RSS
Facebook
Twitter

4/25/2011

Sajak-Sajak Kita....


Bunga Syria, Bunga Malaysia

Empat musim indah di Syria
Kemuncak keindahannya di musim bunga
Mekar si tulip kembang megah
Memandang padanya, jemu tidak pernah

Riang kawanan burung, gembira beterbangan
Merai hadir bunga Syria yang indah mekar
Kekupu dan Rerama mencuit, mengusik manja
kelopak tulip kuning dan mawar Syria merah,
meraih rindu, mahu memetiknya

Angin Syam sepoi menyapa
Menolak lirikan mata sampai pada bunga Syria
Indah dan mempersonakan
Tetapi hati menafikan dan menahan
Kerana bunga Malaysia sudah tertanam di dalam taman



Dalam perjalanan ke Ma'ahad Fatah Islami,
Dalam teksi,
25 April 2011
Jam 1100,



-------------------------------------------


Permainan Bahasa

Indah permainan bahasa
Di riak wajah gaya marah
Namun di bibir tenang tiada amarah
Yang mendengar terasa tegas terpana

Indah permainan bahasa
Di hati sayu, sedih dan hiba
Lahir bicaranya tenang, menenangkan jiwa
Menggamit janti tuhan Yang Maha Esa,
Bahawa DIA sentiasa bersama
Dengan hamba-Nya yang bersabar

Indah permainan bahasa
Nasihat di lafaz, tidak mencalar rasa
Menyapa pendengar penuh hikmah
Tidak terketik nafsu amarah
Pendakwah bijak dan berhikmah
Tuntutan agama


Jazmatiyyah, Dimasyq
25 April 2011
Jam 0200


-------------------------------------------

Hikayat Murai

Hari itu berlalu
Senja jingga berlalu dan berpaling pergi
Berganti gelita hitam malam
Tanpa purnama mahupun berbintang
Si kecil Murai terpinga terpana
Panaannya bertukar menjadi sendu hiba
Empangan air mata deras mengalir
tanpa deru kerana menahan sendu

Pepohon tempat Murai bermain riang
Tempat dia dan keluarganya bersarang
Hancur dan musnah di mamah kesan perang
Murai terkulai lemah
Hanya mampu melihat mereka tertawa suka
Berseronok tatkala yang lain sengsara

Zalim manusia, mematah sayap bahagia
Pupus sudah kicauan anak kecilnya
Murai kesepian keseorangan tanpa peneman
Di tengah badai peperangan
Murai bercicipan, Datang manusia durjana
Melepaskan nafas terakhirnya

Mereka berebut kudrat dan kuasa
Biarpun nyawa yang lemah tidak berdaya
gugur sia-sia
Tetapi nikmat dunia membutakan mata

Saat nafas terakhir dijemput Izrail
Murai bertanya di hati kecil
"Kekuatan itu anugerah Tuhan
tetapi mengapa Manusia menggunakannya
umpama Syaitan!!!?"


Jazmatiyyah, Dimasyq
25 April 2011
Jam 0146

4/23/2011

Sedikit Khabar dan Sajak.....




Sajak Pertama

Bergetar segenap sendi
Pabila dingin air di kali
mencicipi tubuh setiap inci
Saat angkasa raya bergema
Dengan kokokan si jantan perkasa

Siak memukul beduk renta yang sedang mereput tua
Terungkai mimpi dalam lena
Tak terkalah mata dari si laknat syaitan durjana

Maka bangkit si insan lemah
Mensucikan diri, bersiap untuk mengadap Illahi

Selagi hayat dikandung badan
Selagi nyawa dikait ketat dengan iman
Doa dan tawakkal menjadi ikatan
Antara si hamba dan rencah kehidupan


Jazmatiyyah, Dimasyq
23 April 2011
Jam 0545


-------------------------------------

Sajak Kedua

Terhapus damai kerana takabbur
Pemegang kuasa mendamik dada
Mencarik bahagia manusia lemah
Maka meretak dan terburailah genangan kolam air mata

Bergerentaman kasar paluan peluru dan senjata
Si kecil menekup telinganya, berlari ke sana ke mari menyelamatkan nyawa
Terketar tubuhnya tatkala peluru menghiris lengan putihnya
Membuak keluar merah pekat darah
Nyaring rintihan si anak kecil yang semakin lama semakin pudar

Namun bara perjuangan pemuda tidak sekali akan pudar
Semakin dihenyak semakin terbakar jiwa penuntut merdeka
Hatta bilahan pedang dan kepala peluru tertancap di nyawa
Tidak sesekali kita berputih mata
Menagih damai yang telah tercalar

Titisan demi titisan merah darah membasahi tanah
Angkara tangan durjana pengkhianat amanah

Bangun alim ulama melempar pena, melaungkan bicara
Meminta berundur, ditegur bertafakkur,
Apakah bisa kalian menjawab di hadapan hakim Yang Maha Kuasa
Perihal damai yang telah hancur kalian ragut
dari tangan rakyat jelata?


Jazmatiyyah, Dimasyq
23 April 2011
Jam 0600



ps: Dua sajak ini terhasil di awal pagi yang dingin selepas Subuh. Tiba-tiba je rasa nak bersajak, tapi lepas selesai tak tahu nak bagi tajuk apa. Entah betul atau tidak ayat-ayat dalam sajak tu, minta ditegur dan dibetulkan. Kalau ada idea untuk tajuk dua sajak ni, boleh la letak di ruangan komen... minta tunjuk ajar sahabat semua.


Selepas Jumaat, 22/4/2011:

Kegalauan yang semakin menggila di bumi Syria telah merebak ke sekitar bandar Dimasyq. Biarpun tidak berlaku di hadapan mataku, tetapi mendengar bunyi tembakan yang berlaku di hadapan Jami' Zainal Abidin telah meragut ketenangan kami yang ketika itu sedang menuntut ilmu, mendengar kuliah Sheikh Mustafa Bugha.

Gangguan tersebut telah membuatkan kuliah pada hari itu dipendekkan masanya. Sheikh mengarahkan kami menutup pintu dan semua tingkap jami'. Beberapa orang jemaah berlari masuk ke Jami' menyelamatkan nyawa.

Khabar sampai ke telingaku, beberapa insan telah ditembak di hadapan Jami', menjawab tanda tanya mengenai bunyi letupan yang kedengaran tadi. Mudah-mudah, tiada nyawa yang terkorban pergi.

Tetapi selepas selesai semua itu, akhirnya khabar sebenar kami ketahui. Di Hajarul Aswad, berdekatan dengan kami, korban jiwa dilaporkan seramai 25 nyawa. Yang lain belum lagi diketahui.

Wallahu'alam... semoga Allah menyelamatkan bumi Syria daripada fitnah akhir zaman. Semoga Allah menyelamatkan kami dan kita semua umat islam, daripada penyakit wahan, fitnah terbesar umat akhir zaman.... amin!





4/09/2011

Mu'tah, Kampung Yang Dirindui...

Space Net, Mujtahid, Syria.
Jam 1602
9 April 2011


kenangan di Maza waktu musim sejuk dulu
(dalam tandas jami'...hahaha. Kredit kepada Ustaz Ehsan yang tolong amik gambar ni)



Hampir 2 bulan lebih daripada tarikh 25 Januari 2011, aku mencorak langkah menimba pengalaman di bumi Syria yang bersejarah. Bermakna, dalam tempoh itu jugalah aku telah berkelana meninggalkan bumi Mu'tah, tanah arab pertama selepas bumi Haramain, untuk menghayati firman tuhan yang menyuruh hamba-Nya berkelana melihat kebesaran Yang Maha Kuasa.

"Berjalanlah di muka bumi dan perhatikanlah, bagaimana Allah memulai ciptaan, kemudian Ia mengulangi penciptaan itu sekali lagi. Sesungguhnya Tuhan Berkuasa atas segala sesuatu." (QS. 29:19-20)

Maha Suci Allah, yang mengatur perjalanan hamba-hamba-Nya dengan indah dan bijaksana. Menjadikan madrasah kehidupan sebagai satu medan untuk hamba-hamba-Nya mengenali nikmat akhirat.

Menjadikan Islam sebagai disiplin hidup yang penuh nikmat, kerana di dalam Islam, tersirat infiniti nikmat, yang memberi manusia penghayatan kebahagiaan andai dirasai dengan sepenuh hati.

"Pada Hari ini telah Aku sempurnakan bagimu agamamu, dan telah Aku sempurnakan nikmat-Ku, dan Aku ridha Islam sebagai agama bagimu sekalian.." (surah al-Maidah: 3)



Hati Ini Merindui...

Hari Sabtu merupakan suatu hari yang ditunggu-tunggu (secara umumnya) di bumi Syria ini, seperti mana kita di Malaysia yang menanti hari Ahad sebagai cuti umum untuk berehat di sisi keluarga.

Tetapi tidak bagi aku yang dari pagi sampai ke tengahari, duduk melepak mengadap laptop dan membelek kitab al-Wafi dan Matan Jurumiyyah yang dipandang pada ekor mata sahaja. Seakan buntu tidak tahu nak buat apa. Aku melabuhkan punggungku di hadapan laptop yang diwarisi dari ayahku.

Anak panah mouse dilirikkan kepada fail-fail yang memenuhi memori laptop kesayanganku itu. Cadangnya mahu dipindahkan fail-fail tersebut ke dalam external hard disk yang baru dibeli di Ma'rad (pc fair) tempoh hari. Aku memilih Hard Disk berjenama WD, berharga dalam 3100 sp (Syrian Pound) yang disyorkan oleh kawan aku.

Tengah sebok-sebok copy-paste-delete fail-fail tersebut, anak mataku menangkap kepada satu folder yang tertulis 'diari urdun'. Untuk seketika aku termenung. Melayang di mindaku memori-memori di bumi urdun. Tanpa berlengah jariku menghentak butang kanan mouse agar aku dapat menatap rakaman-rakaman memori bersama sahabat-sahabat di bumi Urdun itu.

Satu persatu gambar aku renung. terkenang gelak tawa ketika bersama mereka. Walaupun hanya satu semester bersama, tetapi ikatan ukhwah itu telah melahirkan rindu di hatiku. Teringat mesej-mesej yang disampaikan oleh beberapa sahabatku melalui ym. Ungkapan rindu membuatkan aku terharu.


di hadapan bangunan fakulti Syariah, Jami'ah Mu'tah


Ya, aku juga merindui mereka. Aku merindui adik beradik TDI ku di Mu'tah sana. Aku merindui ahli bayt dan syuqoh Mat'am Syuruq. Gurau senda bersama, saat kami bersiap untuk membaling telur ketika hari jadi sahabat kami (huhuhu... aku terselamat untuk tahun ini).


diambil masa nak balik dari talaqi Sheikh Solah (di Jami' Maza)

bergambar dengan Sheikh Solah (belakang hujung belah kiri)


Aku merindui sahabat-sahabat yang bersama bertalaqqi di Maza dengan Sheikh Solah. Pasti mereka dah banyak belajar mengenai qiraat dan tajwid yang tidak sempat aku rasai.

Alhamdulillah, dengan facebook dan ym, terubat sedikit rindu ini.

Ya Allah, semoga ikatan ukhwah kami ini berpanjangan dan terus kekal dengan ikatan iman dan ketaqwaan... Amin.



ps: Perut dah menyanyi sebab tak makan lagi dari pagi. Lepas ni, akan ku langkah kaki ini menuju ke kedai Nasi Bukhari di Suk Sarijih...huhuhu. Jom!!!!


4/03/2011

Hujung Syita' & Awal Rabii'




Bludan, Syria.
14 Mac 2011

Kami bersepakat untuk menjejakkan kaki sekali lagi ke bumi Bludan. Dan kali ini, aku tidak akan pergi ke sana hanya dengan berselipar dan berstokin tebal, kerana pengalaman 'hilang jari kaki' yang aku rasai 5 hari lepas telah meninggalkan kesan yang mendalam di lubuk hati.

Berbekalkan semangat yang berkobar dan boot salji separas lutut, aku dan sahabat-sahabatku menahan bas berwarna biru untuk menuju ke Sweileh. Dan daripada situ, kami mengambil service (panggilan kepada van awam) menuju ke Bludan. Hanya dengan bayaran sebanyak 20 lira sahaja (10 lira bas, 10 lira service).

Dan hasilnya, ini adalah gambar-gambar yang dapat aku ambil dengan handphone aku. Selamat menjamu mata:


Penghujung Musim Syita' (musim sejuk)
di Bludan, Syria.








Abu Nour, Syria 28 Mac 2011


Lepas sekolah, aku dijemput oleh Husein, kawan aku dari Turki untuk pergi ke rumahnya di bukit. Dia baru berumur 15 tahun, agak rapat dengan aku dan Kimi (kawan aku yang datang Syria sama-sama). Husein merupakan guru utama aku dalam mempelajari bahasa Turki. Selain daripada Ahmad (16 tahun) dan ayah dia (ayah dia memang rapat ngan aku), Muhammad, mereka kerap bertukar bahasa dengan aku dan Kimi.

Jadi, umpama kata pepatah, 'Besar tapak tangan, tupperware besar gedabak aku hulurkan', dengan senang hati aku menerima jemputan dia. Abi (bahasa Turki maksudnya abang) Jalil merangkap ayah dia yang masak katanya.

On the way menuju ke rumah dia, kanan kiri kami amat cantik dengan suasana musim Rabii' ataupun dalam melayu dia, musim bunga. Sana sini bunga. Tetapi memandangkan aku dalam service, takkan aku nak suruh dia berhenti semata-mata nak ambil gambar, kan.? So, terpaksalah aku bersabar sambil menggenggam erat handphone aku.

Alhamdulillah, dalam 15 minit gitu kami turun dari service dan meneruskan perjalanan kami dengan kaki.

Sungguh aku kata dalam hati, "Kompom aku makan banyak kat rumah dia ni." Kenapa aku kata macam tu? Sebab rumah dia nun di atas bukit nuh. Dan aku kena mendaki setinggi itu? hahaha... mudah-mudahan turun berat badan aku. Kui3

Tapi, serius, memang tinggi. Dari rumah dia aku boleh nampak maqam Habil (ke Qabil? aku tak sure) dengan jelas. Cubalah tanya sesiapa yang dah pergi ke maqam tu.

Di rumah Husein, kami melepaskan lelah, dan bergurau senda sesama kami. Masalah bahasa? Kami gunakan bahasa arab sebagai perantaraan. Memandangkan kami semua sememangnya pelajar bahasa di Ma'had Fatah Islami.

Tapi ada juga Ahmad menegur aku dengan bahasa melayu, seperti, "Nak tumbuk?" tanyanya sambil menggenggam penumbuk. Mesti Kimi yang ajar ni.

Aku pun membalas dengan bahasa rojak arab + Turki, "Turid yumuruk?" Dia segera menggeleng kepala melihat penumbuk aku yang besar. Dan akhirnya terburailah gelak tawa antara kami.

Hidangan kami tengahari itu, Abi Jalil masak satu kuah yang macam kari, Salatoh, nasi yang rasa macam pulut dan.... kari bebola daging. Sedap dan lazat, sehingga melupakan aku pada nama masakan tersebut. hahaha....

Sekadar berkongsi apa yang telah aku lalui.... jemputlah tengok gambar-gambar ni:


Pengalaman Bersama Sahabat-Sahabat Turki

Dari depan: Mus'ab (adik Ahmad, atas pangku kimi), Kimi (baju oren), Bilal (abang Husein, 17 tahun)
Belakang: Wafi, Aku, Husein

Pemandangan dari rumah Husein

Aku dan Ahmad

Jemput makan!!!


Dan sedikit gambar pemandangan musim bunga yang sempat aku ambil:

Musim Rabii'!!






Cukup setakat ini sahaja dahulu perkongsian aku. Doakan aku dan sahabat-sahabatku dapat terus menuntut ilmu di bumi Syam yang barakah ini dengan aman dan selamat. Insya Allah....



Apakah Ini Wahan?

Jazmatiyyah, Dimasyq, Syria.
26/03/2011
Jam 0005


Malam ini merupakan suatu malam yang pasti tidak akan aku lupakan. Sana sini kedengaran riuh rendah suara masyarakat arab di sekitar rumahku berteriakan. Aku tidak pasti apa yang mereka teriakan, tetapi melihat gambar-gambar dan sepanduk-sepanduk yang mereka usung ke sana sini, serta maklumat yang diberitahu oleh sahabat-sahabatku, nyata mereka merupakan penyokong presiden Syria.

Mereka menaiki kereta-kereta mewah, sambil mengibarkan bendera Syria dan melaungkan kata-kata yang barangkali kata-kata semangat. Aku sendiri tidak pasti.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memastikan ketenangan mengulit hati kami. Aku bertanya dua tiga orang sahabatku, apakah perasaan mereka mengenai peristiwa ini. Nyata, sepertimana yang terlihat di wajah mereka, begitulah yang ada di hati mereka. Mereka tidak gundah, bahkan senyuman dan tawa jenaka sering menghiasi perbualan kami. Aku juga begitu. Biarpun gembar-gembur untuk Syria mengikut jejak langkah Libya dan negara yang telah bergegar dengan revolusi rakyat mereka, semakin hangat menangkap cuping telinga kami, tetapi ia tidak membuatkan hati kami galau dan runsing.

Maha Suci Allah…. Berikan ketenangan dan kekuatan kepada kami untuk berhadapan dengan ujian-Mu ini.

Solat Jumaat di Jami’ Zainal ‘Abidin hari ini diisi dengan khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Sheikh Mustafa Bugha dengan nada yang semangat.Beliau yang aku kenali dengan sifat lemah lembut dan penyayang, hari ini dengan suara lantang mengingatkan kami mengenai ukhwah dan kesatuan dalam keimanan. Apabila aku menoleh ke kanan dan ke kiriku, aku lihat semua menumpukan sepenuh perhatian kepada beliau. Dan baru aku sedar, bahawa akulah yang sebenarnya tidak memberikan perhatian yang penuh… huhuhu, Astaghfirullah.

Tambahan pula, di dalam kuliyah Tafsir Jalalain, beliau mengulas ayat 111 dan 112 dari surah al-Haj dengan panjang lebar. Seringkali suara beliau ditekankan ketika menguraikan makna zalim dalam ayat tersebut. Membuatkan kami prihatin mengenai tafsiran kezaliman yang diungkap dalam firman Allah tersebut.

Semoga Allah menganugerahkan beliau kesihatan dan keselamatan dunia dan akhirat… amin.

Dan kemuncaknya, apabila aku melihat apa yang berlaku pada malam ini, disamping mendengar berita-berita yang dikhabarkan kepada kami, barulah aku dapat simpulkan mengapa khutbah Sheikh Mustafa Bugha tadi menyentuh isu kekuatan ukhwah berteraskan iman dan perkaitannya dengan kezaliman. Aku diam tidak berbicara. Mula terbit di hatiku dan sahabat-sahabatku kerisauan.

“Insya Allah, takda apa-apa yang berlaku. Kalaupun kita kekal di sini, betulkan niat untuk belajar. Doa pada Allah, Ya Allah, andai aku mati di sini, maka jadikan matiku itu syahid dalam menuntut ilmu.”

Aku terpegun dengan kata-kata tersebut. Melihat wajah tenang Ustaz Hanafiah, diriku mula bermonolog. Melahirkan persoalan untuk muhasabah diri. "Mengapakah begitu mudah Ustaz Hanafiah melahirkan kata bicara seperti itu?"

Masing-masing kebisuan selepas mendengar kata-kata tersebut.

“Apakah kita telah dijangkiti wahan?” spontan bibirku melahirkan kata. Memecah kesunyian yang mencengkam kami.

6 mata memandangku. Mungkin terperanjat dengan soalan tersebut. Barangkali kalau Ustaz Hanafiah masih berdiri di hadapan kami ketika itu, dia akan menjawab soalanku dengan mudah. Namun aku sebenarnya tidak mengharapkan sebarang jawapan, kerana soalan tersebut tidak memerlukan sebarang jawapan, tetapi merupakan satu persoalan untuk aku dan sahabat-sahabat bermuhasabah mengenai diri kami masing-masing.

Di saat hati kami galau apabila mendengar rusuhan dan pembunuhan yang semakin kerap berlaku di Hama, Homs, Halab, Marjih dan sekitar Jami’ Umawi. Apabila berita mengenai apa yang berlaku di Jami’ Rifa’ie yang terletak amat dekat dengan kami itu sampai ke telinga kami. Apabila insiden sebenar telah kami ketahui mengenai kejadian di Dar’a, bagaimana pihak kerajaan menangkap kanak-kanak yang masih kecil yang berusia lingkungan 10-12 tahun dan menyeksa mereka sehingga seorang dari mereka maut dan beberapa orang dari mereka dikatakan gila dan terencat akal dek kerana diseksa dengan kejam.

Kami berdiam diri. Aku bertanya pada diri, mengapakah hatiku runsing dan gelisah? Apakah aku takut yang aku akan berpisah dengan indah dunia? Apakah aku bimbang yang aku takkan bertemu lagi dengan ahli keluargaku di tanah air? Apakah…apakah…. Dan apakah….

“Apakah ini wahan? Apakah aku telah dijangkiti wahan?Apakah aku sebenarnya telah mencintai dunia sehingga aku takut untuk berhadapan dengan realiti kematian???”

Ya Allah, rahmatilah dan redhailah kami semua… ampunilah dosa kami… YaGhafur, YaRahiim….


[klik pada gambar untuk besar]


"Akan tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".

Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?"

Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'.

Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?"

Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati"
[Riwayat Abu Daud]