“Ya mu’allim, istanna syuwaiya?”
Pemandu coaster tersebut mengangguk. Aku kembali memerhati ke arah masjid Syuhada’, tiada tanda sahabatku itu akan muncul. Beberapa kali telefon bimbitnya ku dail, tapi tidak berjawab.
“Allahuakbar, mana pulak dia ni?” rungut hatiku. Kesejukkan bumi Mu’tah seakan tidak dirasai kerana panas amarah menanti sahabatku itu. Ustaz Kamil yang sudah beberapa kali melemparkan pertanyaan bagaikan menabur minyak di atas bara.
“Ustaz, macam mana ni? Arab ni tak boleh nak tunggu dah ni,” Ustaz Kamil bertanya lagi.
Untuk sekian kalinya, aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Ya Allah, berikanlah aku kesabaran untuk menahan amarahku ini. “Emm... ustaz pergi dululah. Lagipun kita nak pergi mustami’ je. Ana nak pergi cari dia dulu, ok?”
“Aiwah, kami pergi dululah kalau macam tu. Nanti kalau ada apa-apa ustaz mesej ana ye.”
Aku menjawab dengan anggukan sahaja. Mataku melirik ke arah coaster yang semakin menjauh menuju ke jami’ah. Hiruk pikuk pekan Mu’tah serta kesibukan penghuninya, menceriakan suasana bumi Syam yang sejuk ini. Baru seminggu kakiku menjejak di sini. Alhamdulillah, aku bersyukur kepada Rabbul Jalil kerana dapat menyesuaikan diri dengan suasana di sini.
Keletihan dek kerana perjalanan dari Malaysia ke Jordan yang mengambil masa hampir 8 jam lebih, hilang bersama hembusan angin sejuk bandar Amman ketika aku melangkah keluar dari lapangan terbang Quenn Alia. Segala urusan pembelajaran di sini, selesai atas bantuan ahli keluarga PERMATA atau nama penuh mereka Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah. Alhamdulillah.
Tetapi.....
“Untuk makluman antum semua, mahasiswa Malaysia di Mu’tah ini terkenal dengan kekuatan ukhwah kita,” Ustaz Uwais al-Qarni memberi peringatan kepada kami mahasiswa-mahasiswi yang baru tiba di bumi Syam ini.
Ukhwah? Bagaimana harus kufahami erti ukhwah yang kuat? Kalau orang yang mahu disahabatkan ini, bertemu sahaja amat menyakitkan hati.
suasana lengang selepas subuh (di ambil dari pintu masjid Syuhada')
Dahiku berkerut berkedut memikirkan tentang itu. Kakiku mengorak langkah menuju ke Bayt Mu’tah, rumah transit kami pelajar baru. Bau daging ayam bakar dari Mat’am disebelah kananku mengamit rasa laparku.
“Allahuakbar! Rasa macam nak isi perut dulu je,” hatiku membebel sendiri. Tetapi ia tidak menghentikan kakiku. Pagi ini sepatutnya aku dapat mengikuti satu kelas mustami’ di jami’ah. Memandangkan kami pelajar baru masih dalam minggu pendaftaran, jadi kehadiran kami ke kelas katanya belum diwajibkan. Wallahu’alam sejauh mana kesahihannya, ini kata senior-senior yang telah lama berada di sini.
Beep.... handphone ku berbunyi. Satu pesanan ringkas tertera di skrin.
Salam alaik, ustz, mcm mane? Da jumpe die?
Spontan aku menggeleng. Belum terbit lagi apa-apa klu untuk mencari dia. Mesej tersebut ku biarkan tidak berbalas. Fikiranku lebih terarah kepada klu-klu untuk mencari ‘sahabat’ku ini.
Imbas kembali......
“Assalamu’alaikum....”
Serta merta riak wajah ceriaku berubah. Terperanjat apabila melihat wajah yang menyapa. Satu wajah yang ku sangka tidak akan bersua lagi.
“Wah, tak sangka kita bertemu lagi,” tangannya dihulurkan kepadaku. Aku yang masih tergamam hanya menyambut huluran tersebut dengan lirikan mataku. Dia tersenyum memandangku. Ditarik kembali tangannya ke sisi.
Bagaimana dia berada di sini? Mengapa dia ada sekali di bumi Syam yang diberkati ini?
Seakan dia dapat membaca fikiranku, dia menuturkan kata, “Ana sampai lebih awal lagi dari ustaz. Sebelum raya ana dah mai sini dah.”
Lidah ku kelu untuk berbicara. Sepanjang perjalanan menuju ke Mu’tah, aku hanya berdiam diri. Selama dua jam itu juga, amarah dan api benci ku membara melihat kemesraannya menyapa pelajar baru yang lain.
“Hipokrit!” Hatiku menjerit. Segala peristiwa antara aku dan dia bermain-main di fikiranku. Apatah lagi peristiwa itu! Peristiwa yang mustahil untuk aku lupakan. Dan sekarang, dia buat hal pula. Entah hilang ke mana. Aku juga yang menjadi mangsa.
Apabila difikirkan perkara tersebut, mahu sahaja aku tinggalkan dia. Tak mahu rasanya untuk mengambil peduli ke mana dia pergi. Buat apa nak di ajak manusia seperti dia? Huh!
Sedar tidak sedar, rupanya aku sudah berada jauh dari rumah Bayt Mu’tah. Leka dengan amarahku. “Allah, macam mana boleh tak sedar?” gumamku di hati. Aku kembali mengatur langkah. Boleh tahan lama aku berkhayal.
“Assalamu’alaikum.”
Aku terperanjat. Segera menoleh ke arah empunya suara dari arah kananku.
Tidak perasan rupanya Ustaz Firdaus, yang juga senior aku di sini berada di belakangku.
“Ai, laju benor ustaz jalan? Sampai tak dengar ana bagi salam tadi ye,” dia tersenyum. Kami berpelukan dan bersalaman.
“Maaf ustaz, ana betul tak perasan tadi,” jawabku. “Segak ustaz hari ni. Nak ke mana ni ustaz?”
“Ana nak ke jami’ah. Ingat nak jumpa doktor kejap, nak bertanya sikit. Enta, cepat-cepat ni nak ke mana?”
“Takdelah ustaz, ana sedang mencari seseorang,” balasku. Melihat wajah Ustaz Firdaus, mahasiswa takhassus Fiqh dan Usul tahun terakhir ini, meredakan kemarahanku sedikit. Aku mengenalinya ketika urusan Iqamah (visa) di Syurtoh (Balai polis). Kumpulan kami terserempak dengannya di sana. Keramahannya membuat kami, pelajar baru tidak terasa di‘junior senior’kan.
“Enta cari Zack ke?”
Keningku terangkat sebaik mendengar nama tersebut muncul di bibir Ustaz Firdaus.
“Aiwah,” aku mengangguk perlahan. Ustaz Firdaus juga ku lihat mengangguk kecil. Kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu.
bersambung.......
***************************************
0 ulasan:
Post a Comment