RSS
Facebook
Twitter

4/30/2015

Salam


"Assalamualaikum."

Gadis bertudung merah jambu itu mengangkat wajahya memandangku. Langkah kaki kami terhenti seketika. Mungkin kerana kejutan yang tidak disangka-sangka itu.

Jantungku berdegup laju. Berdebar. Entah mengapa laju sahaja bibirku melemparkan salam kepada dia sebaik sahaja kami berselisih. Arah perjalanan kami bertentangan. Aku yakin yang dia dalam perjalanan pulang sedang aku pula sedang mengejar waktu yang semakin suntuk untuk ke kelas.

Adatlah bagi kami pelajar pengajian Islam memberi salam sesama rakan, itu kami sebut sebagai ukhwah. Tetapi kalau salam itu dilemparkan kepada berlainan jantina, itu lain macam namanya.

Kalau tahu dek sekelompok orang ini, mereka akan kata itu adalah fitnah. Membuka peluang ke jalan 'ikhtilat'. Tetapi ada juga yang kata, "alah, setakat beri salam tu apa ada."

Aku sendiri juga hairan. Entah mengapa, sebaik sahaja kami berselisih, ringan sahaja mulut menghadiahkan salam kepada gadis bertudung merah jambu itu. Hari ini adalah hari yang sama seperti sebelumnya. Tiada yang istimewa.

Angin yang sejak dahulu lagi menjadi saksi jutaan peristiwa manusia mengusik lembut setiap jiwa yang menikmati. Dedaun pohonan rimbun yang berbaris di sisi kami menyanyi bergeseran antara satu sama lain merai drama romantis yang sedang terjadi. 

Untuk beberapa saat mata kami bertemu.Tanpa sempat aku menikmati keindahan ciptaan tuhan itu, dia membalas dengan anggukan kecil dan pantas meneruskan langkahan.

( 207 patah perkataan )

0 ulasan: