RSS
Facebook
Twitter

8/12/2010

Kepada Allah kita kembali....



بسم الله الرحن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Kumulakan bicara dengan kalimah toyyibah
INNALILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI’UN
Sesungguhnya kepada Allah kita datang, dan kepada-Nya jua kita kembali.
“Wahai orang-orang yang beriman! Takutlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar ketakutan kepada-Nya, dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam.”
(Surah Ali Imran: 102)
Maha Suci Allah, Maha Bijaksana dalam setiap rencana-Nya, DIA lah yang awal, dan DIA lah yang terakhir, DIA lah tuhan yang menghidupkan, dan DIA lah juga tuhan yang mematikan setiap makhluk ciptaan-Nya.
Wahai Sahabat, aku berwasiat, ingatlah, janji Allah itu benar, tidak mungkin terjadi apa yang dijanjikan melainkan ia kan pasti tetap berlaku. Pasti! Biarpun di peringkat mana sekalipun usia kita, muda atau tua, apakah sudah puas menikmati dunia dan apakah sudah bersedia untuk menjengah barzah, yang pasti ia tetap terjadi!
“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati!”
(Surah Ali Imran: 185)
Allahuakbar! Allah Yang Maha Besar. Kematian itu benar, biarpun segolongan manusia mendustakannya. Bukan dengan kata-kata, kerana fitrah mereka membenarkannya, tetapi mereka menafikan haq kematian itu dengan perbuatan. Leka dan alpa dengan keseronokkan.
Melihat kematian, umpama debu yang terlantar di atas batu, tatkala dihembus angin, maka bersihlah batu dari debu. Keinsafan yang hanya seketika.
Tetapi..... syukur kepada Allah, biarpun begitu, itulah tanda, masih ada kelembutan di dalam hati kita, cahaya iman masih ada, hanya tinggal usaha kita untuk menggilapnya. Iman itu akan tetap kekal, selagi hati masih mengakui, mengimani, kebenaran hakiki, kalimah suci,
TIADA TUHAN SELAIN ALLAH, NABI MUHAMMAD PESURUH ALLAH!
Takbir!
ALLAHUAKBAR!
Alhamdulillah, selesai sudah hari pertama berpuasa. Keseronokkan berbuka dan bertarawih indah terpahat di memori. Hari pertama dilalui dengan mudah, biarpun masih banyak lagi perkara perlu diubah, diantaranya kami sebilik duk tido’ sampai ke zohor, nah, kelas entah ke mana. Alhamdulillah kelas satu je. Ha,ha,ha....
Sekali lagi di bibir meluncur kalimah Hamdalah, bersyukur kerana pihak masjid Al-Azhar menyediakan juadah berbuka PERCUMA! Starting ketika berbuka, kami dijamu dengan bubur lambuk dan kuih-muih. Kami ingat takat tu sahaja. Tetapi.....
Hidangan nasi minyak dan ayam masak merah disediakan untuk semua jemaah selepas maghrib. Aduh, kenyang besar. Mujur ada sahabat mengingatkan, sat lagi takut ada yang terawih solat duduk, barulah kami saling berpandangan dan tersengih sesama sendiri.
Subhanallah, nikmat Allah sekali lagi melimpah. Solat Terawih sempurna hanya 8 rakaat dan 3 witir. Maka senyum lebar sekali lagi di wajah-wajah kami. Lebih kurang pukul 10 selesai sudah segala-galanya. Solat Terawih malam ni ada kelainan kerana imam yang bertugas awalnya adalah pelajar tahfiz, tetapi bertukar dengan seorang pelajar luar negara dari Chad, Abdul Salam namanya.
Allahuakbar! Allah Maha Bijak dalam merencana. Tiba-tiba kami tergerak hati untuk bertadarus bersama. Walaupun pihak masjid juga membuat perkara yang sama. Tetapi kami memilih untuk bertadarus antara-antara kami sahaja. Cukup satu juzuk selesai. Kami target sebelum hari ke 15 puasa, 30 juzuk Quran dalam tangan. Insya Allah.
Tadarus masjid selesai. Kami masih menunggu. Berbual apa yang perlu sambil pekena secawan teh buatan siak yang berbaki dari moreh tadi. Kebetulan ada baki bubur lambuk tadi, kami pun segera menjadi orang terakhir untuk melicinkan periuk bubur. Alasannya, memudahkan siak untuk membasuh. Terima kasih kepada seorang sahabat baru yang tolong menghulurkan pinggan untuk melicinkan tindakan kami. Ngeh,ngeh,ngeh....
Tak lama selepas itu, suasana kalut tiba-tiba. Muncul jemaah yang bertadarus tadi, sekejap seorang berlari ke arah kanan kami. Sekejap lagi seorang lagi berlari ke arah depan masjid. Hati kami terdetik, sesuatu telah terjadi. Dan ketika itu mata kami meluru ke arah sekumpulan jemaah masjid yang sedang mengusung satu tubuh menuju ke kereta. Berderau hati kami, kejadian yang menimpa sahabat kami baru-baru ini kembali bermain di fikiran. Apakah ia berlaku lagi?
Rupanya, sahabat yang baru sahaja kami kenali tadi kemalangan, katanya terkena renjatan elektrik saat membantu siak masjid membersihkan ruangan solat di masjid. Allahuakbar! Ya Allah, selamatkanlah sahabat baru kami.
Jam menunjukkan pukul 2 pagi. Mata kami masih segar tidak mahu tidur. Saat kami berbual, tiba-tiba terdengar riuh rendah diruang parking motor. Kami lihat beberapa pelajar berkopiah kelihatan berpusu-pusu hendak keluar. Kami berpandangan. Tidak sedap hati.
Pukul 3 pagi. Kami masih menanti. Tetapi tiada tanda kumpulan pelajar tadi akan kembali. Sedangkan perut sudah pun berbunyi. Maka kami pun membuat keputusan untuk keluar membeli makanan untuk sahur nanti. Ketika tiba di restoran, kami melihat kumpulan pelajar tersebut juga berada di restoran yang sama.
Innalillahi wa inna ilaihi raji’un...... Allah lebih menyayangi dia dari kami. Sesungguhnya kasih sayang Allah itu tiada terlawannya. Sahabat yang baru sahaja kami kenali tadi telah kembali ke pangkuan Illahi. Masih tergenang senyumannya saat dia menghulurkan pinggan kepada kami. Masih lagi kelihatan ceria wajahnya saat melayan kami. Allahuakbar! Maha Suci Allah....
Nik Zakwan nama sahabat baru kami. Mahasiswa Perakaunan semester 3 telah kembali ke rahmatullah pada hari kedua Ramadhan tahun ini. Semoga Allah menggolongkannya dikalangan hamba-hamba-Nya yang diberikan nikmat Syurga dan Rahmat daripada Yang Maha Perkasa.....
Takziah kami ucapkan kepada keluarga arwah Nik Zakwan, kami doakan agar kalian dilimpah rahmat dan maghfirah daripada-Nya. Biarpun perkenalan kami dengan arwah hanya seketika, tetapi ia amat menyentuh memori sebagai rakan barunya.
Ayuh, kami mengajak kalian semua, kita bersama-sama doakan kebaikan untuk diri kita, kemudian kedua bapa kita dan seterusnya sahabat-sahabat kita semuanya..... wallahu’alam.
Daripada Abu Darda’ al-Ansari r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Doa seseorang Islam terhadap saudaranya dibelakangnya amat mustajab, di sisi kepalanya terdapat malaikat yang diwakilkan tatkala berdoa untuk saudaranya dengan kebaikan, nescaya malaikat yang diwakilkan itu berkata, ‘Amin, dan bagi kamu seumpama itu’.”
(Riwayat Muslim)

0 ulasan: