RSS
Facebook
Twitter

2/01/2010

Dari Pejuang Pena....

Pehatian kepada semua penulis muda!








Khususnya yang wujud di bumi K.U.I.S. ini.
Maaf kepada penulis di luar sana, kerana kami belum dapat menebarkan sayap seluas-luasnya.
Hari ini dan ketika ini, kami mula bersuara, mengajak kalian semua duduk dan berbicara, berbeza fahaman, berbeza fikrah bukanlah masalah,
Kerana di dalam kumpulan ini, kita bebas bersuara.
Selagi mana kalian ada hujah, bukan emosi menjadi penaja, kalian berhak untuk bersuara.

Intro laungan ini aku tujukan kepada semua.

Ikatan Penulis Indipenden atau singkatannya I.P.I.. Nak kata pertubuhan, emm...tak jugak. Nak kata persatuan atau NGO pun bukan. Cukuplah aku katakan ia adalah sebuah medium untuk kami mengumpulkan penulis-penulis yang aktif berkarya di bumi KUIS dan sekitarnya ini.

Sebulan aku terdedah dengan perbincangan mengenai pemikiran-pemikiran dari sahabatku, pandanganku tentang dunia buku mula berubah. Andai dulu bacaanku hanya tertumpu kepada subjek yang aku faham dan telah aku pelajari. Untuk mengkaji bidang baru bukanlah fokusku, tapi kini, aku rasakan aku perlu. Apatah lagi bila mendengar mahasiswa kini terdedah dengan aliran falsafah yang pelbagai jenis warna. Kanan kiri aku tak tahu. Yang penting aku kena baca semuanya. (mana yang termampu)

“Kita kena kuasai ilmu alat dulu baru boleh terjun dalam bidang falsafah ni.”

Itu nasihat sahabatku. Yalah, apabila aku mendapati ramai dikalangan sahabatku yang menyelusuri jalan falsafah ini, mula goyah pegangan Aqidah. Bahkan ada yang menjadi Atheis buat satu tempoh yang lama. Aku tertanya-tanya, bolehkah aku terjun dalam pembacaan buku falsafah?

Ilmu alat, definisi menurut sahabatku adalah ilmu hujah menggunakan al-Quran & as-Sunnah. Menelusuri, memahami dan menghayati dua sumber utama ini adalah wajib sebelum kita terjun ke bidang lain. Kerana tanpa pemahaman yang sebenar mengenainya, kita terdedah kepada aura-aura kesesatan. Kerana syaitan ini adalah satu makhluk yang kreatif dalam ber‘idea’. Menghasut dan mengelirukan kita dengan berjuta cara, pelbagai warna. Semoga Allah melindungi kita dari tipu dayanya.

Kemudian, selain bidang pemikiran yang menjadi subjek perbincangan, kami berbincang pula isu kesusasteraan dan penulisan. Aku menjadi bersemangat untuk terus aktif dalam bidang penulisan. Kami berdua sebenarnya dalam proses mengarang novel dan karya penulisan masing-masing. Perbicangan demi perbincangan akhirnya menghasilkan satu idea untuk kami berjumpa dengan penulis-penulis yang wujud disekitar kami.

Maka kami berdua mula menjaja iklan. Kepada mahasiswa KUIS hari ini, ketahuilah bahawa I.P.I atau nama penuhnya Ikatan Penulis Indipenden telah kami tubuhkan.

Hu,hu,hu.... Seronok..seronok... tepuk tangan semua.

Walaubagaimanapun, matlamat kami bukan untuk berkenalan sahaja. Alang-alang telah berjumpa, apa kata jadikan I.P.I. ini sebagai satu medium untuk bertukar idea?

Kekalutan bumi KUIS baru-baru ini dengan rencana politik kampusnya, peperangan artikel dan gejala fitnah menfitnahnya membuatkan aku rasa kecewa.

Di tengah kemelut gejala sosial yang berleluasa, sesetengah mahasiswa yang aku hormati keterampilan mereka sebagai pemimpin, terus berbelit lidah berhujah dalam dunia siasah. Kalau dapat memimpin negara, aku tak kisah andai kalian nak bertegang lidah. Fitnah sini, fitnah sana. Tapi andai kerana siasah merebut populariti siapa yang lebih hebat dalam bertanggungjawab, melontar isu mahasiswa dan melempar fitnah serta menuduh mereka tidak menjalankan amanah, dan yang paling teruk apabila kalian tidak mahu mendengar fakta, mendakwa hanya kalian sahaja di pihak yang benar.

Ah! Benar aku bersyukur kerana aku tidak terlibat dalam siasah yang entah perjuangannya untuk apa!

Walaupun apapun, kemelut siasah ini telah berlalu. Kehadiran saf kepimpinan mahasiswa KUIS yang baru, tahniah aku ucapkan kepada mereka. Moga dengan hadirnya mereka ini, mampu membawa mahasiswa KUIS ke satu alam pemikiran yang baru.
  
Tapi satu aku nak pesan pada mereka ini, bacalah buku. BACALAH BUKU!





Pimpinlah kami dengan ilmu. Dengan ilmu, kepimpinan kalian akan lebih terbuka dan lebih teruja kami mahu dipimpin oleh kalian semua. Aku penyokong kamu, selagi mana fakta kalian dedahkan, bukan auta atau rasa-rasa kalian berikan.

Berbalik kepada Ikatan Penulis Indipenden ( I.P.I. ), inilah wadah untuk berbeza pemikiran, ikhtilaf idea dan prinsip perjuangan. 15 orang ahli menjadi pilihan sebagai tunjang perintis sebuah ikatan. Sebahagian daripada agendanya, kami berikan pendedahan dan kebebasan untuk semua ahli bersuara.

Sama seperti prinsip pendirianku, aku terapkan dalam ikatan, “Kamu boleh berhujah, kamu boleh berbeza, kamu boleh bersuara. Selagi mana kamu bawakan fakta, kami benarkan. Tapi kalau setakat rasa-rasa, atau sekadar sebuah auta, fikir-fikirkanlah.”

Nak, kalau setakat cakap belakang, dalam blog-blog kalian berbicara. Dengan emosi dan fitnah. Aduh! Aku cukup anti dengan semua ini.

Jangan memperalatkan dunia penulisan untuk nafsu kalian semua. Kalian telah mencemarkan keindahan sastera. Apatah lagi bahasa kalian kotor belaka. Tu belum aku kira fakta penulisan yang kalian bawa.

Tunggu! Aku bukan juara dalam dunia bahasa. Aku tidak sehebat kalian semua. Penulisanku tidak sehebat kalian semua. Tapi! TAPI!

Kritik, kritik juga, tapi disiplin penulisan dan dakwah kenalah jaga. Kata carut, tulisan kotor, itu bukan hikmah. Kaliankan belajar agama. Bezakan antara keras dan tegas. Antara setia dan taksub. Antara fakta dan auta. Antara profesional dan emosional. Antara mahasiswa dan pemuda-pemudi yang terjerit-jerit di tepi jalan sana.

Moga Allah mengampunkan kita semua. Maaf andai ada yang terasa. Maaf andai aku tersalah bicara. Maaf andai aku hanya pandai berkata. Tetapi sekadar untuk meluahkan apa yang tersimpan di dalam dada.

Kepada ahli-ahli Ikatan Penulis Independen, terima kasih aku ucapkan. Kerana kalianlah perintis dan penggerak idea kami ini. Jazakallahu khairan kathira...

Teruskan berjuang dengan mata pena. 

"Selagi kebenaran tidak terbela, selagi itu pejuang pena tidak akan lena.”


Kebenaran



Ku ambil pena biru
Di atas kertas putih aku menulis
Di atas meja uzur aku termenung
Menongkah arus idea yang berlalu
Dalam minda yang telah tepu.

Pena untuk menulis
Warkah untuk ditulis
Dicurah idea, diasah kuasa
Kuasa berbicara melalui pedang pena.

Termenung, bukan kosong,
Ternganga, bukan terpinga
Telingaku bukan tuli
Mulutku tidak bisu
Tanganku tidaklah kaku

Pabila isu melayang kepadaku
Aku mengkaji
Pabila fitnah menuju melulu kepadaku
Aku mencari
Selagi fakta tidak ku terima
Aku menolak untuk menerima
Selagi kebenaran tidak menyerlah
Selagi itu aku tidak akan mengalah

Apakah kau mampu menghalang cahaya mentari
Biarpun dilindung arakan mendungan awan
Namun mentari tetap bersinaran

Itulah kebenaran
Kerana kebenaran tetap kebenaran
Yang Benar Tetap Benar.


Jam 0111 / 1 Februari 2010
Syafiq Shah