RSS
Facebook
Twitter

6/27/2010

Amelia Farhana


Rentetan dari cerpen bersiri Secebis Hidayah 01.....

~ Amelia Farhana, aku mencintai dirimu. Semenjak kali pertama kita bertemu. ~
Jarinya pantas membuat pilihan ‘padam’. Tidak sanggup dibiarkan pesanan ringkas seperti itu bertandang lama di telefon bimbitnya.
“Siapa tu kak?” Safinah bertanya. Mereka berdua baru sahaja selesai kelas terakhir mereka. Jarak antara mahallah puteri dengan bangunan kelas mereka tidak terlalu jauh.
“Akak, akak dengar tak apa Finah tanya ni?” Safinah meninggikan sedikit suaranya apabila melihat tiada respon daripada Farhana.
“Hmm... akak dengarlah. Takda siapa pun. Kawan,” balasnya pendek. Tak penting pun untuk diambil tahu.
“Mesti Abang Edy ni. Finah tengok dia suka betul dekat akak.”
Farhana diam tidak menjawab. Usikan Safinah membuatkan dia teringat dengan peristiwa beberapa hari yang lalu.

Imbas kembali....
“Amelia, saya betul-betul suka kat awak,” Edy berterus terang.
Hampir sahaja Farhana pitam mendengar pengakuan Edy yang terlampau berterus terang. Wajahnya panas kerana malu dengan rakan-rakan yang ada bersamanya ketika itu.
Beberapa hari yang lalu, mahasiswa Pengurusan Perniagaan itu ada meluahkan perasaannya itu melalui SMS tetapi tidak dilayannya. Barangkali kerana tidak mendapat sebarang respon darinya, Edy bertekad untuk meluahkan secara terbuka.
“Apa yang awak kata ni Edy? Awak tak sihat ke?” Farhana cuba mencari kekuatan untuk berhadapan dengan situasi tersebut. Beberapa orang rakannya termasuk Safinah terpinga-pinga melihat kejadian tersebut. Seakan-akan adegan sebuah drama televisyen yang selalu mereka tonton.
“Awak tak balas pun mesej saya. Awak tahu tak, saya menunggu mesej dari awak. Ni pun bukan mudah saya buat keputusan nak berterus terang depan awak ni tau,” Edy membalas.
“Jadi kenapa susah-susah?”
Edy terpana. Dia merenung wajah gadis yang berjaya mencuri hatinya itu. Entah mengapa, sebelum ini tidak seperti itu. biarpun telah beberapa kali dia menjalankan program bersama-sama dengan Amelia Farhana. Gadis tersebut tidak pernah menggetarkan hatinya, sehinggalah minggu lepas, kali pertama dia melihat, gadis lincah tersebut bertudung menutup auratnya. Semenjak itu, hatinya terdetik untuk gadis tersebut.
“Kerana istikharah. Amelia, kerana istikharah. Hari tu saya ada buat istikharah, entah kenapa beberapa hari ini, hanya awak yang menghiasi mimpi saya,” Edy berterus terang.
“Saya yakin, Allah telah memilih awak untuk saya. Dan mimpi itulah jawapan istikharah saya itu.”
Spontan Farhana tertawa kecil. Sebegitu mudah? Bisik hatinya. Lantas dia meninggalkan lelaki tersebut tanpa membalas apa-apa. Tidak dipedulikan panggilan lelaki tersebut. Tidak dipedulikan juga kawan-kawannya yang tadinya menanti untuk makan tengahari bersama. Peristiwa itu mematikan selera makannya.
***************************
“Akak! Akak ni, dari tadi asyik mengelamun je. Teringat kat Abang Edy la ni.” Safinah menarik tangannya menghentikan perjalanan mereka ke asrama.
Farhana menoleh. Tersenyum. “Hish, ada pula. Akak tak ingat siapa-siapa la. Yang akak ingat sekarang ni, bila agaknya kita boleh sampai bilik. Dahlah tak solat Asar lagi ni.”
Safinah mencebikkan bibirnya. Dia tahu Farhana berdalih. Setiap kali apabila ditanya mengenai peristiwa tempoh hari, pasti Farhana akan berdalih. Sehingga cerita panas tersebut seakan-akan berlalu begitu sahaja.
Selepas Isyak....
“Akak...” Safinah menghulurkan tangan untuk bersalaman. Hari ini hanya mereka berdua sahaja yang berjemaah bersama. Farhana jadi imamnya. Dua lagi rakan sebilik mereka mempunyai kelas selepas maghrib tadi.
“Raudhah dengan Syira habis kelas bila?” tanya Farhanah sambil memerhatikan Safinah yang sedang mengemas telekungnya.
“Pukul 10 nanti. Tapi Syira kata mereka nak keluar makan terus. Jadi lewat sikit.” Jelas Safinah.
Farhana mengangguk. “Jangan lupa ingatkan mereka. Jangan balik lewat sangat. Sebelum pukul 11.30 kena ada kat bilik tau. Dan jangan solat Isyak lewat-lewat.”
Safinah tersengih. Mereka cukup lali dengan amaran tersebut. Biarpun mahallah mereka tidak menetapkan peraturan seperti itu, tetapi itulah peraturan yang dikenakan oleh kakak senior mereka seorang ini, khas untuk bilik mereka sahaja.
“Akak, Finah nak tanya sikit boleh?”
Farhana memandang wajah adik juniornya itu. Mereka berdua amat rapat biarpun berbeza umur dan semester. Farhana pelajar kejururawatan semester akhir, sedang Safinah pelajar kejururawatan semester kedua. Dua lagi ahli bilik mereka merupakan pelajar kejururawatan semester tiga.
“Tentang apa emm?”
“Tentang Abang Edy. Kenapa akak tak layan dia? Nak kata tak hensem, hui, abang Edy tu cukup pakejnya. Walaupun bukan pelajar agama, tapi alimnya boleh tahan juga.”
Dia sudah dapat mengagak soalan tersebut pasti keluar. Gadis cilik dari Johor ini takkan berhenti selagi persoalannya tidak terjawab. Namun begitu, Farhana hanya berdiam diri. Dibiarkan Safinah menanti sambil melihat dia mengemas telekungnya. Sengaja dibuat begitu.
“Ni kenapa asyik tanya pasal Edy ni? Kalau Finah nak, Finah amik je la dia. Akak tak nak pun,” Farhana berseloroh.
“Ish akak ni, abang Edy tu nak kat akak, bukan Finah. Lagipun kak, kan abang Edy kata, dia pilih akak berdasarkan istikharah yang dia buat. Akak tak fikir ke, mana tau memang betul akak adalah untuk dia..”
Farhana tersenyum. Aku untuk dia? Semudah itu?
“Jadi Finah rasa akak kena ikutlah dengan hujah istikharah dia tu? Gitu?”
“Eh, takdalah macam tu. Finah cuma....” Safinah kebuntuan untuk melengkapkan hujahnya.
Farhana mendekati adik sebiliknya itu. Dia memegang tangan Safinah. Dia pernah terbaca, komunikasi yang diturutkan dengan sentuhan tubuh, akan menjadikan hubungan lebih akrab dan mesra.
“Safinah.... bukan semudah itu istikharah.” Dia memulakan bicara. Dia bukanlah seorang ustazah, bukan juga seorang pelajar bidang agama. Tetapi, mengenai isu istikharah ini, dia pernah terbaca dalam sebuah artikel yang ditulis oleh seorang ustaz sebelum ini.
Kata ustaz tersebut, kebanyakkan orang tersalah faham mengenai istikharah ini. Bahkan ada yang menjadikan istikharah seakan hukuman mandatori yang tidak boleh diubah. Jawapannya adalah muktamad. Dan ada juga yang menganggap, petanda istikharah itu hanyalah pada mimpi. Agaknya mereka terlupa, mimpi manusia bukanlah satu hujah yang kuat untuk membantu mereka.
“Jadi macam mana istikharah tu kak?”
“Apa yang akak tau, sememangnya, kita kalau berdepan dengan situasi yang memerlukan kita membuat pilihan, kita perlu lakukan istikharah, apatah lagi kalau ia membabitkan kehidupan kita..”
Farhana berhenti seketika. Menanti tindak balas daripada adik sebilik kesayangannya itu.
“Tetapi, kita kena faham, jawapan istikharah itu tidak tertumpu kepada mimpi sahaja. Kerana kita kena ingat, mimpi itu adalah salah satu permainan syaitan. Kekadang ia adalah tipu daya syaitan yang cuba mengambil kesempatan dengan kelemahan kita.”
“Macam mana tu kak?”
“Sebagai contoh, macam yang terjadi pada Edy. Bukan akak nak berburuk sangka dengan dia, tapi kalau kerana mimpi itu, dia sanggup mesej akak, luahkan perasaan dia, kemudian secara terbuka buat macam tu kat akak... akak rasa di sini ada salah faham tentang konsep istikharah itu sendiri.”
“Akak ni, tu la namanya ‘Gentle Man’ kak... berani.”
Farhana tergelak kecil mendengar jawapan tersebut.
“Banyaklah dia punya Gentle Man. Apa ingat akak ni takde maruah ke? Tiba-tiba serbu macam tu. Bukan ke Islam dah letak adab dan tertib. Kita ada merisik, melamar, bertunang dan nikah. Kenapa perlu macam tu? Akak masih ada ayah akak sebagai wali. Pergilah jumpa ayah akak, kalau dia yakin sangat dengan mimpi dia tu.”
Safinah tidak menjawab. Dia mengangguk-angguk tanda bersetuju dengan jawapan Farhana.
“Safinah, Allah hanya akan memberi kepada hambanya pilihan yang terbaik sahaja. Pilihan yang akan membuatkan Dia redha kepada hambanya. Mana mungkin Allah akan beri pilihan yang membuatkan hati hambanya jauh daripada dia.”
“Hmm... habis tu, macam mana kita nak tau jawapan istikharah kita kak?”
“Entahlah. Akak ni student nursing dik oi, bukan student pengajian Islam,” dia bergurau. Dan gurauan itu membuatkan pahanya mendapat cubitan dari Safinah. Mukanya berkeriut menahan pedih.
“Akak ni, orang tanya betul-betul, dia main-main pulak,” Safinah menarik wajah.
“Alala, merajuk lak adik akak ni. Tu muncung tu, kalau akak sangkut dengan hanger pun boleh lepas tu.”
Safinah mencebik.
“Ok, dengar ni. Akak pun tak tahu sebenarnya. Cumanya, akak rasa, jawapan istikharah yang sebenarnya mestilah yang membuatkan diri kita tenang, dan bertambah yakin dengan Allah. Tak semestinya melalui mimpi. Sebagai contoh, kita perlu membuat pilihan, antara A atau B. Kemudian kita buat istikharah. Lepas tu, bila kita tengok A, kita rasa macam tenang je. Bila bertemu terasa segan dan malu. Kekadang kita tersipu. Bila tengok B, kita tak begitu. Bahkan, diri kita menjadi berbeza dari biasa. Kekadang seronoknya berlebihan. Bergurau, berbual dan kekadang melampau dari itu. So, petandanya mestilah A. Cuma, kekadang kita tak perasan, kita rasa B lah jawapannya. Sebab perasaan pada A itu lebih halus, dan kalau tak teliti, kita mungkin tak sedar.”
Dia tersenyum melihat gadis cilik itu berkerut dahi memikirkan perkara tersebut. Dia sendiri mengakui, agak susah nak menerang mengenai perkara tersebut. Cumanya yang boleh disimpulkan, jawapan istikharah adalah sesuatu yang tidak akan membuat kita lalai dan terleka daripada Allah. Itu pasti. Dia meyakini akan perkara tersebut. Dan yang pastinya, jawapan itu tidak hanya pada mimpi!

6/15/2010

Ipou



“Ipou, kau buat apa tu?”

Ipou senyap. Matanya masih tetap memandang anak sungai Jerateh yang mengalir laju. Beberapa ekor anak ikan sempat bermain-main seketika hujung ibu jari kakinya yang terjulur.
“Ipou!”

Ipou tersentak. Tubuhnya spontan berkalih ke belakang manakala tangan kanannya terus menyiku tangan yang menyergah bahunya lalu terus dihayunkan belakang penumbuk.
“Uish,” Kunang menahan belakang tumbukan itu dengan telapak tangan kirinya. Andai dibiarkan, pasti ia akan mengenai mukanya. Biarpun ia sekadar belakang telapak tangan yang digenggam.
Dia menggeleng kepala. “Ipou, Ipou..”
“Abang Kunang.”
Ipou segera bangun. Bongkah batu sungai yang licin itu tidak sedikit pun menggugah kestabilan dirinya. Selepas hampir sebulan dia cuba berdiri di atas bongkah yang hanya boleh memuatkan satu kakinya sahaja. Kini dia sudah boleh berdiri dengan teguh. Dua kakinya berkongsi atas satu permukaan yang kecil.
“Apa yang kau menungkan ha?” satu tepukan hinggap di atas kepalanya. Kunang tersengih melihat anak muda di depannya itu. Sebulan yang lalu anak muda itu sentiasa terjatuh ke dalam Sungai Jelateh yang berbatu itu. Tidak terkira luka dan kecederaan yang dia terima, tidak sedikit pun luntur semangat Ipou untuk belajar ilmu persilatan dengannya.
“Sudahlah, Mak Andak panggil makan. Katanya dia masak lauk ‘special’ untuk kau hari ini.”
Ipou mengangguk. Sepatah pun dia tidak menjawab.
************************************************
Matanya menatap hamparan langit malam. Bintang-bintang berebut memancar sinarnya mencari perhatian Ipou. Namun dia tidak tertarik. Untuk hari ini dan malam ini, segalanya tidak langsung menarik perhatiannya. Tidak langsung.
“Kenapa dengan kau hari ini Ipou?” Kunang melabuhkan punggungnya disebelah.
Tiada jawapan. Hanya bunyian cengkerik dan unggas hutan bagaikan okestra alam yang semakin rancak menjadi latar belakang keduanya malam itu. Dua pemuda, seorang yang baru sahaja melangkah remaja, dan seorang lagi berbadan tegap, lengkap sebagai pemuda berwibawa.
“Abang Kunang.”
“.......”
“Abang Kunang!” suara Ipou sedikit meninggi. Dia menoleh mencari jawapan.
“Begitulah sunnah-Nya...”
“Eh?”
“Begitulah sunnah-Nya Ipou.”
“Sunnatullah? Apa maksudnya?”
“Ya. Saat manusia mengejar harta dan kuasa. Saat manusia semakin fakir dan berduka. Saat sebahagiannya semakin kikir dan haloba. Dan di saat sebahagiannya lagi terus menangis ditindas dan tidak terbela.”
Ipou tidak menjawab.
“Pasti kau fikirkan tentang Biduk dan Kenyala kan Ipou?”
Ipou terkejut kagum. Hebat. Abang Kunang memang cukup arif untuk memahami telahan manusia disekitarnya. “Itulah pengalaman,” jawabnya apabila ditanya tentang kebolehannya itu.
“Manusia Ipou, manusia. Bila berkaitan dengan harta, kuasa dan perempuan, habis semua kesempatan dicapai. Tak kiralah halal atau haram. Menzalimi atau tidak.”
“Apa kaitannya dengan sunnatullah?”
“Kau tak tahu Ipou?”
Ipou menggeleng kepala.
Dia kagum dengan abang Kunang. Abang Kunang terkenal sebagai salah seorang pendekar muda dalam kampung Bentara. Tetapi yang membezakan dia dengan pendekar muda yang lain seperti Biduk dan Kenyala, Kunang membahagikan masa paginya untuk bekerja dan mendalami ilmu agama. Dan waktu malamnya Kunang memberi tumpuan sepenuhnya kepada ilmu mempertahankan diri yang diwarisi dari ayahnya itu.
Berbeza dengan pendekar yang lain. Selalu memperagakan kekuatan mereka dan bertarung antara satu sama lain di hadapan khalayak ramai. Seperti Biduk dan Kenyala yang sombong. Ipou amat membenci mereka berdua. Lagi-lagi keduanya itu samseng jalanan.
“Dulu, waktu abang belajar agama dengan Tok Samudera, Tok Samudera ada bercerita bagaimana Allah mentadbir kisah manusia di muka dunia.”
“Kisah manusia?”
“Ya, benar Ipou. Kisah manusia. Dari jahil kepada bijaksana. Kemudian berkuasa. Kemudian menguasai dan akhirnya timbul rasa hasad dan dengki. Bila ini berlaku terasa diri lebih tinggi, yang lain rendah tiada erti, akhirnya manusia ini menjadi zalim dan dibenci.”
Ipou tercengang mendengar. Bahasa yang digunakan ringkas dan seakan berirama.
“Kamu pernah dengar tentang Fir’aun, tentang Namrud?”
“Pernah. Ipou dengar ketika arwah Imam Rantau masih hidup dulu, dia ada bagi ceramah tentang penguasa zalim dan kejam ni.”
Kunang tersenyum. Wajah pemuda berbadan kecil itu kelihatan lebih matang dari usianya. Barangkali kerana keperitan hidup, mendewasakan mentaliti si kecil ini.
“Fir’aun itu zalim, bongkak dan takbur. Dia merasakan dirinya lebih tinggi dari semua makhluk disekitarnya. Begitu juga Namrud. Dua makhluk ini berbeza masa, namun sama sahaja konsep hidupnya.”
Mata Ipou tidak berkedip. Teliti dia mendengar setiap bait kalimah yang keluar dari mulut Kunang.
“Tapi Ipou, Allah takkan biarkan mereka hidup begitu dalam masa yang lama. Allah Maha Pengasih, biarpun Fir’aun dan Namrud itu mensyirikkan Allah, mengaku diri mereka tuhan, Allah utuskan Musa dan Ibrahim untuk mengetuk kembali cahaya fitrah mereka yang semakin samar. Allah takkan biarkan hamba-hambanya terus terpelusuk ke lembah kejahilan.”
“Kenapa pula Allah nak selamatkan mereka? Bukankah mereka zalim, tak sedar diri?”
Kunang mengusap ubun-ubun adik angkatnya itu.
“Kerana pengasihnya Allah untuk semua. Tidak kira siapapun mereka. Sezalim mana pun mereka, tak kira kepada diri sendiri, mahupun kepada orang lain, Allah tidak pernah meninggalkan hambanya itu keseorangan. Hanya hamba Dia sahaja yang tidak menyedari, betapa cintanya Allah kepada mereka.”
Ipou menunduk. Tersentuh mendengar bait kata-kata Kunang.
“Itulah sunnatullah Ipou. Yang zalim, disedarkan, diberi hidayah. Barangkali hari ini mereka menzalimi, mana tahu akhirnya nanti, mereka kembali mengasihi. Dan ketika itu, pastilah Allah telah menyayangi mereka. Kerana sayang Allah hanya untuk mereka yang telah diberi hidayah untuk kembali, dan mereka yang tetapkan hati mereka untuk terus kekal di sisi Illahi...”
Itulah sunnatullah. Kebatilan tidak selamanya berkuasa. Kebenaran pasti muncul jua. Bak kata hikmah, “Dapatkah kau tutup cahaya mentari? Biarpun dilindung kepulan awan, namun mentari tetap bersinar kembali.”
Begitulah resam kisah manusia, jahil pada diri, jahil mengenal Illahi. Tetapi bagi mereka yang telah mengetahui, tugas mereka untuk jadikan si jahil menyedari. Menyedari hakikat kewujudan Illahi. Tuhan Maha Berkuasa Yang Abadi.
Malam itu, satu lagi pengajaran baru buat si kecil Ipou. Hikmah Kunang memecah belengu kebencian dalam diri anak muda itu. Tiada siapa tahu hujung akhir kisah sendiri, kisah manusia yang hanya kan berhenti, pabila ruh kembali ke sisi Illahi.
Dan ketika itu.... hanya amalan menjadi bekal kekuatan dan pertahanan diri sendiri....


6/12/2010

Recycle Senior?

semester baru kembali, yang senior kembali menjadi junior, apakah yang akan menanti? nantikanlah.....


31 Mei, jam 1345....

Baju baru suku kemas, barang-barang lain baru masuk dalam bag sikit jek. Peralatan mandi dan lain-lain.... Tak payahlah. Yang penting bawa buku bacaan. Minggu orentasi ni bukan masuk kelas pun. Baik duduk bilik layan buku. Hmm....nak bawa buku apa ek?


31 Mei, jam 1415....

Alamak, dah lewat nih. Dari sini ke Bangi je dah sejam. Pendaftaran tutup 3 setengah. Bergegas. Bag dan buku disumbat dalam kereta. Salam ayah, salam ibu. “Selamat Hari Raya..” sambil tersengih. Fahamlah kedua orang tuaku, maklumlah, orang tak kerja... hehehe....


31 Mei, jam 1445....

130 km/jam. Target sampai mesti sebelum 3.20. Biasanya kalau menepati had laju, mahu sampai KUIS lebih dari 3.30. Tak boleh jadik. Kereta agak banyak dari biasa, tapi tak sampai traffic jam. Bolehlah... meter kelajuan ditingkatkan... 140 km/jam. Ditempat-tempat tertentu, cepat-cepat turunkan ke 110 km/jam.... konon menepati had laju. Huhuhu...


31 Mei, jam 1525....

Parking penuh! Alamak... macam mana ni. Pusing KUIS dalam dua round. Akhirnya, terpaksa menyelit. Tempat pendaftaran di PKK. Ambil apa yang patut. Allah...lupa lak. Pen takde. Aiseh... nasiblah... pakaian ketika itu, baju kemeja biru, seluar slag hitam, tai (dah lame aku tak pakai) warne biru gelap skit dan pastinya.... jeket PERKIM KUIS yang menjadi kebanggaan. Huhuhu.....


31 Mei, jam 1530....

Melangkah masuk ke PKK. Pendaftaran selesai. Bahagian asrama, jumpa Kak Rasyidah, minta asrama lama. Padahal budak baru takleh minta asrama lama. Ah... aku kan senior yang dikitar semula. Huhuhu.... TQ Kak Rasyidah...


Student’s Name:

MUHAMMAD SYAFIQ BIN MOHD SHAH

Student’s ID:

10BI02037

Student’s Course:

Bachelor in Quran & Sunnah with Mass Com

Hostel’s Room No:

B 405


Semester baru, dapat lompat terus ke semester 3. Alhamdulillah. Subjek hanya 4 sahaja. Takmo add banyak-banyak. Bior sikit asal dapat score. Aku hanya ambil subjek basic Quran Sunnah jek.


Baru seminggu masuk kelas. Alhamdulillah, memberangsangkan. Lecturer semua best-best belaka. Ada seorang lecturer baru. Nanti aku cerita tentang dia. Walaupun ade dua subjek asas ni dah pernah aku belajar masa diploma. Tapi bila dah masuk degree nih, adeh.... bukan tak faham, cume nak ingat syarahnye tuh. Dah la B.Arab aku cukup makan jek.... hehehe....


Semoga Allah permudahkan aku dan rakan-rakanku belajar dan menghayati bidang ni. Lupa lak nak cerita tentang kelas. Degree QS Comm semester 3, pelajarnya hanyalah 7 orang. 3 perempuan dan 4 lelaki. Hahaha.... sama bilangan masa aku diploma. Takpe, senang nak discuss.


Ok, next tentang subjek semester nih. Nama pun subjek basics, jadik just ulang perkara yang sama cam diploma dulu, cume syarah n pendetailan dia lebih dari dulu. Insya Allah, kene usaha lebih, walaupun untuk persediaan, sebelum dapat tawaran ke timur tengah (Insya Allah dapat ke sana)....





6/11/2010

لا تدخن





6/05/2010

Sedetik Merenung....



Sedang aku diam-diam memikirkan tentang nasib konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza, muncul di kotak idea ku beberapa rangkap sajak, dan akhinya ku buka laptopku dan kutaip apa yang ada di mindaku. Hasilnya, inilah yang ku paparkan untuk kalian semua. sebuah sajak, yang aku tak tahu nak letak tajuk apa. hayati dan muhasabah. andai ade salah minta di nasihat dan tunjuk ajar... wallahu'alam...


Aduh! Aduh! Aduuuh!!
Sakitnya Ayah!!
Sakitnya Ibu!!
Aduh...!
Mana ayah? Mana Ibu?
Di mana di mana kamu berdua?
Aduh...!.
Ke mana abang?
Pergi ke mana kakak?
Di mana mereka semua??
Tempoh hari, baru sahaja kami bergelak tawa
Tempoh hari, baru sahaja ayah membelikan aku permainan baru
Tempoh hari baru sahaja aku bermegah bangga dengan abang dan kakakku mengenai permainan baru itu
Tetapi, hari ini ke mana mereka?
Di mana mereka??

Aduh sakitnya!!!
Ya Allah....
Kakiku ya Allah... kakiku..
Mengapa kakiku tidak bergerak lagi?
Kenapa?
Mengapa tanganku luka-luka ya Allah?
Kenapa?
Aduh...sakitnya ya Allah...

Tempoh hari, rumahku tersergam indah,
Kala itu, aku belum pulang dari sekolah,
Detik itu, bunyi bom dan mortar berlegar di sekitar sekolah
Para guru meminta kami bersembunyi
Letupan sana-sini, kami menjerit
Guruku syahid saat cuba menyelamatkan seorang rakanku dikelas
Rakan baikku gugur hancur sebaik bom jahanam menyapa tanah sekitar kami
Kaki kananku kebas tidak terasa lagi denyut nadi
Aku mengesot perlahan menuju ke rumah disebelah sekolah
Tiada lagi rumahku tersergam indah
Tiada lagi lambaian ibu menyambutku pulang dari sekolah
tiada lagi abang dan kakak yang memegang tanganku mengiringi ke rumah
tiada lagi semua itu
tiada lagi semua itu ya Allah!!!

Aduh! Celaka israel laknatullah!!!
Celakalah syaitan israel yang menyerang Gaza!
Celakalah kereta kebal yang memusnahkan rumah yang pagi tadi masih lagi tersergam indah
Celakalah anjing-anjing Israel yang membunuh ibu dan ayah
Allah! Sakitnya ya Allah....
Sakitnya ya Allah....