RSS
Facebook
Twitter

8/09/2010

Pemimpin Berjiwa Besar...


Seorang demi seorang mengemukakan bantahan mereka. Tidak setuju dengan keputusan khalifah Rasulullah s.a.w. yang pertama untuk mengutuskan pemuda tersebut menjadi ketua turus tentera yang bersedia ke medan perjuangan. Bukankah masih ramai lagi para sahabat yang lebih tua dan berpengalaman daripada pemuda tersebut?

Bukanlah niat para sahabat Rasulullah s.a.w. tersebut untuk merendahkan kredibiliti Usamah bin Zaid, anak kepada anak angkat Rasulullah s.a.w. Ini kerana bukanlah sifat mereka generasi terbaik ummah untuk bersikap negatif seperti itu. Cuma terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mereka tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Musuh kali ini berbeza, tentera Rom terkenal dengan kegagahan dan kehebatan mereka di dalam peperangan. Sebab itu para sahabat meminta agar digantikan Usamah dengan para sahabat yang lebih berpengalaman.

Akhirnya Umar al-Khattab di pilih untuk menyampaikan bantahan tersebut kepada Abu Bakr r.a. Dengan berhati-hati al-Farouk bertemu dengan as-Siddiq dan mengemukakan bantahan tersebut kepada khalifah. Dikatakan saat itu, Abu Bakr r.a. sedang duduk bersandar di atas kerusi. Namun begitu, sebaik mendengar kata-kata Umar, dia bingkas bangun dan memegang janggut Umar seraya berkata, “Celakalah kau wahai Ibn Khattab! Rasulullah s.a.w. telah memilihnya dan kau mahu aku menghentikannya?!”


Di medan Mu’tah.....

Melihat satu persatu tubuh panglima perang mereka gugur, membuatkan pasukan tentera muslimin agak kelam kabut tidak terurus. Benarlah sabda baginda Rasulullah s.a.w. sebelum mereka berangkat ke medan jihad. Tiga panglima mereka kini berjaya merangkul syahid bersama-sama. Bermula dengan Zaid bin Harithah, Ja’far bin Abu Talib dan akhirnya Abdullah bin Rawahah.

Di tengah-tengah kemelut Mu’tah, beberapa orang sahabat yang turut serta, mengambil kesempatan berbincang untuk memilih siapa yang akan menjadi panglima mereka? Akhirnya mereka telah sebulat suara memilih seorang lelaki yang baru sahaja menyambut cahaya fitrah dari Illahi, Khalid al-Walid, untuk menyusun kembali corak ketenteraan kaum muslimin sekaligus dilantik sebagai panglima perang yang seterusnya dalam peristiwa di Mu’tah.

Barangkali kita tidak hairan apabila mendengar nama Khalid al-Walid memimpin tentera kerana beliau sememangnya gah dengan kekuatan dan keberaniannya dalam peperangan sehingga diberi julukan ‘Saifullah’ yang bermaksud pedang Allah. Namun begitu, kita perlu ingat, ketika berlangsungnya peperangan di Mu’tah, sejarah mencatat ia berlaku pada bulan Jamadil Awal tahun ke 8 hijrah, sedangkan Khalid al-Walid melafazkan syahadah pada bulan Safar tahun ke 8 hijrah. Ini bermakna ketika beliau dilantik menjadi panglima Islam buat kali pertama, beliau adalah seorang saudara baru yang bergelar Islam dalam tempoh tidak sampai 3 bulan!

Dua tokoh ini merupakan tokoh yang amat mengkagumkan saya. Mereka merupakan dua contoh yang menunjukkan betapa seorang pemimpin memerlukan jiwa yang besar untuk berjaya. Ketika merumuskan prinsip kejayaan di dalam surah al-Mukminun, kita dapati ayat pertama surah tersebut berbunyi, “Sesungguhnya telah berjaya orang-orang yang beriman!”

Seringkali saya dengar dalam ceramah-ceramah motivasi, para peserta akan diingatkan untuk percaya pada diri. Pandang pada cermin dan katakan pada diri, “Aku seorang yang hebat!” Mana mungkin, seorang yang tidak mempunyai keyakinan pada diri sendiri, tidak mempunyai misi yang jelas dalam hidupnya mampu bercakap seperti itu dihadapan cermin melainkan dia akan berasa malu, dan memberi alasan takut orang kata gila!

Usamah bin Zaid berani menyahut perlantikkan Rasulullah s.a.w. biarpun umurnya masih muda. Sejarah mencatatkan umurnya ketika itu belum pun mencukupi dua puluh tahun, tetapi sejarah juga mencatat tidak ada satu alasan pun yang lahir daripada mulut Usamah, mengeluh mengenai perlantikkan tersebut. Melainkan satu semangat untuk berjihad untuk menyebarkan Islam disamping menebus kesyahidan ayahnya, Zaid bin Harithah di medan Mut’ah.

Kalau difikirkan semula, boleh sahaja Usamah menolak dengan menggunakan alasan, ada yang lebih layak. Mengapa tidak dipilih Umar al-Khattab sahaja? Atau Khalid al-Walid yang digelar Saifullah? Inilah contoh pemuda berjiwa besar, berani mencuba walaupun tahu akan risiko yang mencabar.

Masih adakah pemuda seperti dia pada generasi kini? Kita tidak mahu lahirkan generasi yang hanya tahu mengenang sejarah tanpa tahu untuk mengukir sejarah. Walaupun kebelakangan ini Malaysia Book of Record telah merakam pencapaian-pencapaian yang mengkagumkan oleh segelintir rakyat Malaysia, tetapi kita mahukan pencapaian yang lebih mengkagumkan dunia. Seperti yang dilakukan al-Ayubi ketika menawan Palestin menewaskan Salib. Seperti Sultan Muhammad al-Fatih yang membuka Konstantinople, Qutuz yang menewaskan tentera Mongol dan ramai lagi kejayaan yang tercatat dalam sejarah perkembangan tamadun Islam di dunia.

Namun kejayaan ini hanya dapat dicapai apabila generasi Islam hari ini benar-benar berjiwa besar dan memahami serta menghayati misi sebenar seorang mukmin. Hayatilah kata-kata Khalid al-Walid, di saat dia menerima surat pemecatan dirinya dari kedudukan sebagai seorang panglima. Umar al-Khattab, khalifah Islam kedua telah melantik Abu Ubaidah al-Jarrah untuk menggantikan tempatnya sedang ketika itu tentera Islam sedang bersiap untuk melancarkan serangan.

Bayangkan di saat getir itu, beliau telah dipecat. Lantas dia ditanya apakah perasaannya ketika? Apakah beliau masih tetap setia untuk berada di medan jihad ini? Seraya Khalid al-Walid menjawab dengan tegas dan yakin, “Aku berkhidmat bukan untuk Umar. Tetapi aku berkhidmat untuk tuhan Umar!!”

Allahuakbar! Jiwa seorang pemimpin itu besar, apabila misi dan impiannya besar, sehebat Khalid al-Walid yang telah meluaskan empayar, dengan meletakkan impiannya kepada reda Allah Yang Maha Besar!!!


Berilah sedekah...


Kisah 3 sahabat, si sopak, si buta dan si botak yang telah diuji Allah s.w.t. dengan kenikmatan dan kekayaan dan akhirnya Allah telah membalas perbuatan mereka dengan balasan yang setimpal. Si Sopak dan Si Botak telah kembali menjadi fakir miskin dan berpenyakit, sedang si Buta tetap celik bahkan bertambah hartanya yang sedia ada.

Si Buta telah didatangi oleh seorang musafir yang tidak mempunyai harta. Bila diteliti rupanya musafir tersebut merupakan seorang yang buta. Melihat musafir tersebut bagaikan melihat cermin yang membayangkan dirinya suatu ketika dulu. Lantas si buta pun berkata, “Wahai tuan, ambillah sebanyak mana harta dan keperluan yang tuan perlukan. Sesungguhnya, dahulu Allah telah menjadikan aku seorang yang buta seperti tuan, tetapi Alhamdulillah, dia telah mengeluarkan aku daripada keadaan itu sehingga menjadi seperti apa yang tuan lihatkan ketika ini. Maka, janganlah tuan berasa ragu untuk mengambil apa sahaja bagi memenuhi keperluan tuan.”

Rupa-rupanya musafir yang dhaif tersebut adalah jelmaan malaikat yang diutuskan Allah untuk menguji 3 sahabat tersebut. Si Sopak dan Si Botak telah gagal kerana sikap tamak dan takabbur mereka. Sedang Si Buta berjaya menempuhi ujian tersebut kerana rasa syukur dengan sekadarnya.

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai itu terdapat seratus biji benih lagi. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dia kehendaki. dan Allah Maha luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Baqarah: 261)

Beberapa hari yang lalu, ketika saya sedang menikmati makanan tengahari di sebuah restoran, kami didatangi oleh seorang lelaki yang meminta derma untuk pembinaan sebuah masjid di Narathiwat. Sejauh mana kebenarannya itu bukanlah satu persoalan yang perlu difikirkan kerana urusan kejujuran dan kebenaran itu adalah urusan antara dia dan Allah Yang Maha Kuasa. Tetapi yang menjadi persoalan adalah sama ada hendak menderma atau tidak?

Kadangkala terdetik juga di hati ini mempertikai kehadiran peminta-peminta derma yang berada di mana-mana sahaja terutamanya di pasar malam. Kehadiran mereka yang kadangkala tanpa kaki, tanpa tangan mahupun tanpa penglihatan menimbulkan rasa tidak selesa dikalangan peniaga dan pembeli. Hingga timbul persoalan, siapa yang menghantar mereka ni semua?

Apatah lagi kebelakangan ini isu sindiket mengutip derma semakin menjadi-jadi. Menambahkan lagi sikap berhati-hati dikalangan mereka yang hendak memberi, takut-takut tertipu dengan helah sindiket seperti ini.

Namun begitu, apabila difikirkan semula, isu tertipu atau tidak sepatutnya bukanlah menjadi aspek utama perbincangan, seperti yang disebut tadi, andai kita ikhlas menderma, ambil duit dan letakkan di tangan peminta. Usah disebuk-sebukkan hati untuk mencari, siapakah diri mereka sebenarnya. Kerana apabila timbul rasa ragu, dan takut ditipu, ketika itu kita tidak sedar bahawa kita memang telah tertipu oleh syaitan untuk berasa ragu. Ikhlasnya pastilah entah ke mana, hati pun terseksa dan merana.

Pernahkah anda terdengar kisah seorang lelaki, yang hendak memberi sedekah, tetapi rupanya dia telah bersedekah kepada orang yang tidak sepatutnya menerima sedekah. Yang pertama adalah seorang pelacur, yang kedua adalah seorang yang kaya tetapi yang ketiga saya terlupa (maaf). Tapi yang pasti, sedekah yang diberikan itu telah mengubah pelacur kepada wanita bermaruah, si kaya yang bakhil kepada pemurah. Hebat bukan rencana tuhan? Kerana niat yang ikhlas akan mempengaruhi perbuatan dan persekitaran orang yang ikhlas melakukan sesuatu pekerjaan.

Berbalik kepada peristiwa di restoran tersebut, saya terkenangkan jawapan yang diberikan oleh owner restoran itu kepada lelaki tersebut. Kesibukkan melayan pelanggan menjadi alasan untuk menolak permintaan lelaki berkenaan. Allah... apalah sangat andai diberikan seringgit dua sebagai derma, tak rugi pun. Tidak dapat dibayangkan andai lelaki yang dapat meminta derma untuk masjid tersebut adalah malaikat yang datang menguji . Bagaimana? Allahuakbar!

Kadangkala ketika berjalan di pasar malam atau di mana-mana, saya amat takut untuk berjumpa dengan peminta sedekah. Bukan kerana takut untuk menghulurkan derma, tetapi takut andai hati mula berkata-kata. Na’uzubillahi min zalik.....

“Dan terhadap orang yang meminta-minta, janganlah kamu mengherdiknya.”
(Surah ad-Dhuha: 9-10)



7/31/2010

Untuk Sahabat MPN


“Jangan menjadi fitnah kepada dakwah!”

Ini pesan ustaz Faridz dalam usrah

Pesanan yang menggetarkan segenap jiwa

Hampir mengalir air mata

Betapa beratnya amanah yang ditimba

Namun inilah mujahadah

Bagi kami para nuqaba’


Allahu Akbar!

Allah Maha Besar

Yang mengaturkan pertemuan kami semua

Di bawah satu nama

Bersama kami berukhwah

Menggalas amanah, memikul dengan kudrah yang ada


Allahu Akbar!

Allah Maha Besar

Segenap jiwa seluruh rasa

Aslih nafsak, wad’u ghayrak

Perbaikilah diri kamu

Dan serulah kepada yang lain

Pohonlah agar hidayah Allah sentiasa hadir bersama

Agar diri, hati dan jiwa

Tetap berdiri teguh

Di atas tapak pejuang yang kukuh

Melunak hati menerima kalimah haq yang utuh


Jangan menjadi Fitnah kepada Dakwah!!

Khas untuk para sahabat yang bersama

Rela berkorban masa dan tenaga

Untuk dakwah Islamiyyah

MAJLIS PERWAKILAN NUQABA’ KUIS

Tahniah kepada semua......


7/26/2010

Malam ini...


Malam. Semakin lama semakin gelap. Tiada bintang. Kerana awan menutupi gemerlapan sinar bintang dan bulan. Gelap dan sunyi. Kerana semua insan sedang beradu dan bermimpi. Serangga malam turut membisu. Merai kesejukan malam ini. Katak-katak bernyanyian, berdoa kepada tuhan agar diturunkan hujan.

Tiada sebab untuk aku terus membuka mata. Termenung mengadap alam yang ditutup gelap malam. Saat sahabat lain lena merehatkan diri masing-masing yang bakal menempuh hari yang meletihkan pagi nanti. Waktu yang sunyi, sesuai untuk muhasabah diri. Tidak mustahil waktu sepertiga ini menjadi saat mukmin sujud merendah diri kepada Illahi.

3.00 pagi. Tubuhku menggeletar menahan kesejukan pagi. Tambahan pula kipas di dinding yang ligat terpasang dengan kadar kelajuan 3. Kelajuan maksimum. Mata yang sedang celik, belum lagi membuat keputusan sama ada hendak terpejam atau tidak. Kesempatan yang jarang tiba, meringankan minda dan refleksi jari menari di meja.

Papan kekunci laptop menyanyi sambil jari menari mengetuk asyik. Di saat mata masih lagi buntu membuat keputusan, minda mengambil kesempatan bersiul membiarkan jari terus menari. Sedang bahagian tubuh lain menahan kesejukan, dek hembusan angin yang sengaja mengusik saraf merangsang neuron.

Entah mengapa, kebelakangan ini tubuh seakan hilang hala tuju. Membawa diri terbuai menjalani proses kehidupan bagaikan fantasi. Tiada misi, tiada visi. Kehidupan diteruskan ibarat lelayang terbuai kerana ikatan tali yang terungkai. Barangkali ada kaca yang memutuskannya. Kerana kaca menghiris, melayangkan lelayang dari tangan tuan yang empunya.

Jari terus menari. Minda terus menyanyi. Mata terus terkebil, masih lagi buntu. Masih lagi tidak tahu. Lelap atau tidak, masa tetap terus berlalu. Tiap detik terlepas tidak terusik. Aduh, takut anggota lain mengeluh kerana banyak lagi assignment dan tugas yang tertangguh. Bukankah lebih baik saat ini dipenuhi dengan tugas yang belum lagi tertunai?

Malam, ia tetap gelap dan muram. Menakutkan bagi mereka yang percaya dengan khayalan dan usikan jin dan syaitan. Kerana malam, sepertimana dalam firman, mereka berkeliaran menjalani kehidupan seharian mereka. Surah al-Falaq menjadi bukti, cerita tuhan tentang mereka.

Ahhh.... cepatlah mata, beta masih menunggu keputusan memanda. Hendak beradu atau bagaimana. Dayang-dayang jemari terus menari tanpa henti. Melayan bunyian musik minda dan sekutunya. Bagaimana, malam gelap, menjadi inspirasi penyanyi istana, sang minda, menggubah lagu dengan bahasa indah. Ini bakat sasterawan. Barangkali sasterawan negara kita kerap menikmati malam untuk mencari idea sajak yang puitis?

Owh.... dua minggu lagi. Hari bersejarah yang dinanti. Hari gemilang bagi diri. Bagaimana? Apakah dapat ruh ini kekal teguh dalam tubuh pemberian illahi? Tidak dapat digambarkan bagaimana saat tangan menerima segulung sijil bukti ilmu yang ditimba. Tetapi sejauh mana ilmu itu tercambah di dada? Adakah ia hanya sekadar segulung sijil? Bagaimana jika tiba saat sijil itu mereput? Atau rosak kerana kopi yang tertumpah di atasnya? Apakah bermakna ilmu yang timba kan reput dan rosak seperti terjadinya ke atas sehelai sijil yang koyak?

Aduhai malam.... kau kan menganjak siang. Sedang bulan dan berbintang bersembunyi di sebalik awan. Umpama gadis yang pipinya kemerahan malu, bersembunyi dibelakang dinding saat dia dipinang teruna. Masih adakah gadis seperti itu? Tidak terburu-buru mencari pasangan hidup. Tidak salah untuk mencari, tetapi berhati-hatilah ketika mencari. Tiada ikatan melainkan nikah, tiada kebahagian melainkan saat zauj bertemu zaujah. Dua mempelai melafaz akad, memeterai nikah. Tetapi hukum tuhan tetap berjalan, biarpun mahkamah manusia berbeza dalam menetapkan hukuman.

Kebahagiaan tidak dapat dikecapi selagi hukum tuhan tidak dilaksanakan. Aku tidak bercakap mengenai propaganda dan polemik politik yang mahukan kerajaan berteraskan hukum tuhan. Aku bukan selayak mereka yang sering berbincang mengenainya. Aku hanya mahu tumpukan pada hukum tuhan di dalam organisasi sebuah keluarga manusia, yang kini banyak terpapar di dada akhbar, menunjuk contoh sebuah organisasi yang porak peranda. Apabila keluarga dianggap sebuah persinggahan sementara, bukan selama-lamanya. Maka tiada usaha untuk bersama hingga ke dalam syurga.

Eh, kau mata. Berapa lagi mahu kuberikan masa padamu? Tidak habis lagikah kau memikirkan tentangnya? Kulihat penari jemari sudah mula letih. Begitu juga minda, sudah tidak menyanyi lagi. Mereka mahu raikan malam yang dijadikan tuhan untuk beristirehat. Bagaimana? Apa keputusanmu?

3.28 pagi. Jari melengkapkan langkah tariannya yang terakhir. Begitu juga minda, siulan lagu semakin perlahan menuju ke pengakhiran. Dan mata, tersenyum melihat segalanya. Dia sudah membuat keputusan, setakat ini sahaja waktunya. Mereka perlukan rehat. Pagi nanti, tubuh ini akan kembali menjalani kehidupan manusia yang meletihkan.

Aduhai malam, aduhai malam, tetaplah engkau dengan aroma embun yang segar. Bulan, bintang, usahlah kalian bersembunyi lagi pada malam esok dan hari lain yang menanti. Kupohon kalian muncul kembali, mengubati rindu yang terpahat di hati....


7/11/2010

Aqim Salatak

Untuk perkongsian bersama.....


Aqim Salatak 1




Aqim Salatak 2




Aqim Salatak 3




Aqim Salatak 4