RSS
Facebook
Twitter

4/24/2014

Meeser, Dragon Sniper



Tiada siapa tahu, pagi itu hutan yang biasanya damai tiba-tiba dikejutkan dengan satu berita. Berita besar yang menggemparkan. Hutan hujan Tado yang luas itu bakal menjadi medan peperangan.

Anak sungai yang mengalir tenang menjadi sempadan antara dua kawasan, perkampungan Radi dan Deri kini berkocak ganas kerana derapan tentera dari kedua-dua belah pihak.

Sebulan yang lalu, penduduk Ancient Radi kelam kabut menyiapkan persiapan peperangan. 5 orang pahlawan telah dipilih untuk mengetuai bala tentera mereka. Masa yang berlalu tidak menunjukkan sebarang tanda yang peperangan bakal tamat.

Dalam kekalutan itu, tiada siapa yang berani masuk ke dalam hutan, apatah lagi untuk menikmati keindahan anak sungai Tado yang jernih itu bersendirian. Tetapi pagi itu, warga hutan Tado terkejut melihat kehadiran satu susuk tubuh di situ.

“Only miss the sun when it start to snow, only know you love her when you let her go. Let her go!!” suara serak basah mengoyak kesunyian hutan Tado.

Susuk tubuh yang sasa namun agak kerdil duduk di atas batuan yang menghiasi anak sungai hutan Tado. Di sisinya tergalas selaras senjata yang telah mengorbankan banyak nyawa. Kepalanya terhangguk-hangguk melayan alunan lagu Let Her Go nyanyian Passengger.

Sambil membersihkan tubuhnya yang dicemari darah kering dan lumpur, sesekali terbersit dari bibirnya lirik lagu tersebut. Suaranya diperlahankan agar tidak didengari musuh. Berada disempadan antara dua kawasan peperangan sangat berbahaya. Tetapi bagi Meeser, dia mempunyai kelebihan dari sudut pengalaman. Sebab itu hingga kini, hanya 3 kali sahaja dia kembali ke ancient, itu pun apabila keldai pengangkut barang mati dibunuh.

Walaupun dia kelihatan bersahaja membersihkan dirinya, namun setiap deria ditajamkan. Sesekali matanya meliar ke arah tempat-tempat yang dia tahu amat strategik untuk sesiapa menyerangnya.


Tiba-tiba deria pendengarannya menangkap bunyi larian dari arah belakang. Tangkas tubuhnya membuat pusingan sambil tangan mencapai Shadow Blade yang terbalut kemas di sisi.

“Wo, wo, wo, tenang, tenang.” Seorang wanita berkulit putih mengangkat tangannya. Berkepul-kepul asap keluar dari mulutnya.

“Ceh, kau Drow,” ujar Meeser sambil meletakkan kembali Shadow Blade di sisinya. “Sudah berapa kali kau kembali ke ancient?”

Drow tersengih. “Lapan,” jawabnya pendek sambil jemari tangan diangkat menunjuk simbol 8. Meeser menggelengkan kepala. “Hati-hati. Aku lihat kau terlampau gopoh bila berada di barisan hadapan.”

“Ya, ya. Cukuplah dengan ceramah kau. Aku tahu aku noob,” kata Drow sambil ketawa. “Mentang-mentanglah kau ada Shadow Blade, selamba sahaja kau duduk dekat sini kan,” Drow menambah.

“Aku belum mati lagi. Lagipun, aku banyak beli barang yang dapat menambah kuasa penyembuhanku dengan lebih laju,” Meeser menjawab sambil bersiap untuk pergi.

“Aku nak ikut kau.”

Kata-kata Drow disambut dengan hambar. Meeser melarang. Baginya kehadiran Drow hanya akan merosakkan perancangannya.

“Kau beritahu kepada Omni, aku akan buru Pudge selepas aku siapkan Desolater.”

Drow hanya mengangguk. Dia tahu yang rakannya itu sangat suka untuk berperang secara solo. Sesuai dengan kemahirannya sebarang seorang pembidik tepat atau lebih masyhur dengan gelaran ‘Dragon Sniper’. Laras senapang yang berbentuk naga itu telah banyak kali menewaskan lawan.
 
Kecuali Pudge. Pembunuh kejam yang juga salah seorang pahlawan pilihan kampung Deri. Walaupun Pudge bertubuh gemuk dan agak perlahan pergerakannya, tetapi rantai sabit kepunyaannya amat mengerikan. Drow sendiri telah beberapa kali menjadi mangsa.

“Kalau macam tu, aku per...” belum sempat Drow menghabiskan kata-kata. Tiba-tiba, Zup! Laju tubuhnya ditarik dari tebing sungai bertentangan.

“Ah, Drow!” Meeser menjerit. Dia tahu, Drow tidak akan dapat diselamatkan. Segera dia mengaktifkan Shadow Blade sambil Dragon Eyes dilaraskan ke arah tempat Drow ditarik. Dia yakin untuk buat seketika, dirinya selamat. Kerana Shadow Blade menjadikan dirinya halimunan dari mata pihak lawan.

Berhati-hati dia merapati. Hidungnya menangkap bau asid yang terhasil daripada salah satu teknik maut Pudge. “Tak guna, aku hanya perlu 500g sahaja sebelum Desolater siap,” hatinya berbisik dalam debar.

Tubuhnya semakin hampir namun kelibat Pudge masih tidak kelihatan. Hanya bauan asid sahaja yang semakin kuat.

“Suprise!” Sven tiba-tiba muncul dari arah belakang sambil melancarkan Storm Hammer ke arah Meeser. 

Teknik itu menyebabkan Meeser kaku tidak dapat bergerak. Saat itulah Pudge keluar dari persembunyian. Dia ketawa terbahak-bahak melihat Meeser yang hanya menanti maut. 

Rupa-rupanya dia telah jatuh ke dalam perangkap pihak musuh. Matanya sempat menangkap beberapa Sentry Ward utuh berdiri di sekitar kawasan itu.

“Dismember!” Pudge menjerit. Meeser tahu, itu adalah teknik Pudge yang paling mengerikan. Dia akan dimakan dan dikunyah hidup-hidup oleh Pudge. Habislah rekod tanpa mati Meeser selama ini.

“Tak guna!” Meeser menyumpah. Dia berjanji, untuk kehidupan kedua, dia akan memburu Pudge sampai mati dengan Desolater.

Sumpah!




0 ulasan: