RSS
Facebook
Twitter

16 October 2012

Mari Menilai Dunia!!!


Masih terasa lagi hangat semangat ber’induksi’ dengan para mentor dan mursyid Smart Group Mu’tah. Belum dikira lagi hangat semangat rakan sekerja ahli jawatankuasa induksi yang dipilih sekelip mata. D.K. dianugerahkan sebuah pengalaman yang berharga biarpun belum sebulan D.K. menghirup puas udara Jordan yang sedang merangkak ‘below 20 degree celcius’ suhunya.

Mengujakan lagi apabila D.K. diberi peluang untuk menyusun beberapa modul LDK sepanjang 2 hari induksi tersebut berlangsung.

“Inilah masanya,” bisik hati.

Spontan berlegar beberapa modul yang telah lama terceruk di dalam peti idea. Modul yang ingin D.K. cuba setelah sekian lama. Ini masa untuk dieksperimentasikan dengan mereka. Bak kata orang, jarum ubat sudah ada, tikus makmal pun sudah tersedia. Jadi mahu tunggu apa lagi? (“blink!”mata bersinar dengan penuh kejahatan)

Sehari sebelum program bermula, D.K. merayau dari satu rumah ke satu rumah. Walaupun hakikatnya hanya dua rumah sahaja yang D.K. pergi. Mengharap ihsan dari kawan-kawan untuk menyerahkan gegambar yang menarik dan penuh intipati penilaian.

Sempat juga menjamu selera di Mat’am Zanjabil sambil menunggu chef yang juga senpai yang dah pun selesai ijazahnya memindah file ke dalam USB. Menu Mat’am Zanjabil memang terbaik!

Juga sempat menghirup kering dakwat printer rakan serumah yang pada awalnya sukarela menawarkan printernya namun diakhirnya kelihatan riak wajah penyesalan selepas melihat dakwat warnanya bagai dihirup mentari Afrika yang rakus. Maaf, D.K. bayar ye! (^^,)

Demi niat ikhlas yang menjadi pakaian bagi minda yang berbisik, “Tak sabarnya nak test modul nih.”

How you look, how you think...

Ok, first of all, i didn’t think the modul’s name is interesting. How you look , how you think? What the...

‘How you see something, show how you think about it’. Ok, tak boleh jadi tajuk, tapi itulah tujuan modul yang D.K. nak cuba.

Melihat ragam dunia kehidupan dari pelbagai sudut pandang. Kata pepatah, “rambut sama hitam, hati lain-lain”. Begitulah realiti dunia dengan ragam manusia yang rencam, hasil daripada berjuta sudut pandang.

“Seorang lelaki tua, yang sedang duduk di pintu masjid, di atas bangku besi yang sudah seusia dengannya. Dengan kopiah putih lusuh dan raut wajah yang manis dengan senyuman yang dihadiahkan kepada sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke rumah Allah tersebut”.

Nah, bagaimana kalian rasakan apabila melihat keadaan seperti ini?

“Pak cik tu takde rumah ke?”
“Mana anak-anak dia?”
“Pak cik tu mesti takde duit, pengemislah tu.”
“Huh...”
“Eh, dah masuk waktu Zohor ke?”

Bahkan mungkin banyak lagi sudut pandang yang kekadang kita sendiri tak sangka sehingga menimbulkan persoalan, “macam mana dia boleh fikir ke situ?”

Begitu cantiknya aturan Yang Maha Bijaksana, mencipta manusia dengan tersangat teliti. D.K. pernah membaca satu artikel berkenaan hebatnya penciptaan cap jari. Allah menciptakan cap jari berjuta-juta manusia di dunia ini semuanya berbeza. Jika diperhatikan ombak aluran di ibu jari kita, kekadang tak nampak pun perbezaannya, namun jika diperhatikan lebih halus, nah, rupanya perbezaan itu amat halus dan kecil. Dan ini berlaku kepada semua manusia di seluruh dunia.

Modul yang D.K. eksperimenkan kepada mereka amat mudah.  Mereka diberi peluang untuk menilai sebuah gambar dari apa sahaja aspek penilaian. Bebas. Terbuka. Tiada sekatan. Mereka bebas berimaginasi dan berpandangan berdasarkan apa yang mereka lihat dalam gambar tersebut.

Sebuah gambar di beri. Seperti gambar di bawah.


Apa yang sahabat-sahabat pembaca sekali dapat kongsikan dari gambar ini?

Think outside the box! Di sinilah peluang untuk kita meneroka dunia pandangan yang luas dan tiada batasannya. Mata merenung seekor burung, tangan melukis sebuah negara yang bebas dari kezaliman!


Beginikah mengejar bahagia?

Sebaik umur melangkah ke angka 20, pandangan tentang kehidupan sudah berubah. Kita sudah tidak dipanggil lagi sebagai remaja, bahkan kita digelar sebagai pemuda. Bahkan kalimah pemuda ini, menerbitkan sebuah entiti yang penuh harapan dan impian. Memetik kata Soekarno, “berikan aku 10 pemuda, nescaya kan ku goncangkan dunia.”


Tidak hairanlah apabila seorang pemuda sebaik angka 2 mengambil tempat di awal digit umurnya, dia mula merasa mahukan sesuatu dalam dunia kehidupannya. Jika di Institusi pengajian, dia mahukan pengaruh, sama ada dalam organisasi sesebuah badan mahupun sekadar sekitar rakan sepengajian. Atau jika dia bersama khalayak umum, sentiasa berusaha untuk mencuri perhatian.

Indahnya pemuda, jika dulu di alam remaja dia bermimpi, tetapi kini pemuda membina mimpinya!

Tebaran tiupan angin yang menitip bersamanya beribu kisah dan berita. Tidak dilupa pada kisah seorang pemuda yang merindui kekasihnya, Laila. Dia bersyair. Syair rindu pada kekasihnya:

“Aku merentasi perkampungan, perkampungannya Laila,
Aku mencium satu persatu dinding-dindingnya,
Bukanlah cintakan tempat itu yang merindukan kalbuku,
Tetapi cintakan penghuni yang tinggal dalamnya.”

Alangkah peritnya rindu seorang kekasih. Hakikat rasa pemuda ingin memiliki. Memiliki bahagia dengan cinta. Dan islam memperkenalkan kepada pemuda satu jalan menguasai cinta, dan itulah jalan yang namanya NIKAH!

"Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin, sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu"
(riwayat Muslim)

Mengejar bahagia di jalan nikah...

Dua tahun di tanah Jordan. Bahkan sebelum itu lagi, desiran virus cinta Islami hingga ke binaan Baitul Muslim acap kedengaran. Tak jemu-jemu ku temui agen-agen penyebar kebaikan. Dari kawan-kawan ramai hinggalah diri sendiri terjebak menjadi perunding cara.

Dahulu aku melihat perkahwinan dan pernikahan dari dua sudut yang berbeza. Kekadang beremosi apabila ada keluarga yang menyusahkan anak mudanya mahu melaksanakan sunnah baginda Rasulullah SAW yang istimewa ini. Ayat al-Quran dikeluarkan, hadis Rasulullah SAW dipamerkan, dengan tujuan agar niat baik para pemuda yang ingin menjalinkan ikatan pernikahan kerana Allah ini bakal dimudahkan.

Tidak sedikit yang meminta nasihat, walaupun hakikat diri ini dan diri mereka serupa. Diri ini juga sedang bermimpi untuk melamar seorang isteri!

Sehingga satu pertemuan diaturkan, menjadi sejarah pembaharuan. Pembukaan satu lagi sudut pandang baru dalam diriku. Bahawa pernikahan bukanlah satu-satunya jalan untuk mengejar kebahagiaan.

Hakikat pahit yang terpaksa ditelan. Tidak dinafikan, perkahwinan itu satu kebahagiaan. Tanggungjawab memelihara keluarga atas jalan iman itu satu kebahagiaan. Melihat wajah isteri dan anak-anak dengan kasih sayang juga satu kebahagiaan. Berdua bersama isteri, berjalan berpimpin tangan, berkongsi rasa, sedih, marah, kecewa dan ketawa bersama, semua itu mengukir sebuah keindahan dan kebahagian dalam sebuah pernikahan yang dihiasi iman. Bahagianya!

Namun begitu, ramai saya lihat yang kehilangan bahagia walaupun ketika itu mereka sedang mengejar bahagia. Umpama, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Bahagia untuk berkeluarga masih belum dicapai, tetapi bahagia hidup sendiri terkorban begitu sahaja.

“Tuhan, kau uji aku dengan perasaan cinta dan rindu,
Rindu kepada solehah penyejuk kalbu,
Terbit cemburu melihat sepasang manusia yang berkasih
Berkasih mereka halal, bahagia tanpa ragu
Kerna nikah, sunnah baginda SAW yang ku mahu
Oh tuhan, kurniakan aku kesabaran dan kekuatan
Menanti solehah yang menawan...”

Mengejar bahagia tanpa sedar bahagia yang sepatutnya dicapai waktu itu disia-siakan. Bukankah dalam hadis ada menyebut tentang puasa jika tidak mampu? Mengapa tidak dipilih jalan itu?

“Kerana saya yakin sudah mampu!”
“Saya mahu menjaga mata dan kehormatan saya!”
“Enta nak halang kami dari melakukan sunnah nabi SAW?!”

Lucu! Apa kalian ingat hanya perkahwinan mampu menjaga diri kalian? Ingat bagi mereka yang meraih gelaran seorang suami. Allah berfirman:

"Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan"
Surah al-Tahrim: 6

Bagaimana kamu mahu pelihara diri kamu jika tika ini kamu katakan, hanya dengan pernikahan bisa menjaga dirimu dari sebarang ujian? Allah mendahului ayat ini dengan seruan “wahai orang yang beriman!” Apakah sudah bersedia dirimu dengan iman, jika masih terbit dibibirmu, “imanku hanya bisa dijaga apabila aku bernikah.”


Lucu! Sekali lagi aku katakan kalian sedang menggeletek diriku.

Betapa ramai pemuda di luar sana yang meraih bahagia apabila menerima warkah ijazah kelas pertama. Betapa ramai pemuda di luar sana yang meraih bahagia tika berdiskusi ilmu dengan rakan-rakannya. Betapa ramai pemuda di luar sana yang meraih bahagia dengan memaku punggungnya hampir 2 jam lebihnya dalam majlis ilmu.

Dan Islam tidak menghadkan jalan bahagianya pada satu jalan sahaja. Kerana nikmat Allah itu luas, rahmat Allah itu tiada tepinya, bahagia itu bisa dicapai dengan berjuta jalan berteras al-Quran dan sunnah baginda SAW.

Sekalipun dirimu ingin bernikah, jangan sampai apabila kau berkongsi keinginanmu ini membuat orang yang mengetahui rasa mustahil untuk kalian meneruskan cita-citamu. Mengadulah pada Yang Maha Mendengar, kerana DIA Maha Bijaksana dalam mengatur kehidupan manusia!