RSS
Facebook
Twitter

1/29/2012

Aku & Sebuah Senyuman

kredit to : Rusydee Artz


Aku & Sebuah Senyuman

Aku dan sebuah senyuman,
Senyumanku tidak manis,
Bahkan ada yang takut melihatnya
Disangka aku sedang marah katanya

Tetapi aku masih memilih senyuman,
Andai di wajah tidak terserlah
Pada perbuatan aku mencuba

Aku tidak pandai tertawa berdekah-dekah
Namun, melihat mereka ceria dan gembira
Sudah cukup bagiku ia sebagai tanda

Kata orang
Senyum tanda mesra, Senyum tanda senang
Senyum juga tanda sayang

Jadi aku rasa, tidak salah aku memilih
Untuk sentiasa berusaha tersenyum
Walau di saat dunia menjadi beban padaku

Tetapi.....



"i'll always smile even the world is very hard for me, i dont want people around me know me except with a smile..." - D.K.


Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran:

“.... dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu, dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.
[surah al-Baqarah: 216]

Tafsir ‘Azim karangan Imam Ibnu Kathir [1] ku pegang erat di sisi. Jalanku perlahan menikmati angin yang sepoi-sepoi bertiup. Setiap kali kaki melangkah, satu persatu fikiranku berputar, menghadamkan apa yang dilontar oleh sekeping warkah penuh rasa.

Terkeluar dari bibirku satu keluhan kecil, melepas rasa yang terbuku di dada. Beratnya tidak tertahan lagi, seumpama sebuah gunung yang digalas di bahu seekor semut. Aku pernah membaca yang seekor semut mampu memikul sesuatu yang mempunyai 6 kali ganda berat daripada dirinya. Tetapi tidak kepada sebuah gunung yang pastinya memiliki berjuta kali ganda beratnya.

“Ayat ini ditafsirkan tidak penuh, hanya sebahagian,” hati kecilku berbisik. Bukankah di awal ayat ada menerangkan sesuatu yang penting?

Hampir separuh dari tasik KUIS telah aku kelilingi. Sengaja aku melangkah perlahan, sambil menikmati tiupan angin yang menghembus, dalam masa yang sama aku juga ingin melihat ragam mereka yang sedang sibuk mengurus kehidupan sebagai seorang mahasiswa sebelum senja memerah.

Seperti biasa aku memilih untuk melabuhkan punggungku di bawah sepohon pokok berdekatan dengan menara ‘flying fox’ berwarna biru. Menara itu baru sahaja selesai dibina, masih belum dirasmikan lagi.

Dari situ aku memandang susuk kubah masjid al-Azhar yang tersergam indah. 3 tahun lamanya aku menimba pengalaman dan pengetahuan, tempat yang banyak memberi kesan kepada diriku ini akan aku tinggalkan.

Allah s.w.t. berfirman:

“Diwajibkan ke atas kamu untuk berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci....”
[surah al-Baqarah: 216]

Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya mengurai ayat ini dengan mengaitkan ia dengan jihad dan peperangan. Sebagaimana yang disebut oleh Imam az-Zuhri [2]: “jihad itu wajib atas setiap manusia, baik dia ahli dalam peperangan mahupun tidak....” [3]

Kalimah benci yang disebut dalam ayat ini juga ditafsirkan sebagai peperangan. “Ini kerana ianya (iaitu peperangan) amat berat bagi kamu dan banyak kesusahan,” nukil beliau (Imam Ibnu Kathir) lagi.

Kesusahan dan rasa amat berat yang dimaksudkan adalah kerana peperangan itu akan membawa seseorang itu kepada kematian ataupun cedera parah, ditambah pula dengan kepayahan dalam perjalanan serta di saat pertemuan dengan musuh. Dan inilah yang dimaksudkan dengan ‘sesuatu yang kamu benci’.

Sekeping warkah penuh rasa itu ku tatapi dengan penuh erti. Isi kandungan surat ini didahului dengan firman Allah yang dipetik dari ayat yang aku baca awal tadi. Aku mengerti, tujuannya adalah untuk membuka mataku mengenai ketentuan Illahi. Secara umumnya, ayat ini boleh dijadikan sebagai satu motivasi.

Satu inspirasi, bahawa tidak semuanya yang berlaku dalam kehidupan kita berjalan seperti mana yang kita suka. Sahabatku pernah berkongsi, “Hidup ini umpama roda, tidak selalu kita berada di atas, kerana masa lain kita perlu berada di bawah”.

“Mengapa pula kita ‘perlu’ berada di bawah?” aku bertanya. Hairan, mengapa dia menggunakan kalimah ‘perlu’ di situ.

Dia tersenyum. Senyuman yang tidak akan aku lupakan. Senyuman berharga dari sebuah ikatan persahabatan.

“Kerana dengan berada di bawah itulah kita merasai erti sunnatullah. Manusia tidak akan sedar mengenai realiti sebenar kehidupan, sehinggalah dirinya terhantuk dalam sebuah sesi ujian kehidupan dari tuhan.”

Ringkas, tetapi amat dalam maknanya. Aku menyapu dedaun kering yang gugur di peha. Sesekali retina mataku melihat biasan wajah yang terpamer di kaca permukaan tasik.

Dadaku sesak dengan perasaan yang bercampur baur. Retina mata yang memandang biasan di atas jernih air tasik itu menjadi kabur, seakan air tasik itu diserap pindah ke kelopak retina.

Akhirnya nama tuhan Yang Membolak balikkan hati hamba-Nya terpantul keluar dari bibirku.

“Allah....” halus bibirku menyebut. Perlahan, berharap hati akan merasai kebesaran Yang Maha Kuasa.

Ku pejamkan mata. Ku hempaskan tubuh, bersandar di atas bumi, mengadap langit luas, mencari sinar harapan, mencari cahaya kekuatan.

“Allah, berikan aku kekuatan untuk berhadapan dengan ujian ini,” bisik hati kecilku lagi. Saat ini, air mataku mengalir, sedikit, merai hati yang merasai beratnya ujian dari Illahi.

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan (ujian) kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan (hasil rezeki). Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
[surah al-Baqarah: 155]

“Perhatikan,” dia memandang diriku.

“Perhatikan ayat ini betul-betul. Ayat ini adalah merupakan peringatan kepada kita dari DIA Yang Maha Pencinta mengenai bentuk-bentuk ujian kehidupan yang akan kita hadapi”.

Sahabat, kau banyak membuka mataku mengenai realiti kehidupan. Aku terhutang budi denganmu selalu. Dan kini aku sedang berhadapan dengan salah satu ujian dari tuhan, ujian kekurangan jiwa (perasaan).

Al-Anfus (الأنفس) ditafsirkan sebagai kematian ahli keluarga dan orang terdekat serta orang yang tersayang [4]. Rasa sedih dan kecewa yang dialami oleh manusia saat semua itu berlaku.

“Andai semua itu berlaku pada dirimu, ingat wahai sahabatku, Allah memujuk kita agar menjadi golongan yang bersabar. Kerana mereka yang bersabar ini bakal diberi khabar gembira dari-Nya”.

Aduhai sahabat, saat inilah semua kata-katamu itu terngiang di telinga. Nasihat-nasihatmu yang dulunya aku sekadar menyimpan sebagai kenangan, kini menjadi satu kekuatan bagi diriku.

Ya Allah... seberat ujian yang Engkau berikan, rupanya kau turutkan juga sebuah kekuatan!

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan...”
[surah al-Insyirah: 5-6]


Nota kaki:

[1] Beliau adalah Abu Fida’, Ismail bin Kathir al-Qurasyi al-Dimasyqi, pengarang kitab tafsir al-Quran al-‘Azim. Dilahirkan pada 700 Hijrah. Antara guru-guru beliau adalah Ibnu Taymiyah, Imam az-Zahabi, Abu Hajjaj al-Mizi dan Imam al-Syaibani. Pengarang kitab ‘Bidayah wan Nihayah’.

[2] Beliau adalah Muhammad bin Muslim bin ‘Ubaydillah bin ‘Abdullah bin Syihab al-Zuhri. Antara guru-guru beliau adalah Anas bin Malik, Abi Tufail dan Abdullah bin Tha’labah.

[3] Tafsir al-Quran al-‘Azim, terbitan Dar al-Ghad al-Jadid, jilid 1, m/s 236.

[4] Tafsir al-Quran al-‘Azim, terbitan Dar al-Ghad al-Jadid, jilid 1, m/s 184.


1/24/2012

"Dari Hati Kecil Kami...."


"Sebelum aku menimba ilmu di Universiti al-Azhar al-Syarif, aku termasuk dalam kalangan mereka yang berpendapat bahawa kahwin sangat menganggu pelajaran serta merupakan suatu penghalang yang sukar untuk diatasi bagi seorang pelajar untuk menuntut ilmu.

Tetapi, apabila aku berkahwin kira-kira dua tahun sebelum tamat pengajian, aku mula mengubah fikiran. Aku dapati kahwin adalah faktor yang paling besar dalam membantu pelajar mendapatkan fikiran yang lapang, jiwa yang tenang dan kehidupan yang indah lagi bahagia..."

Petikan kata-kata Dr Abdullah Nasih Ulwan (pengarang kitab "Tarbiyatul Awlad") ketika beliau mengulas mengenai isu pernikahan menganggu pelajaran. Sambung beliau lagi, "... Aku juga berangan-angan kalaulah aku berkahwin semenjak hari pertama aku menuntut ilmu, ia akan menjadikan fikiranku selamat dari bisikan syaitan dan jiwa yang mengganggu kehidupan seorang remaja yang bujang dan mengganggunya dalam persediaan rohani, ilmu dan akhlak."

Sheikh Salih Fauzan juga turut membantah mereka yang menyebut bahawa pernikahan adalah gangguan dalam pembelajaran. Beliau berkata :

"Apa yang dikatakan 'kahwin muda mengganggu proses menimba ilmu dan pelajaran', tidak boleh diterima. Malah, yang sebetulnya adalah sebaliknya kerana pernikahan sentiasa memberikan kelebihan sebagaimana yang telah kami sebutkan."

Pernikahan memberikan kelebihan kepada para penuntut ilmu. Kelebihan yang bagaimana?

Sheikh Salih Fauzan menerangkan, "Antaranya ketenangan, kedamaian, kepuasan jiwa dan penenang mata. Semua ini antara faktor yang membantu pelajar mendapatkan ilmu."

Beliau juga turut memberikan peringatan mengenai kesan tidak bernikah kepada para penuntut ilmu.

"Sebenarnya, tidak bernikahlah yang menghalang pelajar daripada mencapai cita-cita ilmunya. Hal ini berlaku kerana fikiran yang berserabut dan jiwa yang bergelora tidak memungkinkan untuk mereka memperolehi ilmu."

"Tetapi, apabila dia berkahwin, keadaannya menjadi tenang, jiwanya damai, dia memiliki sebuah rumah yang dia dapat bernaung di bawahnya. Dalam masa yang sama si isteri dapat bermesra-mesra selain membantu dirinya. Semua ini adalah faktor yang dapat membantu seorang penuntut ilmu menimba ilmu."

Subhanallah... serba sedikit kisah-kisah yang dikongsi oleh para ulama masa kini mengenai pernikahan di usia muda khusus ketika belajar. Semua kisah ini dipetik daripada sebuah buku yang bertajuk, "Dari Hati Kecil Kami".


Dari Hati Kecil Kami...
.



Merupakan karya sulung bagi seorang mahasiswa Universiti Mu'tah yang bakal bergraduasi tahun ini. Ustaz Muhammad Izzat al-Kutawi, mahasiswa Usuluddin, Universiti Mu'tah dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah (PERMATA) telah berjaya menerbitkan hasil karya beliau yang pertama.

Buku "Dari Hati Kecil Kami" ini memuatkan perbincangan, nasihat dan tip-tip yang berkaitan pernikahan terutama bagi mereka yang masih bergelar mahasiswa.

Di awal pembacaan buku ini, para pembaca dihidangkan dengan pelbagai isu-isu yang dasyat berkaitan masalah sosial remaja kita pada hari ini serta persoalan mengenai pernikahan sebagai solusi dalam bab "Isy, dasyatnya!".

Kemudian penulis mengulas pula mengenai perkara-perkara yang menghalang perlaksanaan pernikahan sebagai penyelesaian dalam bab "Tapi....".

Diantara masalah yang menjadi penghalang adalah rasa malu untuk memberitahu keluarga.


Sheikh Abdullah Nasih Ulwan, pengarang kitab "Tarbiyatul Awlad" - goodreads

Sheikh Abdullah Nasih Ulwan di dalam bukunya "Aqabat az-Zawaj" telah mengingatkan :

"Apakah yang membahayakan remaja jika dia berterus terang kepada bapanya dengan memberitahu bahawa dia perlu bernikah, atau berbisik memberitahu keperluannya yang penting ini? Berdosakah ia kalau melakukan seperti itu, atau ia dikira melakukan perkara mungkar?

Apakah juga membahayakan si ayah kalau berterus terang berbincang mengenai pernikahan, atau adakah dengan berbincang mengenai pernikahan ini melampaui batas-batas pendidikan dan tidak termasuk di dalam suruhan agama?"

Selain daripada itu, halangan dan kekangan yang masyhur dikalangan mahasiswa yang mahu bernikah ketika belajar adalah isu ekonomi dan kewangan.

Penulis mengulas perkara ini dengan sabda Rasulullah s.a.w. :

"Ada tiga golongan yang semuanya berhak mendapat pertolongan daripada Allah, iaitu orang yang berjuang di jalan Allah, orang yang bernikah kerana memelihara diri daripada melakukan perkara haram, dan hamba yang berusaha memerdekakan diri." [1]

Selain daripada itu, Allah s.w.t. juga telah memberi khabar gembira kepada hamba-hambaNya yang bernikah dengan niat menjaga agamanya sedangkan diri mereka miskin di dalam surah an-Nur : 32 yang bermaksud :

"...Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui".

Ibnu 'Abbas r.a. menafsirkan ayat ini, "Allah memerintahkan supaya berkahwin dan menggalakkannya. DIA juga memerintahkan hamba-hambaNya supaya menikahkan orang-orang yang merdeka dan hamba-hamba mereka serta DIA menjanjikan kekayaan kepada mereka". Beliau berkata lagi, "Jika mereka miskin, Allah akan berikan kekayaan kepada mereka dengan limpah rahmat-Nya". [2]

Allah Yang Maha Pengasih juga tidak sekadar menjanjikan kekayaan dari sudut harta, bahkan kekayaan jiwa bagi diri setiap hamba-hambaNya yang telah bernikah. Seperti mana firmanNya dalam surah ar-Rum : 21,

"Dan antara tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat) Nya adalah DIA menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".

Dan penulis mengakhir dengan kata-kata Thawus [3] :

"Amal ibadah remaja itu tidak akan sempurna sehinggalah dia bernikah". [4]

Selepas mengulas dalam bab "Tapi....", penulis meneruskan dengan bab "Tiada Alasan Lagi!". Dalam bab ini, penulis membincang mengenai kesan sekiranya cadangan penulis diterima mahupun ditolak.

Pandangan ulama mazhab khususnya mazhab Syafie mengenai pernikahan ini boleh didapati dalam bab "Bukan Semuanya Sama" dan dalam bab "Tunggu Dulu!" penulis menyatakan mengenai persediaan-persediaan sebelum pernikahan.

Dan akhir sekali, penulis menyampaikan nasihat-nasihat kepada bakal suami dan isteri dalam bab "Selamat Pengantin Baru".

Alhamdulillah, D.K. pun dah selesai baca buku ni. Banyak persoalan-persoalan yang sering bermain dalam minda D.K. terjawab. Tahniah kepada penulis buku yang juga merupakan senior D.K. kerana berjaya menghasilkan buku "Dari Hati Kecil Kami".

Jadinya, setakat ini sahaja D.K. mengulas serba sedikit buku tersebut. Nak dapatkan buku ni, untuk pelajar Jordan boleh dapatkan daripada Biro Ekonomi PERMATA. Dan untuk luar Jordan.... kita boleh cerita kat email D.K. : syafiqkuis@yahoo.com

wallahu'alam....

kredit to : Rusydee Artz


nota kaki :

[1] Riwayat Tirmidzi, Nasa'i, Ibnu Majah, Ahmad, al-Hakim dan Ibnu Hibban. Tirmidzi meng'hasan'kan riwayatnya. Dihasankan juga oleh al-Albani.

[2] Riwayat Thobari dalam tafsirnya.

[3] Beliau adalah Thawus bin Kaisan al-Yamani, tabi'ien besar yang sempat berguru dengan Ibnu 'Abbas, Ibnu 'Umar dan Abdullah bin 'Amr. Ibnu Hibban mengatakan : beliau termasuk dalam kalangan ahli ibadat Yaman dan penghulu tabi'ien. Beliau telah mengerjakan haji sebanyak 40 kali dan mustajab doanya. Rujuk : "Siyarul A'alam an-Nubala'".

[4] Riwayat Sa'id bin Manshur.


1/22/2012

No You Cant Take It ...


No You Cant Take It


Zain Bikha ft Abd Malik Ahmad



Chorus



No You Can’t Take It with You When You Go
Oh No You Can’t Take It with You When You Go
Can’t Understand Why You Keep Holding On
Just Cos You Can’t Take It With you, No You Can’t Take It with You
Yes, You Can’t Take It with You When You Go,
Oh When You Go



Verse 1
I See You Pride Yourself In Your New Car
Chatting On Your Compact Nokia
And You Love Your Expensive Clothes
But You Can’t Take It With You When You Go,
Oh When You Go



Chorus



Verse 2
No You Can’t Take Your Big Screen TV
Nor your Variety Of DVDs
No You Can’t Take You Designer Shoes
Everything You Have, You Gonna Lose



Chorus



Verse 3
Cos there’s One Thing That Matters, When You Walking Down That Street
Is the Good and Bad You Sent Forth, In Your Book of Deeds
So Make Sure That You’re Ready, To Receive It in Your Right Hand
And Take Your Place among the Righteous Of Man



Chorus



Rap
You plan to be richer,you stash to be bigger.
But man get the picture, you can’t take it with ya.
Your cell phones, head phones, flat screens, ring tones,
Big homes, gemstones, power from big loans, collections of new shoes,
Connections of Bluetooth, vacations where you cruise the young ones go OOH!
You go shop for robots or gold watch or what not.
Your CDs of hip hop, your lap tops. Just STOP! & let go.
When you die say bye-bye. What is best is inside.
Fill the scale up with deeds so you best when you part,
Put the wealth in your hand; take it out of your heart.
Give thanks for the wealth that your Lord will bestow.
But no! That you can’t take it with you when you go.



Chorus



ps : simple lyric but very deep meaning. DK love it very much, plus without music instrument... huhuhu. Next time i'll share with you the other song, of course WITHOUT MUSIC INSTRUMENT!!!



1/17/2012

Aku Menulis...





Sudah 3 tahun masa berlalu. Dan tahun ini merupakan tahun ke 4 saya menyelusuri bidang penulisan. Saya bukanlah seorang yang aktif menulis. Bahkan bila diperhatikan, selama 3 tahun ini, hasil penulisan saya dibandingkan hari-hari yang berlalu, sebenarnya tidak sepadan. Saya juga masih perlu banyak belajar untuk menulis. Corak penulisan saya seringkali berubah.



Adakalah saya bercerita tentang huraian hadis nabi. Kemudian beralih arah ke arah persoalan cinta. Saya cuba menulis cerpen bersiri mahupun cerpen tanpa siri. Kerana bidang ini juga telah menemukan saya dengan sahabat-sahabat blogger yang hebat dalam tulisan.



Di KUIS dulu saya bertemu dengan Akhi Jawwad Busyro dan Akhi Amir Hamzah. Merupakan dua sahabat saya yang memberi impak kepada saya untuk menulis. Sehinggakan ketika di semester akhir, saya dan akhi Amir Hamzah menubuhkan sebuah kumpulan yang diberi nama ‘Ikatan Penulis Indipenden’ (IPI). Namun saya terputus hubungan dengan kumpulan tersebut setelah tamat pengajian di KUIS.



Dalam tempoh ‘percutian’ setelah graduasi. Hampir 3 bulan lamanya saya ‘menggila’ duduk di rumah. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan suasana hidup di kampus dan asrama, duduk di rumah membuatkan saya buntu dan bingung dari membaca dan menulis. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah di kampus yang sama.



Namun begitu, mood untuk menulis dalam diri ketika itu semakin pudar. Blog yang terpapar di laman maya semakin berhabuk dan bersawang. Hanya sesekali sahaja saya menulis artikel baru. Ketika itu saya amat tidak berpuas hati dengan hasil penulisan saya. Saya tertanya-tanya kepada diri, “Mengapa saya tidak melihat diri saya dalam penulisan saya?”



17 September 2010 saya berangkat menuju ke bumi Jordan. Universiti Mu’tah menjadi pilihan untuk menimba ilmu.



Sekali lagi minat menulis saya bergoncang. Kekurangan sumber bacaan dan kefahaman dalam pembacaan membuatkan saya tertekan. Saya menjauhkan diri dari penulisan. Saya dikelilingi oleh buku-buku yang satu ketika dahulu menjadi impian saya, tapi saat ini saya merasakan seakan mereka adalah pisau dan pedang yang menghiris-hiris diri. Kelemahan saya adalah perbezaan bahasa. Ketika itu saya tidak mampu untuk membaca buku-buku bahasa arab dengan penuh kenikmatan.





Sepanjang semester pertama, saya melaluinya dengan kemurungan. Suasana masyarakat yang berbeza. Masalah bahasa. Dan yang memberi tekanan lagi kepada saya apabila saya tak dapat meneruskan lagi kebiasaan saya ketika di Malaysia dulu iaitu memastikan di sisi saya sekurang-kurangnya satu buku bacaan ke mana sahaja saya pergi.



Sebaik sahaja tamat semester pertama, saya mengurung diri di rumah. Hanya memandang suram dengan ajakan rakan-rakan yang mengajak saya berjalan mengambil angin. Mengenali bumi Jordan yang dibanggakan.



Rupanya ada juga sahabat yang merasai perkara yang sama seperti saya. Akhirnya saya dan sahabat saya, Ustaz Fakhrul Hikmi mengambil keputusan untuk merantau ke bumi yang mencatat sejarah pengembangan ilmu Islam, bumi Syria!



25 Januari 2011, saya berdiri di sisi jalan bertentangan dengan masjid Abdur Rahman bin ‘Auf. Malam di bumi Dimasyq meriah seakan merai kehadiran kami. Selepas sehari suntuk merentasi sempadan dari Mu’tah menuju ke Dimasyq, dengan masalah yang terpaksa kami hadapi ketika melintasi sempadan. Sahabat yang sepatutnya menjadi petunjuk jalan, dihalau balik ke Jordan.



Di Syria, pandangan saya terhadap kehidupan di tanah arab berubah. Sikap arab Syria yang meraikan penuntut ilmu yang hendak belajar bahasa mereka amat menyenangkan. Saya tidak berasa malu untuk salah, berbanding di Jordan khususnya Mu’tah, saya seringkali diejek dan diketawakan oleh arab sana apabila salah atau melafazkan fushah.



Semangat untuk menulis sedikit demi sedikit tercambah. Keinginan untuk berkongsi pengalaman bersahabat dan bermesra dengan sahabat-sahabat daripada pelbagai negara di Ma’had Fatah Islami menjadi kekuatan kepada saya untuk menulis. Pengenalan saya dengan seorang sahabat, akhi Rusydan, seorang novelis muda yang baru sahaja selesai mencetak novel sulungnya di bumi Syria menaikkan semangat saya lagi untuk menulis.



Rusydan membakar semangat saya untuk merangka novel. Dan semestinya saya terbakar. Saya cuba mengutip sebanyak mana ilmu dan tips dari dia. Meskipun umurnya lebih muda daripada saya, tetapi bakat dan ilmunya, melangkaui batas umur.



Syria bergolak. Dar’a, Homs dan Hama mula bergegar dengan dentuman bom dan hujanan peluru. Ramai sahabat pulang ke Malaysia, termasuk Rusydan yang kebetulan sedang berusaha untuk menerbitkan novelnya di Malaysia pula. Kimi, sahabat yang datang ke Syria bersama saya juga telah melangkah pulang ke Jordan. Masih ada dua bulan lagi sebelum tarikh untuk saya keluar dari Syria.



Sisa-sisa umur di Syria saya manfaatkan, saya berkongsi rasa melalui penulisan. Berat hati untuk meninggalkan bumi Dimasyq. 26 Ogos 2011 saya berangkat pulang ke Malaysia. Selepas terpaksa berhadapan dengan polis dan mahkamah di Syria gara-gara visa yang mati hampir 4 bulan lamanya. Alhamdulillah, sehinggalah tiba di Malaysia, dan pulang semula ke bumi Mu’tah. Semangat untuk menulis pulih sedikit demi sedikit.



Dan hari ini, tahun 2012, tahun ke 4 semenjak kali pertama jemari menari di atas kertas. Laptop warisan ayahanda yang banyak menguji kesabaran sentiasa menjadi peneman setia saat ingin berkongsi rasa dan pengalaman. Selepas 16 hari berlalu, ini merupakan entry kedua di blog Diari Kembara (D.K.).



Di Mu'tah ini juga terdapat ramai sahabat-sahabat yang hebat menulis. Kesemua mereka memberi kekuatan kepada untuk menulis. Doakan saya.....



Sekadar mengimbau perjalanan kehidupan saya dalam dunia penulisan.



Kepada sahabat-sahabatku yang penulisan mereka menjadi pendorong : Muizzuddin, Nik Faiz, Izzat al-Kutawi dan ramai lagi. Boleh tengok senarai blogger Mu'tah di sebelah kanan blog ni.



“Sebuah penulisan itu tidak terhasil jika tiada sebarang pembacaan dilakukan.” Ini yang saya dapat rumuskan. Kita tidak dapat memberi sesuatu sekiranya kita tidak menerima. Kita tidak akan menerima sesuatu, sekiranya kita tidak mencarinya.





“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan, Dia Telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”


Surah al-‘Alaq : 1-5



1/04/2012

1st day to school... (^^,)



4/1/2012


Bayt Nawawi, Mu’tah, Jordan.



Sekejap sahaja masa itu berlalu. Berlalu laju tanpa menunggu manusia yang sebahagiannya terkial-kial masih berlajar mahu menyusun waktu. Tetapi beruntung pada mereka yang saat masa cuba memintasnya, rupanya tiada sedikit peluang pun dia rela dikalahkan oleh masa yang pantas dan tangkas itu...



Pagi-pagi yang sejuk, aku bangkit dari lena, terus bangun bersiap membasuh diri untuk mengadap Illahi. Air dingin mengalir, sejuk, langsung tak beri muka. Ucapan Basmalah terbit di bibir, berharap agar hari ini dimulakan dengan nama Yang Maha Pencipta. Hamdalah juga jangan dilupa, kerana kebelakangan ini, banyak sungguh kes sahabat-sahabat yang tidak berpeluang untuk menikmati hari ini, kerana mereka telah menerima jemputan Illahi Rabbi.



Teringat pesan ibu kalau bila ibu kejut bangun subuh, aku bangun dalam keadaan mengeluh atau menghempas-hempas kaki, “Tak bersyukur le tu dapat bangun tidur.” Diriwayatkan secara mafhum dari anaknya. Biasanya lepas ibu kata gitu, aku tak hempas kaki da, tapi masih buat muka tak puas hati, sebab nak jaga ego, konon hati tak tersentuh dengan kata-kata ibu.



Bila difikirkan semula, betul gak, andai 6 jam kite terlena itu, Allah tidak memberikan kesempatan kita untuk membuka mata kita semula, Allah....



Moral of the story, “Jangan lupa baca doa bangun tidur!!!”



Sekarang ni minggu exam Niha’ie, dan paper aku yang seterusnya adalah 8/1/2012, yeay!, masih boleh relaks lagi (betul ke?). Pagi-pagi buka laptop, ngadap muka buku dan blog. Tengok nortification, agak banyak dari biasa. Suka, sebab tak pernah dapat banyak gitu. Tapi bila aku cek, berubah riak muka, rupanya kengkawan aku tag supaya tak lupa tugas aku sebagai ahli jawatankuasa program. Uuuhhhhhh....!



Tertarik salah satu status rakan muka bukuku. “1st day to school!!” Hati kecilku berbisik, “Eh, budak-budak dah mula sekolah ke?”





Huhuhu.... tak perasaan pun, rupanya cuti sekolah dah tamat. Masa untuk belajar!! Terbayang wajah Izzul Hariz, Aina Zukrina dan Safiyah Zulaikha (aik yang ni kan kecik lagi...), “Deme mesti sekarang ni tengah bersiap nak pergi sekolah”. Tetapi baru aku sedar, walaupun jam dinding bilikku menunjukkan jam 7.30 pagi, tetapi hakikatnya di Malaysia sudah pun 1.30 tengah hari... Segera aku membetulkan ‘status’ hati ku tadi, “Deme mesti sekarang ni tengah bersiap nak makan tengah hari.” Aku tersenyum puas! LIKE!



1st day to school...



Ingat dulu masa hari pertama pergi sekolah. Darjah satu. Aku masuk ke kelas dengan wajah... emm.. rasanya ceria kot. Huhuhu... tetapi yang aku ingat, bila loceng rehat berbunyi, aku keluar dari kelas 1 Kuning tuh (kelas pertama kot), aku nampak wajah ayah aku kat luar. Dapat makan donut free, ayah belanja. Huhuhu... Terbaik!



Hampir 17 tahun kenangan itu berlalu, hari ini aku tegak berdiri jauh dari sanak saudara dan ahli keluarga. Merantau ke bumi yang menjadi saksi sejarah Islam memekar (seakan bermimpi... (-_-) huhuhu..).



“Hiyargh!!! Hikmat menyelak buku Manahij Mufassiriiinn!!!”



KEBAAABOOMM!!!!



Aku terlentok di tepinya, sambil menguis-nguis helaian muka surat dengan hujung jari. Adeh... dugaan musim sejuk, mujur takde sobah, kalau tak, sobah + lihaf tebal harimau bintang (trademark aku nih) = tidur dengan selesa, aman dan tenteram... hehehe.



“Asal kebaikan adalah ilmu dan tazkiyyah (muhasabah), dengan keduanya akan dapat menutup jalan kerosakan dan semua jalan yang menuju ke arahnya (kerosakan) adalah syahwat dan syubhah. Dan tazkiyyah akan menolak syahwah, manakala syubhah dapat dilenyapkan dengan ilmu.”



dinaqalkan daripada Abu ‘Ubaydah Masyhur bin Hasan, Muqaddimah kitab ‘Qamus Bida’.



Sekadar memetik seuntai kata yang menarik perhatian. Rasanya berbaloi duduk hampir 5 jam di maktabah Dandis Baru membelek buku-buku kat situ... (pengaruh Ustaz Izzat Kutawi.. hehe). Balik ke Mu’tah dengan bekal buku-buku kontroversi.



Tambah penulis kitab tersebut lagi,



“Sesungguhnya manusia yang memikul tanggungjawab syar’iyyah itu adalah zalim dan jahil, dan dua sifat ini akan terhapus dengan tazkiyyah dan ilmu. Asal manusia adalah zalim dan jahil, sehingga dia mendapati bukti mengenai perselisihan tersebut dengan jalan syar’i”



Ibnu Taymiyah menyebut dalam kitabnya “Majmu’ Fatawa” :



“Dan siapa yang mengatakan asal bagi orang islam itu adalah adil, maka itu adalah batil. Bahkan asal anak adam itu adalah zalim dan jahil. Seperti mana firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 72 : ‘...dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.’



Allahuakbar! Sedangkan bukit, apabila ditaklifkan ke atasnya amanah pun hancur lebur menyembah bumi. Tetapi manusia pula berebut untuk memikul amanah dari Allah. Masya Allah... Akan tetapi, kezaliman itu terhapus apabila manusia bermuhasabah. Mengenal diri, menangisi akan kezalimannya. Menyesali akan ketelanjurannya.



“Kerana manusia itu zalim dan jahil, kecuali pada mereka yang bertaubat kepada Allah”



Sebab itu kita perlu sentiasa melafazkan Istighfar, dan sentiasa mengingati mati. Hakikat kematian akan mengingatkan kita, membuka mata kita, melihat kehidupan dengan jalan keimanan. Kan baginda s.a.w. dah bersabda, mafhumnya: “Orang yang bijaksana itu adalah yang mengingati kematian”.



Moral of the story : “Kalau nak jadi pandai, ingat mati weih!!!” Quoted from my post. Klik sini.



Apapun, dari sekecil 7 tahun, bahkan ada yang lebih awal, kita dipilih Allah untuk menyusun langkah menimba ilmu. Sehingga kini, dengan pilihan masing-masing, kita masih menuntut ilmu. Melenyapkan kejahilan, menghapuskan kezaliman. Inilah tujuan jalan ilmu menjadi pilihan. Tetapi andai setelah laluan ilmu itu dipilih, dan tidak meninggalkan kesan. Wajib atas kita untuk bermuhasabah, adakah laluan ilmu itu dilalui dengan kenderaan iman?



Wallahu’alam.....



“Asal kebaikan adalah ilmu dan tazkiyyah (muhasabah), dengan keduanya akan dapat menutup jalan kerosakan dan semua jalan yang menuju ke arahnya (kerosakan) adalah syahwat dan syubhah. Dan tazkiyyah akan menolak syahwah, manakala syubhah dapat dilenyapkan dengan ilmu.”