RSS
Facebook
Twitter

10/12/2011

Merancang Jasa?


"Mana bekas pen ni?"

Tanganku meraba-raba ke seluruh permukaan meja tulis. Ketiadaan elektrik membuatkan suasana gelap semakin menguasai segenap ruang bilik.

"Masa-masa nak exam macam ni lah dia nak buat hal," hatiku merungut.

Akhirnya pencarianku berakhir dengan aku memhempaskan tubuhku ke tilam. Malas mahu memikirkannya. Dengan exam keesokkan harinya lagi, dengan program lagi, dengan macam-macam hal lagi nak diuruskan. Uhhh.... rasa macam nak terjun je dari tingkat 3 ni!

Tingkap bilik ku biarkan terbuka luas. Mujur musim sejuk semakin menghampiri, sekurang-kurangnya, tanpa kipas pun, aku masih lagi rasa sejuk.

Suasana pekan Mu'tah ketika ini seratus peratus berbeza daripada pagi tadi. Jam di dinding menunjukkan pukul 2 pagi. Tiada hiruk pikuk suara arab berjualan menjerit, "Bandurah! Bandurah!" Tiada bunyi hon yang bersahutan hanya kerana baru 5 saat pemanduan terhenti.

Teman sebilik sudah pun lama melancong ke taman mimpi. Kadangkala sunyi malam itu diselangi dengan dengkuran sahabat yang sentiasa sebuk dengan program itu. "Maklumlah, orang penting PERMATA lah katakan". Aku tersenyum apabila kata-kata tersebut menjengah ke minda. Lantas retina mataku merakam ke arah tulisan yang terlakar di dinding.

'RANCANGAN KEHIDUPANKU'

Serentak nasihat salah seorang sahabat yang datang menziarahi kelmarin menerjah ke memori.

"Wah, tak sangka enta pun buat plan macam ana juga. Tapi enta punye lagi cantiklah. Siap berlakar-lakar lagi," ujar Ustaz Khairi, salah seorang seniorku yang bakal bergraduasi dalam semester ini.

Aku hanya tersenyum mendengar pujiannya itu. Tidak tahu bagaimana mahu membalas kata-kata tersebut. 'Life Planner' yang terlakar di atas sehelai kertas kajang putih itu sudah mula lembik dimamah masa. Kalau bukan kerana plastik yang membalutinya, pasti ia sudah terkoyak.

"Tapi kan...." Ustaz Khairi merapatkan mulutnya ke telingaku.

Dia memperlahankan suaranya, "Ana rasa elok enta tulis dekat sini, bukan stakat plan pelajaran dan perkahwinan enta saje. Tapi letakkan sekali, plan sumbangan enta kepada ummat di sini."

Aku terpana mendengar saranannya itu.

"Perancangan Sumbangan Kepada Ummat?" Aku bertanya kepada diri sendiri. Mengapa tidak pernah terlintas sedikit di hatiku mengenai perkara itu.

Aku menilai semula segala perancanganku. Dari saat aku mula mengenali diri, hinggalah waktu ini, apakah yang telah aku sumbangkan untuk ummat ini???

"........................."

Allahu Musta'an....



D.K. : Pernahkah sahabat-sahabat semua merancang apakah yang akan kalian sumbangkan untuk ummat?