Seorang demi seorang mengemukakan bantahan mereka. Tidak setuju dengan keputusan khalifah Rasulullah s.a.w. yang pertama untuk mengutuskan pemuda tersebut menjadi ketua turus tentera yang bersedia ke medan perjuangan. Bukankah masih ramai lagi para sahabat yang lebih tua dan berpengalaman daripada pemuda tersebut?
Bukanlah niat para sahabat Rasulullah s.a.w. tersebut untuk merendahkan kredibiliti Usamah bin Zaid, anak kepada anak angkat Rasulullah s.a.w. Ini kerana bukanlah sifat mereka generasi terbaik ummah untuk bersikap negatif seperti itu. Cuma terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mereka tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Musuh kali ini berbeza, tentera Rom terkenal dengan kegagahan dan kehebatan mereka di dalam peperangan. Sebab itu para sahabat meminta agar digantikan Usamah dengan para sahabat yang lebih berpengalaman.
Akhirnya Umar al-Khattab di pilih untuk menyampaikan bantahan tersebut kepada Abu Bakr r.a. Dengan berhati-hati al-Farouk bertemu dengan as-Siddiq dan mengemukakan bantahan tersebut kepada khalifah. Dikatakan saat itu, Abu Bakr r.a. sedang duduk bersandar di atas kerusi. Namun begitu, sebaik mendengar kata-kata Umar, dia bingkas bangun dan memegang janggut Umar seraya berkata, “Celakalah kau wahai Ibn Khattab! Rasulullah s.a.w. telah memilihnya dan kau mahu aku menghentikannya?!”
Di medan Mu’tah.....
Di medan Mu’tah.....
Melihat satu persatu tubuh panglima perang mereka gugur, membuatkan pasukan tentera muslimin agak kelam kabut tidak terurus. Benarlah sabda baginda Rasulullah s.a.w. sebelum mereka berangkat ke medan jihad. Tiga panglima mereka kini berjaya merangkul syahid bersama-sama. Bermula dengan Zaid bin Harithah, Ja’far bin Abu Talib dan akhirnya Abdullah bin Rawahah.
Di tengah-tengah kemelut Mu’tah, beberapa orang sahabat yang turut serta, mengambil kesempatan berbincang untuk memilih siapa yang akan menjadi panglima mereka? Akhirnya mereka telah sebulat suara memilih seorang lelaki yang baru sahaja menyambut cahaya fitrah dari Illahi, Khalid al-Walid, untuk menyusun kembali corak ketenteraan kaum muslimin sekaligus dilantik sebagai panglima perang yang seterusnya dalam peristiwa di Mu’tah.
Barangkali kita tidak hairan apabila mendengar nama Khalid al-Walid memimpin tentera kerana beliau sememangnya gah dengan kekuatan dan keberaniannya dalam peperangan sehingga diberi julukan ‘Saifullah’ yang bermaksud pedang Allah. Namun begitu, kita perlu ingat, ketika berlangsungnya peperangan di Mu’tah, sejarah mencatat ia berlaku pada bulan Jamadil Awal tahun ke 8 hijrah, sedangkan Khalid al-Walid melafazkan syahadah pada bulan Safar tahun ke 8 hijrah. Ini bermakna ketika beliau dilantik menjadi panglima Islam buat kali pertama, beliau adalah seorang saudara baru yang bergelar Islam dalam tempoh tidak sampai 3 bulan!
Dua tokoh ini merupakan tokoh yang amat mengkagumkan saya. Mereka merupakan dua contoh yang menunjukkan betapa seorang pemimpin memerlukan jiwa yang besar untuk berjaya. Ketika merumuskan prinsip kejayaan di dalam surah al-Mukminun, kita dapati ayat pertama surah tersebut berbunyi, “Sesungguhnya telah berjaya orang-orang yang beriman!”
Seringkali saya dengar dalam ceramah-ceramah motivasi, para peserta akan diingatkan untuk percaya pada diri. Pandang pada cermin dan katakan pada diri, “Aku seorang yang hebat!” Mana mungkin, seorang yang tidak mempunyai keyakinan pada diri sendiri, tidak mempunyai misi yang jelas dalam hidupnya mampu bercakap seperti itu dihadapan cermin melainkan dia akan berasa malu, dan memberi alasan takut orang kata gila!
Usamah bin Zaid berani menyahut perlantikkan Rasulullah s.a.w. biarpun umurnya masih muda. Sejarah mencatatkan umurnya ketika itu belum pun mencukupi dua puluh tahun, tetapi sejarah juga mencatat tidak ada satu alasan pun yang lahir daripada mulut Usamah, mengeluh mengenai perlantikkan tersebut. Melainkan satu semangat untuk berjihad untuk menyebarkan Islam disamping menebus kesyahidan ayahnya, Zaid bin Harithah di medan Mut’ah.
Kalau difikirkan semula, boleh sahaja Usamah menolak dengan menggunakan alasan, ada yang lebih layak. Mengapa tidak dipilih Umar al-Khattab sahaja? Atau Khalid al-Walid yang digelar Saifullah? Inilah contoh pemuda berjiwa besar, berani mencuba walaupun tahu akan risiko yang mencabar.
Masih adakah pemuda seperti dia pada generasi kini? Kita tidak mahu lahirkan generasi yang hanya tahu mengenang sejarah tanpa tahu untuk mengukir sejarah. Walaupun kebelakangan ini Malaysia Book of Record telah merakam pencapaian-pencapaian yang mengkagumkan oleh segelintir rakyat Malaysia, tetapi kita mahukan pencapaian yang lebih mengkagumkan dunia. Seperti yang dilakukan al-Ayubi ketika menawan Palestin menewaskan Salib. Seperti Sultan Muhammad al-Fatih yang membuka Konstantinople, Qutuz yang menewaskan tentera Mongol dan ramai lagi kejayaan yang tercatat dalam sejarah perkembangan tamadun Islam di dunia.
Namun kejayaan ini hanya dapat dicapai apabila generasi Islam hari ini benar-benar berjiwa besar dan memahami serta menghayati misi sebenar seorang mukmin. Hayatilah kata-kata Khalid al-Walid, di saat dia menerima surat pemecatan dirinya dari kedudukan sebagai seorang panglima. Umar al-Khattab, khalifah Islam kedua telah melantik Abu Ubaidah al-Jarrah untuk menggantikan tempatnya sedang ketika itu tentera Islam sedang bersiap untuk melancarkan serangan.
Bayangkan di saat getir itu, beliau telah dipecat. Lantas dia ditanya apakah perasaannya ketika? Apakah beliau masih tetap setia untuk berada di medan jihad ini? Seraya Khalid al-Walid menjawab dengan tegas dan yakin, “Aku berkhidmat bukan untuk Umar. Tetapi aku berkhidmat untuk tuhan Umar!!”
Allahuakbar! Jiwa seorang pemimpin itu besar, apabila misi dan impiannya besar, sehebat Khalid al-Walid yang telah meluaskan empayar, dengan meletakkan impiannya kepada reda Allah Yang Maha Besar!!!
0 ulasan:
Post a Comment