RSS
Facebook
Twitter

12/25/2011

Pekan Kecil Mu'tah itu....

gambar diambil selepas subuh di hadapan Jami' Syuhada'


Berkepul-kepul asap keluar dari mulut. Tanda suhu pada pagi yang hening ini rendah, amat rendah sehingga tubuhku terketar-ketar menahan kesejukkan. Berdiri di tepi bingkai tingkap bilik sambil menikmati suasana pagi di pekan kecil Mu’tah yang setiap minit yang bertambah, semakin hingar bingar dengan bunyian ‘horn’ kenderaan terutamanya ‘coaster’ yang menanti penumpang.


Semakin lama mentari menjengah bumi Mu’tah, semakin ramai manusia keluar mencari nafkah. Penjual sayur menjerit, “Bandurah! Bandurah! Sambil menyusun longgokan tomato yang segar di atas lori. Bau syawarma dan ayam panggang semerbak melenyapkan bauan pasir yang berterbangan di tiup angin.


Suhu pagi mula merubah. Kehadiran mentari cerah serba sedikit mengurangkan ketar. Kelihatan beberapa orang syabab Malaysia, berpakaian segak, berlarian mengejar ‘coaster’ yang mula bergerak. Seorang tua duduk di tepi masjid Syuhada’ sambil melihat gelagat pelajar Malaysia yang kelewatan untuk ke kelas. Sambil mulutnya menghembus asap rokok yang menjadi tabiat tegar perokok masyarakat di sini.


Di kedai manisan yang menjual Karabish yang hangat, anak penjaga kedai memasukkan adunan Karabish ke dalam kuali yang penuh dengan minyak panas. Aroma manisan yang mengingatkan kami kepada kuih keria Malaysia menusuk hidung.


Tiba-tiba angin kuat mencuri masuk ke dalam rumah kami. Rupanya salah seorang ahli rumah kami masuk ke rumah dan terlupa untuk menutup pintu utama. “Siapa tak tutup aircond tuh!!?” jerit ahli bilikku.


Rutin musim sejuk yang amat ditakuti. Apatah lagi di rumah kami yang tiada Sobah untuk memanaskan badan. Hanya lihaf tebal seberat 8kg bercorak harimau bintang menjadi harapan untuk membekalkan haba. Terkadang secawan kapucino jenama Swendea ditabur pula sedikit coklat Winner dan diminum ketika ia masih hangat merupakan satu nikmat di musim sejuk seperti ini.


Tiada siapa yang berani duduk di lantai tanpa alas. Nampak sahaja lantai marmar yang tidak berkarpet, pasti tiada siapa yang berani mahu memijaknya. Dan untuk masuk ke bilik air merupakan satu ujian untuk kami. Bukan setakat kerana lantai marmarnya, bahkan air yang mengalir keluar dari paip besi. Andai tersalah putar pili biru, alamat menjeritlah yang merasainya. Andai terlebih putar pili merah, melompatlah yang terkena kerana kepanasan air yang mengalir keluar. Itupun jika sakhonah di bilir air berfungsi.


Musim sejuk merupakan satu kenikmatan. Letih tidak terasa kerana siangnya pendek. Tetapi kelaparan bermaharajalela kerana malamnya panjang tidak terkata. Dan untuk berjimat belanja rumah yang pada musim sejuk seperti ini biasanya harga barangan runcit meningkat, chef yang bertugas di dapur akan mula memanaskan dapur sebaik pulang dari jamiah pada waktu petang.


Amaran diberikan agar hidangan disiapkan selewat-lewatnya selepas maghrib. Biarpun terkadang amaran itu dilanggar juga. Tapi hipotesis musim sejuk ini, semakin lewat hidangan terhidang, semakin selamat duit rumah dari dikorbankan. Kerana, jika hidangan di makan awal, maka kelaparan akan datang menjengah kami di tengah malam. Menyebabkan kedai Hamzah di sebelah masjid menjadi tumpuan ziarah, sekadar mendapatkan sedozen dua bungkus indomee untuk santapan.


Jika jam enam petang waktu Malaysia, kanak-kanak ketika itu sedang seronok bermain di padang. Sanak keluarga sedang menikmati minum petang di rumah selepas berpenat lelah mencari nafkah. Sambil menghirup teh hangat di cicah biskut kering, senja mula memerah perlahan-lahan, mengucapkan selamat malam kepada mentari.


Sedangkan rembulan di bumi Mu’tah ketika itu telah lama memegah. Suhu kembali menurun, haba mentari semakin susut, tubuh mula terketar menahan sejuk. Tiada jam 6 petang di sini. Melainkan jam 6 malam yang gelap, menanti Isyak berkumandang. Lantang suara azan yang ada masanya merupakan suara garau bilal yang melantunkannya, dan adakalanya suara enak dari rakaman kaset.


Untuk melangkah keluar meredah kesejukkan pekan Mu’tah memerlukan satu tekad yang utuh. Demi untuk bersama-sama berjemaah dan mengimarahkan masjid syuhada, kaki melangkah dengan laju menuruni tangga, melintas jalan, mengelak dari dilanggar oleh arab yang lalu lalang di celah van sewa yang berkumpul di hadapan masjid menanti penumpang.


Sebaik kaki melangkah masuk ke masjid merupakan satu kenikmatan. Aircond yang menghembus hawa panas menjadi tumpuan. Takbiratul ihram dilaungkan, al-Fatihah dengan di’sirr’kan bacaan basmalah mula memenuhi segenap ruang solat. Manusia bermunajat, khusyuk dan tawaduk, setiap pergerakan dihayati dengan pasrah, sebagai tanda kesediaan diri untuk berserah dan mengaku sebagai hamba-Nya.


Pekan Mu’tah kini beransur sunyi. Para peniaga menutup perniagaan mereka. Para pekedai mula bersiap pulang dan menutup kedai masing-masing.


Di tepi bingkai tingkap, aku berdiri. Memerhati gelagat manusia menikmati kehidupan. Memerhati sunnatullah yang teratur rapi oleh Yang Maha Bijaksana.


“Jom makan laban!” sahabat sebilik mengajak. Di tangan kirinya memegang semangkuk besar Laban Baqori yang masam, sedang di tangan kanannya memegang gula halus yang akan dicampur untuk mengurangkan rasa masam laban.


Aku mengukir sebuah senyuman. Sehingga hari ini, di pekan kecil Mu’tah ini aku melakar dan mencipta pengalaman. Pengalaman yang terhasil dari pelbagai reaksi wajah terhadap madrasah kehidupan.


“Ya Allah, teguhkan kakiku untuk tegak berdiri di atas satu jalan. Andai aku terjatuh, sambutlah aku. Andai aku mengaduh, pujuklah aku. Bimbinglah aku ke jalan redha-Mu. Ya Allah....”



0 ulasan: