RSS
Facebook
Twitter

5/02/2012

Cerita Hari Lahir

 
Sebelum ini D.K. ada mengulas mengenai sambutan hari kelahiran. Dan ada sahabat yang memberi komen mengatakan ada hadis baginda Rasulullah s.a.w. yang menyambut hari kelahiran baginda dengan berpuasa.

Alhamdulillah, D.K. telah membuat sedikit penelitian mengenai kenyataan tersebut dan hasilnya, D.K. menemui hadis yang menceritakan mengenai perkara ini.

عن أبي قتادة الأنصاري رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل عن صوم الإثنين فقال
 [1] (( فيه ولدت وفيه أنزل علي ))

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Qatadah al-Anshari r.a., bahawa sesungguhnya Rasullah s.a.w. ditanya mengenai puasa pada hari Isnin, maka baginda bersabda: (( Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan wahyu kepadaku))

Hadis tersebut diriwayatkan dengan taraf shahih oleh Imam Muslim [2], salah seorang 'maharaja' hadis yang terkemuka. 

Imam al-Qadhi 'Iyadh berkata: "Kenyataan baginda mengenai 'padanya aku dilahirkan dan padanya aku diutuskan' hanya berlaku pada hari Isnin tanpa menyebut hari Khamis. Namun begitu terdapat dalam riwayat daripada Syu'bah menyebut hari Khamis, akan tetapi Imam Muslim meninggalkannya." [3]

Jika diteliti semula hadis tersebut, berserta kenyataan Imam al-Qadhi 'Iyadh, kita akan dapati fokus perbincangan hadis tersebut adalah kepada PUASA HARI ISNIN. Langsung tiada kena mengena dengan hari kelahiran baginda s.a.w. Hanya apabila Rasulullah s.a.w. ditanya mengenai puasa hari Isnin, baginda menjawab, "pada hari Isnin ini aku dilahirkan dan diutuskan (diturunkan ke atasku wahyu).

إن النبي صلى الله عليه وسلم سئل عن صيام يوم الاثنين، ولم يسأل عن صيام يوم الثاني عشر من ربيع الأول، فالعلة إذًا: تخصيص يوم الاثنين، بالصيام، وليس تخصيص يوم الثاني عشر من ربيع الأول بالصيام

Maksudnya: "Sesungguhnya Nabi s.a.w. ditanya mengenai puasa hari Isnin, tidak ditanya mengenai puasa pada 12 Rabi'ul Awwal, maka 'illahnya adalah, hari Isnin adalah penyebab berpuasa, bukan kerana 12 Rabi'ul Awwal yang menjadi penyebab puasa.[4]

Dan Rasulullah s.a.w. juga menyebut peristiwa-peristiwa lain yang turut berlaku pada hari Isnin seperti hari beliau diturunkan wahyu dan diutuskan sebagai nabi.


 Pandangan Sheikh Shalih al-'Uthaimin...

Sheikh Shalih al-'Uthaimin dalam bukunya "al-Halal wa al-Haram" berkata:

"Tidak ada perayaan bagi orang Islam itu melainkan sambutan hari Jumaat, hari raya 'Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha. Sedangkan sambutan hari lahir dan ulang tahun pernikahan merupakan perkara yang tidak disebut dalam syara' bahkan ia adalah satu perkara baru yang hukumnya dekat dengan 'ibahah' (diharuskan). [5]

Namun begitu, beliau juga menyebut bahawa perayaan seperti ini (hari lahir dan ulang tahun pernikahan) adalah dilarang kerana tiada sambutan dalam Islam melainkan sambutan pada 3 hari yang disebutkan sebelum ini. Seperti mana hadis baginda s.a.w.:

عن أنس ابن مالك رضي الله عنه قال (( كان لأهل الجاهلية يومان في كل سنة يلعبون فيهما فلما قدم النبي المدينة قال: كان لكم يومان تلعبون فيهما وقد أبدلكم الله بهما خيرا منهما يوم الفطر ويوم الأضحى ))

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: ((Ketika di zaman jahiliyyah dahulu terdapat dua hari yang dirayakan pada setiap tahun, apabila baginda nabi s.a.w. tiba ke Madinah, baginda bersabda: "Sebelum ini terdapat dua hari yang kamu raikan padanya, sesungguhnya Allah s.w.t. telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik, iaitu 'Eid al-Fitr dan 'Eid al-Adha [6]"


 Sambutan Hari Lahir bukan adat kita...

D.K. tertarik dengan kenyataan Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya "Fatawa Mu'asharah" ketika beliau mengulas mengenai sambutan Hari Ibu:

"Sambutan Hari Ibu ini dicetuskan oleh orang barat kerana keadaan mereka di sana yang tidak mengambil berat mengenai perihal kekeluargaan, tidak berhubung dengan ibu dan bapa, bahkan mereka hanya mementingkan diri mereka sendiri. Anak lelaki mencari teman wanita dan begitu juga sebaliknya, mereka langsung tidak mengambil berat mengenai orang tua mereka."[7]

Kerana masalah seperti itu, barat mengambil keputusan untuk mengadakan satu hari dengan memilih tarikh tertentu sebagai sambutan penghargaan. Sebagai contoh Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Kanak-kanak dan sebagainya.

Dan D.K. berpendapat, keadaan ini tiada bezanya dengan sambutan Hari Lahir, kerana di tempat mereka amat kurang istilah penghargaan, maka mereka menjadikan tarikh kelahiran sebagai tarikh keramat untuk menghargai individu-individu tertentu.

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata:

"Aku tidak mengatakan yang menyambut Hari Ibu ini haram, kerana tiada nas mengharamkannya dan hukum asal bagi suatu adat itu adalah harus. Akan tetapi kami tidak menyukai perkara ini..."

Beliau menyandarkan kebencian beliau itu dengan hadis baginda s.a.w.:

عن أبي سعيد الخدري عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (( لتتبعن سنن من كان قبلكم شبراً بشبر وذراعاً بذراع حتى لو دخلوا جحر ضب تبعتموهم. قلنا: يا رسول الله، اليهود والنصارى؟ قال: فمن؟ )) [8]

Maksudnya: Daripada Abi Sa'id al-Khudri r.a. bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda: "Sesungguhnya kamu akan menurut langkah orang terdahulu dari kamu sejengkal demi dejenkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah bila mereka masuk lubang dhab sekalipun kamu turut menurutnya. Para sahabat bertanya: Adakah yang dituruti itu Yahudi dan Nasrani? Rasulullah s.a.w. lantas menjawab, bahkan siapa lagi?


Ihtiyat (berhati-hati) dalam beramal...


Berdasarkan hadis Abi Sa'id al-Khudri ini, D.K. berpendapat agar kita mengambil langkah berjaga-jaga agar kita tidak turut menjejaki langkah mereka (Yahudi & Nasrani). Akan ada suara-suara kecil yang mengatakan,

"Benda baik, apa salahnya kita teruskan."

"Kita buat ni pun bukan sebab kita nak ikut mereka, tapi sebab kita nak menghargai kehadiran orang yang disayangi."

"Hari Lahir ni kita sambut sebab kita rasa bersyukur kepada tuhan, jadi takkan itu pun salah?"

Dan macam-macam lagi.

Hanya yang D.K. mahu katakan, kita boleh bagi sejuta alasan. Akan tetapi, D.K. minta agar kita diam sejenak dan fikirkan, antara amalan kebaikan yang memang jelas berteraskan al-Quran & as-Sunnah, dengan amalan kebaikan yang berteraskan adat yang tidak diketahui asal usulnya, yang mana lebih diredhai Yang Maha Mengetahui segala-galanya?

Kalian berhak menilai, mengkaji bahkan meneliti, D.K. doakan agar penelitian dan pengkajian kita sentiasa tetap berteras hujah ilmiah dan bukti jelas dari al-Quran & as-Sunnah.

Dan dalam isu sambutan Hari Lahir ini, D.K. bertegas untuk mengatakan TIADA SAMBUTAN HARI LAHIR DALAM ISLAM.

Wallahu'alam....



Sumber kajian & penelitian:

[1] Diriwayatkan dalam Shahih Muslim (2807), Sunan Abi Daud (2428) & Musnad Ahmad (22603).
[2] Beliau adalah Muslim bin Hajjaj al-Naysaburi. Dilahirkan pada 202/206H & wafat pada 261H. Merupakan salah seorang muhaddis yang terkenal dengan kitab shahihnya.
[3] "Shahih Muslim bi syarhi imam an-Nawawi", jilid 3, terbitan Dar al-'Ulum al-Insani, ms 1182.
[5] "al-Halal wa al-Haram", Muhammad Shalih al-'Uthaimin, terbitan Dar al-Tawfiqiyyah al-Turath, Bab Hukum menyambut Hari Lahir & Hari Ulangtahun Perkahwinan, ms 317.
[6] Diriwayatkan dalam Sunan an-Nasa'ie, kitab 'shalah al-'Eidayn' no 1556 (Maktabah Syamilah) Dishahihkan oleh al-Albani.
[7] "Fatawa Mu'ashirah", Dr Yusuf al-Qaradhawi, jilid 4, terbitan Dar al-Qalam, bab 'Hukum menyambut Hari Ibu', ms 505
[8] Diriwayatkan dalam Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim (6952), Sunan Ibnu Majah (3994) dan Musnad Ahmad (11817). (Maktabah Syamilah)


9 ulasan:

D.K. said...

Tambahan maklumat:

Dr Wahbah az-Zuhayli berkata:

"Tidak syak lagi, perayaan-perayaan ini pada asalnya adalah harus, akan tetapi ia adalah perkara baru yang ditegah (bid'ah munkarah). Sesungguhnya ia termasuk sebahagian daripada tradisi para musuh & kuffar.

Tetapi jika sekadar sebagai peringatan atau penghargaan tanpa upacara atau apa-apa yang meniru orang-orang kafir, maka ianya harus.

D.K.: Hari ini kerana kita terlalu berlengah-lengah dalam mentsabitkan amalan-amalan yang 'baik', maka kita terlupa untuk beramal dengan sunnah baginda s.a.w. Bahkan sambutan dengan kek dan tiupan lilin semakin 'biasa' dan menjadi adat dikalangan masyarakat hari ini. Padahal kita tidak tahu apa simbolik disebalik amalan sedemikian.

BERHATI-HATILAH!!!

rujuk: http://www.fikr.com/zuhayli/fatawa_p35.htm#19
(soalan ke empat dari bawah)

wallahu'alam...

Anonymous said...

Syukran atas pencerahan dan perkongsian...

D.K. said...

Anonymous:

La syukra 'ala wajib... (^^,)

Anonymous said...

saya berminat pada pencerahan yang saudara berikan. bolehkah saudara membuat satu lagi penelitian dan pengkajian tentang hukum tahlil berdasarkan AQ & S serta qaul-qaul ulama arab dan nusantara.

harap saudara sudi berkongsi.

D.K. said...

Anonymous:

Alhamdulillah, semoga ia memberi manfaat kepada kita semua. Dan terima kasih atas cadangan anonymous itu, akan tetapi, maaf, kerana D.K. menolak utk mengulas isu tersebut.

Antara alasan D.K.:

1. Telah byk sumber2 perbincangan dan kata-kata serta pendapat ulama' mengenai perkara ini. Anynomous bleh search je kat google atau mane2 sumber yg dipercayai.

2. Jika soalan anonymous sekadar berkisar tentang tahlil itu sendiri, maka jawapannya jelas, tahlil itu sunnah. Dan pastinya tahlil yg D.K. maksudkan adalah berzikir dengan kalimah "La ilaha illallah". Sedangkan tahlil di sisi masyarakat malaysia itu, dimaksudkan sebagai majlis zikir & kenduri arwah (ini takrifan D.K.), maka perbincangan mengenai perkara ini amat panjang.

Insya Allah, jika kita dapat berkenalan dan bertemu, kite citer molek2 waktu tuh. ok? (^^,)

Secara ringkasnya, D.K. minta maaf dan berterima kasih atas cadangan tersebut. Insya Allah, jika anynomous ada wat kajian mengenai tajuk itu, anynomous bleh share dgn D.K. (syafiqkuis@yahoo.com), dan kat situ kita bleh kongsi sama2 pendapat kita, sblm D.K. rumuskan dan publish di blog D.K. ni insya Allah...

wallahu'alam... (^^,)

atokaji said...

D.K, Tahniah, menarik ..... atokaji reserve komen dulu, sebab atokaji mengantok .... wasallam.

D.K. said...

Atokaji:

Beres, D.K. menanti komen atokaji dengan penuh debaran... (^^,)

..::بشرى::.. said...

salam, pencerahan yang bagus, boleh tak buat kajian pasal, hukum taat kepada pemerintah yang zalim selagi masih solat mengikut pemahaman salaf dan fiqh semasa, ia suatu yang menarik untuk di kaji dan di fahami, lagi satu, kajian pasal hadis yang berkaintan dengan al-mahdi, adakah benar2 wujud al-mahdi ini? atau khilaf yang besar?

D.K. said...

...بشرى...

Insya Allah, cadangan yg menarik, D.K. akan pertimbangkan. Lame enta tak komen kat sini. huhuhu... anyway, klw enta ada kitab rujukan yg mgkn boleh kami kaji (takhrij) lagi best... (^^,)