Panas. Terik. Mata kukecilkan sedikit menahan tusukan mentari yang terik memancar. Berpusu-pusu manusia mencari tempat duduk sementara menanti azan zohor yang akan dilaungkan setengah jam lagi. Seorang lelaki tua berambut putih terjenguk-jenguk mencari tempat duduk. Aku memerhatikannya. Secara tak sengaja mata kami bertaut. Aku tersenyum sambil melambai-lambai kepadanya. Menjemputnya untuk mengisi ruang kosong di sebelahku. Kami bersalaman. Kerana perbezaan tutur kata, hanya isyarat menjadi tanda.
Hari kedua aku di sini. Malang sekali kerana tiba-tiba perutku meragam. Aku terpaksa mengorbankan tempat dudukku yang terletak betul-betul dua saf di belakang imam untuk jemaah yang lain. Akhirnya, ruang legar di luar menjadi saf untukku. Tidak mengapa. Inilah pengalaman yang berharga. Berada di tengah-tengah lautan manusia dan berbumbungkan terik matahari tengah hari. Fuhh.... panas, tapi yang menakjubkan apabila lantai mar-mar yang menghiasi ruang legar masjid agung ini tidak panas sama sekali. Subhanallah....
“Kau tak faham lagi ke? Tu semua tiada dalam sunnah nabi. Yang kau terhegeh-hegeh lagi nak buat kenapa?” Keras kata-kataku. Sememangnya dadaku sedang hangat membara api kemarahan.
Kadang-kadang aku sendiri pelik melihat mereka ni. Dah aku hidangkan dalil dari hadis Nabi lagi mahu bertelagah kata aku salah. Panas betullah. Bukan sekali aku bergaduh dengan kawan-kawanku, bahkan berkali-kali. Tetapi gaduh kami tidaklah sampai bermusuhan, masih berkawan biarpun fikrah kami tidak sehaluan. Cumanya aku ni jenis beremosi sedikit. Biasalah, darah muda!
Seusai solat berjemaah tadi, seruan menandakan solat jenazah akan dilakukan berkumandang. Aku mengambil kesempatan untuk masuk ke dalam. Subhanallah. Betapa beruntungnya mereka, kerana jenazah mereka disolatkan oleh beribu manusia. Tambahan pula mereka akan dikuburkan berjiran dengan para sahabat baginda s.a.w. Bahkan begitu hampir dengan maqam baginda s.a.w.
Tanah perkuburan Baqi’, tanah perkuburan yang mulia dan bersejarah. Antara dua perkuburan yang mulia di tanah haram. Perkuburan Ma’la di kota Mekah dan Perkuburan Baqi’. Baqi’ terletak berdekatan (bersebelahan) dengan Masjid Nabawi. Manakala maqam baginda s.a.w. bersama dua sahabat rapat baginda terletak di dalam kawasan Raudhah iaitu di tapak rumah Rasulullah s.a.w. yang juga merupakan sebahagian daripada taman syurga.
Aku melangkah keluar dari Masjid Nabawi. Ketika hendak menuju ke pintu keluar yang bersalut emas itu, aku sempat melihat seorang sheikh duduk di atas sebuah sofa sambil dikelilingi oleh anak muridnya. Buat seketika aku berhenti mendengar syarahannya. Agak sukar untuk aku memahaminya kerana kelajuan tutur katanya menjangkaui kemampuanku dalam berbahasa arab.
Langkahku tenang. Dadaku lapang. Tidak kusangka yang aku akan dapat menjejakkan kakiku ke bumi suci ini. Madinah al-Munawwarah. Tempat hijrah yang penuh bersejarah. Aku melangkah menuju ke perkuburan Baqi’. Tempat bersemadinya para sahabat Ridwanullahi’alaihim.
Dari luar pagar aku merenung kebesaran tuhan. Tanah perkuburannya bersih, tanpa perhiasan hitam dan putih. Sekawan merpati berterbangan di atasnya. Sesekali mereka hinggap di atas tanah. Mencari makan agaknya. Suasananya tidak seperti tanah perkuburan di negaraku, pelbagai perhiasan dan ‘fesyen’ perkuburan dapat aku perhatikan.
Hotel penginapan ku terletak tidak jauh daripada Masjid Nabawi. Seperti biasa, di mana sahaja aku berada, perkara pertama yang aku cari adalah kedai buku. Saja nak tengok suasana kedai buku di tanah suci ini. Sesi menjelajah Masjid Nabawi dan persekitarannya berjalan hampir setengah jam. Sambil-sambil tengok suasana, sambil itu juga tengok orang sekitar. He,he,he... tak nampak sebab mereka semua tutup separuh muka (purdah).
Akhirnya kakiku terhenti di hadapan sebuah kedai buku kecil yang terletak di hadapan pintu pagar keluar di hujung Masjid Nabawi. Aku terkaku. Memerhati dan menganalisis kedai buku di hadapanku itu.
“Agaknya dia orang ni tak baca buku ke apa? Komen nak power, tapi buku liat nak baca. Macam mana nak terbuka?” Aku mempersoalkan kredibiliti mereka. “Relakslah Farid. Kau janganlah macam ni. Asyik emosi je.” Zakuan, member rapat aku memujuk. “Aku bukan apa wan. Aku ni bukan jenis nak marah-marah sangat. Tapi kalau macam ni la gaya mereka. Menuduh kita salah, tapi hujah tiada. Minta hadis, dia kata benda macam ni dari dulu orang dah buat. Ada pula macam tu,” luahku. Zakuan hanya mengeleng.
Saat kali pertama Rasulullah s.a.w. menyeru kaum kerabatnya di kota Mekah untuk beriman kepada Allah, baginda s.a.w. dicemuh, dihina. Bila diseru menyembah Allah Yang Maha Esa dan meninggalkan sembahan berhala yang celaka, Rasulullah s.a.w. dicaci dan dihina, bahkan dituduh gila. Alasan mereka mudah, “Inilah yang telah dilakukan sejak dari zaman nenek moyang kami. Kenapa nak ubah?” Nah, hujah yang sama mereka pakai. Apakah mereka tak belajar dari sejarah?
Aku berpeluk tubuh. Bingung. Kerana berbeza bahasa, aku bertelingkah kecil dengan pemilik kedai buku tersebut. Ceritanya bermula apabila aku memberikan wang sebanyak 50 riyal untuk membayar harga bagi senaskah buku tulis kecil yang harganya tak sampai 2 riyal pun. Aku menjadi marah apabila dia seakan-akan tidak mahu memberi duit baki kepadaku. Secara tiba-tiba dia menarik tubuhku dan menyuruh aku duduk di sebelahnya. Aku menjadi serba salah. Alhamdulillah tidak sampai 10 minit aku duduk dalam kebingungan, tiba-tiba masuk dua tiga orang pelanggan ke dalam kedainya. Apabila mereka keluar dari kedai itu, barulah pemilik kedai itu mengadap aku lalu memberikan duit baki kepadaku. Barulah aku faham, yang dia tidak mempunyai duit kecil untuk aku.
“Syukran ya ‘ammu” aku tersenyum kepadanya. Aku terpegun apabila tiba-tiba dia memegang bahuku lalu memeluk aku, “Allahu yubarik ‘alaik ya akhi.” Hangat ukhwah Islamiyah terasa ditubuhku. Aku membalasnya dengan erat.
Kami berpisah dengan satu pengajaran kepada diriku. Aku mula memahami serba sedikit definisi ukhwah Islamiyah. Biarpun ini adalah kali pertama kami bersua, sedikit perselisihan faham, tidak sedikit pun menguris kepercayaan antara dia dan aku. Terlerai bahkan terikat melalui pelukan dan doa dari pemilik kedai itu. Semoga Allah merahmati dirinya....
Sinis, mataku melirik kepada Harun. Betapa kecil pendapatnya di mataku. “Huh, inilah akibatnya tak banyak membaca,” getus hatiku angkuh. Zakuan yang perasan lirikan mataku itu hanya mampu menggeleng kepala.
Aku memang hebat! Aku memang pandai! Orang lain, aku rasa tidak sehebat aku. Huh, siapa yang berani berdebat dengan Azwan Fuad Abdul Rahim ha? Kata-katanya setajam pedang, sehalus sembilu, pasti menangis mangsa yang menerima bicaranya yang menusuk terus ke kalbu. Jalannya tidak mendabik dada. Tidak angkuh dan berlagak. Tetapi sekali dia mendengar pendapat yang berbeza, atau ada rakan-rakannya yang berbicang isu kontroversi dengannya, pasti akan ada yang terguris hati.
“Dengar sini, apa yang kalian buat ni semua adat. Mana ada bukti yang nabi buat semua ni. Kalau kamu semua ada bukti bawak mai sini, aku nak tengok hadis palsu mana yang kamu semua guna,” aku mencabar. Pedulikan hati mereka, memandai sahaja kata amalan tu semua adalah sunnah. Diorang tak tahu ke yang diorang buat tu semua bid’ah! BID’AH!
Ya Allah..... hatiku sayu. Mulutku diam membisu. Hatiku beristighfar selalu. “Ya Allah, adakah ini petunjuk dari-Mu?” keluh hati kecilku.
Aku memandang ke sebelah kananku. Tersergam satu ruang berdinding hijau bercorak keemasan. Itulah dinding yang memisah kawasan Raudhah dan tapak rumah Rasulullah s.a.w. Di dalam dinding itulah terletaknya 3 maqam tokoh Islam terkemuka. Muhammad bin Abdullah Rasulullah s.a.w. dan dua orang sahabat karib baginda Ibnu Abi Quhafah Abu Bakr as-Siddiq dan al-Farouk Abu Hafs Umar al-khattab radiallahu’anhuma.
Sedang aku leka membaca al-Quran sambil menanti ketibaan waktu solat. Tiba-tiba dua orang lelaki berdiri disebelah aku. Aka mendongak memandang mereka. Lelaki di sebelah aku adalah seorang tua, umurnya dalam lingkungan 60-an. Dari pakaiannya aku mengagak dia merupakan orang Iran. Aku tersenyum apabila mata kami bertaut. Dia membalas kemudian terus melaksanakan solat sunat 2 rakaat. Aku kembali meneruskan pembacaanku.
Baru aku perasaan, rupanya sepanjang aku membaca al-Quran tadi, lelaki tersebut memandang dan mendengar bacaanku. Aku memandangnya sambil tersenyum. Tiba-tiba dia bersuara menyatakan sesuatu. Aku tak faham. Hanya senyuman dan anggukan sebagai isyarat untuk menghormatinya. Dia semakin rancak berbicara, dan aku tetap membisu menadah telinga sekadar untuk menghormatinya. Mataku tetap memandang wajahnya ketika dia seronok berbicara.
Tiba-tiba rakan disebelahnya menegur. Mungkin dia nak katakan yang aku sebenarnya tak faham apa yang diperkatakan. Dia menoleh kepadaku seakan-akan tidak percaya. Dia bertanya. Aku diam. Dia merenung. Aku tersenyum. Jelas terpamer kekecewaan di wajahnya. Aku serba salah. Alhamdulillah, qamat menangguhkan situasi yang tidak selesa itu.
Namun seusai solat aku masih lagi diselebungi rasa bersalah. Akhirnya aku memandang wajahnya. Dia memandang. Aku memegang tangannya sambil tersenyum. Dia memandang wajahku. Kami tersenyum. Sekali lagi aku terasa semangat Ukhwah Islamiyah itu mengalir hangat ke seluruh tubuhku. Kami berpisah setelah lama mata kami bertaut. Seakan dua sahabat rapat yang akan berpisah. Aku sayu. Apabila kelibatnya hilang daripada pandanganku, air mataku bergenang.
“Ya Allah, apakah ini petunjuk-Mu kepada aku?” hati kecilku sayu.
Muka ku panas. Rasa seakan ringan sahaja mulutku untuk mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya terhadapa mereka. Geram. Marah. Mahu sahaja ditelan Safuan dan Harun dihadapan ini.
“Sudahlah tu, jangan diikutkan sangat rasa marah tu Farid.” Zakuan memujuk lembut. Aku diam membisu. Berulang kali beristighfar di dalam hati. Semakin jauh kelibat Safuan dan Harun menghilang, semakin susah bara dihati mahu padam.
Zakuan menarik tanganku, mengajak aku duduk di meja hujung cafeteria. Beberapa ketika kami membisu, Zakuan hanya membiarkan aku dengan amarahku.
“Farid, cuba kau lihat dedaun hijau tu.” Mataku melirik ke arah yang ditunjuk.
“Daripadanya kita belajar, bahawa kematian itu akan tetap tiba biarpun usia kita masih di awal remaja.” Zakuan mula bermain falsafah.
“Kau tengok sampah-sampah di tepi tasik ni.” Aku menggetap bibir. Bukan jauh pun tong sampah, malas sungguh mahasiswa di sini. Mentaliti rendah!
“Jangan kita cepat menilai salah. Dengan sampah-sampah yang merata inilah kita belajar bahawa membuangnya merata akan membuat orang lain tidak selesa. Juga ia akan membantu mereka yang mengutip sampah itu dapat pahala.” Zakuan tersenyum.
“Allahu akbar!” hati kecilku betakbir mengagungi kebesaran Allah. Adakala dalam hidup ini banyak benda yang berlaku di sekitar kita tak dapat kita tafsirkan dengan sempurna. Adakala kita melihat sesuatu itu dengan hati yang membenci, adakala kita melihat sesuatu itu dengan hati yang seakan kita sendiri mengerti. Namun disebalik setiap kejadian itu, ade hikmahnya dan disebalik setiap hikmah yang lahir ada padanya sebuah rujukan yang kita panggil sebagai pengalaman.
“Pengalaman akan mengajar kita bagaimana cara untuk memandang kehidupan,” ujar seorang rakan. Tetapi bagaimana cara kita memerhati kehidupan itu, semuanya bergantung kepada usaha kita untuk menghayati erti sebuah pengalaman.....
P/S : artikel ni D.K. tulis dah lama sebenarnya, baru jumpa bila selak-selak document-document lama yang ada dalam hard disk ni. Jadi D.K. rasa patut untuk kongsi artikel ni dengan sahabat semua. Semoga ada manfaat untuk semua... wallahu'alam..
0 ulasan:
Post a Comment