Hembusan angin yang menyapa wajahnya terasa nyaman. Dibiarkan seketika angin itu bermain dengan anak rambutnya yang terjuntai beberapa helai di dahi. Kopiah putih disisipkan ke poket kanan dadanya. Hangat mentari pagi sememangnya menyegarkan diri sesiapa yang menikmatinya. Tidak rugi rasanya sesekali merasai keindahan kesenian dalam setiap ciptaan tuhan.
Dia membuka matanya, melihat jelas pemandangan indah kota besar dihadapannya. Dari atas bukit kecil ditengah bandar itu, dia dapat melihat kesibukan warga kota yang berpusu-pusu melakukan aktiviti harian mereka. Dia tersenyum dengan telatah manusia yang berkerja berusaha mencari rezeki halal di sisi Illahi.
“Aidil, kamu masih di sini nak?”
Seorang tua berjalan menuju ke arahnya. Dia melihat tubuh tua yang uzur itu. Dengan baju melayu yang lusuh dan kain pelikat yang lama, lelaki tua itu tetap berseri penampilannya. Kebersihan pada diri dan pakaiannya dijaga. Biarpun nampak lusuh dan lama, tetapi tetap kemas dan bersih penampilannya. Dia mengangguk mengiyakan sambil tersenyum.
“Sengaja saya duduk di sini wak. Nak ambil angin pagi yang segar.”
“Iyelah. Kamu ni, ada-ada sahaja. Kamu sudah minum pagi?”
“Alhamdulillah, sudah wak. Tadi selepas tazkirah subuh, pak imam menjemput saya minum bersamanya. Wak bagaimana?”
“Wak puasa hari ini.”
Dia mengangguk. Itulah wak Ari, siak masjid al-Falahin di atas bukit kecil ini. Sudah 3 hari Aidil menetap seketika di masjid ini. Sejenak dia berhenti dari permusafirannya kerana tertarik dengan panorama indah di sini. Ketika kali pertama dia tiba, wak Ari lah orang pertama yang menegurnya. Keramahan wak Ali membawa titik ukhwah yang erat terbina antara mereka berdua. Biarpun wak Ari seorang yang miskin, tempat tinggalnya hanyalah di sebuah bilik yang tesedia di masjid itu, namun wak Ari tidak pernah bersungut, bahkan dia terkenal sebagai seorang yang amat pemurah, apatah lagi jika ada para musafir yang duduk berehat seketika di surau itu.
“Wak, saya mahu turun ke kota sekejap lagi. Wak mahu pesan apa-apa?”
“Tidak payah lah Aidil. Hanya wak mahu pesan, dalam perjalanan kamu nanti, jagalah imanmu. Ingatlah, Allah sentiasa memerhati diri kamu nak,” pesan wak Ari. Jelas loghat jawanya yang kadang-kadang terbit beberapa kali.
“InsyaAllah wak.” Dia segera bangun dan membersihkan sisa daun kering yang melekat pada seluarnya. Dia mahu membeli keperluan untuk perjalanan seterusnya di kota, di samping sedikit hadiah untuk wak Ari yang sanggup menerimanya sebagai tetamu di situ.
“Oh ya, Aidil, wak mahu kamu ambil wang ini dan sedekahkan kepada sesiapa sahaja yang kamu rasa patut menerimanya. Ingat ini Aidil, tiada ruginya andai kamu bersedekah. Kalau kamu ikhlas memberi, nanti kelak Allah akan redha untuk memberi kepada kamu juga.”
Aidil tersenyum mendengar kata-kata itu. Teringat dia pada tulisan Ustaz Pahrol Juoi dalam buku ‘Nota Hati Seorang Lelaki’ yang dikhatamkannya tempoh hari. “Kita akan banyak menerima, jika kita memberi bukan untuk menerima.” Andai keikhlasan tunjang utama, maka keredhaan Allah dan kenikmatan akan kita terima.
Riuh suasana kota yang dihimpit dengan kehadiran jutaan manusia yang berpusu-pusu menuju mencapai matlamat masing-masing. Sesekali bahu Aidil terlanggar tubuh-tubuh manusia yang sentiasa tergesa-gesa tanpa mengira orang di sekitarnya. Biarpun begitu, dia berlapang dada untuk memaafkannya. Dia tahu, kelak dia sendiri akan jadi seperti itu apabila bekerja nanti.
Sudah hampir setengah jam dia berdiri menanti tibanya bas yang menuju ke Bukit Kota. Biasanya bas itu akan tiba pada waktu-waktu kemuncak seperti ini. Dia melihat jam di tangannya. Lima belas minit lagi waktu Zohor akan tiba. Dia mengambil keputusan untuk menunggu waktu Zohor tiba di sebuah masjid yang berdekatan.
Melihat masjid bercat biru yang agak tenggelam kerana dikelilingi oleh bangunan pencakar langit disekitarnya, dia tersenyum. Peluh yang berjujuran di dahi dikeringkan dengan sapu tangan. Segera dia masuk ke dalam masjid tersebut untuk berteduh dari terik cahaya matahari. Dia berehat melepas lelah.
Seketika Aidil merasa dirinya sedang diperhati. Dia menoleh, namun tiada siapa yang ada dalam masjid itu melainkan beberapa jemaah yang sedang membaca al-Quran di saf hadapan. Dia beristighfar di dalam hati. Dibuangnya rasa tidak sedap hati jauh-jauh.
“Ah, baik aku pergi bersiap cepat. Sempat lagi nak baca al-Quran ni,” Aidil bercakap sendirian.
Bilangan jemaah berkurang. Seusai imam menamatkan bacaan doanya, mereka semua kembali sebuk dengan urusan kerja yang ditangguhkan seketika untuk menunaikan kewajipan mereka sebagai hamba Yang Maha Esa. Terdengar beberapa suara lunak dari jemaah yang tinggal sedang mengalunkan firman Allah. Aidil mendengar dengan teliti sambil menghayati makna ayat al-Quran yang dibaca. “Ini surah Ali Imran,” bisiknya sendirian.
“Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
Aidil tersentak apabila jemaah yang bersuara lunak itu membaca ayat yang ke 185 itu. Tatkala itu hatinya menjadi kecut dan sayu, dia menundukkan wajahnya. Beberapa titis air matanya berguguran. Allah s.w.t. telah mengingatkan hamba-hambanya bahawa setiap yang merasai nikmat nyawa pasti akan mati. Meninggalkan isteri, anak-anak, harta dan segala apa yang ada di sisi, untuk menuju ke arah destinasi perantaraan antara dunia dan hari penentuan.
Beberapa kali Aidil mengulangi ayat tersebut di dalam hati sehingga dia teresak-esak menangis. Dia lalu bangun dan terus mengangkat takbir. Dia mahu bersolat sunat. Dia mahu mengadu kepada tuhan Yang Maha Mendengar. Dia mahu meminta ampun dari tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada hamba-hambanya yang meminta untuk disayangi.
Kipas di siling ligat berputar menghalau keluar sang haba yang cuba mencuri masuk ruang solat masjid biru Hudaibiah. Seorang lelaki tua mengipas-ngipas dirinya yang kepanasan. Si penjual roti yang terintai-intai ruang di dalam segera melangkah masuk dan melabuhkan tubuhnya dengan perlahan untuk melelapkan mata. Beberapa orang jemaah lagi duduk berteleku sambil membaca al-Quran dan bertafakur. Aidil masih lagi duduk termenung. Muhasabah merenung kisah silamnya yang tiba-tiba meluncur laju di kepalanya. Dia beristighfar seketika. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya yang lalu. Segera dia bangkit. Dia perlu pulang segera. Takut wak Ari bimbang tentang dirinya.
Seorang peminta sedekah menarik perhatiannya. Teringat amanah yang diberikan oleh wak Ari tadi belum ditunaikan. Segera dia menuju ke arah peminta sedekah tersebut lalu dihulurkan beberapa helai wang kertas ke dalam mangkuk usang itu sambil tersenyum. Beberapa kali peminta sedekah itu berterima kasih kepadanya. Dia beredar segera, tidak mahu ketinggalan bas yang sudah tiba.
Petang itu tidak ramai yang mahu menuju ke Bukit Kota. Apabila dia melihat tiada lagi penumpang yang akan naik, segera dia mengambil satu tempat duduk di tepi tingkap.
“Wak, kenapa wak suka bersedekah?” dia teringat perbualannya dengan wak Ari tempoh hari.
Wak Ari tersenyum.
“Bukan apa wak, saya tanya ni sebab....” serba salah dia mahu meneruskan soalannya itu.
“Mengapa Aidil? Kerana wak miskin? Begitu?”
Dia tersengih. “Maaf wak kalau kata-kata saya ni...”
Wak Ari mengangkat tangan memberi isyarat agar dia berhenti.
“Aidil, hidup di dunia ini, mana pernah kita rasa cukup. Hatta kalau ada di sisi kita sejuta ringgit sekali pun, kita takkan rasa cukup nak.”
Aidil mengangkat keningnya. Satu juta pun tak cukup?
“Benar, kalau kita hidup bukan tujuannya untuk mencapai keredhaan Allah.” Mereka berdua tersenyum. Aidil mengangguk faham.
“Aidil, wak mahu tanya sama kamu. Apakah apabila kamu memberi sedekah, maka kamu akan terasa kekurangan?”
Aidil mendiamkan diri. Tidak tahu sama ada perlu dijawab atau tidak.
“Bandingan derma orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas akan rahmat kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” [surah al-Baqarah: 261]
“Inilah firman Allah di dalam al-Quran Aidil. Cantik benar perumpaan yang Allah berikan apabila kita bersedekah. Aidil, apabila kita memberikan sesuatu kepada orang lain kerana Allah, secara kita tidak sedar kita sedang menambahkan apa yang kita ada. Lihat sahaja, pemberian itu diumpakan dengan sebiji benih yang kita tanam. Kemudian akan tumbuh darinya tangkai-tangkai yang berbuah dan dimanfaatkan semula menjadi biji benih untuk ditumbuhkan tangkai-tangkai yang baru dan lebih meluas kawasannya.”
“Inilah kitaran pemberian Aidil. Tidak berkurang, bahkan sentiasa bertambah. Ada orang dengan seringgit, dia mahu tersenyum. Tetapi ada orang dengan sepuluh ringgit, wajahnya sentiasa kelat tanpa senyuman. Semuanya berbalik kepada keikhlasan kita, yang akhirnya akan menjadikan kita orang yang sentiasa bersyukur walaupun di zahir mata manusia kita miskin harta, tetapi hakikat orang bersyukur, dia kaya dengan harta yang seadanya.”
Aidil mengangguk-angguk. Dia kagum dengan kepetahan wak Ari bercakap.
“Pada suatu hari, Umar al-Khattab r.a. telah berazam untuk mengalahkan Abu Bakar as-Siddiq dalam menyedekahkan harta ke jalan Allah. Dengan penuh semangat dia bertemu dengan nabi s.a.w. lalu memberikan harta miliknya kepada baginda. Lantas baginda nabi s.a.w. bertanya kepada, ‘Wahai Umar, apa yang kau tinggalkan kepada ahli keluargamu?’ Umar menjawab, ‘Aku meninggalkan sedikit sahaja untuk keperluan ahli keluargaku.’ Kemudian datang pula Abu Bakar lalu memberikan harta miliknya kepada baginda nabi s.a.w. lantas ditanyakan kepadanya, Wahai Abu Bakar, apa yang kau tinggalkan untuk ahli keluargamu?’ Abu Bakar menjawab, ‘Sesungguhnya hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang aku tinggalkan untuk ahli keluargaku.’ Umar al-Khattab tersentak, tahulah dia yang dia tidak akan dapat mengalahkan sahabatnya itu.”
Tubuh Aidil terlonjak-lonjak apabila bas yang dinaikinya itu melalui beberapa bonggol di jalan raya. Aidil beristighfar, terperanjat. Matanya memerhati sekeliling. Bas tersebut baru sahaja melepasi sebuah sekolah rendah. Maknanya dia akan tiba ke destinasi tak lama lagi.
“Aidil, kerana wak miskinlah wak mahu bersedekah.”
“Mengapa begitu pula wak?”
“Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, ‘Tidak akan berkurang harta yang disedekahkan.’” [riwayat Muslim]
“Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa nabi s.a.w. pernah bersabda, ‘Tidak berlalu hari-hari tatkala manusia memulakan pekerjaan melainkan turun dua malaikat yang satu malaikat berdoa, “Ya Allah, berilah ganti kepada orang yang membelanjakan iaitu menderma dan bersedekah hartanya.” Sedangkan malaikat yang kedua berdoa, “Ya Allah, binasakanlah harta orang yang bakhil.” [riwayat Bukhari]
“Hmm...” Aidil kagum. Hanya itu sahaja yang terucap di bibirnya.
“Aidil, wak tak punya anak yang soleh. Wak bukanlah seorang yang banyak ilmunya. Jadi hanya dengan bersedekah sahaja yang wak dapat sebagai bantuan wak kelak apabila mati nanti. Kerana wak pernah mendengar, dalam riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda, tiga perkara yang tidak terputus walaupun kita mati diantaranya ialah sedekah amal jariah. Dan wak juga pernah dengar, Allah mencintai orang yang pemurah, tetapi Allah lebih mencintai orang miskin yang pemurah.”
Aidil tersenyum sendirian. Kubah masjid al-Falahin kelihatan. Terbayang di matanya wajah wak Ari yang tidak lekang dengan senyuman dan keramahan. Dia amat bersyukur kerana telah ditemukan dengan wak Ari. Banyak yang dia pelajari dari wak Ari. Memang benar sabda baginda nabi s.a.w., “Akan merasai manisnya iman bagi seseorang yang reda Allah sebagai tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai rasulnya.” [riwayat Bukhari dari ‘Abbas bin Abdul Mutalib]
Hidup ini umpama lautan yang luas, banyak lagi yang belum diteroka, banyak lagi khazanah lautan yang belum kita jumpa. Kadangkala ia surut, kadangkala ia pasang. Kadangkala Allah datang ribut, di masa lain Allah datangkan hari yang tenang. Hanya nelayan yang punya matlamat dan wawasan yang kuat sahaja akan menongkah perahu ke lautan yang mencabar. Begitulah kehidupan, adakala terseksa, adakala gembira. Tapi bagi mereka yang meletakkan redha Allah sebagai matlamat utama dalam dirinya, cabaran dan ujian akan ditempuhnya dengan semanis senyuman diwajah.
“Ya Allah, sesungguhnya aku redha Kau tuhanku dan Muhammad pesuruh-Mu...” bisik hati kecil Aidil.
0 ulasan:
Post a Comment