RSS
Facebook
Twitter

10/12/2011

Merancang Jasa?


"Mana bekas pen ni?"

Tanganku meraba-raba ke seluruh permukaan meja tulis. Ketiadaan elektrik membuatkan suasana gelap semakin menguasai segenap ruang bilik.

"Masa-masa nak exam macam ni lah dia nak buat hal," hatiku merungut.

Akhirnya pencarianku berakhir dengan aku memhempaskan tubuhku ke tilam. Malas mahu memikirkannya. Dengan exam keesokkan harinya lagi, dengan program lagi, dengan macam-macam hal lagi nak diuruskan. Uhhh.... rasa macam nak terjun je dari tingkat 3 ni!

Tingkap bilik ku biarkan terbuka luas. Mujur musim sejuk semakin menghampiri, sekurang-kurangnya, tanpa kipas pun, aku masih lagi rasa sejuk.

Suasana pekan Mu'tah ketika ini seratus peratus berbeza daripada pagi tadi. Jam di dinding menunjukkan pukul 2 pagi. Tiada hiruk pikuk suara arab berjualan menjerit, "Bandurah! Bandurah!" Tiada bunyi hon yang bersahutan hanya kerana baru 5 saat pemanduan terhenti.

Teman sebilik sudah pun lama melancong ke taman mimpi. Kadangkala sunyi malam itu diselangi dengan dengkuran sahabat yang sentiasa sebuk dengan program itu. "Maklumlah, orang penting PERMATA lah katakan". Aku tersenyum apabila kata-kata tersebut menjengah ke minda. Lantas retina mataku merakam ke arah tulisan yang terlakar di dinding.

'RANCANGAN KEHIDUPANKU'

Serentak nasihat salah seorang sahabat yang datang menziarahi kelmarin menerjah ke memori.

"Wah, tak sangka enta pun buat plan macam ana juga. Tapi enta punye lagi cantiklah. Siap berlakar-lakar lagi," ujar Ustaz Khairi, salah seorang seniorku yang bakal bergraduasi dalam semester ini.

Aku hanya tersenyum mendengar pujiannya itu. Tidak tahu bagaimana mahu membalas kata-kata tersebut. 'Life Planner' yang terlakar di atas sehelai kertas kajang putih itu sudah mula lembik dimamah masa. Kalau bukan kerana plastik yang membalutinya, pasti ia sudah terkoyak.

"Tapi kan...." Ustaz Khairi merapatkan mulutnya ke telingaku.

Dia memperlahankan suaranya, "Ana rasa elok enta tulis dekat sini, bukan stakat plan pelajaran dan perkahwinan enta saje. Tapi letakkan sekali, plan sumbangan enta kepada ummat di sini."

Aku terpana mendengar saranannya itu.

"Perancangan Sumbangan Kepada Ummat?" Aku bertanya kepada diri sendiri. Mengapa tidak pernah terlintas sedikit di hatiku mengenai perkara itu.

Aku menilai semula segala perancanganku. Dari saat aku mula mengenali diri, hinggalah waktu ini, apakah yang telah aku sumbangkan untuk ummat ini???

"........................."

Allahu Musta'an....



D.K. : Pernahkah sahabat-sahabat semua merancang apakah yang akan kalian sumbangkan untuk ummat?

7/20/2011

"Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck"


Salah satu karya Pak Hamka, "Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck"

Kata Pak Hamka, “Orang yang ditimpa penyakit cinta, tidak sekali mahu sembuh darinya”. Indah sekali bahasanya. Dalam sekali maknanya. Hingga seakan hatiku telah tertaut padanya. Luluh perasaanku menuruti mata yang meredup tunduk pada langit yang terbentang luas tanpa awan. Kekadang angin sepoi mesra membelai.


Adil rasanya andai aku katakan, orang muda, tiada siapa yang mahu lari dari penyakit cinta. Enaknya penyakit ini, tiada doktor yang dapat mengubati. Hanyalah segenap kudrah dicurahkan di dalam doa, “Aduhai tuhan, sungguh kaki ini tidak lagi larat untuk berdiri. Tubuh ini semakin letih untuk merindui. Tuhan, izinkan aku untuk mendekati bunga yang kuidami. Andai wangiannya dapat ku cium, sudah cukup bagiku dunia ku tinggalkan”.


Agaknya, dapat aku selami, apa perasaan yang lahir saat Zainuddin menanti kehadiran Hayati di tepian sawah. Berteman senja merah membakar sabar, dapat kugambarkan saat Zainuddin menyerah surat jiwa dengan debar...


Kitab kecil berwarna biru ku tatapi. Coretan besar di kulit mukanya ku sentuh halus dengan lirikan mata. Indah sungguh bahasa Pak Hamka. Ingin ku pinjam ulasan kata Pak Hamka, saat usai Hayati membaca surat dari Zainuddin.


“Surat itu rupanya diperbuat dengan jiwa, bukan dengan tangan”


Ya benar! Tapi yang sedang ku tatapi ini bukan sekeping surat dari kekasih. Tetapi sebuah novel kecil yang padat dan sarat dengan keindahan. Rasanya, aku telah jatuh cinta dengan tiap bait kata-kata yang dilahirkan di dalamnya. Pastinya, dan pastinya aku tidak mahu sembuh dari penyakit cinta ini!


Tarian terkukur yang bersantai di paraan dedaun pohon anggur. Berterbangan pergi apabila bosan kerana tariannya tidak diperhati. Mahu diperhatikan apa? Mungkin anak mataku terlihat sedang merakam tariannya, tetapi sebenarnya fikiranku telah terbang mendahului tekukur yang mahu pulang sarang.


Senja Syria sama indah dengan tanah lainnya. Memerah saat matahari mahu pulang ke peraduannya. Sebelum tiba bala tentera malam ke dataran langit atas arahan ghaib dari pemerintah alam semesta. Tiada makhluk yang dapat membantah.


Khayalan demi khayalan datang tidak berundang. Khayal bukan sebarang khayal. Bukan khayal seorang pemuda yang merindui gadis jubah hitam yang hanya tampak anak mata itu. Tetapi khayal ku ini, umpama khayal seorang tua yang merenungi setiap saat zaman mudanya. Sekali sekala terlahir di bibirnya, “Andai aku dulu....andai aku dulu.....”


“Orang yang ditimpa penyakit cinta, tidak sekali mahu sembuh darinya”



Aduhai dunia dan seisi alamnya. Aduhai hayat yang akan berakhir kembali ke tanah. Aduhai benarnya soalan Nakir dan Munkar!!!!!!


“Hai anak Adam, apakah amalan yang telah engkau perlakukan saat usiamu muda? Saat engkau berantakan gagah dengan dunia! Saat engkau tertawa megah dengan usia muda!?”


Seketika, bibir hening dari kata-kata. Dengungan serangga yang berterbangan seakan menyindir dan mentertawakan aku. “Manusia tolol! Sudah tahu tuhan bagi yang ini dan melarang yang itu, tetapi masih mahu!”


“Mujur saja maut belum menyapa,” sambut serangga yang satu lagi.


“Kalau datang Izrail mencabut nyawamu, entah apa agaknya yang akan dijawabnya nanti,” tambah kawannya yang sedang bermain dengan aroma anggur yang membusuk di tanah.


“Pasti dia akan kata begini, dulu usia mudaku, aku buat apa yang engkau larangi, dan aku tinggalkan apa yang engkau perintahi, wahai tuhan!” kata-kata serangga pertama itu disahut dengan dengungan tawa serangga sekaliannya.


Aku menjadi marah. Ku capai tuala yang tersidai di bahu semenjak tadi, ku libas ke kanan dan ke kiri. Dengan harapan libasan itu akan menamatkan nyawa mereka. Tetapi hampa. Mereka tidak mati. Tetapi mereka semua pergi menjauhi, mungkin ada sesuatu yang lain menarik perhatian mereka. Atau mungkin kerana tentera malam sudah tiba!


Lalu kututup dengan lembut coretan biru Pak Hamka itu. Indah bahasanya. Indah isi dalamnya. Indah sekali. Berbeza dengan novel-novel yang ada masa kini. Novel cinta-Islam yang bagiku belum lagi dapat menandingi novel cinta Pak Hamka yang ini.


“Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck”


Fikrah cinta yang ingin disampaikan oleh Pak Hamka dapat kulumati dan kuhayati dengan mudah dan indah. Inilah contoh novel cinta-Islam yang sebenar. Biarpun latar belakangnya bukanlah di negara-negara Timur Tengah. Watak utamanya pun bukanlah seorang bakal ustaz yang lepasan Jordan atau Madinah, hanyalah seorang anak muda yang bapanya terbuang jauh dari tanah kelahirannya. Tetapi...


Ya, andai kalian ingin merasai apa yang aku alami ini, aku seru kepada kalian semua, bacalah salah satu karangan Pak Hamka ini.


“Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck” jangan terkabur dengan tajuknya, kerana isinya lebih indah dari tajuknya...


Wallahu’alam......




6/19/2011

La Hawla Wala Quwwata illa Billah.....





Kalimah Toyyibah yang indah
Dibaca saat hati rasa gundah
Menyedarkan diri kita
Bahawa sesungguhnya DIA lah Yang Maha Kuasa
Tiada Yang Lebih Berkuasa Selain DIA!!!


19 Jun 2011
Jam 1445
Space Net, Mujtahid, Syria.

Dengan nama Allah, tuhan yang menciptakan tiap sesuatu bukan dengan sia-sia. Bahkan DIA mencipta sesuatu yang ada sama ada di dunia mahupun di langit, semuanya mempunyai isi tersirat, yang mana apabila manusia membukakan mata mereka untuk menganalisisnya, maka pasti tumbuh putik iman dan taqwa dalam hati. Mudah-mudahan kita dari kalangan hamba-Nya yang sedar!

"Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka ? , Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya melainkan dengan tujuan yang benar dan waktu yang ditentukan . Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya .”
( Qs. Ar Ruum : 8)

Dengan nama Yang Maha Esa juga aku mulakan kembali, apa yang telah sekian lama aku tinggalkan. Dari membaca, mendengar dan menulis. Bukan setakat pada itu sahaja, bahkan pada tiap sesuatu yang hendak kita lakukan, wajar kita mulakan dengan nama tuhan Yang Maha Kuasa.

قال النبي : « كل أمر ذي بال لا يبدأ فيه ببسم الله الرحمن الرحيم فهو أبتر »
Maksudnya: Nabi s.a.w. telah bersabda, "Setiap pekerjaan yg tidak dimulai padanya dengan ucapan Basmalah, maka pekerjaan itu akan terpotong & terputus (iaitu cacat & kurang keberkatan)

Kalimah Basmalah, kalimah toyyibah. Padanya terdapat bukan setakat beribu makna tersirat. Bahkan andai dikaji dan diteliti, mudah-mudahan hidayah Allah mencucuri atas kita dan mereka yang hidup bersama.

Baik, cukup dengan madah kata. Saja nak hilangkan rindu lama tak menulis. Bukan kerana tiada idea, mahupun nak menyalahkan masa yang berlalu tanpa menunggu. Tetapi, ya, tiada alasan yang boleh aku berikan. Hanya boleh aku katakan..... emm... (masih nak fikirkan alasan...).

Wallahu'alam.

Pejam celik, pejam celik, dah hampir setahun aku berada di 'oversea', cewah, gaya nak gempak jek. Takdelah oversea mane pun. Takat Syria-Malaysia tu, balik hari pun boleh. He,he,he...

Sebut tentang balik, hari demi hari, bilangan pelajar di Malaysia semakin kurang. Ramai telah berangkat, sama ada dengan bas, atau flight. Sama ada merentas benua menuju ke Malaysia, atau sekadar menyeberang sempadan menuju ke Lubnan, Turki ata destinasi yang boleh dilawati.

Mungkin kerana musim panas yang akan bermula. Kalau dulu, duduk dalam bilik bertemankan lihaf tebal yang panas merupakan satu kebahagiaan bagi aku. Tapi kini, kalau aku buat macam tu, aku rasa aku boleh bayangkan apa perasaan ayam masywi yang bergolek atas api tu. Panas...

Tetapi kehangatan musim soifi Syria tidak hanya pada hangat suhu dan terik mentarinya. Tetapi bak kata pepatah, "Panas tubuh merasa hangat mentari, Panas lagi mata memerhati mereka yang merasa hangat mentari".

Nasihat dari roommate aku yang telah kembali ke Malaysia, "Enta kena hati-hati, ni baru sikit. Nanti kalau bulan puasa nanti, enta bukan setakat kena puasa lepas subuh sampai ke maghrib je. Bahkan malam pun kena puasa jugak."

Aku hanya menyambut nasihat tersebut dengan sengihan manja sebagai seorang rakan yang bakal berpisah. Dan pada hari Selasa, 14 Jun 2011, dia pun berangkat meninggalkan kami yang hanya tinggal bertiga sahaja di rumah sewa.

Ya, tidak aku nafikan. Tempias budaya Hedonisme dari barat semakin tersebar di kalangan masyarakat di sini. Tetapi, mungkin kerana hadirnya ramai sheikh-sheikh di sini, mengimbangkan budaya tersebut dengan budaya Islam yang sebenar. Biarpun banyak kedai-kedai yang menjual pakaian 'yang aku rasa cam nak buka kopiah je', tetapi wujudnya kedai-kedai Jubah-jubah Islamik yang menutup aurat membuatkan perasaan 'aku rasa macam segan je nak buka kopiah tu', muncul kembali.

Aiwah.... itu di Syria. Alhamdulillah, dengan perjuangan masyayeikh-nya yang tidak pernah pudar untuk menuntut umat Islam di sini agar memelihara peribadi diri sebagai seorang muslim. Tetapi bagaimana di tanah airku sendiri? Apakah bi'ah perjuangan seperti ini semakin subur di bumi tercinta itu? (Huhuhu...ayat sastera.)

Insya Allah... bi'ah itu semakin subur di sana. Sedang menanti bakal-bakal pejuang yang akan pulang dari timur tengah seperti sahabat-sahabatku yang ada di sini.

Setakat ini sahaja penulisan yang tak seberapa ni. Mudah-mudahan, ini merupakan satu permulaan baru untuk aku menulis apa yang terlintas di kepala, apa yang dirasa dalam dada, apa yang dihayati dengan jiwa. Semoga segalanya terurus dengan ilmu, iman dan taqwa.

Doakan aku wahai sahabat! Doakan aku!

Salam 'alaikum......


Syafiq Shah,
Daurah Ma'had Fatah Islami,
Bab Syarqi, Dimasyq, Syria.



4/25/2011

Sajak-Sajak Kita....


Bunga Syria, Bunga Malaysia

Empat musim indah di Syria
Kemuncak keindahannya di musim bunga
Mekar si tulip kembang megah
Memandang padanya, jemu tidak pernah

Riang kawanan burung, gembira beterbangan
Merai hadir bunga Syria yang indah mekar
Kekupu dan Rerama mencuit, mengusik manja
kelopak tulip kuning dan mawar Syria merah,
meraih rindu, mahu memetiknya

Angin Syam sepoi menyapa
Menolak lirikan mata sampai pada bunga Syria
Indah dan mempersonakan
Tetapi hati menafikan dan menahan
Kerana bunga Malaysia sudah tertanam di dalam taman



Dalam perjalanan ke Ma'ahad Fatah Islami,
Dalam teksi,
25 April 2011
Jam 1100,



-------------------------------------------


Permainan Bahasa

Indah permainan bahasa
Di riak wajah gaya marah
Namun di bibir tenang tiada amarah
Yang mendengar terasa tegas terpana

Indah permainan bahasa
Di hati sayu, sedih dan hiba
Lahir bicaranya tenang, menenangkan jiwa
Menggamit janti tuhan Yang Maha Esa,
Bahawa DIA sentiasa bersama
Dengan hamba-Nya yang bersabar

Indah permainan bahasa
Nasihat di lafaz, tidak mencalar rasa
Menyapa pendengar penuh hikmah
Tidak terketik nafsu amarah
Pendakwah bijak dan berhikmah
Tuntutan agama


Jazmatiyyah, Dimasyq
25 April 2011
Jam 0200


-------------------------------------------

Hikayat Murai

Hari itu berlalu
Senja jingga berlalu dan berpaling pergi
Berganti gelita hitam malam
Tanpa purnama mahupun berbintang
Si kecil Murai terpinga terpana
Panaannya bertukar menjadi sendu hiba
Empangan air mata deras mengalir
tanpa deru kerana menahan sendu

Pepohon tempat Murai bermain riang
Tempat dia dan keluarganya bersarang
Hancur dan musnah di mamah kesan perang
Murai terkulai lemah
Hanya mampu melihat mereka tertawa suka
Berseronok tatkala yang lain sengsara

Zalim manusia, mematah sayap bahagia
Pupus sudah kicauan anak kecilnya
Murai kesepian keseorangan tanpa peneman
Di tengah badai peperangan
Murai bercicipan, Datang manusia durjana
Melepaskan nafas terakhirnya

Mereka berebut kudrat dan kuasa
Biarpun nyawa yang lemah tidak berdaya
gugur sia-sia
Tetapi nikmat dunia membutakan mata

Saat nafas terakhir dijemput Izrail
Murai bertanya di hati kecil
"Kekuatan itu anugerah Tuhan
tetapi mengapa Manusia menggunakannya
umpama Syaitan!!!?"


Jazmatiyyah, Dimasyq
25 April 2011
Jam 0146

4/23/2011

Sedikit Khabar dan Sajak.....




Sajak Pertama

Bergetar segenap sendi
Pabila dingin air di kali
mencicipi tubuh setiap inci
Saat angkasa raya bergema
Dengan kokokan si jantan perkasa

Siak memukul beduk renta yang sedang mereput tua
Terungkai mimpi dalam lena
Tak terkalah mata dari si laknat syaitan durjana

Maka bangkit si insan lemah
Mensucikan diri, bersiap untuk mengadap Illahi

Selagi hayat dikandung badan
Selagi nyawa dikait ketat dengan iman
Doa dan tawakkal menjadi ikatan
Antara si hamba dan rencah kehidupan


Jazmatiyyah, Dimasyq
23 April 2011
Jam 0545


-------------------------------------

Sajak Kedua

Terhapus damai kerana takabbur
Pemegang kuasa mendamik dada
Mencarik bahagia manusia lemah
Maka meretak dan terburailah genangan kolam air mata

Bergerentaman kasar paluan peluru dan senjata
Si kecil menekup telinganya, berlari ke sana ke mari menyelamatkan nyawa
Terketar tubuhnya tatkala peluru menghiris lengan putihnya
Membuak keluar merah pekat darah
Nyaring rintihan si anak kecil yang semakin lama semakin pudar

Namun bara perjuangan pemuda tidak sekali akan pudar
Semakin dihenyak semakin terbakar jiwa penuntut merdeka
Hatta bilahan pedang dan kepala peluru tertancap di nyawa
Tidak sesekali kita berputih mata
Menagih damai yang telah tercalar

Titisan demi titisan merah darah membasahi tanah
Angkara tangan durjana pengkhianat amanah

Bangun alim ulama melempar pena, melaungkan bicara
Meminta berundur, ditegur bertafakkur,
Apakah bisa kalian menjawab di hadapan hakim Yang Maha Kuasa
Perihal damai yang telah hancur kalian ragut
dari tangan rakyat jelata?


Jazmatiyyah, Dimasyq
23 April 2011
Jam 0600



ps: Dua sajak ini terhasil di awal pagi yang dingin selepas Subuh. Tiba-tiba je rasa nak bersajak, tapi lepas selesai tak tahu nak bagi tajuk apa. Entah betul atau tidak ayat-ayat dalam sajak tu, minta ditegur dan dibetulkan. Kalau ada idea untuk tajuk dua sajak ni, boleh la letak di ruangan komen... minta tunjuk ajar sahabat semua.


Selepas Jumaat, 22/4/2011:

Kegalauan yang semakin menggila di bumi Syria telah merebak ke sekitar bandar Dimasyq. Biarpun tidak berlaku di hadapan mataku, tetapi mendengar bunyi tembakan yang berlaku di hadapan Jami' Zainal Abidin telah meragut ketenangan kami yang ketika itu sedang menuntut ilmu, mendengar kuliah Sheikh Mustafa Bugha.

Gangguan tersebut telah membuatkan kuliah pada hari itu dipendekkan masanya. Sheikh mengarahkan kami menutup pintu dan semua tingkap jami'. Beberapa orang jemaah berlari masuk ke Jami' menyelamatkan nyawa.

Khabar sampai ke telingaku, beberapa insan telah ditembak di hadapan Jami', menjawab tanda tanya mengenai bunyi letupan yang kedengaran tadi. Mudah-mudah, tiada nyawa yang terkorban pergi.

Tetapi selepas selesai semua itu, akhirnya khabar sebenar kami ketahui. Di Hajarul Aswad, berdekatan dengan kami, korban jiwa dilaporkan seramai 25 nyawa. Yang lain belum lagi diketahui.

Wallahu'alam... semoga Allah menyelamatkan bumi Syria daripada fitnah akhir zaman. Semoga Allah menyelamatkan kami dan kita semua umat islam, daripada penyakit wahan, fitnah terbesar umat akhir zaman.... amin!