RSS
Facebook
Twitter

10/16/2012

Mari Menilai Dunia!!!


Masih terasa lagi hangat semangat ber’induksi’ dengan para mentor dan mursyid Smart Group Mu’tah. Belum dikira lagi hangat semangat rakan sekerja ahli jawatankuasa induksi yang dipilih sekelip mata. D.K. dianugerahkan sebuah pengalaman yang berharga biarpun belum sebulan D.K. menghirup puas udara Jordan yang sedang merangkak ‘below 20 degree celcius’ suhunya.

Mengujakan lagi apabila D.K. diberi peluang untuk menyusun beberapa modul LDK sepanjang 2 hari induksi tersebut berlangsung.

“Inilah masanya,” bisik hati.

Spontan berlegar beberapa modul yang telah lama terceruk di dalam peti idea. Modul yang ingin D.K. cuba setelah sekian lama. Ini masa untuk dieksperimentasikan dengan mereka. Bak kata orang, jarum ubat sudah ada, tikus makmal pun sudah tersedia. Jadi mahu tunggu apa lagi? (“blink!”mata bersinar dengan penuh kejahatan)

Sehari sebelum program bermula, D.K. merayau dari satu rumah ke satu rumah. Walaupun hakikatnya hanya dua rumah sahaja yang D.K. pergi. Mengharap ihsan dari kawan-kawan untuk menyerahkan gegambar yang menarik dan penuh intipati penilaian.

Sempat juga menjamu selera di Mat’am Zanjabil sambil menunggu chef yang juga senpai yang dah pun selesai ijazahnya memindah file ke dalam USB. Menu Mat’am Zanjabil memang terbaik!

Juga sempat menghirup kering dakwat printer rakan serumah yang pada awalnya sukarela menawarkan printernya namun diakhirnya kelihatan riak wajah penyesalan selepas melihat dakwat warnanya bagai dihirup mentari Afrika yang rakus. Maaf, D.K. bayar ye! (^^,)

Demi niat ikhlas yang menjadi pakaian bagi minda yang berbisik, “Tak sabarnya nak test modul nih.”

How you look, how you think...

Ok, first of all, i didn’t think the modul’s name is interesting. How you look , how you think? What the...

‘How you see something, show how you think about it’. Ok, tak boleh jadi tajuk, tapi itulah tujuan modul yang D.K. nak cuba.

Melihat ragam dunia kehidupan dari pelbagai sudut pandang. Kata pepatah, “rambut sama hitam, hati lain-lain”. Begitulah realiti dunia dengan ragam manusia yang rencam, hasil daripada berjuta sudut pandang.

“Seorang lelaki tua, yang sedang duduk di pintu masjid, di atas bangku besi yang sudah seusia dengannya. Dengan kopiah putih lusuh dan raut wajah yang manis dengan senyuman yang dihadiahkan kepada sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke rumah Allah tersebut”.

Nah, bagaimana kalian rasakan apabila melihat keadaan seperti ini?

“Pak cik tu takde rumah ke?”
“Mana anak-anak dia?”
“Pak cik tu mesti takde duit, pengemislah tu.”
“Huh...”
“Eh, dah masuk waktu Zohor ke?”

Bahkan mungkin banyak lagi sudut pandang yang kekadang kita sendiri tak sangka sehingga menimbulkan persoalan, “macam mana dia boleh fikir ke situ?”

Begitu cantiknya aturan Yang Maha Bijaksana, mencipta manusia dengan tersangat teliti. D.K. pernah membaca satu artikel berkenaan hebatnya penciptaan cap jari. Allah menciptakan cap jari berjuta-juta manusia di dunia ini semuanya berbeza. Jika diperhatikan ombak aluran di ibu jari kita, kekadang tak nampak pun perbezaannya, namun jika diperhatikan lebih halus, nah, rupanya perbezaan itu amat halus dan kecil. Dan ini berlaku kepada semua manusia di seluruh dunia.

Modul yang D.K. eksperimenkan kepada mereka amat mudah.  Mereka diberi peluang untuk menilai sebuah gambar dari apa sahaja aspek penilaian. Bebas. Terbuka. Tiada sekatan. Mereka bebas berimaginasi dan berpandangan berdasarkan apa yang mereka lihat dalam gambar tersebut.

Sebuah gambar di beri. Seperti gambar di bawah.


Apa yang sahabat-sahabat pembaca sekali dapat kongsikan dari gambar ini?

Think outside the box! Di sinilah peluang untuk kita meneroka dunia pandangan yang luas dan tiada batasannya. Mata merenung seekor burung, tangan melukis sebuah negara yang bebas dari kezaliman!


Beginikah mengejar bahagia?

Sebaik umur melangkah ke angka 20, pandangan tentang kehidupan sudah berubah. Kita sudah tidak dipanggil lagi sebagai remaja, bahkan kita digelar sebagai pemuda. Bahkan kalimah pemuda ini, menerbitkan sebuah entiti yang penuh harapan dan impian. Memetik kata Soekarno, “berikan aku 10 pemuda, nescaya kan ku goncangkan dunia.”


Tidak hairanlah apabila seorang pemuda sebaik angka 2 mengambil tempat di awal digit umurnya, dia mula merasa mahukan sesuatu dalam dunia kehidupannya. Jika di Institusi pengajian, dia mahukan pengaruh, sama ada dalam organisasi sesebuah badan mahupun sekadar sekitar rakan sepengajian. Atau jika dia bersama khalayak umum, sentiasa berusaha untuk mencuri perhatian.

Indahnya pemuda, jika dulu di alam remaja dia bermimpi, tetapi kini pemuda membina mimpinya!

Tebaran tiupan angin yang menitip bersamanya beribu kisah dan berita. Tidak dilupa pada kisah seorang pemuda yang merindui kekasihnya, Laila. Dia bersyair. Syair rindu pada kekasihnya:

“Aku merentasi perkampungan, perkampungannya Laila,
Aku mencium satu persatu dinding-dindingnya,
Bukanlah cintakan tempat itu yang merindukan kalbuku,
Tetapi cintakan penghuni yang tinggal dalamnya.”

Alangkah peritnya rindu seorang kekasih. Hakikat rasa pemuda ingin memiliki. Memiliki bahagia dengan cinta. Dan islam memperkenalkan kepada pemuda satu jalan menguasai cinta, dan itulah jalan yang namanya NIKAH!

"Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin, sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu"
(riwayat Muslim)

Mengejar bahagia di jalan nikah...

Dua tahun di tanah Jordan. Bahkan sebelum itu lagi, desiran virus cinta Islami hingga ke binaan Baitul Muslim acap kedengaran. Tak jemu-jemu ku temui agen-agen penyebar kebaikan. Dari kawan-kawan ramai hinggalah diri sendiri terjebak menjadi perunding cara.

Dahulu aku melihat perkahwinan dan pernikahan dari dua sudut yang berbeza. Kekadang beremosi apabila ada keluarga yang menyusahkan anak mudanya mahu melaksanakan sunnah baginda Rasulullah SAW yang istimewa ini. Ayat al-Quran dikeluarkan, hadis Rasulullah SAW dipamerkan, dengan tujuan agar niat baik para pemuda yang ingin menjalinkan ikatan pernikahan kerana Allah ini bakal dimudahkan.

Tidak sedikit yang meminta nasihat, walaupun hakikat diri ini dan diri mereka serupa. Diri ini juga sedang bermimpi untuk melamar seorang isteri!

Sehingga satu pertemuan diaturkan, menjadi sejarah pembaharuan. Pembukaan satu lagi sudut pandang baru dalam diriku. Bahawa pernikahan bukanlah satu-satunya jalan untuk mengejar kebahagiaan.

Hakikat pahit yang terpaksa ditelan. Tidak dinafikan, perkahwinan itu satu kebahagiaan. Tanggungjawab memelihara keluarga atas jalan iman itu satu kebahagiaan. Melihat wajah isteri dan anak-anak dengan kasih sayang juga satu kebahagiaan. Berdua bersama isteri, berjalan berpimpin tangan, berkongsi rasa, sedih, marah, kecewa dan ketawa bersama, semua itu mengukir sebuah keindahan dan kebahagian dalam sebuah pernikahan yang dihiasi iman. Bahagianya!

Namun begitu, ramai saya lihat yang kehilangan bahagia walaupun ketika itu mereka sedang mengejar bahagia. Umpama, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Bahagia untuk berkeluarga masih belum dicapai, tetapi bahagia hidup sendiri terkorban begitu sahaja.

“Tuhan, kau uji aku dengan perasaan cinta dan rindu,
Rindu kepada solehah penyejuk kalbu,
Terbit cemburu melihat sepasang manusia yang berkasih
Berkasih mereka halal, bahagia tanpa ragu
Kerna nikah, sunnah baginda SAW yang ku mahu
Oh tuhan, kurniakan aku kesabaran dan kekuatan
Menanti solehah yang menawan...”

Mengejar bahagia tanpa sedar bahagia yang sepatutnya dicapai waktu itu disia-siakan. Bukankah dalam hadis ada menyebut tentang puasa jika tidak mampu? Mengapa tidak dipilih jalan itu?

“Kerana saya yakin sudah mampu!”
“Saya mahu menjaga mata dan kehormatan saya!”
“Enta nak halang kami dari melakukan sunnah nabi SAW?!”

Lucu! Apa kalian ingat hanya perkahwinan mampu menjaga diri kalian? Ingat bagi mereka yang meraih gelaran seorang suami. Allah berfirman:

"Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan"
Surah al-Tahrim: 6

Bagaimana kamu mahu pelihara diri kamu jika tika ini kamu katakan, hanya dengan pernikahan bisa menjaga dirimu dari sebarang ujian? Allah mendahului ayat ini dengan seruan “wahai orang yang beriman!” Apakah sudah bersedia dirimu dengan iman, jika masih terbit dibibirmu, “imanku hanya bisa dijaga apabila aku bernikah.”


Lucu! Sekali lagi aku katakan kalian sedang menggeletek diriku.

Betapa ramai pemuda di luar sana yang meraih bahagia apabila menerima warkah ijazah kelas pertama. Betapa ramai pemuda di luar sana yang meraih bahagia tika berdiskusi ilmu dengan rakan-rakannya. Betapa ramai pemuda di luar sana yang meraih bahagia dengan memaku punggungnya hampir 2 jam lebihnya dalam majlis ilmu.

Dan Islam tidak menghadkan jalan bahagianya pada satu jalan sahaja. Kerana nikmat Allah itu luas, rahmat Allah itu tiada tepinya, bahagia itu bisa dicapai dengan berjuta jalan berteras al-Quran dan sunnah baginda SAW.

Sekalipun dirimu ingin bernikah, jangan sampai apabila kau berkongsi keinginanmu ini membuat orang yang mengetahui rasa mustahil untuk kalian meneruskan cita-citamu. Mengadulah pada Yang Maha Mendengar, kerana DIA Maha Bijaksana dalam mengatur kehidupan manusia!



8/06/2012

Iftirasy & Tawarruk


“Seorang imam, berbadan besar sedang memimpin jemaah solatnya dalam rakaat terakhir. Dan ketika Tahiyyat Akhir, dilihat imam tersebut melaksanakan duduk Tahiyyat Akhirnya dengan meletakkan punggungnya di atas kaki kiri tidak seperti orang lain yang meletakkan punggung di atas tanah. Lalu dilemparkan pertanyaan kepada imam tersebut. Namun begitu, jawapan imam tersebut tidak memuaskan hatinya.”

Seseorang telah bertanya kepada D.K. dengan memberikan situasi seperti yang disebutkan tadi. Ya, sebagai seorang yang juga berbadan besar dan sihat, kami mengalami kesukaran untuk menyempurnakan duduk ketika Tahiyyat Akhir dengan meletakkan punggung di atas tanah.

Pertama, apabila kami melakukan seperti itu, kami akan cepat mengah, tambahan pula untuk menampung berat badan (kerana badan akan senget ke kiri dan jika tidak tahan akan merebah), ada sesetengah makmum badan besar yang D.K. perhatikan sehingga menggigil menahannya.


Duduk Iftirasy ( إفتراش ) & duduk Tawarruk ( تورك )

Terdapat dua jenis duduk yang menjadi rukun di dalam solat. Yang pertama duduk antara dua sujud dan yang kedua duduk akhir (Tahiyyat Akhir).

Duduk Tahiyyat Awal tidak termasuk dalam rukun solat, namun begitu jika meninggalkannya, perlu dilakukan sujud sahwi ( سجود سحو ) [1].

Sheikh Nasiruddin al-Albani menyebut di dalam bukunya “ Sifat Shalat al-Nabi” pada bab “Tasyahhud Awal”:

“Kemudian nabi SAW duduk Iftirasy sepertimana yang dilakukan ketika duduk di antara dua sujud, pada rakaat kedua seperti solat subuh dan begitu juga duduk pada Tahiyyat Awal bagi solat 3 rakaat solat maghrib atau 4 rakaat seperti solat zohor.”[2]

Berdasarkan kata-kata sheikh, menunjukkan baginda Rasulullah SAW melakukan duduk Iftirasy pada rakaat terakhir bagi solat 2 rakaat, dan ketika Tahiyyat Awal bagi solat 3 dan 4 rakaat serta duduk antara dua sujud.

Persoalannya, bagaimana dengan Tahiyyat Akhir bagi solat 3 dan 4 rakaat? Apa yang dimaksudkan dengan duduk Iftirasy?


Apa dia duduk Iftirasy?

عن عائشة قالت: (( وكان يفرش رجله اليسرى و ينصب رجله اليمنى))

Maksudnya:  Aisyah RA telah berkata: “ Beralaskan kaki kiri dan menegakkan kaki kanan”. [3]

Duduk Iftirasy; duduk atas kaki sebelah kiri (gambar hiasan)

Imam al-Syirbini berkata:  “Disunatkan pada duduk Tahiyyat Awal dengan duduk Iftirasy, duduk di atas buku lali kirinya dan menegakkan kaki kanannya dengan meletakkan pada hujung jari kakinya.” [4]

Sama seperti yang disebutkan oleh pengarang kitab Al-Fiqh al-Manhaji [5].

Namun begitu di dalam hadis Abu Humayd al-Saa’adi RA:

أنا كنت أحفظكم لصلاة رسول الله ... وفيه: فإذا جلس في الركعتين جلس على رجله يسرى، ونصب اليمنى، وإذا جلس في الركعة الاخرة قدم رجله اليسرى، ونصب اليمنى، وقعد على مقعدته. [6].ـ

Maksudnya: Aku merupakan orang yang paling memerhati solat Rasulullah SAW... Dalam hadis tersebut beliau menceritakan: Apabila Rasulullah SAW duduk pada dua rakaat pertama, baginda SAW duduk di atas kaki kirinya dan mendirikan kaki kanan. Apabila baginda SAW duduk pada rakaat akhir, baginda SAW menghulurkan kaki kirinya dan mendirikan kaki kanan sambil duduk di atas papan punggungnya [7].

Berdasarkan hadis Abu Humayd, baginda Rasulullah SAW duduk Iftirasy pada dua rakaat pertama namun tidak pada tahiyyat akhir. Kerana pada tahiyyat akhir, baginda SAW telah duduk di atas punggungnya bukan di atas buku lali kirinya.

Kaedah kedua yang baginda SAW lakukan itu (duduk di atas punggung) adalah duduk Tawarruk.

Tawarruk adalah sama seperti Iftirasy, akan tetapi dikeluarkan kaki kirinya ke sebelah kaki kanannya dan mencantumkan punggungnya ke bumi [8].

Duduk Tawarruk; punggung cecah ke lantai (gambar hiasan)
Kedua-duanya adalah sunat

Terdapat banyak lagi hadis-hadis baginda Rasulullah SAW yang menyebut mengenai kaedah duduk dalam solat. Namun begitu setelah D.K. teliti, D.K. dapati perbahasan mengenai tajuk ini terletak di bawah bab “Perkara sunat dalam solat”.

Bahkan pengarang Al-Mughni al-Muhtaj, pengarang Shahih Fiqh al-Sunnah dan pengarang Al-Fiqh al-Manhaji, kesemuanya meletakkan perbincangan mengenai duduk Iftirasy dan duduk Tawarruk ini di dalam bab sunat dalam solat.

Merujuk kepada situasi yang dilontarkan kepada D.K. awal tadi, D.K. berpendapat, tiada masalah jika imam tersebut memilih untuk duduk Iftirasy, namun begitu dia perlu mempunyai usaha untuk duduk Tawarruk dengan sebaik mungkin. Berdasarkan kenyataan sheikh al-Albani yang menyatakan baginda Rasulullah SAW hanya melakukan Iftirasy pada duduk rakaat akhir dalam solat 2 rakaat sahaja, tidak pada solat 3 dan 4 rakaat.

Sheikh Masyhur berkata: “Tiada masalah sama ada mahu melakukannya atau meninggalkannya, akan tetapi beramal dengan sunnah itu lebih baik” [9].

Boleh jadikan perkara ini sebagai satu motivasi untuk menjadi lebih sihat dan mendapat tubuh yang cergas. Namun begitu perlu diingat, terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan berkaitan dengan duduk Tawarruk.

Sheikh Masyhur menambah, “dibolehkan untuk duduk Tawarruk pada Tahiyyat Akhir bagi solat 3 dan 4 rakaat sekiranya perbuatan tersebut tidak menyempitkan orang yang sedang bersolat di sebelah[10].

Ketika melakukan penelitian ini, D.K. hanya menggunakan beberapa buah kitab sahaja sebagai rujukan. Antaranya:

1. Al-Mughni al-Muhtaj karangan Imam Syamsuddin al-Syirbini.
2. Al-Fiqh al-Manhaji karangan bersama Dr. Mustafa Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji.
3. Sifat Shalat al-Nabi karangan Sheikh Nasiruddin al-Albani.
4. Shahih Fiqh al-Sunnah karangan Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim.
5. Al-Qaul al-Mubin fi al-Akhta’ al-Musollin karangan Masyhur Hassan Salman
6. Kitab Fikah Mazhab Syafie diterjemah oleh asatizah di Malaysia (rujukan untuk terjemahan).

Dengan kata lain, jika sahabat-sahabat yang membaca mempunyai fakta yang lebih jelas sama ada berbentuk sokongan mahupun teguran dari sumber-sumber yang lain, kongsikan bersama dengan D.K. untuk manfaat bersama.

Makmum yang bertanya tadi tidak berpuas hati apabila imam itu memberi alasan, jika dia duduk Tawarruk, maka tubuh akan beralih ke kiri dan dia tidak dapat pahala sunat mengadap kiblat.

Jangan salah faham, mengadap kiblat bukanlah perkara yang sunat dalam solat, akan tetapi ia merupakan salah satu syarat sah dalam solat. Maknanya jika kita tidak mengadap kiblat, maka tidak sah hukumnya solat tersebut!

Wallahu’alam...


Rujukan:

[1] Al-Mughni al-Muhtaj, Imam Syamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Juz 1, Dar al-Fayha’, halaman 570.

[2] Sifat Shalat al-Nabi, Muhammad Nasiruddin al-Albani, Maktabah al-Ma’arif Li al-Nasyr Wa Tauzi’, halaman 136.

[3] Hadis riwayat Muslim (498) dan Abu Daud (768). Rujuk Shahih Fiqh al-Sunnah, Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim, Maktabah Tawfiqiyyah, Juz 1, halaman 346.

[4] Al-Mughni al-Muhtaj, Op. Cit., halaman 471 & 472.

[5] Al-Fiqh al-Manhaji, Dr. Mustafa Khin; Dr. Mustafa al-Bugha; ‘Ali al-Syarbaji, Dar al-Qalam, Juz 1, halaman 155.

[6] Hadis riwayat Bukhari (794). Rujuk Ibid., halaman 155.

[7] Kita Fikah Mazhab Syafie, Pustaka Salam, Juz 1, halaman 187.

[8] Al-Mughni al-Muhtaj, Op. Cit., halaman 472.

[9] Al-Qaul al-Mubin fi al-Akhta’ al-Musollin, Masyhur Hassan Salman, Dar Ibnu Qayyim, halaman 160.

[10] Ibid., halaman 160.

6/14/2012

Travelog yang menawan hati!

Usai solat berjema'ah Asar di masjid aku berhasrat untuk mengambil angin petang sambil berziarah ke rumah beberapa orang sahabat.  Alhamdulillah, bahang panas tadi lenyap apabila angin sepoi bertiup. Kekadang membawa debu pasir, dan adakalanya haruman syawarma dan ayam masywi turut menyertai.

Aku tidak bercadang untuk berlama-lama mengambil angin. Jam di handphone menunjukkan 40 minit lagi sebelum pukul 7. Menziarahi sahabat-sahabat tidak mengambil masa yang lama kerana kami selalu bertemu. Yang bermain dimindaku sekarang ini adalah untuk menghabiskan novel-novel yang telah ku pilih tadi. 

Tanpa berlengah aku menghempaskan tubuh ke atas tilam di bilik. Mataku memerhati satu persatu novel yang terhidang di depan mata. "Yang ini nampak menarik," bisik hatiku sambil tangan mencapai sebuah buku tebal terbitan karangkraf.


"Rindu Eropah Tawan Damascus" oleh Munir Ramli. Sebuah travelog. Yang menawan hatiku adalah kerana perkataan Damascus yang membuatkan memori ketika merantau di kota Damsyiq itu kembali menerjah di fikiranku. Aku mula membaca helaian pertama. Helaian kedua, ketiga dan seterusnya. Aku tertawan!

Sedar tidak sedar, maghrib mendekati. Baru aku teringat yang malam ini aku ada mesyuarat. Persiapan perlu dibuat. Walaupun saat itu hatiku telah terpikat dengan catatan travelog tersebut. Namun ku sisihkan juga.

Aku berazam untuk menghabiskan travelog setebal 353 muka surat itu dalam masa dua hari. Pengalaman indah yang dikongsi membuat aku berkhayal sedang mengembara bersamanya di New Delhi!

Catatan travelog oleh Munir Ramli, temanku musim soifi ini!

7.00 malam
13 Jun 2012
Bayt Nawawi, Mutah.


Nak jadi novelis!


Hangat. Panas. Bahang musim panas di Mu'tah semakin terasa. Botor air 1.5 liter yang sekejap tadinya terisi penuh, kini hanya tinggal suku sahaja lagi sebelum mencecah dasar. Kipas angin ligat berputar, berusaha mendinginkan tubuh seorang manusia yang terbaring kebosanan.

Aku merenung langit petang pekan Mu'tah. Awannya ada, terkadang meredup memberi peluang manusia berteduh di bawah bayangnya. Tetapi redupan itu tidak membantu untuk mengurangkan suhunya. Oh... Maha Suci Allah yang menjadikan panas dan sejuk.

Bila dimuhasabah semula, lucu telatah manusia. Saat salju turun, merungut mencari panas, namun saat gagah mentari mekar, merungut lagi mencari salji. Tidak pernah berpuas hati. Alangkah beruntungnya bagi mereka yang bersyukur.

Seusai menelefon ibu sebentar tadi, aku mula menanam azam. Bukan azam tahun baru, tapi azam matlamat baru. Aku mahu mendidik diriku untuk menjadi seorang novelis. Dua kad weinak habis semata-mata untuk mendapatkan khidmat nasihat dari ibu. 

Kad weinak merupakan salah satu kaedah untuk pelajar-pelajar Malaysia di Jordan menghubungi ahli keluarga melalui telefon. Dengan nilai JD2, kita boleh menghubungi orang tersayang selama lebih kurang 40 minit. Terdapat satu lagi kad yang memiliki fungsi yang sama iaitu Waton. Tetapi weinak tetap menjadi pilihan hati. Habis iklan!

Untuk merealisasikannya aku mengambil beberapa buah novel melayu kepunyaan rakan sebilikku di rak. Tujuannya adalah untuk mengutip semangat menulis novel. 

Tidak tergerak hatiku sebelum ini untuk membaca semua itu. Hidup merantau mencari ilmu di tanah arab memerlukan aku untuk menumpukan banyak pembacaanku kepada kitab-kitab arab. Tidak lupa juga kamus yang pelbagai ketebalan.


Aku melihat pada jam di dinding. Masih ada satu jam lagi sebelum waktu Asar tiba. Novel 'Terasing' karangan Hilal Asyraf menjadi pilihan pertama aku dalam usaha untuk menjadi seorang novelis. Walaupun novel tersebut telah beberapa kali kuhadamkan ketika di Malaysia dahulu. Tetapi sengaja aku pilih kerana aku mengkagumi penulisnya. Bagaimana seorang anak muda yang menuntut di tempat yang sama seperti aku mampu menghasilkan novel yang baik? Ini satu motivasi!

Azan Asar bergema. Alhamdulillah, novel Hilal sempat kuhabiskan. Di Mu'tah, jarak waktu antara azan dan iqamah lebih kurang 30 minit. Memberi peluang kepada setiap jema'ah untuk mengejar takbir pertama bersama imam. Perkara yang tidak aku temui di Malaysia. Aku segera persiapkan diri. Hajatnya, buku kedua akan ku mulakan seusai asar nanti. Mudah-mudahan dipermudahkan Allah.

Wallahu'alam...



3.30 petang
13 Jun 2012
Bayt Nawawi, Mu'tah.

6/12/2012

Forgive Me


Forgive Me
By: Maher Zain

I’m about to lose the battle and cross the line
I’m about to make another mistake
And even though I try to stay away
Everything around me keeps dragging me in
I can’t help thinking to myself
What if my time would end today, today, today?
Can I guarantee that I will get another chance
Before it’s too late, too late, too late

Chorus:
Forgive me… My heart is so full of regret
Forgive me… Now is the right time for me to repent, repent, repent..

Am I out of my mind?
What did I do? Oh, I feel so bad!
And every time I try to start all over again
My shame comes back to haunt me
I’m trying hard to walk away
But temptation is surrounding me, surrounding me
I wish that I could find the strength to change my life
Before it’s too late, too late, too late

CHORUS

I know O Allah You’re the Most-Forgiving
And that You’ve promised to
Always be there when I call upon You
So now I’m standing here
Ashamed of all the mistakes I’ve committed
Please don’t turn me away
And hear my prayer when I ask You to

CHORUS


5/28/2012

Emosional & Rasional


Sebelum mata lena, sebelum minda berehat buat sementara, tergerak hati untuk menggerakkan jari, mencatit idea...

Alhamdulillah, sebaik tamat kertas peperiksaan terakhir pada Sabtu lepas, saya mengorak langkah menuju ke ‘Abdali & Balad di Amman hari ini (hari Ahad) yang mana perjalanan mengambil masa selama 2 jam dari Mu’tah. Dan pastinya seperti biasa, objektif saya bermusafir pastinya untuk berkunjung ke maktabah-maktabah yang telah lama saya tidak menjejakkan kaki.

Sepanjang perjalanan menuju ke Amman, saya mencuri peluang untuk menelaah buku Susan Jeffers yang masih belum saya tamatkan pembacaannya. Mujur juga sepanjang perjalanan dengan bas yang tidak bertingkap itu, hanya sekali dua sahaja penumpang arab yang menghisap rokok. Jadi saya dapat memberikan fokus yang sepenuhnya mengadap buku tersebut.


Chapter 6: When “They” Don’t Want You To Grow.

Secara ringkas chapter ini mengulas mengenai persekitaran kita yang tidak memberi sokongan penuh dalam proses kita memperbaiki diri. Susan Jeffers cuba mengajak pembaca untuk ‘think wisely’ dengan menggunakan prinsip ‘win-win’ dalam berhadapan dengan mereka yang tidak membantu dan sering memberi komen-komen provokasi kepada kita.

Perkara ini membuatkan saya teringat perbualan saya dengan seorang sahabat tempoh hari.

“Akh, boleh tak bagikan hujah macam mana saya nak lawan kenyataan kawan saya ni?” ujarnya dalam facebook

“Apa dia kata?” balas saya ringkas. 

“Kawan saya kata, buat apa belajar jauh-jauh ke luar negara? Tak cukup lagi ke universiti yang ada dalam Malaysia ni?” Saya mengandaikan dia mengeluarkan kata-kata ini dengan nada yang marah dan tidak berpuas hati. 

Saya tersenyum. 

“Tanyakan pada dia, pernah tak dia bercita-cita untuk melancong ke luar negara. Hujah susulan pasti tahu nak buat macam mana kan?” saya membalas dengan selamba. Walaupun sebenarnya komunikasi kami sekadar di facebook sahaja. 

“Hehehe, terima kasih akh, sebab masa tu bengang sangat dengan kenyataan kawan saya tu, jadi emosi sikit. Tak boleh dah nak fikir hujah nak patahkan dia.” 

Saya tersenyum apabila teringat akan perbualan kami dan apabila membaca apa yang Susan Jeffers sampaikan dalam “Feel The Fear... and Do It Anyway”. Ada beberapa perkara yang saya tertarik untuk mengajak sahabat semua, kita sama-sama fikirkan mengenainya. 

Pertama: Susan Jeffer memberi beberapa situasi dan contoh jawapan yang dikaitkan dengan kaedah ‘win-win’

Mom: “You’ll never make it out there on your own.” 

Lose-lose: “Mind your own business mom. I’ll do as I please!” 

Win-win: “Thank you for your concern, Mom. But I have so much faith in myself, I know that whatever comes up, I’ll handle it. I’d like you to have more faith in me too. It would really help e a lot.” 

Jawapan win-win itu jelas. Menampilkan keyakinan kita pada diri sendiri, juga keinginan kita mahukan ibu kita memberi sokongan moral kepada kita. Tidak perlu berbalah atau memaksa mereka memahami kehendak kita.

Lihat anak-anak kecil. Apabila mereka inginkan sesuatu, atau mahu ibubapa mereka memahami kehendak mereka, mereka akan merengek dan menangis, bahkan kadangkala akan menunjuk sifat protes seperti menghentak kaki ke lantai atau membaling alat mainan sehinggalah kehendak mereka dipenuhi.

Saya cuba kaitkan dengan apa yang berlaku dengan sahabat saya ini. Dia mengadu kepada saya betapa sakit hatinya mendengar kata-kata rakannya itu. Betapa geram dan marahnya dia sehingga membuntukan fikirannya untuk mematahkan kata-kata tersebut. 

Saya menghulurkan kepada sahabat saya dua bentuk jawapan. 

Yang pertama, seperti mana di atas, ‘tanyakan kepada dia pernahkah dia mengimpikan untuk melancong ke luar negara?” 

Dan yang kedua, saya kata, “Haah, sebenarnya memang sama pun belajar dalam Malaysia mahupun luar negara. Sebab yang membezakan antara keduanya adalah usaha. Kalau ada usaha, adalah hasilnya.” 

Dan saya lebih cenderung untuk jawapan yang kedua. Kerana jawapan pertama lebih berbentuk provokasi (yang kedua pun sebenarnya ada juga, tapi saya kira yang kedua kurang sikit kot provokasinya. KOT). Akan tetapi tiada masalah untuk pilih yang mana satu pun, hanya ingin saya kongsikan beberapa kata-kata yang saya petik dari Susan Jeffers: 

“Whenever we get upset at the comments of loved ones, it is a clue we are still acting like a child.” 

“Instead of wanting to throttle your loved ones when they give you a hard time, it is better to look at them as mirrors of what you still need to work on in terms of your personal growth.” 

Petikan dari buku “Aikido in Everyday Life” oleh Terry Dobson & Victor Miller: 

“The best victory is the one in which everyone wins.” 

Oleh itu, kita semua kena berhati-hati dalam bertindak memilih emosi. Sentiasa letakkan riak emosi senyuman sebagai pilihan pertama sebelum kita pilih reaksi marah atau sedih untuk memberi respon kepada mereka. 

Dan saya sentiasa pujuk diri saya (Insya Allah, mudah-mudahan berkekalan) jika saya rasa ingin marah atau kecewa, “Buat apa nak marah-marah? Tahu tak kalau kau marah, kau akan penat. Banyak tenaga kena guna. Baik senyum je, sempoi dan relek, takde nak peluh banyak-banyak.”

Nasihat saya kepada kita yang baru nak belajar kawal emosi:

“Ambil sebiji limau yang masam. Makan seulas demi seulas isinya dengan perlahan dan penuh penghayatan. Makan tanpa mengerutkan dahi, atau mengeluarkan patah kata seperti “erk, masamnya” atau sekadar “erk...”. Kalau boleh usahakan untuk tersenyum ketika makan tu. Senyuman mestilah semanis gula atau lebih lagi baik!”

Ini hanya teori, saya sendiri pun tak pernah cuba lagi. Insya Allah, jom kita sama-sama cuba, mudah-mudahan lepas ini kita mampu kekal rasional walaupun dalam situasi yang emosional (^^,).

Ps: Alhamdulillah, dapat juga tambah beberapa koleksi buku untuk dibaca. Sekadar berkongsi tajuk buku yang dapat di beli. 

“Psychology from the Islamic perspective” – Dr Aisha Utz 
“Muhammad as if you can see him” – Dr ‘Aid al-Qarni 
“You can be the happiest woman in the world” – Dr ‘Aid al-Qarni
 “الفتنة بين الصحابة” – Sheikh Muhammad Hassan 

Dan beberapa lagi buku. Doakan saya dapat khatamkan semua ni dengan jayanya (^^,).

Wallahu’alam....

5/02/2012

Cerita Hari Lahir

 
Sebelum ini D.K. ada mengulas mengenai sambutan hari kelahiran. Dan ada sahabat yang memberi komen mengatakan ada hadis baginda Rasulullah s.a.w. yang menyambut hari kelahiran baginda dengan berpuasa.

Alhamdulillah, D.K. telah membuat sedikit penelitian mengenai kenyataan tersebut dan hasilnya, D.K. menemui hadis yang menceritakan mengenai perkara ini.

عن أبي قتادة الأنصاري رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل عن صوم الإثنين فقال
 [1] (( فيه ولدت وفيه أنزل علي ))

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Qatadah al-Anshari r.a., bahawa sesungguhnya Rasullah s.a.w. ditanya mengenai puasa pada hari Isnin, maka baginda bersabda: (( Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan wahyu kepadaku))

Hadis tersebut diriwayatkan dengan taraf shahih oleh Imam Muslim [2], salah seorang 'maharaja' hadis yang terkemuka. 

Imam al-Qadhi 'Iyadh berkata: "Kenyataan baginda mengenai 'padanya aku dilahirkan dan padanya aku diutuskan' hanya berlaku pada hari Isnin tanpa menyebut hari Khamis. Namun begitu terdapat dalam riwayat daripada Syu'bah menyebut hari Khamis, akan tetapi Imam Muslim meninggalkannya." [3]

Jika diteliti semula hadis tersebut, berserta kenyataan Imam al-Qadhi 'Iyadh, kita akan dapati fokus perbincangan hadis tersebut adalah kepada PUASA HARI ISNIN. Langsung tiada kena mengena dengan hari kelahiran baginda s.a.w. Hanya apabila Rasulullah s.a.w. ditanya mengenai puasa hari Isnin, baginda menjawab, "pada hari Isnin ini aku dilahirkan dan diutuskan (diturunkan ke atasku wahyu).

إن النبي صلى الله عليه وسلم سئل عن صيام يوم الاثنين، ولم يسأل عن صيام يوم الثاني عشر من ربيع الأول، فالعلة إذًا: تخصيص يوم الاثنين، بالصيام، وليس تخصيص يوم الثاني عشر من ربيع الأول بالصيام

Maksudnya: "Sesungguhnya Nabi s.a.w. ditanya mengenai puasa hari Isnin, tidak ditanya mengenai puasa pada 12 Rabi'ul Awwal, maka 'illahnya adalah, hari Isnin adalah penyebab berpuasa, bukan kerana 12 Rabi'ul Awwal yang menjadi penyebab puasa.[4]

Dan Rasulullah s.a.w. juga menyebut peristiwa-peristiwa lain yang turut berlaku pada hari Isnin seperti hari beliau diturunkan wahyu dan diutuskan sebagai nabi.


 Pandangan Sheikh Shalih al-'Uthaimin...

Sheikh Shalih al-'Uthaimin dalam bukunya "al-Halal wa al-Haram" berkata:

"Tidak ada perayaan bagi orang Islam itu melainkan sambutan hari Jumaat, hari raya 'Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha. Sedangkan sambutan hari lahir dan ulang tahun pernikahan merupakan perkara yang tidak disebut dalam syara' bahkan ia adalah satu perkara baru yang hukumnya dekat dengan 'ibahah' (diharuskan). [5]

Namun begitu, beliau juga menyebut bahawa perayaan seperti ini (hari lahir dan ulang tahun pernikahan) adalah dilarang kerana tiada sambutan dalam Islam melainkan sambutan pada 3 hari yang disebutkan sebelum ini. Seperti mana hadis baginda s.a.w.:

عن أنس ابن مالك رضي الله عنه قال (( كان لأهل الجاهلية يومان في كل سنة يلعبون فيهما فلما قدم النبي المدينة قال: كان لكم يومان تلعبون فيهما وقد أبدلكم الله بهما خيرا منهما يوم الفطر ويوم الأضحى ))

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: ((Ketika di zaman jahiliyyah dahulu terdapat dua hari yang dirayakan pada setiap tahun, apabila baginda nabi s.a.w. tiba ke Madinah, baginda bersabda: "Sebelum ini terdapat dua hari yang kamu raikan padanya, sesungguhnya Allah s.w.t. telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik, iaitu 'Eid al-Fitr dan 'Eid al-Adha [6]"


 Sambutan Hari Lahir bukan adat kita...

D.K. tertarik dengan kenyataan Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya "Fatawa Mu'asharah" ketika beliau mengulas mengenai sambutan Hari Ibu:

"Sambutan Hari Ibu ini dicetuskan oleh orang barat kerana keadaan mereka di sana yang tidak mengambil berat mengenai perihal kekeluargaan, tidak berhubung dengan ibu dan bapa, bahkan mereka hanya mementingkan diri mereka sendiri. Anak lelaki mencari teman wanita dan begitu juga sebaliknya, mereka langsung tidak mengambil berat mengenai orang tua mereka."[7]

Kerana masalah seperti itu, barat mengambil keputusan untuk mengadakan satu hari dengan memilih tarikh tertentu sebagai sambutan penghargaan. Sebagai contoh Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Kanak-kanak dan sebagainya.

Dan D.K. berpendapat, keadaan ini tiada bezanya dengan sambutan Hari Lahir, kerana di tempat mereka amat kurang istilah penghargaan, maka mereka menjadikan tarikh kelahiran sebagai tarikh keramat untuk menghargai individu-individu tertentu.

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata:

"Aku tidak mengatakan yang menyambut Hari Ibu ini haram, kerana tiada nas mengharamkannya dan hukum asal bagi suatu adat itu adalah harus. Akan tetapi kami tidak menyukai perkara ini..."

Beliau menyandarkan kebencian beliau itu dengan hadis baginda s.a.w.:

عن أبي سعيد الخدري عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (( لتتبعن سنن من كان قبلكم شبراً بشبر وذراعاً بذراع حتى لو دخلوا جحر ضب تبعتموهم. قلنا: يا رسول الله، اليهود والنصارى؟ قال: فمن؟ )) [8]

Maksudnya: Daripada Abi Sa'id al-Khudri r.a. bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda: "Sesungguhnya kamu akan menurut langkah orang terdahulu dari kamu sejengkal demi dejenkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah bila mereka masuk lubang dhab sekalipun kamu turut menurutnya. Para sahabat bertanya: Adakah yang dituruti itu Yahudi dan Nasrani? Rasulullah s.a.w. lantas menjawab, bahkan siapa lagi?


Ihtiyat (berhati-hati) dalam beramal...


Berdasarkan hadis Abi Sa'id al-Khudri ini, D.K. berpendapat agar kita mengambil langkah berjaga-jaga agar kita tidak turut menjejaki langkah mereka (Yahudi & Nasrani). Akan ada suara-suara kecil yang mengatakan,

"Benda baik, apa salahnya kita teruskan."

"Kita buat ni pun bukan sebab kita nak ikut mereka, tapi sebab kita nak menghargai kehadiran orang yang disayangi."

"Hari Lahir ni kita sambut sebab kita rasa bersyukur kepada tuhan, jadi takkan itu pun salah?"

Dan macam-macam lagi.

Hanya yang D.K. mahu katakan, kita boleh bagi sejuta alasan. Akan tetapi, D.K. minta agar kita diam sejenak dan fikirkan, antara amalan kebaikan yang memang jelas berteraskan al-Quran & as-Sunnah, dengan amalan kebaikan yang berteraskan adat yang tidak diketahui asal usulnya, yang mana lebih diredhai Yang Maha Mengetahui segala-galanya?

Kalian berhak menilai, mengkaji bahkan meneliti, D.K. doakan agar penelitian dan pengkajian kita sentiasa tetap berteras hujah ilmiah dan bukti jelas dari al-Quran & as-Sunnah.

Dan dalam isu sambutan Hari Lahir ini, D.K. bertegas untuk mengatakan TIADA SAMBUTAN HARI LAHIR DALAM ISLAM.

Wallahu'alam....



Sumber kajian & penelitian:

[1] Diriwayatkan dalam Shahih Muslim (2807), Sunan Abi Daud (2428) & Musnad Ahmad (22603).
[2] Beliau adalah Muslim bin Hajjaj al-Naysaburi. Dilahirkan pada 202/206H & wafat pada 261H. Merupakan salah seorang muhaddis yang terkenal dengan kitab shahihnya.
[3] "Shahih Muslim bi syarhi imam an-Nawawi", jilid 3, terbitan Dar al-'Ulum al-Insani, ms 1182.
[5] "al-Halal wa al-Haram", Muhammad Shalih al-'Uthaimin, terbitan Dar al-Tawfiqiyyah al-Turath, Bab Hukum menyambut Hari Lahir & Hari Ulangtahun Perkahwinan, ms 317.
[6] Diriwayatkan dalam Sunan an-Nasa'ie, kitab 'shalah al-'Eidayn' no 1556 (Maktabah Syamilah) Dishahihkan oleh al-Albani.
[7] "Fatawa Mu'ashirah", Dr Yusuf al-Qaradhawi, jilid 4, terbitan Dar al-Qalam, bab 'Hukum menyambut Hari Ibu', ms 505
[8] Diriwayatkan dalam Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim (6952), Sunan Ibnu Majah (3994) dan Musnad Ahmad (11817). (Maktabah Syamilah)


4/27/2012

Mari Mengundi !!!


MARI MENGUNDI WAHAI WARGA PERMATA !!!

4/24/2012

Tentang Amanah


“Sesungguhnya kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung; semuanya enggan untuk memikul amanat dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, lalu dipikullah manah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zhalim dan amat bodoh.” 
(Surah al-Ahzab : 72)

Susah benar nak tidur malam ini. Biarpun lampu telah dipadam, ditambah pula kipas angin yang berputar meniup haba panas keluar, keadaan itu merupakan satu pakej yang sepatutnya aku tidur lena. Namun begitu fikiranku ligat memikirkan apa yang bakal berlaku selepas ini.

Ku alihkan badan mengiring ke kanan. Memandang rak buku yang tinggi dan sarat dengan kitab-kitab berbahasa arab. Beralih ke kiri, mataku terpandan ke dinding yang penuh dengan catatan-catatan perancangan program dan tanggungjawab yang aku terima.

Aku segera bangkit dari pembaringan. Bersila. Melihat ke kanan dan kiri. Sahabat-sahabat sebilik yang sedang enak tidur.

"Astaghfirullahal 'azim," halus lafaz toyyibah meluncur di bibir.


Amanah Anak Adam...

Memoriku meluncur kembali kepada perbincangan tadi.

"Tiada seorang pun anak adam yang lahir di dunia ini tidak mempunyai tanggungjawab. Biarpun kelihatan dia tidak berjawatan besar ataupun hidup bersendirian, anak adam itu tetap ada tanggungjawabnya. Dia tidak akan terlepas dari intaian amanah yang Allah berikan."

"Tapi bang, kalau dia hidup seorang diri tak campur masyarakat, tidak menjawat apa-apa gelaran, jadi mesti dia takda banyak amanah, kalau ada pun, kecil." Lutfi menafikan. Sesi usrah yang diketuai oleh Abang Fahmi kali ini membincangkan mengenai amanah dan tanggungjawab.

"Tidak Lutfi, sebenarnya, dengan bersendiri, anak adam itu mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dan berat."

Mereka semua tercengang mendengar. Hairan, bagaimana dengan bersendirian, tanggungjawab menjadi lebih besar dan berat?

Abang Fahmi tersenyum. "Baik, abang bagi contoh supaya antum jelas. Ok Nizam, andai kata abang bagi kepada Nizam sedulang penuh Maqlubah dengan seekor ayam masywi. Apa pendapat Nizam?"

Ana kelahiran Selangor itu tersenyum. Tubuhnya agak besar berbanding sahabat-sahabatnya yang lain.

"Walaupun tangki ana ni besar, tapi untuk habiskan satu dulang Maqlubah seorang diri tu... peh, bak kata Ustaz Azhar, berat nanang bang," selorohnya disambut dengan tawa.

"Betul tu Nizam. Bagaimana kalau abang ajak Lutfi, Syauqi, dan Furqaan makan bersama. Macam mana?" Abang Fahmi melontar soalan sambil menoleh kepada Furqaan.

"Kalau macam tu, kena tambah nusf wajabah lagi bang, mana cukup," jawapan Furqaan sekali lagi mengundang tawa mereka semua.

"Begitulah amanah. Jika kalian bersendirian, maka ia menjadi bertambah besar dan berat. Akan tetapi jika amanah itu dipikul bersama sahabat, Insya Allah, mudah-mudahan Allah ringankan beban kita dan mengampuni dosa kita semua."

"Amin.." spontan terlafaz dibibirku.

Saat ini hatiku benar-benar berharap agar Allah memakbulkan doa Abang Fahmi itu. Ayat 72 daripada surah al-Ahzab yang dibaca oleh kami diawal usrah kembali bermain di gegendang telinga. Syarah yang dibaca benar-benar menyentap hatiku.


Sajak tentang amanah...

Ditengah perbincangan, Abang Fahmi mendeklamasikan sebuah sajak yang direka sendiri.

K erana amanah itu berat
E mpunya tanggungjawab akan tergugat
R amai pemegang amanah diseksa dan disebat
A kibat terlupa akan disoal di akhirat
N eraka panas menjadi taruhan
A pabila amanah menjadi korban

A staghfirullahal 'azim
L ekas sedar wahai pemegang amanah
L ekas tunaikan tanggungjawab anda
A llah Maha Melihat segalanya
H anya kepadaNya kau tunaikan amanah

"Astaghfirullahal 'azim..." pipiku basah. Aliran titisan air mata yang tidak tertahan apabila mengenang bebanan tanggungjawab yang diamanahkan.


Pesanan Abang Fahmi...

Sekarang ini waktu hangat berpolitik. Ramai yang sedang ghairah berkempen. Menaikkan calon-calon pemimpin yang mereka yakin. Namun begitu, rasa ghairah itu seharusnya dikekalkan saat sahabat-sahabat pemimpin yang terpilih menghulur tugas dan kerja. Jangan sekadar semangat berkempen, namun pabila mereka memimpin kita orang pertama yang bersembunyi.

Dan seandainya kalian yang diberikan amanah. Maka jangan sekali kalian berasa dunia ini tiada yang tenang bagi diri kalian. Ingat, "Manusia tanpa tanggungjawab lebih sengsara dan terseksa daripada mereka yang ada tanggungjawab". Hanya kalian perlu laksanakan tanggungjawab itu dengan amanah dan pastinya kerana Allah.

"Seorang pemimpin yang baik, adalah seorang yang sentiasa berlapang dada dan berfikiran positif, walaupun dia sedang berhadapan dengan 'worse scenario' dalam kehidupan dia. Kerana dengan berlapang dada dan berfikiran positif sahajalah, DIA MAMPU MENGUBAH MASALAH MENJADI KEKUATAN UNTUK NAJAH!"


اللهم إني ظلمت نفسي ظلما كثيرا
ولايغفر الذنوب إلا أنت
فاغفرلي مغفرة من عندك
وارحمني إنك أنت الغفور الرحيم

"Ya Allah, aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar,
dan tiada yang dapat mengampuniku melainkan Engkau,
maka ampunilah daku dengan keampunan dari-Mu,
dan rahmatilah daku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(riwayat Bukhari & Muslim)


4/23/2012

Semarak Pilihanraya PERMATA 2012

BARISAN CALON PEMIMPIN KAMI
 



Sebarang maklumat rujuk di:

 
"YOUR VOICE, YOUR VOTE!!!"
 
 

4/20/2012

FEEL th FEAR!!!


Hypegiaphobia (takut pada tanggungjawab) tidak akan membantu anda untuk berubah dari takuk lama ke tahap yg baru dan lebih selesa.


Expand the comfort zone!

Luaskan zon selesa anda dengan menghayati ketakutan itu, dan jadikan ia sebagai kekuatan untuk berhadapan dengan risiko yg mendatang.

Ingat, ketakutan bukan alasan untuk anda terus hidup dalam ketakutan, tetapi ia sebenarnya satu kekuatan untuk anda lakukan perubahan yg besar dalam hidup anda.

Seperti mana seorang lelaki yg dikejar anjing, kerana ketakutannya itu ia mampu melompat melangkaui sebuah tembok tinggi atau sebuah parit besar yg sebelum ini amat mustahil pada pemikirannya untuk dilangkaui.

Saya yakin ANDA FAHAM dengan apa yang saya maksudkan!


Don't live in a fearful life!!!

Apa yang saya maksudkan dengan "Fear is not a reason for you to live in a fearful life" adalah kerana terdapat segelintir daripada kita yang tidak mahukan perubahan kerana takut dengan sesuatu yang BUKAN DI BAWAH KAWALAN DIRI SENDIRI!!!

Contoh situasi yang saya maksudkan:

Seorang pemimpin tidak mahu mengubah cara kepimpinannya kerana MENYANGKA yang jika dia mengubah cara, maka kesetiaan dan kepercayaan kepadanya akan berubah.

Saya bawakan satu lagi contoh yang saya petik dari buku "The 7 habits of HIGHLY EFFECTIVE people" oleh Stephen R. Covey.

Beliau membawakan kisah seorang gadis pemain bola jaring yang handal. Dia telah menyertai sebuah 'tournament' dan telah berjaya ke pusingan terakhir (final). Namun begitu, ada beberapa perkara telah mengganggu fokusnya iaitu BISIKAN ORANG di sekitarnya.

Ada kutukan dan umpatan yang ditujukan ke atas dirinya. Dan dia amat terkesan dengan perkara tersebut. Kerana terlampau tertekan, gadis yang hebat dan licik di gelanggang bola jaring ini tumpas dan tewas.


Perhatikan!

Dua situasi yang menonjolkan dua perkara yang bukan di bawah kawalan diri menjadi asas SANGKAAN atau lebih jelas KETAKUTAN yang membantutkan perubahan.

Seperti satu contoh rungutan yang dinukilkan oleh Ustaz Hasrizal (Saiful Islam), "Aku kalau mendung je, mesti cepat marah, baran".

Dia meletakkan cuaca yang mendung sebagai aras perubahan dia untuk menjadi pemarah. Mana mungkin dia dapat mengawal perubahan cuaca, tetapi YANG PASTI DIA BOLEH MENGAWAL AMARAHNYA ITU!!!


FEEL THE FEAR!!!

Rasailah ketakutan itu! Ya, hayati ketakutan itu. JANGAN DIPEJAM MATAMU untuk melihat ketakutan! BUKA! BUKA MATAMU SELUAS-LUASNYA!

Just like Susan Jeffers said in her book:

"IF EVERYBODY FEELS FEAR WHEN APPROACHING,
SOMETHING TOTALLY NEW IN LIFE,
YET SO MANY ARE OUT THERE
"DOING IT"
DESPITE THE FEAR,
THEN WE MUST CONCLUDE THAT
FEAR IS NOT THE PROBLEM!!!"


D.K : Pada awalnya, artikel ini adalah respon D.K. terhadap komen-komen yang diberikan oleh sahabat-sahabat D.K. dalam artikel "I'm 24... (^_^)". Kerana sebelum ini D.K. agak keberatan untuk menimbulkan isu-isu yang boleh dijadikan 'kontroversi' seperti sambutan hari lahir.

Namun begitu, bak kata pepatah, "Berani buat, berani tanggung!"

Wallahu'alam...



I'm 24... (^_^)

Gambar kek hasil tangan kakak D.K. klik di sini.

I'm 24...

Alhamdulillah, selesai sudah D.K. melalui hari pertama D.K. dengan usia yang telah melonjak ke angka 24. Sebenarnya D.K. sendiri tak perasaan, kebetulan ada sahabat yang menegur dan 'wish', baru D.K. sedar.

Syukran D.K. ucapkan kepada mereka yang memberi ucapan, jumlah keseluruhan adalah 2 orang. Alhamdulillah!

Kenapa D.K. tak sedar?

Alhamdulillah, tahun ini D.K. telah mengambil keputusan untuk mengubah salah satu kebiasaan yang sering diamalkan oleh D.K. sendiri. D.K. tak kata ianya salah, hanya D.K. merasakan ia perlu diubah.

D.K. memilih untuk mengatakan TIDAK kepada sambutan hari lahir!


Apakah salah meraikan hari lahir?

Secara syar'i nya, D.K. tiada hujah untuk mengatakan ianya salah apatah lagi benar kerana belum lagi dibuat kajian mengenai perkara ini. Cumanya atas alasan berhati-hati bagi diri sendiri kepada sesuatu kebiasaan (amalan) yang tiada dasar sumbernya.

Lagipun D.K. berpendapat, sambutan hari lahir ini hanya akan menyempitkan konsep 'meraikan' seseorang. Sebagai contoh, pemberian hadiah, dalam Islam, ianya tidak disyaratkan kepada waktu atau 'event' tertentu.

Namun begitu, apabila adat seperti ini 'MENJADI KEBIASAAN' kita, maka apabila ada yang memberi hadiah dengan tiba-tiba, dia akan menjadi suatu kejanggalan, dan akan berakhir dengan pertanyaan, "Kau bagi aku hadiah ni, ada apa-apa ke?"

Mungkin ada yang mengatakan, "Kalau niat baik apa salahnya? Kita bukan buat benda jahat pun"

Tiada masalah, macam D.K. sebut tadi, meraikan hari lahir tidak salah (kerana tiada hujah) namun begitu ia juga bukan benar (juga kerana tiada hujah).

Seandainya niat menjadi hujah untuk melakukan sesuatu, maka di situ ada kecelaruan. Sebagai contoh, jika kita kata niat menghalalkan perbuatan kita, maka kita boleh mencuri kerana inginkan wang. Na'uzubillahi min zalik!!

Masyhur dikalangan kita menggunakan hadis "Setiap perbuatan itu didahului dengan niat" sebagai hujah 'Islamic' dalam perkara ini. Amat malang apabila hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hafsah ini telah disalah guna dengan sewenang-wenangnya.


Kaji & teliti...

Suka untuk D.K. mengajak sahabat-sahabat semua mengkaji dan meneliti. Para ulama terdahulu ketika menyusun kitab dan membahagikan penulisan mereka dalam bab-bab tertentu, mereka tidak menyusun dengan sesuka hati. Bahkan pada setiap penyusunan bab itu ada maksud tersirat.

Sebagai contoh kitab 'Hadis 40' karangan Imam Nawawi. Jika diteliti dan dikaji penyusunan bab dalam kitab ini, kita akan mendapati maksud tersirat yang cuba ditonjolkan oleh pengarang kitab.

Biar D.K senaraikan 5 bab terawal dalam kitab ini:

(1) Bab "Bermulanya setiap perbuatan itu dengan niat"
(2) Bab "Islam, iman & ihsan"
(3) Bab "Rukun Islam"
(4) Bab "Penciptaan Manusia & pengakhirannya"
(5) Bab "Perbuatan Bid'ah tertolak"

Huraian ringkas:

Secara umumnya, perbuatan manusia itu terletak pada niatnya, jika baik niat, maka perbuatan juga baik. Begitu juga sebaliknya. Namun begitu, Muslim dan pastinya Mukmin perlu meletakkan 'NIAT'nya itu berteraskan tiga perkara iaitu "ISLAM, IMAN & IHSAN".

Dalam hadis yang kedua, diterangkan pada kita, amalan-amalan teras dalam Islam, serta konsep sebenar dalam beramal iaitu berteraskan Iman & Ihsan. Dalam hadis ketiga, ia merupakan pengulangan (peringatan) mengenai amalan teras yang perlu dilakukan.

Antara 3 hadis itu amat berkait rapat kerana Niat perlu diikat dengan nilai Islam, iman & ihsan. Kerana (dalam hadis ke 4) tidak semua dari kita yang beramal dengan amalan ahli syurga akan berakhir dengan keadaan yang sama (iaitu dianugerahkan nikmat syurga). Begitu juga sebaliknya.

Kerana itu kita perlu berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara. Ingat, hanya kerana kita merasakan perbuatan itu baik, maka kita menganggap ia boleh dilakukan.

Nilailah perbuatan itu dengan nilai Islam, Iman & Ihsan, kerana jika amalan itu tidak menepati ciri yang tiga ini, maka amalan ini "DITOLAK"! (berdasarkan hadis ke lima).


Al-Quran & as-Sunnah teras kita...


Dan sifir mudah yang kita perlu tahu, sumber untuk mengetahui sama ada sesuatu amalan & perbuatan itu menepati pernilaian Islam, Iman & Ihsan, pastinya adalah menerusi dua sumber utama kita, iaitu AL-QURAN & AS-SUNNAH!

Alangkah indahnya sekiranya kita bersama-sama berusaha untuk hidup dengan amalan-amalan yang ada teras bukti dan dalil yang kukuh dari Al-Quran & As-Sunnah.

Barangkali tidak dapat semua perkara, sekecil perkara ini juga sudah cukup untuk kita jadikan sebagai kunci perubahan.

"INGAT, KEJAYAAN ITU TAKKAN TIBA MELAINKAN DENGAN LANGKAH PERTAMA!!"

Wallahu'alam... (^^,)