RSS
Facebook
Twitter

3/18/2014

Belajar Untuk Mula

Dulu mula ku dari tengah
Aku melangkah penuh gaya
Berkobar tidak sabar
Bangga dengan tarian penaku
Menari penuh makna

Atas kertas putih
Terhias barisan ayat ilmiah
Kanan kiri perenggan kususun biar sama
Aku tersenyum

Tuhan Maha Bijaksana
Peluang kedua DIA berikan

Sedetik aku terpana
Mula ku dari tengah
Lenyap dari bekasnya
Bibir membisu
Dan akal 
Aku belajar

Aku belajar
Jalan mula itu beraneka
Kerana tuhan Maha Bijaksana
Peluang kedua ini anugerah dari-Nya

Hanya doa yang kupinta
Moga Yang Maha Pemurah
Melimpahi diriku dengan tenaga
Kudrat dan ketenangan untuk belajar

Begin From The Scratch


Mula dari akar
Besar jadi teguh

Waktu ini biar berlari
Sesekali berhenti bukan bermimpi
Supaya dihujung tidak terkambus
Mahu mengalir sungai di pipi
Kerana berdiri dengan kaki sendiri

Kenangan yang tidak mahu dilupakan berakhir. Tiap memori yang tersimpan luput tidak sempat diselamatkan. Memori pahit, manis, duka dan suka dari tahun 2005 sehingga 2013 sudah tiada. Bukan tiada di hati, tapi tiada lagi tersimpan di laptop tercinta.

Aku tidak mahu mengeluh, apalagi meratap sedih. Kerana semua itu amat meletihkan hati. Aku tak mahu kerana sesuatu yang amat mustahil dapat digapai kembali kuratapi tiap waktu. Biarlah, asal aku boleh belajar sesuatu. Asal begitu sudah cukup bagi diriku. Dan sahabat yang membantu, terima kasih kerana sudi menggalas beban bersamaku.

Berakhir sesuatu bermakna ianya menjadi pemula kepada keadaan baru. Aku bukan bayi yang sebaik menghirup udara dunia, dia menangis. Entah gembira atau khuatir kerana tubuhnya masih belum mampu hendak melakukan apa-apa.

Tapi aku sudah dewasa. Punya akal untuk berfikir. Menimbang tara. Antara negatif dan positif, bukankah lebih mudah diambil pilihan kedua? Tidak perlu susah-susah mahu bersungut. Kecewa itu rasa. Rasa yang sepatutnya kita belajar, bukan membeban jiwa kita.

Oh, tik, tok, tik, tok. Jam merandik tidak berhenti. Tidak sekelumit pun rasa mahu menanti. Kalau marah itu terhumban keluar. Kalau sedih itu membanjiri tanah rata. Kalau keluhan itu berkepul menyelimuti langit. Waktu tetap berlalu. Mustahil dia mahu menyapa kita. Dia bukan begitu.

Jangan biar hati merintih hiba pada keadaan yang tidak dapat dipenuhi dengan tangan kita. Kita boleh pegang pena kita, tulis. Usah diratapi ketidakmampuan kita memegang pena orang lain. Tiada pena sendiri, bangun dan beli. Paling mudah pinjam dengan rakan bilik sebelah. 

Ratapan tidak membawa erti apa-apa!

Aduhai hati yang masih bersedih. Tidak mengapa. Tidak mengapa. Biarlah dia. Biarlah dia.

Malam sudah sampai ke penghujung. Purnama semakin malu mahu berlalu. Tetapi si gagah mentari mengintip mahu berdiri nun di langit putih. Jadi jangan bersedih, jangan bersedih. Siang masih ada untuk kita perhati dunia ini bagaimana.

Semalam kaki kita tersadung di tangga batu. Hari ini masih ada. Hari ini mata akan membantu kita untuk memerhati, lagi-lagi ketika tangga batu itu kita turuni. Kita belajar dan kita berhati-hati. Indah bukan hari ini. 

Kerana semalam, kita terdidik untuk mengembara ke hari ini. Mudah-mudahan kita yakin dan lebih yakin untuk melangkah ke hari esok.

Biarpun kita bermula dari tanah rata. Kerana pohonan buah-buahan akan segar menyubur di atasnya nanti.