RSS
Facebook
Twitter

12/30/2010

Madah Tulisan Hati

Seorang penulis, biasanya menulis perkara yang berharga pada dirinya, sama ada perkara itu adalah mengenai peribadinya, ataupun mengenai kehidupan hariannya, ataupun mengenai perasaan dan isi hatinya.... apa sahaja yang dirasakan berharga dan ingin dikongsi bersama dengan dunia.



Itulah fitrah penulis dan penulisannya. Setiap kali pena dan tinta bermain di atas kertas, setiap kali itulah dunia akan membaca, indah atau pedih, gembira atau duka, itulah hasil daripada tinta yang berbicara. Barangkali di mulut terukir senyuman mesra. Rakan dan taulan tertawa dengan jenaka yang terhasil dari mulut bicara. Tetapi hakikatnya, menitis air matanya, di atas dakwat pena yang melakar di atas sehelai warkah putih tidak berwarna.



Entah mengapa, dunia pena dan tinta sudah tidak ceria lagi. Tidak ada sesuatu pun yang dapat menarik perhatian aku, seorang peminat pena dan tinta, yang satu ketika dulu suka mencuba sesuatu yang baru. Satu persatu, hasil tarian pena dan tinta yang aku miliki dahulu kuperhatikan. Ku teliti dan hasilnya adalah satu senyuman.



Tetapi menjadi satu persoalan, apakah mereka yang membacanya, juga tersenyum seperti aku?



Allahu akbar!!!



Seseorang telah berpesan kepadaku, “Wahai anakku, lampirkan penulisanmu itu dengan seribu manfaat, yang dapat membuat orang yang membacanya, tahu sesuatu yang baru. Jangan ditulis sesuatu yang membuatkan orang tahu rahsia peribadimu. Benar, pena dan tinta itu adalah wadah untuk hati berbicara. Mana mungkin seorang yang tidak punya ilmu, mampu menulis sesuatu yang berharga buat manusia lainnya...”



Aku tertawa..... tapi aku tidak tahu, apakah tawaku itu tawa gembira, atau sekadar untuk menutup hati yang luka. Dan aku tertawa lagi, dan barangkali kalian juga sedang tertawa, yang akhirnya kalian simpulkan, “Dia ni memang suka bermadah.”



Ya, aku suka bermadah, aku suka bermain kata. Aku amat kagum dengan bahasa. Sebab itulah, aku bulatkan dalam hati, yang aku tidak akan bertoleransi dengan mereka yang bermain-main dengan bahasa. Mereka yang sering menggunakan kata-kata yang salah dengan cara yang salah.



Tetapi.....



“Ini tulisan siapa? Siapa yang menulisnya? Siapa?”



Aku tertanya-tanya. Kerana di hadapan mataku itu, beberapa warkah penuh dengan kata-kata, yang terhasil dari tarian tinta dan penaku, tetapi tidak sedikit pun aku melihat, padanya ada diriku.



Itu palsu! Itu palsu!! Itu palsu!!!



Dan tulisan ini, yang sedang kalian baca ini, aku tidak tahu, apakah memberi erti kepada kalian, apakah memberi pengetahuan dalam diri kalian... Aku tidak tahu.



Cuma, satu perkara yang aku mahu kalian beri perhatian,



“Wahai sahabat-sahabatku, jangan kalian remehkan dunia penulisan, apa yang kalian ungkapkan di sini, akan menjadi saksi diri kalian, di hari pembalasan yang dijanjikan. Aku dan kamu, kita dan mereka, tiada bezanya. Yang membezakan antara kita, hanyalah pada amal. Bukan kata bicara, atau pengetahuan dan ilmu yang beribu mahupun penulisan yang kita banggakan ini dapat membantu kita di sana nanti..”




12/28/2010

Bicara Seorang Pemuda

Siri 3.....
“Ulama-ulama terdahulu telah mengabdikan diri mereka dengan ilmu. Mereka tidak pernah bersungut sekalipun berhadapan dengan cabaran dan ancaman. Imam Ahmad bin Hanbal, pengasas mazhab Hanbali dan juga merupakan seorang muhaddis yang terkenal dengan kitab hadisnya iaitu Musnad Imam Ahmad telah dipenjara dan diseksa selama 17 tahun kerana mempertahankan kebenaran. Cuba antum bayangkan, sanggupkah antum semua menghadapi semua ini hanya untuk mempertahan kebenaran dan ilmu?”
Imam Ahmad bin Hanbal telah dipenjara selama 17 tahun di bawah tiga pemerintahan khalifah yang berbeza dari kerajaan Abbasiyyah. Imam Ahmad telah dipenjara bermula dari zaman pemerintahan khalifah Ma’mun pada 3 tahun terakhir pemerintahannya. Kemudian penyeksaan itu disambung pula oleh adiknya khalifah al-Mu’tassim selama 9 tahun dan selepas dia mangkat, anaknya Khalifah Harun al-Wathiq, menyeksa Imam Ahmad selama 5 tahun.
Penyeksaan ini dilakukan bukan sahaja kepada Imam Ahmad sahaja, bahkan kepada semua para ulama dari golongan ahli Sunnah wal Jamaah yang mempertahankan pendapat bahawa al-Quran itu kalamullah, bukan makhluk. Berbeza dengan fahaman yang dipegang oleh khalifah ketika itu, iaitu al-Quran adalah makhluk. Ketiga-tiga khalifah ketika itu memegang fahaman Mu’tazilah. Mereka dihasut oleh ulama-ulama dari puak Mu’tazilah yang amat membenci golongan ahli Sunnah wal Jama’ah.
Hinggalah zaman pemerintahan Khalifah Ja’afar al-Mutawakkil yang menggantikan Khalifah al-Wathiq. Khalifah al-Mutawakkil adalah seorang yang amat membenci fahaman Mu’tazilah ini, apabila dia dinaikkan takhta, dia terus membebaskan Imam Ahmad dari penjara. Dan selepas itu nama Imam Ahmad kembali menyinar lebih dari sebelumnya.
Kelas diploma al-QudS semester 5 pagi itu senyap. Mereka terdiam tanpa suara, umpama ditusuk pedang yang tajam, kata-kata Ustazah Ruqaiyah itu memberkas ke dalam hati mereka. Beberapa orang dari mereka menundukkan kepala, mungkin sedang memikirkan kata-kata tersebut.
Begitulah acap kali yang berlaku dalam kelas Ustazah Ruqaiyah yang terkenal dengan sindiran tajam dan kata-kata sinis yang amat sukar ditelan. Namun setiap perkataan yang dilafazkan amat memberi kesan kepada pelajar-pelajarnya. Dia mahu semua pelajarnya sentiasa terbuka minda dan hati mereka untuk merenung perjuangan para tokoh ilmuwan dahulu dalam mencari ilmu.
Bukan seperti masa kini, institusi ilmu telah terbalik. Kalau dulu, para pelajar perlu berusaha mencari guru yang terbaik untuk mendapatkan ilmu. Namun kini, guru yang terpaksa mencari murid untuk mencari duit. Tiada lagi rasa hormat kepada guru, tiada lagi penghayatan kepada ilmu menjadi jawapan mengapa lahirnya ramai tokoh bijaksana tanpa akhlak yang mulia.
Seperti mana kata Dr Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya ‘Di Mana Punca Kelemahan Umat Islam Kini’, Pada masa kini, kurikulum kita hanya mampu melahirkan para pegawai, bukan para intelektual.” Maka berlakulah pelbagai kepincangan kerana mereka tertipu dengan keindahan duit dan harta. Rasuah, penindasan, kezaliman dan ketidakadilan semakin berleluasa, apatah lagi jika yang melakukannya adalah orang yang berkuasa dan yang mempunyai lulusan sarjana. Kata Dr Yusuf al-Qardhawi lagi, “Kurikulum pelajaran kita tidak mampu menterjemahkan erti dan sifat ‘Rabbaniah’ ke dalam jiwa masyarakat kita.”
Seandainya erti dan sifat ‘Rabbaniah’ itu mampu diterjemahkan dalam jiwa, pasti kita sedar bahawa setiap pergerakan dan perbuatan dalam kehidupan kita adalah kerana Allah. Hasilnya, setiap seluruh hidup kita akan terpandu dan pastinya akan melahirkan generasi intelektual dan modal insan kelas pertama yang bertaqwa kepada Allah.
“Baiklah cukup setakat ini. Ustazah harap antum semua sedar yang antum semua memikul amanah yang amat besar sebagai individu yang menuntut ilmu yang berkaitan al-Quran & as-Sunnah. Jangan sesekali mengambil mudah pada bidang yang antum ceburi.”
“Ana nak mengingatkan antum, bahawa kita semua akan dipersoalkan kelak andai kita tidak menyampaikan amanah yang kita terima ini. Kitalah generasi pewaris yang akan menyambung perjuangan tokoh-tokoh ilmuwan Islam terdahulu. Peganglah pada firman Allah ini."




Matanya memerhatikan satu persatu wajah anak didik yang ada di hadapannya. Dia mahu mereka jelas, bahawa ilmu al-Quran dan al-Hadis ini bukanlah sesuatu yang boleh dipelajari sambil lewa. Mereka perlu bersungguh dalam memahami dan mengamalkannya.
“Baiklah, sampai di sini sahaja kelas kita. Sebelum ana keluar, ana nak ingatkan, assignment antum hantar sebelum hari Jumaat depan. Minggu terakhir sebelum final nanti, antum bentangkan tajuk antum di dalam kelas. Faham?” Dia tersenyum dan terus melangkah keluar selepas memberi salam.
“Aduh...bisanya. ustazah Ruqaiyah tu kalau cakap, mahu hangus telinga aku dengar. Fiq, kau tak terasa ke?” tanya Rafiq.
Rafiq, rakan sekelas Afiq yang lain daripada yang lain. Dia berasal dari Johor, berambut pendek dan berbadan kurus. Jiwanya agak ‘funky’ sedikit. Ada yang menggelarkan Rafiq sebagai ustaz rempit kerana sememangnya Rafiq jika memandu motosikal RXZ nya itu, boleh kalah Valentino Rossi.
Afiq hanya tersengih, biarpun berbisa namun sebagai seorang yang berpegang pada prinsip bersifat terbuka dan optimis selalu, dia menganggap itu sebagai satu cabaran. Terasa dirinya terbakar. “Aku akan buktikan pada ustazah,” bisik hatinya.
“Rafiq, Wasim, jom temankan ana makan. Perut ana dah berbunyi ni,” Hakim mengusap-usap perutnya yang kurus itu.
“Ai, kau jangan main-main Kim. Kami memang menanti akh Hakim Tamimi kita ini belanja, kan Wasim?” Rafiq mengusik. Hakim hanya tersengih sahaja. Dia memang maklum dengan perangai Rafiq yang suka mengusik.
“Emm... antum tak nak ikut sekali?” Wasim mengalih pandangannya kepada Afiq dan Furqan.
“Ana nak jumpa dengan Ustaz Farouk kejap. Ada perkara yang ana nak bincangkan. Jadi ana tak dapat ikut. Enta macam mana Afiq?” jelas Furqan.
Kelas seterusnya jam 2 petang nanti. Kelas Dr. Fahim amat digemari oleh mereka. Kelas Dr. Fahim sentiasa ceria dengan jenaka-jenaka yang dilakukan oleh Dr. Fahim sendiri, menjadikan mereka tidak mengantuk bila mendengar penerangan Dr Fahim, pensyarah yang berkelulusan dari Madinah tersebut.
“Baru pukul 11.30 pagi. Lama lagi ni,” bisik hatinya. Afiq memandang wajah sahabat-sahabat yang sedang menantikan jawapan darinya.
“Emm... takpalah. Ana tak lapar lagi. Antum pergilah dulu ya. Lagipun ana nak ke maktabah, nak cari bahan tambahan untuk assighment ana. Maaf ya. Jumpa dalam kelas Dr Fahim nanti,” jelas Afiq. Mereka berjabat tangan. Afiq terus melangkah menuju ke perpustakaan seorang diri.


******************************************************



bersambung....


klik siri [1] & [2]



12/27/2010

Final Exam

الإمتحانات النها ئية (2010/ 2011)
فصل الأول
كلية الشريعة، جامعة مؤته



الرجاء الضغط على الصورة للحصول على صورة واضحة



ps: Insya Allah.... kemungkinan blog ini tidak akan diupdate untuk beberapa ketika, walaupun sebenarnya memang dah lama pun tak update... hehehe... tapi, kalau dah idea tu datang mencurah, Insya Allah, DK akan update jugak... wallahu'alam

Doakan kami mahasiswa Mu'tah diberikan kemudahan dan kejayaan dalam imtihan....



12/19/2010

Monolog Hati 4




Helaian demi helaian dibeleknya buku Ulum Quran berwarna hijau yang sarat dengan perkongsian dari Doktor Fadhl Hasan ‘Abbas mengenai kemukjizatan al-Quran. Jam baru menunjukkan 7.15 malam. Solat Isyak, Alhamdulillah, dah tertunai walaupun sekadar berjemaah bersama sahabat-sahabat di rumah.

Kesejukkan yang mencengkam membuatkan kami masing-masing memakai pakaian yang berlapis-lapis. Angin yang bertiup kencang di luar rumah, mengintai-intai cuba untuk mencuri masuk di celahan tingkap yang tidak dapat ditutup rapat.


“Aiman, jom keluar nak? Aku nak cari makan sikit la.”


Dia menggeleng. Dia tidak mahu merasai kedasyatan angin sejuk bumi Mu’tah pada malam-malam seperti ini. Tambah pula, malam ini ada sesuatu yang perlu diteliti. Perhatiannya lebih tertarik kepada penerangan seorang pensyarahnya mengenai kemukjizatan al-Quran dari pelbagai cabang perbincangan.


Selimut tebal miliknya ditarik membungkus diri. Sarung tangan yang dipakai dikemaskan ditangan. Air Coklat panas di sisinya dikacau agar serbuk coklat itu rata. Pena tersisip kemas di jemari.


Bismillahir rahmanir rahim....”

[klik pada gambar utk lebih jelas]

“Maha Suci Allah yang menurunkan al-Quran dengan hikmah dan keajaiban yang tidak dapat diungkap dengan fikiran manusia, kecuali andai dia meneliti dan mengkajinya. Begitu kata Tuhan, biarpun 7 lautan di dunia menjadi dakwat untuk menulis ilmu-Nya, dan ditambah lagi 7 lautan sebagai tambahan, tidak akan selesai kerja menyalin ilmu Tuhan itu.”

Seperti mana firman Allah yang pertama, turun kepada baginda Rasulullah s.a.w. di Gua Hira’ ketika baginda sedang beruzlah (beribadah), baginda diperintahkan untuk membaca, mencari ilmu selagi mana nafas masih ada.


Firman Allah s.w.t.:

[klik pada gambar utk lebih jelas]

Seorang sahabat baginda s.a.w. bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimanakah keadaanmu menerima wahyu?” Baginda Rasulullah s.a.w. menjawab, “Kadang-kadang ia diturunkan seperti bunyi sebuah loceng. Dari berbagai-bagai cara wahyu diturunkan, cara inilah yang paling berat dan kemudian suara (loceng) itu menghilang setelah aku menerima wahyu itu. Kadang-kadang malaikat menemui ku dalam keadaan wujud seorang lelaki dan berbicara kepada ku dan aku mengingati apa yang ia katakan. Aisyah r.a menambah: “ Ketika nabi SAW sedang menerima wahyu pada suatu hari yang dingin aku melihat peluh berjatuhan dari dahinya hingga wahyu itu selesai diturunkan Allah SWT."

Namun begitu, musuh Islam tidak pernah berpuas hati, mereka sentiasa mencari jalan untuk menyakiti baginda Rasulullah s.a.w. Mereka katakan bahawa al-Quran itu tidak benar, al-Quran itu adalah ciptaan baginda Rasulullah s.a.w.


Maka Allah s.w.t. mencabar mereka yang mengatakan al-Quran ini dusta. Allah mencabar mereka dalam 3 fasa yang berbeza.



Fasa pertama:
Allah cabar mereka datangkan yang serupa dengan al-Quran.


[klik pada gambar utk lebih jelas]

Fasa kedua: Allah mencabar mereka datangkan pula 10 surah sahaja yang dapat menandingi al-Quran.


[klik pada gambar utk lebih jelas]

Fasa ketiga: Allah mencabar mereka untuk datangkan satu surah sahaja yang serupa dengan al-Quran.


[klik pada gambar utk lebih jelas]

“Hmm.... kesian mereka ni. Tiga kali kena cabar, dan tiga kali juga mereka terhina. Takde satu pun cabaran dari Allah dapat diorang selesaikan.” Dia menggeleng-gelengkan kepala. Pelik dengan kejahilan dan kesombongan kaum jahiliah yang menentang Rasulullah s.a.w.

Akhirnya Allah berfirman kepada mereka:


[klik pada gambar utk lebih jelas]

“Inilah dia mukjizat al-Quran. Kalau diperhatikan, zaman Nabi Musa a.s. dulu, mukjizat baginda adalah seekor ular besar yang terjadi selepas tongkat baginda dibaling, menelan semua ular-ular yang terhasil daripada sihir-sihir tukang sihir fir’aun. Zaman Nabi Isa a.s., dia boleh menyembuhkan orang yang sakit sopak dan buta, bahkan boleh menghidupkan orang yang telah mati. Ini mukjizat mereka, kerana zaman Nabi Musa, orang tengah gila sihir, dan zaman Nabi Isa, masa tu tengah ‘hot’ dengan ilmu perubatan.”

Dia membisu. Air coklat yang semakin menyejuk itu dihirupnya sedikit demi sedikit membasahi tekaknya. Fikirannya masih ligat memahami apa yang mahu disampaikan oleh Syeikh Fadh Hasan ‘Abbas.


Zaman Nabi Muhammad s.a.w. terkenal dengan kehebatan mereka bermain bahasa dan bersyair. Sebab tu al-Quran diturunkan menjadi mukjizat teragung melawan mereka.


“Eh, mukjizat?” matanya menangkap kalimah tersebut.


“Mukjizat dalam al-Quran terbahagi kepada 3? Apa dia...???”


12/13/2010

Pesona Hijrah 1432



Angin ribut yang bertiup kencang menyapa kami di bumi Syam. Awal tahun kami dihiasi dengan turunnya salji dan suhu di sini. Malam ni sahaja DK diberitahu suhu menurun kepada 3 darjah. Dan kemungkinan ia akan menurun lagi. Dan sementelah itu juga, hirom menjadi peneman setia sepanjang berada di dalam rumah.



Pesona hijrah 1432 mencatat banyak peristiwa indah. Biarpun baru beberapa ketika ia bermula. Sejarah, ikhtibar, ukhwah, keluarga, hati dan perasaan, semuanya mengalami perubahan. Perubahan besar yang membuka mata DK untuk meneliti lebih luas, erti kehidupan seorang manusia.


Pesona Hijrah 1432, DK mengggigil kesejukan menahan kesejukan. Bilik masih belum punya pemanas. Alhamdulillah, hirom harimau yang tebal dari Korea dapat membekal haba. Dalam ribut angin yang menerpa bumi Mu’tah, ukhwah kami juga turut bergegar. Salah faham dan tingkah tiba-tiba menggoyangkan tiang ukhwah.


Sehari sebelum ia terjadi, dada DK berdebar melihat kekuasaan Yang Maha Kuasa. Bumi yang dulunya dihuni seramai hampir 4 juta penduduk, kini tinggal lautan yang memiliki kadar kemasinan paling tinggi dalam dunia. Laut Mati (Dead Sea), yang menjadi saksi kaum Lut bersemadi dimurkai Allah.



Namun di sini, mahasiswa tahun 1 Mu’tah membentuk ukhwah. Rehlah bersama-sama, bergembira dan kemudian mengambil iktibar bersama. Ya Allah, eratkan ukhwah antara kami di bawah payung redha dan rahmat Mu ya Rabbul ‘Alamin...


Pesona Hijrah 1432, mencatat debaran dan getaran pada hati dan perasaan. Walaupun masih belum membuat keputusan, tetapi DK berdoa agar istikharah dan doa menjadi tunjang kekuatan dalam ketentuan. Apakah DK sudah bersedia untuk menambah tanggungjawab yang sedia ada?



Pesona Hijrah 1432, semuanya terbongkar. DK rindukan kedua ibu dan ayah di perantauan. DK rindukan ahli keluarga DK di sana. Along, Kak Fiza, Abang Azrul, Angah, Alang, Izzul Hariz, Aina Zukrina dan Safiya Zulaikha. Di dalam sejuk yang menggigit tulang, DK menatap gambar family yang tertampal di dinding locker. Mereka menanti kepulanganku dengan kejayaan.


Pesona Hijrah 1432, DK mahu berubah. Bagaimana? DK akan mencari jawapannya. Selepas mendengar bicara dari mereka, DK semakin percaya. Bagaimana DK mampu nafikan apa yang DK rasa? Tetapi DK juga tidak mahu hampakan mereka.



Persoalannya, apakah DK mampu menggalas tanggungjawab yang dulu satu kemudian bakal menjadi dua?



Pesona Hijrah 1432, DK berazam. DK ingin kembali merealisasikan apa yang pernah DK impikan. Blog lama DK, Luahan Dari Pena menyaksikan impian DK, mahu membuktikan bahawa al-Quran & hadis merupakan suatu yang menyeronokkan. DK juga mahu menjadi seorang yang terbuka, berlapang dada, always think positive dan sentiasa berbaik sangka. Inilah janji DK dulu yang masih belum dikota.



Dan Pesona Hijrah 1432, ketibaanmu, menjadi tanda tanya, apakah diri ini akan terus kekal seperti sedia kala, atau menjadi yang terbaik dan lebih baik dari apa yang ada.



Hanya tinggal diri sendiri yang memilih, mahu terus leka, atau melangkah gagah menggalas tanggungjawab yang bakal bertambah.


Pesona Hijrah 1432,
Jadikannya titik untuk berubah,

Buktikan dirimu,

Segagah dan seindah kalam bicara

Yang kau nukilkan di atas lembar sejarah



Pembukaan Pesona Hijrah 1432,

Dirimu kini menjadi saksi,

Dan orang diluar sana yang akan menghakimi

Kerna kata mereka yang pakar dalam motivasi

Action speak louder than words!



Dan Pesona Hijrah 1432,

Ianya kini telah bermula,

Misi memburu dan merealisasi,

Apa yang pernah diimpi

Apa yang pernah tercatit dalam pelan rangka
,
Menggapai mimpi...



Apabila diri telah bersedia,

Akan aku katakan pada mereka,

AKU PASTI BERJAYA!!!


Salam Ma'al Hijrah DK ucapkan kepada semua sahabat....
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda,
"Sebaik2 puasa selepas bulan ramadhan adalah bulan Allah,iaitu Muharam."
(riwayat Muslim, no hadis 1982)


12/08/2010

Mati adalah pasti!!

Tanah tempat kita berumah nanti....
-kredit gambar Qurban-

Apakah aku telah bersedia untuk mati??
Ingat! Kematian tidak pernah memandang kita muda atau tua, kita lemah atau kuat, kita miskin atau kaya, kita kecil atau besar.....

KEMATIAN TETAP AKAN MENDATANGI KITA!!!

Firman Allah bermaksud:
“Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al Munafiqun: Ayat 11)



12/07/2010

Monolog Hati 3



Aku rindukan haruman syawarma panas yang enak. Aku rindukan rasa kapucino swendea yg manis. Aku rindukan manisnya kinafah, halawiyat yang tidak tertanggung manisnya. Aku rindukan suasana ketika musim sejuk menyapa, enaknya, kalau ketika itu dibancuh air coklat Winner panas.


Dia tersenyum. Satu persatu pakaian dan barang-barang keperluan dipandangnya. Tangannya mula melipat baju dan memasukkan barang-barang tersebut ke dalam beg. Dua beg besar yang akan dibawanya bersama kembali ke bumi bersejarah.


Untuk seketika, fikirannya tertumpu jauh dari mengingati semula peristiwa yang membuatkan hatinya berduka. Kenangan di medan ilmu menjadi perhiasan memorinya.


“Aiman, kenapa mengelamun tu?”


Dia menoleh. Wajah tua ibunya menggamit rasa hiba. Ya, sekali lagi, dia akan meninggalkan ibu dan ayahnya. Dia akan kembali ke medan ilmu yang jauh dari tanah airnya. Tiket penerbangannya adalah esok. Pukul 10 pagi di KLIA.


“Ayah tak balik lagi bu?”


“Belum lagi. Alah, kejap lagi balik la tu. Katanya ada mesyuarat lepas Isyak tadi.”


“Ibu, esok Aiman akan bertolak balik semula ke sana. Ibu takda kawan gaduh lagi lah lepas ni ye, “ dia menarik tangan ibunya untuk duduk. Ibunya diam tidak bersuara. Barangkali menatap anaknya yang semakin dewasa dimamah usia.


Ya, usiaku sudah menganjak 23 tahun. Tak sangka, aku dah tua. Hahaha.... dan tak sangka, segalanya berlaku seiring dengan cita-citaku. Ya Allah, aku bersyukur padamu.


وَالْفَرَاغُالصِّحَّةُ:النَّاسِ مِنَ كَثِيْرٌ فِيْهِمَا مَغْبُوْنٌ نِعْمَتَانِ


Dua nikmat yang manusia sering tertipu, iaitu waktu sehat dan waktu lapang. Riwayat Bukhari, Tirmizi, Ibnu Majah dan beberapa orang lagi. Dan umurku, berapa banyak telah aku siakan dua peluang itu?



12/04/2010

Monolog Hati 2



Benar, dulu aku berubah kerana dirimu. Kali pertama aku mengenalimu, kali pertama aku mengetahui siapa dirimu, kau gadis yang berjaya membuat diriku termenung, resah tiap waktu. Bukan resah kerana hatiku diulit perasaan padamu, tetapi resah kerana peribadiku tidak sedikit pun layak untuk dirimu.

“Oh.....” dia mengeluh.

Dia mengalihkan pandangannya. Tidak sanggup untuk menatap terus wajah gadis itu.

“Aiman, kau nak ke mana tu?”

Langkahnya terhenti. Dia menoleh sambil menggagahkan diri untuk tersenyum.

“Tahniah pul, selamat pengantin baru.”

Segak kau Epul. Pakaian raja sehari berwarna emas, memang padan dengan kau. Faiz Saifullah, kau memang beruntung dan bertuah. Semoga kau bahagia.

“Aku balik dulu,” dia meminta izin sambil menghulurkan salam.


“Ok, baik-baik. Nanti kirim salam dengan pak cik dan mak cik ye. Lama aku tak jumpa mereka.”

Dia mengangguk. Sahabat karibnya kini sudah mempunyai teman baru. Teman yang bakal menceriakan lagi kehidupannya. Tahniah sahabat, aku doakan kebaikan dan kebahagian untuk kau dan isteri kau....


12/02/2010

Monolog Hati....


“Kau belum mengenal siapa sebenarnya diriku. Dan andai kau mengenali siapa aku sebenarnya.....”


Bicara hatinya terhenti di situ. Dia tidak mampu menelan hakikat memori hitam lamanya. Matanya masih mengintai senyuman ceria gadis yang berjaya mencuti hatinya itu. Riuh rendah majlis pernikahan hari itu, hilang sebaik melihat gadis itu.


Ya, itulah gadis yang membuat hatinya resah tidak menentu. Dan itu juga gadis, yang membuatkan dirinya berubah kepada dirinya yang baru.


Tetapi, apakah gadis itu yang menjadi jawapan hatinya?

11/28/2010

Mum & Dad


Salam 'alaikum kepada semua sahabat yang sudi menerima perkongsian dari DK,
entry ini bukan satu karangan panjang berbentuk cerita,
mahupun madah kata dan indah bicara,
tetapi DK mahu kongsikan bersama dengan kalian semua,
sebuah lagu untuk penghayatan semua.

Dengarlah kalian, hayati apa yang Zain Bikha mahu sampaikan,


DK tujukan lagu ini untuk kedua ibubapa DK di Malaysia.... (^_^)





Mum & Dad - Zain Bikha

You held my hand to steady me
Till I was ready to make a stand
On my own two feet
While my world was crumbling down

And you tried your best to shelter me
From the coming of the storm
You opened my eyes to see

That all hope was not gone

You held me in your arms
And wiped away my tears
Not even in a million years
Can I ever repay you
for what you’ve done for me?

You were there when I felt
That there was no place for me
You were there to show me
How to truly believe
In the miracle of creation
In the good and the bad
Oh how I love you Mum and Dad

You were there to lift me up

When I was far too small
To see a brighter tomorrow
And face it proud and tall

When my head was down you prayed for me
Said I just need some time
You said to spread my wings and fly
Give the world of what was inside

You taught me to try
To do my best to inspire
People of every kind
That’s a gift from Allah
That I can never claim as mine

You were there when I felt
That there was no place for me
You were there to show me
How to truly believe
In the miracle of creation
Even when you’re lost and scared
Oh how I love you Mum and Dad

Oh Allah, bless them
And always keep them safe from harm
Grant them places in Paradise
And Your eternal Salaam

You were there when I felt
That there was no place for me
You were there to show me
How to truly believe
In the miracle of creation
In the good and the bad
Oh how I love you Mum and Dad



11/23/2010



Salam 'alaik dan salam sejahtera di pagi yang sejuk ini....

PERHATIAN KEPADA SEMUA WARGA KLANG,
REBUT PELUANG ANDA UNTUK MENAMBAH ILMU YANG ADA,

Satu forum Ilmu akan diadakan seperti berikut:


"FORUM MENDEKATI SURAH YASIN DAN KESANNYA TERHADAP MASYARAKAT"

Panelis:Ustaz Mohd Syauqi Md Zahir (pensyarah UIAM)
Ustaz Adlan Abdul Aziz (penceramah Radio IKIM)

Moderator : Ustaz Abu Hafiz Salehhudin

Tarikh: 25 Nov 2010, Khamis

Tempat: Dewan Solat Masjid asy-Syariff Meru



Jom pakat, ramai-ramai mari.... ajak sahabat handai, saudara mara dan sape-sape yang ikhlas nak turut serta.... wallahu'alam

ps: sape yang pergi tu, nanti kongsi-kongsilah dengan DK yang tak dapat pergi ni ye... isk3


11/16/2010

Salam Eid al-Adha

Salam 'alaik sahabat semua....

sebenarnye DK tak nak citer sangat untuk entry kali ni. Memandangkn entry ni DK taip pada jam 1.47 pagi pada Hari Raya Aidil Adha pertama DK di luar negara, plus jauh dari keluarga pulak tuh... huhuhu

Mood DK hari ni, sedih ade, gembira ade, seronok ade, ngantuk dan letih pun ade.

mane taknye, hari ni macam-macam peristiwa berlaku, dan ini pastinye akan menjadi nostalgia DK selama-lamanya.

Hanya nak perincikn tentang mood DK hari ini, sekadar untuk berkongsi... (^_^)

Sedih : Sebab jauh dari family. Telefon Ibu kat rumah, tanye masak ape untuk raye ni, jawab Ibu, dia tak masak. huhuhu... mungkin sebab tukang jaga api rendang n ketupat die sudah lari ke Jordan.

Gembira : Sebab hari ni Hari Raya Korban. Pertama kali sambut dengan kawan-kawan. Kami bagaikan satu keluarga, bergotong-royong rewang untuk hidangan raya... hu.. semoga ukhwah kami erat sampai bila-bila.

Ngantuk dan letih : kenapa? kebetulan, hari Isnin merupakan giliran DK memasak di rumah. Jadi hari ini plan nak masak sama-sama dengan sahabat rumah sebelah yang same giliran dengan DK. kami buat special untuk hari ini, sempena Ifthor (buka puasa) untuk hari Arafah, dan sempena malam raya pertama kami bersama-sama. Aduh.... kemudian acara diteruskan dengan bersama-sama buat kuih donut n karipap. hahaha... donut orang bujang, habis dah jadi cam ape dah bentuk die, nasib baik sedap. huhuhuhu...

tengoklah sape yang gelek dohnye.... (^^,)

baik, sedikit perkongsian dari DK untuk hari ini...

Agenda hari ini:

Sekarang pukul 1.55 pagi : siap-siap untuk tidor..

Jam 4.50 pagi : bangun Subuh

Jam 6.30 pagi : Siap-siap pergi solat Raya.

then selepas itu... hahaha korban dan terkorban!!!!

Ayam Goreng Origano (ayam + susu masam + origano + rempah yg berkaitan)



Jamuan Ifthor Special Edition (Sempena Yaumul Arafah & Malam raya Eidul Adha)



Ucapan Salam Eidul Adha dari pelajar tahun 1 Universiti Mu'tah (syabab), Syuqoh Mat'am Syuru'...

klik: Ucapan Raya

11/05/2010

Give The Young A Chance



Give The Young A Chance Lyrics



Ours the future hold close
For a time will come
Deep in your heart there’s a river that flows
All the way to Kingdom come
Through the sandstorms where the high wind blows
A desert road does bloom
Please help me…



Give the young a chance
Lead them in the dance
My people
Give the young a chance
To change their circumstance
And so… And so… It’s written:
As the moon shall turn the tides
And as the stars shall light your ride
Don’t listen to the words of fools
The young I know they are jewels



Deeds I’ve done what I’ve become
Treasures I will find
Nourishment I do receive
Can’t help but believe
The road is long I shall stay strong
Please hear my song
Help me…



Give the young a chance
Lead them in the dance
My brothers
Give the young a chance
Lead them in the dance
My sisters
Give the young a chance
To change their circumstance
And so… And so… It’s written:
As the moon shall turn the tides
And as the stars shall light your ride
Don’t listen to the words of fools
The young I know they are jewels



Take me to gardens where
Birds will sing lullabies
Find me in the shade of trees
Through gentle breeze
Sweet scents filled the air…



Give the young a chance
Lead them in the dance
My people
Give the young a chance
To change their circumstance
And so… And so… It’s written:
As the moon shall turn the tides
And as the stars shall light your ride
Don’t listen to the words of fools
The young I know they are jewels



Words: Ian Brown
Music: Sami Yusuf
Produced by Sami Yusuf


11/04/2010

Buang Tebiat.....

Seorang wartawan mendekati ibu kepada seorang mangsa kemalangan yang baru sahaja meninggal dunia petang kelmarin. Mangsa, berumur 7 tahun dikatakan sedang melintas jalan raya sebelum dilanggar oleh sebuah kereta Honda Civic yang masih berbalut lagi ‘seat’nye. Mangsa mati ditempat kejadian.
“Mak cik, apa khabar? Saya wartawan dari akhbar ‘Berita Untuk Anda’ nak buat sedikit wawancara dengan mak cik tentang peristiwa yang menyayat hati ini. Kami juga turut bersedih dengan kehilangan anak mak cik tersebut,” sayu dan perlahana wartawan tersebut memulakan bicara.

“Boleh mak cik bagitau, ada tak apa-apa yang pelik dilakukan oleh anak mak cik sebelum die meninggal dunia?”

Sambil menahan sebak, mak cik tersebut bercerita, “Arwah memang anak yang baik, sebelum dia pergi tinggalkan mak cik, arwah tak suka makan ikan goreng, tapi entah kenapa hari tu arwah makan ikan yang mak cik goreng, siap kata sedap dan lazat lagi...”

Wartawan tesebut diam sambil berkata dalam hati, “Memang orang yang nak mati ni suka buat bende yang lain dari bende yang biasa dia buat...”

Dia menggelengkan kepala.....


Buang tebiat?

Berdasarkan cerita rekaan di atas.....

Eceh, macam buat karangan masa SPM dulu jek. Walau apa pun sahabat semua, cerita di atas memang rekaan, tiada kaitan dengan sesiapa pun yang terasa, atau tidak terasa.

Pelik dan hairan apabila setiap kali DK baca di akhbar-akhbar tempatan, diantara soalan favourite wartawan mesti depe akan tanya, apa yang pelik si mati buat sebelum ajal. Jadi bermacamlah story yang interesting dapat kita dengar daripada waris atau sahabat handai si mati.

Ada yang tak pernah-pernah cium ibu ayah, tiba-tiba cium pipi ibu ayah. Ada yang pantang jumpa kopi radix, mesti nak minum, walaupun kopi radix tu kawan dia punye, tiba-tiba hari tu, kawan saja nak perli, bagi satu balang kopi radix, dia tak suka pulak....

Pelik...pelik... tetapi adakah satu kemestian bagi setiap orang yang nak mati, melakukan perkara pelik macam ni???

Dipetik daripada kata-kata orang kampung DK, “Woi ko nak mati dah ke, buang tebiat macam ni.”

Buang tebiat, mesti digandingkan dengan nak mati dah ke? Jadi, perkaitan dengan perkara pelik yang dilakukan sebelum mati itu disebut dengan buang tebiat atau kata skemanya a.k.a fushahnya dalam bahasa ibunda kita iaitu bahasa Malaysia disebut buang tabiat.


Apa itu tabiat?

Dari penelitian tak rasmi yang DK buat, tabiat ini adalah sesuatu perbuatan atau kebiasaan yang dilakukan oleh kita sebagai manusia dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, ada orang dia biasa sebelum tidur, dia akan gosok gigi dulu. Kalau tak gosok dia tak dapat tidur. Ada orang bila ada masa senggang dia akan main game (sape tuh? Hehehe...), kalau tak main dia tak dapat nak jadik orang. Sebab, itulah kebiasaan dia.

Maknanya, mereka yang buang tebiat ni adalah mereka yang melakukan sesuatu yang berlainan dari kebiasaan yang diperhatikan oleh orang sekelilingnya. Sama ada ahli keluarga, sahabat handai, atau sesiapa yang mengenali dirinya.


Kenapa DK cerita tentang buang tebiat ni?

Mesti korang pelikkan kenapa DK nak cerita tentang buang tebiat ni. Bukan bermakna DK dah dapat kasyaf boleh tahu apa yang korang fikir. Ataupun DK dah buang tebiat nak cerita pasal buang tebiat ni. Jangan woo... DK tak kahwin lagi... (gurau jek.. walaupun dengan nada serius)

Tetapi DK tertarik dengan cerita tentang buang tebiat ni atau kalimah yang sedap adalah MEMBUANG TABIAT.

Alasannya, kerana kita sebagai manusia perlu juga melalui satu fasa beberapa kali dalam hidup kita untuk membuang tabiat. Macam siri tazkirah Dr Asri, ‘Bahtera Perubahan’. Untuk menaiki Bahtera Perubahan ni, kita perlukan satu Anjakan Paradigma dalam diri kita. Tak cukup kalau setakat tengok siri ‘Anjakan Paradigma’ Dr. Fadzilah Kamsah tu. Tetapi dia perlukan anjakan pada tabiat dan perlakuan seharian kita.

Firman Allah s.w.t.:

إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu sehinggalah mereka mengubah diri mereka sendiri”
(surah al-Ra’d: 11)

Nampak tak? Allah sebut dengan jelas dalam al-Quran yang DIA takkan ubah diri kita, kalau kita sendiri tidak punya usaha untuk berubah. Kata almarhum Sheikh Ibn Aziz bin Baz ketika ditanya mengenai tafsir ayat ini, dia menjelaskan, “Allah tidak akan mengubah sesuatu kebaikan kepada keburukan, atau keburukan kepada kebaikan, daripada kesenangan kepada kesempitan, atau kesempitan kepada kesenangan pada sesuatu kaum itu, hingga mereka mengubah diri mereka sendiri.”

Bak kata pepatah, “Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian.”

Terima kasih kepada Dr Jamal Abu Rumman kerana mengajar madah ‘Ulum Quran, DK telah dibuka hati dan fikrah untuk mengaitkan ayat ni dengan subjek yang kita bincangkan iaitu ‘MEMBUANG TABIAT’.



“Perhatian kepada mereka yang sedang diselubungi rasa sedih dan dukacita. Tak kira apa sebabnya, sila senyum sentiasa, tiap hari dan tiap masa anda diselubungi duka. Mudah-mudahan, kami doakan, dengan didikan daripada senyuman itu, anda akan digolongkan dari kalangan mereka yang sabar. Dan yakinlah kerana Allah sentiasa bersama mereka yang sabar!!!!”


Baik, saje nak melaung kuat-kuat kat sini. Perhatian, korang hanya boleh laung dalam membaca (maknanya takat korang je yang dengar), jangan laung betul-betul, nanti menganggu jiran sebelah. Dosa tu!

Tiba-tiba DK terfikir, kenapa apabila orang yang nak mati, mereka akan MEMBUANG TABIAT kebiasaan mereka? Takkanlah nak mati baru nak BUANG TEBIAT? Habis kita yang hidup lama lagi ni (Insya Allah) tak nak BUANG TEBIAT ke? Kan Allah dah jelas-jelas sebut, kalau kita tak nak BUANG TEBIAT kita, macam mana nak buat perubahan.

Kalian tahu, indahnya Islam dan syari’at Allah yang disampaikan kepada kita melalui Rasulullah s.a.w. Pasti kalian selalu baca hadis akhir zaman, yang disebut bahawa umat akhir zaman akan dijangkiti penyakit wahan.

Apa dia ‘wahan’ tu encik DK?

Wahan itu adalah cintakan dunia dan takutkan mati. Kenapa takut mati? Itu korang boleh jawab sendiri. Tak yah tepuk dada, sakit, cukup muhasabah tanya iman dalam diri.

Ustaz Hasrizal ada sebut dalam lagu yang dinyanyikannya ketika datang ke Mu’tah satu ketika dulu, dalam lirik lagu ‘Tetamu Di Dataran Syam’, “Kita diajar cintakan kematian, bagai musuh kita cinta kehidupan...” maknanya, perbezaan antara kita dan mereka adalah antara kehidupan dan kematian.

Pernah dengar istilah, ‘Hidup Mulia Mati Syahid’? Orang beriman di dunia ini hanya mempunyai dua pilihan sahaja, sama ada Hidup Mulia, atau Mati Syahid. Kalau nak hidup, biar kita hidup berharga. Biar orang rasa senang dengan kita. Dan kalaupun kita mati, biar mati kita Syahid, Husnul Khotimah.

Macam mana nak dapatkan Husnul Khotimah?

Ha.... DK tau. Kita kenalah BUANG TEBIAT!!

Hahaha.... Amacam, nak buat tak?


Rasulullah s.a.w. bersabda:

Dari Ibnu ‘Umar r.a., ia berkata : Aku datang kepada Nabi s.a.w., kami serombongan sebanyak sepuluh orang. Kemudian ada seorang laki-laki Ansar bertanya, “Wahai Nabi Allah, siapa orang yang paling cerdik dan paling teguh diantara manusia ?”. Nabi s.a.w. bersabda, “Orang yang paling banyak mengingat mati diantara mereka dan orang yang paling banyak mempersiapkan bekal untuk mati. Mereka itulah orang-orang yang cerdik, mereka pergi dengan membawa kemuliaan dunia dan kemuliaan akhirat”.

[HR. Ibnu Abi ad-Dunya di dalam kitab al-Maut. Tabrani di dalam Ash-Shaghir dengan sanad hasan.]

Wah.... kagum, kagum. Korang nak jadik cerdik tak? Tengok tu, tak payah nak minum air penerang hati atau hafal buku kulit ke kulit, hanya ingat mati, korang boleh jadi cerdik. Sabda nabi tuh....

Jangan salah faham, kalau korang nak exam dan korang tak baca buku, itu namanya bukan ingat mati dah, memang saja nak mati. So, study la elok-elok ok.... Islam melarang kita membunuh diri. (^_^)

Relevannya dengan subjek yang DK nak bincangkan ni, iaitu MEMBUANG TEBIAT. Kalau orang nak mati, diorang akan BUANG TEBIAT. Jadi, kita yang tak tahu bila nak mati, lebih baik kita ingat mati. Supaya kita pun boleh BUANG TEBIAT.

Pedulikan orang kata, sakit memang sakit. Kadang-kadang orang tak kata pun, tapi hati ni sakit nak berubah, apatah lagi nak istiqamah. Alhamdulillah, mujur kita ingat mati, so nak tak nak, berubahlah... Entah-entah, kejap lagi kita mati ke.... Allah....

Kesimpulannya:
JOM RAMAI-RAMAI KITA BUANG TEBIAT!!!!

Sebenarnya DK nak tulis banyak lagi, tapi sebab ada kelas kejap lagi, jadi, DK berhenti dulu berkongsi. Nanti DK kongsi lagi dengan sahabat semua ok.


Satu lagi, nak jerit sikit,

“PERHATIAN KEPADA ENCIK MUHAMMAD SYAFIQ BIN MOHD SHAH, CUKUPLAH MAIN GAME TUH, GI BUANG TEBIAT BURUK TUH. BAWAK-BAWAKLAH STUDY!!!”

Baik, itu sahaja dari DK. Dan sedikit pemberitahuan, mana-mana kalimah yang diwarna birukan menunjuk kepada keinginan dan kerinduan DK pada makna kalimah tersebut. Hahaha.... lagi-lagi kopi radix tu, dah habis stok maaa...... T_T