RSS
Facebook
Twitter

8/06/2012

Iftirasy & Tawarruk


“Seorang imam, berbadan besar sedang memimpin jemaah solatnya dalam rakaat terakhir. Dan ketika Tahiyyat Akhir, dilihat imam tersebut melaksanakan duduk Tahiyyat Akhirnya dengan meletakkan punggungnya di atas kaki kiri tidak seperti orang lain yang meletakkan punggung di atas tanah. Lalu dilemparkan pertanyaan kepada imam tersebut. Namun begitu, jawapan imam tersebut tidak memuaskan hatinya.”

Seseorang telah bertanya kepada D.K. dengan memberikan situasi seperti yang disebutkan tadi. Ya, sebagai seorang yang juga berbadan besar dan sihat, kami mengalami kesukaran untuk menyempurnakan duduk ketika Tahiyyat Akhir dengan meletakkan punggung di atas tanah.

Pertama, apabila kami melakukan seperti itu, kami akan cepat mengah, tambahan pula untuk menampung berat badan (kerana badan akan senget ke kiri dan jika tidak tahan akan merebah), ada sesetengah makmum badan besar yang D.K. perhatikan sehingga menggigil menahannya.


Duduk Iftirasy ( إفتراش ) & duduk Tawarruk ( تورك )

Terdapat dua jenis duduk yang menjadi rukun di dalam solat. Yang pertama duduk antara dua sujud dan yang kedua duduk akhir (Tahiyyat Akhir).

Duduk Tahiyyat Awal tidak termasuk dalam rukun solat, namun begitu jika meninggalkannya, perlu dilakukan sujud sahwi ( سجود سحو ) [1].

Sheikh Nasiruddin al-Albani menyebut di dalam bukunya “ Sifat Shalat al-Nabi” pada bab “Tasyahhud Awal”:

“Kemudian nabi SAW duduk Iftirasy sepertimana yang dilakukan ketika duduk di antara dua sujud, pada rakaat kedua seperti solat subuh dan begitu juga duduk pada Tahiyyat Awal bagi solat 3 rakaat solat maghrib atau 4 rakaat seperti solat zohor.”[2]

Berdasarkan kata-kata sheikh, menunjukkan baginda Rasulullah SAW melakukan duduk Iftirasy pada rakaat terakhir bagi solat 2 rakaat, dan ketika Tahiyyat Awal bagi solat 3 dan 4 rakaat serta duduk antara dua sujud.

Persoalannya, bagaimana dengan Tahiyyat Akhir bagi solat 3 dan 4 rakaat? Apa yang dimaksudkan dengan duduk Iftirasy?


Apa dia duduk Iftirasy?

عن عائشة قالت: (( وكان يفرش رجله اليسرى و ينصب رجله اليمنى))

Maksudnya:  Aisyah RA telah berkata: “ Beralaskan kaki kiri dan menegakkan kaki kanan”. [3]

Duduk Iftirasy; duduk atas kaki sebelah kiri (gambar hiasan)

Imam al-Syirbini berkata:  “Disunatkan pada duduk Tahiyyat Awal dengan duduk Iftirasy, duduk di atas buku lali kirinya dan menegakkan kaki kanannya dengan meletakkan pada hujung jari kakinya.” [4]

Sama seperti yang disebutkan oleh pengarang kitab Al-Fiqh al-Manhaji [5].

Namun begitu di dalam hadis Abu Humayd al-Saa’adi RA:

أنا كنت أحفظكم لصلاة رسول الله ... وفيه: فإذا جلس في الركعتين جلس على رجله يسرى، ونصب اليمنى، وإذا جلس في الركعة الاخرة قدم رجله اليسرى، ونصب اليمنى، وقعد على مقعدته. [6].ـ

Maksudnya: Aku merupakan orang yang paling memerhati solat Rasulullah SAW... Dalam hadis tersebut beliau menceritakan: Apabila Rasulullah SAW duduk pada dua rakaat pertama, baginda SAW duduk di atas kaki kirinya dan mendirikan kaki kanan. Apabila baginda SAW duduk pada rakaat akhir, baginda SAW menghulurkan kaki kirinya dan mendirikan kaki kanan sambil duduk di atas papan punggungnya [7].

Berdasarkan hadis Abu Humayd, baginda Rasulullah SAW duduk Iftirasy pada dua rakaat pertama namun tidak pada tahiyyat akhir. Kerana pada tahiyyat akhir, baginda SAW telah duduk di atas punggungnya bukan di atas buku lali kirinya.

Kaedah kedua yang baginda SAW lakukan itu (duduk di atas punggung) adalah duduk Tawarruk.

Tawarruk adalah sama seperti Iftirasy, akan tetapi dikeluarkan kaki kirinya ke sebelah kaki kanannya dan mencantumkan punggungnya ke bumi [8].

Duduk Tawarruk; punggung cecah ke lantai (gambar hiasan)
Kedua-duanya adalah sunat

Terdapat banyak lagi hadis-hadis baginda Rasulullah SAW yang menyebut mengenai kaedah duduk dalam solat. Namun begitu setelah D.K. teliti, D.K. dapati perbahasan mengenai tajuk ini terletak di bawah bab “Perkara sunat dalam solat”.

Bahkan pengarang Al-Mughni al-Muhtaj, pengarang Shahih Fiqh al-Sunnah dan pengarang Al-Fiqh al-Manhaji, kesemuanya meletakkan perbincangan mengenai duduk Iftirasy dan duduk Tawarruk ini di dalam bab sunat dalam solat.

Merujuk kepada situasi yang dilontarkan kepada D.K. awal tadi, D.K. berpendapat, tiada masalah jika imam tersebut memilih untuk duduk Iftirasy, namun begitu dia perlu mempunyai usaha untuk duduk Tawarruk dengan sebaik mungkin. Berdasarkan kenyataan sheikh al-Albani yang menyatakan baginda Rasulullah SAW hanya melakukan Iftirasy pada duduk rakaat akhir dalam solat 2 rakaat sahaja, tidak pada solat 3 dan 4 rakaat.

Sheikh Masyhur berkata: “Tiada masalah sama ada mahu melakukannya atau meninggalkannya, akan tetapi beramal dengan sunnah itu lebih baik” [9].

Boleh jadikan perkara ini sebagai satu motivasi untuk menjadi lebih sihat dan mendapat tubuh yang cergas. Namun begitu perlu diingat, terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan berkaitan dengan duduk Tawarruk.

Sheikh Masyhur menambah, “dibolehkan untuk duduk Tawarruk pada Tahiyyat Akhir bagi solat 3 dan 4 rakaat sekiranya perbuatan tersebut tidak menyempitkan orang yang sedang bersolat di sebelah[10].

Ketika melakukan penelitian ini, D.K. hanya menggunakan beberapa buah kitab sahaja sebagai rujukan. Antaranya:

1. Al-Mughni al-Muhtaj karangan Imam Syamsuddin al-Syirbini.
2. Al-Fiqh al-Manhaji karangan bersama Dr. Mustafa Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji.
3. Sifat Shalat al-Nabi karangan Sheikh Nasiruddin al-Albani.
4. Shahih Fiqh al-Sunnah karangan Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim.
5. Al-Qaul al-Mubin fi al-Akhta’ al-Musollin karangan Masyhur Hassan Salman
6. Kitab Fikah Mazhab Syafie diterjemah oleh asatizah di Malaysia (rujukan untuk terjemahan).

Dengan kata lain, jika sahabat-sahabat yang membaca mempunyai fakta yang lebih jelas sama ada berbentuk sokongan mahupun teguran dari sumber-sumber yang lain, kongsikan bersama dengan D.K. untuk manfaat bersama.

Makmum yang bertanya tadi tidak berpuas hati apabila imam itu memberi alasan, jika dia duduk Tawarruk, maka tubuh akan beralih ke kiri dan dia tidak dapat pahala sunat mengadap kiblat.

Jangan salah faham, mengadap kiblat bukanlah perkara yang sunat dalam solat, akan tetapi ia merupakan salah satu syarat sah dalam solat. Maknanya jika kita tidak mengadap kiblat, maka tidak sah hukumnya solat tersebut!

Wallahu’alam...


Rujukan:

[1] Al-Mughni al-Muhtaj, Imam Syamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Juz 1, Dar al-Fayha’, halaman 570.

[2] Sifat Shalat al-Nabi, Muhammad Nasiruddin al-Albani, Maktabah al-Ma’arif Li al-Nasyr Wa Tauzi’, halaman 136.

[3] Hadis riwayat Muslim (498) dan Abu Daud (768). Rujuk Shahih Fiqh al-Sunnah, Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim, Maktabah Tawfiqiyyah, Juz 1, halaman 346.

[4] Al-Mughni al-Muhtaj, Op. Cit., halaman 471 & 472.

[5] Al-Fiqh al-Manhaji, Dr. Mustafa Khin; Dr. Mustafa al-Bugha; ‘Ali al-Syarbaji, Dar al-Qalam, Juz 1, halaman 155.

[6] Hadis riwayat Bukhari (794). Rujuk Ibid., halaman 155.

[7] Kita Fikah Mazhab Syafie, Pustaka Salam, Juz 1, halaman 187.

[8] Al-Mughni al-Muhtaj, Op. Cit., halaman 472.

[9] Al-Qaul al-Mubin fi al-Akhta’ al-Musollin, Masyhur Hassan Salman, Dar Ibnu Qayyim, halaman 160.

[10] Ibid., halaman 160.