RSS
Facebook
Twitter

3/20/2011

Cerpen.....

Bismillahir rahmaanir rahiim....

Cerpen ni terhasil masa aku baca cerpen yang mula-mula aku buat berkaitan dengan watak Suhail & Imran. Tengah khayal-khayal tu datang pulak idea, so aku pun taip... tak tahu camne.

Mintak pandangan sahabat semua yang membaca tentang cerpen ni. Tajuk dia pun aku tak tahu nak letak apa. Huhuhu....

Oleh yang demikian, selamat membaca. Dan satu persoalan atau mungkin nak mintak pandangan semua, apa agak-agak konflik yang ada kalau aku nak sambungkan cerpen ni jadik novel?

Silelah jawab yek.....

*******************************

Tangannya mengusap-usap lembut ubun anak sulungnya yang masih kecil itu. Cahaya mata yang dikurniakan Allah setelah 5 tahun berkongsi hidup dengan isteri yang tersayang. Dia tersenyum sendiri. 5 tahun itu berlalu dengan penuh makna. Suka duka hidup bersama isterinya dilalui dengan seribu satu pengajaran.

“Abi, Abi, semalam Umi kata Umar pandai. Sebab semalam Umar dapat baca al-fatihah dengan ayat kursi,” anaknya tersenyum sambil memandang wajahnya. Hati Suhail semakin berbunga. Berputik rasa bahagia melihat wajah Umar, anak sulungnya yang tidak lama lagi akan meningkat usianya ke 4 tahun.


“Iye? Kalau macam tu Abi nak dengar Umar bacakan al-Fatihah untuk Abi boleh?”


“Boleh!” Anaknya lantas bangkit dari sisinya dan berdiri dihadapannya. Bibir comel itu mula membentuk seiring mengeluarkan bacaan fatihah yang agak tersangkut-sangkut bacaannya. Namun Alhamdulillah, sempurna hafalannya.


“Pandainya anak Abi,” Suhail lantas menghadiahkan satu ciuman ke dahi anaknya. “Abi seronok?” si kecil itu bertanya.


“Mestilah Abi seronok anak Abi hafal Fatihah,” tangannya mengusap kepala si kecil itu.


“Abi! Abi tak baik!” Suhail memandang wajah anaknya. Hairan. “Kenapa Umar kata macam tu?”


“Semalam Umi kata, kalau kita seronok, kita kena sebut Alhamdulillah. Terima kasih kat Allah sebab dia bagi kita seronok. Tapi Abi tak cakap pun tadi,” Umar menarik muncung yang panjang.


Spontan terzahir tawa kecil. “Astaghfirullahal ‘azim....” hati kecilnya berbisik. Kuntuman bahagia dihatinya semakin mekar melihat rajuk anak sulungnya itu. Merajuk kerana dia tidak mengungkapkan kalimah Hamdalah ketika rasa bahagia? Pandai sungguh isterinya mendidik. Dan pastinya Maha Hebat nikmat kurniaan Allah Yang Maha Bijaksana.


“Baik, Abi minta maaf. Abi seronok sangat tengok anak Abi dapat hafal surah al-Fatihah. Alhamdulillah,” tubuh kecil itu diangkat dan dipangku di pahanya. Wajah kecil itu berubah ceria. Dakapan lembut Suhail membuatkan rajuknya itu hilang. Manja dengan Abinya, tetapi nakal dengan Uminya.


~For the rest of my life....~


Pandangan Suhail teralih ke arah biliknya. “Umar, kejap ye, Abi nak ambil telefon Abi.” Umar segera bangun dari pangkuan Abinya. Mata si kecil itu melirik ke tubuh Suhail yang semakin menjauh. Melihat dia bersendirian, kakinya mengatur larian menuju ke dapur. Dia mahu melihat apa yang sedang umi lakukan. Pasti umi sedang memasak makanan kesukaannya. Ayam Goreng!


“Salam ‘alaikum.... miin ma’i?” senyuman kerinduan terukir di bibir Suhail sebaik mendengar jawapan dari pemanggil. Sudah lama dia tidak mendengari suara tersebut...




Kota Damasqus, Syria...


Langkah kakinya pantas menyelurusi jalan tersebut. Biarpun begitu, dia tetap berhati-hati, tidak mahu berlanggar tubuh dengan orang lain yang turut menyesakkan jalan tersebut. Berkali-kali jam ditangan diperhatikan.


“Allah, dah lewat ni, kena cepat,” bisik hatinya. Langkahnya semakin pantas. Tidak mahu terlepas lampu isyarat bagi pejalan kaki yang masih lagi hijau. Waktu-waktu kemuncak seperti ini amat mustahil untuk melintas jalan yang sesak di sini tanpa menanti lampu isyarat. Biarpun dia melihat beberapa lelaki arab dengan selambanya melintas jalan di celah-celah kereta yang berlalu laju.


Dibawa tubuhnya masuk ke lorong menuju Jami’ Bab Musolla. Masjid yang menjadi salah satu tempat dia menimba ilmu setiap hari selepas Zohor. Sheikh Abdus Satar tidak pernah menangguhkan kuliahnya selepas Zohor, biarpun keadaan cuaca yang tidak mengizinkan seperti hujan yang lebat atau musim sejuk yang memustahilkan manusia keluar dari selimut tebal mereka. Membuatkan dirinya sendiri rasa malu dengan sheikh tersebut. Walhal kedudukan rumah mereka berdua berada di lorong yang sama. Tetapi dia sendiri telah berapa kali terlepas kuliah sheikh tersebut.


Beberapa lelaki arab dilihatnya mula beredar dari muka pintu Jami’. “Akhi, apakah kuliah sheikh dah habis?” dia bertanya kepada salah seorang dari mereka. “Tidak, sheikh baru saja nak mulakan kuliah. Cepat, kalau tidak kau akan terlepas.” Mereka bersalaman. Hati bersyukur kerana hari ini dia tidak terlepas kuliah tersebut.


“Im, kau nak pergi ke mana?” Rafiq, pemuda yang bersawo matang menegur. Kuliah Sheikh Abdus Satar baru sahaja selesai. Kelihatan ramai jemaah yang turut sama mendengar kuliah tadi berpusu-pusu keluar. Beberapa pemuda dari Perancis, Afrika dan Malaysia sedang berbual dan berbincang bersama-sama. Barangkali mereka sedang muraja’ah mengenai hadis yang disampaikan tadi.


“Tak ke mana pun. Terus balik rasanya. Ana ada kerja sikit,” Imran mengulas sambil menghadiahkan senyuman. Rafiq merupakan diantara pelajar Malaysia yang telah lama berada di bumi Damasqus ini. Seawal usianya 16 tahun, ibubapanya telah menghantar dia untuk mendalami ilmu agama dan bahasa arab di sini.


“Enta ke mana fiq? Tak bawak orang hari ni?” Imran mengusik.


“Mana ada. Musim panas nanti baru ada. Tu yang free je ni. Im, jom pergi rumah aku. Kita pekena kopi secawan dua,” pelawa Rafiq. Dari Bab Musolla menuju ke rumahnya tidak sampai 15 minit. Imran juga kerap datang ke rumahnya
.
Tidak perasan telah hampir setahun berlalu, bermakna hampir setahun juga Imran berada di bumi Damasqus ini. Jam di tangan menunjukkan 1.35 petang. Imran bergegas melangkah pulang. Dia menolak pelawaan Rafiq tersebut. Untuk sementara, dia mahu bersendirian. Menikmati sejuk bumi Damsyiq, dan menghilangkan resah di hatinya.



Imbas kembali....


“Akhi,” satu suara halus yang telah lama tidak didengari menegur. Serta merta langkah kakinya terhenti. Suara tersebut, seakan ada sesuatu yang membuatkan jantungnya berdebar laju. Imran menoleh tubuhnya ke belakang. Melihat empunya suara.


Seorang gadis berpakaian serba hitam dan berpurdah. Hanya meninggalkan sepasang mata yang amat dikenalinya. Ya, dia mengenali mata itu. Mata yang telah lama tidak dilihatnya. Mata yang mempunyai nostalgia lama yang telah dilupakan untuk sementara.


Dua mata itu bertentang. Berbalas renungan tanpa menghasilkan suara. Mereka kaku. Imran terkedu.


Imran segera sedar dari situasi tersebut. Dia mengangguk kecil sebagai tanda hormat. Dan segera menjatuhkan pandangan dan meneruskan langkah kakinya. Meninggalkan tubuh empunya suara itu termangu di situ.


Saat itu, hatinya berkecamuk. Kegembiraan untuk menghadiri kuliah Sheikh Abdus Satar sebentar tadi, hilang. Dia perlukan seseorang untuk berkongsi rasa. Dan wajah Suhail, sahabat baiknya itu yang selalu menjadi penemannya dulu kini terbayang di memorinya.


“Astaghfirullahal ‘azim...” kalimah istighfar terbit di bibir berpuluh kali sambil tangan kanannya mengurut-urut dadanya. “Ya Allah, kuatkan hati hamba-Mu ini,” bisik hati kecilnya. Biarpun langkah kakinya pantas menuju ke Jami’ Bab Musollah, namun tumpuannya sudah hilang entah ke mana.


“Suhail, aku memerlukan kamu wahai sahabatku...”




3/19/2011

Realiti Bukan Fantasi...

Dengan nama Allah,

Ku mulakan bicara pena, dengan nama Rabb Yang Maha Bijaksana dalam mengatur makhluk-Nya.

Artikel yang akan korang baca di bawah ini adalah yang tertulis lama dah, tapi tak di updatekan oleh aku pada waktunya. Jadi, apa yang baik tu kita kongsi-kongsikan, dan apa yang tak baik tu, kita saling tegur menegur dan nasihat menasihati yek.... (^^,)


Realiti bukan fantasi...


Realiti bukan satu fantasi. Setiap kali jari ini menari di atas papan kekunci, seakan tidak bermakna lagi untuk meluah rasa di hati. Sudah lama aku tidak menulis kata-kata. Hanya dibibir sahaja yang terlontar idea dan rasa, saat berbicara dengan sahabat sebilik, atau saat bergurau dengan sahabat-sahabat yang bersama merasai realiti kehidupan di perantauan.Mengapa antara realiti dan fantasi yang ingin ku bicarakan?
Satu demi satu ku lihat rakan-rakanku ketika di sekolah dan kolej dahulu, mereka melangkah maju menyumbang sesuatu. Dan kisah-kisah pemuda-pemuda yang umur mereka sebaya, bahkan ada yang lebih muda dariku, telah melangkahkan kaki ke medan masyarakat. Mencurahkan ilmu dan keringat.

Dan aku cemburu. Cemburu yang teramat sangat. Diriku masih lagi tersangkut dengan pemikiran yang aku kata karut. Masih ditakuk lama, tiada sesuatu yang dapat aku hadiahkan kepada mereka di tanah air sana. Walhal, seorang demi seorang menyerahkan harta mereta untuk membantuku mengejar ilmu di perantauan ini.


Kata seorang teman, jangan tersekat dengan permainan fantasi kehidupan. Itu lumrah manusia yang inginkan keindahan. Tetapi itu juga senjata syaitan untuk melalaikan. Berapa ramai masyarakat di luar sana yang telah terlalai? Dan takkkanlah aku, yang memikul amanah untuk menimba ilmu, mahu membiarkan fantasi itu membawa diriku pergi bersama angin lalu?


Kata temanku juga, indah bahasa pada gaya dan rentak bicaranya. Tetapi jangan kerana indahnya dia, membuatkan penuturnya hanyut dengan fantasi rasa. Menulis idea dan kata-kata yang tidak sedikitpun bermakna kepada pembacanya... Berdoalah kepada Allah, agar aku dan kalian semua tidak termasuk dikalangan mereka yang begitu.



Realiti itu tidak indah...


Agak lama aku tidak menatap akhbar tanah air di internet. Jujur aku kata, aku takut untuk mengetahui apa yang telah berlaku di tanah air sendiri. Tetapi aku mengakui, kata temanku, biarpun dalam gelak tawa dia menuturkannya, tetapi kata-kata itu menusuk ke benak hatiku.


Temanku gemar membaca novel, juga akhbar dan berita. Tetapi dia lebih berminat kepada akhbar dan berita. Kerana, benar, isinya tidak indah pada mata, tetapi itulah realiti kehidupan masyarakat kita. Sedang dalam novel, ia hanyalah sebuah fantasi, dengan watak utama yang berperawakan manusia sempurna, dengan secebis kisah cinta islam moden yang didamba pemuda.


7 Mac 2011, aku menatap harian Metro. Satu tajuk yang tertangkap di mata, kisah kecewa seorang ibu yang melihat suaminya bermesra dengan anaknya. Juga kisah pelajar-pelajar sekolah yang dengan samsengnya memukul kawan mereka secara terbuka di sekolah. Dan beberapa lagi kisah realiti yang mengoyakkan hati dan perasaan.


Banyak komen yang tertulis di bawah laporan akhbar tersebut. Yang dilontarkan oleh pembaca-pembaca yang simpati, atau mungkin cuba menunjukkan rasa tidak puas hati dengan gejala-gejala yang melanggar fitrah manusia yang berakal.


Aku bertanya pada diriku, apa agaknya komenku? Apakah komen aku sebagai seorang pelajar yang telah terjun ke bidang agama, mengenai kejadian seperti itu?


Sebab itu aku cemburu. Cemburu yang teramat sangat, melihat kalian sahabat-sahabatku yang telah melakukan sesuatu. Sedang aku masih lagi merangkak mencari ilmu. Berbahasa arab pun masih lagi kaku. Apatah lagi bercakap tentang ilmu, aku belum layak untuk jadi seperti itu. Kerana aku bukan seorang pengamal ilmu yang baik.


Jadi sahabat-sahabat semua, ini adalah entry bicara hati. Barangkali aku di sini, tidak dapat berbuat apa-apa. Tetapi aku tidak mahu kalian membiarkan masyarakat kita terpinga dengan fantasi dunia. Kerana hari yang dijanjikan itu telah dekat. Tanda-tandanya telah rapat. Kalian lebih mengetahui daripada aku.


Jadi, lakukanlah sesuatu.


Inilah bicara hati, yang terungkap, tika waktu muda seorang aku terus berlalu.... Doakan aku wahai sahabat. Doakan juga untuk kalian masing-masing. Semoga Allah berikan kekuatan kepada kalian untuk berdepan dengan masyarakat.


Wallahu’alam....


Syafiq Shah

Jam 2327, 7/3/2011

Medan Jazmatiyyah, Syria.


3/17/2011

Pesanan: Jom Selawat

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Agak lama blog ini sunyi tanpa sebarang artikel yang di post. Bukan sebab aku tak menulis, tapi sebab aku rase berat nak publish apa yang dah aku tulis. Rase cam tak bermakna jek. tapi ingat nak post artikel arini, skali komputer kt cc ni tak leh bace lak file aku ni. Adeh...

well then, untuk tak nak biarkan entry kali ini kosong dan merapu, aku ajak semua, jom kite semua sama2 banyak selawat ke atas baginda Rasulullah s.a.w. Semoga kita dihimpunkan bersama baginda di akhirat sana.....

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Terjemahan: Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya Allah, berkahilah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkahi keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

Insya Allah, nanti aku akan post kan artikel yg dah tulis sebelum ni. doakan yek....


Satu lagi pesanan. Kepada family saya, Ibu, ayah along, kak fiza, abg azrul, angah, alang dan sedara mara sekalian, juga kengkawan yang nak rase jeles dalam hati, sila tengok facebook syafiq shah untuk melihat betapa seronok nye saye maen salji... hahahaha....


salji ditangan yang sejuk.... (amacam, jeles tak?)