RSS
Facebook
Twitter

5/28/2010

Wahai Isteriku....


“Yang muka kau ni kelat semacam ni kenapa Suhail?” Imran menegur.

Dari tadi dia melihat sahabatnya yang seorang ini duduk termenung dengan mukanya yang berkerut.

“Takda apa-apa la Im. Aku macam biasa je,” Suhail berdalih.

“Ish, sekilas ikan di air, aku tahu jantan betinanya tau. Apa yang dah berlaku emm?” Imran melabuhkan punggungnya di sebelah Suhail. Tangannya mengurut-urut tengkuk sahabatnya itu, mudah-mudahan kurang tekanan persaannya.

Heiz.... terkeluar keluhan dari mulut Suhail. Matanya sayu memandang sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di tepi tasik. Entah, hilang ke mana sudah keceriannya hari ini.

“Aku tak tahulah Im. Aku ada problem dengan isteri aku.” Suhail memulakan bicara.

Terbayang wajah isterinya yang hampir 7 bulan dikahwini. Kerenah isterinya semakin tidak dapat difahami. Acap kali dia bergaduh kecil kerana sikap isterinya. Kalau setakat membebel tu, dia tak kisah. Tetapi kadangkala ucapan isterinya yang seakan merendahkan maruahnya cukup mengguriskan hati.

“Sarah tembak kau lagi ke?” tanya Imran dengan nada bergurau.

Suhail tersengih kecil. “Ya, kali ini betul-betul tepat ke kalbu.”

Mereka berdua tergelak kecil. Seketika kedua sahabat tersebut berdiam diri. Suhail, seorang mahasiswa pengajian Islam yang baru sahaja berumur 22 tahun. 7 bulan lalu dia membuat kejutan dengan menyatakan hasratnya untuk bernikah ketika belajar. Imran menjadi orang pertama yang mengetahui hasratnya.

Dalam keadaan kelam kabut mahasiswa lain berhadapan dengan peperiksaan, Suhail tetap dengan hasratnya itu. Biarpun dibenak hati Imran tidak berapa bersetuju dengan sahabatnya itu, tetapi dia tidak menghalang. Cukup sekadar peringatan, nasihat dan sokongan diberikan kepada Suhail supaya dia fikir masak-masak tentang keputusannya itu.

Akhirnya, termeterailah ikatan pernikahan antara Suhail dan Sarah yang juga merupakan rakan sekelas Imran. Namun, beberapa bulan ini, Suhail kerap mengeluh. Acap kali dia berceritakan mengenai perangai isterinya yang berubah-ubah.

“Kau tahu Im, semalam aku terlewat balik rumah. Kalau tak kerana Ustazah Hanizah minta dihantar assignment hari ini, aku dah target balik awal.” Suhail memeluk lututnya.

“Apa reaksi Sarah?” Imran bertanya.

“Macam biasa, mulanya biasalah, baru nak panas enjin. Dia mengomel sikit. Aku minta maaf dan jelaskan pada dia. Aku ingat dah habis masa makan malam, tapi ada siri kedua rupanya.”

Imran tersengih lucu mendengar kata-kata Suhail tersebut.

“Dia bagi kat aku machine gun kau tahu. Berasap jugalah telinga aku ni. Alhamdulillah masa tu aku baru lepas solat Isyak. Wuduk masih belum kering lagi. Bolehlah back up kesabaran aku yang semakin menipis tu.”

“Kenapa? Kalau kau dah batal wuduk, kau nak buat apa?” Imran bertanya dengan nada lucu.

“He,he,he.... aku tak buat apa-apa. Tadah jek.” Suhail tersengih.

“Suhail....Suhail..”

“Tapi Im, aku sayang sangat kat isteri aku tu. Cuma, yang buat aku terasa sikit malam tadi bila dia kata macam aku ni tak pernah nak tolong dia. Macam takde yang baik yang aku buat untuk dia...” sayu suara Suhail bercerita.

Tiada jawapan dari Imran. Buat seketika Imran terkedu dengan kenyataan Suhail. Fikirannya ligat mencari sesuatu.

“Im, kau dengar tak apa aku cerita ni?” Suhail menepuk paha Imran.

Imran mengangguk. Matanya merenung wajah kelat sahabatnya. Berat rasanya hendak dituturkan kata-kata. Namun, sebagai sahabat, dia perlu beritahu kepada Suhail.

“Suhail, barangkali Sarah kepenatan semalam. Aku dengar muslimah kelas kita ada program di luar. Boleh jadi stress dengan program, assignment lagi, dah tu dengan tugas dia sebagai isteri lagi.”

Suhail mengangguk. Sememangnya isterinya telah memaklumkan lebih awal semalam. Sebab itu dia berusaha untuk pulang awal. “Kalaulah assignment Ustazah Hanizah tu takde..” gerutu hatinya.

“Tapi Suhail, aku rasa kau perlu lakukan sesuatu di sini.” Imran mengubah nada suaranya.

Kening Suhail terangkat sebelah. Biasanya, andai Imran merubah nada seperti itu, pasti ada sesuatu yang penting. Itulah kelebihan sahabat baiknya ini.

“Andai baginda Rasulullah s.a.w. mendengar cerita aku ni, apa yang baginda akan kata?”

Imran tersengih. “Ya, aku teringat mengenai satu hadis nabi s.a.w. yang aku baca dalam sahih Bukhari. Kau rujuk dalam kitab Iman...”

Daripada Ibn ‘Abbas r.a. telah berkata, bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda, “Aku telah melihat neraka, kebanyakkan penghuninya adalah wanita. Sahabat bertanya, “Mengapa wahai Rasulullah?” Baginda s.a.w. menjawab “ Kerana kekufuran mereka.” Baginda ditanya, “Apakah mereka kufur terhadap Allah?” Baginda bersabda “Mereka kufur terhadap suami dan mengingkari kebaikkan. Jika engkau berbuat baik kepada salah seorang dari mereka sepanjang masa. Kemudian dia menemukan sesuatu yang dia benci pada dirimu, maka dia akan berkata “ Aku sama sekali tidak pernah melihat kebaikkan pada dirimu.”

Suhail terdiam mendengar hadis tersebut. Ya, dia juga pernah membaca hadis itu.

“Setiap dari kita adalah pemimpin, dan akan dipertanggunggjawabkan atas rakyat yang dipimpin. Seorang lelaki adalah pemimpin kepada ahli keluarganya, dan dia akan ditanya mengenai tanggunggjawabnya itu...” Imran menyambung dengan sebuah lagi hadis yang diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim.

Suhail mengangguk tetapi masih lagi membisu.

“Allah s.w.t. juga telah berfirman dalam surah al-Tahrim ayat ke 6, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya adalah manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras dan kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.””


Imran tersenyum. Begitulah setiap kali Suhail datang meminta nasihat kepadanya, dia akan menyelitkan hadis dan ayat al-Quran yang dipelajarinya. Memandangkan mereka berdua sememangnya mahasiswa dari kos al-Quran dan as-Sunnah, jadi ia juga turut membantu mereka dalam pelajaran.

“Kau nampak perkaitannya?”

Suhail mengangguk.

“Apa yang kau nampak?” Imran mengusik.

“Kau memang saja nak aku bagi ceramah. Ni satu jam 10 ringgit ok?”

Imran tergelak. Terserlah kemesraan antara dua sahabat tersebut.

“Hadis dari Ibn ‘Abbas merujuk kepada perbuatan isteri aku yang terlepas kata. Semoga Allah melindungi kami sekeluarga dari azab-Nya. Dan aku sebagai ketua keluarga tidak sepatutnya membiarkan perbuatan tersebut berlalu dimamah masa. Di sini adalah tugas aku untuk mendidik dia agar perkara yang tidak disengajakan itu tidak berulang lagi. Dan takde la hati aku ni tercalar banyak kali.”

Suhail berhujah sambil diselitkan dengan nada bergurau.

“Kemudian dari surah al-Tahrim tu, Allah mengingatkan kita orang beriman untuk melindungi ahli keluarga kita dari menjadi bahan bakar api neraka. Na’uzubillah... Allah turut menceritakan bagaimana dasyatnya malaikat yang menjaga neraka dan bagaimana setianya mereka menjalankan arahan Allah. Dan pastinya, arahan itu adalah menyeksa ahli neraka, dan mereka tidak akan berasa belas kerana itu adalah arahan Allah...”

“Allahuakbar....” Imran menyambut.

Tiada lagi suara dari keduanya. Masing-masing kegerunan apabila mengingatkan perkara tersebut.

Ya Allah, lindungilah kami dan ahli keluarga kami dari menjadi bahan bakar api neraka. Sesungguhnya kami tidak mampu menanggung azab seksa-Mu, dan kami malu untuk meminta nikmat syurga-Mu. Hanya dengan rahmat-Mu, dengan kasih sayang-Mu, Kau himpunkanlah kami sekeluarga di dalam syurga.


Seminggu kemudian......


~ For the rest of my life...~

Telefon bimbit Imran berbunyi. Segera diangkat sebaik melihat nama yang tertera.

“Salam ‘alaik akhi Suhail. Keifa haluka?”

“Alhamdulillah, sehat, ceria, gembira... semua ada.”

“Ai, lain macam je jawapan kau ni. Ada apa-apa ke?”

“Subhanallah.... kau tahu Im, aku bakal jadi ayah. Rupanya selama ini isteri aku cepat moody disebabkan pembawaan budak dalam perut dia,” suara Suhail kedengaran ceria.

Alhamdulillah, semoga Allah mengurniakan kau zuriat yang soleh dan solehah sahabatku....



5/26/2010

Cerpen Belum Siap...

Konon pening nak sambung camne....


Aku tak tahu hendak ke mana lagi. Hanya di sini, di sini, di rumah Mu ini sahaja tempat yang bermain difikiranku. Semoga di sini aku diberikan panduan dikurniakan ketenangan....
***********************************************************************************
“Zam, kau nak ke mana tu?” Lim menyapa. Pemuda cina muslim berkaca mata itu datang menuju ke arahnya.
“Kau tak ke kelas hari ini?” Lim tersengih. Jam 10.30 pagi. Kelas Puan Hamidah akan bermula.
Aduh... malas sungguh nak masuk kelas madam kelate tu. Ade sahaja perkara yang hendak dibebelkan nanti.
“Jomlah. Madam dah cop muka kau tau sebab dah lebih tiga kali kau tak datang kelas.”
Dia beredar dari pemuda cina tersebut. Malas nak layan. Lim hanya menggelengkan kepala.
“Lim, kau kirim salam je la kat madam. Cakap dengan dia, bila aku ade mood nanti aku masuk kelas.”
Lim tertawa perlahan. Segera beransur. Takut kalau lewat nanti, habislah dirinya akan dibebel bak peluru mechine gun.
Suasana tasik yang damai itu sedikit pun tidak menarik perhatiannya. Fikirannya telah jauh mengembara ke satu tempat yang dia sendiri tidak tahu di mana. Dilabuhkan tubuhnya berbaring di bawah pokok. Tempat biasa dia melepak setiap kali fikirannya diselubungi rasa tidak selesa.
Riuh pelajar dari cafe seberang tasik menarik perhatiannya. Sekumpulan pelajar baru yang mendaftar hari ini kelihatan gembira. Barangkali seronok dapat beg percuma.
“Hari ni bolehlah korang seronok. Tengoklah 2,3 semester lagi, baru korang tahu rasanya...” bisik hati kecilnya.
Angin sepoi-sepoi bahasa menghembus. Membuat dirinya diulit lena dimanjakan sebegitu. Tenang seketika. Nyaman. Haa..... hilang resah dari hatinya. Terbang sudah beban yang difikirkannya sebentar tadi.
~Mana milik kitaa... tidak ada milik kitaa...~
Lagu ‘Mana Milik Kita’ nyanyian kumpulan Rabbani membingit memecah kedamaian yang baru sahaja mahu dinikmati.
“Helo, bro, kau nak apa?”
Diam. Diberikan tumpuan sepenuhnya kepada pemanggil tersebut.
“Ha, nanti je lah aku bagi. Assignment tu pun hantar hujung bulan ni kan. Aku busy lah sekarang ni.”
Terangkat sedikit suara si pemanggil. Namun tidak sempat si pemanggil menghabiskan kata-katanya, dia telah menekan butang off.
Dia merengus. Berbagai masalah yang menimbun dalam kotak ideanya yang sempit itu. Assignment itulah, assignment inilah... tempoh hari dia menerima beberapa surat amaran dari beberapa orang lecturer. Ada yang kerana ketidakhadirannya ke kelas termasuk madam kelate itu, dan ada yang kerana beberapa perkara yang lain.
Tangannya membentuk penumbuk lantas dilepaskan ke tanah sekuat hati.
“Aaaaaaaaah!!!!!!!” dilepaskan segenap suara dari halkumnya. Beberapa pelajar baru yang duduk di cafe tadi memandang ke arahnya. Biarkan. Biarkan mereka dengar. Suaranya yang kuat membelah tasik yang luas itu. Biarkan. Andai dengan itu dapat menghuraikan kecelaruan dan ketidakpuashatian yang membuku di dalam dada. Mahu sahaja dia menjerit lagi.
***********************************************************************************
UNTUK PERHATIAN!
CERPEN INI BELUM LENGKAP. BARU SEPARUH JALAN. ANDAI ADA DIKALANGAN SAHABAT YANG MEMBACA BOLEH BAGI IDEA CAMNE NAK BAGI ENDING OR JALAN CERITANYA,
AMAT DIALU-ALUKAN.... (^_^)

5/20/2010

Nilai Bagus atau Hati Hangus?

Penulisan ini adalah petikan dari isi kandungan buku "Kerana Cinta Harus Memilih" karangan Burhan Sodiq:

Nilai Bagus atau Hati Hangus?

Nilai bagus, siapa yang tidak ingin. semuanya prestasi, membawa nama sekolah atau dikenali sebagai mahasiswa yang pintar. tetapi posisi begini tidak mudah didapatkan. Kerana perlu bekerja keras, tekun belajar dan rajin mengulangkaji pelajaran. Menambah waktu belajar, mengikut kursus tambahan, mengambil tuisyen ke rumah dan persiapan yang lain.

Harus suka membaca buku, suka berdiskusi, suka dengan hal yang baharu, yang akan meransang fikiran untuk maju. tentu sahaja segala persiapan ini tidak boleh sambil lewa.

Apa lagi sambil berkasih. Keduanya merupakan dua mata wang yang berbeza. Prestasi harus didahulukan tetapi pasangan kita pasti meminta perhatian.

Tidak menjawab SMS menjadi kecoh. Tidak menjawab telefon, dicurigai macam-macam. Kita dianggap kasar, tidak prihatin, sudah lupa dan berbagai tuduhan lainnya. Pasangan kita selalu ingin bersamanya. Menemani harinya, baik bahagia apatah lagi ketika berduka. Lalu bagaimana caranya hendak memahamkan pasangan kita apabila kita berada pada kedudukan seperti itu sedang pasangan kita tidak mahu tahu masalah kita dan dia selalu menuntut haknya?

Di akhir cerita, kita yang kena semuanya. Hati hangus, dan prestasi pun turut hangus.


Pesanan Dalam Catatan:

Jangan mudah melafazkan cinta, takut kelak diri merana. Itulah peringatan yang sering diberikan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia cinta remaja. Cinta menjadi bahaya apabila ia disambut dengan rasa suka-suka, bukan rasa bertanggungjawab.

Sedarlah, kadangkala kita sangkakan ia cinta, tetapi sebenarnya ia hanyalah sekadar sebuah perasaan kagum terhadap individu yang kita sangka kita cinta. Barangkali kerana dia mempunyai iras wajah yang cantik, lalu kita kagum dengannya. Barangkali kerana kata-katanya memikat dan menawan sesiapa sahaja yang mendengarnya, maka kita katakan kita cinta.

Apakah sebegitu mudah rasa Cinta?

Banyak kes-kes masalah remaja yang gagal kerana cinta. Kalau kita lihat di dalam akhbar atau majalah, banyak kes-kes yang asalnya kerana cinta, akhirnya tamat dengan malapetaka. Remaja buang anak, remaja keguguran, remaja ditahan berkhalwat, remaja mahu bunuh diri, remaja bunuh diri.... Na'uzubillahi min zalik....

Inikah yang dikatakan Cinta Suci dan Sejati?? Sebegitu murah kalian menjual harga diri, menjual nyawa hanya kerana sesuatu yang kalian katakan cinta?

Bukalah mata, kalau saat ini, kalian sedang bercinta, tetapi kalian tidak seminit pun rasa tenang kerananya. Saban waktu kalian asyik berfikir tentang dia, membuatkan kalian tidak sempat membuat kerja yang lain. Akhirnya dimarahi para pensyarah, ibubapa dan ahli keluarga. Kalau kerana dia, setiap saat kalian gelisah, bagaimanakah keadaannya. Kalau hujan, apakah dia sedang basah kuyup? Apakah dia sudah makan? Apakah dia sedang mencari teman lain atau barangkali sedang merindukan diri kalian?

Hah! Setiap detik kalian hidup dalam kerisauan. Sedangkan sepatutnya cinta itu membawa ketenangan. Buka matamu luas-luas, yang menjauhkan ketenangan dari diri kita, dan mendekatkan diri kita dengan kegelisahan, jawapannya hanya satu. Itulah dosa. Kemaksiatan. Kerana diri kita semakin akrab dengan kancah penzinaan. Na'uzubillahi min zalik.....

Aku berpesan kepada diriku, dan juga kamu sahabat-sahabatku, aku nyatakan beberapa pilihan yang kalian boleh buat sebelum kalian terjun ke kancah percintaan.

Antara Ketenangan atau Kegelisahan?
Antara Pahala ataupun Dosa?
Antara Senyuman Ibubapa yang membawa ke Syurga
atau Lirikan Manja si dia yang membawa ke neraka?
Antara Redha Allah kerana siksanya kita,
atau Murka Allah kerana Cinta kita mendekati Zina?


Hari Ini Aku....


Hari ini aku menangis. Ya, aku menangis. Entah apa sebabnya aku tak tahu. Yang pasti air mata ini tetap mengalir biarpun ia hanya seketika. Saban hari meniti detik dan waktu yang tetap berlalu. Ia berlalu tanpa mempedulikan aku yang sedang terkontang kanting memikirkan cara mengisi waktu.

Barangkali ada dikalangan anda yang tertawa, bagaimana mungkin dengan masa yang banyak ini aku tidak punya sesuatu pun agenda untuk mengisi waktu. Ketahuilah, aku tidak menipu. Tidak satu pun agenda yang mampu aku fikirkan pada ketika ini. Setiap detik yang berlalu ku hiasi hanya dengan perkara yang membuang masa.

Ya, benar, hari ini air mataku mengalir. Biarpun tidak deras, tapi cukup membuatkan aku.....

Aku tak tahu, kenapa air mataku hari ini semurah itu untuk mencurah keluar di pipi. Membaca? Menulis? Aku tidak tahu. Fikiranku buntu. Membaca amat sukar untuk ku hayati. Menulis juga sukar untuk kutatapi. Aku tidak tahu mengapa seperti ini.

Barangkali, ini agaknya yang dirasakan oleh ayahku ketika saat dia baru sahaja pencen dari kerjayanya. manakan tidak, lebih dari 30 tahun bekerja, tiba-tiba pencen, duduk rumah.

Haa.... aku juga begitu. Kerap kali aku berbual dengan rakan-rakanku, tak kira melalui mesej, email atau ym, aku katakan kepada mereka, "Ketika belajar dulu, tiap hari nak duduk rumah, tapi bila dah duduk rumah, tiap hari rasanya nak belajar."

Allah.... inilah yang sering aku pesankan, "aturlah masa kita dengan sebaiknya, kerna masa itu setajam pedang, jika tidak mendahuluinya, maka kita pasti terluka dan cedera dek kerana penyesalan masa yang sudah."

Ya Allah... hari ini aku menangis. sudah lama juga aku tidak menangis, tapi hari ini, seperti sudah sampai kemuncaknya, dan tercurahlah air mata, merembes membuakkan rasa hati dan diri keluar. Meluahkan perasaan yang terbuku di dada. Aku kesuntukkan, bukan masa, tetapi idea. Bukan kesuntukkan diri, tetapi kesuntukkan jati diri. Aku, yang kini, semakin entah ke mana, buntu setiap masa. Membaca bukan lagi agenda. Menulis bukan satu perkara yang aku suka. Aku tidak benci, tetapi pandangan ku sepi pada dua medium pengisi masa sunyi ini.

Ya Allah... apakah aku sudah putus asa? Di mana fikrah dulu yang menghiasi mindaku? Ke mana mereka? Ke mana 'think positive'? Ke mana 'sikap terbuka'? Ke mana 'fikrah kreatif'?

Ya Allah, ketahuilah... hari ini aku menangis, dan aku tidak pasti apakah aku akan menangis lagi....


5/16/2010

ألا ياقلب لا تحزن





O' heart Don't be sad!!


O ! heart Do not be sad Your worldly existence is not deserved

O ! eyes Do not cry It is enough for a smart recollection

It is enough pain and injuries for us Sadness burning us

Forgetting sadness is our desire Rejoicing in future hope

If worries are lengthened It will be folded one day

Always Put in your mind With hardship goeth ease

If you abandon yourself to It You will be burned with Its flame

it is advice Stay away from it Stay away from its crisis

This world is difficult it requires patience and devotion

If you live safely forgiving sadness and affliction

O ! Allah YOUR Forgiveness O ! Allah our prayers for YOU


5/12/2010

Nostalgia K.U.I.S (2006-2009)

Baru-baru ni aku telah berpeluang untuk menyelongkar kotak album lama aku, tak ku sangka, aku menjumpai gambar-gambar lame yang dah hampir kecewa gak aku mencari sebelum ni. mana gambar kenangan aku mase kat simpang lima dulu, aku post dalam FB, kat sini just nak kongsi dua gambar yang best bagi aku...


Diploma al-Quds Semester 3 Sesi September 2007

serba serbi tentang batch kami.

September 2006 - Semester 1, ahli kelas 9 orang (5 lelaki 4 perempuan)
Mei 2007 - Semester 2, 9 orang (tambah seorang dari Usuluddin, die tukar kos and sorang muslimah keluar tukar kos ke dakwah)
September 2007 - Semester 3, 10 orang (tambah seorang n keluar seorang)
Mei 2008 - Semester 4, 9 orang ( 6 lelaki, 3 perempuan)
September 2008 - Semester 5, 8 orang (seorang lelaki berhenti belajar.... sedey)
Mei 2009 - Semester 6, hanya 8 orang (5 lelaki dan 3 perempuan)

Kredit kepada Nizam, Busyro, Rasyid, Akram, Kak Iza, Kak Ghah, Azhani




Kelab Perkim KUIS


Join mase short sem semester dua kerana kerja kemasyarakatan dalam subjek Madkhal Fi 'Ulum al-Da'wah

kekal sampai semester Lima, sempat merasa duduk bawah tiga kepimpinan

2007-2008 - Ridhuwan
2008-2009 (sekejap) -Yusuf Marlon
2008-2009 - Bukhari

Thanks kepada sume sahabat yang beri kerjasama.


5/09/2010

Seketika....



Semenjak dari stesen KL Central tadi aku memerhatikan dirinya. Dengan jubah dan purdah hitam yang menutupi wajahnya, sambil membawa beg galas kecil yang juga berwarna hitam, gelagatnya yang resah menanti komuter menjadi perhatianku.
Mataku menatap muslimah tersebut. Terasa kasihan melihat dirinya terpinga-pinga dihimpit oleh lelaki-lelaki ajnabi ketika merebut untuk masuk ke dalam koc komuter. Biasalah, waktu-waktu kemuncak seperti ini, pasti komuter penuh dengan manusia yang berhimpit hendak pulang setelah sehari suntuk memerah keringat untuk mencari nafkah.
Tetapi melihat dia tidak selesa kerana dihimpit oleh penumpang lelaki yang sememangnya tidak dapat mengelak, aku segera memanggilnya.
“Ukhti, di sini.”
Aku mempersilakan dirinya untuk berdiri di belakangku. Kebetulan tadi aku sempat merebut tempat di tepi dinding. Sekurang-kurangnya, apabila dia berdiri dibelakangku, dia tidak perlu berhimpit ditengah-tengah lautan penumpang tersebut. Tambahan pula dengan tubuh badanku yang besar, boleh menjadi tembok penghalang baginya. Hahaha, macam superhero je rasa.
Biarpun niat dihati sebenarnya hendak melihat ke luar tingkap sambil menikmati pemandangan dari dalam gerabak komuter yang bergerak ini. Namun ku hapuskan niatku itu memandangkan tugasku (menjadi tembok) dan perasan segan kerana jika aku hendak melihat ke luar bermakna aku perlu menoleh kebelakangku. Aduh….
“Kenapa tidak ke gerabak tengah?” Aku menegur tanpa menoleh.
Buat beberapa ketika, tiada jawapan dari empunya diri. Aku pun berdiam diri. Mungkin dia tak dengar.
“Maaf, awak cakap dengan saya ke?” perlahan dia bertanya. Hampir saja aku menoleh.
“Ya. Kenapa tidak ke gerabak tengah?”
“Kenapa dengan gerabak tengah?”
“Awak tak tahu? Gerabak tengah tu disediakan khas untuk muslimah.”
Diam. Barangkali dia terkejut agaknya.
“Betul?”
Aku tersenyum. Masakan aku mahu menipu. Syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menyediakan koc khas untuk kaum wanita bagi laluan Pelabuhan Klang ke Sentul. Mulanya aku tak sedar. Tetapi ketika di stesen UKM dan Serdang tadi, aku perasan yang tiang dikawasan menunggu bahagian tengah di warnakan dengan merah jambu, barulah aku teringat mengenai usaha KTMB tersebut.
“Yupz, just for women and girls.” Aku menoleh sambil tersenyum. Seketika aku tersentak apabila melihat dia merenung aku. Detik waktu bagaikan terhenti apabila mata kami bertemu. Serentak dan spontan kepala menoleh kehadapan. Dan aku perasan, dia juga serentak menundukkan pandangannya.
Diam tidak berkata. Bagaikan koc yang riuh rendah dengan perbualan penumpang lain menjadi sunyi sepi bagai merai peristiwa yang berapa ketika terjadi tadi. Entah, aku tak tahu kenapa.
“Astaghfirullah…” terhembus perlahan doaku memohon keampunan. Segera sebelah tanganku meraup wajah. Simbolik dibuang jauh-jauh khayalan yang bukan-bukan.
“Stesen Subang Jaya. Stesen Subang Jaya.”
Jam ditangan menunjukkan kepada angka lima. Aduh, maknanya sudah hampir satu jam setengah aku berdiri. Dari Bangi hinggalah ke Subang Jaya. Dan aku jangkakan pastinya aku tetap berdiri sampai ke destinasiku iaitu Klang.
“Maaf, sekejap lagi saya nak turun.”
“Ah, baik.” Aku bersiap untuk memberikan laluan. Penumpang yang ramai tadi semakin berkurang. Kebanyakkan mereka keluar ketika di Subang Jaya tadi. Biarpun begitu, masih tiada tanda yang aku akan berpeluang untuk duduk.
“Turun di Batu Tiga?”
“Tak, turun dekat Shah Alam.”
Aku mengangguk.
“Lain kali jangan lupa masuk gerabak tengah. Mudah dan selamat.” Aku tersenyum. Tetapi tidak berani untuk menoleh.
“Insya Allah. Thanks for the reminder.”
“My pleasure.”
“Stesen Shah Alam. Stesen Shah Alam.”
Segera aku bergerak menuju ke pintu. Membuka laluan untuk muslimah berpurdah tersebut. Beberapa penumpang lelaki segera mengelak ke tepi, barangkali takut dilanggar oleh bodyguard sukarela yang baru dilantik ini. Hahaha….
“Terima kasih.”
Sempat dia mengucapkannya ketika melangkah keluar. Mataku bagai terlekap untuk memandang dirinya. Dan seperti aku, dia juga menanti melihat diriku. Sehingga pandangan kami berlalu, seperti mana komuter tersebut yang semakin jauh dari stesen itu.
Ya, satu kenangan yang indah buatku. Biarpun tidak dapat berkenalan dengannya, Alhamdulillah… Pasti ada hikmah. Tetapi yang pasti, itu kali pertama aku merasakan sedemikian. Pertemuan yang cukup singkat, tetapi amat mendebarkan.
Adakah ini cinta? Wallahu’alam, aku tak mahu menafsirkannya seperti itu. Hanya Allah yang tahu, dan aku berdoa agar DIA terus menjaga diriku dari kitaran godaan nafsu. Amin…


5/08/2010

Forgive Me - Ahmed Bukhatir