RSS
Facebook
Twitter

6/08/2013

Khabar Gembira Untuk Zakaria


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

1. Kaf Ha Ya 'Ain Sod

2. (Yang dibacakan ini adalah) penjelasan tentang rahmat Tuhanmu kepada hamba-Nya Zakaria.

3. (iaitu) ketika dia berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut.

4. Dia (Zakaria) berkata, "Ya Tuhanku, sungguh tulangku telah lemah, dan kepalaku telah dipenuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada-Mu, ya Tuhanku.

5. Dan sungguh, aku khuatir terhadap kerabat warisanku, padahal isteriku seorang yang mandul, maka anugerahilah aku seorang anak dari sisi-Mu.

6. Yang akan mewarisi aku dan mewarisi keluarga Yakub, dan jadikanlah dia, Ya Tuhanku, seorang yang diredhai.

7. (Allah berfirman), "Wahai Zakaria! Kami memberi khabar gembira kepadamu dengan seorang anak lelaki namanya Yahya, yang kami belum pernah memberikan nama seperti itu sebelumnya."

8. Dia (Zakaria) berkata, "Ya Tuhanku, bagaimana aku akan mempunyai anak padahal isterika seorang yang  mandul dan aku (sendiri) sesungguhnya telah mencapai usia yang sangat tua?"

9. (Allah) berfirman, "Demikianlah". Tuhanmu berfirman, "Hal itu mudah bagi-Ku. sungguh engkau telah Aku ciptakan sebelum itu, padahal (pada waktu itu) engkau belum wujud sama sekali."

Surah Maryam: ayat 1-9




Berita gembira untuk Ammi

Sesak dadaku menahan sendu, sebaik sahaja menerima berita tersebut, aku kehilangan kata, terasa air mata tidak sabar mahu mengalir laju. Aku segera membawa diri ke dalam bilik, tidak mahu sahabat serumah melihatku. Bimbang jika mereka tertanya-tanya apabila melihatku sebegitu.

Maha Suci Allah yang menentukan segalanya. Sesungguhnya DIA adalah perancang terbaik dan tempat terbaik penyerah harapan. Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah, Yang menguasai langit dan bumi serta segala isinya.

Perbualan kami di ruangan 'chatting' muka buku terhenti seketika. Aku tidak mahu mengetahui mengenai berita gembira itu sekadar hanya di ruangan yang kecil ini. Aku mahu mendengar sendiri perkhabaran itu dengan telingaku sendiri, dan dari mulut ahli keluargaku yang jauh di tanah air. 

Segera aku mencapai kemeja yang tergantung di almari. Tidak sabar mahu melangkah menuju ke kedai. Imej kad 'Weinak' berlegar-legar di layaran mata. Aku segera mengeluarkan sekeping nota biru bertulis Jordan Dinar 10.

"Mu'allim, a'tini isnin weinak" sambil menghulurkan nota biru tersebut. Harga sekeping kad tersebut hanyalah JD2. Dan dengan JD2 itu membolehkan aku menghubungi ahli keluarga di Malaysia selama 50 minit. Kad Weinak ini sering menjadi pilihan pelajar-pelajar Malaysia di Jordan, selain daripada internet yang juga menjadi medium utama kami berhubung dengan kawan-kawan dan sanak saudara yang jauh dari bumi Jordan.

Alhamdulillah, cuaca petang ini baik. Langit yang agak mendung, melindungi mentari musim panas. Angin yang bertiup kencang juga seakan turut bersamaku menyambut berita gembira dari bumi Malaysia. Sangkaan demi sangkaan datang bertalu.

Panggilan ammi adalah panggilan yang sering dilaungkan oleh 3 orang anak buahku apabila mereka melihat aku. Dan Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, kakakku yang ketiga bakal melahirkan anak sulungnya esok.

Jadi tidak hairanlah jika aku katakan, akan ada satu lagi suara baru yang akan memanggilku ammi.

"Bukan satu, tetapi tiga lagi suara baru," ujar Along, abang sulungku di ruangan berbual muka buku.

"Eh?" Spontan aku bersuara. Tiga? Bagaimana boleh ada tiga suara pula?

Hatiku tidak berhenti membisik, "3 orang, mungkin salah seorangnya calon isteriku? Tetapi mengapa isteriku mahu memanggilku sebagai ammi?"

Aku tersenyum sendiri.

"Barangkali Along dapat anak kembar?"

Bibirku meleret senyuman. Berharap sangkaanku itu benar. Kedua abang sulung dan kakak iparku telah berkahwin hampir 8 tahun. Dan Alhamdulillah, berdasarkan sangkaanku, mereka bakal dikurniakan cahaya mata, kembar pula.

Tetapi sengaja aku mahu berteka-teki dengan abangku.

"Apa yang along maksudkan? Tak fahamlah."

Aku yakin, pasti ketika ini dia sedang tersengih mendengar kataku.

"Tiga oranglah. Seorang dari Alang, seorang dari Angah dan seorang lagi dari Kak Fiza."

........

Aku benar-benar terpempan mendengar berita tersebut. Ya, secara jujurnya, ketika ini dadaku berombak tidak menentu. Pernafasanku tersekat menahan sendu.

"Eee... tak naklah cakap dengan Along. Bagi telefon ini kepada ibu. Apit nak cakap dengan ibu," aku cuba berdalih sambil menahan sendu.

Tetapi sebaik mendengar suara ibu di talian, aku tidak dapat menahan sendu. Air mata laju mengalir di pipi. Tiada sebarang kata dapat ku luahkan. Dan aku pasti, ibu sedang mendengar esakanku. 

Ya, aku terlampau gembira mendengar perkhabaran itu. Bahkan saat aku menulis pengalaman ku ini, air mata masih tidak malu mengalir. Dadaku masih tidak mahu berhenti berombak.

Ya Rabbul Izzati, hampir 8 tahun aku menanti. Perancanganmu itu adalah yang terbaik untuk kami. Segala puji bagimu Ya Allah, yang maha menguasai segalanya.