"DIRI ANDA TIDAK SELARI DENGAN ILMU ANDA!!!"
Bagaikan petir yang memanah, kata-kata ini memakukan diriku. Terasa bagaikan hati ini ditusuk bilah pedang yang tajam. Bisanya terasa seperti hendak megalirkan air mata.
Inilah REALITI!
Biarpun kata-kata itu diungkap dengan bersahaja oleh ayahku, dan sekadar peringatan untuk diriku, namun kata-kata keramat ini menyentap seisi urat saraf di kepala. Mencerna setiap sudut kata-kata itu, akalku memproses laju isi tersirat kata-kata itu lalu dihantar ke hati untuk menyedarkan diriku yang semakin lena diulit keindahan dan keseronokan.
“Segalanya hanyalah pada kata-kata, hakikatnya manusia melakukan apa yang dilihatnya...”
Kadang-kadang kita hebat dalam bertazkirah dan bertazkiah, berceramah ke sana sini, berhujah hebat sekali, tetapi, perbuatan kita menjadi aspek penilaian manusia kepada semua da’ie termasuk diri ini.
Memang benar, hakikat manusia tidak lepas daripada melakukan kesilapan, tapi ia bukan satu alasan untuk aku terus menjadi fitnah kepada agama!
Mereka melihat aku sebagai individu yang berilmu, mereka melihat aku sebagai ikon pelajar agama, mereka melihat aku sebagai generasi muda pewaris imam dan penceramah yang semakin berusia.
Zalimnya aku, kerna aku lah bara licik yang menghanguskan harapan mereka. Tiada api yang menyala pada bara, tapi pabila angin tiba, kala itu ia mengeluarkan api membakar hangus gunungan harapan dan cita-cita.
Ada ketika aku tersedar, lalu aku berdoa agar diberikan kekuatan untuk berhadapan dengan dugaan gelora nafsu, namun beberapa saat selepas ku aminkan doa itu, aku rosakkannya dengan nilai-nilai yang aku sendiri tahu merupakan asbab menghancurkan kekuatan yang aku inginkan itu.
Umpama seorang tukang kayu, yang meletakkan hasil tukangannya dekat dengan unggun api, akibat keterlekaannya, hasil tukangan yang diharapkan mendatangkan keuntungan hangus di sambar api yang membakar.
Tiada guna lagi tangisan dan sesalan, sejauh manapun cuba ku lari, sekuat manapun cuba ku jerit meluahkan rasa ‘tension’ di hati, TIADA GUNANYA!
“Key is in your hand, al-miftah ‘ala yadaika, kunci ada pada tangan kamu”
Terpulang, sama ada aku memilih pintu syurga ataupun pintu neraka.
“Bahan api untuk kekuatan telah ada, kini tiba masanya untuk ku nyalakannya dengan percikan api keberanian, agar hangat kekuatan itu dapat kurasakan dan menjadi bekalan untuk berhadapan dengan kedinginan dunia penuh cabaran.”
P.D.C. : Terselit dalam diriku ketakutan, malu untuk berhadapan dengan mad’u, kerna merasa diri ini bukan tauladan, dek kerana perbuatanku langsung tidak bertetapan dengan apa yang aku katakan.
“DIRIKU TIDAK SELARI DENGAN ILMU YANG ADA DALAM DADAKU!!!”
0 ulasan:
Post a Comment