RSS
Facebook
Twitter

8/09/2010

Berilah sedekah...


Kisah 3 sahabat, si sopak, si buta dan si botak yang telah diuji Allah s.w.t. dengan kenikmatan dan kekayaan dan akhirnya Allah telah membalas perbuatan mereka dengan balasan yang setimpal. Si Sopak dan Si Botak telah kembali menjadi fakir miskin dan berpenyakit, sedang si Buta tetap celik bahkan bertambah hartanya yang sedia ada.

Si Buta telah didatangi oleh seorang musafir yang tidak mempunyai harta. Bila diteliti rupanya musafir tersebut merupakan seorang yang buta. Melihat musafir tersebut bagaikan melihat cermin yang membayangkan dirinya suatu ketika dulu. Lantas si buta pun berkata, “Wahai tuan, ambillah sebanyak mana harta dan keperluan yang tuan perlukan. Sesungguhnya, dahulu Allah telah menjadikan aku seorang yang buta seperti tuan, tetapi Alhamdulillah, dia telah mengeluarkan aku daripada keadaan itu sehingga menjadi seperti apa yang tuan lihatkan ketika ini. Maka, janganlah tuan berasa ragu untuk mengambil apa sahaja bagi memenuhi keperluan tuan.”

Rupa-rupanya musafir yang dhaif tersebut adalah jelmaan malaikat yang diutuskan Allah untuk menguji 3 sahabat tersebut. Si Sopak dan Si Botak telah gagal kerana sikap tamak dan takabbur mereka. Sedang Si Buta berjaya menempuhi ujian tersebut kerana rasa syukur dengan sekadarnya.

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai itu terdapat seratus biji benih lagi. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dia kehendaki. dan Allah Maha luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Baqarah: 261)

Beberapa hari yang lalu, ketika saya sedang menikmati makanan tengahari di sebuah restoran, kami didatangi oleh seorang lelaki yang meminta derma untuk pembinaan sebuah masjid di Narathiwat. Sejauh mana kebenarannya itu bukanlah satu persoalan yang perlu difikirkan kerana urusan kejujuran dan kebenaran itu adalah urusan antara dia dan Allah Yang Maha Kuasa. Tetapi yang menjadi persoalan adalah sama ada hendak menderma atau tidak?

Kadangkala terdetik juga di hati ini mempertikai kehadiran peminta-peminta derma yang berada di mana-mana sahaja terutamanya di pasar malam. Kehadiran mereka yang kadangkala tanpa kaki, tanpa tangan mahupun tanpa penglihatan menimbulkan rasa tidak selesa dikalangan peniaga dan pembeli. Hingga timbul persoalan, siapa yang menghantar mereka ni semua?

Apatah lagi kebelakangan ini isu sindiket mengutip derma semakin menjadi-jadi. Menambahkan lagi sikap berhati-hati dikalangan mereka yang hendak memberi, takut-takut tertipu dengan helah sindiket seperti ini.

Namun begitu, apabila difikirkan semula, isu tertipu atau tidak sepatutnya bukanlah menjadi aspek utama perbincangan, seperti yang disebut tadi, andai kita ikhlas menderma, ambil duit dan letakkan di tangan peminta. Usah disebuk-sebukkan hati untuk mencari, siapakah diri mereka sebenarnya. Kerana apabila timbul rasa ragu, dan takut ditipu, ketika itu kita tidak sedar bahawa kita memang telah tertipu oleh syaitan untuk berasa ragu. Ikhlasnya pastilah entah ke mana, hati pun terseksa dan merana.

Pernahkah anda terdengar kisah seorang lelaki, yang hendak memberi sedekah, tetapi rupanya dia telah bersedekah kepada orang yang tidak sepatutnya menerima sedekah. Yang pertama adalah seorang pelacur, yang kedua adalah seorang yang kaya tetapi yang ketiga saya terlupa (maaf). Tapi yang pasti, sedekah yang diberikan itu telah mengubah pelacur kepada wanita bermaruah, si kaya yang bakhil kepada pemurah. Hebat bukan rencana tuhan? Kerana niat yang ikhlas akan mempengaruhi perbuatan dan persekitaran orang yang ikhlas melakukan sesuatu pekerjaan.

Berbalik kepada peristiwa di restoran tersebut, saya terkenangkan jawapan yang diberikan oleh owner restoran itu kepada lelaki tersebut. Kesibukkan melayan pelanggan menjadi alasan untuk menolak permintaan lelaki berkenaan. Allah... apalah sangat andai diberikan seringgit dua sebagai derma, tak rugi pun. Tidak dapat dibayangkan andai lelaki yang dapat meminta derma untuk masjid tersebut adalah malaikat yang datang menguji . Bagaimana? Allahuakbar!

Kadangkala ketika berjalan di pasar malam atau di mana-mana, saya amat takut untuk berjumpa dengan peminta sedekah. Bukan kerana takut untuk menghulurkan derma, tetapi takut andai hati mula berkata-kata. Na’uzubillahi min zalik.....

“Dan terhadap orang yang meminta-minta, janganlah kamu mengherdiknya.”
(Surah ad-Dhuha: 9-10)



0 ulasan: