RSS
Facebook
Twitter

8/24/2013

Untuk mereka di sana...


Aidil Syafiq menyarungkan selipar ke kaki. Bersiap untuk pulang ke rumah sahabatnya. Sesekali dia membetulkan kain sarungnya yang terbuai-buai ditiup angin malam. Bimbang jika auratnya tersingkap dilihat orang. Biarpun ketika itu hanya dua, tiga orang jemaah sahaja yang tinggal.

Wak Arip, siak tua masjid Raudhah kelihatan sedang memeriksa tempat solat, bimbang-bimbang jika ada kipas angin atau lampu yang tidak tertutup suisnya. Pintu-pintu dan tetingkap masjid dikunci rapat. Untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Beberapa hari yang lepas, surau Taman Perdana yang terletak lebih kurang 3 kilometer dari masjid Raudhah dimasuki pencuri. Habis tabung-tabung derma masjid dipecahnya. Aidil memerhati tubuh tua itu bergerak menuju ke pintu utama masjid yang terakhir.

Seorang lelaki berbaju melayu berwarna ungu turut berjalan disamping Wak Arip. Selepas bersalam dengan siak tersebut, lelaki itu berjalan menuju ke Aidil.