2009/12/26

Aku....


Aku. Beberapa hari sebelum tangan ku bergerak menulis ini, aku dan diriku serta idea-idea yang hadir hanya tersimpan dalam hati dan diri. Berat rasanya nak menulis, member-member aku selalu sebut, ini namanya “Takda mood.”


Aku hanya tersengih-sengih. Kemudian diam semula. Berbaring, kekadang duduk membaca menghabiskan koleksi buku yang bertambah walaupun tak semua aku khatamkan. Heiz....


Aku dan isi hatiku. Banyak benda dan perkara yang mahu aku kongsikan bersama. Tetapi semangat untuk menulis belum tiba. Ada orang kata ia takkan tiba kalau bukan kita yang dulu mula. Ha,ha,ha, aku setuju. Sebab itu aku menaip entry ni.


Bosan? Tak bestkan starting entry aku ni.


“Aku boleh bagi banyak alasan, tetapi itu ciri mereka yang mahukan kegagalan itu berterusan. Realitinya aku perlu cari jawapan, agar terbina kekuatan untuk aku terus gembira untuk bermain dengan pena walaupun kini hanya keyboard komputer menjadi alat untuk kita berkongsi idea bersama.”


Beberapa hari ini, aku dan diriku berbeza. Sepatutnya kepulangan aku ke rumah agar aku boleh menghadirkan diri ke masjid negeri melihat kunjungan dari sheikh besar Dr Yusuf al-Qardhawi. Tapi aku tak pi. Kenapa? Ha,ha,ha... aku gelak lagi. Biarlah hanya aku dan diriku sahaja yang tahu jawapannya.

Handphone sepanjang di kampung tak aku layan. Biarpun bila pulang ke asrama masih berterusan, ramai sahabat dan teman complain kata aku ni buzy sokmo. Sindiran tu jangan kira, banyak! Tapi, itulah aku, dengan boikot ku kepada handphone yang sering bermain ditanganku satu ketika dahulu. Maaf kupinta kepada semua.


Halaqah mahasiswa, menarik dan aku tertarik. Aku memang tertarik dengan idea sahabatku ini. Satu perjumpaan ala-ala usrah santai dan bersahaja. Dengan hidangan teh o bujang oleh Hilman dan biskut kering alas perut. Memang seronok. Kebetulan malam itu entah kenapa mulut ini ringan untuk berkongsi ilmu yang ada, jadi bila sahabatku Amir Hamzah menjemput untuk aku mulakan sesi tazkirah, apa lagi. Perumpamaannya seperti mendapat ‘nasi set’ satu bungkus free, aku menerimanya dengan suka hati. Ha,ha,ha.... makan je ingat.


Err... bagi teman-teman yang tak tahu apa itu nasi set. Nasi set adalah satu hidangan ringkas dengan harga ekonomi yang murah bagi mahasiswa (especially aku) kat KUIS ni. (Please dont relate it dengan isu yuran KUIS mahal yang kecoh baru-baru ni.)


[Takrif nasi set = Nasi putih + Telur Dadar + sup kosong + belacan sejemput = RM 2.00]


Kesian kan? Sedih tak? Sedih tak?


****************************************


Starting topic bagi ‘Friendly Group’, nama halaqah tersebut adalah berkaitan persaudaraan dalam Islam. Dalil yang menjadi hujah utama adalah satu ayat dari surah al-Hujurat, mafhum ayat,


“Sesungguhnya orang beriman itu adalah bersaudara.”


Sahabat yang dirahmati Allah sekalian,


Dalam ayat tersebut Allah menegaskan bahawa orang beriman adalah bersaudara. Di dalam hadis baginda nabi s.a.w. juga banyak menyebut tentang isu persaudaraan ini. Sebagai contoh satu hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir r.a., Nabi s.a.w. bersabda:


“Kemesraan, kasih sayang dan saling berbelas kasihan antara orang Mukmin diibaratkan seperti satu jasad, apabila satu anggota mengadu kesakitan, seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar.”

(riwayat Bukhari & Muslim)


Pokok persoalannya yang saya tertarik untuk dibincangkan bersama adalah penggunaan perkataan ‘Orang Beriman’ dalam seruan tuhan Yang Maha Bijaksana itu. Mengapa Allah tidak menggunakan perkataan ‘Muslimun’ yang membawa maksud orang Islam?


Hakikat persaudaraan itu umpama sebuah bangunan dengan tiang keimanan yang berceracak sebagai tunjang pengukuhan sebuah bangunan. Ini kerana, sebuah ikatan tanpa saduran keimanan adalah rapuh biarpun dari luarnya kelihatan kuat dan teguh.


Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:


“Sesungguhnya seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain ibarat satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.”

Riwayat Bukhari & Muslim


Seorang sahabat saya pernah memberi satu pesanan ringkas SMS apabila saya menghantar mesej meminta maaf kerana lama tidak bertegur sapa. Rasa bersalah dalam diri. Kata pesanannya:


“Sesungguhnya persahabatan kerana Allah itu tidak perlu berasa salah

mahupun dipinggirkan kerana Allah sentiasa bersama kita.... Selamat berjuang.”


Benar, kata-katanya menyedarkan saya betapa setiap perkara itu perlu disadur dengan kekuatan iman dan pengharapan kepada redha tuhan Yang Maha Kuasa. Soal keimanan bukanlah satu persoalan yang hanya tertumpu kepada soal solat, soal puasa, sedekah atau sebagainya. Tetapi ia merangkumi semua aspek dan kegiatan dalam kehidupan seorang manusia bergelar muslim apatah lagi mukmin.


Proses keimanan adalah satu proses yang berterusan. Apabila kebergantungan kita sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Kuasa, maka kita tidak akan terasa kecewa atau sunyi walau disekitar kita beribu manusia mahupun kita bersendiri sahaja. Persahabatan itu tidak pernah lekang dihati biarpun jauh dari pandangan mata. Inilah kebenaran persaudaraan antara orang yang beriman.


Ketika peristiwa Hijrah berlaku, dua kaum yang belum pernah berjumpa, hanya terikat dengan ikatan keimanan, akhirnya bersaudara. Banyak peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh kaum Ansar kepada kaum Muhajirin yang tiba tanpa harta melainkan Allah dan Rasul sebagai tunjang kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Tiada rasa kecewa kerana berkurangnya harta yang terpaksa dibahagi dua. Tiada rasa terkilan kerana terpaksa bercerai dengan isteri tercinta semata-mata untuk dijadikan peneman kepada saudara yang tiba sebatang kara. Bahkan segalanya dilakukan dengan penuh rela, tanda kecintaan kepada Yang Maha Bijaksana dalam merencana. Juga kepada Rasul tercinta, pemberi khabar gembira dan peringatan melalui al-Quran, firman Yang Maha Kuasa.


Di dalam peristiwa perang Uhud. Tatkala baginda Nabi s.a.w. tercedera dan terdedah kepada serangan kuat kaum kuffar. Ketika itu muncul berita gembira bagi kaum kuffar mengatakan baginda telah bertemu dengan rabbnya. Satu golongan sahabat merasakan kecewa, lantas berazam untuk bersama dengan baginda s.a.w. di sisi rabb Yang Maha Esa, dihunuskan pedang dan berperang hingga ketitisan darah terakhir. Peristiwa ini berlaku kepada beberapa orang sahabat yang diantaranya adalah Anas bin Nazhar r.a. Apabila dia mendengar berita itu, dia berazam untuk berperang hingga ke nafas yang terakhir. Disebutkan ketika Uhud tamat, mayatnya tidak dapat dikenali dan hanya dikenali oleh saudara perempuannya melalui jari jemarinya.


Satu golongan lagi, tidak percaya. Lalu dikaji dan diteliti khabar palsu itu. Bertepatan sebagaimana firman dari Allah tuhan sekalian alam.


“Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini – Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.”

Surah al-Hujurat : 6


Abu Bakar as-Siddiq r.a. adalah orang pertama yang menemui nabi s.a.w. yang ketika itu sedang cedera dan dilindungi oleh hanya 7 orang sahabat Ansar dan 2 orang sahabat muhajirin. Dan ketika para sahabat berkumpul semula mempertahankan baginda, ketika itu hanya 2 orang sahabat Muhajirin sahaja yang masih bertahan menjadi benteng baginda Rasulullah s.a.w manakala sahabat Ansar yang 7 itu telah pun mencapai kemenangan mereka sebagai syuhada’.


Sahabat-sahabat yang saya sayangi sekalian,


Di dalam peristiwa perang Uhud itu, suka saya ajak semua untuk perhatikan perbuatan mereka melindungi baginda itu bukan sekadar kecintaan seorang umat kepada nabinya, bahkan kita kaitkan juga kecintaan seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain. Baginda s.a.w. menunjuk satu contoh tauladan yang unggul dalam bersahabat. Biarpun baginda tahu mereka bermati-matian melindungnya, namun baginda tidak pernah mengambil kesempatan untuk bersenang lenang. Dalam keadaan cedera itu, baginda membantu Talhah r.a., salah seorang Muhajirin yang membentengi baginda dengan memberi anak panah kepadanya sehinggalah bantuan tiba. Fitrah persahabatan, senang sama senang, susah sama susah, sakit sama sakit, tenang sama tenang. Dan segalanya adalah bersama-sama. Satu ukhwah, satu kuasa, dibina bersama, kesannya selama-lamanya.


Bagaimana mungkin kita dapat mencipta ikatan persaudaraan sehebat generasi itu? Pastilah hanya dengan kita menghayati konsep keimanan yang sebenarnya. Apabila redha Allah menjadi tunjang utama yang sebenarnya, maka ianya tidak lagi menjadi mustahil (mission impossible to mission possible.).


Lihat sahaja ketika 313 tentera Islam bertempur dengan 10 kali ganda bilangan tentera Kuffar dalam perang Badar al-Kubra. Kemenangan terhasil bukan hanya kerana usaha dan kekuatan sahaja, tetapi kerana percayanya mereka kepada bantuan Allah yang akan tiba. Adalah mustahil bagi manusia biasa dengan kepercayaan yang biasa-biasa untuk percaya pada suatu yang tidak dapat dilihat oleh mata. Tetapi mereka adalah manusia biasa yang mencintai Allah dan Rasul-Nya dengan kecintaan dan keimanan yang luar biasa. Subhanallah.....


Suka untuk saya simpulkan untuk kali pertama bahawa antara persaudaraan dan keimanan adalah dua perkara yang seiringan dan saling bergantungan. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:


“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri.”

riwayat Bukhari & Muslim


Sahabat-sahabat yang saya sayangi kerana Allah sekalian,


Rasanya jelaslah bahawa akar kepada persaudaraan adalah keimanan. Jadi andai ada individu-individu yang mengabaikan soal iman ketika mahu menjalinkan ikatan per‘kawan’an mahupun persahabatan, jangan ditolak, tapi perbetulkanlah. Ingatkan sesama kita bahawa kita berkawan duduk bersama, solat bersama, baca al-Quran bersama dan segala-galanya adalah bersama.... (yang mana private tu agak-agak la ye).

Oleh yang demikian sahabat-sahabatku, banyak peringatan yang masyhur, tak kira daripada kata nasihat orang tua-tua, mahupun purbakala, ataupun nasihat daripada rakan sebaya atau tua sikit dari kita (tak kisah lah, ini bukan isunya), yang meminta kita memilih dalam berkawan.


Hadis nabi s.a.w. juga ada menyebut tentang perkara ini. Seperti mana yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a. bahawa nabi s.a.w. telah bersabda:


“Janganlah kamu bersahabat melainkan dengan orang Mukmin, dan janganlah orang tidak bertaqwa memakan makanannya (makanan yang tidak halal) melainkan makanan orang yang bertaqwa (makanan yang halal).”

riwayat al-Hakim


Bagaimana kita nak membezakan antara sahabat yang mukmin dengan tidak mukmin? Bak kata pepatah, hanya Jauhari mengenal Manikam. Hanya orang yang beriman mengenali saudaranya yang beriman juga.


Apa-apapun terpulang pada kita untuk menilainya. Tepuklah dada, jangan tanya selera, tetapi tanyalah pada diri apakah kita seorang yang benar-benar beriman?



Secebis Hidayah: Nasihat Wak Ari



Hembusan angin yang menyapa wajahnya terasa nyaman. Dibiarkan seketika angin itu bermain dengan anak rambutnya yang terjuntai beberapa helai di dahi. Kopiah putih disisipkan ke poket kanan dadanya. Hangat mentari pagi sememangnya menyegarkan diri sesiapa yang menikmatinya. Tidak rugi rasanya sesekali merasai keindahan kesenian dalam setiap ciptaan tuhan.


Dia membuka matanya, melihat jelas pemandangan indah kota besar dihadapannya. Dari atas bukit kecil ditengah bandar itu, dia dapat melihat kesibukan warga kota yang berpusu-pusu melakukan aktiviti harian mereka. Dia tersenyum dengan telatah manusia yang berkerja berusaha mencari rezeki halal di sisi Illahi.


“Aidil, kamu masih di sini nak?”


Seorang tua berjalan menuju ke arahnya. Dia melihat tubuh tua yang uzur itu. Dengan baju melayu yang lusuh dan kain pelikat yang lama, lelaki tua itu tetap berseri penampilannya. Kebersihan pada diri dan pakaiannya dijaga. Biarpun nampak lusuh dan lama, tetapi tetap kemas dan bersih penampilannya. Dia mengangguk mengiyakan sambil tersenyum.


“Sengaja saya duduk di sini wak. Nak ambil angin pagi yang segar.”


“Iyelah. Kamu ni, ada-ada sahaja. Kamu sudah minum pagi?”


“Alhamdulillah, sudah wak. Tadi selepas tazkirah subuh, pak imam menjemput saya minum bersamanya. Wak bagaimana?”


“Wak puasa hari ini.”


Dia mengangguk. Itulah wak Ari, siak masjid al-Falahin di atas bukit kecil ini. Sudah 3 hari Aidil menetap seketika di masjid ini. Sejenak dia berhenti dari permusafirannya kerana tertarik dengan panorama indah di sini. Ketika kali pertama dia tiba, wak Ari lah orang pertama yang menegurnya. Keramahan wak Ali membawa titik ukhwah yang erat terbina antara mereka berdua. Biarpun wak Ari seorang yang miskin, tempat tinggalnya hanyalah di sebuah bilik yang tesedia di masjid itu, namun wak Ari tidak pernah bersungut, bahkan dia terkenal sebagai seorang yang amat pemurah, apatah lagi jika ada para musafir yang duduk berehat seketika di surau itu.


“Wak, saya mahu turun ke kota sekejap lagi. Wak mahu pesan apa-apa?”


“Tidak payah lah Aidil. Hanya wak mahu pesan, dalam perjalanan kamu nanti, jagalah imanmu. Ingatlah, Allah sentiasa memerhati diri kamu nak,” pesan wak Ari. Jelas loghat jawanya yang kadang-kadang terbit beberapa kali.


“InsyaAllah wak.” Dia segera bangun dan membersihkan sisa daun kering yang melekat pada seluarnya. Dia mahu membeli keperluan untuk perjalanan seterusnya di kota, di samping sedikit hadiah untuk wak Ari yang sanggup menerimanya sebagai tetamu di situ.


“Oh ya, Aidil, wak mahu kamu ambil wang ini dan sedekahkan kepada sesiapa sahaja yang kamu rasa patut menerimanya. Ingat ini Aidil, tiada ruginya andai kamu bersedekah. Kalau kamu ikhlas memberi, nanti kelak Allah akan redha untuk memberi kepada kamu juga.”


Aidil tersenyum mendengar kata-kata itu. Teringat dia pada tulisan Ustaz Pahrol Juoi dalam buku ‘Nota Hati Seorang Lelaki’ yang dikhatamkannya tempoh hari. “Kita akan banyak menerima, jika kita memberi bukan untuk menerima.” Andai keikhlasan tunjang utama, maka keredhaan Allah dan kenikmatan akan kita terima.


Riuh suasana kota yang dihimpit dengan kehadiran jutaan manusia yang berpusu-pusu menuju mencapai matlamat masing-masing. Sesekali bahu Aidil terlanggar tubuh-tubuh manusia yang sentiasa tergesa-gesa tanpa mengira orang di sekitarnya. Biarpun begitu, dia berlapang dada untuk memaafkannya. Dia tahu, kelak dia sendiri akan jadi seperti itu apabila bekerja nanti.


Sudah hampir setengah jam dia berdiri menanti tibanya bas yang menuju ke Bukit Kota. Biasanya bas itu akan tiba pada waktu-waktu kemuncak seperti ini. Dia melihat jam di tangannya. Lima belas minit lagi waktu Zohor akan tiba. Dia mengambil keputusan untuk menunggu waktu Zohor tiba di sebuah masjid yang berdekatan.


Melihat masjid bercat biru yang agak tenggelam kerana dikelilingi oleh bangunan pencakar langit disekitarnya, dia tersenyum. Peluh yang berjujuran di dahi dikeringkan dengan sapu tangan. Segera dia masuk ke dalam masjid tersebut untuk berteduh dari terik cahaya matahari. Dia berehat melepas lelah.


Seketika Aidil merasa dirinya sedang diperhati. Dia menoleh, namun tiada siapa yang ada dalam masjid itu melainkan beberapa jemaah yang sedang membaca al-Quran di saf hadapan. Dia beristighfar di dalam hati. Dibuangnya rasa tidak sedap hati jauh-jauh.


“Ah, baik aku pergi bersiap cepat. Sempat lagi nak baca al-Quran ni,” Aidil bercakap sendirian.


Bilangan jemaah berkurang. Seusai imam menamatkan bacaan doanya, mereka semua kembali sebuk dengan urusan kerja yang ditangguhkan seketika untuk menunaikan kewajipan mereka sebagai hamba Yang Maha Esa. Terdengar beberapa suara lunak dari jemaah yang tinggal sedang mengalunkan firman Allah. Aidil mendengar dengan teliti sambil menghayati makna ayat al-Quran yang dibaca. “Ini surah Ali Imran,” bisiknya sendirian.


“Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”


Aidil tersentak apabila jemaah yang bersuara lunak itu membaca ayat yang ke 185 itu. Tatkala itu hatinya menjadi kecut dan sayu, dia menundukkan wajahnya. Beberapa titis air matanya berguguran. Allah s.w.t. telah mengingatkan hamba-hambanya bahawa setiap yang merasai nikmat nyawa pasti akan mati. Meninggalkan isteri, anak-anak, harta dan segala apa yang ada di sisi, untuk menuju ke arah destinasi perantaraan antara dunia dan hari penentuan.


Beberapa kali Aidil mengulangi ayat tersebut di dalam hati sehingga dia teresak-esak menangis. Dia lalu bangun dan terus mengangkat takbir. Dia mahu bersolat sunat. Dia mahu mengadu kepada tuhan Yang Maha Mendengar. Dia mahu meminta ampun dari tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada hamba-hambanya yang meminta untuk disayangi.


Kipas di siling ligat berputar menghalau keluar sang haba yang cuba mencuri masuk ruang solat masjid biru Hudaibiah. Seorang lelaki tua mengipas-ngipas dirinya yang kepanasan. Si penjual roti yang terintai-intai ruang di dalam segera melangkah masuk dan melabuhkan tubuhnya dengan perlahan untuk melelapkan mata. Beberapa orang jemaah lagi duduk berteleku sambil membaca al-Quran dan bertafakur. Aidil masih lagi duduk termenung. Muhasabah merenung kisah silamnya yang tiba-tiba meluncur laju di kepalanya. Dia beristighfar seketika. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya yang lalu. Segera dia bangkit. Dia perlu pulang segera. Takut wak Ari bimbang tentang dirinya.


Seorang peminta sedekah menarik perhatiannya. Teringat amanah yang diberikan oleh wak Ari tadi belum ditunaikan. Segera dia menuju ke arah peminta sedekah tersebut lalu dihulurkan beberapa helai wang kertas ke dalam mangkuk usang itu sambil tersenyum. Beberapa kali peminta sedekah itu berterima kasih kepadanya. Dia beredar segera, tidak mahu ketinggalan bas yang sudah tiba.


Petang itu tidak ramai yang mahu menuju ke Bukit Kota. Apabila dia melihat tiada lagi penumpang yang akan naik, segera dia mengambil satu tempat duduk di tepi tingkap.


“Wak, kenapa wak suka bersedekah?” dia teringat perbualannya dengan wak Ari tempoh hari.


Wak Ari tersenyum.


“Bukan apa wak, saya tanya ni sebab....” serba salah dia mahu meneruskan soalannya itu.


“Mengapa Aidil? Kerana wak miskin? Begitu?”


Dia tersengih. “Maaf wak kalau kata-kata saya ni...”


Wak Ari mengangkat tangan memberi isyarat agar dia berhenti.


“Aidil, hidup di dunia ini, mana pernah kita rasa cukup. Hatta kalau ada di sisi kita sejuta ringgit sekali pun, kita takkan rasa cukup nak.”


Aidil mengangkat keningnya. Satu juta pun tak cukup?


“Benar, kalau kita hidup bukan tujuannya untuk mencapai keredhaan Allah.” Mereka berdua tersenyum. Aidil mengangguk faham.


“Aidil, wak mahu tanya sama kamu. Apakah apabila kamu memberi sedekah, maka kamu akan terasa kekurangan?”


Aidil mendiamkan diri. Tidak tahu sama ada perlu dijawab atau tidak.


“Bandingan derma orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas akan rahmat kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” [surah al-Baqarah: 261]


“Inilah firman Allah di dalam al-Quran Aidil. Cantik benar perumpaan yang Allah berikan apabila kita bersedekah. Aidil, apabila kita memberikan sesuatu kepada orang lain kerana Allah, secara kita tidak sedar kita sedang menambahkan apa yang kita ada. Lihat sahaja, pemberian itu diumpakan dengan sebiji benih yang kita tanam. Kemudian akan tumbuh darinya tangkai-tangkai yang berbuah dan dimanfaatkan semula menjadi biji benih untuk ditumbuhkan tangkai-tangkai yang baru dan lebih meluas kawasannya.”


“Inilah kitaran pemberian Aidil. Tidak berkurang, bahkan sentiasa bertambah. Ada orang dengan seringgit, dia mahu tersenyum. Tetapi ada orang dengan sepuluh ringgit, wajahnya sentiasa kelat tanpa senyuman. Semuanya berbalik kepada keikhlasan kita, yang akhirnya akan menjadikan kita orang yang sentiasa bersyukur walaupun di zahir mata manusia kita miskin harta, tetapi hakikat orang bersyukur, dia kaya dengan harta yang seadanya.”


Aidil mengangguk-angguk. Dia kagum dengan kepetahan wak Ari bercakap.


“Pada suatu hari, Umar al-Khattab r.a. telah berazam untuk mengalahkan Abu Bakar as-Siddiq dalam menyedekahkan harta ke jalan Allah. Dengan penuh semangat dia bertemu dengan nabi s.a.w. lalu memberikan harta miliknya kepada baginda. Lantas baginda nabi s.a.w. bertanya kepada, ‘Wahai Umar, apa yang kau tinggalkan kepada ahli keluargamu?’ Umar menjawab, ‘Aku meninggalkan sedikit sahaja untuk keperluan ahli keluargaku.’ Kemudian datang pula Abu Bakar lalu memberikan harta miliknya kepada baginda nabi s.a.w. lantas ditanyakan kepadanya, Wahai Abu Bakar, apa yang kau tinggalkan untuk ahli keluargamu?’ Abu Bakar menjawab, ‘Sesungguhnya hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang aku tinggalkan untuk ahli keluargaku.’ Umar al-Khattab tersentak, tahulah dia yang dia tidak akan dapat mengalahkan sahabatnya itu.”


Tubuh Aidil terlonjak-lonjak apabila bas yang dinaikinya itu melalui beberapa bonggol di jalan raya. Aidil beristighfar, terperanjat. Matanya memerhati sekeliling. Bas tersebut baru sahaja melepasi sebuah sekolah rendah. Maknanya dia akan tiba ke destinasi tak lama lagi.


“Aidil, kerana wak miskinlah wak mahu bersedekah.”


“Mengapa begitu pula wak?”


“Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, ‘Tidak akan berkurang harta yang disedekahkan.’” [riwayat Muslim]


“Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa nabi s.a.w. pernah bersabda, ‘Tidak berlalu hari-hari tatkala manusia memulakan pekerjaan melainkan turun dua malaikat yang satu malaikat berdoa, “Ya Allah, berilah ganti kepada orang yang membelanjakan iaitu menderma dan bersedekah hartanya.” Sedangkan malaikat yang kedua berdoa, “Ya Allah, binasakanlah harta orang yang bakhil.” [riwayat Bukhari]


“Hmm...” Aidil kagum. Hanya itu sahaja yang terucap di bibirnya.


“Aidil, wak tak punya anak yang soleh. Wak bukanlah seorang yang banyak ilmunya. Jadi hanya dengan bersedekah sahaja yang wak dapat sebagai bantuan wak kelak apabila mati nanti. Kerana wak pernah mendengar, dalam riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda, tiga perkara yang tidak terputus walaupun kita mati diantaranya ialah sedekah amal jariah. Dan wak juga pernah dengar, Allah mencintai orang yang pemurah, tetapi Allah lebih mencintai orang miskin yang pemurah.”


Aidil tersenyum sendirian. Kubah masjid al-Falahin kelihatan. Terbayang di matanya wajah wak Ari yang tidak lekang dengan senyuman dan keramahan. Dia amat bersyukur kerana telah ditemukan dengan wak Ari. Banyak yang dia pelajari dari wak Ari. Memang benar sabda baginda nabi s.a.w., “Akan merasai manisnya iman bagi seseorang yang reda Allah sebagai tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai rasulnya.” [riwayat Bukhari dari ‘Abbas bin Abdul Mutalib]


Hidup ini umpama lautan yang luas, banyak lagi yang belum diteroka, banyak lagi khazanah lautan yang belum kita jumpa. Kadangkala ia surut, kadangkala ia pasang. Kadangkala Allah datang ribut, di masa lain Allah datangkan hari yang tenang. Hanya nelayan yang punya matlamat dan wawasan yang kuat sahaja akan menongkah perahu ke lautan yang mencabar. Begitulah kehidupan, adakala terseksa, adakala gembira. Tapi bagi mereka yang meletakkan redha Allah sebagai matlamat utama dalam dirinya, cabaran dan ujian akan ditempuhnya dengan semanis senyuman diwajah.


“Ya Allah, sesungguhnya aku redha Kau tuhanku dan Muhammad pesuruh-Mu...” bisik hati kecil Aidil.


2009/12/10

Tulis, Baca & Kata


Suasana semakin tegang. Kedua-dua susuk tubuh itu berperang. Tanpa senjata, tanpa kuasa, sekadar peperangan biasa menggunakan suara dan kata-kata tapi ia sudah cukup untuk meleburkan sebuah kesatuan yang terbina sejak beberapa masa yang lama sebelum perang ini bermula.


Seorang sedang berpeluk tubuh, seorang lagi sedang berjalan mundar mandir dihapadan si pemeluk tubuh, ketidakpuashatian bersinar di antara mereka berdua. Si pejalan berhenti mundar mandir dihadapan. Dia menoleh kepada si pemeluk tubuh juga sahabatnya sebelum perang.


“Aku tak puas hati. Aku tak puas hati. Antara aku dengan engkau, aku yang lebih hebat. Kau ingat senang ke nak jadi macam aku ni ha?” tinggi suaranya ketika meluahkan rasa.


“Hah, memang senang pun. Semua orang tahu bercakap. Kamu semua bercakap. Entah fakta atau tidak, siapa yang kisah? Kalau yang bercakap salah, kamu boleh belit-belitkannya menjadi fakta. Tapi kami, menulis kena ada bukti dalam penulisan kami. Kami tidak boleh belit-belit macam kamu. Kami jujur, setiap tulisan kami, kami sertakan dengan ‘footnote’. Sebab itu kami kata kami yang hebat. Bahkan jujur lagi,” angkuh dia pertahankan dirinya.


Suasana semakin tegang. Dari jauh tukang baca melihat dua sahabatnya itu bertelagah. Pada awalnya dia tidak mahu campur, tapi andai kerana ego, ukhwah antara mereka lebur. Tukang baca tak boleh sekadar duduk sahaja. Antara tukang kata dan tukang tulis itu perlu ada pengadilnya.


“Assalammu’alaikum. Kamu berdua, bertenanglah. Istighfar, mohon keampunan kepada Allah.”


“Tukang baca, apa yang kamu mahu? Apakah kamu juga mahu katakan yang kamu lebih hebat di sini?” tajam mata si tukang tulis merenung tukang baca dihadapannya.


“Huh, kau ni, tiada hikmah betul dalam berbicara. Sebab itulah aku kata, kau ni tahu tulis sahaja. Kau tak pernah tulis ke pasal berhikmah ketika berdakwah?” sinis tukang kata berbicara.


“Ah! Kami hanya bertanya. Antonasi suara kami tinggi kerana kami mahu jawapan yang tegas dan fakta. Kalau kami lembut-lembut, nanti kami dipijak kepala pula. Kami tahu apa itu hikmah dalam berdakwah. Tapi ini soal prinsip, dengan prinsip inilah kami luahkan apa yang kami rasa.”


“Bertenang kalian berdua, bertenang. Tukang tulis, aku datang bukan untuk merebut hakku menduduki tangga teratas. Aku datang ni mahu mendengar dan meneliti mengenai apa yang kamu telagahkan.” Tukang baca menutur kata dengan lembut. Dia mahu suasana tegang itu menjadi tenang.


“Nah, hentikan pertelegahan ini. Kalian berdua adalah individu yang aku hormati. Janganlah terlampau emosional. Kaliankan profesional. Apa kata kalian berdua keluarkan apa sahaja hujah yang kalian ada untuk katakan kalianlah yang lebih utama. Aku akan mendengar dan menilai dengan pengalaman yang aku ada.”


Mereka berdua saling berpandangan. Antara mereka bertiga, tukang baca lebih disegani. Kerana dia banyak membaca, jadi lebih luas ‘general view’nya. Adakala, tukang tulis merujuk tukang baca untuk tulisannya. Dan adakala tukang kata, bertanyakan pendapat pada tukang baca untuk ceramah dan kempennya.


“Baiklah, aku setuju. Ini soal kita berdua. Tukang baca, berikan pengadilan yang selayaknya antara kami. Kerana aku pernah mendengar firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 90. Kata-Nya, “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat baik.”


Tukang baca mengangguk, “Kamu benar tukang kata. Sebijak kamu berbicara. Baiklah sahabat-sahabatku, bentangkanlah hujah kalian dengan bukti dan fakta. Sebarang hujah tanpa bukti dan auta semata, akan ditolak serta merta. Tukang tulis, mula pertahankan prinsip dan pendirian kamu itu.”


“Baiklah. Kami mulakan hujah kami dengan penyaksian terhadap sumpah Allah dalam surah al-Qalam. Allah berfirman, “Nun. Demi pena dan apa yang mereka tuliskan.


“Lihatlah, betapa di dalam al-Quran Allah telah bersumpah dengan pena dan tulisan. Di dalam dunia ilmu, penulisan menjadi medan utama untuk berkongsi pendapat dan idea antara ahli ilmu. Kami katakan, ketika di zaman kegemilangan Nabi dan para sahabat ridwanullah ‘alaihim. Al-Quran dan hadis menjadi perkara utama mereka tulis. Kerana mereka takut kehilangannya.”


“Tunggu sebentar, izinkan aku mencelah tukang baca.”


Tukang baca menoleh kepada tukang tulis. Memberi isyarat apakah diizinkan atau tidak. Tukang tulis mengangguk memberi izin. Dia menjeling sinis kepada tukang kata yang sedang siap hendak berbicara.


“Kau kata di zaman baginda s.a.w. al-Quran dan hadis menjadi subjek utama penulisan. Mana bukti? Jangan pandai-pandai memberi hujah. Tidakkah kau mendengar nabi s.a.w. pernah bersabda, Sesiapa yang sengaja membuat pendustaan ke atasku, maka sediakanlah tempatnya di dalam neraka.


“Huh, kamu tidak sabar tukang kata. Apakah kamu tidak tahu, di zaman nabi s.a.w. ada beberapa sahabat yang mendapat keizinan daripada baginda s.a.w. untuk menulis hadis? Manakala al-Quran pula, baginda s.a.w. punya ramai penulis wahyu di sisinya?”


“Khabarkan kepada aku tentang itu. Kerana setahu aku, di zaman itu, nabi melarang hadis dan selain al-Quran ditulis. Kerna bimbang akan ikhtilat, iaitu percampuran yang akan berlaku antara al-Quran dan hadis dari nabi s.a.w.”


“Benar kata kamu itu tukang kata. Hadis nabi yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri r.a. menunjukkan bantahan nabi terhadap penulisan hadis. Nabi s.a.w. berkata, Janganlah kamu menulis apa-apa daripadaku, dan siapa yang menulis daripadaku selain al-Quran, maka musnahkanlah ia.


‘Tetapi tukang kata, terdapat dalam hadis lain membuktikan para sahabat diberi izin untuk mencatat sebarang sesuatu yang datang dari diri baginda s.a.w. yang mulia. Sebagai contoh hadis baginda s.a.w. yang diriwayatkan oleh Rafi’ dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w., Ya Rasulullah, sesungguhnya kami mendengar dari kamu akan sesuatu, apakah kami boleh catatkannya?’ Baginda s.a.w. menjawab, ‘Tulislah, tiada sebarang kesempitan dan dosa.’


Tukang kata mengerut dahinya. “Apa maksudnya tukang tulis? Mengapa kedua hadis itu saling bercanggah?”


“Itulah. Ulama bersepakat mengatakan, di awal Islamnya dunia arab, nabi s.a.w. melarang menulis hadis kerana bimbang ikhtilat yang berlaku antara hadis dan al-Quran, seperti yang kamu katakan tadi. Saat itu, umat Islam masih baru, belum arif dan mahir mengenai al-Quran. Namun setelah jumlah umat bertambah. Tambahan pula para sahabat semakin mahir dan mengenali mengenai al-Quran dan boleh membezakannya dengan hadis, barulah baginda nabi s.a.w. membenarkan mereka mencatat apa sahaja yang datang dari diri baginda.”


Tukang baca tersenyum. “Kamu benar tukang tulis. Benarlah fakta yang tertulis dalam penulisanmu. Tukang kata, Abu Hurairah r.a. pernah berkata, ‘Tidak ada seorang pun dikalangan para sahabat nabi s.a.w. yang banyak meriwayatkan hadis daripada aku kecuali Abdullah bin ‘Amru, sesungguhnya dia menulis dan aku tidak menulis.


“Ha, cuba kamu lihat tukang kata, Abu Hurairah memeluk Islam 4 tahun sebelum baginda s.a.w. wafat. Ini bermakna ketika Abu Hurairah menukilkan kata-kata ini, ketika itu umat Islam berada dipenghujung pemerintah baginda s.a.w. dengan kata lain, agama Islam ketika itu telah banyak difahami dengan mahir oleh para sahabat. Sebab itulah, Abdullah bin ‘Amru dibenarkan menulis hadis sehingga Abu Hurairah memujinya.”


Tukang kata mengangguk-angguk. Ini ilmu baru, fikirnya.


“Heh, biarpun orang arab terkenal dengan kehebatan hafalannya tukang kata, tetapi bidang penulisan amat diperlukan mereka untuk berjaga-jaga. Nah, bukankah benar apa yang kami kata, penulisan itu adalah lebih utama. Kalau hanya bergantung kepada kata-kata, entah benar atau tidak ilmu yang diwarisi ulama sejak zaman nabi ini.” sinis tukang tulis.


Tukang kata menggetap giginya. Geram mendengar sindiran dari tukang tulis itu. Emosinya tidak se‘stabil’ rasional tukang baca.


“Tukang tulis, jangan nyalakan bara yang sedang memerah. Takut lebur terbakar ukhwah yang terbina.” Tukang baca mengingatkan. Kedua mereka tersentak.


“Kalian berdua, tukang kata, tukang tulis. Kalian berdualah sahabat yang aku sayangi. Mengapa perlu kalian bertelagah tentang siapa yang lebih utama? Tukang tulis, memang benar penulisan menjadi subjek utama dalam dunia ilmu. Jika tidak berlaku zaman keemasan kurun ketiga hijrah, maka tidak akan sampai ilmu-ilmu ulama dulu kepada kita.”


“Mengapa kurun ketiga tukang baca?” serentak mereka berdua bertanya.


Tukang baca tersenyum, “Kurun ketiga digelar kurun keemasan kerana kurun itulah berlakunya kepesatan penulisan dan pembukuan ilmu dari dunia Islam. Dizaman itulah muncul kutub sittah, dan kutub-kutub yang lain. Dari semua segi ilmu, al-Quran, hadis, Fiqh dan semua ilmu mengalami revolusi waktu itu. Maka lahirlah buku-buku yang telah sampai ke generasi kita sekarang ini.”


Mereka mengangguk faham.


“Tetapi tukang tulis, tanpa kata-kata dan penjelasan ulama terdahulu, penulisan dan buku-buku itu tidak mampu membentuk peribadi generasi kini. Kalau bukan kerana kata-kata penjelasan dari mereka, maka setiap penulisan itu akan diterjemah mengikut rasa pembaca. Maka lahirlah pelbagai pendapat dan fikrah yang wujud atas dasar rasa-rasa, bukan ketulenan fakta dalam berkata-kata.”


“Bukankah itu suatu yang malang bagi kita, generasi pencinta ilmu? Kerana andai itu yang berlaku, kita akan dididik dengan ilmu rasa, bukan ilmu fakta. Nanti berleluasalah suara-suara yang berhujah seperti ini, “Habis, dulu nenek moyang kami salahlah?” atau “Kalau salah, guru-guru dan ustaz dulu mesti dah lama betulkan.” Apakah kamu setuju dengan kata ku ini?”


Mereka berdua tersengih. Mendengar kata-kata yang disebutkan oleh tukang baca itu tergambar dipemikiran mereka hujah-hujah ahli masyarakat yang sempit dalam berpendapat.


“Benar katamu itu tukang baca.” Tukang kata membenarkan.


“Kami rasa, kamulah yang terbaik tukang baca,” tukang tulis beralah.


“Benar kata tukang tulis itu. Aku pun bersetuju. Kerana kau banyak membaca, jadi banyak yang kau tahu. Lebih luas sudut pandangan dan penilaian kamu,” ujar tukang kata merendah diri.


“Jangan kata begitu sahabat-sahabatku. Aku memerlukan kalian dalam dunia ilmu. Tanpa penulisan dan kata-kata penjelasan dari kalian berdua, mana mungkin aku mahir dalam membaca. Dalam dunia ilmu, tiada siapa yang lebih utama. Kita semua saling memerlukan. Cuma diantara pemburu ilmu ini, siapa yang banyak mencari, banyaklah hasilnya, luaslah sudut pemikirannya, dan lebih terbukalah fikrahnya dalam lapangan ikhtilaf idea.”


“Cuma.....” tukang baca berhenti berkata. Tukang kata dan tukang tulis berpandangan sesama mereka. “Cuma apa tukang baca?” tanya tukang kata mewakili tukang tulis.


“Cuba kalian lihat sahabat kita itu.” Tukang baca memberi isyarat ke satu arah. Mereka semua menoleh ke arah yang ditunjukkan. Nun di situ, satu tubuh sedang tersenyum sebuk membantu seorang tua membuat kerja. Masanya sentiasa terisi untuk berkhidmat kepada manusia sekitarnya. Seketika kemudiannya tubuh itu beralih ke arah masjid untuk mendengar majlis ilmu yang sedang berlangsung. Terpancar sinar tawaduk dan zuhud pada dirinya. Sejuk mata mereka bertiga melihat susuk tubuh itu.


“Aku faham apa maksudmu tukang baca. Aku faham.” kendur tukang kata menuturkan bicara. Tergambar kesedihan dan penyesalan di wajahnya. Begitu juga tukang tulis.


“Lihat sahabat kita itu. tukang amal. Dia sentiasa sebuk untuk mengamalkan ilmunya. Apa yang dibaca, ditulis dan diperkatakan semuanya diterjemahkan dalam kehidupan sehariannya. Dialah yang sebenarnya lebih utama.” Jelas tukang baca.


“Benar. Kami rasa bersalah tentang ini. Tukang kata, kami minta maaf atas kelancangan kami dalam berkata-kata.” Tukang kata mengangguk lalu memeluk tukang tulis, sahabat rapatnya itu.


Tukang baca tersenyum melihat keduanya. “Ayuh kalian, tak guna kita banyak membaca, menulis dan berkata, andai kita tidak mengamalkan ilmu yang kita ada. Kerana aku pernah mendengar firman Allah yang mencela orang seperti ini.”


“Dari surah as-Saff ayat 2 dan 3, “Wahai orang-orang Yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya’ ” tukang tulis menyambung kata-kata tukang baca.


“Subhanallah. Benarlah pepatah arab pernah berkata, ‘Ilmu tanpa amal, ibarat pohon tidak berbuah.’ Mereka yang banyak bercakap dari membuat, umpama tin yang berbunyi kuat, tapi dalamnya kosong.” Tukang kata berbicara.


Ketiga mereka terdiam memikirkan perbuatan mereka sebelum ini. Sambil memerhati sahabat mereka tukang amal yang terus sebuk dalam mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan sehariannya. Subhanallah, Maha Suci Allah.



Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: Biasanya aku menulis segala apa aku dengar dari Nabi saw dengan tujuan hendak menghafaznya, lalu dilarang oleh orang-orang Quraisy serta berkata: "Patutkah engkau menulis segala apa yang engkau dengar, sedang Rasulullah s.a.w seorang manusia yang bercakap dalam masa marah dan dalam masa suka?" Setelah itu aku pun berhenti menulis, kemudian aku menyebutkan hal itu kepada Rasulullah saw, lalu Baginda menunjuk kepada mulutnya dengan jarinya sambil bersabda: "Tulislah, kerana demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, tidak keluar dari mulutku ini melainkan yang benar."

(Hadis riwayat Abu Daud)

2009/12/05

Ini Pengembaraan ANDA


Perhatian kepada pembaca budiman.


Assalamu’alaikum KAMI ucapkan.


ANDA kini berada dalam persediaan untuk memulakan satu pengembaraan.


Jangan bimbang, ini hanyalah satu percubaan.


Sila rehatkan minda ANDA dari sebarang permasalahan.


Dalam tempoh 5 kiraan, ANDA akan mulakan pengembaraan.


5


4


3


2


1


BAYANGKAN!


ANDA berada di suatu dimensi yang berbeza.


ANDA lihat disekeliling ANDA hanyalah kegelapan.


Di hadapan ANDA terdampar sebuah katil KING SIZE berbalut cadar sutera mewah yang ANDA idamkan.


ANDA menghenyakkan tubuh ANDA, dan ANDA MEMELUK ERAT salah satu bantal besar berwarna MERAH yang ada di sisi ANDA.


Tiba-tiba ANDA TERDENGAR suatu suara berkata pada ANDA,


“Bacalah al-Ikhlas!”


ANDA TERPINGA-PINGA.


“Bacalah al-Falaq!”


ANDA MEMELUK bantal merah dengan kuat.


“Bacalah an- Nas!”


ANDA CEMAS.


Tiba-tiba muncul satu cahaya MENYILAUKAN mata ANDA.


ANDA MENUTUP mata. ANDA BERDOA agar tidak diapa-apakan.


ANDA TERDENGAR suara tadi berkata,


“Bukakanlah matamu!”


ANDA MEMBUKA MATA DENGAN PERLAHAN.


ANDA terkejut. ANDA kini berada di satu dimensi yang BERBEZA.


KIRI KANAN ANDA adalah sebuah TAMAN INDAH berbumbungkan LANGIT BIRU yang cerah.


PEPOHON RENDANG menghiasi taman. Dikelilingnya tumbuh beratus rumpun bunga-bungaan.


BAYANGKANLAH!


Kemudian ANDA MENDENGAR satu suara DARI BELAKANG ANDA.


Baginda Nabi s.a.w. pernah bersabda, ‘Sesiapa yang membaca al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nass tiga kali pada waktu pagi dan petang, cukup baginya sebagai pelindung daripada semua gangguan.[1] Riwayat Abu Daud & Tirmidzi


ANDA MENOLEH dan TERLIHAT seorang pemuda ber KEMEJA PUTIH dan ber SELUAR SLACK HITAM yang bersih. Pemuda itu TERSENYUM kepada ANDA.


ANDA TERKAKU.


“Mari ikut aku.” Pemuda itu BERKATA kepada ANDA.


ANDA MENGIKUTNYA di belakang.


Dimensi sekitar BERTUKAR.


ANDA kini berada DI TENGAH-TENGAH orang ramai. RAMAI PENIAGA. RIUH-RENDAH,


ANDA TERSENTAK.


Mata ANDA TERLIHAT sebuah papan penyata yang TERGANTUNG bertulis, “Pasar.”


CUBA ANDA BAYANGKAN!


ANDA MENCARI-CARI pemuda itu.


Kala itu ANDA MELIHAT seorang lelaki BERTUBUH BESAR sedang memaki nista sahabatnya.


Tiba-tiba suara pemuda itu berkata,


Abdullah bin Mas’ud r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, ‘Mencaci orang Islam itu adalah perbuatan Fasik, dan membunuh orang Islam pula seolah-olah menjadi Kafir.[2] Riwayat Bukhari & Muslim


Pemuda itu MUNCUL dari sisi KANAN ANDA.


ANDA TERKEJUT sekali lagi.


ANDA BERJALAN bersama pemuda itu.


Tiba-tiba pemuda itu MENUDING JARINYA ke arah seorang lelaki yang sedang MAKAN dengan TANGAN KIRINYA.


Jabir r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, ‘Janganlah kalian makan dengan tangan kiri kerana syaitan makan dan minumnya dengan tangan kiri.[3] Riwayat Muslim


ANDA MENGANGGUK faham. Kemudian ANDA dan pemuda itu BERJALAN lagi.


PANG! ANDA TERDENGAR sesuatu, dan kemudian ANDA TERDENGAR suara kanak-kanak MENANGIS.


Pemuda itu berkata, “Ayahnya telah menampar mukanya.Tahukah engkau?”


ANDA MELIHAT wajah pemuda itu. ANDA DIAM MENANTI kata seterusnya dari pemuda itu.


Abdullah bin ‘Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. melarang kita menampar muka seseorang dan Baginda s.a.w. juga melarang kita membuat tanda muka pada binatang.[4] Riwayat Muslim


Tiba-tiba seorang lelaki MEMBERI SALAM kepada ANDA sambil TERSENYUM.


“Assalamu’alaikum.”


ANDA MENGANGGUK DAN MEMBALAS salamnya.


Pemuda itu TERSENYUM kepada ANDA.


ANDA MELIHAT kepadanya.


Ketahuilah, Daripada Abdullah bin Salam r.a. bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda, ‘Wahai manusia! Ucapkanlah salam, berilah makanan, dan tunaikanlah solat pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu memasuki syurga dengan selamat.’[5] Riwayat Tirmidzi


BAYANGKANLAH!


Dimensi BERUBAH.


ANDA kini berada di ALAM NYATA.


ANDA sedang DUDUK MEMBACA entry pengembaraan ini.


Terima kasih KAMI ucapkan kepada ANDA kerana sudi menjiwai pengembaraan yang KAMI sediakan ini.


Apakah ANDA benar-benar menjiwai dan membayangkan perjalanan pengembaraan ini?


Seperti yang KAMI katakan, ini adalah satu percubaan. Berhasil atau tidak, KAMI dambakan teguran.


Sebelum ANDA pergi, pahatkanlah beberapa hadis ini di dalam memori ANDA.


Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda, ‘Sesungguhnya aku diutuskan sebagai rahmat.[6] Riwayat Muslim


Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Aku diutuskan dengan perkataan-perkataan yang ringkas dan padat.”[7] Riwayat Bukhari & Muslim


Semoga pengembaraan ini memberi manfaat kepada ANDA dan KAMI. Insya Allah...


Assalamu’alaikum....



2009/12/03

Muqaddimah Secebis Hidayah


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Ya Allah dengan namamu kumulakan penulisan ini. Aku memohon kepada-Mu wahai tuhan Yang Satu, jauhkan diriku, pembacaanku dan penulisanku serta kehidupanku ini dari rasa menginginkan nama, harta, perhatian dan segala nikmat di dunia. Jadikanlah pembacaanku, penulisanku serta kehidupan seharianku adalah untuk mencapai redha dari-Mu.

Alhamdulillah, setelah sekian lama menulis, akhirnya aku mampu melahirkan beberapa buah cerita pendek atau ringkasnya cerpen. Aku masih dalam pembelajaran untuk menulis. Masih banyak perkara yang kurang dan perlukan teguran. Namun, ketika selesai aku menyiapkan cerpenku ‘Secebis Hidayah siri 2’, aku merehatkan diriku untuk membaca sebuah buku tulisan Muhammad Ali Qutb yanb bertajuk “Khamsun Nasihah min Rasul Li Tiflul muslim”, maaf andai baris bacaannya salah. Maksud tajuknya adalah “50 nasihat Rasulullah s.a.w. untuk kanak-kanak Islam.” Buku ini dalam bentuk terjemahan terbitan al-Shafa.

Tak terlahir dari bibirku sebarang kata, bagaikan terhenti seketika jantungku apabila terbaca satu hadis yang terselit dalam buku ini.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sesiapa yang mempelajari suatu ilmu yang seharusnya dilakukan kerana Allah s.w.t., tetapi dia mempelajarinya hanya untuk memperolehi harta benda dunia, maka tidak akan mendapatkan bau harum syurga pada hari kiamat.
(hadis riwayat Abu Daud)

Maha Suci Allah, terhenti diriku membaca, terkaku tanganku untuk meneruskan penulisanku, Ya Allah aku memohon perlindungan dari azab seksa-Mu di akhirat kelak.

Sahabat sekalian, ayuh kita muhasabah diri, apakah diri kita ini terlibat dengan keadaan yang disebut oleh baginda Rasul itu? Aku tak tahu bagaimana nak menceritakannya, tetapi kalian renungkanlah, tepuk dada kalian, tanyalah iman.

Mahu sahaja aku berhentikan segala apa yang telah aku lakukan. Sungguh aku sedar, betapa sukarnya untuk mengawal diri dan nafsu. Berapa kali sebelum ini terlintas difikiranku mengenai balasan dunia yang akan ku perolehi dalam dunia ilmu. Ya Allah, benarkan lah aku mencium bau syurga-Mu sekaligus mendiaminya dengan kasih sayang-Mu.

Kerana amanah ini dari Rasul tercinta, aku tetap mencuba untuk teruskan membaca, menulis dan berkongsi dengan sesiapa sahaja yang bersedia untuk berkongsi.

Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.......
(hadis riwayat Bukhari)

Sahabat-sahabat sekalian, doakanlah untuk diriku dan dirimu, agar kita bersama-sama sentiasa istiqamah mencari redha Allah dalam dunia ilmu dan dalam penyampaian dan perkongsian kita bersama mad’u kita di luar sana. Berdoalah...

Ya Allah, saksikanlah dan makbulkanlah doa kami. Dekatkan kami dengan nikmat syurga-Mu, dan masukkanlah kami ke dalam syurga-Mu dengan rahmat dan kasih sayang-Mu yang tiada batasannya itu....


Kenapa Secebis Hidayah?

Mengenai cerpen tulisanku itu, kenapa aku memilih Secebis Hidayah sebagai tajuknya?

Kerana pendapatku, hidayah itu lahir dari pelbagai bentuk, walaupun hanya sebaris ayat mahupun sepatah kata, Allah Maha Pemurah dan Maha Pengasih tetap akan memberikan hidayah kepada sesiapa yang ikhlas dalam berusaha dan sesiapa yang Dia mahu berikan.

Sepertimana yang kalian lihat dalam cerpen tersebut. Konsep jalan ceritanya lebih kurang sama, hanya pengolahan dari sudut penceritaan sahaja yang berbeza. Hanya dengan pertemuan singkat, watak-watak seperti Amelia Farhana dan Umar al-Farouk berubah detik hatinya untuk kembali ke jalan fitrah.

Hidayah itu tidak wujud hanya dalam hujah yang panjang, ceramah yang berjam-jam. Bukan kuantiti yang menjadi persoalan. Tetapi kualiti. Lihat betapa singkatnya masa Rasulullah s.a.w. bersama dengan generasi para sahabat, betapa sekejapnya zaman kegemilangan Khulafa’ ar-Rasyidin, tetapi biarpun dari sudut kuantiti masanya sedikit, tetapi kualiti zamannya terkesan hingga kini.

Abu Hurairah r.a. salah seorang sahabat yang banyak meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w., dia menduduki tangga pertama paling banyak meriwayatkan hadis iaitu sebanyak
5354 hadis. 354 hadis dari beliau diriwayatkan secara sepakat oleh Bukhari & Muslim, 93 hadis diriwayatkan oleh Bukhari sahaja manakala 189 hadis diriwayatkan oleh Muslim sahaja.

Riwayat hidup Abdul Rahman bin Sakhar ad-Dausi atau kunniahnya Abu Hurairah ini bermula keislamannya pada tahun ke 7 hijrah. Manakala baginda Rasulullah s.a.w. wafat ketika 11 Hijrah, bermakna hanya 4 tahun sahaja Abu Hurairah dapat bersama dengan nabi tercinta.

Sahabat sekalian, lihatlah, betapa kualitinya 4 tahun itu akhirnya menjadikan Abu Hurairah sebagai Muhaddis terulung yang meriwayatkan hadis di kalangan para sahabat. Beliau dapat hidup selama 46 tahun selepas kewafatan nabi, dan hadis-hadisnya telah di mushafkan oleh anak muridnya iaitu Hammam bin Munabbih dalam mushaf yang diberi nama Mushaf Hammam bin Munabbih.

Inilah dia generasi Salafus Saleh, generasi yang menjadi idaman setiap insan yang mengenali iman dan Islam. Berkualiti walau kurang pada kuantiti. Generasi Salafus Saleh adalah generasi 300 tahun selepas zaman nabi s.a.w.

Oleh kerana itu, aku memilih cerpen dan jalan cerita seperti itu sekadar untuk berkongsi pendapatku ini. Biarpun hanya ucapan salam atau senyuman manis, ia tetap mampu menggetarkan hati seorang manusia untuk kembali kepada fitrah Islami dengan izin Allah.

Diriwayatkan oleh Abu Zar al-Ghifari, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Jangan sesekali kamu merendah-rendahkan perkara yang disukai Allah bagi melakukannya. Walaupun perkara itu hanyalah memaniskan wajah ketika bertemu dengan saudaramu.
(hadis riwayat Muslim)

Siapa Muhammad Aidil Syafiq bin Zakaria?

Watak ini muncul ketika aku selesai menulis Secebis Hidayah siri 1 episod 1.

Pada awalnya tak terlintas pun difikiranku untuk mewujudkan watak ini. Aku hanya mahu biarkan watak lelaki gila itu berterusan hingga habis siri. Namun disaat akhir, nama Aidil Syafiq ini terlintas difikiranku. Watak ini penuh misteri. Idea tentang dirinya sentiasa berlegar di fikiranku, namun tidak terluah lagi setakat ini dalam penulisanku. Nantilah, aku akan usahakan juga. Doakanlah untuk ku...

Untuk sahabat-sahabat yang sentiasa memberi sokongan dan tetap membaca di blogku yang banyak lagi kekurangan ini, aku ucapankan Jazakallahu khairan kathira... semoga Allah meredhai kalian semua.

Aku harap kalian dapat menegur andai terdapat kesilapan dan kekurangan. Setakat ini, dalam setiap penulisanku, entah kenapa, aku dambakan kritikan tajam dan komen-komen yang halus lagi membina, entah kenapa aku rasa seperti itu aku tak tahu.

Anyway, cukuplah aku rasa sampai sini. Lagipun mataku dah mula meminta untuk direhatkan. Jam sekarang pukul 3 pagi, hari Selasa, 1 Disember 2009.

Sekadar berkongsi....

Selamat malam.....err, mungkin kene tukar kot. Selamat pagi. Sweet dream semua....

Salam ‘alaikum....