Sebaik umur melangkah ke angka 20, pandangan
tentang kehidupan sudah berubah. Kita sudah tidak dipanggil lagi sebagai
remaja, bahkan kita digelar sebagai pemuda. Bahkan kalimah pemuda ini,
menerbitkan sebuah entiti yang penuh harapan dan impian. Memetik kata Soekarno,
“berikan aku 10 pemuda, nescaya kan ku goncangkan dunia.”
Tidak hairanlah apabila seorang pemuda sebaik
angka 2 mengambil tempat di awal digit umurnya, dia mula merasa mahukan sesuatu
dalam dunia kehidupannya. Jika di Institusi pengajian, dia mahukan pengaruh,
sama ada dalam organisasi sesebuah badan mahupun sekadar sekitar rakan
sepengajian. Atau jika dia bersama khalayak umum, sentiasa berusaha untuk
mencuri perhatian.
Indahnya pemuda, jika dulu di alam remaja dia
bermimpi, tetapi kini pemuda membina mimpinya!
Tebaran tiupan angin yang menitip bersamanya
beribu kisah dan berita. Tidak dilupa pada kisah seorang pemuda yang merindui
kekasihnya, Laila. Dia bersyair. Syair rindu pada kekasihnya:
“Aku merentasi perkampungan, perkampungannya
Laila,
Aku mencium satu persatu dinding-dindingnya,
Bukanlah cintakan tempat itu yang merindukan
kalbuku,
Tetapi cintakan penghuni yang tinggal dalamnya.”
Alangkah peritnya rindu seorang kekasih. Hakikat
rasa pemuda ingin memiliki. Memiliki bahagia dengan cinta. Dan islam
memperkenalkan kepada pemuda satu jalan menguasai cinta, dan itulah jalan yang
namanya NIKAH!
"Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu
yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka
hendaklah dia berkahwin, sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan
mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah
dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu"
(riwayat Muslim)
Mengejar bahagia di jalan nikah...
Dua tahun di tanah Jordan. Bahkan sebelum itu
lagi, desiran virus cinta Islami hingga ke binaan Baitul Muslim acap
kedengaran. Tak jemu-jemu ku temui agen-agen penyebar kebaikan. Dari
kawan-kawan ramai hinggalah diri sendiri terjebak menjadi perunding cara.
Dahulu aku melihat perkahwinan dan pernikahan dari
dua sudut yang berbeza. Kekadang beremosi apabila ada keluarga yang menyusahkan
anak mudanya mahu melaksanakan sunnah baginda Rasulullah SAW yang istimewa ini.
Ayat al-Quran dikeluarkan, hadis Rasulullah SAW dipamerkan, dengan tujuan agar
niat baik para pemuda yang ingin menjalinkan ikatan pernikahan kerana Allah ini
bakal dimudahkan.
Tidak sedikit yang meminta nasihat, walaupun
hakikat diri ini dan diri mereka serupa. Diri ini juga sedang bermimpi untuk
melamar seorang isteri!
Sehingga satu pertemuan diaturkan, menjadi sejarah
pembaharuan. Pembukaan satu lagi sudut pandang baru dalam diriku. Bahawa
pernikahan bukanlah satu-satunya jalan untuk mengejar kebahagiaan.
Hakikat pahit yang terpaksa ditelan. Tidak
dinafikan, perkahwinan itu satu kebahagiaan. Tanggungjawab memelihara keluarga
atas jalan iman itu satu kebahagiaan. Melihat wajah isteri dan anak-anak dengan
kasih sayang juga satu kebahagiaan. Berdua bersama isteri, berjalan berpimpin
tangan, berkongsi rasa, sedih, marah, kecewa dan ketawa bersama, semua itu
mengukir sebuah keindahan dan kebahagian dalam sebuah pernikahan yang dihiasi
iman. Bahagianya!
Namun begitu, ramai saya lihat yang kehilangan
bahagia walaupun ketika itu mereka sedang mengejar bahagia. Umpama, yang
dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Bahagia untuk berkeluarga masih
belum dicapai, tetapi bahagia hidup sendiri terkorban begitu sahaja.
“Tuhan, kau uji aku dengan perasaan cinta dan
rindu,
Rindu kepada solehah penyejuk kalbu,
Terbit cemburu melihat sepasang manusia yang
berkasih
Berkasih mereka halal, bahagia tanpa ragu
Kerna nikah, sunnah baginda SAW yang ku mahu
Oh tuhan, kurniakan aku kesabaran dan kekuatan
Menanti solehah yang menawan...”
Mengejar bahagia tanpa sedar bahagia yang
sepatutnya dicapai waktu itu disia-siakan. Bukankah dalam hadis ada menyebut
tentang puasa jika tidak mampu? Mengapa tidak dipilih jalan itu?
“Kerana saya yakin sudah mampu!”
“Saya mahu menjaga mata dan kehormatan saya!”
“Enta nak halang kami dari melakukan sunnah nabi
SAW?!”
Lucu! Apa kalian ingat hanya perkahwinan mampu
menjaga diri kalian? Ingat bagi mereka yang meraih gelaran seorang suami. Allah
berfirman:
"Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu
dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;
penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada
Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan
apa yang diperintahkan"
Surah al-Tahrim: 6
Bagaimana kamu mahu pelihara diri kamu jika tika
ini kamu katakan, hanya dengan pernikahan bisa menjaga dirimu dari sebarang
ujian? Allah mendahului ayat ini dengan seruan “wahai orang yang beriman!”
Apakah sudah bersedia dirimu dengan iman, jika masih terbit dibibirmu, “imanku
hanya bisa dijaga apabila aku bernikah.”
Lucu! Sekali lagi aku katakan kalian sedang menggeletek
diriku.
Betapa ramai pemuda di luar sana yang meraih
bahagia apabila menerima warkah ijazah kelas pertama. Betapa ramai pemuda di
luar sana yang meraih bahagia tika berdiskusi ilmu dengan rakan-rakannya.
Betapa ramai pemuda di luar sana yang meraih bahagia dengan memaku punggungnya hampir
2 jam lebihnya dalam majlis ilmu.
Dan Islam tidak menghadkan jalan bahagianya pada
satu jalan sahaja. Kerana nikmat Allah itu luas, rahmat Allah itu tiada
tepinya, bahagia itu bisa dicapai dengan berjuta jalan berteras al-Quran dan
sunnah baginda SAW.
Sekalipun dirimu ingin bernikah, jangan sampai
apabila kau berkongsi keinginanmu ini membuat orang yang mengetahui rasa
mustahil untuk kalian meneruskan cita-citamu. Mengadulah pada Yang Maha Mendengar,
kerana DIA Maha Bijaksana dalam mengatur kehidupan manusia!
0 ulasan:
Post a Comment