Medan Jazmatiyyah, Syria.
Pagi, Jam 0740.
13/2/2011
“Kata seorang pengembara.”
Ini kata seorang sahabatku kepadaku tempoh hari. Biarpun dalam nada berlawak, tetapi entah mengapa ia seakan menyentak diriku. Ya, barangkali kata-katanya itu merujuk kepada blog aku ini.
-[Sebuah Kembara]-
Mengapa sebuah kembara? Aku sendiri tidak mengetahui kenapa aku meminati perkataan kembara. Blog aku yang sebelum ini pun tertulis perkataan ini.
Dan hari ini, dalam keadaan yang tidak menyedari hakikat itu lagi, aku merupakan seorang pengembara. Pengembara yang berjalan jauh dari tanah kelahirannya. Tanpa disedari, aku telah merentasi dua sempadan tanah arab, iaitu Jordan dan Syria. Biarpun aku akui, di Jordan sendiri masih banyak lagi tempat yang aku tidak jelajahi, dan kini berada di bumi Syam yang sebenar juga masih banyak lagi aku perlu gerakkan kaki.
Tetapi inilah kembara pengalaman seorang aku. Di atas bumi, yang dahulunya, di sinilah berpijaknya ramai pejuang dan tokoh-tokoh Islam. Di antara dua negara ini juga menemukan aku dengan jejak sejarah dan maqam-maqam para anbiya’, sahabat Rasulullah s.a.w. dan ulama-ulama yang berjuang demi memastikan Islam sampai kepada generasi kita hari ini.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin.....
Gerak Pertama Kembara...
Ketika aku masih di Malaysia, aku sering membaca tulisan-tulisan mereka yang telah mengembara keluar dari kepompong negara sendiri. Terutamanya tulisan tangan Ustaz Hasrizal (Saiful Islam). Karangan beliau seperti ‘Rindu Pohon Tin’ dan ‘Secangkir Teh Pengubat Letih’ adalah diantara karangan beliau yang menjadikan hatiku tertanya-tanya, “Bilakah aku akan dapat menjejakkan kaki ke luar sana?”
Tetapi ketika aku mengisi borang KPT untuk memohon menyambung belajar ke luar negara tahun lepas, ia seakan tidak dijangka. Entah, aku pun tak tahu bagaimana nak cerita. Tahu-tahu sahaja, selepas 5 hari menyambut ‘Eidul Fitri di kampung, pagi Selasa, aku dan ayahku tercinta, kami bersama-sama pergi ke pejabat Pos Klang untuk mengambil surat rasmi yang di dalamnya terisi keputusan pemohonan aku untuk ke Jordan.
Alhamdulillah, Allah Maha Bijak dalam perancangan-Nya. Dalam keadaan aku amat cemburu dan sedih melihat sahabat-sahabatku yang lain berjaya untuk ke luar negara. Allah Maha Kaya. DIA tidak pernah menjadikan sesuatu itu tanpa hikmah di sisinya.
Aku mengikut keluargaku pulang ke kampung untuk menziarahi sanak saudara di sana sempena hari raya. Alhamdulillah, hampir semuanya aku jumpa. Dan itulah rupanya perpisahan kami untuk sementara.
Selepas seminggu merasai manisnya ‘Eidul Fitri di tanah air sendiri, Hari Jumaat, aku terbang menuju ke bumi yang melakar pelbagai sejarah di atasnya. Dan itulah permulaan kembaraku... seorang aku yang masih banyak perlu belajar dan meneliti realiti hidup ini.
Ya Allah, permudahkanlah..........
Gerak Kedua Kembara...
4 bulan berada di Mu’tah, berjiran dengan 3 maqam sahabat hebat yang syahid di sini. Hampir setiap hari aku melintasi medan penyaksian berlakunya peperangan di zaman baginda Nabi Muhammad s.a.w. telah menjadi sesuatu yang biasa bagiku.
Tidak seperti kali pertama aku menjejak kaki ke sini. Aku amat teruja untuk melangkah ke luar memulakan kembaraku seperti mana yang aku baca dalam tulisan-tulisan Ustaz Hasrizal yang juga merupakan seorang pelajar di Universiti Mu’tah dulunya.
Tetapi keterujaanku semakin pudar dan hampir mati terpadam. Sedikit demi sedikit ujian dan dugaan memunculkan diri dihadapanku. Masalah bahasa, masalah cuaca, masalah ketidak langsungan minat, masalah perasaan...masalah... macam-macam masalah. Dan yang paling ketara pastinya masalah bahasa dan ketidak langsungan minatku.
Aku menghadapi masalah bahasa di dalam kelas. Aku bukanlah seorang yang mahir dalam bahasa arab. Dan ditambah pula dengan doktor yang memberi syarah dengan arab pasar (ammi). Merumitkan aku untuk belajar. Jujur kata, dalam kelas, hanya 30 peratus sahaja yang aku fahami. Alhamdulillah, berbekalkan ilmu yang aku perolehi ketika di KUIS dulu, aku tidak ada masalah untuk memahami ilmu dalam subjek-subjek tertentu seperti subjek Ulum Quran dan Ulum Hadis.
Tetapi untuk subjek Ulum Asykari dan Madkhal ila Fiqhul Islami membuatkan air mataku hampir gugur. Untuk subjek madkhal sendiri, aku mengalami masalah untuk memahami syarah yang diberikan doktor. Apatah lagi sujek Ulum Asykari, yang hampir 100 percent kecek ammi!
Dulu aku sentiasa ke mana-mana dengan buku. Biarpun ke kelas (ketika di KUIS dulu), aku tidak akan lupa membawa satu buku bacaan di sisi. Tetapi di sini, tidak satu buku pun menemani aku. Sama ada ketika ke kedai, ketika ke masjid, atau berjalan-jalan ke mana-mana. Aku menjadi hilang arah.
Nak baca buku arab, aku masih belum dapat menghayati mereka seperti aku menghayati buku-buku ku di Malaysia dulu. Kalau dulu, waktu makan pun aku membaca (sampai ayah penat nak marah, katanya tak kenyang makan sambil baca buku), tetapi kat sini, kalau aku amalkan seperti itu dengan buku-buku tulisan arab, alamatnya, memang habis sehari pun aku tak siap makan lagi (padahal makan pagi tuh). Sebab, nak suap makan satu, nak cari makna kalimah dalam kamus satu....
Kunci Damascus...
“Syafiq, jom pergi Syria.” ajak Kimi, kawanku yang juga merupakan seniorku di KUIS dulu.
Pada awalnya, ajakan itu ku sambut hambar. Mungkin di luar diriku, mereka melihat aku gelak tawa dan sering bercanda. Hakikat sebenarnya biarlah aku seorang yang merasa. Kerana aku mahu sentiasa ceria dan tersenyum. Dan biarlah mereka di luar fikir aku sentiasa gembira, mudah-mudahan ia menjadi doa untuk diriku di waktu kesusahan nanti.
Namun, dalam kehambaran itu, aku mengangguk bersetuju menerima ajakannya. Sehingga ke hari terakhir untuk kami menyiapkan perjalanan kami, rakanku itu yang lebih ‘buzy’ dari aku sendiri. Aku hanya menyiapkan pakaian dan sebuah kamus dalam begku. Urusan lain lebih banyak rakanku itu yang uruskan.
Allahu yusallimu ‘alaik sahabatku. Semoga Allah Sejahterakan Dirimu sahabatku....
Dari Mu’tah menuju ke Abdali di Amman. Dari Abdali terus menuju ke sempadan. Dan dari sempadan aku melangkah masuk menuju ke tengah kota Damascus yang indah. Berjalan dengan penuh keterujaan di Medan Jazmatiyyah.
2 minggu telah berlalu. Dan dua minggu ini juga menjadi kunci yang membuka kembali diriku. Yang menyalakan kembali sedikit demi sedikit sinar harapan untuk lakukan perubahan. Alhamdulillah, dengan suasana masyarakat yang meraikan pelajar-pelajar seperti kami. Mereka banyak membantu aku dan Kimi untuk ‘improve’ dalam bercakap dan memahami bahasa arab.
Kuliah-kuliah di masjid juga sedikit sebanyak membuka mataku untuk mencintai ilmu. Wujud Jami’-jami’ (masjid-masjid) yang banyak di sini juga memberi semangat untuk kami sentiasa berjemaah di masjid.
Bayangkan jika kita di kedai manisan. Kita pasti tidak bosan kalau terdapat bermacam jenis manisan di situ. Itulah perumpaan masjid-masjid di sini. Nak berjumpa dengan sheikh-sheikh besar pergi ke Jami’ Umawi. Nak bertemu dengan sheikh Buti, naik ke bukit dan berjemaah di jami’ Buti. Menjadikan kita sentiasa teruja untuk berjemaah di masjid. Doakan kami dan kita semua bersama istiqamah untuk mencapai redha-NYA. Amin.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin.... Masih ada baki 4,5 bulan lagi aku berada di Syria. Dan aku berdoa kepada Allah, permudahkan urusan kami untuk belajar. Ma’had Fatah Islami menjadi medan untuk aku mengusai bahasa arab.
Semoga di bumi Damascus ini, menjadi kunci kembara hidupku sebelum berakhir menuju ke sisi Illahi......
" اللهم إني أسئلك إيمانا لا يرتد، ونعيما لا ينفد، ومرافقة نبيك محمد صلى الله عليه وسلم في أعلى جنة الخلد "
“AllahummaInniasalukaimanal la yartad, wana’imal la yanfad, wamurafaqatanabiyyuka Muhammad s.a.w. fi a’alajannatilkhuld.”
(( Ya Allah, kurniakan aku iman yang tidak akan lepas (murtad), nikmat yang tidak habis, dan himpunkan bersama nabi Muhammad s.a.w. di dalam syurga tertinggi, selama-lamanya.))
Amin......
2 ulasan:
duhai sahabat-cekalkan semangatmu dan kuatkan ia dengan doa..
mcm pernah dgr je ayt itu..huhuhu teruskan perjuangan mu shbt ku... jgn sia2kan waktu berada di Syria.. gunakan setiap saat yg ada dengan sebaiknya...enta beruntung dpt pg dan bljr di syria... bkn shj bole bljr bhsa arb, malah lebih lagi, bnyk ilmu agama yg akn antum perolehi di bumi syam, syria.... ana doakan supaya enta sentiasa kuat dan di beri semangat utk terus mengembara... teruskan pengembaraan antum..
Post a Comment