RSS
Facebook
Twitter

8/24/2013

Untuk mereka di sana...


Aidil Syafiq menyarungkan selipar ke kaki. Bersiap untuk pulang ke rumah sahabatnya. Sesekali dia membetulkan kain sarungnya yang terbuai-buai ditiup angin malam. Bimbang jika auratnya tersingkap dilihat orang. Biarpun ketika itu hanya dua, tiga orang jemaah sahaja yang tinggal.

Wak Arip, siak tua masjid Raudhah kelihatan sedang memeriksa tempat solat, bimbang-bimbang jika ada kipas angin atau lampu yang tidak tertutup suisnya. Pintu-pintu dan tetingkap masjid dikunci rapat. Untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Beberapa hari yang lepas, surau Taman Perdana yang terletak lebih kurang 3 kilometer dari masjid Raudhah dimasuki pencuri. Habis tabung-tabung derma masjid dipecahnya. Aidil memerhati tubuh tua itu bergerak menuju ke pintu utama masjid yang terakhir.

Seorang lelaki berbaju melayu berwarna ungu turut berjalan disamping Wak Arip. Selepas bersalam dengan siak tersebut, lelaki itu berjalan menuju ke Aidil.


“Ustaz, terima kasih atas perkongsian ilmu tadi. Banyak yang saya dapat malam ni,” Aidil menyapa sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Allahuakbar Aidil, saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sahaja Aidil. Ilmu yang saya dapat, dikongsi ramai-ramai. Jangan kedekut, tak berkat kata orang,” ustaz Fauzan membalas.

Aidil tersenyum mendengar gurauan ustaz lepasan timur tengah itu. Dia masih muda, usianya hampir mencecah angka 30. Tetapi Aidil amat mengkagumi ilmu agamanya. Bukan itu sahaja, malah gaya penyampaian ustaz tersebut amat berhikmah dan mudah diterima oleh masyarakat.

“Begitulah ustaz. Apabila ustaz bercerita mengenai penderitaan saudara-saudara kita di negara-negara arab sana, sayu hati rasa. Geram saya dibuatnya. Kalaulah Allah izinkan saya ke sana, saya takkan lepaskan peluang itu,” ujar Aidil bersungguh.

“Jangan kata kalau Aidil. Katalah, ya Allah, izinkan kami ke sana,” ustaz muda itu membetulkan.

Sekali lagi senyuman tercoret di bibir Aidil. Umur antara mereka berdua tidaklah begitu jauh. Aidil lebih muda 4 tahun dari ustaz Fauzan. Cuma latar pendidikan antara mereka amat berbeza. Ustaz Fauzan merupakan mahasiswa lepasan universiti timur tengah. Dan Aidil, hanyalah pemuda biasa. Itulah yang Aidil kata ketika di awal perkenalan dia dan ustaz Fauzan.

Acap kali ustaz Fauzan melarang Aidil memanggil dia dengan panggilan ustaz, tetapi Aidil tetap memanggilnya ustaz.

“Mari Aidil.”

Mereka berdua mula mengorak langkah. Penginapan dua sahabat ini terletak tidak jauh dari kawasan masjid. Bahkan ustaz Fauzan adalah jiran dan juga sahabat karib Saiful, sahabat Aidil yang baik hati membenarkan Aidil tinggal sebumbung dengannya.

Angin malam bertiup tidak menentu. Kekadang kuat, kekadang perlahan. Dedaun kelapa yang berjuraian di atas pokok saling bergeseran menghasilkan bunyian alam. Kadangkala bersahutan dengan bunyian si katak yang memanggil hujan.

Malam menjadi semakin kelam apabila rembulan menyorok di balik awan. Tidak banyak yang mereka bualkan sepanjang perjalanan. Fikiran Aidil mengimbas pada kejadian yang berlaku ketika ceramah ustaz Fauzan tadi.

“Hari ini, kita dihidangkan dengan berita-berita kekejaman yang berlaku di Syria. Anak-anak kecil, wanita dan orang tua di Syria menjadi mangsa bom kimia kezaliman rejim Basyar. Sana-sini gambar dan rakaman-rakaman video tersebar. Kalau dilihat di halaman muka buku, penuh dengan perkongsian sahabat –sahabat kita berkenaan penderitaan saudara kita di Syria,” ustaz Fauzan memandang satu persatu jemaah masjid Raudhah.

Matanya terhenti pada batang tubuh Aidil yang sedang memandang dirinya. “Apa yang kamu dah buat?” suaranya ditinggikan sedikit.

“Apa yang telah kita lakukan? Sudahkah kita lakukan sesuatu untuk mereka hari ini jemaah sekalian? Apakah hati kita ini terlampau keras, sehingga kita hanya berdiam diri sahaja di sini?”

“Ada segelintir masyarakat kita yang sering bermain ‘facebook’ tetapi tidak pernah pun sekali tergerak hatinya mahu menyebarkan berita-berita penderitaan saudara-saudara kita di sana. Buang masa kata mereka.” Ruang solat masjid Raudhah bergema dengan suara lantang ustaz muda itu.

“Ya Allah, kau bukalah hati kami untuk sentiasa menerima hidayah dan petunjukmu. Jangan engkau jadikan hati kami ini tertutup dari rasa belas dan kasih. Wahai yang membolak-balikkan hati kami, tetapkan hati kami untuk mentaatimu,” perlahan ustaz Fauzan berdoa. Terdapat esakan kecil pada suaranya.

 Mangsa kekejaman bom kimia di Syria

Suasana masjid sunyi seketika. Beberapa orang jemaah menundukkan wajah mereka. Aidil juga turut berbuat sedemikian, menahan hiba.

Tiba-tiba seorang pemuda berkemaja kotak berwarna biru mengangkat tangan. Pemuda tersebut duduk di sebelah Aidil. Kelopak matanya basah. Ada genangan air mata yang sedang tidak sabar untuk mengalir ke lantai.

“Ustaz,” terdapat getaran pada suara pemuda tersebut. “Saya tidak pernah berkongsi gambar atau video-video penderitaan mereka ustaz.”

“Saya tidak pernah menyertai demonstrasi atau perhimpunan bantahan terhadap kekejaman yang berlaku kepada mereka ustaz,” tambah pemuda itu lagi. Aliran sungai air mata semakin deras di pipinya.

“Apakah saya berdosa ustaz?”

Semua mata memandang pemuda tersebut. Aidil bergerak merapati. Tangannya meraih bahu pemuda tersebut sambil memandang ustaz Fauzan.

“Mengapa kamu tidak lakukan semua itu?” lembut ustaz Fauzan bertanya.

“Kerana saya tidak sampai hati ustaz. Saya tidak sanggup hendak menyebarkan gambar dan video-video itu ustaz.  Walhal saya tahu, saya boleh lakukan lebih dari sekadar berkongsi gambar dan video,” lantang pemuda itu menjawab.

“Jadi apa yang kamu mahu lakukan wahai anakku?” ustaz Fauzan menutur lembut.

“Ustaz doakan supaya Allah membenarkan saya menjejakkan kaki ke sana dan berjuang di atas jalan-Nya!” jawab pemuda itu tegas.

Allahuakbar!

Bergema masjid Raudhah malam itu dengan seruan takbir. Kagum dengan jawapan pemuda tersebut. Pemuda tersebut bukanlah penduduk kampung ini. Dia dalam perjalanan hendak pulang ke kampung, singgah untuk menunaikan solah Maghrib berjemaah.

“Ai, kenapa tersenyum-senyum tu? Ada apa-apa ke?” teguran ustaz Fauzan mematikan lamunan Aidil. Rupanya mereka berdua telah sampai ke destinasi masing-masing.

“Semoga Allah memberikan kita kekuatan dan kesabaran ye ustaz,” Aidil melirik senyuman.

“Amin,” balas ustaz Fauzan juga dengan senyuman.

Mari kita berdoa untuk mereka

“Baiklah Aidil, semoga Allah pertemukan kita lagi.”

“Insya Allah, jaga diri baik ustaz.”


Kedua-dua sahabat itu berpisah selepas bersalaman dan berpelukan. Tanda eratnya ukhwah antara mereka berdua. Biarpun baru sahaja berkenalan. Ya Allah, eratkanlah...


klik: Cerpen Secebis Hidayah: Nasihat Wak Ari

0 ulasan: