RSS
Facebook
Twitter

4/23/2014

Cinta Dia


“Urgh,” rintih hati. Kesal dengan apa yang telah terjadi. Kolam air mata yang bertakung semakin menghampiri had kemampuannya. Saki baki keperitan masih berbekas di hati. Tetapi aku tidak mampu berbuat apa-apa.

Ia terjadi secara spontan dihadapanku. Hendak dimarahi, yang melakukannya amat aku sayangi. Hendak didiamkan, hanya tuhan sahaja yang tahu dia amat berharga bagiku.

Dari dahulu dia menjadi penemanku. Setiap pagi aku akan pastikan sebelum melangkah keluar dari rumah, bibirku akan mencecah ke bibirnya. Itu tanda kasih sayangku. Kami jarang berbual, kalau ada pun hanya aku sahaja yang bercelotah mesra. Sebab itu aku sayang dia. Pendengar setia tatkala sedih atau gembira.

Aku masih ingat, ketika hari aku hendak melangkah keluar ke temuduga kerja. Aku terlupa. Kerana debaran di dada yang kencang semenjak malam lagi. Sebelum sempat aku masuk ke dalam kereta, ibu melaung namaku. Bersama dia, ibu memarahiku kerana aku terlupa kebiasaan ku kepada dia.

Setiap masa, di meja makan, dia berada dihadapanku. Kadangkala sambil menyuap makanan, tangan kiriku memegang lengannya yang satu. Saja mengusik, mencuit. Ibu yang perasan akan perbuatanku itu juga kadangkala tersenyum. Dari dulu hingga sekarang, antara kami tiada yang berubah.

“Assalamualaikum,” singgahsana kami bergema dengan suara-suara yang dirindui. Anak-anak kakakku sudah pulang ke rumah atuk dan nenek. Habis riuh rumah kami kerana setiap orang mahu bercerita tentang pengalaman mereka di sekolah.

Tidak cukup dengan itu, tidak lama kemudian kakakku yang seorang lagi pun pulang. Kereta Myvi berwarna silver diletakkan betul-betul di hadapan pagar rumah. Macam anak raja. Ya, anak raja. Kerana sebaik dia melangkah keluar, dipangkuannya seorang puteri raja yang comel bertudung ungu sedang mengulit dengan bondanya yang seharian tidak ketemuan kerana kerja.

Aku yang sedang bersama dengan dia di dapur hanya memerhati. Berat rasanya mahu mengangkat punggung yang terpaku sejak dari tadi. Keriuhan itu sangat tidak asing bagiku. Bahkan itulah suasana yang menjadi kerinduanku pabila aku kembali ke luar negara nanti.

Masih ada satu ada lagi yang kurang. Ya, si kecil yang tembam itu belum pulang. Barangkali dia dan mama sedang terperangkap dalam kesibukan jalan raya petang-petang begini.

“Paksu, nak air,” suara manja dari salah seorang anak saudaraku mengoyak lamunan. Aku segera terlupa akan dia. Jangan salah sangka. Cinta dan kasih sayang tidak pernah hilang. Bahkan ia semakin bertambah seiring dengan bertambahnya jumlah yang kita sayang. Kerana pertambahan kasih sayang kadangkala membuatkan kita gembira hingga terlupa.

Aku terlupa dia. Aku terlupa hingga keterlekaanku itu menyebabkan bencana. Bukan bencana alam yang mengakibatkan kawanan ikan naik ke darat. Tetapi bencana emosi yang menaikkan aras ketinggian tekanan darahku. Bukan marah, tapi kerana kesal dan geram dengan sifat lekaku. Kerana aku, dia... dia...

Biarlah aku cerita apa yang terjadi kepada dia. Sebaik aku mengangkat punggungku untuk melayan permintaan anak saudaraku itu. Aku pantas menuju ke gerobok dapur untuk mengambil cawan plastik dan air. Aku tidak perasan, saat itu, mata anak saudaraku melirik ke tubuh dia. Lantas si kecil kesayanganku itu menyambar tangan dia.

Aku tahu, tulisan nama kawan-kawan sekolahku yang tercoret di tubuh dia menarik perhatian buah hatiku itu. Tetapi aku tidak sangka, sambaran tangan comel itu rupanya tidak disertai dengan kekuatan. Dia yang masih dipenuhi dengan cairan bewarna coklat susu yang masih panas itu terlepas menghempas ke lantai.

Prang!

Seisi alam sunyi. Seakan ada tenaga menekan butang senyap, semua mata terarah kepada dia dan anak saudaraku. Aku yang kebetulan hampir dengan kawasan kejadian spontan ke arah anak saudaraku dan mendukungnya. Bimbang jika serpihan dia mencalari tubuh kecil itu.

Ibu dan kakakku pantas menjalankan tugas. Setiap cebisan dia dikutip dengan teliti. Cairan panas tadi segera dikeringkan dengan kain lembab. Sehingga benar-benar dipastikan tiada lagi yang mungkin membahayakan sesiapa, kawasan kemalangan tidak dibenarkan untuk laluan.

Aku hanya mampu memandang sayu sahaja melihat semua itu berlaku. Tubuh dia berkecai. Bibir dia sumbing tidak seperti dahulu. Aku tahu, itu adalah kali terakhir aku dapat melihat dia. Ibu memandangku. Aku tahu Ibu pasti dapat merasai keperitan hatiku.

Hendak buat bagaimana, semuanya terjadi begitu pantas. Aku pujuk hati. Segala puji bagi tuhan, dia mengambil yang aku sayang tetapi juga menyelamatkan yang aku sayang.

“Nanti ibu ganti baru ya,” pujuk ibu. Suara ibu menyejukkan hatiku. Namun aku perlu masa. Aku perlu masa untuk bertenang. Sekelumit marah yang masih membara dihati perlu dipadamkan.

Walaupun dia sudah tiada di sisi, tetapi cintaku pada dia kekal ada. Aku tahu akan ada pengganti dia. Tetapi seperti yang aku kata tadi, cinta itu tetap ada. Hanya sahaja cinta bertambah dengan kehadiran wajah baru yang akan dicintai.

"Dia yang pernah menjadi cintaku, 
ku jadikan sebagai kekuatan untuk terus belajar tentang kehidupan."

0 ulasan: