RSS
Facebook
Twitter

6/22/2009

Renungkanlah III


Tiap-tiap Yang bernyawa pasti akan merasai mati,
dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu...
(Surah Ali ‘Imran : 185)

Mati, adalah satu janji dari Yang Maha Adil kepada manusia. Aku tidak mengetahui bila aku akan mati. Mungkin esok, malam nanti, sejam lagi, mungkin seminit dua, atau mungkin ketika aku sedang menaip entri ini? Aku tidak tahu, yang aku tahu mati itu pasti...

“Mati adalah pasti, hidup insya Allah...” teringat aku serikata nasyid ini.

Ya kita tidak pasti mati itu bila, jadi mengapa kita masih teruskan hidup di dalam khayalan dunia yang bernama cinta? Terus bermain dengan sesuatu yang fana, tanpa mahu memijak realiti kerna realiti itu tidaklah seindah yang kita mahu...

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan), maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”
(surah al-‘Araaf : 34)

Apakah kita tidak terfikir, di saat kita sedang bermadu asmara dengan ‘dia’, berjalan-jalan sambil berpimpin tangan, ketika itu juga nyawa kita ditarik, lalu terjelepok kita di pangkuan ‘dia’.

Bayangkan, di saat kita sedang berbual lama suatu malam, bertanya dan bercanda di telefon, tiba-tiba tiada jawapan dari si ‘dia’, rupa-rupanya si ‘dia’ telah meninggalkan kita tanpa sempat menunaikan janjinya yang diukir kepada kita. Untuk hidup bahagia dunia akhirat....

Apakah kau mampu, di saat nyawamu hendak ditarik oleh Izrail, kau menjerit,

“Sebentar wahai malaikat, aku mahu bertaubat atas khayalan cinta ini. Kerana cinta, aku tinggalkan Yang Maha Esa, aku menipu diri kononnya cinta ini terjalin atas nama Yang Maha Kuasa... Aku mahu bertaubat!!!!”

APAKAH KAU MAMPU?
APAKAH KAU MAMPU??
APAKAH KAU MAMPU???

Sebelum nyawa ditarik, masih ada peluang untuk kita bertaubat, berhentilah dari berkhayal dan di bius cinta, berpijaklah di bumi nyata... Cinta bukan segalanya...

Tetapi Pencipta Cinta adalah segalanya.... Cintailah Yang Maha Pencinta.....

Renungkanlah II



Definisi cinta masa kini cukup luas. Entah mengapa, dari mana mulanya, aku tak tahu. Ada Cinta Enta Enti dan ada juga Cinta Saya Awak. Bezanya?

Cinta Enta Enti dihiasi dengan tazkirah dan peringatan untuk menjaga diri dan iman. Handphone penuh dengan mesej tazkirah dari si dia, dan kadang-kadang perbualan dalam masa dua jam berkisar tentang tazkiatun nafs sambil diselitkan pertanyaan peribadi dengan sifat yang ‘caring’. Tidak keluar dating, bila bertemu jarak dijaga, mata dipelihara...

Cinta Saya Awak... macam yang selalu kita tengok dalam tv, keluar dating sana-sini, bergayut tak ingat diri, cakap yang bukan-bukan dan macam-macam lagi. Bahagia keluar bersama, berpegangan tangan, terlupa yang dia tu bukan sesiapa pada kita.

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan Yang keji, sama ada Yang nyata atau Yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh Dengan tidak ada alasan Yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu Dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang Bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu Yang kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-A’raaf : 33)

Ingatlah wahai enta dan enti, biarpun metode yang antum gunakan kelihatan soleh dan solehah, tetapi syara’ telah menetapkan, ia adalah haram. Bukankah Allah telah berfirman, “Janganlah kamu dekati zina!” Nah, Yang Maha Kuasa mengulangi ayatnya, agar kau sedar wahai enta, enti.

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan Yang keji, sama ada Yang nyata atau Yang tersembunyi.”

Apakah kau ingat kau dapat menipu DIA? Bersembunyi dibalik tabir alasan dengan jalan dakwah atau saling memberi peringatan sesama saudara? Malang sekali saudaramu hanya perempuan atau lelaki itu sahaja... mengapa kau abaikan saudara dikeliling mu? Yang aku yakin mereka lebih memerlukan dirimu itu.

“...dan perbuatan dosa, dan perbuatan menceroboh Dengan tidak ada alasan Yang benar.”

Perbuatan kamu itu berdosa... namun konon-konon kau katakan tidak, atas alasan kau telah memilih dia kerana Allah. Tapi, wahai enta, enti, andai dia kau pilih kerana Allah, mengapa kamu menghayati cinta itu tidak dijalan yang Allah benarkan?

“...dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu Dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang Bukti (yang membenarkannya),...”

Keasyikkan cinta menyebabkan kau dibius olehnya. Segalanya indah, sehinggakan kau rasa gelisah pabila sehari tidak bertemu atau berbual dengan si ‘dia’. Malammu dulu dihiasi tahajud, kini tahajud berganti dengan bergayut.

Solat fardu 5 waktu dulu di awal waktu, kini kau tunaikan disaat waktu hampir berlalu... Indahnya cinta, sehingga kau lupa kepada Yang Maha Melihat dan Yang Maha Mendengar.

Apakah kau ingin menggantikan tempat Yang Maha Kuasa itu dengan manusia kerdil yang kau cinta itu di dalam hatimu? Na’uzubillah.... sedarlah wahai enti, enta...

“...dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu Yang kamu tidak mengetahuinya.”

Bangun wahai pemuda pemudi Islam, sedarlah. Aku menasihati diriku dan juga diri kamu, jangan hanya kerana diri dibuai cinta, agama dan prinsipmu tergadai. Kau berikan alasan dan hujah untuk membela perbuatanmu yang salah, padahal kau tidak sedar, kau sedang mempergunakan agama ke jalan yang kau suka, bukan jalan yang Allah redha...

“Apakah kau tidak tahu yang DIA Maha Tahu?”

Renungkanlah I


Ketika aku sedang meneliti tafsiran al-Quran pagi tadi, mataku tertangkap pada ayat ini. Entah mengapa, tiba-tiba hatiku terasa bagai ditusuk duri berdosa. Minda kuterus menafsir ayat ini sesuai dengan situasi yang sedang aku hadapi ketika ini...

Aku ingin berkongsi... ianya hanyalah sekadar sebuah perhitungan dan pentafsiran hati dalam sesi muhasabah diri, tapi aku mahu ia dikongsi, agar semua mendapat manfaat dan mungkin dapat menasihati diriku nanti...


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah Yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda Yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang Yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia, (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui.
(Surah al-A’raaf : 32)

Sejenak aku meneliti dan mentafsir, kalimah perhiasan kubayangkan pada nikmat perasaan yang Allah anugerahkan kepada kita. Perasaan itu adalah satu perhiasan yang amat mengasyikkan.

Marah, sedih, kecewa dan kasih. Pada semua itu ada satu kepuasan andai kita dapat luahkan. Kasih? Ya, aku ingin menumpukan pada perhiasan emosi yang ini. Kasih ataupun kalimah ‘famous’ ketika ini adalah CINTA!

Allah berfirman : Katakanlah (Wahai Muhammad): “Siapakah Yang (berani) mengharamkan ‘perhiasan’ Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya?”

Ya, siapa yang berani menafikan perasaan cinta yang lahir secara fitrah dalam diri kita? Ianya hadir tanpa kita sedari. Tiba-tiba hati terdetik, maka kita pun menafsirkan yang kita telah kasih/cinta pada individu yang membuatkan hati ini berdetik. Adalah mustahil untuk kita menepis perasaan itu. Menafikannya bermakna kita sedang menafikan fitrah yang Allah anugerahkan, kufur nikmat namanya.

Haram bercinta bukan pada nilai emosinya, tapi pada kaedah atau metode perlaksanaan dan penghayatannya.

“...Dan demikian juga benda-benda Yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya...?”

Yupz! Cinta dan kasih adalah sesuatu yang hebat. Bahkan ia satu tuntutan, kerana tanpa cinta, hancurlah insan kerana permusuhan. Pepatah ada mengatakan, “Melalui cinta kita akan mengenali Yang Maha Pencipta Cinta.”

Cinta yang baik dan halal adalah rezeki yang Allah kurniakan kepada kita. Kalimah rezeki menunjukkan pada kita, cinta yang disalur pada jalan yang halal, disitu wujud kebahagiaan dan kenikmatan dalam bercinta. Dan saluran cinta sesama insan hanyalah melalui cinta kepada Allah.

Melalui cinta Allah, di situ terdapat ikatan pernikahan, ikatan persaudaraan, ikatan persahabatan dan pelbagai lagi. Dan jalinan inilah yang Allah rahmati.

...Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang Yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia.”...

Cinta satu nikmat..satu keasyikkan bagi sesiapa sahaja yang menghayatinya. Tak kira yang beriman atau tidak beriman mereka pasti dapat merasainya.

Tapi AWAS!!

“...Nikmat-nikmat itu pula hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat...”

Allah telah mengingatkan kita bahawa nikmat bercinta itu hanya kekal bagi mereka yang mentaati suruhan dan larangan Allah. Kekal hingga ke akhirat. Dan mereka yang telah menyalahgunakan nikmat itu? Sengsara dia di negara abadi nanti...

“...Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui.”

Allah telah memberi tahu kepada kita akan anugerah yang hebat ini, terpulang kepada kita untuk berusaha mengekalkan anugerah tersebut hingga ke syurga... setiap keterangan dalam al-Quran adalah jelas bagi mereka yang mahu mencari dan menelitinya...


6/20/2009

Berhenti!!!

BERHENTI!!!



“Berhenti bicara soal cinta!” bentak hatiku.

Cukup! Aku sudah mula terasa muak dengan persoalan emosi dan perasaan ini. Ada sahaja yang bertanya, entah memang nak tahu, atau sekadar nak tahu gitu-gitu saja. Datang kepada ku bertanya jalan penyelesaian, bila diberi, mereka katakan mustahil untuk dilakukan, akhirnya tiada langsung perubahan...

Cukup! Cukup dengan cinta. Habis kubazirkan keringatku mengkaji tentang permasalahan emosi ini. Apa faedahnya? Nyata aku hampir terlentok jatuh di dalam perangkap cinta.

“Enta dah gila? Cinta itu fitrah ya akhi, mana mungkin manusia hidup tanpa cinta..”

Ahh....peduli apa dengan cinta. Apa yang kau maksudkan itu amat berbeza sekali wahai sahabat dengan ‘cinta’ yang aku muakkan ini. ‘Cinta’ yang aku katakan hanyalah sebuah khayalan, ikatan tanpa matlamat, dirasa bahagia tapi rupanya yang didapat hanya murka.

“Enta tak boleh kata gitu sheikh... cuba pandang positif sikit..”


Sudah! Sudah! Aku tak mahu bicara lagi soal ‘cinta’. Ia amat mengongkong kebebasanku. Menghalang aku terbang bebas di atas langit jihad, menjadi benteng diriku dari menyelam dalam lautan ilmu yang luas... Ada apa dengan cinta seperti itu??

Jangan salah sangka. Aku bukan musuh cinta. Kukatakan seperti itu kerana aku bengang dengan pemain-pemain khayalan ‘cinta’. Mereka datang kepadaku membawa harapan, tapi pergi dengan seribu rungutan dan alasan...

Susahlah... takut dia.... still sayang dia... dia baik orangnya...

Jawapan-jawapan yang membuat aku rasa ber‘bulu’ dengan mereka. Masihku ingat seorang rakan junior datang mengadu kepadaku.

“Orang perempuan ni tak boleh percaya bang. Diorang ni suka main kayu tiga. Dengan kita tunjuk sopan, tapi belakang macam...” ujarnya yang baru sahaja me‘nalak’ makwenya.

Kemudian mengadu pula seorang muslimah, “Orang laki ni semua sama, tak faham hati kami orang perempuan. Depan baik, kat belakang kita, ngorat perempuan lain..”

Pulak...aku pening dengan pemain-pemain cinta yang ‘cedera’ ni. Lalu ku nasihatkan agar mereka duduk sahaja di bangku simpanan, pulihkan kecederaan, baiki kerosakan dan berdoalah agar diberi peluang yang lebih baik.

Tapi, biasalah pemain simpanan, mana tahan sentiasa tersimpan, hendak juga masuk dalam permainan walaupun tahu akan tercedera lagi... heiz...

Nasihatku pada pemain-pemain ‘cinta’, bangkitlah dari khayalan... jangan bila dah terjelepok baru nak tengadah, dah teruk dikecewakan, baru nak sedar hentak kepala. Udahlah....

TANGI! TANGI! TANGI!
(bangun, bangun, bangun! – bahasa jawa, betulkan kalau salah ea...)



P.D.C. : Cinta.... ooo cinta, buta mata kerna cinta, gadai nyawa kerna cinta, alangkah jahil mereka yang berkorban pada cinta... cinta yang aku maksudkan adalah cinta antara dua jantina yang berlainan tanpa akad pernikahan...itulah cinta yang membutakan... wallahu’alam...

Ibu.... Ayah....


Kadang-kadang aku termenung sendiri, mengenang jahilnya diri dalam menilai kasih dan sayang mereka, dua insan yang banyak berkorban untuk diriku.


Hingga kini mereka tidak pernah bosan membesarkan aku, apatah lagi rungutan tidak pernah kudengari dari bibir kedua orang tuaku.


Memoriku terbang ke hari-hari dahulu, mengenang kembali kisah ketika aku diulit manja dan kasih sayang ibu dan ayah. Biarpun aku banyak melukakan perasaan mereka, namun belaian manja dan mesra tetap kuterima.


Ibu...


Kadang-kadang terasa tidak adil dalam diri, bila aku menjadi ‘mangsa’ mendengar bicara Ibu. Satu jam bukan sekejap, tapi boleh dikatakan waktu minimum bicara Ibu kudengar ditelinga. Kekadang terasa kesabaran ku diuji, ku tunjuk protesku melalui dengusan atau perlakuan lain yang menunjukkan aku sudah penat mendengar.


Namun Ibu terus berbicara, tanpa menghiraukan tanda-tanda protes yang ku lakukan. Disebutnya namaku dengan nada yang lembut, menggamit perhatianku yang semakin hampir melayang tidak menentu.


Perhatianku terarah kepada wajah Ibu, sejuk hatiku melihat senyumannya, lalu kuambil tangannya dan kuletakkan dipipiku, terasa hangat kasih sayangnya. Hilang sudah rasa protesku bila Ibu membiarkan kepalaku terlentok dipahanya, sambil diusap pipiku dan diteruskan bicaranya sambil menanti kepulangan ayah. Biarlah sejam atau lebih, aku setia ‘menadah’ telinga mendengar bicara Ibu dalam ulitan manja Ibunda tercinta.


Ayah...


Duduk disamping ayah berbeza disaat duduk diulit manja Ibu. Bersama ayah aku berbicara lagak aku seorang dewasa. Walaupun kekadang terlepas perlakuan manja... Maklumlah anak last kata orang... hahaha. Namun ayah tak pernah marah. Dilayan aku dan abang serta kakak sama sahaja. Andai aku buat salah, aku tetap menerima hukumannya. Tapi aku tak kesah, kerna aku anak ayah. Walaupun ada yang kata, anak last anak manja, semua nak dapat sahaja... hahaha, aku hanya tergelak mendengarnya.


Hari ini, bila aku sedang mendaki menara ilmu, ayah masih seperti dulu. Berdisiplin mendidik kami, biarpun abang dan kakakku sudah meniti alam rumah tangga. Namun caranya lebih lembut, mungkin kerana faktor usia kami yang sudah besar, ayah tidak marah, tapi tegurannya lebih halus menusuk kalbu. Sama macam Ibu.


Aku kagum pada ayah, pernah satu ketika aku ketiadaan duit di asrama, malam itu aku telefon Ibu sekadar untuk bertanya khabar, namun Ibu dapat menghidu masalah kewanganku, bila ayah mendapat tahu, malam itu juga ayah masukkan wang dalam akaunku. Padahal waktu itu, ayah baru sahaja balik dari mesyuarat kampung, dan belum pun berehat.


Ibu... Ayah...


Banyak yang ingin aku bicarakan, namun tersekat di dalam dada, tatkala melihat wajah Ibu dan Ayah. Rasa bersalah bila terasa diriku tidak berjaya membuat Ibu dan Ayah gembira. Terasa diri ini seperti mensia-siakan pengorbanan Ibu dan Ayah. Maafkan anakmu ini Ibu...Ayah...


Di saat ini, anakmu sedang bergelut mencari identiti diri, anakmu kini kembali menyusun strategi, menentukan matlamat demi menggapai kejayaan. Aku mahu melihat Ibu dan Ayah tersenyum gembira seperti saat aku merangkul kejayaan pada semester pertama.


Juga aku rindukan pelukan kegembiraan Ayah disaat aku berjaya tika di alam persekolahan dahulu disamping senyum Ibu yang terharu melihatnya anaknya cemerlang.


Ibu, Ayah...


Aku akan berusaha sedaya upayaku... kupahat kenangan indah bersama Ibu dan Ayah disisiku, agar ia menjadi azimat untuk aku lebih berusaha di masa hadapan...




P.D.C. : Ya Allah, Kau kasihilah kedua ibubapa ku sebagaimana mereka mengasihi diriku semenjak aku kecil lagi...

6/14/2009

'Click'!


‘Click!’


Anak panah ‘mouse’ komputerku menekan pada satu file yang telah lama aku ‘seal’kan. Fail yang penuh dengan kenangan, yang menjadi batu loncatan pada perubahan dalam diriku.

Terpapar segala dokumen-dokumen sulit di skrin komputerku. Aku membuka kotak ‘search’ dan menaip satu persatu.


‘D.I.A.R.I. A.B.U. H.A.R.I.Z.’.....


“Komputer search this file...” monolog hatiku mengarahkan komputerku.


Mataku melihat pada jam di dinding, hanya 5 minit sahaja lagi peluangku untuk menunggu. Berdebar hatiku menanti... terasa bagaikan waktu berjalan lambat mempermainkan aku.


Beep... tertera file sulit yang telah lama tidakku buka....


“LUAHAN DARI PENA”


Terbuka kembali kotak memoriku ketika bergerak aktif di kolej semester yang lalu. Sesungguhnya diri ini amat merindui suasana ketika itu. Bukan kerana glamour atau suka-suka, tapi kerana aku amat merindui proses perlaksanaan sesuatu program, rakan-rakan seperjuangan, dan paling utama mengenai diskusi perbezaan fikrah dan pendapat serta hujah.


Meeting sana, meeting sini. Perjumpaan sana sini. Suka, gembira, sedih dan kecewa ketika menyiapkan proposal sesuatu program dibincang bersama dalam musyauwarah. Lebih seronok bila idea datang mencurah-curah di kepala seiring dengan tangan laju menaip proposal untuk program yang baru. Padahal program yang ada belum habis terlaksana.


Suasana inilah yang amat kurindui....


“Program Ta’aruf Persatuan Mahasiswa al-Quran & as-Sunnah (al-QudS)” baru-baru ini telah menyegarkan kembali mindaku untuk merancang semula program-program ilmiah untuk al-QudS. Tak jemu-jemu rasanya idea mencurah di minda. Namun ku peringatkan diri ini, bahawa aku telah ‘pencen’ dalam persatuan ini.


Kecewa (walaupun aku dah agak dah) pabila tangan ini terus menaip merancang sebuah kertas kerja program untuk persatuan yang amat aku sayangi ini. Akhirnya terhasillah sebuah kertas kerja program diskusi ilmiah yang aku rindui. (tak tahulah nak bagi siapa untuk me’realiti’kan kertas kerja ni).


Masih segar diingatan ku pengalaman manis ketika melaksanakan Program Minggu al-Quran & as-Sunnah pada semester yang lalu. “Big Prorgam’ yang buat pertama kali aku melaksanakannya dengan aku sebagai pengarahnya.


Banyak kenangan indah yang aku lalui ketika itu. Bagaimana satu ketika, proposal ku itu ditolak mudah kerana dirasakan amat payah untuk dilaksanakan. Apatah lagi dalam keadaaan ekonomi persatuan yang gawat. Namun kata-kata perangsang dan nasihat dari ‘kawan’ di sisiku membuka mataku untuk berhadapan dengan situasi itu.


Maka terlafazlah satu janji dalam diriku.... Janji yang mana mungkin aku lupakan...memberi kekuatan untuk aku terus berdiri...


“Sesungguhnya aku sayang pada lajnahku.

Medan perjuangan fikrahku yang pertama. Akan ku buktikan kepada mereka di luar sana, bahawa al-Quran & as-Sunnah itu mudah dan menarik serta menghiburkan. Inilah janjiku...”


Mengenangkan kepelbagaian ragam dan kerenah sahabat-sahabat yang bersama aku ketika itu, amat melucukan. Pernah satu ketika, dalam mesyuarat minit terakhir, kami berselisih pendapat, yang mana keputusan ku dibantah oleh kebanyakkan sahabat, walhal aku adalah pengarah! Tapi ia membuka mataku untuk bersifat lebih terbuka dalam berpendapat, sambil mengekalkan senyuman dan mengawal emosi, aku beralah dengan pendapat mereka dan Alhamdulillah, program kami berjalan lancar.


(merenung kenangan indah yg telah berlalu...)


Aduh...kenangan yang indah untuk ku ingati. Namun yang berlalu tetap berlalu. Boleh dikenang sebagai panduan bukan untuk disesalkan atau untuk berkata, “Kalaulah dulu aku......”


Perjuanganku masih belum selesai. Namun misi perjuangan semakin hari semakin bertambah. Itulah ragam kehidupan manusia. Ada sahaja matlamat untuk dicapainya, terpulang kepada diri kita untuk berusaha menggapai matlamat yang telah ditetapkan itu.


Berusahalah selagi mampu, kerna pabila tiba ‘waktu’ itu, usaha kita lah yang menjadi penentu.....


Ya Allah.....berikan aku kekuatan.......




P.D.C. : Sememangnya aku amat merindui waktu yang telah berlalu itu, namun realitinya, kenangan hanya sebuah tempat persinggahan sementara untuk aku melepaskan tekanan yang dirasa dengan peristiwa indah masa dahulu....


“KENANGAN BUKAN ANGAN-ANGAN!”



6/02/2009

Untukmu Sahabatku...



Erti persahabatan, menimbulkan seribu persoalan… Bertalu-talu pertanyaan terbit difikiranku, menggali definisi persahabatan berdasarkan maklumat persekitaran. Kutolak mentah pengertian dari kamus dan maklumat dari perpustakaan. Kerna bagiku itu bukan sumber jawapan sebenar yang kucari.

Sahabat, rakan dan taulan.... ada yang menyamakan dan ada yang membezakan tiga perkataan ini. Antara ketiga-tiganya, sering kugunakan sahabat sebagai nama peganti diri individu disekitarku.

Pernah ku dengari ungkapan, “SAHABAT ITU ADALAH CERMIN KEPADA SAHABATNYA YANG LAIN”. Entahkan hadis mahupun kata-kata pujangga yang indah.... terpulang pada semua untuk mengesahkannya. Entry kali ini memberi sebuah gambaran individu amnesia sedang mencari biodata dirinya yang hilang diluput usia.

Amnesia, penyakit yang menghilangkan ingatan pengidapnya, dan aku umpama satu diri yang terpencil, tercari-cari definisi sahabat sejati di dalam lautan individu yang diberi gelaran sahabat sewenang-wenangnya.

Terpinga-pinga dan terkesima, kugambarkan perasaan ku tika ini dengan dua kalimah itu.
Tatkala ini, aku sedang mencari... ada sahabat yang menghulur tangan mengajak aku keluar dari lembah terpencil ini. Namun perasaan takut menguasai diri, kerna kehadiran ‘sahabat’ kadangkala amat menyakitkan, amat memedihkan..kerna ‘sahabat’ itu membawa aku ke puncak kegagalan.

Kuimbau peristiwa lalu, tika diriku hidup dalam dunia kemegahan dan kemewahan. Di situ, banyak tangan dihulurkan kepadaku, menjalin ikatan persahatan yang palsu. Aku tersenyum bangga, lalu setiap luahan kebanggaan ku kongsi bersama dengan seorang manusia yang ku gelar hanya KAWAN.

Tiap hari kulalui, ‘Kawan’ku ini sentiasa disisi. Kesibukkan berhadapan dengan ‘sahabat-sahabat’ku membuatkan aku tidak peduli pada ‘kawan’ku disisi. Setiap nasihatnya kepada diri, sekadar berlalu dalam hati. kekadang tersentuh, namun hanya untuk sementara waktu. Bila bertemu ‘sahabat-sahabat’ku, makan luputlah nasihat ‘kawan’ku itu.

Kini, pabila ‘kawan’ku tiada disisi, baru ku terasa, bahawa sahabat sebenar adalah dia. ‘Kawan’ku itu adalah Sahabat sejatiku. Terasa aku mensia-siakan kehadirannya. Ingin sahaja mengalir air mataku ini...

Beep...beep... telefon bimbitku bergetar menerima kehadiran satu pesanan ringkas...

“Bahawa tanaman itu tumbuh pada tempat yang lembut, dan tidak akan tumbuh pada batu yang licin. Seperti itu pulalah ilmu hikmah, ia bekerja pada hati orang yang merendah diri dan ia takkan bekerja pada hati orang yang sombong...”

Biarpun pedih peringatannya, namun kegembiraan tetap kurasa. Biarpun kami dipisahkan oleh jarak dan tempat, peringatan darinya tetap kuterima. Tidak mampu rasanya untuk ku balas pesanannya, kerna fikiranku buntu untuk bermadah kata nasihat untuknya. Sekadar senyuman dan doa di dalam hati ku kirimkan kepada ‘Kawan’ku yang satu ini.

Biarpun masih tercari-cari erti persahabatan sebenar.... namun kini ku tahu, disampingku ada ‘kawan’ yang menemaniku. Dan aku berdoa agar kami tetap ber‘kawan’ kerana Allah dan di dalam redha Allah selalu...

Terima kasih ‘kawan’................



P.D.C. : Andai kau sedang membaca entryku ini Kawan, ketahuilah, aku amat merinduimu, merindui saat-saat kita saling berbalah secara ilmiah, ketika kita bersama berjalan, beriadah mahupun duduk sembang bersahaja, ada sahaja persoalan ilmiah yang akan kita hujahkan bersama, biarpun hanya pertanyaan “Mengapa daun itu warnanya hijau?”. Itulah saat terindah yang belum aku temui tika bersama dengan yang lain...

Ku doakan agar kau berjaya mengejar cita-citamu ‘Kawan’ku.....

Tamparan Hikmah...



PANG!!! Satu tamparan kuterima, mengejutkan aku dari lamunan,berdenyut-denyut sistem saraf ku memberi ransangan sakit terhadap tamparan itu. Hampir-hampir sahaja aku terduduk dek kerana terkejut dengan tamparan yang menyakitkan itu. Aduh.....

Ku perhatikan disekelilingku, terasa beribu mata sedang memandangku, ada yang sinis, ada yang bersahaja dan tak kurang juga yang memandangku dengan simpati... ada yang cuba menghulurkan tangan untuk membantuku, namun aku hanya berdiam kaku... sambil memerhati tangan-tangan itu.

Kugagahkan diri untuk kukuhkan kaki, namun terasa longlai kaki ku untuk memijak bumi, hanya kerana tamparan itu membuat aku terasa kurang keyakinan dalam diri. Apatah lagi untuk berhadapan dengan mata-mata yang memandangku dengan tanda tanya, apa yang aku telah buat sehingga aku ditampar sebegitu?

Mulutku terkunci membisu. Ego atau prinsip? Aku tak tahu. Atau....aku tidak mahu tahu? Tidak mahu mengetahui apakah kesalahan ku sehingga aku ditampar sebegitu. Sombongnya aku....

Tamparan hikmah yang lazat, atau tamparan kecelakaan yang azab? Terpulang kepada pandangan individu, tapi bagiku? Setelah beribu budi ku tabur, ini yang aku dapat? Penat lelah ke sana ke sini, demi menabur budi dan ilmu, tamparan kesakitan ini yang dihadiahkan? Terasa panas hati bergolak, merungut pada ketidakadilan ini.

“WHAT YOU GIVE YOU GET BACK!”

Jadi, mengapa ini yang aku terima? Pisang yang kuhadiahkan, lalu kulitnya dicampakkan ke mukaku. Haa... tak mahu rasanya ku teruskan pemberian yang tidak membawa pulangan ini.

Hikmah disebalik kejadian...

Begitulah monolog hatiku, disaat diri ini masih kecewa dengan tamparan sebegitu rupa. Segalanya ku tafsir dengan seribu kekesalan, keluhan dan pelbagai lagi perasaan dan alasan negatif tanpa berhenti sejenak untuk berfikir, apakah hikmah disebalik tamparan?

Renungan mataku tertangkap pada sehelai kertas, hanya keluhan kecil terlahir dari mulutku, sehelai kertas, yang disebut “examination slip”. Nyata kertas inilah tamparan yang menyakitkan itu.

Aku bagaikan tidak percaya, pointer ku merundum teruk, hingga ke angka yang aku sendiri tidak dapat gambarkan. Membuatkan aku termenung mencari punca kegagalanku itu.

Persatuan? Kelab? Program? Aktif sana sini? Apakah ini puncanya? Aku tak percaya. Kerana hampir 4 semester aku aktif seperti semester lalu, hasilnya memuaskan hatiku. Namun kali ini, membuatkan aku terlupa seketika, bahawa setiap pemberian dari-Nya, walaupun duka mahupun ceria adalah ujian untuk diriku.


“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar
Surah al-Baqarah : 155


Peringatan dari Illahi melalui kitab-Nya yang Mulia ini, menyedarkan aku dari kelekaan tipuan nafsu amarah. Membawa diri kepada jiwa yang mutmainnah (tenang). Benarlah sebagaimana firman Yang Maha Mengetahui :

“(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah". ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
Surah ar-Ra’d : 28

Maha Suci Allah yang mengurniakan al-Quran dengan pelbagai hikmah di dalamnya. Terasa menyesal pabila mengenang keluhan dan ungkitan yang kuluahkan sebentar tadi. Padahal setiap ujian ada hikmahnya. Dan kegagalanku ini, aku yakin ada hikmahnya.

Rasional kembali difikiran, memberi kekuatan untuk ku tempuh realiti kehidupan, gagal bukan halangan, tapi ia satu lonjakan untuk ku lakukan satu perubahan. Hakikatnya kata-kata “What You Give You Get Back” adalah benar. Kerana ‘When You’ll Get Back?’ satu persoalan yang perlu dinantikan jawapannya. Dengan kesabaran dan redha atas setiap ujian.

“Ya Allah, ampunkan dosaku atas keterlanjuranku mengungkit setiap amalanku yang lalu. Jangan Kau padamkan amalanku itu kerna keterlanjuranku. Kau Maha Pengasih dan Maha Penyayang...dan Kaulah sebaik-baik tempatku pinta pertolongan...” Amin.....

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) Yang menimpa (seseorang) melainkan Dengan izin Allah, dan sesiapa Yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa Yang telah berlaku itu Dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Surah at-Taghabun : 11





P.D.C. : Setiap kejadian ada hikmahnya, setiap keburukan ada kelebihannya. Terpulang kepada diri kita untuk menafsirkan setiap peristiwa dalam kehidupan. Allah Maha Bijaksana, dan Dia tidak akan mensia-siakan setiap kejadian dan peristiwa makhluk ciptaan-Nya.

Andai...



Andai...
Hari ini berlalu dengan seribu kegembiraan
Ku pinta agar ia kan terus berkekalan

Andai...
Hari ini berlalu dengan seribu kenangan
Ku pinta kenangan itu terindah dalam memori hidupku

Andai...
Hari ini berlalu dengan seribu pengajaran
Ku pinta agar ia memberi manfaat kepada diriku di masa hadapan

Andai...
Hari ini berlalui tanpa kehadiran esok
Ku harap agar diri ini menerima keampunan dari tuhan yang satu

Andai...
Nyawa ini kan mengadap Illahi
Semalam, hari ini dan esok hanyalah coretan perjalanan kisah hidupku
Semoga ia menjadi ikhtibar dalam diri kamu
Saudara-saudaraku...