Gundah pada perasaan, resah pada jiwa. Kekadang rasa kesunyian, walaupun ada rakan dan teman, kekadang rasa bosan, biarpun dikelilingi dengan kegembiraan...
Kosong... Umpama sebuah tin kosong, berbunyi bingit namun tiada erti, bahkan minta diisi... begitu agaknya diri ini, banyak berkata memberi nasihat, namun diri terasa kelat, dek kerana "aku adalah sebuah tin kosong." Maka aku hanya mampu duduk dipinggir jalan, memerhati manusia yang berkeliaran dengan kepelbagaian ragam mereka menghayati kehidupan...
Ada pepatah mengatakan, "Ikutlah resminya padi, semakin berisi tunduk ke bumi..." Malang sekali, diri umpama lalang, tidak berisi namun terus meninggi...
Ilmu? Aku seorang mahasiswa. Ada diploma, punya ijazah, hingga ada yang kagum lalu menggelarkan aku ‘ustaz’. Jadi, aku ini berisi. Maksudku, aku punya ilmu. Aku bukan tin kosong seperti yang diumpamakan.. Bukan!
"Ehem! Wahai orang muda, izinkan aku bertanya, apakah cukup hanya dengan punya sijil-sijil keilmuan seperti yang kau khabarkan?"
Eh, siapa orang tua ini, tiba-tiba sahaja muncul entah dari mana.
"Orang tua, sudah cukup dengan sijil-sijil ini menunjukkan aku bukan seperti tin kosong itu. Aku berilmu dan layak untuk menasihati...."
"...dan dinasihati." Orang tua tersenyum. "Apakah cukup sekadar berilmu wahai orang muda?"
"Apa lagi yang kau mahukan wahai orang tua? Ilmu adalah segalanya. Andai kita mahu dunia, kita perlu ilmu, andai mahu akhirat juga dengan ilmu, andai mahu keduanya, juga dengan ilmu. Apakah kau tidak tahu wahai orang tua? Ini hadis!" kata orang muda dengan sinis.
"Benar kata-katamu itu wahai orang muda. Tapi, apakah cukup dengan berilmu wahai orang muda?"
Ahh! Lagi mahu tanya. Orang tua ini pasti sudah nyanyuk, bukankah telah kuberikan jawapannya sebentar tadi?
"Wahai orang muda, pernahkah kau dengar, pepatah ada berkata, "Ilmu tanpa amal, ibarat pohon tidak berbuah." Apakah yang kau fahami padanya wahai orang muda?"
Aduh, pepatah lagi. Mengapa hari ini semua orang ingin bermain dengan pepatah?
"Pastinya aku pernah dengar. Itu pepatah arab. Telah aku hafal pepatah itu, bahkan banyak lagi pepatah lain yang aku pernah dengar wahai orang tua. Mengapa?"
"Apakah cukup dengan berilmu wahai orang muda?"
Lagi-lagi soalan ini yang ditanyakan. Orang tua ni memang sengaja nak buat aku marah.
"Pernahkah kau melihat awan gelap wahai orang muda?"
"Gelap tidak semestinya petaka, kekadang gelapnya awan di dalamnya ada gembira."
Apa kena mengena antara awan gelap dengan diriku? Ahh! Orang tua ini sudah merepek entah apa.
"Tak ramai yang menyedarinya wahai orang muda. Hatta pada sehelai daun hijau, punya ilmu yang mendalam untuk kita. Apakah kau sedar wahai orang muda?"
Diam.... tiada kata.
"Apa maksudmu wahai orang tua? Mana mungkin pada sehelai daun hijau itu ada ilmu? Bagaimana mungkin ia mampu berkata mengajarku ilmu yang aku pelajari di universiti-universiti? Mana mungkin dari daun nipis itu, mampu memberiku diploma dan ijazah."
Orang tua itu hanya tersenyum. Hahaha, pastinya dia sedar bahawa kata-katanya itu tidak ‘relevan’. Mana mungkin....
"Wahai orang muda, apakah cukup sekadar berilmu? Tanpa engkau menghayati ilmu itu, dan kau amalkan dalam kehidupan mu?"
Sesungguhnya hidupmu kesunyian dan membosankan bila ilmu kau jauhkan dari dirimu. Ilmu ada di mana-mana. Di rumahmu, di tempat belajarmu, di tempat tidurmu, bahkan pada setiap sudut seluruh alam ciptaan Tuhan ini tidak lepas darinya ilmu untuk kita pelajari.
Kerana Apabila seorang penuntut ilmu itu bersedia untuk menimba ilmu, disekelilingnya akan menjadi guru baginya.
"Apakah kau telah bersedia untuk menimba ilmu wahai orang muda?"
"Untuk pengetahuan kau wahai orang tua, aku kini sedang dalam usaha untuk menyiapkan master ku. Aku sedang dalam proses menyelesaikan kajian-kajian ilmuku. Jadi, pastinya aku telah bersedia. Tanya sahaja padaku, akanku jawab dengan ilmuku."
Angkuh, tapi inilah kenyataan. Bukan mahu riak, Cuma mahu sedarkan orang tua itu tentang keadaan diriku. Hahaha....
"Apa yang kau lihat pada diriku yang tua ini wahai orang muda?"
Huh, bila dijawab nanti, terasa hati pula.
"Emm...tiada apa yang aku dapat lihat pada dirimu wahai orang tua. Hanya seorang tua yang lemah, banyak bertanya dan buat aku marah sahaja."
"Hahaha... itu maknanya kau tidak bersedia lagi wahai orang muda... dirimu belum bersedia untuk menimba ilmu."
Luqman al-Hakim pernah berkata, "Aku belajar hikmah daripada orang yang dungu. Jika dia melakukan sesuatu aku takkan melakukannya."
Orang tua itu tersenyum, "Tahukah kamu apa yang aku lihat pada dirimu wahai orang muda?"
Aku melihat kamu seperti pohonan buluh muda yang meninggi menggapai angkasa. Tanpa sedar, dalam usahanya itu, dia terlupa untuk membantu pohon buluh yang sudah tua dan pucuk yang muda. Tidak sedar diri dan terus meninggi. Akhirnya bila masa tua tiba, gilirannya pula ditundukkan oleh generasi baru dari pucuk muda yang tidak dibantu. Masa itulah baru nak tunduk menginsafi diri...
"Sudah orang tua...aku tak faham apa yang kau katakan. Aku ada kerja lagi ni, jangan kau ganggu.. pergi kau dari sini!"
"Baiklah wahai orang muda, maafkan aku kerana menggangu waktumu. Cuma pesanku pada dirimu, lihatlah sekitarmu kemudian lihatlah ia dalam dirimu... pelajarilah ia dan hayatilah.. kerana setiap ciptaan Yang Maha Esa adalah ilmu bagi mereka yang mahu berfikir...."
P.D.C. : Cerita ini hanyalah sebuah cerita. Tidak berkaitan dengan yang telah mati, tapi diminta untuk dihayati kepada yang masih hidup. Yang paling penting ‘aku’ dalam entry tu bukan ‘aku’ yang menulis entry ni...
0 ulasan:
Post a Comment