RSS
Facebook
Twitter

30 March 2010

Kerana berbeza warna



Tubuh kurus itu termenung kesedihan. Wajahnya melukis sejuta kekecewaan. Putih mengeluh. Bergenang air matanya apabila dia teringat perbuatan yang dilakukan oleh kawan-kawannya. Mujur Kuning memujuknya. Biarpun begitu, hatinya tetap merusuh.

“Inikah perjuangan yang kalian maksudkan???” jerit hati kecilnya.
Biru membentuk satu halaqah. Hijau juga begitu. Putih yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam surau al-Haq tercengang.”Mengapa dua halaqah?”
Persoalan itu tidak dihiraukan. Apa yang penting dia mahu bertadarus al-Quran bersama mereka. Lantas dia terus melabuhkan punggungnya di dalam halaqah Biru.
Tiba-tiba, salah seorang dari mereka mengangkat tangan. “Hang dah daftar belum? Maaf, member group ni hanya yang dah berdaftar sahaja ok.” Putih tercengang. Hatinya terusik tapi tidak dihiraukan. “Mengapa perlu merajuk...”
Dia melangkah ke halaqah Hijau. Dia meminta untuk diberikan ruang. Sepi.... tiada siapa yang menghiraukannya. Dia terkesima. Masa terus berlalu. Sesi bertadarus terus berjalan menuju ke hujung jalan.
Putih menyapa bahu salah seorang dihadapannya. Orang itu menoleh dengan renungan yang tajam. Dia terkedu.
“Putih!” dia menoleh. Kuning melambai-lambai memanggil. Dia segera ke sana. Ungu, Merah dan Oren juga ada. Tanpa berlengah mereka bertadarus bersama.
Selesai solat Isyak, Putih mengambil kesempatan untuk berkenalan. Dia menoleh ke belakang untuk bersalaman. Sekali lagi dia tercengang. Salamnya tidak bersambut. Yang Hijau hanya bersalaman dengan Hijau. Biru pun sama.
“Apa ni???” Bergenang air matanya. Kuning menyambut huluran salamnya. Namun itu tidak dapat mengubati luka dibenak hatinya.
Mengapa begitu? Apa salahnya kita bersalaman. Bukankah itu satu usaha untuk kita eratkan ukhwah? Apakah hanya kerana kita berbeza halaqah? Aku tidak dalam satu Halaqah bersama kalian, maka kalian menghindari dari aku?
Tadarus? Kalian katakan kalian beribadah dengan bertadarus al-Quran. Jadi bagaimana dengan kami yang tidak turut dalam mana-mana Halaqah? Kami tidak layak bertadarus bersama ke? Apakah sebenarnya definisi ibadah dari sudut pandangan kalian? Apakah definisi ukhwah yang kalian faham? Apakah tafsiran kalian tentang Jemaah?!
Di akhir masa wujud pelbagai golongan. Namun hanya satu sahaja yang tidak akan tersesat. Mereka yang tidak akan sesat selama-lamanya adalah mereka yang sentiasa berpegang dan merujuk kepada al-Quran & as-Sunnah. Tanpa keraguan bahkan padat dengan keyakinan dan penghayatan.
Rasulullah s.a.w. adalah contoh tauladan ummah, diutuskan untuk melengkapkan akhlaq umatnya. Senyuman yang diberikan meredakan resah biarpun kepada yang memusuhi baginda.
Namun senyuman yang kalian hadiahkan, mengapa sinis dan penghinaan yang kami rasakan? Atau mungkin kami tersalah sangkaan?
Astaghfirullah.... moga Allah mengampunkan kami dan kalian. Semoga Allah tetapkan kita di dalam golongan yang sentiasa bersedia menerima hidayah Allah Yang Maha Melihat apa yang ada biarpun di dalam lubuk hati manusia. Wallahu’alam....


25 March 2010

Sejenak menghayati...

Sejenak, aku mengajak kita hayati dan insafi dari lirik lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan ahli Fiqir ini. Apa yang berlaku dihadapan kita, di dada akhbar dan berita, kita dihidangkan dengan pelbagai fenomena kebinatangan. Bayi kecil yang masih merah, dibuang umpama sampah merata-rata... Innalillah..

Di manakah nilai kemanusiaan pada generasi kita hari ini? Semoga Allah melindungi kita daripada azab seksanya...




Ahli Fiqir

Lirik Ambil Ambillah :

Di ruang-ruang kota
Di celah-celah pinggir desa
Di dalam banglo bilik istana kamar si rumah usang
Di dalam petak teratak usang si rumah sewa
Di dalam di mana saja
Di situlah bermula kisah ambilah

Di ruang-ruang hotel mewah berbintang lima
Di dalam bilik-bilik kecil katil hotel-hotel berharga murah
Di dalam hamparan bendang,ladang dan sawah
Di dalam taman,tasik segala bermula kisah ambilah
Di dalam semak belukar petak usang atau mobil mewah

Embun menjadi tegar kekasih saling berikrar
Merpati dua sejoli bermadu kasih perit,pedih,rintih,nikmat,keluh,resah
Jadi derita ambilah

Dari setitis air mengalir menjadi seketul darah dari seketul darah
Menjadi segumpal daging merah
Berdegup jantung nya bernangis bernyawa
Sayang hanya dibuat umpama seurat sebutir sampah
Tanggis nya mengisi dunia
Siapa mama nya siapa papa nya
Siapa yang empunya

Jangan ditanya siapa papa dan siapa mama nya lagi
Dia hanyalah bayi merah
Hanya bayi merah yang wujud dari rahim seorang wanita
Yang tidak dan belum mengerti apa-apa

Ambilah ingin segera ku dengarkan azan di telinga tika mata mu pejam
Ingin segera ku kenalkan mu pada dunia saat tika mata mu jaga
Ambilah adakah kau bisa menghadapi semesta yang menanti
Dengan sejumlah sejuta taring yang berbisa
Senda,tawa hilai dunia usah la kau kecewa berputus asa

Ambilah ingin ku melihat dikau mendaki puncak bukit menara tinggi menhirup erti hidup
Memeluk sari enti bunga dunia memeluk alam semesta
Ambila ingin ku lihat kau dewasa merangkak bertatih jatuh bangkit bangun semula
Berlari ke kaki pelangi mengejar mimpi melewati samudera dengan sayap irama

Sesekali gendong la dia ajak la dia bicara sewaktu-waktu timang la dia
Dan buat dia ketawa kerana dia juga seperti anak kecil yang lainnya

Tulis la luka ambilah tulis la di dinding-dinding rumah
Tulis la di kaca-kaca pada setiap wajah yang kau jumpa kalimah yang kau kutip dari
Butir sejarah
Tulis la duka ambilah tulis la bertapa hari-hari yang kau lalui bertapa kau sunyi sepi
Dingin nya sedingin salji walau berdiri mu di panas terik mentari

Tulis la rindu ambilah tulis la atas pasir dan tanah
Tulis la dengan jari-jemari yang tidak pernah merasa nikmat sentuhan papa dan mama
Tulis la tulis la tulis la ambilah
Agar dapat ku khabarkan pada semua tidak akan lahir sejuta janin tak berdosa
Seorang lagi ambilah

Dan pabila tanggis nya pertama kali mengisi dunia
Nyaring garing memecah suasana hening subuh gelita
Di dalam dingin pagi begini embun menjadi saksi
Mentari ku bersedih si gebu kecil mengigil si mongel kecil memangil

(ambilah...ambilah....ambilah ar... ambilah...ambilah..ambilah... arr....)


Link juga kepada Yang dihina....mengapa???, thanks to Akh Fahmi.

20 March 2010

…???...



Ha? Aku tercengang. Kebingungan. Tak faham. Timbul beberapa ketul ‘Question mark’ di atas kepalaku.

Apa ni? Keliru. Aku semakin tak faham. Tangan kananku mengurut-urut dahi yang tak pening. Mataku melirik kepada minyak angin ‘Sahara’, minyak yang setaraf dengan minyak kapak, tapi dikeluarkan oleh HPA, conform muslim! (tapi aku tak amik, sebab aku tak suke minyak kapak ni..)

Terkedip-kedip aku memandang. Ke kanan. Ke kiri. Ke kanan semula. Dah, aku malas nak toleh kiri, buat sakit leher jek.

Celaru kotak ideaku.

Terperanjat!

Dalam kotak yang mengisi otakku terdapat seekor arnab dan seekor kura-kura sedang bermain kejar-kejar sambil melompat-lompat keriangan dan bergelak ketawa. “Hua,hua,hua... tak faham. Tak faham...” kata mereka.

Cis! Aku tersindir.
Puff! Ku gelengkan kepala. Hilang dua makhluk tersebut. Padan muka korang!

Realiti! Aku masih tak faham. Dalam kekeliruan, sempat lagi aku berangan.

Huh! Segumpal angin yang tersangkut di hidung, ku hembus laju. Itulah mengeluh namanya. Biasanya orang mengeluh dari mulut, tapi sengaja aku cuba teknik baru. Aku namakannya “teknih keluhan dari hidung!” Korang bacanya dengan nada macam Doraemon keluarkan barang ajaib dia untuk Nobita.

Ahh! Aku menjerit. Tapi dalam hati je. Apsal banyak sangat mengarut ni? Kan aku tengah cuba memahamkan diri. Yang otak ni dok mengarut ni kenape?

Aku menggeleng-geleng kepala. Terasa kasihan pada diri sendiri. Inilah akibatnya kalau terlampau banyak baca komik ‘Onemanga’ dan main game kat facebook.....

Ish, ish, ish.....

Eh! Bahuku terhenjut tanda aku terkejut. Aku terlupa. Aku kan tengah tak faham ni. Baik... back to reality!!! Cewah, cam best jek jerit-jerit ni ek. Padahal mase nulis ne je lah aku buat-buat jerit. Real world... siapalah aku untuk menjerit-jerit ni...

Kuk! Adeh..... Kepalaku di‘luku’ dan diketuk lembut. Siapa? Siapa?

Aiseh, mana ada sape-sape. Aku sorang je dalam bilik ni. Gulp. Ok, tu tandanya aku tengah telan air liur aku. Dengan kata lain, tandanya aku tengah seram. Sebab sape yang luku pale aku tadi?

Ah. AH! AAAHHHHHHHHHHH!!!!!!!!!
(baca dengan nada jeritan yang menggila...)

(( To be continue....))


03 March 2010

Subhanallah!


Subhanallah, Maha Suci Allah, mengutuskan Muhammad bin Abdullah, Rasulullah sebagai contoh tauladan Ummah. Dialah pengajar, dialah pendidik. Mengajar kita tentang Islam. Mendidik kita menjadi muslim.

Seindah firman Yang Maha Kuasa:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (surah al-Anbiya’ : 70)

Baginda s.a.w. adalah rahmat bagi seluruh makhluk di alam ciptaan Yang Maha Esa. Peribadi baginda, keterampilan baginda, risalah yang dibawanya, semuanya menjadi mereka yang melihat, mendengar bahkan menghayati pastikan terpegun dan jatuh cinta.

Lihat bagaimana generasi para sahabat hasil didikan baginda s.a.w., mereka sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan Islam tercinta.

Keluar Yasir yang kisahnya dinyanyikan oleh kumpulan Hijjaz, dibunuh semua ahli keluarganya kecuali ‘Ammar yang ditemui dalam keadaan separa sedar kerana diseksa. Pengorbanan yang tiada tara ini adalah bukti didikan nabi s.a.w. sehingga mereka dengan sukarela memperjuangkan aqidah Islamiyyah yang terpatri di dalam hati mereka.

Mungkin ada di kalangan mereka yang memusuhi Islam akan menuduh bahawa Nabi s.a.w. menggunakan para sahabat sebagai benteng untuk menyelamatkan nyawanya. Kata mudahnya seperti baginda mementingkan diri sendiri. Na’uzubillah!

Sejarah membuktikan, bahawa para sahabat ini dengan sukarela membenarkan nyawa mereka menjadi galang ganti kepada nyawa baginda s.a.w.

Di dalam peperangan Uhud, ketika tentera Islam mendapat khabar bahawa baginda s.a.w. telah syahid, maka berlakulah dialog antara para sahabat.

Anas bin Nazhar telah berkata kepada para sahabat yang telah kelihatan tidak bermaya apabila mendengar berita tersebut, “Apa yang kalian tunggu?”

Mereka menjawab, “Rasulullah s.a.w. telah terbunuh,”

Anas menjawab, “Untuk apa lagi kalian hidup setelah baginda gugur? Mari kita menyusul baginda s.a.w.!”

Kemudian dia terus maju bertempur dan bertemu dengan Sa’ad bin Mu’adz, lalu beliau ditanya, “Wahai Abu Amir, mahu ke mana?”

Anas menjawab, “Wahai Sa’ad aku mencium wangian syurga dekat Uhud.” Kemudian dia pergi dan gugur sebagai syuhada.

Dan di dalam kisah yang lain, seorang sahabat yang sedang menunggu untuk dibunuh oleh kafir Quraisy, apabila ditanya apakah beliau sanggup mengganti Muhammad di tempat beliau? Apa jawabnya?

“Biarpun Muhammad ditusuk halus duri sekalipun tidak akan aku biarkan.”

Subhanallah!

Peristiwa-peristiwa ini hanyalah secebis di antara berpuluh-puluh bahkan lebih kisah perngorbanan dan kecintaan para sahabat untuk baginda Rasulullah s.a.w.

Dan ini juga menjadi bukti bahawa mereka melakukannya secara sukarela bukan dipaksa. Sukarela kerana cinta. Ibarat sepasang kekasih, yang sentiasa mahu hidup dan mati mereka bersama.

Inilah hasil pengajaran dan pendidikan madrasah Rasulullah s.a.w.

Bagaimana pula kita?

Kita telah tahu cara untuk mencintai baginda. Jadi mengapa masih meninggalkan amalan-amalan sunnah yang sahih terus daripada baginda? Mengapa masih kekalkan adat kebiasaan nenek moyang kita? Hanya atas alasan untuk menunjukkan kecintaan kita kepada baginda, kita berbuat sesuka hati kita.

JANGAN TERPEDAYA!

Ingat, kaum jahiliyyah dan kaum-kaum yang mengingkari risalah Allah dahulu adalah mereka yang tetap berkeras dengan hujah, “INILAH YANG TELAH KAMI LAKUKAN SEJAK DARIPADA NENEK MOYANG KAMI DAHULU!”

Ayuh kita lakukan perubahan. Kita sudah tahu, dan kita kini mahu. Jadi mengapa tidak kita pilih amalan yang sahih yang juga adalah sunnah sebagai jalan memenuhi kemahuan dan kecintaan kita kepada baginda? Fikir-fikirkanlah....


“Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek Kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?"
(surah al-A’araf: 28)

Mee segera?


Mentaliti ‘mee segera’. Persoalannya kenapa mee segera dikaitkan dengan soal mentaliti? Adakah kerana gejala makanan segera yang semakin berleluasa memenuhi selera masyarakat kita?

Pastinya tidak. Mentaliti ‘mee segera’ bukan berkaitan dengan perjuangan 'Pro-mahasiswa' di KUIS untuk menghapuskan istilah mahasiswa mee segera (gelaran kepada mahasiswa yang tak cukup duit perbelanjaan akhirnya hanya mampu makan meggi kerana yuran mahal).

Tetapi istilah ini terlahir apabila aku mula membaca buku penulis Pahrol Mohd Juoi iaitu ‘Dilema Melayu, kurang fikir atau kurang zikir’.

Isu mentaliti ‘mee segera’ ini lahir apabila memikirkan bagaimana masyarakat masa kini amat suka sesuatu perkara yang segera hasilnya. Seumpama mee segera, cepat dimasak, sedap dimakan. Tetapi hakikatnya, ia tidak mengenyangkan bahkan membawa penyakit berbahaya kepada pemakan.

Apabila melihat bagaimana hari ini, manusia cukup tidak sabar untuk menunggu sesuatu perkerjaan yang lewat hasilnya. Semuanya mahu express!

Dan malang sekali apabila mentaliti express atau mee segera ini diselitkan dalam institusi pendidikan terhadap masyarakat dan lapangan sosial kita. Hari ini apabila kita membaca di dada-dada akhbar, kita dapat lihat bagaimana gejala-gejala sosial dan jenayah ini dihadapi dengan cara yang cukup cetek akalnya. Tiada intipati pendidikan di dalamnya.

Sebagai contoh aku suka nak quote tulisan di dalam buku tersebut muka surat 25: “Murid yang jahat, perketatkan disiplin. Isteri yang tidak taat, diperlonggokkan harta. Pekerja yang malas, potong gaji. Majikan yang tamak, boikot. Pemimpin yang zalim, demontrasi. Membuang sampah, denda. Mengedar dadah, gantung!.....”

Nah, semua tindak balas yang dikenakan adalah segera. Kesannya segera nampak, tetapi juga segera hilang. Hakikatnya, sistem didikan tiada dalam setiap tindak balas itu. Biarpun zahir di mata telah hilang, tetapi malanglah kerana kesan di hati dan peribadinya belum menghilang! Pastinya gejala itu tetapkan berulang.

Apakah dengan mengenakan denda bagi pembuang sampah merata-rata ini akan menghentikan gejala tersebut? Apakah dengan menaikkan kadar pembayaran denda dapat membendung masalah ini? Adakah dengan memperketatkan sistem disiplin di sekolah semua pelajar akan berubah menjadi soleh dan solehah? Apakah dengan melakukan demontrasi, dapat mengubah pemimpin zalim menjadi ‘alim?

Realitinya kita tidak mendidik mereka. Kita tidak mendidik para pelajar yang bermasalah. Kita tidak mendidik penguasa yang zalim. Tetapi kita hanya menakutkan mereka. Menggertak sahaja. Kita mahu mereka tahu dan akhirnya mengaku kemudian berundur dan menyepi diri.

Hari ini saya tertanya-tanya, apabila melihat banyak di dada akhbar dan artikel-artikel menyatakan tentang kes-kes penderaan guru kepada anak murid. Bagaimana seorang pemberi Ilmu melakukan perkara-perkara yang sebegitu? Saya tidak menyalahkan guru keseluruhannya. Tetapi saya mempersoalkan tindakan segelintir guru yang mendenda anak muridnya dengan cara yang tidak sepatutnya.


Ibn ‘Abbas meriwayatkan,
“Rasulullah s.a.w. melarang kita menampar muka seseorang dan baginda juga melarang kita membuat tanda pada muka binatang.”
(riwayat Muslim)

Ya, saya tahu betapa sakitnya hati kita apabila anak murid tersebut amat nakal dan tidak mendengar kata. Akhirnya ledakan emosi tidak terkawal lalu mempengaruhi akal dan seterusnya perlakuan kita tidak terkawal. Mangsanya adalah anak murid kita yang dikatakan nakal.

Cerita seorang sahabat saya yang pernah bertugas sebagai seorang ustaz di sebuah sekolah rendah. Betapa sakit hatinya apabila salah seorang pelajarnya amat nakal dan tidak mendengar kata. Sehingga hampir sahaja dia memulaukan pelajar tersebut. Tetapi apabila diselidiki, rupanya pelajar tersebut mempunyai masalah dalaman (keluarga) yang berat. Sahabat saya ini mengambil tindakan untuk mendekati dan menyelami perasaan pelajar tersebut. Akhir cerita, tatkala hari terakhir sahabat saya ni mengajar, pelajar tersebut merupakan pelajar yang paling rapat dengannya dan paling banyak membantu dan mendengar kata.

Cara pendekatan tersebut amat berkesan. Kita tidak hanya cuba memahami secara zahir sahaja, bahkan kita juga selami dasarnya. Kita gemar mencari jawapan diranting-ranting, walhal jawapan sebenarnya terletak pada dasar akarnya. Biarpun berkali-kali dicantas ranting yang mati, selagi penyakit akarnya tidak diubati, selagi itu masalahnya akan timbul berulang kali.

Istilah pendidik dan pengajar adalah berbeza. Semua orang boleh mengajar, kerana dengan mengajar akan menimbulkan ‘tahu’. Tetapi tidak semua mampu mendidik, kerana melalui pendidikan itu sendiri akan menimbulkan rasa ‘mahu’.

Sebagai contoh, kita lihat kepada situasi penguasa ataupun pemimpin yang zalim. Kita lakukan demonstrasi. Kita mogok dan sogok agar kebenaran terserlah. Panggil media, buat liputan sana sini tentang kezaliman pemimpin tersebut. Akhirnya?

Ya, kezaliman pemimpin tersebut akan terserlah. Pihak-pihak berwajib akan mengambil tindakan. Andai pemimpin tersebut mengambil rasuah, SPRM akan turun mengambil keterangan. Andai disabit kesalahan, mahkamah dan pemimpin tersebut akan saling berhadapan. Dunia dan isinya akan tahu bahawa dia adalah zalim, dan pemimpin itu juga akan tahu bahawa dia adalah pemimpin yang zalim.

Tetapi, apakah dia akan berubah?

Ibn Abi ‘Asim meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang ingin menasihati orang yang berkuasa, janganlah melakukannya secara terang-terangan. Sebaliknya dia hendaklah memegang tangannya (penguasa itu) dan bersedirian dengannya (menasihati tanpa mendedahkan aibnya secara terbuka). Jika diterima, maka dia berjaya. Jika tidak, dia (penasihat itu) dianggap telah menunaikan kewajipannya.”

Peganglah tangannya. Katakan bahawa setiap tindakan yang telah dilakukan adalah salah. Jangan cepat menghukum. Hatta Nabi Musa pun Allah perintahkan agar berlembut dengan Fir’aun yang dilaknat.

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun. Sesungguhnya dia telah melampaui batas. Kemudian kamu berdua hendaklah berkata kepadanya dengan kata-kata yang lembut. Mudah-mudahan dia beringat atau takut.”
(surah Taha: 33-34)

Inilah yang dikatakan hikmah. Agama Islam adalah fitrah. Dan cara untuk mengenalinya juga wajiblah berdasarkan fitrah manusia. Dan fitrah manusia menyukai kelembutan dan kesopanan, biarpun dirinya berperangai macam syaitan!

Maka, terpulang kepada kita untuk memilih, ubati rantingnya, atau rawati terus ke akarnya. Semoga pilihan kita nanti dapat membantu tanaman kita berbuah ranum dan hidup redup bermanfaat kepada makhluk. Wallahu’alam....