“Err...maafkan saya tuan, kita sebenarnya ni nak ke mana?” tanya si driver kepada tuannya setelah hampir dua jam berpusing-pusing di sekitar bandar Klang.
“Entahlah, kamu pandu sahajalah, nanti bila rasa perlu berhenti saya akan beritahu kamu,” ujar tuannya.
Aduh, peningnya menjadi pemandu tanpa kita tahu arah tuju pemanduan kita itu. Terus memandu biarpun dalam hati masih tertanya-tanya, “mana nak pergi ni?” Akhirnya, minyak habis, masa terbuang, rugi begitu sahaja....
Kadang-kadang ada masanya, bila ditanya hendak ke mana, jawapan yang diberikan tidak jelas, maka peninglah si driver mencari penjelasan sendiri, akhirnya terbabas jua di tepi jalan. Minyak terbuang, masa tersia tanpa sisa dan diri merana terseksa.... hahaha.
“Kenapa usrah kita lesu?” satu persoalan bermain di mindaku.
Dua pertemuan yang lalu, sungguh aku tak puas hati pada agenda usrah yang baru sahaja bermula itu. Aku sebagai naqib bercakap di hadapan terasa malu, melihat mereka berdiam diri, macam aku ni syok sendiri. Aduh....
Namun, pertemuan dengan seorang tokoh akademik sebuah universiti baru-baru ini membuka mindaku untuk muhasabah mencari jawapan. Kenapa aku buat usrah? Atas alasan apa aku memanggil sahabat-sahabatku ini untuk berusrah? Apakah sekadar untuk berukhwah? Atau untuk mengisi masa lapang daripada terbuang? Atau mungkin kerana....entah, saja suka-suka...?
Mungkin kerana kurang jelas pada matlamat inilah yang membuatkan aku tidak mampu men‘ceria’kan majlis usrahku. Kelihatan seperti tiada kesan, walhal matlamat aku berusrah itu adalah untuk bersama membuka minda.
Ah, mungkinkah kerana mereka tidak tahu apa yang aku mahukan?
Maksudku, mungkin kerana mereka tidak jelas kenapa aku buat usrah ini, membuatkan mereka kelihatan lesu. Ya, perumpamaan seperti ‘driver’ tadi tu, tak tentu arah memandu dek kerana arah destinasi tidak diberitahu.
“Driver, saya mahu ke Kuala Lumpur sekarang. Kalau boleh kita kena tiba sebelum pukul 6 petang. Faham?” arah tuan ‘driver’ itu.
“Faham tuan!” ujar ‘driver’nya dengan bersemangat. Di dalam mindanya sudah terbayang jalan mana yang perlu diambil untuk mengelakkan kesesakan. kalau lalu sini, tolnya mahal, kalau lalu sini, kereta banyak.
Ya, bila sahaja si ‘driver’ tadi menerima maklumat yang jelas, arah destinasi yang tepat, mindanya ligat merancang strategi sesuai untuk mencapai matlamat yang ditetapkan, “Tiba di Kuala Lumpur sebelum pukul 6!”
Kekaburan dalam bermatlamat kadangkala memusnahkan semangat untuk mencapai matlamat. Lihat sahaja berapa ramai dari kalangan kita mahasiswa, tersasar dalam perjalanan kerana hanya dibekalkan semangat tanpa matlamat, atau kekaburan dalam bermatlamat.
Sesetengah organisasi yang baru bercambah, bersemangat untuk melancarkan program-program yang bermanfaat untuk masyarakat, sehingga terlupa perkara asas, iaitu menetapkan matlamat dalam pergerakan. Akhirnya, bila program tamat, organisasi pun semakin lesu dan terus pudar bersama lunturnya semangat.
Realiti masyarakat kita, hanya berapi ketika mula, namun akhirnya sejuk dimamah masa... kerana semangat itu tidak disulam dengan matlamat yang jelas, membuatkan ia tidak mampu untuk membakar jendela kelesuan dalam minda manusia.
Terbuai dalam muhasabah, aku akhirnya tersedar, aku perlu berkongsi dengan mereka tujuan aku memulakan usrah ini, kerana usrah bukan pencapaian peribadi, tapi ia adalah pencapaian kami bersama... bersama berukhwah, bersama berusrah, bersama bermujahadah, bersama mencapai redha dari Allah.
Aku perlu lebih berusaha, kerana aku menjadi naqib bukan untuk diriku, tetapi untuk mereka... Ya Allah berikan aku kekuatan.....
P.D.C. : Sering kali aku mengingatkan rakan-rakanku yang menjawat jawatan tertinggi dalam mana-mana persatuan atau organisasi, jangan utamakan perhiasan, tapi asas persatuan perlu didahulukan. Tetapkan dasar dan matlamat, baru tumpukan perhiasan berupakan program bermanfaat....wallahualam.
0 ulasan:
Post a Comment