RSS
Facebook
Twitter

12/30/2011

Manusia Rasa.....



“Andai ada jalan untuk bersabar, mengapa tidak kita memilih jalan itu?”



Sunyi. Sepi. Tiada sepatah kata keluar dari bibir mahasiswa dari negeri Serambi Mekah itu. Retina mata Hariz beralih menatap siling putih bilik tidur mereka. Kedua tangannya menarik erat selimut tebal miliknya.



“Kadang-kadang aku terfikir, dalam banyak-banyak perasaan yang tuhan anugerahkan kepada kita, yang mana satu lebih mudah untuk kita kawal,” matanya masih lagi melekat ke permukaan siling. Di satu sudut kelihatan rekahan-rekahan cat kapur, mungkin kerana musim sejuk ataupun kerana bocoran air yang cuba mencuri masuk ke dalam bilik mereka.



“Agak-agak kau yang mana lebih susah?” Hariz menduga sahabat sebiliknya yang masih diam tidak menuturkan sebarang kata di sebelah. Dia menjeling kepada sahabatnya itu yang masih termenung. Dia tahu, sahabatnya sedang memikirkan kata-katanya.



Sudah hampir 4 bulan mereka tinggal sebilik. Rumah yang memuatkan 6 ahli dan memiliki 4 buah bilik tidur ini terletak betul di tengah-tengah kawasan yang strategik di pekan Mu’tah ini. Dekat dengan masjid Syuhada’ yang terletak berhadapan dengan bangunan milik ‘Ailah Surairah’ ini, dikelilingi dengan kedai-kedai barangan runcit dan perkakas-perkakas yang begitu mudah dan murah untuk dibeli. Bahkan, bangunan rumah mereka ini terletak begitu hampir dengan markas persatuan mahasiswa Malaysia.



“Agaknya, marah kot yang paling susah nak kawal,” Faiz memberi andaian.



“Apa hujahnya?” masih menduga sambil meleretkan secebis senyuman. “Well, kan ada hadis nabi s.a.w. yang menceritakan baginda s.a.w. pernah memberikan nasihat kepada seorang sahabat supaya menahan marah,” Faiz memberi hujah.



La taghdab, La taghdab, La taghdab. Jangan kamu marah, itulah pesanan baginda s.a.w. tu kan?”



Faiz mengangguk, “Hadis tu ada dalam kitab ‘Arbaien Nawawi’ kot.” Hariz turut mengangguk bersetuju dengan kata-kata sahabatnya itu.



“Tetapi, pada aku marah bukanlah perasaan yang paling susah untuk dikawal oleh manusia,” kata Hariz.



Kening mata Faiz terangkat sebelah, “Ya Abal Hariz, syu sabab qulta kazalik? Rubbamal hazn au nadm?



Neither both. Laisa kilahuma. Bukan kedua-duanya,” balas Hariz. “So then?” Faiz mengerut dahi, pelik dengan jawapan yang diberikan oleh Hariz. Baginya, marah, sedih dan kecewa atau menyesal, tiga perasaan yang inilah yang sering memberatkan manusia. Tetapi Hariz kata tidak. Jadi apa yang mana satu sebenarnya?



“Kau sendiri tahukan, kalau kita marah, baginda s.a.w. dah ajar kita apa cara rawatannya. Kalau kita sedih dan kecewa, apa rawatannya. Betul tak?” Hariz lebih suka bertanya dan melontarkan persoalan. Sengaja dia memilih corak perbualan seperti itu supaya satu medan perbincangan dapat diwujudkan untuk menghangatkan lagi musim syita di Bayt Nawawi.



“Ye, kalau waktu marah tu, kita tengah diri, ubah posisi, duduk ke, baring ke. Atau pergi ambil wuduk dan best lagi kalau solat sunat ke, baca al-Quran ke,” Faiz memberi fakta. Mafhum daripada sebuah hadis baginda Rasulullah s.a.w.



“Betul, dan kalau kita kecewa, sedih, atau menyesal, al-Quran sendiri telah menyatakan cara untuk merawatnya. Al-Quran menjadi bukti, bagaimana Allah s.w.t. memujuk hamba-hambanya. Betul tak Faiz?”



Faiz mengangguk kecil. Bersetuju dengan mukjizat agung yang dianugerahkan Allah s.w.t. kepada baginda Rasulullah s.a.w. 1400 tahun dahulu. Mungkin secara zahirnya, tidaklah termaktub dalam tafsir-tafsir al-Quran yang mengatakan, ayat sekian adalah pujukan Allah kepada hamba-Nya. Akan tetapi, jika dihayati makna ayat al-Quran itu, bagi mereka yang kecewa dan sedih, Insya Allah akan terubat. Jika tidak, masakan buku motivasi ‘La Tahzan’ yang dikarang Dr Aidh al-Qarni mencapai tahap ‘Best Seller’ di seluruh dunia.



“Jadi, apa jawapan kau Riz?”



“Baiklah. Pada pendapat aku, perasaan manusia ini secara umumnya terbahagi kepada dua. Yang pertama berbentuk positif, dan yang kedua berbentuk negatif,” Hariz mula berkongsi idea miliknya. Idea yang datang secara tiba-tiba tanpa di duga.



Perasaan yang tergolong dalam kumpulan positif adalah rasa seronok, gembira, senang hati dan bahagia sebagai contoh. Manakalah kumpulan kedua adalah rasa marah, sedih, kecewa dan menyesal. Antara dua kumpulan ini, kebiasaannya, manusia amat tidak menyukai kumpulan kedua. Siapa yang mahu dirinya bersedih, dirinya marah, apatah lagi kecewa dan menyesal.



“Dan pastinya, siapa yang tidak mahu rasa gembira dan bahagia dalam hidup ni kan?” tambah Hariz lagi.



Faiz mengangguk bersetuju. Dia sendiri tidak mahu berhadapan dengan situasi-situasi yang memerlukan dia merasai sedih dan kecewa. Apatah lagi marah. Kerana dia dulu merupakan dikalangan mereka yang panas baran.



“Sekejap, aku masih tak nampak ‘point’ kau di sini. Cuba kau terus kepada isi penting, boleh?” Faiz memprotes sedikit apabila dirasakan Hariz masih belum mengeluarkan hujahnya.



Terkoyak senyuman di bibir Hariz. “Kau sendiri boleh perhatikan, kita ada rawatan untuk marah, sedih dan kecewa. Kita cakna dengan semua itu. Tetapi ada tak kita ambil perhatian dengan rawatan apabila kita bahagia dan gembira? Ada tak kita berhati-hati ketika perasaan-perasaan positif ini dianugerahkan kepada kita?”



“Ha? Rawatan ketika gembira dan bahagia? Maksud kau?”



0 ulasan: