RSS
Facebook
Twitter

5/28/2012

Emosional & Rasional


Sebelum mata lena, sebelum minda berehat buat sementara, tergerak hati untuk menggerakkan jari, mencatit idea...

Alhamdulillah, sebaik tamat kertas peperiksaan terakhir pada Sabtu lepas, saya mengorak langkah menuju ke ‘Abdali & Balad di Amman hari ini (hari Ahad) yang mana perjalanan mengambil masa selama 2 jam dari Mu’tah. Dan pastinya seperti biasa, objektif saya bermusafir pastinya untuk berkunjung ke maktabah-maktabah yang telah lama saya tidak menjejakkan kaki.

Sepanjang perjalanan menuju ke Amman, saya mencuri peluang untuk menelaah buku Susan Jeffers yang masih belum saya tamatkan pembacaannya. Mujur juga sepanjang perjalanan dengan bas yang tidak bertingkap itu, hanya sekali dua sahaja penumpang arab yang menghisap rokok. Jadi saya dapat memberikan fokus yang sepenuhnya mengadap buku tersebut.


Chapter 6: When “They” Don’t Want You To Grow.

Secara ringkas chapter ini mengulas mengenai persekitaran kita yang tidak memberi sokongan penuh dalam proses kita memperbaiki diri. Susan Jeffers cuba mengajak pembaca untuk ‘think wisely’ dengan menggunakan prinsip ‘win-win’ dalam berhadapan dengan mereka yang tidak membantu dan sering memberi komen-komen provokasi kepada kita.

Perkara ini membuatkan saya teringat perbualan saya dengan seorang sahabat tempoh hari.

“Akh, boleh tak bagikan hujah macam mana saya nak lawan kenyataan kawan saya ni?” ujarnya dalam facebook

“Apa dia kata?” balas saya ringkas. 

“Kawan saya kata, buat apa belajar jauh-jauh ke luar negara? Tak cukup lagi ke universiti yang ada dalam Malaysia ni?” Saya mengandaikan dia mengeluarkan kata-kata ini dengan nada yang marah dan tidak berpuas hati. 

Saya tersenyum. 

“Tanyakan pada dia, pernah tak dia bercita-cita untuk melancong ke luar negara. Hujah susulan pasti tahu nak buat macam mana kan?” saya membalas dengan selamba. Walaupun sebenarnya komunikasi kami sekadar di facebook sahaja. 

“Hehehe, terima kasih akh, sebab masa tu bengang sangat dengan kenyataan kawan saya tu, jadi emosi sikit. Tak boleh dah nak fikir hujah nak patahkan dia.” 

Saya tersenyum apabila teringat akan perbualan kami dan apabila membaca apa yang Susan Jeffers sampaikan dalam “Feel The Fear... and Do It Anyway”. Ada beberapa perkara yang saya tertarik untuk mengajak sahabat semua, kita sama-sama fikirkan mengenainya. 

Pertama: Susan Jeffer memberi beberapa situasi dan contoh jawapan yang dikaitkan dengan kaedah ‘win-win’

Mom: “You’ll never make it out there on your own.” 

Lose-lose: “Mind your own business mom. I’ll do as I please!” 

Win-win: “Thank you for your concern, Mom. But I have so much faith in myself, I know that whatever comes up, I’ll handle it. I’d like you to have more faith in me too. It would really help e a lot.” 

Jawapan win-win itu jelas. Menampilkan keyakinan kita pada diri sendiri, juga keinginan kita mahukan ibu kita memberi sokongan moral kepada kita. Tidak perlu berbalah atau memaksa mereka memahami kehendak kita.

Lihat anak-anak kecil. Apabila mereka inginkan sesuatu, atau mahu ibubapa mereka memahami kehendak mereka, mereka akan merengek dan menangis, bahkan kadangkala akan menunjuk sifat protes seperti menghentak kaki ke lantai atau membaling alat mainan sehinggalah kehendak mereka dipenuhi.

Saya cuba kaitkan dengan apa yang berlaku dengan sahabat saya ini. Dia mengadu kepada saya betapa sakit hatinya mendengar kata-kata rakannya itu. Betapa geram dan marahnya dia sehingga membuntukan fikirannya untuk mematahkan kata-kata tersebut. 

Saya menghulurkan kepada sahabat saya dua bentuk jawapan. 

Yang pertama, seperti mana di atas, ‘tanyakan kepada dia pernahkah dia mengimpikan untuk melancong ke luar negara?” 

Dan yang kedua, saya kata, “Haah, sebenarnya memang sama pun belajar dalam Malaysia mahupun luar negara. Sebab yang membezakan antara keduanya adalah usaha. Kalau ada usaha, adalah hasilnya.” 

Dan saya lebih cenderung untuk jawapan yang kedua. Kerana jawapan pertama lebih berbentuk provokasi (yang kedua pun sebenarnya ada juga, tapi saya kira yang kedua kurang sikit kot provokasinya. KOT). Akan tetapi tiada masalah untuk pilih yang mana satu pun, hanya ingin saya kongsikan beberapa kata-kata yang saya petik dari Susan Jeffers: 

“Whenever we get upset at the comments of loved ones, it is a clue we are still acting like a child.” 

“Instead of wanting to throttle your loved ones when they give you a hard time, it is better to look at them as mirrors of what you still need to work on in terms of your personal growth.” 

Petikan dari buku “Aikido in Everyday Life” oleh Terry Dobson & Victor Miller: 

“The best victory is the one in which everyone wins.” 

Oleh itu, kita semua kena berhati-hati dalam bertindak memilih emosi. Sentiasa letakkan riak emosi senyuman sebagai pilihan pertama sebelum kita pilih reaksi marah atau sedih untuk memberi respon kepada mereka. 

Dan saya sentiasa pujuk diri saya (Insya Allah, mudah-mudahan berkekalan) jika saya rasa ingin marah atau kecewa, “Buat apa nak marah-marah? Tahu tak kalau kau marah, kau akan penat. Banyak tenaga kena guna. Baik senyum je, sempoi dan relek, takde nak peluh banyak-banyak.”

Nasihat saya kepada kita yang baru nak belajar kawal emosi:

“Ambil sebiji limau yang masam. Makan seulas demi seulas isinya dengan perlahan dan penuh penghayatan. Makan tanpa mengerutkan dahi, atau mengeluarkan patah kata seperti “erk, masamnya” atau sekadar “erk...”. Kalau boleh usahakan untuk tersenyum ketika makan tu. Senyuman mestilah semanis gula atau lebih lagi baik!”

Ini hanya teori, saya sendiri pun tak pernah cuba lagi. Insya Allah, jom kita sama-sama cuba, mudah-mudahan lepas ini kita mampu kekal rasional walaupun dalam situasi yang emosional (^^,).

Ps: Alhamdulillah, dapat juga tambah beberapa koleksi buku untuk dibaca. Sekadar berkongsi tajuk buku yang dapat di beli. 

“Psychology from the Islamic perspective” – Dr Aisha Utz 
“Muhammad as if you can see him” – Dr ‘Aid al-Qarni 
“You can be the happiest woman in the world” – Dr ‘Aid al-Qarni
 “الفتنة بين الصحابة” – Sheikh Muhammad Hassan 

Dan beberapa lagi buku. Doakan saya dapat khatamkan semua ni dengan jayanya (^^,).

Wallahu’alam....

5/02/2012

Cerita Hari Lahir

 
Sebelum ini D.K. ada mengulas mengenai sambutan hari kelahiran. Dan ada sahabat yang memberi komen mengatakan ada hadis baginda Rasulullah s.a.w. yang menyambut hari kelahiran baginda dengan berpuasa.

Alhamdulillah, D.K. telah membuat sedikit penelitian mengenai kenyataan tersebut dan hasilnya, D.K. menemui hadis yang menceritakan mengenai perkara ini.

عن أبي قتادة الأنصاري رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل عن صوم الإثنين فقال
 [1] (( فيه ولدت وفيه أنزل علي ))

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Qatadah al-Anshari r.a., bahawa sesungguhnya Rasullah s.a.w. ditanya mengenai puasa pada hari Isnin, maka baginda bersabda: (( Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan wahyu kepadaku))

Hadis tersebut diriwayatkan dengan taraf shahih oleh Imam Muslim [2], salah seorang 'maharaja' hadis yang terkemuka. 

Imam al-Qadhi 'Iyadh berkata: "Kenyataan baginda mengenai 'padanya aku dilahirkan dan padanya aku diutuskan' hanya berlaku pada hari Isnin tanpa menyebut hari Khamis. Namun begitu terdapat dalam riwayat daripada Syu'bah menyebut hari Khamis, akan tetapi Imam Muslim meninggalkannya." [3]

Jika diteliti semula hadis tersebut, berserta kenyataan Imam al-Qadhi 'Iyadh, kita akan dapati fokus perbincangan hadis tersebut adalah kepada PUASA HARI ISNIN. Langsung tiada kena mengena dengan hari kelahiran baginda s.a.w. Hanya apabila Rasulullah s.a.w. ditanya mengenai puasa hari Isnin, baginda menjawab, "pada hari Isnin ini aku dilahirkan dan diutuskan (diturunkan ke atasku wahyu).

إن النبي صلى الله عليه وسلم سئل عن صيام يوم الاثنين، ولم يسأل عن صيام يوم الثاني عشر من ربيع الأول، فالعلة إذًا: تخصيص يوم الاثنين، بالصيام، وليس تخصيص يوم الثاني عشر من ربيع الأول بالصيام

Maksudnya: "Sesungguhnya Nabi s.a.w. ditanya mengenai puasa hari Isnin, tidak ditanya mengenai puasa pada 12 Rabi'ul Awwal, maka 'illahnya adalah, hari Isnin adalah penyebab berpuasa, bukan kerana 12 Rabi'ul Awwal yang menjadi penyebab puasa.[4]

Dan Rasulullah s.a.w. juga menyebut peristiwa-peristiwa lain yang turut berlaku pada hari Isnin seperti hari beliau diturunkan wahyu dan diutuskan sebagai nabi.


 Pandangan Sheikh Shalih al-'Uthaimin...

Sheikh Shalih al-'Uthaimin dalam bukunya "al-Halal wa al-Haram" berkata:

"Tidak ada perayaan bagi orang Islam itu melainkan sambutan hari Jumaat, hari raya 'Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha. Sedangkan sambutan hari lahir dan ulang tahun pernikahan merupakan perkara yang tidak disebut dalam syara' bahkan ia adalah satu perkara baru yang hukumnya dekat dengan 'ibahah' (diharuskan). [5]

Namun begitu, beliau juga menyebut bahawa perayaan seperti ini (hari lahir dan ulang tahun pernikahan) adalah dilarang kerana tiada sambutan dalam Islam melainkan sambutan pada 3 hari yang disebutkan sebelum ini. Seperti mana hadis baginda s.a.w.:

عن أنس ابن مالك رضي الله عنه قال (( كان لأهل الجاهلية يومان في كل سنة يلعبون فيهما فلما قدم النبي المدينة قال: كان لكم يومان تلعبون فيهما وقد أبدلكم الله بهما خيرا منهما يوم الفطر ويوم الأضحى ))

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: ((Ketika di zaman jahiliyyah dahulu terdapat dua hari yang dirayakan pada setiap tahun, apabila baginda nabi s.a.w. tiba ke Madinah, baginda bersabda: "Sebelum ini terdapat dua hari yang kamu raikan padanya, sesungguhnya Allah s.w.t. telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik, iaitu 'Eid al-Fitr dan 'Eid al-Adha [6]"


 Sambutan Hari Lahir bukan adat kita...

D.K. tertarik dengan kenyataan Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya "Fatawa Mu'asharah" ketika beliau mengulas mengenai sambutan Hari Ibu:

"Sambutan Hari Ibu ini dicetuskan oleh orang barat kerana keadaan mereka di sana yang tidak mengambil berat mengenai perihal kekeluargaan, tidak berhubung dengan ibu dan bapa, bahkan mereka hanya mementingkan diri mereka sendiri. Anak lelaki mencari teman wanita dan begitu juga sebaliknya, mereka langsung tidak mengambil berat mengenai orang tua mereka."[7]

Kerana masalah seperti itu, barat mengambil keputusan untuk mengadakan satu hari dengan memilih tarikh tertentu sebagai sambutan penghargaan. Sebagai contoh Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Kanak-kanak dan sebagainya.

Dan D.K. berpendapat, keadaan ini tiada bezanya dengan sambutan Hari Lahir, kerana di tempat mereka amat kurang istilah penghargaan, maka mereka menjadikan tarikh kelahiran sebagai tarikh keramat untuk menghargai individu-individu tertentu.

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata:

"Aku tidak mengatakan yang menyambut Hari Ibu ini haram, kerana tiada nas mengharamkannya dan hukum asal bagi suatu adat itu adalah harus. Akan tetapi kami tidak menyukai perkara ini..."

Beliau menyandarkan kebencian beliau itu dengan hadis baginda s.a.w.:

عن أبي سعيد الخدري عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (( لتتبعن سنن من كان قبلكم شبراً بشبر وذراعاً بذراع حتى لو دخلوا جحر ضب تبعتموهم. قلنا: يا رسول الله، اليهود والنصارى؟ قال: فمن؟ )) [8]

Maksudnya: Daripada Abi Sa'id al-Khudri r.a. bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda: "Sesungguhnya kamu akan menurut langkah orang terdahulu dari kamu sejengkal demi dejenkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah bila mereka masuk lubang dhab sekalipun kamu turut menurutnya. Para sahabat bertanya: Adakah yang dituruti itu Yahudi dan Nasrani? Rasulullah s.a.w. lantas menjawab, bahkan siapa lagi?


Ihtiyat (berhati-hati) dalam beramal...


Berdasarkan hadis Abi Sa'id al-Khudri ini, D.K. berpendapat agar kita mengambil langkah berjaga-jaga agar kita tidak turut menjejaki langkah mereka (Yahudi & Nasrani). Akan ada suara-suara kecil yang mengatakan,

"Benda baik, apa salahnya kita teruskan."

"Kita buat ni pun bukan sebab kita nak ikut mereka, tapi sebab kita nak menghargai kehadiran orang yang disayangi."

"Hari Lahir ni kita sambut sebab kita rasa bersyukur kepada tuhan, jadi takkan itu pun salah?"

Dan macam-macam lagi.

Hanya yang D.K. mahu katakan, kita boleh bagi sejuta alasan. Akan tetapi, D.K. minta agar kita diam sejenak dan fikirkan, antara amalan kebaikan yang memang jelas berteraskan al-Quran & as-Sunnah, dengan amalan kebaikan yang berteraskan adat yang tidak diketahui asal usulnya, yang mana lebih diredhai Yang Maha Mengetahui segala-galanya?

Kalian berhak menilai, mengkaji bahkan meneliti, D.K. doakan agar penelitian dan pengkajian kita sentiasa tetap berteras hujah ilmiah dan bukti jelas dari al-Quran & as-Sunnah.

Dan dalam isu sambutan Hari Lahir ini, D.K. bertegas untuk mengatakan TIADA SAMBUTAN HARI LAHIR DALAM ISLAM.

Wallahu'alam....



Sumber kajian & penelitian:

[1] Diriwayatkan dalam Shahih Muslim (2807), Sunan Abi Daud (2428) & Musnad Ahmad (22603).
[2] Beliau adalah Muslim bin Hajjaj al-Naysaburi. Dilahirkan pada 202/206H & wafat pada 261H. Merupakan salah seorang muhaddis yang terkenal dengan kitab shahihnya.
[3] "Shahih Muslim bi syarhi imam an-Nawawi", jilid 3, terbitan Dar al-'Ulum al-Insani, ms 1182.
[5] "al-Halal wa al-Haram", Muhammad Shalih al-'Uthaimin, terbitan Dar al-Tawfiqiyyah al-Turath, Bab Hukum menyambut Hari Lahir & Hari Ulangtahun Perkahwinan, ms 317.
[6] Diriwayatkan dalam Sunan an-Nasa'ie, kitab 'shalah al-'Eidayn' no 1556 (Maktabah Syamilah) Dishahihkan oleh al-Albani.
[7] "Fatawa Mu'ashirah", Dr Yusuf al-Qaradhawi, jilid 4, terbitan Dar al-Qalam, bab 'Hukum menyambut Hari Ibu', ms 505
[8] Diriwayatkan dalam Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim (6952), Sunan Ibnu Majah (3994) dan Musnad Ahmad (11817). (Maktabah Syamilah)