikecewakan oleh perasan, mereka menggadai nyawa. Alangkah murahnya jiwa yang dikaburi cinta dunia...
“...maka sesiapa Yang bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita, jadi mengapa kita tidak mengendahkan amarannya? Andai ‘mangsa-mangsa’ jerat cinta ini sedar bahawa masih ada Allah untuk mendengar keluhan mereka, pasti mereka tidak cetek akal untuk terjun dari bangunan tinggi dan membunuh diri.
Nah, kami menasihati kerana kami tak mahu sebarang kejadian yang buruk terjadi atas diri kamu. Lihat sahaja ramai yang kecewa, merintih terseksa, tergadai maruah dan dipandang hina kerana melupakan amaran Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Putera puteri siswa dan siswi
Aku berwasiat untukmu
Jagalah maruah dan harga dirimu
Jangan sekali memandang rendah
Pada godaan dan keseronokan dunia
Carilah ilmu dan hayatilah
Terbitkanlah ia dalam kehidupanmu
Agar ia menjadi benteng
Mencegah murka dari Yang Maha Esa.
Indahnya kemewahan dunia
Indah lagi jika disertai redha Maha Kuasa
Kerana dunia itu sementara
Dan Akhirat itu kekal jua.
Iman dan Ilmu
Formula agung mencegah kemungkaran
Percayalah wahai adik-adikku,
Allah menyayangi kita
Setiap perkataan dalam kitabnya
Adalah kebaikan untuk kita semua.
Wasiatku untuk semua,
Pilihan ditangan kita,
Berdoalah
Agar diberikan kekuatan iman dan hidayah
Kepada kita dan adik remaja diluar sana
Berhadapan dengan cabaran dunia yang menggila...
Ya Allah selamatkanlah kami semua....
P.D.C. : Sepatutnya ada sambungan lagi hingga ke ayat yang 37, namun begitu aku rasa cukup disini sahaja, kerana ayat seterusnya adalah ayat celaan kepada mereka yang tidak mengambil berat pada amaran tuhan, terasa amat berat untukku huraikan. Ya Allah, kupohon semoga hasil tulisanku ini memberi kesedaran, dalam diriku dan diri mereka yang menghayatinya. Berilah kami hidayah Ya Rahman, Ya Rahim....
7/15/2009
Apabila destinasi itu kabur...

“Err...maafkan saya tuan, kita sebenarnya ni nak ke mana?” tanya si driver kepada tuannya setelah hampir dua jam berpusing-pusing di sekitar bandar Klang.
“Entahlah, kamu pandu sahajalah, nanti bila rasa perlu berhenti saya akan beritahu kamu,” ujar tuannya.
Aduh, peningnya menjadi pemandu tanpa kita tahu arah tuju pemanduan kita itu. Terus memandu biarpun dalam hati masih tertanya-tanya, “mana nak pergi ni?” Akhirnya, minyak habis, masa terbuang, rugi begitu sahaja....
Kadang-kadang ada masanya, bila ditanya hendak ke mana, jawapan yang diberikan tidak jelas, maka peninglah si driver mencari penjelasan sendiri, akhirnya terbabas jua di tepi jalan. Minyak terbuang, masa tersia tanpa sisa dan diri merana terseksa.... hahaha.
“Kenapa usrah kita lesu?” satu persoalan bermain di mindaku.
Dua pertemuan yang lalu, sungguh aku tak puas hati pada agenda usrah yang baru sahaja bermula itu. Aku sebagai naqib bercakap di hadapan terasa malu, melihat mereka berdiam diri, macam aku ni syok sendiri. Aduh....
Namun, pertemuan dengan seorang tokoh akademik sebuah universiti baru-baru ini membuka mindaku untuk muhasabah mencari jawapan. Kenapa aku buat usrah? Atas alasan apa aku memanggil sahabat-sahabatku ini untuk berusrah? Apakah sekadar untuk berukhwah? Atau untuk mengisi masa lapang daripada terbuang? Atau mungkin kerana....entah, saja suka-suka...?
Mungkin kerana kurang jelas pada matlamat inilah yang membuatkan aku tidak mampu men‘ceria’kan majlis usrahku. Kelihatan seperti tiada kesan, walhal matlamat aku berusrah itu adalah untuk bersama membuka minda.

Ah, mungkinkah kerana mereka tidak tahu apa yang aku mahukan?
Maksudku, mungkin kerana mereka tidak jelas kenapa aku buat usrah ini, membuatkan mereka kelihatan lesu. Ya, perumpamaan seperti ‘driver’ tadi tu, tak tentu arah memandu dek kerana arah destinasi tidak diberitahu.
“Driver, saya mahu ke Kuala Lumpur sekarang. Kalau boleh kita kena tiba sebelum pukul 6 petang. Faham?” arah tuan ‘driver’ itu.
“Faham tuan!” ujar ‘driver’nya dengan bersemangat. Di dalam mindanya sudah terbayang jalan mana yang perlu diambil untuk mengelakkan kesesakan. kalau lalu sini, tolnya mahal, kalau lalu sini, kereta banyak.
Ya, bila sahaja si ‘driver’ tadi menerima maklumat yang jelas, arah destinasi yang tepat, mindanya ligat merancang strategi sesuai untuk mencapai matlamat yang ditetapkan, “Tiba di Kuala Lumpur sebelum pukul 6!”
Kekaburan dalam bermatlamat kadangkala memusnahkan semangat untuk mencapai matlamat. Lihat sahaja berapa ramai dari kalangan kita mahasiswa, tersasar dalam perjalanan kerana hanya dibekalkan semangat tanpa matlamat, atau kekaburan dalam bermatlamat.
Sesetengah organisasi yang baru bercambah, bersemangat untuk melancarkan program-program yang bermanfaat untuk masyarakat, sehingga terlupa perkara asas, iaitu menetapkan matlamat dalam pergerakan. Akhirnya, bila program tamat, organisasi pun semakin lesu dan terus pudar bersama lunturnya semangat.
Realiti masyarakat kita, hanya berapi ketika mula, namun akhirnya sejuk dimamah masa... kerana semangat itu tidak disulam dengan matlamat yang jelas, membuatkan ia tidak mampu untuk membakar jendela kelesuan dalam minda manusia.
Terbuai dalam muhasabah, aku akhirnya tersedar, aku perlu berkongsi dengan mereka tujuan aku memulakan usrah ini, kerana usrah bukan pencapaian peribadi, tapi ia adalah pencapaian kami bersama... bersama berukhwah, bersama berusrah, bersama bermujahadah, bersama mencapai redha dari Allah.
Aku perlu lebih berusaha, kerana aku menjadi naqib bukan untuk diriku, tetapi untuk mereka... Ya Allah berikan aku kekuatan.....
P.D.C. : Sering kali aku mengingatkan rakan-rakanku yang menjawat jawatan tertinggi dalam mana-mana persatuan atau organisasi, jangan utamakan perhiasan, tapi asas persatuan perlu didahulukan. Tetapkan dasar dan matlamat, baru tumpukan perhiasan berupakan program bermanfaat....wallahualam.
7/13/2009
Nasihat Seorang Tua
Gundah pada perasaan, resah pada jiwa. Kekadang rasa kesunyian, walaupun ada rakan dan teman, kekadang rasa bosan, biarpun dikelilingi dengan kegembiraan...

P.D.C. : Cerita ini hanyalah sebuah cerita. Tidak berkaitan dengan yang telah mati, tapi diminta untuk dihayati kepada yang masih hidup. Yang paling penting ‘aku’ dalam entry tu bukan ‘aku’ yang menulis entry ni...





