RSS
Facebook
Twitter

12/30/2010

Madah Tulisan Hati

Seorang penulis, biasanya menulis perkara yang berharga pada dirinya, sama ada perkara itu adalah mengenai peribadinya, ataupun mengenai kehidupan hariannya, ataupun mengenai perasaan dan isi hatinya.... apa sahaja yang dirasakan berharga dan ingin dikongsi bersama dengan dunia.



Itulah fitrah penulis dan penulisannya. Setiap kali pena dan tinta bermain di atas kertas, setiap kali itulah dunia akan membaca, indah atau pedih, gembira atau duka, itulah hasil daripada tinta yang berbicara. Barangkali di mulut terukir senyuman mesra. Rakan dan taulan tertawa dengan jenaka yang terhasil dari mulut bicara. Tetapi hakikatnya, menitis air matanya, di atas dakwat pena yang melakar di atas sehelai warkah putih tidak berwarna.



Entah mengapa, dunia pena dan tinta sudah tidak ceria lagi. Tidak ada sesuatu pun yang dapat menarik perhatian aku, seorang peminat pena dan tinta, yang satu ketika dulu suka mencuba sesuatu yang baru. Satu persatu, hasil tarian pena dan tinta yang aku miliki dahulu kuperhatikan. Ku teliti dan hasilnya adalah satu senyuman.



Tetapi menjadi satu persoalan, apakah mereka yang membacanya, juga tersenyum seperti aku?



Allahu akbar!!!



Seseorang telah berpesan kepadaku, “Wahai anakku, lampirkan penulisanmu itu dengan seribu manfaat, yang dapat membuat orang yang membacanya, tahu sesuatu yang baru. Jangan ditulis sesuatu yang membuatkan orang tahu rahsia peribadimu. Benar, pena dan tinta itu adalah wadah untuk hati berbicara. Mana mungkin seorang yang tidak punya ilmu, mampu menulis sesuatu yang berharga buat manusia lainnya...”



Aku tertawa..... tapi aku tidak tahu, apakah tawaku itu tawa gembira, atau sekadar untuk menutup hati yang luka. Dan aku tertawa lagi, dan barangkali kalian juga sedang tertawa, yang akhirnya kalian simpulkan, “Dia ni memang suka bermadah.”



Ya, aku suka bermadah, aku suka bermain kata. Aku amat kagum dengan bahasa. Sebab itulah, aku bulatkan dalam hati, yang aku tidak akan bertoleransi dengan mereka yang bermain-main dengan bahasa. Mereka yang sering menggunakan kata-kata yang salah dengan cara yang salah.



Tetapi.....



“Ini tulisan siapa? Siapa yang menulisnya? Siapa?”



Aku tertanya-tanya. Kerana di hadapan mataku itu, beberapa warkah penuh dengan kata-kata, yang terhasil dari tarian tinta dan penaku, tetapi tidak sedikit pun aku melihat, padanya ada diriku.



Itu palsu! Itu palsu!! Itu palsu!!!



Dan tulisan ini, yang sedang kalian baca ini, aku tidak tahu, apakah memberi erti kepada kalian, apakah memberi pengetahuan dalam diri kalian... Aku tidak tahu.



Cuma, satu perkara yang aku mahu kalian beri perhatian,



“Wahai sahabat-sahabatku, jangan kalian remehkan dunia penulisan, apa yang kalian ungkapkan di sini, akan menjadi saksi diri kalian, di hari pembalasan yang dijanjikan. Aku dan kamu, kita dan mereka, tiada bezanya. Yang membezakan antara kita, hanyalah pada amal. Bukan kata bicara, atau pengetahuan dan ilmu yang beribu mahupun penulisan yang kita banggakan ini dapat membantu kita di sana nanti..”




12/28/2010

Bicara Seorang Pemuda

Siri 3.....
“Ulama-ulama terdahulu telah mengabdikan diri mereka dengan ilmu. Mereka tidak pernah bersungut sekalipun berhadapan dengan cabaran dan ancaman. Imam Ahmad bin Hanbal, pengasas mazhab Hanbali dan juga merupakan seorang muhaddis yang terkenal dengan kitab hadisnya iaitu Musnad Imam Ahmad telah dipenjara dan diseksa selama 17 tahun kerana mempertahankan kebenaran. Cuba antum bayangkan, sanggupkah antum semua menghadapi semua ini hanya untuk mempertahan kebenaran dan ilmu?”
Imam Ahmad bin Hanbal telah dipenjara selama 17 tahun di bawah tiga pemerintahan khalifah yang berbeza dari kerajaan Abbasiyyah. Imam Ahmad telah dipenjara bermula dari zaman pemerintahan khalifah Ma’mun pada 3 tahun terakhir pemerintahannya. Kemudian penyeksaan itu disambung pula oleh adiknya khalifah al-Mu’tassim selama 9 tahun dan selepas dia mangkat, anaknya Khalifah Harun al-Wathiq, menyeksa Imam Ahmad selama 5 tahun.
Penyeksaan ini dilakukan bukan sahaja kepada Imam Ahmad sahaja, bahkan kepada semua para ulama dari golongan ahli Sunnah wal Jamaah yang mempertahankan pendapat bahawa al-Quran itu kalamullah, bukan makhluk. Berbeza dengan fahaman yang dipegang oleh khalifah ketika itu, iaitu al-Quran adalah makhluk. Ketiga-tiga khalifah ketika itu memegang fahaman Mu’tazilah. Mereka dihasut oleh ulama-ulama dari puak Mu’tazilah yang amat membenci golongan ahli Sunnah wal Jama’ah.
Hinggalah zaman pemerintahan Khalifah Ja’afar al-Mutawakkil yang menggantikan Khalifah al-Wathiq. Khalifah al-Mutawakkil adalah seorang yang amat membenci fahaman Mu’tazilah ini, apabila dia dinaikkan takhta, dia terus membebaskan Imam Ahmad dari penjara. Dan selepas itu nama Imam Ahmad kembali menyinar lebih dari sebelumnya.
Kelas diploma al-QudS semester 5 pagi itu senyap. Mereka terdiam tanpa suara, umpama ditusuk pedang yang tajam, kata-kata Ustazah Ruqaiyah itu memberkas ke dalam hati mereka. Beberapa orang dari mereka menundukkan kepala, mungkin sedang memikirkan kata-kata tersebut.
Begitulah acap kali yang berlaku dalam kelas Ustazah Ruqaiyah yang terkenal dengan sindiran tajam dan kata-kata sinis yang amat sukar ditelan. Namun setiap perkataan yang dilafazkan amat memberi kesan kepada pelajar-pelajarnya. Dia mahu semua pelajarnya sentiasa terbuka minda dan hati mereka untuk merenung perjuangan para tokoh ilmuwan dahulu dalam mencari ilmu.
Bukan seperti masa kini, institusi ilmu telah terbalik. Kalau dulu, para pelajar perlu berusaha mencari guru yang terbaik untuk mendapatkan ilmu. Namun kini, guru yang terpaksa mencari murid untuk mencari duit. Tiada lagi rasa hormat kepada guru, tiada lagi penghayatan kepada ilmu menjadi jawapan mengapa lahirnya ramai tokoh bijaksana tanpa akhlak yang mulia.
Seperti mana kata Dr Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya ‘Di Mana Punca Kelemahan Umat Islam Kini’, Pada masa kini, kurikulum kita hanya mampu melahirkan para pegawai, bukan para intelektual.” Maka berlakulah pelbagai kepincangan kerana mereka tertipu dengan keindahan duit dan harta. Rasuah, penindasan, kezaliman dan ketidakadilan semakin berleluasa, apatah lagi jika yang melakukannya adalah orang yang berkuasa dan yang mempunyai lulusan sarjana. Kata Dr Yusuf al-Qardhawi lagi, “Kurikulum pelajaran kita tidak mampu menterjemahkan erti dan sifat ‘Rabbaniah’ ke dalam jiwa masyarakat kita.”
Seandainya erti dan sifat ‘Rabbaniah’ itu mampu diterjemahkan dalam jiwa, pasti kita sedar bahawa setiap pergerakan dan perbuatan dalam kehidupan kita adalah kerana Allah. Hasilnya, setiap seluruh hidup kita akan terpandu dan pastinya akan melahirkan generasi intelektual dan modal insan kelas pertama yang bertaqwa kepada Allah.
“Baiklah cukup setakat ini. Ustazah harap antum semua sedar yang antum semua memikul amanah yang amat besar sebagai individu yang menuntut ilmu yang berkaitan al-Quran & as-Sunnah. Jangan sesekali mengambil mudah pada bidang yang antum ceburi.”
“Ana nak mengingatkan antum, bahawa kita semua akan dipersoalkan kelak andai kita tidak menyampaikan amanah yang kita terima ini. Kitalah generasi pewaris yang akan menyambung perjuangan tokoh-tokoh ilmuwan Islam terdahulu. Peganglah pada firman Allah ini."




Matanya memerhatikan satu persatu wajah anak didik yang ada di hadapannya. Dia mahu mereka jelas, bahawa ilmu al-Quran dan al-Hadis ini bukanlah sesuatu yang boleh dipelajari sambil lewa. Mereka perlu bersungguh dalam memahami dan mengamalkannya.
“Baiklah, sampai di sini sahaja kelas kita. Sebelum ana keluar, ana nak ingatkan, assignment antum hantar sebelum hari Jumaat depan. Minggu terakhir sebelum final nanti, antum bentangkan tajuk antum di dalam kelas. Faham?” Dia tersenyum dan terus melangkah keluar selepas memberi salam.
“Aduh...bisanya. ustazah Ruqaiyah tu kalau cakap, mahu hangus telinga aku dengar. Fiq, kau tak terasa ke?” tanya Rafiq.
Rafiq, rakan sekelas Afiq yang lain daripada yang lain. Dia berasal dari Johor, berambut pendek dan berbadan kurus. Jiwanya agak ‘funky’ sedikit. Ada yang menggelarkan Rafiq sebagai ustaz rempit kerana sememangnya Rafiq jika memandu motosikal RXZ nya itu, boleh kalah Valentino Rossi.
Afiq hanya tersengih, biarpun berbisa namun sebagai seorang yang berpegang pada prinsip bersifat terbuka dan optimis selalu, dia menganggap itu sebagai satu cabaran. Terasa dirinya terbakar. “Aku akan buktikan pada ustazah,” bisik hatinya.
“Rafiq, Wasim, jom temankan ana makan. Perut ana dah berbunyi ni,” Hakim mengusap-usap perutnya yang kurus itu.
“Ai, kau jangan main-main Kim. Kami memang menanti akh Hakim Tamimi kita ini belanja, kan Wasim?” Rafiq mengusik. Hakim hanya tersengih sahaja. Dia memang maklum dengan perangai Rafiq yang suka mengusik.
“Emm... antum tak nak ikut sekali?” Wasim mengalih pandangannya kepada Afiq dan Furqan.
“Ana nak jumpa dengan Ustaz Farouk kejap. Ada perkara yang ana nak bincangkan. Jadi ana tak dapat ikut. Enta macam mana Afiq?” jelas Furqan.
Kelas seterusnya jam 2 petang nanti. Kelas Dr. Fahim amat digemari oleh mereka. Kelas Dr. Fahim sentiasa ceria dengan jenaka-jenaka yang dilakukan oleh Dr. Fahim sendiri, menjadikan mereka tidak mengantuk bila mendengar penerangan Dr Fahim, pensyarah yang berkelulusan dari Madinah tersebut.
“Baru pukul 11.30 pagi. Lama lagi ni,” bisik hatinya. Afiq memandang wajah sahabat-sahabat yang sedang menantikan jawapan darinya.
“Emm... takpalah. Ana tak lapar lagi. Antum pergilah dulu ya. Lagipun ana nak ke maktabah, nak cari bahan tambahan untuk assighment ana. Maaf ya. Jumpa dalam kelas Dr Fahim nanti,” jelas Afiq. Mereka berjabat tangan. Afiq terus melangkah menuju ke perpustakaan seorang diri.


******************************************************



bersambung....


klik siri [1] & [2]



12/27/2010

Final Exam

الإمتحانات النها ئية (2010/ 2011)
فصل الأول
كلية الشريعة، جامعة مؤته



الرجاء الضغط على الصورة للحصول على صورة واضحة



ps: Insya Allah.... kemungkinan blog ini tidak akan diupdate untuk beberapa ketika, walaupun sebenarnya memang dah lama pun tak update... hehehe... tapi, kalau dah idea tu datang mencurah, Insya Allah, DK akan update jugak... wallahu'alam

Doakan kami mahasiswa Mu'tah diberikan kemudahan dan kejayaan dalam imtihan....



12/19/2010

Monolog Hati 4




Helaian demi helaian dibeleknya buku Ulum Quran berwarna hijau yang sarat dengan perkongsian dari Doktor Fadhl Hasan ‘Abbas mengenai kemukjizatan al-Quran. Jam baru menunjukkan 7.15 malam. Solat Isyak, Alhamdulillah, dah tertunai walaupun sekadar berjemaah bersama sahabat-sahabat di rumah.

Kesejukkan yang mencengkam membuatkan kami masing-masing memakai pakaian yang berlapis-lapis. Angin yang bertiup kencang di luar rumah, mengintai-intai cuba untuk mencuri masuk di celahan tingkap yang tidak dapat ditutup rapat.


“Aiman, jom keluar nak? Aku nak cari makan sikit la.”


Dia menggeleng. Dia tidak mahu merasai kedasyatan angin sejuk bumi Mu’tah pada malam-malam seperti ini. Tambah pula, malam ini ada sesuatu yang perlu diteliti. Perhatiannya lebih tertarik kepada penerangan seorang pensyarahnya mengenai kemukjizatan al-Quran dari pelbagai cabang perbincangan.


Selimut tebal miliknya ditarik membungkus diri. Sarung tangan yang dipakai dikemaskan ditangan. Air Coklat panas di sisinya dikacau agar serbuk coklat itu rata. Pena tersisip kemas di jemari.


Bismillahir rahmanir rahim....”

[klik pada gambar utk lebih jelas]

“Maha Suci Allah yang menurunkan al-Quran dengan hikmah dan keajaiban yang tidak dapat diungkap dengan fikiran manusia, kecuali andai dia meneliti dan mengkajinya. Begitu kata Tuhan, biarpun 7 lautan di dunia menjadi dakwat untuk menulis ilmu-Nya, dan ditambah lagi 7 lautan sebagai tambahan, tidak akan selesai kerja menyalin ilmu Tuhan itu.”

Seperti mana firman Allah yang pertama, turun kepada baginda Rasulullah s.a.w. di Gua Hira’ ketika baginda sedang beruzlah (beribadah), baginda diperintahkan untuk membaca, mencari ilmu selagi mana nafas masih ada.


Firman Allah s.w.t.:

[klik pada gambar utk lebih jelas]

Seorang sahabat baginda s.a.w. bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimanakah keadaanmu menerima wahyu?” Baginda Rasulullah s.a.w. menjawab, “Kadang-kadang ia diturunkan seperti bunyi sebuah loceng. Dari berbagai-bagai cara wahyu diturunkan, cara inilah yang paling berat dan kemudian suara (loceng) itu menghilang setelah aku menerima wahyu itu. Kadang-kadang malaikat menemui ku dalam keadaan wujud seorang lelaki dan berbicara kepada ku dan aku mengingati apa yang ia katakan. Aisyah r.a menambah: “ Ketika nabi SAW sedang menerima wahyu pada suatu hari yang dingin aku melihat peluh berjatuhan dari dahinya hingga wahyu itu selesai diturunkan Allah SWT."

Namun begitu, musuh Islam tidak pernah berpuas hati, mereka sentiasa mencari jalan untuk menyakiti baginda Rasulullah s.a.w. Mereka katakan bahawa al-Quran itu tidak benar, al-Quran itu adalah ciptaan baginda Rasulullah s.a.w.


Maka Allah s.w.t. mencabar mereka yang mengatakan al-Quran ini dusta. Allah mencabar mereka dalam 3 fasa yang berbeza.



Fasa pertama:
Allah cabar mereka datangkan yang serupa dengan al-Quran.


[klik pada gambar utk lebih jelas]

Fasa kedua: Allah mencabar mereka datangkan pula 10 surah sahaja yang dapat menandingi al-Quran.


[klik pada gambar utk lebih jelas]

Fasa ketiga: Allah mencabar mereka untuk datangkan satu surah sahaja yang serupa dengan al-Quran.


[klik pada gambar utk lebih jelas]

“Hmm.... kesian mereka ni. Tiga kali kena cabar, dan tiga kali juga mereka terhina. Takde satu pun cabaran dari Allah dapat diorang selesaikan.” Dia menggeleng-gelengkan kepala. Pelik dengan kejahilan dan kesombongan kaum jahiliah yang menentang Rasulullah s.a.w.

Akhirnya Allah berfirman kepada mereka:


[klik pada gambar utk lebih jelas]

“Inilah dia mukjizat al-Quran. Kalau diperhatikan, zaman Nabi Musa a.s. dulu, mukjizat baginda adalah seekor ular besar yang terjadi selepas tongkat baginda dibaling, menelan semua ular-ular yang terhasil daripada sihir-sihir tukang sihir fir’aun. Zaman Nabi Isa a.s., dia boleh menyembuhkan orang yang sakit sopak dan buta, bahkan boleh menghidupkan orang yang telah mati. Ini mukjizat mereka, kerana zaman Nabi Musa, orang tengah gila sihir, dan zaman Nabi Isa, masa tu tengah ‘hot’ dengan ilmu perubatan.”

Dia membisu. Air coklat yang semakin menyejuk itu dihirupnya sedikit demi sedikit membasahi tekaknya. Fikirannya masih ligat memahami apa yang mahu disampaikan oleh Syeikh Fadh Hasan ‘Abbas.


Zaman Nabi Muhammad s.a.w. terkenal dengan kehebatan mereka bermain bahasa dan bersyair. Sebab tu al-Quran diturunkan menjadi mukjizat teragung melawan mereka.


“Eh, mukjizat?” matanya menangkap kalimah tersebut.


“Mukjizat dalam al-Quran terbahagi kepada 3? Apa dia...???”


12/13/2010

Pesona Hijrah 1432



Angin ribut yang bertiup kencang menyapa kami di bumi Syam. Awal tahun kami dihiasi dengan turunnya salji dan suhu di sini. Malam ni sahaja DK diberitahu suhu menurun kepada 3 darjah. Dan kemungkinan ia akan menurun lagi. Dan sementelah itu juga, hirom menjadi peneman setia sepanjang berada di dalam rumah.



Pesona hijrah 1432 mencatat banyak peristiwa indah. Biarpun baru beberapa ketika ia bermula. Sejarah, ikhtibar, ukhwah, keluarga, hati dan perasaan, semuanya mengalami perubahan. Perubahan besar yang membuka mata DK untuk meneliti lebih luas, erti kehidupan seorang manusia.


Pesona Hijrah 1432, DK mengggigil kesejukan menahan kesejukan. Bilik masih belum punya pemanas. Alhamdulillah, hirom harimau yang tebal dari Korea dapat membekal haba. Dalam ribut angin yang menerpa bumi Mu’tah, ukhwah kami juga turut bergegar. Salah faham dan tingkah tiba-tiba menggoyangkan tiang ukhwah.


Sehari sebelum ia terjadi, dada DK berdebar melihat kekuasaan Yang Maha Kuasa. Bumi yang dulunya dihuni seramai hampir 4 juta penduduk, kini tinggal lautan yang memiliki kadar kemasinan paling tinggi dalam dunia. Laut Mati (Dead Sea), yang menjadi saksi kaum Lut bersemadi dimurkai Allah.



Namun di sini, mahasiswa tahun 1 Mu’tah membentuk ukhwah. Rehlah bersama-sama, bergembira dan kemudian mengambil iktibar bersama. Ya Allah, eratkan ukhwah antara kami di bawah payung redha dan rahmat Mu ya Rabbul ‘Alamin...


Pesona Hijrah 1432, mencatat debaran dan getaran pada hati dan perasaan. Walaupun masih belum membuat keputusan, tetapi DK berdoa agar istikharah dan doa menjadi tunjang kekuatan dalam ketentuan. Apakah DK sudah bersedia untuk menambah tanggungjawab yang sedia ada?



Pesona Hijrah 1432, semuanya terbongkar. DK rindukan kedua ibu dan ayah di perantauan. DK rindukan ahli keluarga DK di sana. Along, Kak Fiza, Abang Azrul, Angah, Alang, Izzul Hariz, Aina Zukrina dan Safiya Zulaikha. Di dalam sejuk yang menggigit tulang, DK menatap gambar family yang tertampal di dinding locker. Mereka menanti kepulanganku dengan kejayaan.


Pesona Hijrah 1432, DK mahu berubah. Bagaimana? DK akan mencari jawapannya. Selepas mendengar bicara dari mereka, DK semakin percaya. Bagaimana DK mampu nafikan apa yang DK rasa? Tetapi DK juga tidak mahu hampakan mereka.



Persoalannya, apakah DK mampu menggalas tanggungjawab yang dulu satu kemudian bakal menjadi dua?



Pesona Hijrah 1432, DK berazam. DK ingin kembali merealisasikan apa yang pernah DK impikan. Blog lama DK, Luahan Dari Pena menyaksikan impian DK, mahu membuktikan bahawa al-Quran & hadis merupakan suatu yang menyeronokkan. DK juga mahu menjadi seorang yang terbuka, berlapang dada, always think positive dan sentiasa berbaik sangka. Inilah janji DK dulu yang masih belum dikota.



Dan Pesona Hijrah 1432, ketibaanmu, menjadi tanda tanya, apakah diri ini akan terus kekal seperti sedia kala, atau menjadi yang terbaik dan lebih baik dari apa yang ada.



Hanya tinggal diri sendiri yang memilih, mahu terus leka, atau melangkah gagah menggalas tanggungjawab yang bakal bertambah.


Pesona Hijrah 1432,
Jadikannya titik untuk berubah,

Buktikan dirimu,

Segagah dan seindah kalam bicara

Yang kau nukilkan di atas lembar sejarah



Pembukaan Pesona Hijrah 1432,

Dirimu kini menjadi saksi,

Dan orang diluar sana yang akan menghakimi

Kerna kata mereka yang pakar dalam motivasi

Action speak louder than words!



Dan Pesona Hijrah 1432,

Ianya kini telah bermula,

Misi memburu dan merealisasi,

Apa yang pernah diimpi

Apa yang pernah tercatit dalam pelan rangka
,
Menggapai mimpi...



Apabila diri telah bersedia,

Akan aku katakan pada mereka,

AKU PASTI BERJAYA!!!


Salam Ma'al Hijrah DK ucapkan kepada semua sahabat....
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda,
"Sebaik2 puasa selepas bulan ramadhan adalah bulan Allah,iaitu Muharam."
(riwayat Muslim, no hadis 1982)


12/08/2010

Mati adalah pasti!!

Tanah tempat kita berumah nanti....
-kredit gambar Qurban-

Apakah aku telah bersedia untuk mati??
Ingat! Kematian tidak pernah memandang kita muda atau tua, kita lemah atau kuat, kita miskin atau kaya, kita kecil atau besar.....

KEMATIAN TETAP AKAN MENDATANGI KITA!!!

Firman Allah bermaksud:
“Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al Munafiqun: Ayat 11)



12/07/2010

Monolog Hati 3



Aku rindukan haruman syawarma panas yang enak. Aku rindukan rasa kapucino swendea yg manis. Aku rindukan manisnya kinafah, halawiyat yang tidak tertanggung manisnya. Aku rindukan suasana ketika musim sejuk menyapa, enaknya, kalau ketika itu dibancuh air coklat Winner panas.


Dia tersenyum. Satu persatu pakaian dan barang-barang keperluan dipandangnya. Tangannya mula melipat baju dan memasukkan barang-barang tersebut ke dalam beg. Dua beg besar yang akan dibawanya bersama kembali ke bumi bersejarah.


Untuk seketika, fikirannya tertumpu jauh dari mengingati semula peristiwa yang membuatkan hatinya berduka. Kenangan di medan ilmu menjadi perhiasan memorinya.


“Aiman, kenapa mengelamun tu?”


Dia menoleh. Wajah tua ibunya menggamit rasa hiba. Ya, sekali lagi, dia akan meninggalkan ibu dan ayahnya. Dia akan kembali ke medan ilmu yang jauh dari tanah airnya. Tiket penerbangannya adalah esok. Pukul 10 pagi di KLIA.


“Ayah tak balik lagi bu?”


“Belum lagi. Alah, kejap lagi balik la tu. Katanya ada mesyuarat lepas Isyak tadi.”


“Ibu, esok Aiman akan bertolak balik semula ke sana. Ibu takda kawan gaduh lagi lah lepas ni ye, “ dia menarik tangan ibunya untuk duduk. Ibunya diam tidak bersuara. Barangkali menatap anaknya yang semakin dewasa dimamah usia.


Ya, usiaku sudah menganjak 23 tahun. Tak sangka, aku dah tua. Hahaha.... dan tak sangka, segalanya berlaku seiring dengan cita-citaku. Ya Allah, aku bersyukur padamu.


وَالْفَرَاغُالصِّحَّةُ:النَّاسِ مِنَ كَثِيْرٌ فِيْهِمَا مَغْبُوْنٌ نِعْمَتَانِ


Dua nikmat yang manusia sering tertipu, iaitu waktu sehat dan waktu lapang. Riwayat Bukhari, Tirmizi, Ibnu Majah dan beberapa orang lagi. Dan umurku, berapa banyak telah aku siakan dua peluang itu?



12/04/2010

Monolog Hati 2



Benar, dulu aku berubah kerana dirimu. Kali pertama aku mengenalimu, kali pertama aku mengetahui siapa dirimu, kau gadis yang berjaya membuat diriku termenung, resah tiap waktu. Bukan resah kerana hatiku diulit perasaan padamu, tetapi resah kerana peribadiku tidak sedikit pun layak untuk dirimu.

“Oh.....” dia mengeluh.

Dia mengalihkan pandangannya. Tidak sanggup untuk menatap terus wajah gadis itu.

“Aiman, kau nak ke mana tu?”

Langkahnya terhenti. Dia menoleh sambil menggagahkan diri untuk tersenyum.

“Tahniah pul, selamat pengantin baru.”

Segak kau Epul. Pakaian raja sehari berwarna emas, memang padan dengan kau. Faiz Saifullah, kau memang beruntung dan bertuah. Semoga kau bahagia.

“Aku balik dulu,” dia meminta izin sambil menghulurkan salam.


“Ok, baik-baik. Nanti kirim salam dengan pak cik dan mak cik ye. Lama aku tak jumpa mereka.”

Dia mengangguk. Sahabat karibnya kini sudah mempunyai teman baru. Teman yang bakal menceriakan lagi kehidupannya. Tahniah sahabat, aku doakan kebaikan dan kebahagian untuk kau dan isteri kau....


12/02/2010

Monolog Hati....


“Kau belum mengenal siapa sebenarnya diriku. Dan andai kau mengenali siapa aku sebenarnya.....”


Bicara hatinya terhenti di situ. Dia tidak mampu menelan hakikat memori hitam lamanya. Matanya masih mengintai senyuman ceria gadis yang berjaya mencuti hatinya itu. Riuh rendah majlis pernikahan hari itu, hilang sebaik melihat gadis itu.


Ya, itulah gadis yang membuat hatinya resah tidak menentu. Dan itu juga gadis, yang membuatkan dirinya berubah kepada dirinya yang baru.


Tetapi, apakah gadis itu yang menjadi jawapan hatinya?