RSS
Facebook
Twitter

2/12/2013

Tiga Batang Pen



Tiga batang pen, berbeza warna
Biru, hitam dan merah
Ketiganya penting bagiku
Kerana ketiganya menceriakan tulisanku
Biarpun biru selalu diguna
Namun hitam dan merah menyempurnakan segalanya

Barangkali ada masa, pen hitam bertanya,
“Mengapa aku bukan pilihanmu?”
Dan ada masa, mungkin merah juga bertanya perkara yang sama
“Mengapa aku bukan pilihanmu?”

Aku terkedu dan terpana
Kerana selama kita bersama
Ketiga-tiganya menjadi pilihanku
Ketiga-tiganya yang menceriakan penulisanku
Ketiga-tiganya pen yang penting bagiku

Mungkin kerana tuntutan semasa
Orang di luar sering memintaku untuk bersama pen biru
Aku telah mengabaikan perasaan dua pen yang penting bagiku

Maafkan aku tiga batang penku
Ketahuilah, aku sentiasa berusaha untuk bersama dengan pen merahku
Aku sentiasa berusaha untuk bersama dengan pen hitamku
Dan aku sentiasa memberitahu kepada pen biruku,
Biarpun aku sentiasa bersama kamu,
Kamu bantulah juga, dua lagi pen pentingku
Kerana ketiga-tiganya adalah pen yang amat penting bagiku

KERANA TIGA BATANG PENKU MENYEMPURNAKAN PENULISANKU

Syafiq Shah,
Bayt Nawawi, Mu’tah, Jordan.
9.41 pagi
12/2/2013

2/11/2013

Pramusaji & Kulinari


Sudah lama juga D.K. tidak update apa-apa artikel dalam Diari Kembara ini. Namun begitu, kali ini D.K. memaksa juga jari jemari menari kerana hari ini D.K. rasa amat gembira, teruja dan berbangga.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Yang Maha Kuasa serta  Maha Bijaksana mengatur segalanya dan permudahkan segala urusan kita. Alhamdulillah, segala pujian hanya untuk DIA yang memberikan kami kemampuan untuk menempuh segala cabaran sehingga akhir.


Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Se-Jordan kali ke 7 telah pun tamat. Menampilkan barisan panelis yang hebat dan mantap. Antaranya Dr Asri Zainal Abidin dan Dr Maszlee Malik. Dengan tema utama, Siyasah Syar’iyyah: Polisi & Kontradiksi. 2 hari yang cukup padat dengan pelbagai cabaran dan tugasan. Dan pastinya meninggalkan pelbagai kenangan dan pengalaman indah kepada D.K.

Selama 3 tahun D.K. berada di Jordan. 2 tahun berpersatuan dan terlibat dengan program-program mahasiswa. PERTAMA VII kali ini banyak memberi kesan kepada D.K. dan meninggalkan pengalaman manis.

Para pengurus & timbalan pengurus semua komiti PERTAMA VII

Diberi amanah sebagai Ketua pengurus Komiti Pramusaji & Kulinari dan digandingkan pula dengan timbalan yang sebelum ini tidak pernah D.K. kenali. Pada awalnya D.K. agak kekok. Apatah lagi apabila sahabat-sahabat ahli jawatankuasa (sub-komiti) merupakan sahabat-sahabat tahun 1 kebanyakkannya. Kami tidak pernah saling mengenali sebelum ini.

Terdapat 3 pecahan unit di dalam team Komiti PnK (Pramusaji & Kulinari) yang terdiri seramai 34 orang ahli. Pada awalnya D.K. agak bimbang, kerana D.K. sememangnya kurang berpengalaman dalam bab-bab pengurusan. Apatah lagi kali ini D.K. perlu uruskan 3 unit penting dan 34 individu yang unik dan hebat.

Komiti Pramusaji & Kulinari PERTAMA VII

Namun begitu, setelah hampir 3 bulan bersama mereka, dan 2 hari yang getir bersama mereka, Subhanallah, Maha Suci Allah pertemukan D.K. dengan mereka. Banyak yang dapat D.K. pelajari dari mereka.

Ketika kami bersama, D.K. pelajari:

1)      Bertapa bernilainya sebuah ucapan ‘Terima Kasih’.
2)      Erti sebenar sebuah kumpulan yang saling mengambil berat antara sama lain.
3)      Berharganya sebuah senyuman.

Dan pelbagai lagi perkara yang D.K. pelajari. Maha Suci Allah yang memberikan segala kesempatan ini kepada D.K. dan mengaturkan perkenalan dengan mereka. Ya Rabb, eratkan ukhwah kami.

Jika mereka membaca artikel D.K. ini, ketahuilah wahai sahabat-sahabatku. Kalian telah mengajar D.K. banyak perkara yang berharga dan tidak ternilai untuk D.K. Sejuta kemaafan D.K. pinta, kerana sepanjang D.K. menjalankan tugas, D.K. banyak lakukan kesilapan, dan sejuta ucapan terima kasih untuk kalian kerana sentiasa membetulkan setiap kesilapan yang D.K. lakukan.

Jazakumullahu khairan jaza. Ya Rabb, saksikanlah dan anugerahkan kepada kami kebahagian dunia & akhirat. Amin.

 Team dari unit pengurusan VIP (salah satu unit PnK). Tak sempat nak ambil gambar bersama team dari unit yang lain, insya Allah, akan diusahakan.


Ps: Jika pisau dibiarkan tidak diguna, maka hulunya akan tumpul, begitu juga tajamnya pena, jika lama dibiar, matanya tidak bisa membuka hati pembaca. Semoga kalam bicara dalam Diari Kembara kali ini, menjadi suntikan untuk D.K. mula menulis lagi. Chayyok!!! (^^,)


10/16/2012

Mari Menilai Dunia!!!


Masih terasa lagi hangat semangat ber’induksi’ dengan para mentor dan mursyid Smart Group Mu’tah. Belum dikira lagi hangat semangat rakan sekerja ahli jawatankuasa induksi yang dipilih sekelip mata. D.K. dianugerahkan sebuah pengalaman yang berharga biarpun belum sebulan D.K. menghirup puas udara Jordan yang sedang merangkak ‘below 20 degree celcius’ suhunya.

Mengujakan lagi apabila D.K. diberi peluang untuk menyusun beberapa modul LDK sepanjang 2 hari induksi tersebut berlangsung.

“Inilah masanya,” bisik hati.

Spontan berlegar beberapa modul yang telah lama terceruk di dalam peti idea. Modul yang ingin D.K. cuba setelah sekian lama. Ini masa untuk dieksperimentasikan dengan mereka. Bak kata orang, jarum ubat sudah ada, tikus makmal pun sudah tersedia. Jadi mahu tunggu apa lagi? (“blink!”mata bersinar dengan penuh kejahatan)

Sehari sebelum program bermula, D.K. merayau dari satu rumah ke satu rumah. Walaupun hakikatnya hanya dua rumah sahaja yang D.K. pergi. Mengharap ihsan dari kawan-kawan untuk menyerahkan gegambar yang menarik dan penuh intipati penilaian.

Sempat juga menjamu selera di Mat’am Zanjabil sambil menunggu chef yang juga senpai yang dah pun selesai ijazahnya memindah file ke dalam USB. Menu Mat’am Zanjabil memang terbaik!

Juga sempat menghirup kering dakwat printer rakan serumah yang pada awalnya sukarela menawarkan printernya namun diakhirnya kelihatan riak wajah penyesalan selepas melihat dakwat warnanya bagai dihirup mentari Afrika yang rakus. Maaf, D.K. bayar ye! (^^,)

Demi niat ikhlas yang menjadi pakaian bagi minda yang berbisik, “Tak sabarnya nak test modul nih.”

How you look, how you think...

Ok, first of all, i didn’t think the modul’s name is interesting. How you look , how you think? What the...

‘How you see something, show how you think about it’. Ok, tak boleh jadi tajuk, tapi itulah tujuan modul yang D.K. nak cuba.

Melihat ragam dunia kehidupan dari pelbagai sudut pandang. Kata pepatah, “rambut sama hitam, hati lain-lain”. Begitulah realiti dunia dengan ragam manusia yang rencam, hasil daripada berjuta sudut pandang.

“Seorang lelaki tua, yang sedang duduk di pintu masjid, di atas bangku besi yang sudah seusia dengannya. Dengan kopiah putih lusuh dan raut wajah yang manis dengan senyuman yang dihadiahkan kepada sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke rumah Allah tersebut”.

Nah, bagaimana kalian rasakan apabila melihat keadaan seperti ini?

“Pak cik tu takde rumah ke?”
“Mana anak-anak dia?”
“Pak cik tu mesti takde duit, pengemislah tu.”
“Huh...”
“Eh, dah masuk waktu Zohor ke?”

Bahkan mungkin banyak lagi sudut pandang yang kekadang kita sendiri tak sangka sehingga menimbulkan persoalan, “macam mana dia boleh fikir ke situ?”

Begitu cantiknya aturan Yang Maha Bijaksana, mencipta manusia dengan tersangat teliti. D.K. pernah membaca satu artikel berkenaan hebatnya penciptaan cap jari. Allah menciptakan cap jari berjuta-juta manusia di dunia ini semuanya berbeza. Jika diperhatikan ombak aluran di ibu jari kita, kekadang tak nampak pun perbezaannya, namun jika diperhatikan lebih halus, nah, rupanya perbezaan itu amat halus dan kecil. Dan ini berlaku kepada semua manusia di seluruh dunia.

Modul yang D.K. eksperimenkan kepada mereka amat mudah.  Mereka diberi peluang untuk menilai sebuah gambar dari apa sahaja aspek penilaian. Bebas. Terbuka. Tiada sekatan. Mereka bebas berimaginasi dan berpandangan berdasarkan apa yang mereka lihat dalam gambar tersebut.

Sebuah gambar di beri. Seperti gambar di bawah.


Apa yang sahabat-sahabat pembaca sekali dapat kongsikan dari gambar ini?

Think outside the box! Di sinilah peluang untuk kita meneroka dunia pandangan yang luas dan tiada batasannya. Mata merenung seekor burung, tangan melukis sebuah negara yang bebas dari kezaliman!


Beginikah mengejar bahagia?

Sebaik umur melangkah ke angka 20, pandangan tentang kehidupan sudah berubah. Kita sudah tidak dipanggil lagi sebagai remaja, bahkan kita digelar sebagai pemuda. Bahkan kalimah pemuda ini, menerbitkan sebuah entiti yang penuh harapan dan impian. Memetik kata Soekarno, “berikan aku 10 pemuda, nescaya kan ku goncangkan dunia.”


Tidak hairanlah apabila seorang pemuda sebaik angka 2 mengambil tempat di awal digit umurnya, dia mula merasa mahukan sesuatu dalam dunia kehidupannya. Jika di Institusi pengajian, dia mahukan pengaruh, sama ada dalam organisasi sesebuah badan mahupun sekadar sekitar rakan sepengajian. Atau jika dia bersama khalayak umum, sentiasa berusaha untuk mencuri perhatian.

Indahnya pemuda, jika dulu di alam remaja dia bermimpi, tetapi kini pemuda membina mimpinya!

Tebaran tiupan angin yang menitip bersamanya beribu kisah dan berita. Tidak dilupa pada kisah seorang pemuda yang merindui kekasihnya, Laila. Dia bersyair. Syair rindu pada kekasihnya:

“Aku merentasi perkampungan, perkampungannya Laila,
Aku mencium satu persatu dinding-dindingnya,
Bukanlah cintakan tempat itu yang merindukan kalbuku,
Tetapi cintakan penghuni yang tinggal dalamnya.”

Alangkah peritnya rindu seorang kekasih. Hakikat rasa pemuda ingin memiliki. Memiliki bahagia dengan cinta. Dan islam memperkenalkan kepada pemuda satu jalan menguasai cinta, dan itulah jalan yang namanya NIKAH!

"Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin, sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu"
(riwayat Muslim)

Mengejar bahagia di jalan nikah...

Dua tahun di tanah Jordan. Bahkan sebelum itu lagi, desiran virus cinta Islami hingga ke binaan Baitul Muslim acap kedengaran. Tak jemu-jemu ku temui agen-agen penyebar kebaikan. Dari kawan-kawan ramai hinggalah diri sendiri terjebak menjadi perunding cara.

Dahulu aku melihat perkahwinan dan pernikahan dari dua sudut yang berbeza. Kekadang beremosi apabila ada keluarga yang menyusahkan anak mudanya mahu melaksanakan sunnah baginda Rasulullah SAW yang istimewa ini. Ayat al-Quran dikeluarkan, hadis Rasulullah SAW dipamerkan, dengan tujuan agar niat baik para pemuda yang ingin menjalinkan ikatan pernikahan kerana Allah ini bakal dimudahkan.

Tidak sedikit yang meminta nasihat, walaupun hakikat diri ini dan diri mereka serupa. Diri ini juga sedang bermimpi untuk melamar seorang isteri!

Sehingga satu pertemuan diaturkan, menjadi sejarah pembaharuan. Pembukaan satu lagi sudut pandang baru dalam diriku. Bahawa pernikahan bukanlah satu-satunya jalan untuk mengejar kebahagiaan.

Hakikat pahit yang terpaksa ditelan. Tidak dinafikan, perkahwinan itu satu kebahagiaan. Tanggungjawab memelihara keluarga atas jalan iman itu satu kebahagiaan. Melihat wajah isteri dan anak-anak dengan kasih sayang juga satu kebahagiaan. Berdua bersama isteri, berjalan berpimpin tangan, berkongsi rasa, sedih, marah, kecewa dan ketawa bersama, semua itu mengukir sebuah keindahan dan kebahagian dalam sebuah pernikahan yang dihiasi iman. Bahagianya!

Namun begitu, ramai saya lihat yang kehilangan bahagia walaupun ketika itu mereka sedang mengejar bahagia. Umpama, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Bahagia untuk berkeluarga masih belum dicapai, tetapi bahagia hidup sendiri terkorban begitu sahaja.

“Tuhan, kau uji aku dengan perasaan cinta dan rindu,
Rindu kepada solehah penyejuk kalbu,
Terbit cemburu melihat sepasang manusia yang berkasih
Berkasih mereka halal, bahagia tanpa ragu
Kerna nikah, sunnah baginda SAW yang ku mahu
Oh tuhan, kurniakan aku kesabaran dan kekuatan
Menanti solehah yang menawan...”

Mengejar bahagia tanpa sedar bahagia yang sepatutnya dicapai waktu itu disia-siakan. Bukankah dalam hadis ada menyebut tentang puasa jika tidak mampu? Mengapa tidak dipilih jalan itu?

“Kerana saya yakin sudah mampu!”
“Saya mahu menjaga mata dan kehormatan saya!”
“Enta nak halang kami dari melakukan sunnah nabi SAW?!”

Lucu! Apa kalian ingat hanya perkahwinan mampu menjaga diri kalian? Ingat bagi mereka yang meraih gelaran seorang suami. Allah berfirman:

"Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan"
Surah al-Tahrim: 6

Bagaimana kamu mahu pelihara diri kamu jika tika ini kamu katakan, hanya dengan pernikahan bisa menjaga dirimu dari sebarang ujian? Allah mendahului ayat ini dengan seruan “wahai orang yang beriman!” Apakah sudah bersedia dirimu dengan iman, jika masih terbit dibibirmu, “imanku hanya bisa dijaga apabila aku bernikah.”


Lucu! Sekali lagi aku katakan kalian sedang menggeletek diriku.

Betapa ramai pemuda di luar sana yang meraih bahagia apabila menerima warkah ijazah kelas pertama. Betapa ramai pemuda di luar sana yang meraih bahagia tika berdiskusi ilmu dengan rakan-rakannya. Betapa ramai pemuda di luar sana yang meraih bahagia dengan memaku punggungnya hampir 2 jam lebihnya dalam majlis ilmu.

Dan Islam tidak menghadkan jalan bahagianya pada satu jalan sahaja. Kerana nikmat Allah itu luas, rahmat Allah itu tiada tepinya, bahagia itu bisa dicapai dengan berjuta jalan berteras al-Quran dan sunnah baginda SAW.

Sekalipun dirimu ingin bernikah, jangan sampai apabila kau berkongsi keinginanmu ini membuat orang yang mengetahui rasa mustahil untuk kalian meneruskan cita-citamu. Mengadulah pada Yang Maha Mendengar, kerana DIA Maha Bijaksana dalam mengatur kehidupan manusia!



8/06/2012

Iftirasy & Tawarruk


“Seorang imam, berbadan besar sedang memimpin jemaah solatnya dalam rakaat terakhir. Dan ketika Tahiyyat Akhir, dilihat imam tersebut melaksanakan duduk Tahiyyat Akhirnya dengan meletakkan punggungnya di atas kaki kiri tidak seperti orang lain yang meletakkan punggung di atas tanah. Lalu dilemparkan pertanyaan kepada imam tersebut. Namun begitu, jawapan imam tersebut tidak memuaskan hatinya.”

Seseorang telah bertanya kepada D.K. dengan memberikan situasi seperti yang disebutkan tadi. Ya, sebagai seorang yang juga berbadan besar dan sihat, kami mengalami kesukaran untuk menyempurnakan duduk ketika Tahiyyat Akhir dengan meletakkan punggung di atas tanah.

Pertama, apabila kami melakukan seperti itu, kami akan cepat mengah, tambahan pula untuk menampung berat badan (kerana badan akan senget ke kiri dan jika tidak tahan akan merebah), ada sesetengah makmum badan besar yang D.K. perhatikan sehingga menggigil menahannya.


Duduk Iftirasy ( إفتراش ) & duduk Tawarruk ( تورك )

Terdapat dua jenis duduk yang menjadi rukun di dalam solat. Yang pertama duduk antara dua sujud dan yang kedua duduk akhir (Tahiyyat Akhir).

Duduk Tahiyyat Awal tidak termasuk dalam rukun solat, namun begitu jika meninggalkannya, perlu dilakukan sujud sahwi ( سجود سحو ) [1].

Sheikh Nasiruddin al-Albani menyebut di dalam bukunya “ Sifat Shalat al-Nabi” pada bab “Tasyahhud Awal”:

“Kemudian nabi SAW duduk Iftirasy sepertimana yang dilakukan ketika duduk di antara dua sujud, pada rakaat kedua seperti solat subuh dan begitu juga duduk pada Tahiyyat Awal bagi solat 3 rakaat solat maghrib atau 4 rakaat seperti solat zohor.”[2]

Berdasarkan kata-kata sheikh, menunjukkan baginda Rasulullah SAW melakukan duduk Iftirasy pada rakaat terakhir bagi solat 2 rakaat, dan ketika Tahiyyat Awal bagi solat 3 dan 4 rakaat serta duduk antara dua sujud.

Persoalannya, bagaimana dengan Tahiyyat Akhir bagi solat 3 dan 4 rakaat? Apa yang dimaksudkan dengan duduk Iftirasy?


Apa dia duduk Iftirasy?

عن عائشة قالت: (( وكان يفرش رجله اليسرى و ينصب رجله اليمنى))

Maksudnya:  Aisyah RA telah berkata: “ Beralaskan kaki kiri dan menegakkan kaki kanan”. [3]

Duduk Iftirasy; duduk atas kaki sebelah kiri (gambar hiasan)

Imam al-Syirbini berkata:  “Disunatkan pada duduk Tahiyyat Awal dengan duduk Iftirasy, duduk di atas buku lali kirinya dan menegakkan kaki kanannya dengan meletakkan pada hujung jari kakinya.” [4]

Sama seperti yang disebutkan oleh pengarang kitab Al-Fiqh al-Manhaji [5].

Namun begitu di dalam hadis Abu Humayd al-Saa’adi RA:

أنا كنت أحفظكم لصلاة رسول الله ... وفيه: فإذا جلس في الركعتين جلس على رجله يسرى، ونصب اليمنى، وإذا جلس في الركعة الاخرة قدم رجله اليسرى، ونصب اليمنى، وقعد على مقعدته. [6].ـ

Maksudnya: Aku merupakan orang yang paling memerhati solat Rasulullah SAW... Dalam hadis tersebut beliau menceritakan: Apabila Rasulullah SAW duduk pada dua rakaat pertama, baginda SAW duduk di atas kaki kirinya dan mendirikan kaki kanan. Apabila baginda SAW duduk pada rakaat akhir, baginda SAW menghulurkan kaki kirinya dan mendirikan kaki kanan sambil duduk di atas papan punggungnya [7].

Berdasarkan hadis Abu Humayd, baginda Rasulullah SAW duduk Iftirasy pada dua rakaat pertama namun tidak pada tahiyyat akhir. Kerana pada tahiyyat akhir, baginda SAW telah duduk di atas punggungnya bukan di atas buku lali kirinya.

Kaedah kedua yang baginda SAW lakukan itu (duduk di atas punggung) adalah duduk Tawarruk.

Tawarruk adalah sama seperti Iftirasy, akan tetapi dikeluarkan kaki kirinya ke sebelah kaki kanannya dan mencantumkan punggungnya ke bumi [8].

Duduk Tawarruk; punggung cecah ke lantai (gambar hiasan)
Kedua-duanya adalah sunat

Terdapat banyak lagi hadis-hadis baginda Rasulullah SAW yang menyebut mengenai kaedah duduk dalam solat. Namun begitu setelah D.K. teliti, D.K. dapati perbahasan mengenai tajuk ini terletak di bawah bab “Perkara sunat dalam solat”.

Bahkan pengarang Al-Mughni al-Muhtaj, pengarang Shahih Fiqh al-Sunnah dan pengarang Al-Fiqh al-Manhaji, kesemuanya meletakkan perbincangan mengenai duduk Iftirasy dan duduk Tawarruk ini di dalam bab sunat dalam solat.

Merujuk kepada situasi yang dilontarkan kepada D.K. awal tadi, D.K. berpendapat, tiada masalah jika imam tersebut memilih untuk duduk Iftirasy, namun begitu dia perlu mempunyai usaha untuk duduk Tawarruk dengan sebaik mungkin. Berdasarkan kenyataan sheikh al-Albani yang menyatakan baginda Rasulullah SAW hanya melakukan Iftirasy pada duduk rakaat akhir dalam solat 2 rakaat sahaja, tidak pada solat 3 dan 4 rakaat.

Sheikh Masyhur berkata: “Tiada masalah sama ada mahu melakukannya atau meninggalkannya, akan tetapi beramal dengan sunnah itu lebih baik” [9].

Boleh jadikan perkara ini sebagai satu motivasi untuk menjadi lebih sihat dan mendapat tubuh yang cergas. Namun begitu perlu diingat, terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan berkaitan dengan duduk Tawarruk.

Sheikh Masyhur menambah, “dibolehkan untuk duduk Tawarruk pada Tahiyyat Akhir bagi solat 3 dan 4 rakaat sekiranya perbuatan tersebut tidak menyempitkan orang yang sedang bersolat di sebelah[10].

Ketika melakukan penelitian ini, D.K. hanya menggunakan beberapa buah kitab sahaja sebagai rujukan. Antaranya:

1. Al-Mughni al-Muhtaj karangan Imam Syamsuddin al-Syirbini.
2. Al-Fiqh al-Manhaji karangan bersama Dr. Mustafa Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji.
3. Sifat Shalat al-Nabi karangan Sheikh Nasiruddin al-Albani.
4. Shahih Fiqh al-Sunnah karangan Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim.
5. Al-Qaul al-Mubin fi al-Akhta’ al-Musollin karangan Masyhur Hassan Salman
6. Kitab Fikah Mazhab Syafie diterjemah oleh asatizah di Malaysia (rujukan untuk terjemahan).

Dengan kata lain, jika sahabat-sahabat yang membaca mempunyai fakta yang lebih jelas sama ada berbentuk sokongan mahupun teguran dari sumber-sumber yang lain, kongsikan bersama dengan D.K. untuk manfaat bersama.

Makmum yang bertanya tadi tidak berpuas hati apabila imam itu memberi alasan, jika dia duduk Tawarruk, maka tubuh akan beralih ke kiri dan dia tidak dapat pahala sunat mengadap kiblat.

Jangan salah faham, mengadap kiblat bukanlah perkara yang sunat dalam solat, akan tetapi ia merupakan salah satu syarat sah dalam solat. Maknanya jika kita tidak mengadap kiblat, maka tidak sah hukumnya solat tersebut!

Wallahu’alam...


Rujukan:

[1] Al-Mughni al-Muhtaj, Imam Syamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Juz 1, Dar al-Fayha’, halaman 570.

[2] Sifat Shalat al-Nabi, Muhammad Nasiruddin al-Albani, Maktabah al-Ma’arif Li al-Nasyr Wa Tauzi’, halaman 136.

[3] Hadis riwayat Muslim (498) dan Abu Daud (768). Rujuk Shahih Fiqh al-Sunnah, Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim, Maktabah Tawfiqiyyah, Juz 1, halaman 346.

[4] Al-Mughni al-Muhtaj, Op. Cit., halaman 471 & 472.

[5] Al-Fiqh al-Manhaji, Dr. Mustafa Khin; Dr. Mustafa al-Bugha; ‘Ali al-Syarbaji, Dar al-Qalam, Juz 1, halaman 155.

[6] Hadis riwayat Bukhari (794). Rujuk Ibid., halaman 155.

[7] Kita Fikah Mazhab Syafie, Pustaka Salam, Juz 1, halaman 187.

[8] Al-Mughni al-Muhtaj, Op. Cit., halaman 472.

[9] Al-Qaul al-Mubin fi al-Akhta’ al-Musollin, Masyhur Hassan Salman, Dar Ibnu Qayyim, halaman 160.

[10] Ibid., halaman 160.