RSS
Facebook
Twitter

8/06/2012

Iftirasy & Tawarruk


“Seorang imam, berbadan besar sedang memimpin jemaah solatnya dalam rakaat terakhir. Dan ketika Tahiyyat Akhir, dilihat imam tersebut melaksanakan duduk Tahiyyat Akhirnya dengan meletakkan punggungnya di atas kaki kiri tidak seperti orang lain yang meletakkan punggung di atas tanah. Lalu dilemparkan pertanyaan kepada imam tersebut. Namun begitu, jawapan imam tersebut tidak memuaskan hatinya.”

Seseorang telah bertanya kepada D.K. dengan memberikan situasi seperti yang disebutkan tadi. Ya, sebagai seorang yang juga berbadan besar dan sihat, kami mengalami kesukaran untuk menyempurnakan duduk ketika Tahiyyat Akhir dengan meletakkan punggung di atas tanah.

Pertama, apabila kami melakukan seperti itu, kami akan cepat mengah, tambahan pula untuk menampung berat badan (kerana badan akan senget ke kiri dan jika tidak tahan akan merebah), ada sesetengah makmum badan besar yang D.K. perhatikan sehingga menggigil menahannya.


Duduk Iftirasy ( إفتراش ) & duduk Tawarruk ( تورك )

Terdapat dua jenis duduk yang menjadi rukun di dalam solat. Yang pertama duduk antara dua sujud dan yang kedua duduk akhir (Tahiyyat Akhir).

Duduk Tahiyyat Awal tidak termasuk dalam rukun solat, namun begitu jika meninggalkannya, perlu dilakukan sujud sahwi ( سجود سحو ) [1].

Sheikh Nasiruddin al-Albani menyebut di dalam bukunya “ Sifat Shalat al-Nabi” pada bab “Tasyahhud Awal”:

“Kemudian nabi SAW duduk Iftirasy sepertimana yang dilakukan ketika duduk di antara dua sujud, pada rakaat kedua seperti solat subuh dan begitu juga duduk pada Tahiyyat Awal bagi solat 3 rakaat solat maghrib atau 4 rakaat seperti solat zohor.”[2]

Berdasarkan kata-kata sheikh, menunjukkan baginda Rasulullah SAW melakukan duduk Iftirasy pada rakaat terakhir bagi solat 2 rakaat, dan ketika Tahiyyat Awal bagi solat 3 dan 4 rakaat serta duduk antara dua sujud.

Persoalannya, bagaimana dengan Tahiyyat Akhir bagi solat 3 dan 4 rakaat? Apa yang dimaksudkan dengan duduk Iftirasy?


Apa dia duduk Iftirasy?

عن عائشة قالت: (( وكان يفرش رجله اليسرى و ينصب رجله اليمنى))

Maksudnya:  Aisyah RA telah berkata: “ Beralaskan kaki kiri dan menegakkan kaki kanan”. [3]

Duduk Iftirasy; duduk atas kaki sebelah kiri (gambar hiasan)

Imam al-Syirbini berkata:  “Disunatkan pada duduk Tahiyyat Awal dengan duduk Iftirasy, duduk di atas buku lali kirinya dan menegakkan kaki kanannya dengan meletakkan pada hujung jari kakinya.” [4]

Sama seperti yang disebutkan oleh pengarang kitab Al-Fiqh al-Manhaji [5].

Namun begitu di dalam hadis Abu Humayd al-Saa’adi RA:

أنا كنت أحفظكم لصلاة رسول الله ... وفيه: فإذا جلس في الركعتين جلس على رجله يسرى، ونصب اليمنى، وإذا جلس في الركعة الاخرة قدم رجله اليسرى، ونصب اليمنى، وقعد على مقعدته. [6].ـ

Maksudnya: Aku merupakan orang yang paling memerhati solat Rasulullah SAW... Dalam hadis tersebut beliau menceritakan: Apabila Rasulullah SAW duduk pada dua rakaat pertama, baginda SAW duduk di atas kaki kirinya dan mendirikan kaki kanan. Apabila baginda SAW duduk pada rakaat akhir, baginda SAW menghulurkan kaki kirinya dan mendirikan kaki kanan sambil duduk di atas papan punggungnya [7].

Berdasarkan hadis Abu Humayd, baginda Rasulullah SAW duduk Iftirasy pada dua rakaat pertama namun tidak pada tahiyyat akhir. Kerana pada tahiyyat akhir, baginda SAW telah duduk di atas punggungnya bukan di atas buku lali kirinya.

Kaedah kedua yang baginda SAW lakukan itu (duduk di atas punggung) adalah duduk Tawarruk.

Tawarruk adalah sama seperti Iftirasy, akan tetapi dikeluarkan kaki kirinya ke sebelah kaki kanannya dan mencantumkan punggungnya ke bumi [8].

Duduk Tawarruk; punggung cecah ke lantai (gambar hiasan)
Kedua-duanya adalah sunat

Terdapat banyak lagi hadis-hadis baginda Rasulullah SAW yang menyebut mengenai kaedah duduk dalam solat. Namun begitu setelah D.K. teliti, D.K. dapati perbahasan mengenai tajuk ini terletak di bawah bab “Perkara sunat dalam solat”.

Bahkan pengarang Al-Mughni al-Muhtaj, pengarang Shahih Fiqh al-Sunnah dan pengarang Al-Fiqh al-Manhaji, kesemuanya meletakkan perbincangan mengenai duduk Iftirasy dan duduk Tawarruk ini di dalam bab sunat dalam solat.

Merujuk kepada situasi yang dilontarkan kepada D.K. awal tadi, D.K. berpendapat, tiada masalah jika imam tersebut memilih untuk duduk Iftirasy, namun begitu dia perlu mempunyai usaha untuk duduk Tawarruk dengan sebaik mungkin. Berdasarkan kenyataan sheikh al-Albani yang menyatakan baginda Rasulullah SAW hanya melakukan Iftirasy pada duduk rakaat akhir dalam solat 2 rakaat sahaja, tidak pada solat 3 dan 4 rakaat.

Sheikh Masyhur berkata: “Tiada masalah sama ada mahu melakukannya atau meninggalkannya, akan tetapi beramal dengan sunnah itu lebih baik” [9].

Boleh jadikan perkara ini sebagai satu motivasi untuk menjadi lebih sihat dan mendapat tubuh yang cergas. Namun begitu perlu diingat, terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan berkaitan dengan duduk Tawarruk.

Sheikh Masyhur menambah, “dibolehkan untuk duduk Tawarruk pada Tahiyyat Akhir bagi solat 3 dan 4 rakaat sekiranya perbuatan tersebut tidak menyempitkan orang yang sedang bersolat di sebelah” [10].

Ketika melakukan penelitian ini, D.K. hanya menggunakan beberapa buah kitab sahaja sebagai rujukan. Antaranya:

1. Al-Mughni al-Muhtaj karangan Imam Syamsuddin al-Syirbini.
2. Al-Fiqh al-Manhaji karangan bersama Dr. Mustafa Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji.
3. Sifat Shalat al-Nabi karangan Sheikh Nasiruddin al-Albani.
4. Shahih Fiqh al-Sunnah karangan Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim.
5. Al-Qaul al-Mubin fi al-Akhta’ al-Musollin karangan Masyhur Hassan Salman
6. Kitab Fikah Mazhab Syafie diterjemah oleh asatizah di Malaysia (rujukan untuk terjemahan).

Dengan kata lain, jika sahabat-sahabat yang membaca mempunyai fakta yang lebih jelas sama ada berbentuk sokongan mahupun teguran dari sumber-sumber yang lain, kongsikan bersama dengan D.K. untuk manfaat bersama.

Makmum yang bertanya tadi tidak berpuas hati apabila imam itu memberi alasan, jika dia duduk Tawarruk, maka tubuh akan beralih ke kiri dan dia tidak dapat pahala sunat mengadap kiblat.

Jangan salah faham, mengadap kiblat bukanlah perkara yang sunat dalam solat, akan tetapi ia merupakan salah satu syarat sah dalam solat. Maknanya jika kita tidak mengadap kiblat, maka tidak sah hukumnya solat tersebut!

Wallahu’alam...


Rujukan:

[1] Al-Mughni al-Muhtaj, Imam Syamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Juz 1, Dar al-Fayha’, halaman 570.

[2] Sifat Shalat al-Nabi, Muhammad Nasiruddin al-Albani, Maktabah al-Ma’arif Li al-Nasyr Wa Tauzi’, halaman 136.

[3] Hadis riwayat Muslim (498) dan Abu Daud (768). Rujuk Shahih Fiqh al-Sunnah, Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim, Maktabah Tawfiqiyyah, Juz 1, halaman 346.

[4] Al-Mughni al-Muhtaj, Op. Cit., halaman 471 & 472.

[5] Al-Fiqh al-Manhaji, Dr. Mustafa Khin; Dr. Mustafa al-Bugha; ‘Ali al-Syarbaji, Dar al-Qalam, Juz 1, halaman 155.

[6] Hadis riwayat Bukhari (794). Rujuk Ibid., halaman 155.

[7] Kita Fikah Mazhab Syafie, Pustaka Salam, Juz 1, halaman 187.

[8] Al-Mughni al-Muhtaj, Op. Cit., halaman 472.

[9] Al-Qaul al-Mubin fi al-Akhta’ al-Musollin, Masyhur Hassan Salman, Dar Ibnu Qayyim, halaman 160.

[10] Ibid., halaman 160.

6/14/2012

Travelog yang menawan hati!

Usai solat berjema'ah Asar di masjid aku berhasrat untuk mengambil angin petang sambil berziarah ke rumah beberapa orang sahabat.  Alhamdulillah, bahang panas tadi lenyap apabila angin sepoi bertiup. Kekadang membawa debu pasir, dan adakalanya haruman syawarma dan ayam masywi turut menyertai.

Aku tidak bercadang untuk berlama-lama mengambil angin. Jam di handphone menunjukkan 40 minit lagi sebelum pukul 7. Menziarahi sahabat-sahabat tidak mengambil masa yang lama kerana kami selalu bertemu. Yang bermain dimindaku sekarang ini adalah untuk menghabiskan novel-novel yang telah ku pilih tadi. 

Tanpa berlengah aku menghempaskan tubuh ke atas tilam di bilik. Mataku memerhati satu persatu novel yang terhidang di depan mata. "Yang ini nampak menarik," bisik hatiku sambil tangan mencapai sebuah buku tebal terbitan karangkraf.


"Rindu Eropah Tawan Damascus" oleh Munir Ramli. Sebuah travelog. Yang menawan hatiku adalah kerana perkataan Damascus yang membuatkan memori ketika merantau di kota Damsyiq itu kembali menerjah di fikiranku. Aku mula membaca helaian pertama. Helaian kedua, ketiga dan seterusnya. Aku tertawan!

Sedar tidak sedar, maghrib mendekati. Baru aku teringat yang malam ini aku ada mesyuarat. Persiapan perlu dibuat. Walaupun saat itu hatiku telah terpikat dengan catatan travelog tersebut. Namun ku sisihkan juga.

Aku berazam untuk menghabiskan travelog setebal 353 muka surat itu dalam masa dua hari. Pengalaman indah yang dikongsi membuat aku berkhayal sedang mengembara bersamanya di New Delhi!

Catatan travelog oleh Munir Ramli, temanku musim soifi ini!

7.00 malam
13 Jun 2012
Bayt Nawawi, Mutah.


Nak jadi novelis!


Hangat. Panas. Bahang musim panas di Mu'tah semakin terasa. Botor air 1.5 liter yang sekejap tadinya terisi penuh, kini hanya tinggal suku sahaja lagi sebelum mencecah dasar. Kipas angin ligat berputar, berusaha mendinginkan tubuh seorang manusia yang terbaring kebosanan.

Aku merenung langit petang pekan Mu'tah. Awannya ada, terkadang meredup memberi peluang manusia berteduh di bawah bayangnya. Tetapi redupan itu tidak membantu untuk mengurangkan suhunya. Oh... Maha Suci Allah yang menjadikan panas dan sejuk.

Bila dimuhasabah semula, lucu telatah manusia. Saat salju turun, merungut mencari panas, namun saat gagah mentari mekar, merungut lagi mencari salji. Tidak pernah berpuas hati. Alangkah beruntungnya bagi mereka yang bersyukur.

Seusai menelefon ibu sebentar tadi, aku mula menanam azam. Bukan azam tahun baru, tapi azam matlamat baru. Aku mahu mendidik diriku untuk menjadi seorang novelis. Dua kad weinak habis semata-mata untuk mendapatkan khidmat nasihat dari ibu. 

Kad weinak merupakan salah satu kaedah untuk pelajar-pelajar Malaysia di Jordan menghubungi ahli keluarga melalui telefon. Dengan nilai JD2, kita boleh menghubungi orang tersayang selama lebih kurang 40 minit. Terdapat satu lagi kad yang memiliki fungsi yang sama iaitu Waton. Tetapi weinak tetap menjadi pilihan hati. Habis iklan!

Untuk merealisasikannya aku mengambil beberapa buah novel melayu kepunyaan rakan sebilikku di rak. Tujuannya adalah untuk mengutip semangat menulis novel. 

Tidak tergerak hatiku sebelum ini untuk membaca semua itu. Hidup merantau mencari ilmu di tanah arab memerlukan aku untuk menumpukan banyak pembacaanku kepada kitab-kitab arab. Tidak lupa juga kamus yang pelbagai ketebalan.


Aku melihat pada jam di dinding. Masih ada satu jam lagi sebelum waktu Asar tiba. Novel 'Terasing' karangan Hilal Asyraf menjadi pilihan pertama aku dalam usaha untuk menjadi seorang novelis. Walaupun novel tersebut telah beberapa kali kuhadamkan ketika di Malaysia dahulu. Tetapi sengaja aku pilih kerana aku mengkagumi penulisnya. Bagaimana seorang anak muda yang menuntut di tempat yang sama seperti aku mampu menghasilkan novel yang baik? Ini satu motivasi!

Azan Asar bergema. Alhamdulillah, novel Hilal sempat kuhabiskan. Di Mu'tah, jarak waktu antara azan dan iqamah lebih kurang 30 minit. Memberi peluang kepada setiap jema'ah untuk mengejar takbir pertama bersama imam. Perkara yang tidak aku temui di Malaysia. Aku segera persiapkan diri. Hajatnya, buku kedua akan ku mulakan seusai asar nanti. Mudah-mudahan dipermudahkan Allah.

Wallahu'alam...



3.30 petang
13 Jun 2012
Bayt Nawawi, Mu'tah.

6/12/2012

Forgive Me


Forgive Me
By: Maher Zain

I’m about to lose the battle and cross the line
I’m about to make another mistake
And even though I try to stay away
Everything around me keeps dragging me in
I can’t help thinking to myself
What if my time would end today, today, today?
Can I guarantee that I will get another chance
Before it’s too late, too late, too late

Chorus:
Forgive me… My heart is so full of regret
Forgive me… Now is the right time for me to repent, repent, repent..

Am I out of my mind?
What did I do? Oh, I feel so bad!
And every time I try to start all over again
My shame comes back to haunt me
I’m trying hard to walk away
But temptation is surrounding me, surrounding me
I wish that I could find the strength to change my life
Before it’s too late, too late, too late

CHORUS

I know O Allah You’re the Most-Forgiving
And that You’ve promised to
Always be there when I call upon You
So now I’m standing here
Ashamed of all the mistakes I’ve committed
Please don’t turn me away
And hear my prayer when I ask You to

CHORUS


5/28/2012

Emosional & Rasional


Sebelum mata lena, sebelum minda berehat buat sementara, tergerak hati untuk menggerakkan jari, mencatit idea...

Alhamdulillah, sebaik tamat kertas peperiksaan terakhir pada Sabtu lepas, saya mengorak langkah menuju ke ‘Abdali & Balad di Amman hari ini (hari Ahad) yang mana perjalanan mengambil masa selama 2 jam dari Mu’tah. Dan pastinya seperti biasa, objektif saya bermusafir pastinya untuk berkunjung ke maktabah-maktabah yang telah lama saya tidak menjejakkan kaki.

Sepanjang perjalanan menuju ke Amman, saya mencuri peluang untuk menelaah buku Susan Jeffers yang masih belum saya tamatkan pembacaannya. Mujur juga sepanjang perjalanan dengan bas yang tidak bertingkap itu, hanya sekali dua sahaja penumpang arab yang menghisap rokok. Jadi saya dapat memberikan fokus yang sepenuhnya mengadap buku tersebut.


Chapter 6: When “They” Don’t Want You To Grow.

Secara ringkas chapter ini mengulas mengenai persekitaran kita yang tidak memberi sokongan penuh dalam proses kita memperbaiki diri. Susan Jeffers cuba mengajak pembaca untuk ‘think wisely’ dengan menggunakan prinsip ‘win-win’ dalam berhadapan dengan mereka yang tidak membantu dan sering memberi komen-komen provokasi kepada kita.

Perkara ini membuatkan saya teringat perbualan saya dengan seorang sahabat tempoh hari.

“Akh, boleh tak bagikan hujah macam mana saya nak lawan kenyataan kawan saya ni?” ujarnya dalam facebook. 

“Apa dia kata?” balas saya ringkas. 

“Kawan saya kata, buat apa belajar jauh-jauh ke luar negara? Tak cukup lagi ke universiti yang ada dalam Malaysia ni?” Saya mengandaikan dia mengeluarkan kata-kata ini dengan nada yang marah dan tidak berpuas hati. 

Saya tersenyum. 

“Tanyakan pada dia, pernah tak dia bercita-cita untuk melancong ke luar negara. Hujah susulan pasti tahu nak buat macam mana kan?” saya membalas dengan selamba. Walaupun sebenarnya komunikasi kami sekadar di facebook sahaja. 

“Hehehe, terima kasih akh, sebab masa tu bengang sangat dengan kenyataan kawan saya tu, jadi emosi sikit. Tak boleh dah nak fikir hujah nak patahkan dia.” 

Saya tersenyum apabila teringat akan perbualan kami dan apabila membaca apa yang Susan Jeffers sampaikan dalam “Feel The Fear... and Do It Anyway”. Ada beberapa perkara yang saya tertarik untuk mengajak sahabat semua, kita sama-sama fikirkan mengenainya. 

Pertama: Susan Jeffer memberi beberapa situasi dan contoh jawapan yang dikaitkan dengan kaedah ‘win-win’. 

Mom: “You’ll never make it out there on your own.” 

Lose-lose: “Mind your own business mom. I’ll do as I please!” 

Win-win: “Thank you for your concern, Mom. But I have so much faith in myself, I know that whatever comes up, I’ll handle it. I’d like you to have more faith in me too. It would really help e a lot.” 

Jawapan win-win itu jelas. Menampilkan keyakinan kita pada diri sendiri, juga keinginan kita mahukan ibu kita memberi sokongan moral kepada kita. Tidak perlu berbalah atau memaksa mereka memahami kehendak kita.

Lihat anak-anak kecil. Apabila mereka inginkan sesuatu, atau mahu ibubapa mereka memahami kehendak mereka, mereka akan merengek dan menangis, bahkan kadangkala akan menunjuk sifat protes seperti menghentak kaki ke lantai atau membaling alat mainan sehinggalah kehendak mereka dipenuhi.

Saya cuba kaitkan dengan apa yang berlaku dengan sahabat saya ini. Dia mengadu kepada saya betapa sakit hatinya mendengar kata-kata rakannya itu. Betapa geram dan marahnya dia sehingga membuntukan fikirannya untuk mematahkan kata-kata tersebut. 

Saya menghulurkan kepada sahabat saya dua bentuk jawapan. 

Yang pertama, seperti mana di atas, ‘tanyakan kepada dia pernahkah dia mengimpikan untuk melancong ke luar negara?” 

Dan yang kedua, saya kata, “Haah, sebenarnya memang sama pun belajar dalam Malaysia mahupun luar negara. Sebab yang membezakan antara keduanya adalah usaha. Kalau ada usaha, adalah hasilnya.” 

Dan saya lebih cenderung untuk jawapan yang kedua. Kerana jawapan pertama lebih berbentuk provokasi (yang kedua pun sebenarnya ada juga, tapi saya kira yang kedua kurang sikit kot provokasinya. KOT). Akan tetapi tiada masalah untuk pilih yang mana satu pun, hanya ingin saya kongsikan beberapa kata-kata yang saya petik dari Susan Jeffers: 

“Whenever we get upset at the comments of loved ones, it is a clue we are still acting like a child.” 

“Instead of wanting to throttle your loved ones when they give you a hard time, it is better to look at them as mirrors of what you still need to work on in terms of your personal growth.” 

Petikan dari buku “Aikido in Everyday Life” oleh Terry Dobson & Victor Miller: 

“The best victory is the one in which everyone wins.” 

Oleh itu, kita semua kena berhati-hati dalam bertindak memilih emosi. Sentiasa letakkan riak emosi senyuman sebagai pilihan pertama sebelum kita pilih reaksi marah atau sedih untuk memberi respon kepada mereka. 

Dan saya sentiasa pujuk diri saya (Insya Allah, mudah-mudahan berkekalan) jika saya rasa ingin marah atau kecewa, “Buat apa nak marah-marah? Tahu tak kalau kau marah, kau akan penat. Banyak tenaga kena guna. Baik senyum je, sempoi dan relek, takde nak peluh banyak-banyak.”

Nasihat saya kepada kita yang baru nak belajar kawal emosi:

“Ambil sebiji limau yang masam. Makan seulas demi seulas isinya dengan perlahan dan penuh penghayatan. Makan tanpa mengerutkan dahi, atau mengeluarkan patah kata seperti “erk, masamnya” atau sekadar “erk...”. Kalau boleh usahakan untuk tersenyum ketika makan tu. Senyuman mestilah semanis gula atau lebih lagi baik!”

Ini hanya teori, saya sendiri pun tak pernah cuba lagi. Insya Allah, jom kita sama-sama cuba, mudah-mudahan lepas ini kita mampu kekal rasional walaupun dalam situasi yang emosional (^^,).

Ps: Alhamdulillah, dapat juga tambah beberapa koleksi buku untuk dibaca. Sekadar berkongsi tajuk buku yang dapat di beli. 

“Psychology from the Islamic perspective” – Dr Aisha Utz 
“Muhammad as if you can see him” – Dr ‘Aid al-Qarni 
“You can be the happiest woman in the world” – Dr ‘Aid al-Qarni
 “الفتنة بين الصحابة” – Sheikh Muhammad Hassan 

Dan beberapa lagi buku. Doakan saya dapat khatamkan semua ni dengan jayanya (^^,).

Wallahu’alam....